Isnin, 19 Mac 2012

MAKANAN HALAL...'GOOD' LAH...BAGAIMANA TENTANG UNDANG2...TAK NAK YANG HALAL...UNDANG2 HUDUD JUGA HALAL....TAK NAK AMBIK BERAT KE...

Tanah sisa nadir bumi untuk PM, menteri

Harakahdaily, 18 Mac 2012
IPOH, 18 Mac: Gabungan aktivis anti-Lynas, Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas (SMSL) bercadang menghadiahkan contoh tanah tempat pembungan sisa pepejal nadir bumi di Bukit Merah untuk disimpan anggota kabinet termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusinya Tan Bun Teat berkata, tindakan itu bagi melihat adakah pihak kerajaan, sedia menerima sisa radioaktif itu yang didakwa mereka sebagai selamat dan tidak merbahaya sehingga meluluskan pembinaan loji nadir bumi The Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang.

"EALB (Lembaga Perlesenan Atom & Nuklear Malaysia) dan menteri-menteri kabinet kata sisa buangan radioaktif itu tidak merbahaya sampai dia kata 'kosong ancaman'. Kita nak tahu sama ada mereka akan mengotakan kata-kata mereka.

"Kita akan bawa balik sedikit sisa nadir bumi ini, dan kita cabar mereka untuk simpan dirumah mereka. Mereka jangn cakap tak serupa bikin," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan sehari ke Perak semalam bagi meninjau bekas tapak loji sisa nadir bumi di Kampung Bukit Merah yang telah ditutup pada 1992, di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, tanah tersebut terlebih dahulu akan dijadikan baja untuk pokok bunga seperti cadangan EALB  sebelum pasu bunga itu diserahkan.

Ketika mengambil sampel tanah tersebut, beliau mendapati biarpun sudah lebih 20 tahun ditinggalkan, kadar radiasi tanah tersebut masih melepasi paras bahaya.

Terdahulu hampir 50 orang rombongan SMSL dari Kuantan datang ke sini mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru Bukit Merah di sini bagi mendapatkan maklumbalas berhubung kesan loji nadir bumi yang pernah beroperasi di sini.

Dalam pertemuan yang diadakan di Dewan Pusat Rukun Tetangga kawasan Bukit Merah itu, satu jawatankuasa penduduk dibentuk sebagai menyokong tindakan SMSL membantah Lynas di Pahang.

Tukar kerajaan penyelesaian terbaik

Sementara itu, Naib Pengerusi SMSL Ismail Abu Bakar berkata, langkah terakhir bagi menyelesaikan isu Lynas ini adalah dengan menukar kerajaan.

Katanya, kerajaan yang tidak mahu mendengar suara rakyat dan mahu menggadai keselamatan rakyat harus ditolak dan diganti kerajaan yang lebih bertanggungjawab.

"Apa yang kita dah buat jika tak berjaya, akhirnya kita terpaksa balik kepada rakyat.

"Kita akan mintak rakyat tukar kerajaan sebab Pakatan Rakyat sudah janji akan tutup Lynas jika menguasai kerajaan persekutuan," katanya.

Kes Scorpean akan dibicara di mahkamah Perancis

Harakahdaily, 17 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 17 Mac: Kes pembelian kapal selam Scorpean akan dibicarakan di mahkamah terbuka Perancis tidak lama lagi.

Menurut pembawa kes itu, Suaram - sebuah pertubuhan hak asasi Malaysia, selepas tiga tahun diselidik akhirnya kes itu akan dibicarakan.

Tiga tahun lepas, Suaram meminta mahkamah Perancis mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pembinaan kapal selam Perancis, DCNS ekoran dakwaan rasuah.

Suaram mendakwa, pembeli kapal selam dari syarikat ini iaitu kerajaan Malaysia telah memberikan rasuah ketika pembelian kapal ini.

Pembelian ini dibuat melalui Perimekar, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Abdul Razak Baginda, penasihat strategik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Maklumat lanjut akan diberikan dalam sidang media esok," kata Pengarah Eksekutif Suaram, Nalini Elumalai.

Para peguam Perancis yang dilantik Suaram sudah beberapa kali datang ke Malaysia untuk membuat kajian berikutan kes ini.

Yang terakhir, pada 22 Julai tahun lepas, salah seorang dari mereka hanya sempat berucap di Pulau Pinang sahaja tetapi dihantar pulang oleh Kuala Lumpur.

Wiliam Bourdon (gambar ), dihantar pulang ke negara asalnya selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh pegawai imigresen tengahari tadi.

Beliau sepatutnya hadir  untuk berucap dalam majlis makan malam anjuran Suara Rakyat Malaysia di Petaling Jaya pada 22 Julai 2011, bagi mendedahkan skandal pembelian kapal selam Scorpene melibatkan komisen RM540 juta.

Bourdon sebelum itu berada di Bayan Baru, Pulau Pinang  bagi membongkarkan kes berprofil tinggi itu kepada umum, sebelum berlepas ke KLIA pagi 22 Julai itu.

Namun beliau bersama isterinya ditahan oleh Pegawai imigresen di dalam pesawat yang dinaikinya sebaik sahaja  mendarat di KLIA.

Peguam itu ditahan lebih lima jam di pusat tanahan imigresen KLIA tanpa dibenarkan mendapatkan akses peguam, serta diarahkan untuk pulang semula ke negaranya.

Pinda Perlembagaan elak OKU didiskriminasi

Anis Nazri, 17 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 17 Mac: Kerajaan dituntut untuk membuat pindaan Perlembagaan Malaysia bagi memastikan golongan kurang upaya (OKU) tidak berdepan dengan masalah diskriminasi.

Pindaan Perkara 6 membabitkan kesamarataan dan Perkara 12 membabitkan pendidikan, perlu memasukkan perkataan golongan OKU bagi memastikan mereka mendapat hak sebagai seorang warganegara Malaysia yang lain.

Tuntutan itu disuarakan kumpulan tersebut ketika majlis penyerahan memorandum kepada Suhakam, di Auditorium Raja Aziz Addruse, Majlis Peguam, petang tadi.

Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Mohammed Nazari Othman, berkata kedua-dua perkara tersebut menyentuh soal kesamarataan hak dan mendapatkan pendidikan tanpa mengira bangsa, agama, dan kaum.

"Kita minta kerajaan agar memindanya dengan menambah 'tanpa mengira OKU' bagi memastikan hak golongan tersebut terjamin sebagai rakyat Malaysia dan tidak didiskriminasikan," tegas beliau di hadapan kira-kira 80 hadirin.

Ini kerana, kata Nazari, ramai di kalangan OKU tidak dapat menjalankan kehidupan mereka seperti rakyat Malaysia yang mampu, khususnya di bidang pendidikan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar satu pindaan berkaitan pilihan raya patut dilakukan bagi memastikan golongan OKU berpeluang terbabit dalam pengundian ketika pilihan raya.

Katanya, pihaknya juga pernah mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkaitan penambahbaikan pilihan raya (PSC) bagi memastikan golongan OKU, khususnya cacat penglihatan diberikan hak untuk membawa sesiapa sahaja yang dipercayainya untuk mengiringinya ketika mengundi.

"Dalam pertemuan dengan PSC pada 11 Nov tahun lalu, kita mencadangkan PSC mengajukan cadangan tersebut kepada SPR kerana kita juga mempunyai hak untuk memilih pemimpin negara.  Kita harapkan perkara itu mendapat perhatian mereka," tegas beliau sambil mengharapkan isu berkaitan OKU ini dapat diselesaikan kedua-dua kerajaan, sama ada BN di peringkat kerajaan pusat dan Pakatan Rakyat di peringkat kerajaan negeri.

Pada majlis anjuran Kumpulan Kerja OKU, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam itu, turut berucap Pengarah Eksekutif Beautiful Gate Foundation fer the Disabled; Guru Persatuan orang Pekak Kuala Lumpur, Lee Tur chung; Pensyarah Fakulti Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Tiun Ling Ta; dan Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hasnah Toran.

Penyerahan memorandum berkenaan diterima Pesuruhjaya Suhakam, Profesor Datuk Dr. Khaw Lake Tee.

Wajibkan label ‘makanan tidak halal’ lebih perlu

Harakahdaily, 17 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 17 Mac: Rakyat Malaysia beragama Islam memerlukan penyelesaian yang lebih komprehensif melibatkan isu makanan halal.
“Untuk itu, undang-undang perlu digubal bagi mewajibkan pengusaha bukan Islam meletakkan label ‘makanan tidak halal’ bagi mana-mana makanan yang dijual di pasaran terbuka,” kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

Menurutnya, undang-undang itu membolehkan tindakan undang-undang diambil kepada pengusaha sekiranya terbukti memasukkan bahan-bahan tidak halal tanpa dibuat sebarang perisytiharan.

“Undang-undang ini lebih sesuai dengan realiti Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah muslim, bukan sebaliknya iaitu rakyat muslim adalah minoriti,” ujarnya.

Beliau menambah, pengguna Muslim akan terasa lebih terjamin bahawa makanan di pasaran terbuka adalah halal selagi tidak ada tanda atau ‘label tidak halal’.

Apatah lagi, ujarnya dalam realiti Malaysia yang kebanyakan pengilang makanan adalah di kalangan bukan Muslim.

Katanya, peraturan meletakkan tanda halal yang sedia ada sekarang masih belum cukup untuk menghilangkan kebimbangan Muslim bahawa makanan di pasaran terbuka adalah halal terutama melibatkan makanan ringan yang diminati oleh anak-anak kecil.

Malah, tambahnya makanan yang dilabelkan ‘Halal’ pun masih membuka ruang dipalsukan hingga menimbulkan was-was di kalangan pengguna Muslim.

Dalam kaedah Islam, jelasnya asal pada makanan ialah halal selagi tidak terbukti ada padanya unsur tidak halal.

Katanya, kaedah ‘asal makanan adalah halal’ menggambarkan keluasan hukum Islam.

Jelasnya, kaedah itu dipetik menerusi firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 29 yang bermaksud: “Dialah yang menciptakan untuk apa yang ada di bumi ini semuanya”.

Menurutnya, makanan yang tidak dilabelkan dengan status halal tidak bererti haram.

Oleh itu, katanya peraturan yang lebih diperlukan ialah mewajibkan label ‘tidak halal’ pada makanan yang ada unsur tidak halal, bukan sebaliknya iaitu meletakkan label ‘halal’ pada makanan halal sebagai jaminan ia adalah makanan halal.


Saya ditahan dalam keadaan lapar dan dahaga

Mazlan Aliman, 12 Mac 2012
Tindakan Kerajaan BN Sabah yang didalangi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menghalang saya masuk ke Sabah sebagai angkuh, bongkak dan bacul.

Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 65(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang ditandatangani oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sabah, Addy Rizal bin Jamlidi telah mencabul hak asasi saya sebagai warganegara Malaysia.

Berkali-kali saya mempersoalkan kenapa saya di tahan dan tidak di benarkan masuk ke Sabah?

Apa kesalahan saya; apa jenayah yang saya lakukan? Mereka mengatakan tiada alasan dan sebab melainkan arahan Pihak Berkuasa Negeri!

Saya dikawal ketat, dalam keadaan lapar; bukan sahaja tidak diberi makan; segelas air pun tiada!

Saya telah membuat laporan Polis di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan di hantar balik melalui penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur sekitar jam 11 malam tadi.

Hampir dua tahun yang lalu, regim Taib Mahmod juga telah memperalatkan Imigresen untuk menghalang saya masuk ke Sarawak.

Saya berkeyakinan ini semua berpunca dari kebimbangan dan ketakutan regim Musa Aman dan Taib Mahmod dari kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman Kerajaan BN.

Isu rampasan tanah Adat atau NCR berleluasa dan sangat kritikal. Kuasa Ketua Menteri sangat besar; sewenang-wenangnya tanah yang di duduki dan di usahakan penduduk puluhan tahun di rampas. Kononnya penduduk menceroboh kawasan hutan simpan dan tadahan air.

Ada rumah penduduk yang dibakar, kebun di sodok oleh jentolak, tanaman musnah dicincang lumat oleh anggota penguatkuasa kerajaan negeri seperti Jabatan Hutan dll.

Peliknya; kawasan yang dirampas di beri pula kepada syarikat-syarikat kroni atas nama pembangunan. Rakyat menderita dan hilang pergantungan.

Hatta; menuntut hak di Mahkamah pun di tangkap, dipukul dan di penjarakan seperti yang berlaku di Pensiangan.

Saya mengetuai Lajnah(Biro) Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat bersama rakan-rakan berulang alik ke Sabah Sarawak secara konsisten bertahun lamanya. Turun ke kawasan Pedalaman dan menyaksikan penderitaan rakyat.

Kemiskinan tegar, kemunduran melampau, sangat kurangnya kemudahan asas dan tersiksanya rakyat akibat cengkaman regim BN yang menindas rakyat. 20 tahun ke belakang jika dibandingkan Semenanjung.
Bahkan jika di ukur dengan negeri Kelantan pun seperti langit dengan bumi!
Kelantan jauh lebih maju dan membangun daripada Sabah dan Sarawak.

Saya bawa wakil penduduk ke Parlimen bertemu menteri dan pimpinan BN dan Pakatan Rakyat. Kita iringi mereka membuat aduan di Suhakam. Suhakam mengakui isu tanah Sabah dan Sarawak begitu kritikal dan political will pimpinan BN untuk menyelesaikannya sangat menyedihkan. Laporan Polis, serahan memorandum, bawa kes ke Mahkamah dan apa ruang telah kami lakukan.

Himpunan 123

Pagi ini Himpunan 123 Bangkit di adakan di perkarangan Pejabat Ketua Menteri. Ratusan rakyat yang datang dari Tawau, Keningau, Pensiangan, Kudat, Lahad Datu, Sandakan, Sepanggar dll dengan Bas sewa khas serta pengangkutan awam dilayan begitu buruk oleh Musa Aman.

Harapan tinggi rakyat yang sengsara kerana tanah mereka di dirampas untuk mengiringi pimpinan Ngo dan pimpinan etnik kaum menyerah memorandum di anggap remeh Kerajaan BN.

Adakah wajar pegawai rendah di tugaskan menerima memorandum hanya di 'tepi jalan' Wisma Negeri?
Mana pergi Musa Aman atau sekurang2nya Menteri Kanan Sabah? Hina sungguh rakyat jelata diperlaku Kerajaan BN!
Apa salahnya di bawa masuk wakil2 NGO dan penduduk sekurang-kurangnya di ruang tamu Wisma Negeri?
Apa salahnya Kerajaan Negeri mendengar dulu isi hati dan derita rakyat?

Ada penduduk menempuh perjalanan selama 12 jam; hanya mampu makan nasi bungkus sepanjang perjalanan, tayar kereta pancit di tengah jalan dan macam-macam kesukaran yang di alami untuk sampai ke Pejabat Ketua Menteri. Begini kesudahan layanan Musa Aman. Mana slogan ' Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan?

Perjuangan rakyat akan di teruskan. Seperti slogan penduduk Sabah; 'Tanah adalah nyawa kami, tanah adalah kehidupan kami.'

Kami tidak akan putus harapan dan patah semangat. Regim Musa Aman wajib ditumbangkan!
-------------------------------------------
Penulis, AJK PAS Pusat,  telah dihalang memasuki Sabah malam tadi. Beliau ditahan dan dihantar balik kemudiannya ke Semenanjung.

LAPORAN BERKAITAN

Mazlan Aliman ditahan, dihalang masuk Sabah

Berita suami Shahrizat, Nik Aziz terhangat

Harakahdaily, 18 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 18 Mac: Berita suami menteri Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail didakwa di mahkamah sesyen atas dakwaan pecah amanah dan melanggar Akta Syarikat melibatkan wang bernilai RM49 juta adalah artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-11.


Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp) itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibaca kepada beliau dan telah dijamin anaknya dengan jaminan RM500 ribu.

Pada tangga kedua ialah berita mengenai sanjungan yang diberikan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat oleh Ketua Pegawai Operasi Kelantan Trade Cantre (KTC) Aziz Desa. Beliau menyifatkan Menteri Besar Kelantan itu adalah produk istimewa di negeri itu.

Berita pembunuhan kejam dan tragis adik Nurul Nadirah dan ucapan takziah daripada Dewan Pemuda PAS pula menduduki tangga ketiga.

Di tangga keempat ialah bidasan blogger Cenangau terhadap alasan yang diberikan Suruhanjaya Pilihanraya dalam menukar kawasan mengundi Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tanpa memberitahu Khalid.

“Kali ni SPR bagi penjelasan yang lebih nak bagi orang penin, konon nak bagi nampak akademik kut.

Kononnya pembetulan sempadan tu pasai nak bagi selaran dengan peta rasmi negara. Kalau ada yang tanya aku, akan lancang mulut aku jawap selaras kepala hotak depa,” bidas Cenangau dalam tulisannya.

Di tangga kelima pula ialah laporan mengenai bekas jaguh bina badan Asia, Datuk Malek Noor di mana beliau menyatakan sekiranya kerajaan ingin melaksanakan hukuman hudud beliau adalah orang pertama yang akan menyokongnya.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 11 hingga 17 Mac, 2012.

1
Suami Shahrizat didakwa pecah amanah
2
Nik Aziz produk istimewa Kelantan - Aziz Desa
3
Kejam: Mengapa Nurul Nadirah jadi korban?
4
Alasan pembetulan sempadan pilihanraya kepala hotak depa
5
Kalau laksana hudud, saya pertama sokong - Malek Nor
6
Anak & ibu, gambar yang menyentuh perasaan
7
Kenapa media Umno serang saya - Kadir
8
Tips Nik Aziz untuk dapat zuriat yang baik
9
Maki wartawan: Adnan gali kubur sendiri
10
Saya ditahan dalam keadaan lapar dan dahaga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan