Selasa, 27 Mac 2012

BELIAU NON MUSLIM SUDAH TENTU KURANG FAHAM PERJUANGAN ISLAM DAN TUNTUTAN ISLAM...ELOK KITA MASUK PARTI ISLAM..BERJAGA KITA DIWAKTU MALAM KERANA JIHAD KEJALAN ALLAH...MATA KITA TAK DIBAKAR OLEH API NERAKA ALLAH TAPI BIAR NIAT KERANA ALLAH SEMATA2

Minyak Iran: Najib lemah ikut telunjuk Amerika

Harakahdaily, 26 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 26 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyelar tindakan kerajaan Malaysia kerana mengarahkan Petronas menghentikan mengimport minyak dari Iran mulai April iaitu dua bulan sebelum sekatan Amerika Syarikat berkuat kuasa ke atas negara itu.

“DPPM melihat tidak wajar Malaysia mengikut tindakan Amerika Syarikat itu,” kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar).

Beliau berkata, langkah yang diambil oleh Amerika Syarikat adalah langkah politik kerana terlibat secara langsung konfrontasi dengan Iran.

Menurutnya, Amerika Syarikat dalam sejarahnya adalah sebuah negara yang suka membuli dan menyerang negara lain yang lebih kecil, selepas Afghanistan, Iraq kini Iran pula akan menjadi mangsa mereka.

“DPPM menganggap tindakan kerajaan Malaysia ini seperti takut dan patuh dengan kehendak Amerika Syarikat.

“Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najb dilihat amat lemah kerana terpaksa tunduk patuh dengan arahan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya Najib perlu sedar bahawa kepimpinan Amerika Syarikat tidak banyak membela umat Islam.

Beliau menambah, Amerika Syarikat sanggup membunuh jutaan umat Islam yang dilihat tidak tunduk dengan kehendak mereka seperti mana yang berlaku di Iraq dan Afghanistan.

“Mereka sanggup melihat tentera Zionis Israel meratah umat Islam di Palestin tanpa sebarang pembelaan Jutaan nyawa umat Islam di Iran pula kini dalam bahaya jika Amerika Syarikat menyerang mereka,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tindakan Malaysia pula akan menyebabkan konflik serantau yang lebih buruk akan berlaku yang boleh menjejaskan ekonomi negara tersebut sedangkan Iran tidak bermusuhan dengan Malaysia.

Justeru, katanya Malaysia dilihat oleh negara umat Islam yang lainnya sebagai turut bersubahat bersama Amerika Syarikat bagi menghukum umat Islam di negara Iran.

Sehubungan itu, ujarnya DPPM mengajak rakyat khususnya umat Islam melihat betapa lemahnya pentadbiran Najib sehingga sanggup tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat.

“Bagaimana mungkin pemimpin umat Islam di Malaysia seperti Datuk Seri Najib boleh bangkit menyuarakan kelantangan menentang rejim Zionis serta penyembelihan umat Islam di serata dunia oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, jika terus mengikut telunjuk Amerika Syarikat serta tidak berani ‘mengangkat muka’ bagi mempertahankan kebenaran,” katanya.

Hapus PTPTN: Tawaran terhebat buat anak muda

Harakahdaily, 26 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 26 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik pengumuman pemimpin Pakatan Rakyat untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digantikan dengan pendidikan percuma untuk semua rakyat yang masuk ke universiti jika Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya kelak.

“Bagi DPPM, pengumuman ini merupakan suatu langkah yang baik dan positif bagi membela kebajikan rakyat khususnya golongan anak-anak muda,” kata ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar).

Selama ini, katanya rakyat cukup terbeban dengan pinjaman PTPTN yang sengaja dibuat bagi membuli rakyat dengan pelbagai tekanan hidup.

Pengumuman itu, tambahnya membuktikan bahawa sekali lagi Pakatan Rakyat mendahului Umno BN dalam memastikan kebajikan rakyat terbela.

“Pastinya janji pemimpin Pakatan Rakyat bukannya janji kosong semata-mata, bahkan telah banyak janji untuk rakyat ditunaikan sepertimana kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang laksanakan pada hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat akan memastikan bahawa dengan memberikan khidmat kebajikan terbaik kepada rakyat termasuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat tidak akan membawa negara kepada kemunduran, manjadi muflis dan sebagainya sepertimana yang ditohmah oleh Umno BN.

Menurutnya, negara menjadi bankrap disebabkan oleh salah urus tadbir negara serta amalan rasuah dan ketirisan oleh pemimpin negara, bukan kerana memberikan kebajikan kepada rakyat.
“Dalam hal ini, Umno BN terbukti gagal dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Katanya, mereka terkebelakang dengan banyak agenda membela rakyat oleh Pakatan Rakyat sehingga mereka terpaksa meniru balik apa yang dibuat oleh Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, selama bertahun-tahun para graduan tersepit dengan arahan pembayaran balik PTPTN yang amat memeritkan.

Malah, ujar beliau ramai yang masih belum mendapat pekerjaan atau belum berstatus bekerja tetap tetapi dipaksa untuk menjelaskan kembali hutang PTPTN, sehinggakan pelbagai tindakan dikenakan kepada mereka termasuk tindakan undang-undang.

“Pengumuman ini menjadikan Umno akan sekali lagi gelabah, pemimpinnya berpeluh bagi melawan balik janji Pakatan Rakyat.

“Anak-anak muda pula pasti akan membuka mata melihat tawaran terbaik daripada Pakatan Rakyat,” katanya.

Justeru, ujarnya tiada alasan lagi buat rakyat untuk memilih Barisan Nasional memimpin negara, kerana mereka tiada niat untuk menjaga kebajikan rakyat.

Isu Ketua DHPP P Pinang letak jawatan akan selesai

Harakahdaily, 26 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 26 Mac: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yakin dapat menyelesaikan isu perletakan jawatan ketua DHPP Pulau Pinang tidak lama lagi.

Ini kerana, ia berlaku ekoran salah faham sahaja, kata Timbalan Ketua DHPP Pusat,
Balasubramaniam Nachiappan (gambar).

"Saya telah berbincang dengan Mr.Ooi Ketua DHPP Penang mengenai beliau letak jawatan sebagai ketua DHPP negeri.

"Masalah yang dihadapi oleh beliau adalah beliau tidak dapat bertanding dalam PRU13. Sebenarnya ini adalah salah faham maklumat (miscommunication) kerana saya difahamkan PAS Pusat belum buat keputusan untuk calon bertanding. Nama calon pun belum di umum," katanya.

"Selepas saya berbincang dengan Dr.Ooi beliau meminta tempoh satu minggu untuk berfikir dan menyelesaikan masalah tersebut," berita Bala kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak lain jangan masuk campur dahulu dalam isu dan berjanji ia akan diselesaikan secepat mungkin.

Semalam, Dr Ooi dalam sidang medianya memaklumkan perletakan jawatannya ekoran merasakan jasa dan khidmatnya dalam PAS seperti tidak diperlukan lagi.

Ooi yang juga Ketua Penerangan DHPP Pusat berkata, keputusan yang diambilnya itu bukan kerana kecewa terhadap PAS, namun merasakan khidmat dan kesetiaannya kepadaparti itu selama 20 tahun tidak dihargai, selain pandangannya demi kebaikan parti tidak diambil berat oleh kepimpinan tertinggi.

Ooi lebih yakin dengan tindakan itu apabila PAS Pusat dilihat seperti meminggirkan DHPP Pulau Pinang  dengan memutuskan untuk tidak memilih calon di kalangan DHPP untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sementara itu, cara seperti yang dilakukan Ketua DHPP PAS Pulau Pinang ini memang telah berlaku di mana - mana; jika tidak ada sanjung atau habuan, maka berlakulah undur unduran, tulis pembaca Sinar Harian yang menyiarkan perletakan jawatan Dr Ooi itu.

Katanya, dalam Islam, sekali manusia berjuang pada jalan Allah, sama ada diterima manusia atau tidak, maka dia terus berjuang, walaupun tidak mendapat balasan dari manusia seperjuangan dengannya.

"PAS parti politik Islam, dasarnya Islam, maka, kalau manusia atau orang Islam atau bukan Islam berjuang krana hendakkan balasan dan sebagainya, lebih baik tidak usah berjuang," tulis Mokhtar Petah.

Katanya, jika mahukan duit, lebih baik berniaga nasi kandar, dari pagi sampai ke Subuh orang datang menadah pinggan, walaupun sakit perut kerana makanan terlalu pedas!.

SU Agung Umno minta saya keluar parti - Kadir

Nazri Abdullah, 26 Mac 2012
SERI KEMBANGAN, 26 Mac: Bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata antara faktor beliau keluar Umno kerana beliau menjadi sasaran terancang media arus perdana selepas menegur sikap Umno.

Ia ditambah lagi dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor minggu lalu yang mencabarnya keluar dari Umno selepas tidak selesa dengan kritikannya.

"Saya telah menjadi sasaran kritik yang begitu hebat oleh media massa arus perdana kepunyaan parti saya sendiri ketika itu. Jelas ia dibuat secara terancang dari pihak berkuasa.

"Ini diikuti pula oleh Setiausaha Agung Umno sendiri meminta saya keluar parti...hanya kerana itu. Maka saya keluarlah sebagai ahli Umno yang telah saya abdikan segala jiwa dan raga saya selama 56 tahun," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Alasan tersebut sebagai penjelasan kenapa beliau bertindak isytihar keluar Umno pada 19 Mac lalu.

Antara kritikannya kepada Umno sebelum ini, beliau mendakwa parti itu telah terpesong dari perjuangan asal berbanding sewaktu penubuhannya.

Veteran Umno itu juga mendakwa rasuah, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa termasuk 'kronisma mega' secara berleluasa sedang berlaku dalam parti itu sehingga kekayaan negara hanya berlegar disekitar kelompok tertentu dan tidak sampai kepada rakyat.

Tambahnya, ada juga yang perlu membayar wang kepada rakan-rakan seperjuangan sendiri untuk mendapatkan tempat dalam parti termasuk jawatan tertinggi.

Abdul Kadir juga sebelum ini mendedahkan Umno menabur wang di kampung-kampung untuk beli undi pilihan raya dan menuntut tindakan 'hodoh dan jijik' itu dihentikan segera.

Bagaimanapun kritikan-kritikannya itu disifatkan oleh pemimpin Umno sebagai menghentam parti dan beliau kemudian menjadi mangsa serangan media arus perdana sehingga ada desakan agar beliau keluar Umno.

Aktif politik semula

Dalam pada itu beliau yang juga bekas menteri penerangan dan komunikasi, hari ini tetap mempertahankan segala dakwaannya terhadap Umno malah berkata ianya baik untuk dikaji.

Beliau juga menegaskan akan kembali semula untuk aktif dalam politik selepas lama bersara untuk menumpukan kepada perniagaannya sebelum ini.

"Dengan ini saya isytiharkan berhenti daripada bersara dan akan membawa perjuangan Umno (yang lama) di tempat yang lebih sesuai," katanya.

Ditanya sama ada akan menyertai mana-mana parti politik, Abdul Kadir berkata beliau setakat ini hanya mahu menumpukan kepada Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang beliau kini sebagai timbalan presiden.

Namun katanya, ia bergantung kepada keadaan selepas ini.

"Ramai pemimpin Pakatan Rakyat kebetulan kawan-kawan saya pujuk saya, tapi saya buat keputusan sendiri.

"Buat masa ini dengan NGO (Amanah), perkara lain belum terfikir, tengok keadaan la. Kalau depa tabuh (serang) kuat sangat, kita terjun la", katanya sambil tersenyum.

Sinar salah lapor kenyataan Nasrudin

Harakahdaily, 26 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 26 Mac: Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan kesal kerana akhbar Sinar Harian memotong sebahagian kenyataannya sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan pembaca berkaitan dengan Yahudi.

"Yang saya maksudkan adalah Yahudi di Israel yang terlibat menyokong rampasan kuasa dan pembunuhan di Palestin, tanpa mengira apa fahaman mereka, haram berurus niaga dengan mereka ini," jelas Nasrudin kepada Harakahdaily.

Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan di muka depan kenyataan Nasrudin yang telah dibuat beliau 19 Mac lalu dan disiarkan dalam Harakahdaily.

Namun, yang dilaporkan Sinar tidak lengkap seolah-olah beliau menyatakan berniaga dengan Yahudi tetap haram walaupun apa fahaman sekalipun.

Dalam tulisan asalnya Nasrudin menulis:

"Berurus niaga [muamalat] dengan individu Yahudi atau mana-mana pihak Yahudi yang terhad pada individu atau syarikat Sdn Bhd mereka, seperti Yahudi dari negara Eropah dan lainnya, maka pada hukum asalnya adalah harus justeru Rasulullah saw pernah berurus niaga dgn bangsa Yahudi.

"Namun urus niaga dengan Yahudi Israel hari ini, Yahudi yang membunuh Ummat Islam Palestine lalu merampas tanah Palestine dan menubuhkan negara haram Israel atas penderitaan dan kesengsaraan ummat Islam Palestine, Yahudi yang mencari dan mengaut keuntungan lalu membina kekayaan mengukuhkan kuasa dan penjajahan mereka keatas ummat Islam Palestine malah membunuh sewenangnya Ummat Islam Palestine, maka haram berurus niaga dengan mereka walau apa fahaman yang mereka anut termasuk zionis," tulis Nasrudin sebelum ini.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, tidak salah berhubung dengan Yahudi kerana ia hanya satu bangsa.

Yang salah adalah Yahudi berfahaman zionis sebagaimana yang ada di Israel sekarang ini.

Kenyataan beliau disokong oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis.

"Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi," tulis Nik Aziz.

"Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.

"Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

"Menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel," jelas MB Kelantan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan