Khamis, 22 Mac 2012

BILA KITA JUGA BERMASALAH MUNGKIN LEBIH DAHSYAT LAGI...BILA TUJUAN MEMBANTU ORANG MENUNAIKAN RUKUN ISLAM KE 5...AKHIRNYA JADI AGENSI PERNIAGAAN JUGA...BILA SALAH LABUR...BANGKRAP SAPE YANG TANGGUNG DAN TERJEJAS...LAH NI KOMESIN TINGGI2...ADAKAH IA TELUS

Macamana Najib nak hadapi ketua-ketua puak di Kedah?

http://kedahla.blogspot.com, 22 Mac 2012



Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Panas politik PAS Kedah tiba-tiba diredakan dengan tindakan mengejut bekas pemimpin veteran Umno yang juga bekas menteri cabinet Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengumumkan keluar dari Umno. Meskipun tindakan Kadir itu tiada kena mengena dengan PAS atau Pakatan Rakyat tetapi ia tetap berita yang menggembirakan kerana ia menggambarkan kepincangan dalam UMNO.

Kadir bukan calang-calang orang dalam Umno, selama 56 tahun (sejak 1956) memegang jawatan dalam parti sehingga sebelum isytihar keluar parti. Mungkin hanya boleh dibilang dengan jari, pemimpin Umno yang mampu bertahan dengan jawatan dalam Umno selama itu. Beliau pernah menjadi exco Pemuda Umno selama 10 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi Umno selama 24 tahun di samping jawatan-jawatan lain seperti Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah dan sebagainya.

Beliau juga menjadi Ahli Pentadbiran Kerajaan Malaysia sekitar 30 tahun, selaku Setiausaha Politik, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri. Antara kementerian yang pernah diterajuinya termasuk Penerangan dan Pelancongan.

Beliau kini adalah timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) dan sering mengeluarkan kenyataan yang membidas Umno, termasuk dakwaan BN membeli undi dan tiadak kebebasan bersuara dalam parti itu. 17 Mac lalu, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Lembaga Disiplin Umno sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung dakwaan Abdul Kadir berkenaan dan akan bertindak ke atasnya.

Belum pun tindakan diambil dia terlebih dahulu keluar. Berbeza dengan Dato’ Dr. Hassan Ali yang keluar PAS kerana dipecat. Lazimnya orang yang dipecat lebih hilang maruah dan wibawanya berbanding orang yang tahu mencari pintu keluar sendiri. Itulah kelebihan Kadir.

Dalam PRU12 lalu beliau memilih untuk mengundur dari dari bertanding secara sukarela. Itupun tindakan berwibawa juga berbanding jika dia digugurkan sebagai calon. Hakikatnya apabila beliau sudah bersara secara sukarela dari politik Pusat dan kerajaan, maka kritikannya terhadap Umno, BN dan kerajaan bukan kerana tiada tempat lagi dalam politik atau kerana mahu menyebelahi pembangkang sebaliknya segala kritikan terhadap Umno dan BN lahir dari keikhlasan hatinya yang menyaksikan sendiri kepincangan dalam parti rasuah itu selama hampir 6 dekad.

Jika Dr. Hassan Ali ada JATI, maka Kadir ada AMANAH. Jika Kadir memilih untuk tidak duduk berehat di rumah di waktu bersaranya ini, maka segala maklumat dalaman Umno darinya tentulah dinanti-nantikan oleh rakyat untuk melihat dia beraksi di pentas ceramah. Ceramahnya pasti akan menghimpun ribuan manusia, lebih mendapat sambutan berbanding ceramah Hassan Ali, Ibrahim Ali dan Umi Hafilda Ali. Inilah yang sangat dirisaukan oleh Umno menjelang hampirnya pilihanraya.

Datuk Seri Najib Razak dan BN pasti tidak akan membiarkan hal ini terjadi. Mereka akan menggunakan apa saja cara supaya Kadir tidak bebas bersuara. Tawaran dan ugutan adalah strategi yang lumrah digunakan oleh BN, hatta ke peringkat menggunakan perkakas kerajaan sekalipun. Kadir anak Kedah. Elok juga dia mengkucarkacirkan Umno di Kedah di saat PAS belum kebah sepenuhnya dari demam.

Minggu lalu ada mesyuarat Perhubungan PAS Kedah. Kononnya ada desakan supaya Pesuruhjaya Ustaz Azizan Razak menukarkan Timbalan Pesuruhjaya 1 dan 2 yang disandang oleh Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr. Ismail Salleh. Itu hanya andaian kerana tiada siapa tahu apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tertutup melainkan mereka yang layak hadir. Yang pentingnya ialah apabila Pesuruhjaya mengumumkan selepas mesyuarat tersebut bahawa tiada rombakan untuk kedua-dua jawatan timbalan pesuruhjaya. Pesuruhjaya tidak perlu mempunyai jiwa yang terlalu besar untuk membuat keputusan tersebut kerana itu kehendak PAS Pusat yang mahu semua pihak yang dianggap berkonflik berada dalam satu saf yang mantap menjelang pilihanraya. Tindakan yang diambil oleh Ustaz Azizan dan kesediaan dua timbalannya untuk terus bersama memimpin PAS Kedah mempunyai impak positif yang sangat besar terhadap PAS di seluruh negara. Imej yang bukan sedikit tercalar tempohari kembali bersinar.

Tugas penting PAS Kedah sekarang ialah menggerakkan semula jentera pilihanraya dengan kekuatan berganda setelah tergendala hampir sebulan. Sepanjang tempoh PAS alami ribut dalam cawan, BN Kedah tidaklah sekuat mana mengumpul kekuatan. Tiada manfaat yang mereka dapati dari ‘konflik’ PAS kerana jika PAS berkonflik di pucuk dan dahan maka BN khususnya Umno berkonflik hingga ke akar umbi.

Tiga bulan menjelang pilihanraya yang dijangkakan adalah tempoh yang kritikal bagi Umno kerana sekaranglah masa kemuncak untuk melobi jadi calon. Selagi Pengerusi Perhubungan Umno tidak mengumumkan calon yang sahkan oleh Presiden parti maka selama itulah ruang dan peluang masih sama rata. Sesiapa saja yang mahu menjadi calon Umno dalam sesuatu kawasan (DUN atau Parlimen) mestilah mempunyai kekuatan sokongan hingga ke akar umbi dalam parti. Sokongan tidak boleh diraih percuma melainkan mesti dibeli. Itu budaya baru dalam Umno kini.

Setiap bakal calon Umno mempunyai rangkaian penyokong Umno masing-masing. Hampir tidak ada kawasan di Kedah, dimana seorang calon payung terjun selesa untuk turun bertanding sekalipun dengan restu Presiden parti.
Contohnya Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang diura-urakan akan bertanding di kampung halamannya di kawasan parlimen Pokok Sena sudah siap disediakan pagar halangan oleh orang penting Umno Bahagian Pokok Sena. Ia bukan rahsia lagi. Datuk Latt Shariman (pegawai khas Perdana Menteri) yang sudah tiga tahun memugar kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) yang empat tahun memancing rakyat Jerai juga masih tidak selesa untuk menjadi calon BN. Masih ada tembok hadangan dari ‘orang asal’ bahagian. Itu cerita nama-nama besar Umno, pun sudah bermasalah. Nama-nama biasa dan kecil apatah lagi, lebih sukar untuk menempatkan diri dengan selesa sebagai calon yang mendapat sokongan padu dari semua pihak macam Umno/BN di zaman Dr. Mahathir dahulu.

Semua ketua-ketua puak yang tersenarai sebagai bakal calon ini tidak akan duduk diam jika tidak terpilih sebagai calon. Pilihan yang ada bagi Umno untuk menyelesaikan masalah puak ini ialah memenuhi tuntutan alternatif ketua puak mereka setelah tidak terpilih sebagai calon. Percayalah untuk PRU13 ini Umno terpaksa menggunakan berguni-guni duit bagi mendapat kerjasama dari ketua-ketua puak dalam Umno. Duit negara boleh habis untuk membela ketua puak dalam Umno tetapi sokongan terhadap BN belum tentu diperolehi. Itu masalah besar Umno.

Sekarang Najib sedang menjelajah ke seluruh negara untuk menabur duit membeli undi. Bermula dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia bernilai RM500 yang dihulurkan 54 tahun sekali, kini setiap pertemuan Najib dengan mana-mana komuniti umpannya ialah peruntukan yang bernilai berjuta-juta. Peruntukan itu duit rakyat, kempen politik BN pun semuanya dibiayai oleh duit rakyat. Apa yang disebutkan oleh Tan Sri Kadir perihal Umno yang membeli kuasa dengan wang adalah benar. Negara boleh bangkrap angkara pemimpin yang semakin hilang kewarasan menggunakan duit dari tabung khazanah negara untuk mengekalkan kekuasaan.

‘Jumpa penduduk Kuantan dulu sebelum jumpa saya’

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, adalah lebih penting berjumpa dengan penduduk Kuantan sebelum bertemu dengan beliau.
Ini, kerana katanya para penduduk di Kuantan yang akan terjejas dan oleh itu menjadi pihak yang mempunyai kepentingan langsung yang perlu pihak Lynas berjumpa dengan mereka.

“Saya tidak tahu bagaimana perjumpaan dengan Ketua Menteir Pulau Pinang dan bukan penduduk-penduduk yang terjejas boleh menjadi relevan atau penting dalam kontroversi ini,” ujarnya di dalam surat terbuka kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Nick Cutris yang beralamat Level 7, 56 Pitt Street Sydney, NSW 2000, hari ini.

Berikut adalah kandungan surat tersebut yang bertajuk ‘Perjumpaan Dengan Ketua Menteri Pulau Pinang’.

Terima kasih atas jemputan anda untuk bertemu dan membincangkan Loji Bahan-Bahan Maju Lynas di Gebeng, Pahang, yang telah dilanjutkan bagi pihak anda oleh Cik Jacey Lee daripada Ogilvy Public Relationship Worldwide melalui emel pada 5 Mac 2012.

Saya telah memberi maklumbalas melalui media pada 6 Mac 2012, di mana saya telah menyatakan keputusan untuk tidak menerima jemputan anda demi kepentingan penduduk-penduduk Kuantan yang terjejas serta kebimbangan kesihatan dan keselamatan mereka akibat operasi syarikat anda dalam pemprosesan nadir bumi. Kebimbangan penduduk-penduduk mengenai sisa radioaktif atau kesan-kesan daripada loji pemprosesan belum lagi ditangani.

Sebelum bertemu dengan saya, adalah lebih penting jika pihak anda melibatkan penduduk-penduduk Kuantan, kerana merekalah yang akan terjejas dan oleh itu menjadi pihak yang mempunyai kepentingan langsung. Saya tidak tahu bagaimana perjumpaan dengan Ketua Menteir Pulau Pinang dan bukan penduduk-penduduk yang terjejas boleh menjadi relevan atau penting dalam kontroversi ini.

Kedua, penduduk-penduduk Kuantan tidak dapat memahami bagaimana, walaupun pelbagai kebimbangan alam sekitar telah diutarakan, Kerajaan Malaysia boleh memberi pengecualian cukai kepada syarikat anda selama 12 tahun. Tambahan pula isu-isu mengenai tempat simpanan bahan-bahan sisa radioaktif belum lagi diselesaikan.

Sampai hari ini, kita belum lagi diberi kata putus sama ada sisa itu akan disimpan di kawasan tempatan atau dikembalikan kepada Australia. Sepatutnya, daripada mendapat pengecualian cukai atas keuntungan yang diperolehi, Lynas seharusnya membayar cukai yang lebih tinggi atas kepentingan alam sekitar.

Sungguhpun begitu, ia harus ditegaskan bahawa tiada jumlah wang yang boleh menggantikan kesihatan kita dan anak-anak kita. Untuk sebab itu, kegagalan untuk berunding dengan pihak awam sebelum pembinaan loji dan langkah-langkah terdesak Kerajaan Malaysia untuk menutup kebimbangan awam tentang isu-isu keselamatan dan kesihatan adalah amat menyedihkan. Tidak ada seorang pun yang percaya bahawa Lynas akan menghentikan pemprosesan nadir bumi apabila mereka sudah belanja sebanyak RM700 juta untuk pembinaan loji.

Saya percaya bahawa soalan-soalan di atas harus dijawab terdahulu sebelum apa-apa perbincangan boleh diadakan. Lebih penting sekali, anda harus menjawab secara langsung kepada penduduk-penduduk yang terjejas. Sebagai seorang warga Australia, sudah tentu anda akan menghargai bahawa proses rundingan umum itu adalah sebahagian daripada demokrasi. Dalam semangat itu, Lynas harus mengumumkan bahawa mereka tidak akan meneruskan loji itu sekiranya mereka tidak dapat memuaskan kebimbangan teknikal dan juga keraguan penduduk-penduduk yang terjejas.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Lim Guan Eng,
Ketua Menteri Pulau Pinang.

Adakah Tabung Haji akan jual ladang sawit di Riau?

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Adakah Tabung Haji akan menjual ladang kelapa sawitnya seluas 83,000 hektar di Riau, Indonesia dengan harga USD900 juta kepada PT Borneo?

Persoalan tersebut ditimbulkan penulis Mohd Sayuti Omar di dalam blognya, Merah Tinta, http://www.msomelayu.blogspot.com/ malam tadi.


Menurutnya, beliau baru menerima emel sekejap tadi dari seorang penjengok yang memberi tahu Tabung Haji telah bersetuju menjual asetnya iaini ladang kelapa sawit seluas 83,000 hektar di Riau, Indonesia dengan harga USD900 juta kepada PT Borneo.

Penjengok itu meminta mana-mana wakil rakyat boleh membangkitkan perkara ini di parlimen memandangkan urus niaga melibatkan lebih dari RM2 billion.

“Perkara ini perlu didedahkan kerana ia melibatkan kepentingan penyimpan Tabung Haji termasuk saya, isteri dan ibu,” tulisnya.

Beliau turut memetik kandungan emel diterima itu:

Maklumat yang baru diterima: Tabung Haji telah bersetuju menjual aset mereka iaitu ladang kelapa sawit seluas 83,000 hektar di riau, Indonesia dengan harga USD900 juta kepada PT Borneo. Pohon minta mana2 YB untuk membangkitkan perkara ini di parlimen kerana melibatkan urusniaga yang melebihi dari RM2 bilion.

Begitupun, Sayuti tidak dapat mengesahkan maklumat itu dan kepada mana-mana pihak yang mengetahuinya boleh berkongsi maklumat untuk kebaikan bersama.

CAP gesa siasat projek arowana di Bukit Merah

Harakahdaily, 22 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Perak dan Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani menyiasat secara terperinci pelaksanaan projek ternakan ikan Arowana di Bukit Merah, daerah Kerian.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris (gambar) berkata, sejak projek itu bermula 10 tahun lalu banyak perkara berkaitan undang-undang tidak dipatuhi terutama mengenai kesan ke atas alam sekitar dan masalah kehidupan penduduk tempatan.

Katanya, gesaan itu dibuat oleh CAP berikutan laporan akhbar tempatan kelmarin (BH: 21.3.2012) mengenai pemalsuan dokumen oleh seorang pengusaha projek tersebut yang juga Pengarah Urusan Bukit Merah Akuakultur yang melibatkan 36 lot tanah seluas 28.8 hektar kepunyaan 21 penduduk Kampung Selamat, Simpang Empat Semanggol.

CAP, jelasnya kesal dengan kejadian itu kerana sebelum ini CAPmendapati terdapat banyak peraturan yang tidak dipatuhi para pengusaha projek ternakan ikan Arowana di kawasan tersebut tetapi tidak diberi perhatian serius dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkenaan.

”Kami telah mengemukakan banyak persoalan berkaitan projek ini melalui surat rasmi yang dihantar kepada kerajaan negeri Perak, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum ini namun projek tersebut terus dilaksanakan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selain tidak melakukan Kajian Kesan Ke Atas Alam Sekeliling (EIA) sebelum pelaksanaannya, beliau berkata tanah-tanah sawah yang terlibat dengan projek itu juga tidak ditukar status dari tanah pertanian kepada tanah industri.

Malah, menrutunya lagi pada tahun lalu (2011) CAP telah menghantar surat kepada Menteri Besar Perak menggesa projek itu dihentikan segera kerana ia boleh menjejaskan sumber bekalan air di Tasik Bukit Merah dan mengancam kehidupan 9,000 petani serta 200,000 pengguna air.

Beliau menjelaskan, air yang digunakan oleh sebuah kolam ikan Arowana seluas 0.4 hektar boleh digunakan untuk mengairi 12 hektar sawah padi.

“Jika di kawasan ini terdapat 3,800 buah kolam, maka lebih banyak air yang digunakan oleh pengusaha-pengusaha ikan hiasan itu.

“Akibatnya petani-petani di daerah ini akan terdedah kepada masalah kekurangan bekalan air untuk tanaman padi di kawasan sawah seluas 24,000 hektar termasuk juga tanah sawah di daerah Seberang Perai Selatan Pulau Pinang,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, ujarnya CAP menggesa siasatan menyeluruh dan berterusan dilakukan segera ke atas projek ini dan tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang terlibat dengan pelanggaran undang-undang yang ada.

Justeru, katanya CAP sekali lagi meminta pihak kerajaan menutup dan membatalkan projek tersebut kerana ia bakal mengundang berbagai masalah ke atas alam sekitar dan kehidupan rakyat.

“CAP percaya jika kerajaan tidak membatalkan projek ini daerah Kerian yang merupakan salah satu jelapang padi negara akan musnah dan ia boleh menggugat sektor pertanian dan sumber makanan untuk rakyat pada masa akan datang,” katanya lagi.

Pinjaman: AIC seru bantu pelajar, kecam T’ganu

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Anwar Ibrahim Club (AIC) Malaysia menyeru yayasan dari negeri-negeri Pakatan Rakyat untuk membantu para pelajar yang terlibat dalam penarikan balik pinjaman Kerajaan Terengganu.


Timbalan Presiden AIC, Al-Azadi Aljohari berkata, ini agar mereka diberi pinjaman semula untuk menyambung pelajaran di universiti masing-masing.

“Gesaan ini atas rasa simpati kami juga mengenangkan kerugian yang akan ditanggung dari penarikan itu kerana setiap mahasiswa negara yang ada merupakan aset penting kepada negara secara sedar atau tidak.

“Sekatan ini akan membantutkan perkembangan minda sihat yang teratur serta dapat dijadikan suatu dasar dalam generasi mereka kelak,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Jelasnya, AIC terpanggil untuk menilai isu penarikan balik pinjaman oleh Kerajaan Terengganu terhadap mahasiswa tajaan mereka yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

Katanya, kredibiliti pihak kerajaan negeri dalam menangani isu tersebut dikecam kerana berpaksi kepada sekatan pemikiran anak muda khususnya, mahasiswa yang berpeluang menjadi aset penting negara pada masa akan datang.

Menurutnya, skop pendidikan tidak boleh hanya ditumpu kepada konteks bilik darjah semata-mata tetapi perlu dilihat dari segi pemacuan pemikiran dan daya keberanian hak bersuara yang perlu dianjurkan.

Beliau berkata, keterlibatan Mahasiswa itu dalam Perhimpunan Bersih 2.0 yang bertujuan untuk menuntut perubahan dasar sistem undian harus dilihat dari sudut perspektif anak muda yang bakal menerajui tampuk pemerintahan negara satu masa kelak.

“Dalam erti kata lain, daya cetusan intelek mereka untuk melihat satu penambahbaikan perlu ada dalam sistem undian negara untuk menjamin demokrasi negara tidak runtuh harus diambil kira.

“Sekatan pemikiran ini dilihat oleh AIC Malaysia sebagai satu cara pengekalan sistem yang jumud yang takut akan berlakunya revolusi ketamadunan pemikiran baru yang lebih tertumpu kepada daya definasi tindakan kritis untuk kemajuan sejagat,” katanya lagi.

Tambahnya, sistem pemerintahan sekarang lebih tumpu kepada keagungan tampuk kuasa satu suara yang tidak memberi akses kepada kemajuan komunikasi dua hala yang dapat menjamin keseimbangan pembangunan ekonomi serta sosial.

Beliau menekankan bahawa keadilan dalam melaksanakan apa yang  dipanggil dasar atau undang-undang juga wajar telus, maka seharusnya Kelab Umno luar negara yang beroperasi mesti segera dibubarkan bagi memberi ruangan sama rata agar bagi mana-mana ideologi politik tidak disumbat dalam pemikiran Mahasiswa yang sedang menuntut di luar negara.

“AIC Malaysia menyeru setiap negeri di Malaysia baik dari negeri pemerintahan BN atau PR untuk tidak menyekat kemaraan mahasiswa daripada menyuarakan ketidakpuashatian dan ideologi mereka kerana ia merupakan hak bersuara individu dalam menterjemah apa yang mereka tafsirkan dari pengamatan mereka sendiri,” katanya lagi.

Najib diminta nyatakan bila ISA mahu dimansuh

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak diminta menyatakan bila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan.

Demikian pertanyaan bagi jawab lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Md Ramli pada persidangan Dewan Rakyat, yang  bermula jam 10.00 pagi ini.

Berikut adalah soalan-soalan bagi jawab lisan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr. Siti Mariah Binti Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil Kementerian untuk mengangkat status 370 SJKT bantuan modal kepada SJKT bantuan penuh. Apakah halangan sebenar untuk Kerajaan melaksanakan perkara ini selama lebih 50 tahun Malaysia Merdeka.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan jumlah pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan terlibat dengan salah laku dan disiplin sekolah sejak tahun 2007 hingga 2010 setiap tahun.

Dr Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan bagaimanakah Kerajaan mahu memperkasakan semangat dan falsafah 'Global Movement of Moderates' di negara kita sendiri yang sedang menyaksikan pertentangan kaum dan ketajaman perselisihan agama yang semakin meruncing dan kritikal mutakhir ini dengan pihak tertentu dan badan NGO tertentu berasa di kedudukan diserang, di bawah pengaruh pemikiran 'siege mentality'.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu] minta MENTERI PELANCONGAN menyatakan usaha-usaha terkini yang dijalankan untuk menarik kunjungan pelancong dari negara jiran Thailand.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [Kuala Krai] minta PERDANA MENTERI menyatakan bila Akta Keselamatan Dalam Negeri akan dimansuhkan.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan kerugian yang dialami akibat hakisan pantai sepanjang 2011 dan apakah langkahlangkah pencegahan dalam menghadapi masalah fenomena ini pada masa depan.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan adakah Kerajaan Malaysia menyokong hak Iran untuk mempunyai teknologi nuklear.

Mohd. Nasir Zakaria [Padang Terap] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah FELDA bercadang menyemak dan mengkaji semula Kos Tanam Semula di bawah Technoplant yang begitu tinggi pada waktu ini.

Salahuddin Ayub [Kubang Kerian] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah tindakan Kerajaan terhadap surat daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia kepada Perdana Menteri bertarikh 26 Mac 2007 yang menyatakan terdapat bukti yang mencukupi untuk mendakwa Tan Sri Tajudin Ramli, Wan Aisyah Wan Hamid dan Ralph Gotz berikutan kerugian MAS yang berjumlah berbillion ringgit.

Nasharudin Mat Isa [Bachok] minta PERDANA MENTERI menyatakan mengapakah MAIWP memberhentikan pemberian RM5000 kepada pelajar lulusan Darul Quran sejak 2009 walaupun sebelum ini MAIWP berjanji pelajar yang lulus dari Darul Quran akan menerima RM5000 semasa graduasi sebagaimana sebelum 2009.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta PERDANA MENTERI menyatakan kenapa Koperasi Permodalan Felda tidak dibenarkan memegang secara langsung saham miliknya di dalam Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH) selepas FGVH disenaraikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan