Sabtu, 24 Mac 2012

BILA BONGKAR BALAS BONGKAR...TENGOK SAPE BANYAK KUDIS ATAU YANG BERKUDIS DENGAN YANG TAK BERKUDIS...ATAU KUDIS DULU TAK SEMBUH..DOKTOR YANG AMBIK ALIH PUN TERIMA PUN MEMANG ADA SAKIT KUDIS

Siang 'hidup Melayu', malam 'jual tanah Melayu'

Idris Ahmad, 23 Mac 2012
Siang hidup Melayu, malam jual tanah Melayu inilah yang selayak dilebelkan kepada pemimpin Umno. Oleh kerana sudah tersepit dengan sokongan rakyat di negara ini maka ada satu modal lagi yang perlu dimainkan oleh Umno iaitu perkauman dan agama.

Terbaru apabila pemimpin Umno menuduh kerajaan Kelantan menggadai tanah Melayu di Kelantan. Maka ia telah menjadi bahan ketawa, tidak ubah seperti pencuri menjerit pencuri.

Semua dunia maklum pemimpin Umno adalah juara broker tanah Melayu selama ini. Apabila Umno membangkitkan tanah rizab Melayu seolah-olah Umno mengusik sarang tebuan dan bola tanggung kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Rekod membuktikan bagaimana pengkhianatan Umno terhadap tanah rizab Melayu.

Sejahat-jahat penjajah lebih baik daripada Umno sehingga mewartakan seluas 3 juta hektar tanah rizab Melayu pada tahun 1957, namun selepas merdeka, pada tahun 1995 tanah rizab Melayu hilang seluas 1.7 juta hektar.

Sekarang mungkin tanah rizab Melayu sudah tergadai hampir 2 juta hektar. Persoalannya siapa punya angkara?

Buktinya 200 ekar tanah rizab Melayu untuk kilang simen tergadai kepada Yeoh Tiong Lay. (YTL.).

Sewaktu Umno berkuasa, 9 ribu hektar tanah rizab Melayu di Selangor telah ditukar status kepada bukan rizab Melayu, yang diganti cuma 3 ribu hektar.

Pada tahun 1990, seramai 80 orang penduduk di Pantai Chenang Langkawi yang duduk di atas tanah rizab Melayu dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort.

Pada tahun 1990, sebanyak 930 hektar tanah rizab Melayu Kampung Mambau Negeri Sembilan telah diambil untuk projek Seremban 2.

Seluas 26,000 hektar  tanah rizab Melayu di Tanjung Langsat-Tanjung Pia Johor diambil untuk New Town Ship. Projek yang diusahakan oleh Kuok Brother Collabratioan UEM.

Seluas 300 ekar tanah rizab Melayu di Pulau Redang Teregganu kepada Vicent Tan untuk projek perlancongan.

Pada tahun 1993, 1000 ekar tanah rizab Melayu di Kerpan Kedah untuk projek kolam udang.

Seluas 273 ekar tanah Melayu Kampung Chu Badak Sentul Kuala Lumpur diambil untuk projek mega.

Tanah rizab Melayu seluas 94 ekar terkorban untuk projek Pencala Link dekat Damansara Kuala Lumpur.

Daripada fakta di atas bolehlah dirumuskan Umno lah pengkhianat dan menggadai tanah orang Melayu. Bukan PAS, bukan PKR dan bukan DAP.

Umno cabul konsep wasathiyyah

Nasrudin Hassan, 24 Mac 2012
1. Dewasa ini, istilah wasathiyyah itu telah diselewengkan pengertiannya dan perlaksaannya oleh kerajaan UMNO-BN.  Saya melihat penggunaan slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia ini bagai mengetuk tin yang kosong.
2. Bahkan amatlah malang sekiranya penggunaannya adalah demi tujuan yang batil sehingga berlakunya penyelewengan pada konsep sebenar Islam wasathiyyah.
3. Wasathiyyah ini adalah bertitik tolak dari apa yang telah Allah subhanahu wa ta’ala firmankan di dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang berbunyi :
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا

“Dan demikianlah (sebagai mana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil…”
4. Para ulamak dahulu dan sekarang telah membincangkan mengenai pengertian wasathiyyah ini dengan panjang lebar menurut kaca mata Islam. Apa yang kita kesal adalah kerajaan UMNO-BN melaksanakan konsep wasathiyyah 1 Malaysia yang menatijahkan kecelaruan kepada pemikiran umat Islam di Malaysia akan erti sebenar wasathiyyah.
5. Imam al-Asfahani rahimahullah membawakan pengertian wasatha dengan pengertian yang ringkas dan mudah untuk kita fahami. Beliau menjelaskan bahawa dengan hakikat wasatha [tidak berlebih-lebih] itu ada di antara dua perkara yang madzmumah [tidak baik]. Seperti sifat kemurahan hati, ia adalah satu sifat pertengahan di antara dua sifat yang buruk iaitu bakhil dan boros.
6. Adapun wasathiyyah yang telah disebutkan oleh Allah subahanahu wa ta’ala di dalam ayat di atas telah ditafsirkan oleh Imam Ibnu Jarir al-Thobari rahimahullah. Beliau berpendapat Allah subhanahu wa ta’ala memilihi sifat wasathiyyah untuk menyifatkan ehwal umat Islam adalah hanya kerana sifat tersebut merupakan sifat perantaaraan kepada agama [Islam]. Maka, dengan sifat tersebut umat Islam tidak akan menjadi ahlu al-Ghulu / ahlu al-Ifrath [orang yang berlebih-lebih] ataupun ahlu al-Taqshir / ahlu al-Tafrith [orang yang meringan-ringankan].
Kata Imam Ibnu Jariri al-Thobari rahimahullah :
"ولكنهم أهل توسّط واعتدال فيه، فوصفهم الله بذلك، إذ كان أحبّ الأمور إلى الله أوسطها"
7. Tuntasnya, wasathiyyah yang dikehendaki di dalam Islam boleh disimpulkan sebagai, “al-I’tidal (Kesederhanaan) , al-khairiyyah (kebaikkan), al-Qisth (keadilan) dan al-Rif’ah (ketinggian) dengan sebab sifat-sifat mahmudah (terpuji) yang tidak terlalu rigid (ifrath) dan tidak terlalu longgar (tafrith).
8. Apabila istilah wasathiyyah disandarkan kepada umat Islam, maka ia membawa maksud : Umat Islam yang mencapai sifat-sifat mahmudah yang terbit daripada kedudukan syariat Allah dalam kesederhanaan, kebaikan, keadilan dan ketinggian yang menjadikannnya penghulu segala umat.
9. Peristiwa yang menjelaskan kedudukan wasathiyyah ini telah diperjelaskan oleh Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam seperti yang tercatat di dalam hadits :وعن أنس ـ رضي الله عنه ـ قال : جاء ثلاثة رهط إلى بيوت أزواج النبي صلى الله عليه وسلم ، يسألون عن عبادة النبي صلى الله عليه وسلم، فلما أخبروا كأنهم تقالوها وقالوا : أين نحن من النبي صلى الله عليه وسلم قد غفر له تقدم من ذنبه وما تأخر ؟! قال أحدهم : أما أنا فاصلي الليل أبداً ، وقال الآخر : وأنا أصوم الدهر ولا أفطر ، وقال الآخر : وأنا أعتزل النساء فلا أتزوج أبداً ، فجاء رسول الله صلى الله عليه وسلم إليهم فقال : ( أنتم الذين قلتم كذا وكذا ؟! أما والله إني لأخشاكم لله وأتقاكم له ، لكني أصوم وأفطر ، وأصلي وأرقد ، وأتزوج النساء ، فمن رغب عن سنتي فليس مني) - متفق عليه

Daripada Anas bin Malik radhiyallahu `anhu berkata: Tiga orang lelaki datang ke rumah isteri-isteri Nabi saw bertanyakan tentang ibadah Nabi saw. Tatkala dikhabarkan kepada mereka, mereka bagaikan menganggap ianya sedikit.
Lantaran itu mereka berkata: “Di manakah kita berbanding Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan telah diampunkan untuk baginda dosa-dosa terdahulu dan terkemudiannya”. Berkata salah seorang mereka: “Adapun saya pasti akan mengerjakan solat sepenuh waktu malam selama-lamanya”. Berkata pula yang lain: “Saya akan berpuasa setahun penuh tanpa berbuka”. Berkata lagi seorang lagi: “Saya pula akan mengasingkan diri daripada wanita-wanita dan tidak berkahwin selama-lamanya”.
Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam lalu datang menemui mereka lantas bertanya: “Kamukah yang berkata demikian-demikian? Adapun saya demi Allah merupakan orang yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah di kalangan kamu tetapi saya berpuasa dan berbuka, saya solat dan tidur dan saya mengahwini wanita-wanita. Oleh itu sesiapa yang bencikan sunnahku maka dia bukan di kalanganku.”
10. Sekiranya melakukan ibadah sebagaimana di atas juga telah ditegur oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, bagaimana pula kerajaan UMNO-BN yang berlebih-lebih di dalam belanja sehingga menjadikan ianya fitnah, penyelewengan, korupsi dan lain-lainya menterjemahkan wasathiyyah di dalam sistem pemerintahannya ?
11. Wasathiyyah dalam pentadbiran dapat dinilai apabila sesebuah kerajaan itu ditadbir oleh Islam dan bukannya mentadbir Islam. Saya  ingin menegaskan bahawa konsep wasathiyyah yang dilaungkan oleh UMNO menerusi YAB Perdana Menteri adalah bersalahan dengan makna wasathiyyah yang sebenar.
12. Laungan dan perlaksanaan wasathiyyahnya adalah bercanggah dari apa yang difahami dan yang terdapat di dalam ajaran Islam. Sesungguhnya kerajaan UMNO-BN telah mencabul pemahaman wasathiyyah yang sebenar dan mengambil perkataan tersebut untuk membenarkan segala tindakan mereka.
Kata Saidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhu :
كلمة حق أريد بها باطل
Kalimahnya yang benar dikehendaki dengannya maksud yang batil.
13. Antara pencabulan UMNO-BN ke atas prinsip sebenar wasathiyyah :
a] . Isu perbelanjaan majlis hari jadi Perdana Menteri dan kos majlis pertunangan anaknya.
Sebagai seorang pemimpin yang melaungkan slogan Islam Wasathiyyah, perlakuan ini jelas menafikan kefahaman beliau di dalam tindakan dan amalannya. Walaupun benar, sekiranya majlis tersebut menggunakan duit beliau dan beliau mampu untuk membiayai kos tersebut tetapi persoalannya bagaimanakah sanggup seorang pemimpin yang kononnya menjulang prinsip wasathiyyah di dalam Islam melakukan pembaziran sedangkan masih ada di antara rakyatnya yang hidup secara gelandangan ?
Adapun kos majlis hari jadi beliau dikatakan mencecah kepada RM 79,053.
Makluman yang diterima majlis seorang pemimpin rakyat yang mencecah kepada puluhan ribu ringgit itu hanya dihadiri oleh golongan yang bergaji besar dan berpangkat tinggi. Di sini sahaja sudah timbul pertanyaan di mana wasathiyyahnya ?
Andaikan sahaja dari jumlah tersebut digunakan untuk membantu rakyatnya yang masih bergelandangan.
Bukan itu sahaja, kos yang dilaporkan untuk mengadakan majlis pertunangan anak seorang pemimpin Islam wasathiyyah berjumlah RM 409,767.
Inikah cara terbaik seorang pemimpin Islam wasathiyyah mempraktikkan wasathiyyahnya di hadapan rakyatnya iaitu bermegah dengan kekayaan dan pembaziran?
Bukan kemampuan yang menjadi persoalan tetapi di mana konsep wasathiyyah yang menjadi tanda tanya.
b] . Isu royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan
Isu ini bukan isu baru untuk diperbahas atau diperbincangkan. Sebagai pemimpin yang menjadikan wasathiyyah sebagai prinsip di dalam sistem pemerintahannya, kerajaan UMNO-BN perlu berlaku adil dengan memberikan hak kepada mereka yang berhak.
Hak rakyat Kelantan disekat kerana kerajaan negeri Kelantan tidak ditadbir oleh sekutunya atau yang sebulu dengan kerajaan pusat.
Justeru itu, hak tersebut tidak diberikan secara lansung kepada kerajaan PAS yang memerintah di Kelantan.
Hal yang sama juga pernah berlaku di Terengganu ketika negeri tersebut diperintah oleh Tuan Guru Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang hafidzhohullah.
Sekira inilah perangai mereka yang kononnya melaungkan konsep wasathiyyah di hadapan rakyat maka sesungguhnya inilah perbuatan khianat ke atas sifat mulia yang dijanjikan oleh Allah kepada umat Islam.
c] . Ketelusan di dalam Pilihan Raya dan sistem Pilihan Raya
Kerajaan yang mengamalkan konsep wasathiyyah yang sebenar pasti memastikan pemilihan rakyat dalam pembentukkan kerajaan dilakukan dengan adil dan telus.
Ini kerana sebagai kerajaan yang memerintah dengan konsep wasathiyyah mereka sedar dan tahu bahawasanya mereka ini adalah lantikan dari rakyat untuk bekerja demi maslahah rakyat dan negara.
Tanggungjawab yang begitu besar ini hanya difahami oleh pemimpin yang memiliki sifat wasathiyyah ini.
Perbuatan khianat di dalam pembentukkan kerajaan mahupun proses-proses Pilihan Raya termasuklah daftar pemilih adalah perkara yang akan diperangi oleh kerajaan Islam Wasathiyyah.
Isu yang menimpa Tan Sri Khalid Ibrahim baru-baru ini sangat mengejutkan kita dan membuatkan kita bertanya-tanya adakah sampai begitu terdesak kerajaan wasathiyyah cara UMNO-BN ini memindahkan pengundi demi Pilihan Raya Umum yang ke 13 nanti.
Tindakan sebegini hanyalah mencabul kemuliaan wasathiyyah umat Islam.
14. Belum selesai kerajaan UMNO-BN mentarbiyyah rakyatnya apa itu Islam Hadhari, kini muncul pula Islam Wasathiyyah cara UMNO-BN.
15. Impaknya masyarakat hanya akan bertambah pening dan semakin tidak memahami apakah dia sebenarnya Islam.  Rakyat  berteka-teki Islam apakah pula yang akan dijadikan slogan oleh pimpinan UMNO-BN akan datang. Cukup-cukuplah mengelirukan rakyat dengan Islam yang dislogankan oleh mereka. Ini kerana mereka sendiri tidak memahami erti kata wasathiyyah di dalam Islam bahkan tidak pernah cuba untuk mengamalkannya di dalam sistem pentadbiran mereka.

Nasrudin bin Hassan

40 ahli Umno sertai PAS di Kg Masjid

Harakahdaily, 23 Mac 2012
SUNGAI PETANI, 23 Mac: 40 bekas ahli dan penyokong Umno di Kampung Masjid, Tikam Batu, Sungai Petani meninggalkan parti mereka dan menyertai PAS.
(Mohamad Sabu menerima borang permohonan menjadi ahli PAS)


Mereka menyerahkan borang keahlian PAS kepada Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu di Unit Peti Undi (UPU) Bukit Meriam dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Pantai Merdeka sebelum
beliau berceramah di situ baru-baru ini.

Salah seorang dari mereka adalah bekas penyokong tegar Umno, Mohd Noor Tayed 58. Di era tahun 70 - 80 an dahulu merupakan kemuncak penglibatan dirinya dengan Umno.  Selepas itu beliau mengambil sikap pandang dan lihat.
Dahulu, di mana sahaja jentera Umno bertugas terutamanya di Parlimen Sungai Petani mesti kelibatnya ada untuk membantu jentera berhadapan dengan PAS yang dianggap musuh yang perlu di singkirkan.

Namun, hari ini sudah berbeza. Beliau tidak lagi mahu memberikan undi dan sokongan pada Umno dan BN.

(Mohd Noor [kiri] dan Che Ani)

"Dulu saya tidak tahu menilai malahan bertindak berdasarkan arahan ketua jentera yang saya ditugaskan tetapi hari ini saya telah sedar dan bertekad melawan parti yang saya pernah puja selama ini, " katanya.

Seorang lagi rakanya, Che Ani Mansor 72 berkata, apa yang beliau dapat selama menyokong Umno dan BN melainkan terus mengayuh basikal tuanya sahaja.

Masalah banjir kilat yang melanda kawasan rumah pun tambahnya, Umno dan BN ketika berkuasa hanya pandang sahaja tidak bertindak membantu mengatasi dengan membina longkang baru di kampung berkenaan.

"Bila hujan sahaja hati saya bimbang kerana rumah saya dan beberapa buah rumah jiran akan tengelam separas buku lali.

"Bukan baru tapi sudah lama walaupun ada beberapa orang kepimpinan Umno datang menjengguk," katanya yang sudah bosan dengan janji BN.

Beliau mengucapkan terima kasih pada Majlis Ketua Kampung (MKK) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPk) kerana bertindak segera setelah membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat dengan membina longkang bagi menghindarkan banjir kilat berkenaan.

Dekati ahli baru
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Sungai Petani, Ustaz Mazlan Osman (gambar) meminta semua ahli PAS yang berada lama dalam perjuangan ini supaya mendampingi setiap ahli baru yang telah sedar untuk bersama membina kekuatan meruntuhkan empayar Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ujarnya, jangan sekali-kali membiarkan mereka dengan haluan sendiri sedangkan banyak kepakaran yang mereka ada yang membolehkan ahli PAS lama mempelajari.

"Anggaplah ahli baru PAS sebagai rakan yang akrab jangan persiakan kesedaran mereka kerana mereka juga ada kepakaran yang mungkin tiada pada kita.  Kita sebagai ahli PAS yang lama wajar menunjukan contoh terbaik supaya mereka bersama membina kekuatan meruntuhkan Umno dan BN," tegasnya ketika ditemui di pejabat Tahfiz Al Barakah, Tikam Batu bersama beberapa orang bekas penyokong Umno di Kampung Masjid, Tikam Batu, Sungai Petani semalam.

Tugas ahli dan pemimpin PAS bukan berdakwah pada bukan Islam sahaja sambungnya, malahan kepada mereka yang telah jinak dengan perjuangan agar mereka mendekati majlis ilmu dan masjid supaya kekuatan boleh dibina apatah lag dunia sekarang dunia meterial.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tukar ulat buku ke permata buku

Salmah Mat Husain, 23 Mac 2012
KOTA BHARU, 23 Mac: Lebih 1,300 orang pelajar cemerlang yang mewakili 15 buah sekolah sekitar Kota Bharu dan Tumpat menghadiri majlis motivasi pelajar bersama Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszapar Shukor (gambar).

Program yang diadakan separuh hari membabitkan pelajar cemerlang sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) itu dianjurkan Cakna Palestin dengan kerjasama kerajaan negeri.

Turut menghadiri program yang penuh bermakna buat mereka pelajar Sekolah Menengah Arab Naimlilbanat, Maktab Rendah Sains Mara, Pengkalan Chepa, Sekolah Menengah Arab Falahiah Pasir Pekan dan beberapa buah sekolah persendirian.

Pelajar yang terpilih mengikuti program itu begitu bersemangat untuk mendengar penerangan, pengalaman angkasawan negara yang merupakan umat Islam ke-6 berjaya menjejak kaki ke ISS.

Majlis berkenaan dirasmikan Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Nasruddin Daud.

Hadir sama Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Pengerusi Cakna Palestin Kelantan, Mohd Nazri Deraman dan lain-lain pimpinan Cakna Palestin.

Ulat buku ke permata buku


Nasruddin ketika berucap pada majlis itu mencadangkan ‘ulat buku’ yang sering digelar pada mereka yang gemar membaca buku ditukar pada gelaran lain yang lebih manis.

Katanya, ulat yang ada dalam sebiji buah akan dibuang, jadi amat tidak kena sekiranya digelarkan pada golongan yang gemar membaca buku.

“Sebagai contoh rasanya lebih baik jika digelarkan ‘permata buku’, ‘permata ilmu’ atau sebarang gelaran yang lebih baik berbanding ulat buku,”ujarnya.

Pada majlis itu beliau mengingatkan pelajar supaya memperbanyakkan ilmu kerana ianya bekalan yang paling baik sehingga membuatkan diri menjadi berani berbanding banyak harta semakin banyak akan menjadi takut kerana dibimbangi dirompak.

Muszapar ketika berucap pada majlis itu berkata, pemergiannya ke angkasa lepas bukan hanya untuk berseronok, sebaliknya membuat beberapa kajian menerusi beberapa sel penyakit khususnya barah.

Katanya, selain itu beberapa kajian lain turut dilakukan dalam tempoh 12 hari sepanjang beliau berada di sana.

“Apa yang perlu kita banggakan juga dari 12 orang manusia telah berjaya berlepas ke sana, enam orang daripadanya umat Islam,”ujarnya.

Pendedahannya di angkasa lepas selama 12 hari telah dikongsi bersama pelajar membuatkan peserta begitu terpegun mendengarnya apa lagi ianya turut diselitkan dengan gambar-gambar video sewaktu di sana.

Kes EO6: PSM saman KDN, ketua polis negara

Muhammad Faizal, 23 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 23 Mac: Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia antara defenden yang dinamakan dalam saman Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini.

Saman sivil itu ekoran enam anggota parti itu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) pada bulan Jun tahun lalu.

Mereka adalah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, anggota jawatankuasa PSM pusat, Choo Chon Kai, M. Sukumaran, Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy, Setiausaha Bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu.

Saman tersebut difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh peguam Yudistra Piagam Dorai dengan keseluruhan menamakan 82 defenden majoritinya adalah anggota polis.

Mereka mendawa pihak polis telah salah tangkap dan memenjarakan enam pemimpin parti itu secara tidak sah.

Mereka juga menuntut ganti rugi kerana dibelasah, pendakwaan yang berniat jahat, tidak ada alasan yang munasabah ketika ditangkap dan salah guna proses pejabat awam.

Kesemua aktivis tersebut ditahan sewaktu menyertai siri kempen "Udah La Tu Bersaralah" yang dilancarkan pada 24 Jun tahun lau, menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Mereka ditahan selama 28 hari di bawah EO atas sebab-sebab yang tidak dijelaskan sebelum dibebaskan pada pada 29 Julai 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan