Isnin, 13 Februari 2012

SAPE YANG SAMSENG....SAPE YANG BIJAK MENTADBIR...SAPE YANG TERPESONG PERJUANGAN...SAPE YANG PENIPU...SAPE YANG BERNIAT JAHAT...SAPE YANG MENGATAKAN KAUM INDIA DAN CINA SOKONGNYA DAH MENINGKAT..KALAU BEGITU APA NAK DIBIMBANGKAN LAGI...

Apa muslihat Muhyiddin jumpa guru Hulu Selangor

Aziz Muda,12 Feb 2012
HULU SELANGOR, 12 Feb: Kalangan ibu bapa di kawasan ini melahirkan rasa hairan dengan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah di kawasan Hulu Selangor sekarang.
Lebih menghairankan mereka apabila lawatan tersebut bukan hanya melibatkan sebuah sekolah, tetapi kesemua sekolah di kawasan itu, pada hal tindakan seperti itu tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Selain itu, mereka juga tertanya-tanya dengan motif pertemuan tersebut apabila ia turut disusuli dengan pemberian wang sumbangan dari pihak Umno sebanyak RM3,000 bagi setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) di kawasan itu.
Seorang penduduk di kawasan itu, Johari Abdul Rahman, 42, berkata, program lawatan Muhyiddin ke sekolah-sekolah di Hulu Selangor itu diyakini mempunyai muslihat tertentu bagi kepentingan politik Umno BN.
"Tindakan tersebut hanyalah untuk mengelabui mata orang ramai kononnya atas kepentingan pelajaran sejajar dengan kedudukan Muhyiddin yang juga selaku Menteri Pelajaran," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.
Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Selangor, Jamaluddin Abdul Kadir, ketika berucap merasmikan mesyuarat agung kali kelapan PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa, di sini, semalam berkata, semua guru di sekolah itu hendaklah bersiap sedia dari sekarang untuk menyambut kunjungan Muhyiddin ke sekolah tersebut pada bulan ini.  
Menurutnya, kunjungan Muhyiddin ke sekolah itu adalah sempena program lawatan Muhyiddin ke sekolah-sekolah di seluruh Hulu Selangor untuk berjumpa dengan guru-guru di kawasan itu yang dijadualkan sepanjang bulan ini. 
Katanya, Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa yang terletak di Jalan Bukit Sentosa 7, Bukit Sentosa 2 di kawasan itu juga akan turut dikunjungi Muhyiddin dalam rangka lawatan tersebut.
"Jadi kesemua guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa mestilah bersedia dari sekarang untuk menyambut kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi untuk berjumpa dengan guru-guru di sekolah ini," katanya.
Beliau juga berkata, kunjungan Muhyiddin ke sekolah itu tentunya mencatat sejarah tersendiri kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, lebih menggembirakan lagi apabila sempena kunjungan Muhyiddin itu, pihak Umno akan turut memberikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada setiap PIBG di kawasan Hulu Selangor bagi mengisi tabung PIBG di sekolah-sekolah terbabit.

Seorang lagi penduduk kawasan itu ketika ditemui selepas itu semalam, Mohd Rozman Hassan, 53, turut yakin kunjungan Muhyiddin itu sememangnya bermotifkan politik kerana ia turut diiringi dengan sumbangan RM3,000 dari pihak Umno kepada setiap PIBG di sekolah-sekolah di kawasan itu.

"Jika tidak untuk kepentingan politik, mustahil Muhyiddin akan mengadakan lawatan itu dan Umno pula turut memberikan sumbangan sebanyak itu sekarang.


"Lebih jauh dari itu, jika Umno nak bantu PIBG-PIBG di kawasan itu, kenapa baru sekarang hendak diberikan sumbangan itu? Kenapa juga baru sekarang Muhyiddin mengadakan lawatan itu?" tanyanya yang juga seorang kakitangan kerajaan.


Sementara seorang ibu yang juga kakitangan kerajaan, Maimunah Ismail, 35, berkata, tujuan Muhyiddin hendak bertemu dengan guru-guru di kawasan itu tentunya terselit motif politik memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan diadakan tidak lama lagi.


"Sekarang semua orang tahu, sokongan rakyat negara ini termasuk di kalangan guru-guru sendiri terhadap Umno BN telah semakin merosot.


"Jadi tujuan Muhyiddin hendak bertemu dengan guru-guru itu tentunya untuk mengambil hati para guru, bagi meraih sokongan guru-guru terbabit terhadap Umno BN supaya memberikan undi kepada BN pada pilihanraya umum yang akan diadakan tidak lama lagi," katanya.
Seorang guru yang ditemui, Zanariah Mat Zain, 38, turut sependapat dengan beliau dengan menambah, sekiranya Muhyiddin benar-benar jujur hendak bertemu dengan para guru untuk kepentingan pelajaran, bukan baru sekarang pertemuan itu diadakan.
Katanya, sekiranya Umno juga benar-benar jujur hendak membantu PIBG di sekolah-sekolah kawasan itu, sudah lama sumbangan itu diberikan dan bukannya sekarang.
"Jadi, semua itu hanyalah tindakan gula-gula sahaja dari Muhyiddin dan Umno. Saya amat kecewa dengan tindakan yang ternyata hendak memperbodohkan para guru dan ibu bapa seperti ini.
"Tetapi saya juga yakin, guru-guru dan ibu bapa di seluruh kawasan Hulu Selangor khasnya dan di seluruh negara amya tidak akan dapat dipengaruhi dengan mudah lagi oleh pihak Umno BN.
"Sebaliknya, masing-masing sudah dapat membaca dari awal lagi mesej yang tersirat di sebalik kunjungan Muhyiddin dan sumbangan Umno itu," ujar beliau.

Sesat: Pemuda PAS sedia debat dengan Ahmad Said

Harakahdaily,12 Feb 2012
KUALA TERENGGANU, 12 Feb: Pemuda PAS Terengganu dengan penuh rasa bertanggungjawab untuk mempertahankan PAS daripada tuduhan jahat Datuk Seri Ahmad Said, Ketua Perhubungan Umno negeri dan juga Menteri Besar yang menyatakan PAS ialah ‘Parti Ajaran Sesat’.

“Sesiapa sahaja boleh juga menuduh Umno sebagai United Musyrik National Organization.

“Tetapi kami tidak merasa selesa untuk membuat tuduhan ini dengan menggunakan uslub celupar Ahmad,” tegas ketuanya, Mohd Nor Hamzah(gambar) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau juga meminta pihak penguasa buat penyiasatan segera tentang tulisan dalam Sinar Harian yang bertajuk “Mat Said mempertikaikan hukum liwat” yang diluluskan dalam Enakmen Jenayah Syarei Terengganu (Hudud dan Qisas) 2003.

Katanya, pertikaian Ahmad tentang peruntukan dalam enakmen itu juga menggambarkan sikap beliau yang menghina enakmen itu dan Tuanku Sultan Terengganu yang telah menandatanganinya.

Menurutnya lagi, sikap Ahmad yang mempertikaikan enakmen itu juga menolak pandangan ijmak ulama tentang kesalahan suami yang meliwat isteri tidak boleh dijatuhkan hukuman Hudud.

Beliau yang juga Adun Bukit Payong berkata Ahmad mula berada dalam kesesatan, bila mana beliau mempertikaian pendapat ijmak ulama.

Tambahnya, tuduhan jahat Ahmad terbongkar daripada hati yang jahat dan kebencian yang membara kepada rakyat yang mendampingi, menyokong dan bangkit bersama PAS untuk menjatuhkan kesombongan, pembaziran, penyelewengan dan penyalahgunakuasa pemimpin-pemimpin Umno.

Katanya, isu NFC, penyalahgunaan wang zakat, stadium runtuh dan banyak isu yang menjerat Umno untuk mempermudahkan rakyat menggantikan Umno dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata tuduhan Ahmad yang berupa fitnah yang berkemungkinan mencetuskan perpecahan, perbalahan dan huru-hara  dalam masyarakat.

Menurutnya, tuduhan itu bukan sahaja menafikan dan mempertikaikan sistem demokrasi yang diamalkan dan pihak Pendaftaran Pertubuhan dalam negara, tetapi juga menghina sejuta ahli PAS dan jutaan penyokong dan pengundi PAS yang terdiri daripada ulama, tuan guru-tuan guru, pegawai-pegawai kerajaan, golongan profesional, ustaz-ustazah, guru-guru, petani-petani, nelayan-nelayan, anak-anak muda dan mahasiswa.

Tambahnya lagi, tuduhan jahat itu juga menghina dan mencerca ahli keluarga, saudara mara, sahabat-sahabat, jiran-jiran yang mempunyai hubungan erat dengan ahli Umno.

“Kami yakin ahli-ahli Umno juga tidak setuju dan marah dengan tuduhan dan tohmahan sebagai penganut ajaran sesat dikaitkan kepada mana-mana peribadi yang mempunyai hubungan dengan mereka.

“Oleh itu, kami menyeru ahli Umno supaya menentukan sikap ‘tidak setuju’ kepada Ketua Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan Umno dalam Pilihanraya Umum ke 13 iaitu ‘PAS Ganti Umno’ (PGU),” katanya lagi.

Beliau menambah, tuduhan Ahmad juga menggambarkan sikapnya yang cuba mempertikaikan kewibawaan Ashabul Samahah Mufti-Mufti dan penguatkuasa syariat yang boleh membuat  penyiasatan dan pendakwaan ke mahkamah syarei terhadap mana-mana pihak yang membawa ajaran sesat.

Justeru, ujarnya Ahmad Said boleh mengarahkan jabatan yang bertanggungjawab untuk membuat siasatan dan pendakwaan terhadap tuduhannya.

“Tetapi PAS merupakan parti  politik yang berdaftar telah melayari bahteranya menjangkau 60 tahun dengan sokongan ulama dan tok guru-tok guru pondok, bahkan beberapa peribadi yang telah memegang jawatan mufti seperti Almarhum Datuk Ishak Baharom,” ujarnya.

Sebaliknya, kata beliau Umno pernah diharamkan oleh mahkamah.

PAS juga, katanya pernah bersedia untuk berdebat dengan ulama Umno tetapi perdebatan itu telah dibatalkan oleh kerajaan dengan sikap bacul dan pengecut.

Tegasnya, Pemuda PAS negeri menyokong kenyataan yang dibuat oleh Datuk Abu Bakar Chik, AJK PAS Pusat yang telah cukup tempoh untuk Ahmad menarik balik kenyataannya dan memohon maaf pada hari ini.

“Kami bersedia berdebat dengan Datuk Seri Ahmad Said di medan yang terbuka agar rakyat boleh membuat keputusan dan menentukan sikap dalam Pilihanraya Umum ke 13,” ujarnya.

Di samping itu, jelasnya Pemuda PAS Negeri akan membuat laporan polis dan tindakan mahkamah terhadap tuduhan jahat itu agar tidak berulang dan dilakukan oleh mana-mana pemimpin Umno.

PAS Terengganu yakin menang PRU13

Khairul Azlam Mohamad,12 Feb 2012

PASIR PUTIH, 12 Feb: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut cukup yakin Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, ini bakal berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Katanya, berdasarkan senario semasa politik negara hari ini, Terengganu juga akan dimenangi oleh PAS pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, kerajaan PAS pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali iaitu pada pilihan raya pertama tahun 1959 dan PRU10 tahun 1999.

“Kita (PAS) di Terengganu pernah menang dua kali. Kita menang Pilihan Raya Pertama tahun 1959 dan menang kali kedua tahun 1999 dan Insya’Allah, kita (PAS) hendak menang kali ketiga (PRU13) ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dana Pilihan Raya Umum PAS Kawasan Besut.

Majlis Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Sweet Beach Resort, Semerak Pasir Putih, Kelantan, semalam.

Namun kata Abdul Wahid, kemenangan tersebut perlu diperolehi bukan kerana kelemahan Umno dan Barisan Nasional tetapi atas kekuatan PAS sendiri.

Menurutnya, seluruh jentera parti hari ini sedang bekerja ke arah mencapai kemenangan tersebut.

“Kita (PAS) hendak menang bukan atas kelemahan Barisan Nasional tetapi atas kekuatan PAS sendiri. Kita (PAS) sedang bekerja ke arah untuk mencapai kemenangan pada PRU13, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mendakwa PAS negeri telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya (PRU13) sejak bulan November 2011.

Katanya, Umno-BN tidak berani untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini kerana parti itu hilang sokongan rakyat.

Menurutnya, seluruh rakyat terutama di kalangan pengundi Tionghua (Cina) dan India sepakat menolak Umno dan kerajaan BN.

“Umno-BN tidak berani hendak buat pilihan raya dalam masa terdekat ini. Kita (PAS) telah siap sedia sejak bulan November 2011 lagi.

“Kita (PAS) juga bersiap untuk pilihan raya jika bulan Mac 2012 ini. Mereka (BN) telah kehilangan sokongan rakyat secara umum terutama orang (pengundi) Cina dan India,” jelasnya.

Katanya, banyak faktor yang menyebabkan Umno-BN tidak berani mengadakan pilihan raya tersebut seperti kes Dato’ Seri Anwar, Laporan Audit Negara, projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) dan banyak lagi.

Antara pimpinan PAS yang hadir pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, Ketua Muslimat PAS Terengganu, Cikgu Safinah Jusoh, Setiausaha Muslimat PAS Terengganu, Raja Endut Raja Abdul Rahman dan Adun Limbungan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat.

Samseng serang program SMM, sasar Adam Adli

Muhammad Faizal,12 Feb 2012
KLANG, 12 Feb: Program Jelajah Mahasiswa di sebuah dewan orang ramai di Kampung Idaman, Pandamaran malam tadi diserang sekumpulan samseng yang membuat kecoh dan memecahkan meja dan kerusi.

Difahamkan lebih 50 orang samseng tersebut menyerbu dewan itu dengan mensasarkan pemimpin pelajar Adam Adli.

Bagaimanapun ketika kejadian kira-kira jam 8 malam tadi itu, Adam Adli berada di luar dewan dan sempat menyelamatkan diri.

Kumpulan samseng itu difahamkan bertindak merosakkan barangan dalam dewan termasuk memecahkan kerusi dan meja.

Penganjur program Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) kemudiannya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Idaman.

Insiden itu bagaimanapun tidak berakhir di situ apabila kumpulan samseng tersebut bertindak mengepung sekali lagi mahasiswa-mahasiswa tersebut di hadapan balai polis tersebut.

Keadaan tegang itu memaksa pihak polis membawa mahasiswa tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang bagi tujuan mendapatkan perlindungan.

Pada masa sama, kumpulan samseng itu juga turut mengekori mahasiswa itu dan menanti mereka hadapan IPD Klang itu.

Selepas mendapat maklumat berhubung insiden itu, pasukan Unit Amal PAS dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut bergegas ke tempat kejadian.

Ketua Penerangan AMK Selangor, Saifullah Zulkifli yang ditemui di tempat kejadian berkata, setibanya di perkarangan IPD itu beliau dan beberapa rakan dihalang sekumpulan samseng tersebut.

Mereka juga diludah dan dihambur dengan kata-kata kesat.

"Malah ketika saya berjalan untuk memasuki IPD sekumpulan pengikut Umno seramai 50 orang itu telah memaki hamun serta ada antaranya meludah ke arah kami walaupun kami memaklumkan kehadiran kami tidak ada kaitan dengan mahasiswa tersebut," jelasnya.

Tambahnya lagi, kekacauan berlaku sekitar jam 8 malam apabila sekumpulan pengikut Umno telah memasuki dewan orang ramai di Kampung Idaman dengan membuat kecoh serta memecahkan kerusi.

"Sasaran mereka adalah Adam Adli tetapi ketika kejadian tersebut berlaku Adam tidak berada di dalam dewan, sebaliknya beliau masih berada di luar dewan dengan niat bila keadaan benar-benar selamat baru beliau masuk ke dalam dewan.

"Tetapi Adam bernasib baik sempat dibawa lari sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku," sambungnya.

Adam Adli sebelum ini mencetus kontroversi dengan bertindak menurunkan bendera perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di hadapan bangunan Umno ketika demonstrasi mahasiswa menuntut pemansuhan Auku di PWTC Disember tahun lalu.

Antara mahasiswa yang dibawa berlindung di IPD Klang adalah Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independent (KAMI), Khalid Ismath dan Koordinator Aksi Mahasiswa Independent (AKSI), Ehsan Bukharee.

Mereka kemudiannya dibawa keluar dari IPD kira-kira jam 2.30 pagi dengan dua buah kenderaan polis.

Dalam pada itu, kekacauan tersebut telah menyebabkan beberapa buah kereta milik mahasiswa telah rosak teruk.

Serangan serupa sebelum ini berlaku pada program Asal Bukan Umno (ABU) di Jalan Kebun, Shah Alam.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki dilapor cedera dalam insiden tersebut.

Penganut Hindu pun rasa tersinggung...

http://blog.marhaen.info,11 Feb 2012
Pada saat-saat umat Islam menyambut Maulidur Rasul memperingati hari keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, mereka dikejutkan dengan berita serta gambar Perdana Menteri menyambut Thaipusam di Batu Caves.

Sejarah perkembangan Islam di negara ini yang dibawa oleh Parameswara yang kemudiannya memeluk Islam dan menggunakan nama Muzaffar Shah, seolah-olah diterbalikkan oleh seorang pemimpin penganut Islam untuk kembali ke agama Hindu.

Melalui rakaman gambar-gambar yang tersebar, kelihatan seolah-olah pemimpin yang mengakui dirinya Islam ini sudah mengambil-alih peranan dewa agama Hindu. Bak kata SS Mufti Negeri Perak, Najib sudah menggadai akidah. (pautan di akhir artikel ini) ~~

Perayaan Thaipusam, sejak tiga tahun yang lalu telah diambil-alih oleh seorang pemimpin yang seronok membiarkan dirinya dilayan dan dijadikan seumpama dewa. Malah, lebih hebat daripada dewa yang disembah oleh penganut agama Hindu sendiri. Kita ikuti tulisan J. D. Lovrenclear yang menyentuh mengenai perayaan keagamaan masyarakat Hindu yang telah menjadi perayaan mendewakan pemimpin.

Perdana Menteri Malaysia dan isterinya difotografkan di mana mereka dikalungkan dengan kalungan bunga yang amat besar di Batu Caves semasa perayaan Thaipusam berlangsung.
Saiz kalaungan itu adalah antara isu yang telah menimbul seribu tanda tanya.

Kenapa pihak Kuil membiarkan ahli politik mengambil kesempatan ke atas perayaan yang sedang diadakan? Adakah kita begitu terdesak sehinggakan erti perayaan dan maknanya digunakan untuk tujuan politik semata-mata?

Jangan merendah-rendahkan Thaipusam
Pertama sekali, kenapa ada kalungan bunga yang besar dipakaikan kepada PM dan isteri seolah-olah merekalah yang sepatutnya diraikan. Bukankah tumpuan perayaan adalah untuk penganut-penganut menyembah tuhan sebagai tanda kesucian, keabdian dan penyerahan diri?
Bukankah prinsip dan makna Thaipusam sepatutnya diraikan dan dijadikan tumpuan?

Kalungan bunga sebesar itu sudah semestinya mahal dan memakan masa yang lama untuk disiapkan. Kenapa wang itu tidak digunakan sahaja untuk keperluan perayaan dan korban yang merupakan tujuan utama Thaipusam?

Adakah PM atau isteri beliau tidak mempunyai rasa rendah diri dan peka untuk menasihati pihak kuil yang cuba membodek ahli politik sekali gus menunjukkan kebodohan mereka dengan persembahan yang melibatkan kalungan gergasi itu?

Tiada rasa malu dan sensitif

Mengapa Perdana Menteri bercakap pula tentang 'nambikai' - tentang saling mempercayai di antara satu sama lain di tempat lelaki dan wanita berkumpul dari jauh dan dekat untuk melakukan penebusan dosa dan melakukan pemberian kepada dewa-dewa masing-masing?
Dan kenapa menggunakan Thaipusan untuk berpolitik dengan mengumumkan peruntukan berjuta-juta ringgit bagi pembinaan pusat baru di Batu Caves?Jika niat itu benar-benar ikhlas ia boleh diumumkan pada bila-bila masa atau hari lain dan bukankah ini akan memberi makna yang lebih positif?
Semua yang terus bersubahat, membiarkan sahaja dan menyokong penodaan perayaan keagamaan seperti Thaipusam dengan berpolitik secara kotorsepatutnya malu. Jangan cuba untuk menjustifikasikan perbuatan itu.
Apakah komen ahli politik India? Apa pula kata pemimpin agama Hindu?

Oleh J. D. Lovrenclear - pembaca Malaysia Chronicle

Petikan:
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.
Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.
“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.  (bacaan seterusnya melalui pautan tajuk di bawah)

Suburkan dialog dan debat intelektual

Wan Mohamad Rasyadan,

Rakyat pada hari ini mempunyai selera politik yang berbeza berbanding dahulu. Mereka lebih cenderung menilai agenda yang ditawarkan oleh parti-parti politik dan seterunya memilih parti yang mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.
Mereka bukan lagi taasub kepada satu parti politik, hasilnya, setiap parti politik berusaha keras merencanakan agenda yang dibawa bagi memastikan persepsi positif pengundi sentiasa konsisten terhadap mereka.

Political will (keazaman politik) bagi sesebuah parti politik menjadi satu perkara yang penting bagi rakyat menilai kesungguhan parti politik membawa agenda yang telah direncanakan iaitu bukan sekadar omongan kosong, ia perlu direalisasikan.

Salah satu usaha yang mesti diambil perhatian bagi memenuhi tuntutan budaya politik baru ini ialah dengan menyuburkan dialog dan debat intelektual secara terbuka tanpa ada manipulasi dari pihak tertentu dari sudut maklumat. Ini sangat penting bagi memastikan rakyat mendapat sumber maklumat yang segar dan telus.

Bukanlah budaya baru

Dialog dan debat intelektual bukanlah sesuatu yang baru di dunia. Mungkin diMalaysia ia agak kurang popular, kerana adanya sikap ketidak terbukaan parti politik dalam menganjurkan dialog dan debat intelektual, dan juga ketelusan media arus perdana dalam menyiarkan debat dan dialog tersebut.

Jika kita menyoroti sejarah, bagaimana kisah nabi Musa a.s. ketika berhadapan dengan puluhan ribu ahli sihir yang dikumpulkan oleh Firaun untuk mengalahkan baginda. Walaupun dari sudut keadilan boleh dipertikaikan kerana puluhan ribu ahli sihir melawan seorang nabi, akan tetapi perkara yang menarik ialah pertandingan ini secara terbuka dengan kehadiran pembesar negara dan rakyat jelata dari seluruh Mesir. Penonton dapat menilai secara langsung pihak yang benar dan pihak yang batil.

Kita juga masih ingat bagaimana John McCain berhadapan dengan Obama dalam Final US Presidential Debate. Ketenangan yang dibawa oleh Obama dan cemasnya McCain telah memberikan satu klu kepada pengundi, siapakah yang sebenarnya layak dipilih sebagai presiden di samping keyakinan Obama dalam menyampaikan agenda yang mahu dibawa untuk membangunkan Amerika.

Perlu disuburkan

Harga petrol yang dijadikan isu perdebatan antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek cukup memberi impak yang besar kepada rakyat. Dengan jelas dan telus rakyat dapat menyaksikan bagaimana hujah yang dilontarkan oleh pemimpin dari pemerintah dan juga pembangkang dalam membela nasib rakyat.

Kesediaan PAS dalam berdialog dengan mana-mana komponena BN menunjukkan kematangan politik yang wujud dalam PAS. Menurut Datuk Husam Musa, Naib Presiden Pas sesi dialog yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian masalah tertentu adalah digalakkan dan ia tidak perlu dilakukan secara tertutup.

Tidak kurang hebat juga dengan ajakan debat satu sama satu secara terbuka oleh Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin, Menteri Pembangunan Wilayah dan Pembangunan Bandar kepada anggota parlimen pembangkang berhubung isu penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai skim perumahan kos rendah.

Debat politik anjuran Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) membabitkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerlahkan kematangan mereka berhujah dan mengetepikan sentimen peribadi dan kepartian. Mereka berhujah dan mencabar minda mengenai Wawasan 2020 dan benarkah Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai taraf negara maju yang tinggal 8 tahun lagi. Sayang sekali debat tersebut dianjurkan di luar Malaysia.

Budaya ini juga mesti disuburkan di dalam kampus, ketepikan dahulu isu AUKU yang sempit. Kita ketengahkan agenda memperkayakan minda mahasiswa. Pihak pentadbiran sewajarnya memberi galakan kepada mahasiswa menganjurkan dialog dan debat intelektual bukannya menyekat secara membuta-tuli. Apa salahnya kita tokoh-tokoh politik seperti Datuk Mustapha Mohamed, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Salahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook diundang berdialog di pusat pengajian tinggi? Jawapannya tentu sekali tidak salah, kerana pentadbiran pusat pengajian tinggi sepatutnya tidak ada kepentingan dalam politik.

Harapan anak muda

Oleh sebab itu, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) melalui Majlis Politik Nasional (MPN) pernah menawarkan diri sebagai penganjur debat terbuka antara Dato Seri Najib Tun Razak dengan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Dialog dan debat intelektual salah satu pemangkin kepada pendidikan politik. Sasaran yang ingin dicapai dalam pendidikan politik ialah wujudnya wa’yu siyasi (kesedaran politik) dalam setiap diri individu. Kita juga mengharapkan media arus perdana selaku medium pengantar maklumat memainkan peranan secara telus dan adil tanpa ada manipulasi dari sudut maklumat.

GAMIS sangat optimis sekiranya budaya ini disuburkan, di Malaysia akan wujudnya parti politik yang mempunyai keazaman politik yang tinggi dan rakyat tersedia dengan pendidikan politik yang baik, dikukuhkan dengan sistem pilihanraya yang telus dan adil. Seterusnya melahirkan politik baru Malaysia.

GAMIS Inspirasi Anak Muda!

Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Ketua Penerangan GAMIS

Gadai akidah: Mufti perlu berani tegur Najib

Harakahdaily,11 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 11 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat mahu lebih ramai para ulama, mufti dan golongan agamawan tampil menyatakan pandangan terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hadir ke upacara agama di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam minggu lalu.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohamad Nor berkata, golongan itu perlu berani untuk menyatakan kebenaran seperti yang ditunjukkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang membantah tindakan Najib itu dan menyifatkannya sebagai ‘menggadai akidah’.

"Pemuda PAS melihat keberanian inilah yang perlu ditunjukkan oleh para Mufti di negara ini apabil melihat kemungkaran berlaku di depan mata tanpa mengira siapa pun pelakunya. 

"Soal aqidah umat mesti menjadi keutamaan dan para ulama tidak harus berdiam diri apabila melihat aqidah umat rapuh atau runtuh," katanya.

Menurutnya, kehadiran Najib sempena perayaan Thaipusam sememangnya mengundang kegelisahan umat Islam di negara ini. 

Meskipun Datuk Seri Najib hadir atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada penganut agama Hindu, disisi Islam katanya perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan. 

Tambahnya lagi, walaupun agama Islam tidak pernah melarang penganut agama lain merayakan perayaan masing-masing, namun Islam tetap mengharamkan umatnya menyambut perayaan agama lain kerana ia boleh menjejaskan aqidah umat Islam. 

"Kehadiran Najib dikhuatiri akan merosakkan aqidah beliau dan umat Islam yang lain memandangkan beliau adalah Perdana Menteri di negara ini, dan tindakan beliau pasti akan diikuti oleh rakyat jelata. 

"Perdana Menteri tidak perlu hadir ke Batu Caves hanya untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan atau menyerahkan kepada pemimpin MIC untuk mengucapkan selamat menyambutnya," tegasnya.

Langgar syariat demi sokongan

Selain itu Riduan berkata, dewan pemuda PAS melihat Perdana Menteri bertindak demikian kerana amat kemaruk untuk mendapatkan pengaruh dan populariti bagi mengekalkan kuasa beliau sehingga sanggup melanggar syariat dan aqidah. 

"DPPM hairan mengapa penasihat agama beliau termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir tidak tampil lebih awal memberikan nasihat supaya beliau tidak hadir ke Batu Caves bagi mengelakkan kritikan rakyat," soalnya lagi.

Sehubungan itu, mereka meminta lebih ramai para mufti, para ulama dan agamawan di negara ini bersuara bagi menyatakan kebenaran di sebalik isu ini. 

Bagi mereka, apa juga pandangan ulama perlu diambil kira biarpun hasilnya pahit untuk ditelan. 

"Demi aqidah umat, tiada siapa harus berdiam diri atau menyembunyikan kebenaran," tegasnya.

Tuduhan Pas Kelantan jahat, kata Mustapa
Zaimatuljuwita Abd Manaf
12 Februari 2012
ramalan-ptambahan-mksiat-d-kltn-suatu-tduhan-jahat--mustapha
BACHOK - Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan andaian yang mengatakan judi dan riba akan meningkat jika pengundi memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) memerintah Kelantan pada pilihan raya umum akan datang sebagai satu tuduhan jahat bagi menakutkan rakyat negeri itu.
Pengerusi Umno Kelantan berkata, ramalan karut itu adalah sesuatu dakyah yang cuba menakutkan rakyat negeri itu sedangkan BN terbukti banyak menzahirkan sistem dan ajaran Islam dalam pelbagai aspek.
Menurutnya, kerajaan Pas Kelantan tidak boleh mendabik dada dengan membuat tuduhan itu kepada BN kerana di bawah pemerintahan Pas sekarang ini juga wujud masalah sosial.

“Apa niat beliau (Nik Aziz) sebenarnya saya tidak tahu, tetapi jika itu telahan beliau, ia adalah suatu tuduhan jahat yang ingin mencipta keadaan menakutkan rakyat.

“Kita sebagai sebuah negara Islam tekad untuk banteras gejala tidak bermoral dalam usaha mewujudkan masyarakat sejahtera dan berakhlak. Selain itu, banyak yang kerajaan BN laksanakan termasuk aspek perbankan Islam yang menjadi ikutan negara Islam lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Simulasi PRU bagi Kelantan dan Terengganu dekat sini, malam kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz NIk Mat yang membayangkan negeri ini akan subur dengan premis judi dan amalan riba sekiranya BN dapat menawan kembali Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Mustapa berkata, BN akan terus melaksanakan dasar-dasar untuk memastikan bahawa negara Malaysia ini semakin aman sejahtera serta rakyatnya berakhlak yang menjadi cita-cita semua umat Islam.
Lagi ceramah dibatalkan akibat ganguan 'samseng'
Satu lagi ceramah, kali ini mengenai kebebasan akademik terpaksa dibatalkan malam tadi selepas sekumpulan remaja menganggu majlis itu dan mengepung lokasi yang dicadangkan di Kampung Idaman, Klang.

NONEKetika dihubungi, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab berkata "samseng" berkenaan telah memecahkan kerusi dan menyelerakkan dewan serbaguna itu sebelum ceramah bermula.

"Mereka juga mengepung lokasi itu dan kami terpaksa berlindung di sebuah gerai makanan berhampiran sementara menunggu keadaan kembali tenang," katanya.

Walau bagaimanapun, kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 70 orang, kata Ahmad Syukri, enggan berganjak dan ini memaksa pelajar yang berjumlah kira-kira 15 orang itu membuat laporan di balai polis Pandamaran.

"Kami tiba di balai polis Pandamaran pada kira-kira jam 11.30 malam, samseng itu terus ekori kami dan mula berkumpul di sana bersama motosikal mereka,” katanya.

smm klang ceramah 120212Kejadian ini adalah kali kedua apabila ceramah seumpama itu di Klang terganggu. Kali pertama, ceramah pertubuhan Asalkan Bukan Umno (ABU) ‘diserang’ remaja bermotosikal yang bertindak ganas dengan menyerbu lokasi di Jalan Kebun dan dilaporkan memukul seorang pemuda.
Baling batu

Menurut Ahmad Syukri, akibat keadaan yang tegang, polis Pandamaran memutuskan untuk mengiringi pelajar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang untuk membuat laporan.

“Tiga kereta polis mengiringi kami dalam konvoi lima kenderaan tetapi ketika kami keluar, mereka membaling batu dan memukul kereta kami dengan kayu.

smm klang ceramah 120212“Syukur, cermin kereta kami tidak pecah tetapi kereta (timbalan presiden, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen) Khalid Mohd Ismath kemek teruk," katanya sambil menambah polis juga tidak mampu berbuat apa-apa.

Samseng-samseng itu sekali lagi mengekori pelajar berkenaan ke ibu pejabat polis daerah Klang  dan kali ini, kata Ahmad Syukri bilangan mereka meningkat kepada lebih 100 orang.

"Selepas membuat laporan polis, kami dinasihatkan supaya tidak meninggalkan balai polis berkenaan demi keselamatan.

"Malah sehingga jam 4 pagi, samseng itu masih di luar, jadi kami terpaksa melarikan diri melalui pintu lain dengan bantuan penduduk tempatan," katanya.

smm klang ceramah 120212Menurut Ahmad Syukri, pelajar akhirnya berjaya meninggalkan tempat itu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan tanpa sebarang kecederaan.

Ceramah malam tadi adalah sebahagian daripada program jelajah mereka ke seluruh negara bagi menuntut kebebasan akademik. Walau bagaimanapun, ini adalah kali pertama ia diganggu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan