Rabu, 28 Mac 2012

PENTING SEKALI MANA2 PARTI PEMERINTAH BERLAKU ADIL...TIDAK PILIH KASIH...DULUKAN KELUARGA DAN KRONI...TIDAK MENIPU..KAKI SONGLAP...BELASAH HAK RAKYAT...HIMPUN KEKAYAAN...RASUAH..YANG TERUK KAKI MAKSIAT...TAK TAQWA...TAK INGAT MATI...TAK KIRA DOSA PAHALA...

Orang Asli nafi Kelantan rampas tanah

Harakahdaily, 27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: Masyarakat Orang Asli Kelantan hari ini melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan pihak tertentu yang menuduh kerajaan negeri pimpinan PAS telah merampas tanah mereka sedangkan ianya sama-sekali tidak berlaku.

Sekumpulan 10 orang mereka yang hadir ke Parlimen hari ini menafikan tuduhan tersebut malah menganggapnya sebagai fitnah didalangi pihak berkepentingan.

Malah kata wakil Orang Asli Kelantan Ajom Alang, Kerajaan Kelantan yang diterajui PASlah satu-satunya kerajaan negeri yang berusaha untuk memberi hak milik tanah kepada mereka.

"Bermacam-macam tomahan dan tuduhan fitnah bahawanya kerajaan negeri di bawah YAB Tuan Guru (Datuk Nik Abdul Aziz) merampas tanah-tanah Orang Asli.

"Fitnah itu tak betul, sebenarnya kerajaan negeri pimpinan tuan guru pada hakikatnya telah meluluskan dan mewartakan tanah-tanah itu untuk memberi hak milik kepada sebahagian masyarakat Orang Asli di Gua Musang," katanya pada sidang media di lobi parlimen (gambar).

Turut serta pada sidang media itu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Mohammad Husin (Pasir Putih) Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh).

Sebelum ini, banyak pihak termasuk Umno Kelantan menuduh kerajaan negeri yang diterajui PAS merampas tanah daripada Orang Asli Hulu Kelantan untuk tujuan pembangunan.

Ianya termasuk tanah Orang Asli di Sendrop dan Blau.

Kerajaan negeri bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan mendakwa tanah yang dibangunkan di kawasan itu adalah milik kerajaan.

Menurut Ajom lagi, di Kelantan tidak ada tanah adat untuk Orang Asli mahupun tanah wilayah, cuma yang ada adalah tanah yang mahu digazet untuk Orang Asli pada zaman BN yang tidak selesai-selesai.

Maka katanya, tidak timbul langsung soal kerajaan negeri merampas tanah mereka.

"Zaman BN dulu mana ada org asli dapat hak milik. Adakah sekarang ini di negeri-negeri BN Orang Asli dapat hak milik? Saya rasa belum ada," katanya.

Beliau turut menyelar pihak tertentu yang mempengaruhi Orang Asli untuk berdemonstrasi Januari lalu bagi membantah kerajaan negeri yang mahu membangunkan projek Ladang Rakyat di tanah-tanah Hulu Kelantan.

Malah kata mereka, Orang Asli sangat-sangat mengalukan Projek Ladang Rakyat dibuat kerana mereka akan mendapat banyak kebaikan dari projek itu.

Selain kebaikan dari sudut ekonomi mereka, projek itu juga akan mebawa kepada pembukaan jalan yang bekal memudahkan mereka.

"Saya rasa ini (demonstrasi) bukan tindakan Orang Asli sendiri tapi kemungkinan ada konco-konco lain dari belakang yang menghasut Orang Asli bertindak liar. Kita dari dulu lagi tak pernah demonstrasi bantah kerajaan negeri.

"Bahkan kita sebenarnya merayu kepada kerajaan negeri supaya selesaikan segera masalah tanah bagi membuktikan Kelantan negeri yang pertama berusaha memberi hak milik kepada Orang Asli di Malaysia," katanya.

Selangor tidak biarkan rakyat tanpa rumah

Iskandar Abdul Samad , 27 Mac 2012
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas segala pandangan dan teguran daripada ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Insya Allah ianya amat bernilai di dalam meneruskan usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat di negeri ini.
PEMBINAAN RUMAH KOS RENDAH

Walau bagaimanapun saya ingin menafikan dakwaan daripada Yang Berhormat Sg. Pelek bahawa di bawah Pakatan Rakyat tidak lagi dibina Rumah Kos Rendah (RKR) di Selangor.

Sepertimana jawapan saya kepada pertanyaan daripada Yang Berhormat Permatang pada sidang ini bahawa RKR masih dibina di Selangor (Pertanyaan No. 48).

Perkara ini telah juga saya laporkan pada Sidang Dewan yang lepas ketika menjawab pertanyaan dari Yang Berhormat Lembah Jaya Pada 17 November 2011 (Pertanyaan No. 47).

Jawapan saya ketika itu adalah 3,317 unit RKR sedang dibina. Sejumlah 10,338 unit dalam proses pemulihan. Sementara 8,579 unit RKR telah mendapat kelulusan untuk dibina. Jumlah unit RKR yang akan memasuki pasaran adalah 22,234 unit apabila kesemua projek-projek ini siap dibina.

RUMAH MAMPU MILIK (RMM)

Kerajaan Negeri apabila menggalakkan pembinaaan Rumah Mampu Milik (RMM) tidak akan menghapuskan peraturan yang mewajibkan pemaju membina RKR bagi tapak-tapak melebihi 10 ekar.

Kerajaan Negeri hanya membenarkan pemaju menggantikan RKR dengan RMM sekiranya kawasan tersebut tidak sesuai untuk dibina RKR. Contohnya bagi kawasan yang dijangka tidak ada permintaan bagi RKR seperti yang tidak ada pengangkutan awam.

Oleh itu bukan semua permohonan akan diluluskan.

RMM dibina untuk rakyat berpendapatan RM2,500.00 hingga RM5,000.00. RKR disediakan untuk pembeli yang berpendapatan kurang dari RM2,500.00.

Kedua-dua kelompok masyarakat ini mesti diberi perhatian.

PERBADANAN KEMAJUAN NEGERI SELANGOR (PKNS) DAN RUMAH MAMPU MILIK

Terima kasih kepada Bukit Antarabangsa yang telah membangkitkan kebimbangan PKNS yang kemungkinan akan kerugian besar jika menjual RMM dengan harga di bawah RM100,000.00.

Sebenarnya inilah sebabnya kenapa Kerajaan Negeri melibatkan pemaju-pemaju swasta di dalam program RMM di Selangor.

Sekarang ini terdapat pemaju swasta yang sedang membina 136 unit RMM di Sg. Long yang berkeluasan 850 kaki persegi dan yang akan dijual dengan harga kurang dari RM80,000 sebuah.

Pemaju yang sama telah mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri membina 520 unit RMM di Shah Alam dengan keluasan 850 kaki persegi dan yang akan dijual dengan harga RM89,000.00 sebuah.

Kerajaan Negeri berharap PKNS akan dapat mempelajari dari pengalaman pemaju-pemaju seperti itu. Pihak PKNS telah mengadakan lawatan tapak ke projek RMM di Sg. Long itu.


HARGA RMM KURANG DARI RM100,000

Kerajaan Negeri tidak boleh menaikkan semua RMM melebihi RM100,000.00 kerana Kerajaan Negeri mahu program ini melibatkan lebih ramai rakyat.

Contohnya jika harga rumah RM150,000.00 maka setelah ditolak bayaran deposit 10 peratus iaitu RM15,000.00 maka ini bermakna pinjaman yang perlu dipohon adalah RM135,000.00.

Jika bayaran balik pinjaman ini adalah selama 20 tahun maka ini bermakna bayaran bulanan secara kasar adalah RM1,015.00 sebulan.

Oleh itu, gaji minima pemohon mestilah sekurang-kurangnya RM3,045.00 sebulan.

Maka ini bermakna, mereka yang mempunyai gaji kurang dari RM3,045.00 tidak akan dapat membeli RMM jika dijual dengan harga lebih dari RM100,000.00.

Kita mesti memikirkan tentang mereka yang berpendapatan kurang dari itu.

Malah "Kajian Rumah Menyeluruh Berkenaan Jenis Kediaman Mampu Milik Berdasarkan Pendapatan Isi Rumah Di Kawasan Lembah Klang" yang dilakukan oleh Unit Perundingan Universiti Malaya untuk Kerajaan Negeri tahun lepas menunjukkan harga RMM perlu dipelbagaikan.

Perlu ada RMM yang berharga RM70,000, RM90,000, RM100,000, RM120,000 dan RM150,000.

Walau bagaimanapun RMM Negeri Selangor tidak sepatutnya berharga sehingga RM300,000.00 sepertimana RMM Kerajaan Persekutuan yang dijenamakan sebagai PRISMA.

KEMAMPUAN RAKYAT MEMBELI RMM

Saya juga ingin menjawab soalan Yang Berhormat Sg. Pelek yang bertanya berapakah gaji mereka yang boleh membeli RMM itu.

Bagi RMM yang berharga RMM89,000.00 maka bayaran ansuran sebulan adalah sekitar RM602.00 dan gaji minima untuk mendapat pinjaman ini adalah RM1,806.00.

KOS MEMBINA TEMPAT LETAK DI RMM

Yang Berhormat Bukit Antarabangsa telah membangkitkan kos menyediakan tempat letak kereta yang tinggi.

Kerajaan Negeri tidak akan kembali kepada peraturan lama yang menetapkan satu unit tempat letak kereta dibina untuk 2 unit kediaman RKR.

Yang Berhormat Taman Medan juga telah membangkitkan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat akibat dari tempat letak kereta yang tidak mencukupi.

Peraturan sekarang adalah 1 unit tempat letak kereta untuk 1 unit kediaman RKR.

Untuk Rumah Kos Sederhana Rendah (RM72,000.00) dan Rumah Kos Sederhana (RM100,000.00) pula adalah 2 tempat letak kereta bagi 1 unit kediaman. Peraturan ini digunapakai untuk RMM.

Walau bagaimanapun terdapat cadangan baru memandangkan kos pembinaan infrastuktur dan kos tanah yang tinggi.

Cadangan itu adalah bagi RMM, untuk tempat letak kereta pertama adalah termasuk di dalam harga rumah. Walau bagaimanapun untuk tempat letak kereta kedua, pemilik rumah perlu membelinya dari pemaju.

Perkara ini akan dikaji oleh Kerajaan Negeri dengan lebih terperinci.

CROSS-SUBSIDY

Penyediaan kediaman untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana adalah berdasarkan "cross-subsidised" atau "saling- sumbang".

Ianya selari dengan konsep Islam di mana di dalam harta orang kaya ada hak orang miskin. Inilah konsep zakat.

Jika kita lihat di negara-negara lain, perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana bukanlah tempat mendapat keuntungan.

Saya ingin mengambil contoh Singapura di mana Housing Development Board (Lembaga Pembangunan Perumahan) atau HDB mengalami defisit setiap tahun dan memerlukan geran dari pemerintah republik itu.

Contoh defisit-defisitnya adalah seperti berikut:
Tahun 2004 - S$931 juta
Tahun 2005 - S$850 juta
Tahun 2006 - S$1,406 juta
Tahun 2007 - S$743 juta

TAMAN MURNI 1, SEPANG



Saya ingin menjawab pertanyaan Yang Berhormat Sg Pelek yang membangkitkan tentang pemberimilikan tanah di Taman Murni 1, Sepang.

Lembaga Peumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah berjaya membuat kutipan untuk bayaran premium dan bayaran upah sukat bagi 314 dari 448 pemohon yang bernilai RM155,900.00.

Tetapi masih terdapat baki bayaran untuk memproses pengeluaran hakmilik yang perlu dijelaskan oleh setiap pemohon adalah di antara RM216.00 hingga RM610.00.

Setakat 26 Mac lepas, seramai 173 orang telah menjelaskan keseluruhan bayaran mereka. Sementara 141 orang masih belum lagi menjelaskannya.

Pentadbir Tanah Dan Daerah Sepang sedang dalam proses mendaftarkan hakmilik bagi 173 pemohon yang telah menjelaskan bayaran penuh mereka.

Hakmilik-hakmilik akan dikeluarkan dalam tempoh 1 hingga 3 bulan dari tarikh bayaran penuh tersebut.

Adalah diharapkan dengan pengeluaran hakmilik-hakmilik ini akan mendorong lebih ramai pemohon membuat bayaran dan seterusnya mendapat hakmilik.

BANTUAN KEPADA PENDUDUK PROJEK PERUMAHAN RAKYAT (PPR) KOTA DAMAMSARA DAN LEMBAH SUBANG



Projek CERIA atau Caring Government For Residents Improvement Aid telah terbukti memberi manafaat kepada rakyat.

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan hampir RM10 juta untuk membaikpulih rumah-rumah bertingkat dan diakui telah memberi sinar yang baru kepada rakyat yang tinggal di situ.

Di sini saya ingin menyentuh bantuan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada PPR Kota Damansara dan Lembah Subang.

Susulan lawatan Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor dan saya ke PPR Kota Damansara dan PPR Putra Damai, Lembah Subang pada 23 Oktober 2011, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi bantuan kewangan bagi membiayai:
a. Kerja-kerja pembaikan lif
b. Penggantian pam air yang telah rosak sejak sekian lama.

Untuk pembaikan lif, kontrak-kontrak berikut telah diberikan:
a. PPR Kota Damansara - RM973,393.00 untuk 12 lif.
- Tarikh mula kerja 9 Disember 2011 dan tarikh siap 8 Mac 2012.
b. PPR Putra Damai, Lembah Subang - RM1,936,257.00 untuk 17 lif.
- Tarikh mula kerja 9 Disember 2011 dan tarikh siap 7 Januari 2012 dan 8 April 2012.

JUMLAH UNTUK PEMBAIKAN LIF - RM2,909,650.00

Sementara untuk pembaikan pam air pula, kontrak-kontrak berikut telah diberikan :
a. PPR Kota Damansara - RM197,600.00 untuk 8 pam (semua pam baru)
- Tarikh mula 8 Februari 2012 dan tarikh siap 8 Mac 2012.
b. PPR Putra Damai, Lembah Subang - RM87,500.00 untuk 16 pam (termasuk 1 pam baru)
- Tarikh mula 8 Februari 2012 dan tarikh siap 8 Mac 2012.

JUMLAH UNTUK PEMBAIKAN PAM AIR – RM285,100.00
KOS KESELURUHAN – RM3,194,750.00

Status kerja-kerja pembaikan lif adalah seperti berikut:
a. PPR Kota Damansara
i. Blok A, B dan D - Kerja-kerja pemasangan peralatan mekanikal dan elektronik masih berjalan walaupun telah berlaku kecurian kabel di Bilik-Bilik Riser.
ii.      Blok C - Kerja-kerja pembaikan hampir siap dijalankan.

b. PPR Putra Damai, Lembah Subang.
i. Blok A, B dan C - Kerja-kerja utama telah siap dijalankan dan tinggal hanya kerja-kerja akhir sahaja.
ii. Blok D, E, F dan G - Menunggu beberapa peralatan yang ditempah tiba dari kilang.

Status kerja-kerja pembaikan pam air adalah seperti berikut:
a. PPR Kota Damansara
i. Blok A, B, C dan D - Kerja-kerja pemasangan pam baru sedang berjalan.

b. PPR Putra Damai, Lembah Subang
i.  Blok A, B, C, G dan H - Kerja-kerja telah disiapkan.
ii. Blok D, E dan F - Kerja-kerja telah disiapkan walaupun telah beberapa kali kabel dicuri di Blok F.

Kerajaan Negeri akan memastikan kerja-kerja pembaikan ini dapat disiapkan secepat mungkin.

Kerajaan Negeri telah membuktikan komitmennya dengan memberi bantuan kewangan untuk membiayai pembaikan-pembaikan ini, maka sudah tentu Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan rakyat tanpa pembelaan.

PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI



Di bawah Pakatan Rakyat sebanyak 13,066 dari 43,768 unit kediaman atau perniagaan projek terbengkalai atau 30 peratus telah ada jalan penyelesaian.

Dari jumlah itu sebanyak 9,179 atau 21 peratus telah siap sepenuhnya.

DESA SEROJA, KAJANG



Yang Berhormat Bangi telah membangkitkan permohonan tanah daripada penduduk Desa Seroja, Kajang. Permohonan ini telah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan telah ditangguhkan untuk semakan saya.

Semakan akan dibuat untuk menentukan bilangan lot yang termasuk di dalam rizab sungai dan bilangan lot yang disewa. Setelah semakan dibuat, saya akan melaporkan semula kepada MMKN untuk keputusan.

PENYELESAIAN PENEROKA BANDAR (SETINGGAN)



Kes Desa Seroja ini merupakan salah satu contoh penyelesaian masalah peneroka bandar melalui pemberimilikan tanah.

Sepanjang empat tahun pentadbiran Pakatan Rakyat, rekod penyelesaian penempatan peneroka-peneroka bandar adalah seperti berikut :
1.) Selesai - 659 keluarga.
2.) Dalam proses penyelesaian - 1,126 keluarga.
3.) Belum ada lagi kaedah penyelesaian - 1,771 keluarga.

Oleh itu, jumlah yang telah selesai dan telah ada penyelesaian adalah 1,785 keluarga.

10 PERATUS RUMAH MAMPU MILIK (RMM) NEGERI SELANGOR UNTUK IBU BAPA PESERTA TAWAS (TABUNG WARISAN ANAK SELANGOR)



10 peratus RMM akan diperuntukkan untuk ibu bapa peserta-peserta TAWAS.

Penjualan RMM adalah dikawal oleh Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

Pemaju-pemaju yang membina RMM tidak boleh menjual RMM kepada sesiapa sahaja tetapi nama-nama pembeli mestilah diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Peraturan yang sama digunapakai bagi penjualan Rumah Kos Rendah (RKR).

Tujuan peraturan ini adalah untuk memastikan hanya mereka yang layak dapat membeli RMM ini.

Sasaran utama program RMM adalah mereka yang berpendapatan di antara RM2,500 hingga RM5,000 dan tidak memiliki rumah sendiri.

Dengan peruntukan khas 10 peratus kepada ibu bapa peserta Tawas, maka ini bermakna golongan muda terutamanya ibu bapa muda akan mendapat peluang yang lebih untuk memiliki rumah mampu milik.

Ini bermakna jika pada satu projek itu terdapat 500 unit RKR maka 50 diperuntukkan untuk ibu bapa peserta TAWAS.

Peruntukan ini adalah satu usaha Kerajaan Negeri untuk memberi nilai tambah kepada program Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES.

Artikel di atas ialah ucapan penggulungan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad pada persidangan Dewan Negeri Selangor, 27 Mac.

Lynas: Beza dengan Bukit Merah tapi musibah sama

Anis Nazri, 27 Mac 2012
Bahagian 1

KUALA LUMPUR, 27 Mac:
Pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, dibimbangi mengulangi tragedi Bukit Merah, Ipoh yang menyaksikan kesihatan penduduk sekitar terjejas.

Biarpun kerajaan memberi jaminan projek berkenaan akan diselia dengan ketat, apa yang berlaku di Bukit Merah tidak mungkin boleh diterima kumpulan anti-Lynas.

Mengimbau kembali projek Asian Rare Earth Sdn Bhd (ARE) yang dibuka pada 1982, penduduk di sekitar Bukit Merah mula mengadu apabila kilang berkenaan mula mengeluarkan asap dan bau busuk.

Kesihatan penduduk mula terjejas, bukan sahaja mengakibatkan batuk dan selsema semata-mata, malah didakwa menyebabkan leukimia, kecacatan ke atas bayi baru lahir dan juga keracunan kepada genetik.

Tragedi itu bermula apabila bahan sisa hasil dari proses penapisan nadir bumi dari kilang itu dibuang di padang terbuka dan kolam berhampiran.

Perkara tersebut diakui Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar ketika itu, Datuk Amar Stephen Yong, yang mengatakan projek tersebut selamat dengan mematuhi standard kawalan yang ketat.

Malangnya, dalam masa sama beliau juga mengakui kilang terbabit turut mengundang pencemaran terhadap penduduk dan persekitaran.

Natijahnya, lapan mangsa disahkan mengidap leukimia dan tujuh darinya meninggal dunia kesan langsung dari pencemaran yang terhasil dari projek berkenaan.

Atas alasan itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) menyuarakan kebimbangan atas tindakan kerajaan meluluskan pembinaan kilang LAMP di, Gebeng, berdekatan Kuantan.

Beliau yang berpengalaman 12 tahun di bidang toksikologi, berkata sejarah di Bukit Merah yang menyaksikan kegagalan ARE mematuhi standard piawai dalam pengurusan sisa merupakan satu alasan penting kebimbangan banyak pihak terhadap projek LAMP.

"Sedangkan di Bukit Merah dulu, menteri memberi jaminan bahawa pengurusan sisa akan diuruskan secara kawalan ketat, ia tetap tidak diendahkan pihak kilang terbabit.  Apa jaminan di Lynas, tragedi sama tidak akan berulang?" soal beliau ketika diwawancara Harakahdaily.

Malah, katanya selepas Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan injuksi untuk menghentikan operasi ARE di Bukit Merah, kerajaan Malaysia melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) bertindak meluluskan lesen kepada kilang tersebut untuk terus beroperasi.

Biarpun projek nadir bumi di Bukit Merah mempunyai banyak bezanya dengan Lynas di Gebeng, dari sudut kemudaratannya ia tetap mengundang musibah yang sama, hasil radioaktif yang dihasilkan.

Ekonomi: Pengalaman Anwar lebihi Pak Lah, Najib

Muhammad Faizal, 27 Mac 2012
SHAH ALAM, 27 Mac: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) memberitahu pengalaman dalam ekonomi yang dimiliki oleh Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang lima tahun memegang jawatan Menteri Kewangan lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya lagi, sepanjang tempoh tersebut ekonomi Malaysia telah menunjukkan angka yang positif serta tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa termasuk pemimpin Barisan Nasional.

"Sewaktu Anwar memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah kadar positif dan jelas angka-angka ini tidak boleh dipertikaikan.

"Malah apa yang dilakukan oleh Anwar lebih baik dari sewaktu Abdullah dan Najib memegang jawatan Menteri Kewangan," jelasnya sewaktu sesi penggulungan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Khalid menjawab persoalan itu yang ditimbulkan oleh Adun Seri Serdang, Datuk Mohamed Satim Diman sebelum ini berhubung perlantikan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

"Sebab itu bila Adun Seri Serdang mempersoalkan tentang bagaimana kriteria yang digunakan oleh kerajaan dalam lantikan tersebut, kita tekankan terhadap pengalaman yang Saudara Anwar miliki.

"Jika Adun Seri Serdang mempunyai pengalaman seperti Anwar yang dapat menunjukkan pencapaian ekonomi negara secara positif selama lima tahun secara konsisten sudah pasti saya akan memilih beliau sebagai penasihat ekonomi," sambungnya lagi.

Tambah beliau lagi, untuk dipilih sebagai penasihat ekonomi, kerajaan negeri meneliti kepada pengalaman yang dimiliki oleh individu terbabit bukannya dipilih mengikut budi bicara.

"Anwar dipilih berdasarkan kepada pengalamannya dalam soal ekonomi serta kecermelangannya dan beliau telah berusaha bersama-sama memastikan pengurusan negeri Selangor ini dari segi ekonomi dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya.

"Dan memberi kita contoh kepada rakyat bahawa Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah dapat mengurus negeri dengan penuh cemerlang, malah rancangannya bukan untuk hari ini sahaja tetapi untuk masa depan," jelasnya.

Khalid berkata, walaupun dalam masa yang singkat Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor tetapi dari segi ekonomi, dalam masa yang singkat dapat membuktikan bahawa negeri ini lebih baik daripada apa yang dibuat oleh Umno Barisan Nasional sebelum ini.

"Ini menunjukkan bagaimana kita urus tadbir ekonomi negeri dengan pemilihan penasihat ekonomi berasaskan pengalamannya, Selangor menjadi yang terbaik dari segi pentadbiran dan ekonomi serta kebajikan untuk rakyat," beritahu beliau lagi.

Mungkir janji, Pewaris batal serah memo Ketengah

Harakahdaily, 27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: Badan Bertindak Pewaris Bumi Malaysia (Waris) hari ini membatalkan hasrat mereka untuk menyerahkan memorandum kepada pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Ianya ekoran pihak Ketengah didakwa mungkir janji apabila tidak membenarkan kumpulan 30 orang dari mereka masuk ke Ibu Pejabat Ketengah di Bandar al-Muktafi Billah Shah di Dungun siang tadi untuk mengadakan perbincangan dan menyerahkan memorandum.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) yang turut serta dalam rombongan itu berkata, Waris sebelum ini mahu membawa 1,000 ahlinya namun akur dengan permintaan Ketengah yang mahu sedikit sahaja yang datang.

"Kami hormati permintaan pihak Ketengah. Tapi hari ini mereka benarkan lima orang sahaja masuk, 25 lagi disuruh tunggu luar pagar.

"Kami kecewa dengan sikap tidak profesional Ketengah. Jadi kami buat keputusan tidak jadi serah memorandum," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Memorandum yang sepatutnya diserahkan itu mengandungi 12 tuntutan, antaranya menuntut Ketengah menyelesaikan isu hutang perumahan rakyat, lot rumah generasi kedua, peluang pekerjaan dan memperkasakan fungsi anak-anak syarikatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan