Jumaat, 17 Februari 2012

INSYAALLAH BOLEH MENANG..PILIHLAH CALON2 YANG TAKWA..ZUHUD..BERPENDIDIKAN..KUAT IBADAHNYA SERTA RAPAT DENGAN ALLAH..BUKAN YANG GILA KUASA..MENUNJUK2 PANDAI..SEOLAH2 DIA SEMUA TAHU..SEOLAH2 IALAH PALING HEBAT DAN TERBAIK..ELAKLAH KITA CALON2 ORANG BEGINI

Mahkamah benar halang KPF lupus hutang kepada FGVH

Hazayani Zakaria, 17 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 17 Feb: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini membenarkan injunksi interim untuk melarang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu petang ini selepas mendengar Saman Dalam Kamar (Ex-Parte) yang dikemukakan lapan pemegang saham KPF.

Tiga permohonan yang dibuat plaintif (ahli KPF) ialah:

1. Satu injunksi interim melarang defendan (KPF) samaada secara sendiri atau perkhidmat defendan atau melalui sesiapa sahaja yang bertindak bagi pihak defendan untuk berbincang dan membuat sebarang keputusan untuk melupuskan samaada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holdings Berhad dan sepuluh anak syarikat kepada Felda Global Ventures Holding Berhad.

2. Satu injunksi interim melarang defenden samaada secara sendiri atau melalui perkhidmat defendan atau melalui sesiapa sahaja yang bertindak bagi pihak defendan untuk menguatkuasakan sebarang keputuan untuk melupuskan samaada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holdings dan sepuluh anak syarikat milik Felda Holding kepada Felda Global Ventures Holding Berhad.

3. Satu injunksi interim melarang defendan samaada secara sendiri atau melalu perkhidmat defendan atau melalui sesiapa sahaja yang bertindak bagi pihak defendan untuk melupuskan samaada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holding dan sepuluh anak syarikat milik Felda Holdings kepada Felda Global Ventures Holding Berhad.

Menurut Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, mesyuarat agung khas (EGM) KPF pada 22 Februari ini boleh diadakan tetapi tidak boleh membincangkan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

Beliau menyifatkan berita gembira itu sebagai kejayaan awal peneroka menghalang penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

"EGM 22 Februari ini boleh diadakan tapi mereka tak boleh bincang tiga perkara yang dipohon itu.

"Keputusan yang sangat menggembirakan warga Felda dan perjuangan kita untuk memastikan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia tidak berlaku," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Sementara itu, peguam Harris Abdullah berkata, jika EGM tersebut tetap membincangkan penyenaraian FGVH, mereka boleh didakwa menghina mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang.

"Kami tak halang mereka buat EGM tapi jangan bincang soal pelupusan ekuiti KPF untuk penyenaraian FGVH.

"Kalau mereka tetap usulkan perkara ini, kita boleh dakwa mereka hina mahkamah dan tindakan undang-undang boleh diambil. Jadi mereka kena patuh pada perintah mahkamah," katanya yang juga ahli jawatankuasa Anak.

Kempen Jaga Aurat Sepanjang Hayat dilancar

Harakahdaily, 17 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 17 Feb: Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Persatuan Persaudaraan Muslimah Negeri Kedah (Salimah) dan Badan Gabungan NGO Islam Kedah (Wehdah) melancarkan Kempen Setahun Menjaga Aurat Sepanjang Hayat bermula hari ini.


Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, kempen bertema “Menjaga Aurat, Hidup Berkat, Masyarakat Selamat” bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat Islam akan kewajipan semua kaum Muslimin sama ada wanita mahupun lelaki agar menjaga aurat mereka dalam berpakaian seperti yang diwajibkan oleh ajaran agama Islam.

“Kempen ini akan menyebarkan maklumat dan kesedaran ke seluruh masyarakat Islam agar menghayati hikmah dan manfaat menjaga aurat dalam membina watak masyarakat Islam yang bermaruah, berakhlak dan berprinsip,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, akibat pelbagai asakkan pengaruh Barat dan budaya asing, umat Islam kini menghadapi kesan keruntuhan identiti dan penghakisan nilai sahsiah Islam yang amat kencang.

Lantaran itu, ujarnya timbul faham yang keliru terhadap kewajipan menjaga pakaian yang  menutup aurat dengan sempurna.

Tambahnya, timbul suara dan pandangan serong terhadap pakaian menjaga aurat sehingga dianggap bertentangan dengan hak kebebasan invidu dalam masyarakat.

Katanya, walaupun memakai tudung di kalangan wanita Islam kelihatan sangat meluas dewasa ini namun pakaian tudung dengan segala bentuk dan corak yang difahami oleh masyarakat telah menghilangkan makna menutup aurat seperti yang ditekankan oleh agama Islam.

Beliau berkata, fesyen berpakaian ketat tetapi bertudung, menggunakan tudung hanya waktu terrtentu sahaja, wujudnya kaum lelaki yang tidak menjaga aurat dalam beriadhah dan berseni adalah antara gejala yang kini berleluasa dalam masyarakat.

Katanya lagi, tudung yang kini  dilihat suatu fesyen terbaru  ditanggapi hanya sebagai tren semasa yang akhirnya memesongkan kefahaman masyarakat terhadap pengertian sebenar menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam.

Menurutnya, kini gaya berpakaian bertudung sedang menjalani era komersialisasi yang amat pesat sehingga ramai artis dan wanita muda memakai tudung bukan kerana kefahaman dan penghayatan yang mendalam akan tetapi kerana ia dilihat sebagai tren.

“Kempen ini akan melibatkan seluruh lapisan masyarakat serta pelbagai agensi dan pertubuhan Islam supaya konsep menjaga aurat dihayati dan mencapai kesan yang sepatutnya.

“Ia juga akan melibatkan agensi media, kesatuan sekerja , badan belia, pertubuhan wanita, badan professional, badan korporat dan  persatuan mahasiswa IPT,” katanya lagi.

Kempen itu, ujarnya akan melibatkan pelbagai aktiviti seperti menyebar risalah dan poster, forum, ceramah penerangan, dialog, khutbah, penerangan di institusi pendidikan dan demonstarsi tatacara berpakaian dalam Islam.

Sehingga kini, katanya sebanyak 100 NGO di negeri Kedah telah bersama dalam Wehdah untuk bersama dalam kempen itu.

Menurutnya beliau lagi, kempen itu akan menarik institusi masjid dan surau untuk menyertainya yang akan melibatkan seluruh institusi masjid sebanyak lebih 500 buah di negeri Kedah.

Katanya, kempen juga akan mengadakan aktiviti dialog dan penerangan kepada badan-badan bukan Islam supaya masyarakat bukan Islam dapat memahami kenapa mereka harus mengharmoti kewajipan  orang Islam  menjaga aurat dalam semua aspek kehidupan sosio-budaya-ekonomi  mereka.

“Memorandum khas mengenai kempen ini juga akan diserahkan kepada kerajaan negeri, jabatan dan agensi swasta  untuk mendapatkan  perakuan persetujuan dan sokongan mereka terhadap etika menjaga aurat sebagai kod berpakaian pekerja.

“Sekretariat kempen ini membuka pendaftaran kepada 100 orang sukarelwan untuk menyumbang tenaga,” ujarnya.

Ahmad Maslan ulangi perbuatan Anwar, Khir

Mohd Sayuti Omar, 17 Feb 2012
Bila saya tengok gambar Ahmad Maslan sedang memegang Buku Jingga untuk dibuang ke dalam tong sampah di sebuah pentas yang indah di hadapan para peneroka saya teringat kepada dua peristiwa satu yang menimpa ke atas diri saya sendiri dan satu lagi ke atas Pegawai Daerah Hulu Selangor.

Peristiwa yang menimpa saya ialah bagaimana Anwar Ibrahim mengherdik dan memperlekehkan saya apabila saya menulis sebuah buku politik berjudul Anwar Ibrahim: Mimpi Dan Realiti. Buku itu mengkritik peribadi dan stail politiknya. Kejadian itu berlaku selepas tiga tahu apabila berliau tersua dengan saya di parlimen.

Saya masih ingat antara herdikan Anwar; "Buku you memalukan apa lagi kalau dibaca oleh anak-anak sekolah, elok di tong sampahkan!" Oh...begitulah kata Anwar dengan suara yang angkuh. Di sekelilingnya ada beberapa orang kawan saya yang mendengar herdikan Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia orang nombor dua terkuat di Tanah Malaya.

Saya tidak mudah gelabah dan gentar dengan herdikan Anwar. Saya menjawab dan menyambut kata seperti mana gendang yang Anwar tabuhkan. Dia juga peragah dengan tindakan saya yang dia kira saya anak cicak.

Di dalam buku itu ada saya tulis fasal dia bergambar dengan perempuan dan bersalam dengan wanita bukan ajnabi. "Lepas ini dengan perempuan mana pula you nak taruh dalam buku?" begitu tanya Anwar dengan menyinga.
Tanpa membiarkan saat berlaku saya terus menjawab; "tenguklah dengan artis mana you bergambar saya akan masukan."

Selepas itu ada lagi dialog keras dan kering saya dengannya. Rasanya tidak elok kalau saya turunkan di sini sebab perkara ini sudah berlaku lebih 19 tahun. Peristiwa itu berlaku tahun 1993 dan mungkin Anwar sudah pun melupainya apabila beliau membaca buku saya membela beliau selepas dizalimi Mahathir berjudul; Sumpah dan Airmata: Reformis Bangsa.

Peristiwa kedua yang mengimbaukan ingatan saya tatkala melihat gelagat Mat Maslan ialah yang menimpa pegawai daerah Hulu Selangor yang dihadiahkan penyapu oleh Khir Toyo yang ketika itu menjadi menteri besar Selangor. Pegawai itu dihadiahkan penyapu kerana jajahan yang dibawah pentadbirannya gagal menunjukkan prestasi seperti mana ditetapkan, pentadbiran lemah menyebabkan cukai tidak banyak dikutip.

Kononnya dengan pemberian penyapu itu sebagai simbolik untuk pegawai itu membuat pembesihkan ke atas para pegawainya yang lemah dan gagal mencapai prestasi yang diharapan. Pemberian itu dibuat di satu majlis yang dihadiri oleh semua pegawai daerah. Niat Khir mungkin baik tetapi cara yang dibuatnya tidak beradat.

Kedua peristiwa yang saya sebut tadi, baik yang menimpa saya oleh Anwar dan yang menimpa pegawai daerah Hulu Selangor oleh Khir Toyo seakan telah terbalas. Walaupun saya tidak mengharap Anwar jadi seperti hari ini, terlepas jawatan Perdana Menteri di era Mahathir, tetapi ia terubat dengan apa yang ada hari ini. Yang sudah biarlah sudah malahan hari ini simpati dan kesian saya kepada Anwar menyebabkan saya membela kezaliman dilakukan terhadapnya.

Setidak-tidaknya Anwar akan mengenang kembali apa yang saya tegur beliau dalam buku berkenaan. Apa yang saya peringatkan kepadanya di dalam buku berkenaan adalah demi kebaikannya tetapi dianggap sebaliknya waktu itu. Itu satu kesilapan di mana kita sebagai manusia jangan mudah meremehkan nasihat orang lain hatta dari siapa yang memberi nasihat dan kritikan itu.

Begitu juga nasib yang diterima Khir hari ini telah menginsafkannya. Walaupun pemberian penyapu itu bukan sebab utama beliau menjadi seperti hari ini tetapi Khir boleh ingat kembali bahawa perbuatan itu memalukan pegawai daerah berkenaan. Walaupun Khir berniat baik demi untuk meningkatkan daya kerja dan memajukan Selangor tetapi hadiah itu tidak kena dan mengaibkan orang lain. Apa lagi penyapu dalam budaya Melayu sesuatu yang menyialkan. Apabila kita mengaibkan orang lain sebegitu rupa maka lambat laung kita juga akan merasai aid yang sama.

Hari ini saya rasa pegawai yang menerima penyapu itu boleh hidup aman damai dalam perasaraanya, sebaliknya Khir masih bergelumang dengan rasa takut, malu dan hina kerana didapati bersalah melakukan rasuah dan dijatuhi hukum penjara selama 12 bulan.

Apa yang hendak diceritakan hari ini, ialah hal yang hampir sama berlaku yang dilakukan oleh Ahmad Maslan. Perbuatan Mat Maslan membuang Buku Jingga satu perbuatan menghina Pakatan Rakyat khasnya dan rakyat seluruhnya. Tidak patut Mat Maslan berbuat demikian kerana ia menguris hati orang. Apa yang Mat Maslan lakukan itu sama nilainya dengan tindakan Anwar mengherdik saya dan juga Khir memberi penyapu kepada Pegawai Daerah Hulu Selangor itu.

Sebagai orang politik Mat Maslan tidak sepatutnya berbuat begitu. Beliau seharusnya sedar Buku Jingga adalah kitab politik Pakatan Rakyat. Ia adalah janji dan manifesto Pakatan Rakyat. Betapa pun janji dan manifesto itu tidak munasabah dan tidak tersaul dek akalnya, tetapi beliau tidak boleh menghina kerana sebagai manifesto ia adalah kita suci dalam politik.

Bukan saja Buku Jingga itu tetapi mana-mana manifesto parti politik tidak boleh dihina. Ia adalah kitab suci politik. Sepatutnya sebelum membuat gimik itu di hadapan peneroka Mat Maslan cuba bayangkan bagaimana kalau ada orang lain mencampak kertas dasar Felda atau pun bendera Umno ke dalam tong sampah. Beliau harus menyelami secara piskologis bagaimana perasaan orang yang menyanjungi buku berkenaan.

Kepada saya apapun alasan tindakan Mat Maslan tidak bijak dan meletakkan dirinya sebagai orang yang tidak matang dalam politik. Seperti mana kata Presiden Anak, Mazlan Aliman apa yang sepatutnya Mat Maslan lakukan ialah membahas secara akdemik apa yang dicatat dalam Buku Jingga berkenaan bukannya menohoknya ke dalam tong sampah.

Era ini bukan lagi zaman orang berak dan kencing atas bendera. Menyatakan kemarahan demikian adalah jenis orang yang tidak ada akalbudi dan belum tamadun.

Sikap Mat Maslan itu kurang lebih daripada perangai Inchek Ibrahim Ali sahaja ataupun kumpulan Melayu polong yang memijak kepala lembu atau pun menganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat. Apakah Mat Maslan juga sudah dijangkit sindrom takut dan desperate sehingga hilang akal?

Peluang masih ada untuk Mat Maslan membersihkan dirinya. Beliau boleh memohon maaf atas perbuatan itu dan mengambil balik Buku Jingga yang dilemparkan ke dalam tong sampah. Paling afdal bagi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga Felda itu ialah merukupkan tong sampah ke atas kepalanya kemudian berjalan keliling padang sebanyak 50 kali. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Zainal Abidin, Abdul Rahman sedia berundur?

Lim Guan Eng, 17 Feb 2012
Pemimpin UMNO telah menjalankan kempen fitnah secara sistematik terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung penjualan tanah Bayan Mutiara pada tahun 2010 yang dijalankan secara tender terbuka dengan harga RM240 kaki persegi atau harga penjualan keseluruhan berjumlah RM1.07 bilion. Di antara penipuan yang dikeluarkan oleh Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan ialah dengan mengatakan bahawa tiada tender terbuka; harga penjualan dijual kepada pemaju swasta adalah 50% lebih rendah daripada harga pasaran iaitu RM420 kaki persegi; dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memandang rendah kepada rakyat tempatan dengan melantik HDB Singapura sebagai pakar perunding untuk projek perumahan mampu milik Kerajaan Negeri di Batu Kawan.

Apabila Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk menjual tanah Bayan Mutiara seluas 102.3 ekar (67.5 ekar tanah dan 35 ekar tanah tebusguna melalui tambak laut) melalui tender terbuka pada tahun 2010, satu harga rizab sebanyak RM200 kaki persegi telah ditetapkan. Harga rizab sebanyak RM200 kaki persegi adalah tinggi telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri pada 7 April 2010 sungguhpun Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan pada 5 November 2009 menganggarkan harga penilaian adalah sebanyak RM65 kaki persegi. Apabila tender terbuka yang dijalankan ditutup pada 31.12.2010, keputusan berani Kerajaan Negeri dibuktikan tepat dan benar apabila harga tender terbuka yang paling tinggi adalah sebanyak RM240 kaki persegi atau RM1.07 bilion.

Saya kecewa apabila harga anggaran penilaian sebanyak RM65 kaki persegi yang disediakan oleh Jabatan Penilaian Harga yang dikeluarkan Kementerian Kewangan tidak dilaporkan oleh media English dan Melayu. Sehingga sekarang, UMNO dan Abdul Rahman masih tidak menyahut cabaran saya untuk membeli 102.3 ekar tanah dengan harga RM420 jika itu adalah harga pasaran yang dituntut oleh UMNO. UMNO perlu masukkan duit ke dalam mulut mereka dengan membayar RM420 kaki persegi. Sekiranya UMNO atau kroni-kroni mereka membeli pada harga RM420 kaki persegi, Kerajaan Negeri boleh mendapat tambahan RM800 juta atau RM1.87 bilion berbanding RM1.07 bilion untuk RM240 kaki persegi.

Tuduhan UMNO bahawa penjualan tidak dilakukan secara tender terbuka, saya bersedia untuk berundur daripada arena politik sekiranya UMNO dapat membuktikan sedemikian. Fakta adalah fakta di mana ia tidak boleh diubah dengan pembohongan. Tender terbuka tanah Bayan Mutiara telah diiklankan di dalam akhbar pada tahun 2010.

Jika Datuk Zainal Abidin Osman dan Datuk Abdul Rahman gagal membuktikan bahawa tiada tender terbuka dijalankan, adakah mereka berani menerima cabaran saya untuk berundur dari arena politik? 2 pemimpin UMNO harus menerima cabaran ini untuk membuktikan bahawa tiada kempen fitnah secara sistematik untuk melemahkan dan sabotaj dasar tender terbuka Kerajaan Negeri dan program perumahan mampu milik.

Kualiti dan Penyampaian adalah penting untuk perumahan mampu milik: Surat sokongan dari arkitek terkemuka Raja Datuk Kamarul Baharin Ahmad Shah.

RM500 juta yang diperolehi daripada keuntungan penjualan tanah Bayan Mutiara digunakan untuk perumahan mampu milik di tanah besar dan pulau. Projek pertama di Batu Kawan yang terdiri daripada 12, 000 unit di atas tanah 200 ekar yang akan dibina dalam tempoh 10 tahun. Untuk memastikan bahawa perumahan mampu milik yang berkualiti dapat dibekalkan kepada golongan miskin, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk melantik yang paling baik dan bukannya meniru yang paling baik. Atas sebab itulah, HDB Singapura yang diakui umum dapat membekalkan rumah mampu milik di Asia, kalau bukan di seluruh dunia telah dipilih.

HDB Singapura telah dipilih berikutan kepakaran dalam reka bentuk, perancangan, pelaksanaan dan pengurusan. HDB Singapura tidak terlibat dalam bangunan atau pembinaan. Tender untuk bangunan dan pembinaan akan dijalankan pada akhir tahun ini. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri kesal dengan tindakan UMNO yang cuba memainkan isu perkauman dalam perkara ini dengan menyoal mengapa rakyat tempatan tidak boleh melakukan kerja tersebut sebaliknya kita memilih Singapura. Memainkan sentimen anti- Singapura adalah bukan sahaja provokasi perkauman tetapi juga double- standards kerana apabila Singapura datang ke Iskandar, Johor tiada masalah tetapi tidak di Pulau Pinang. Taktik ekstremis sedemikian oleh UMNO tidak berkesan di Pulau Pinang kerana rakyat Pulau Pinang menyokong usaha ikhlas Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menyediakan rumah mampu milik terbaik untuk golongan miskin di Malaysia. Sudah sampai masanya golongan miskin tidak hidup di dalam kotak tetapi dengan bermaruah. Setiap rakyat Pulau Pinang seharusnya tinggal di dalam rumah dan bukannya di dalam kotak. Setiap rakyat Pulau Pinang termasuk golongan miskin berhak untuk mendapatkan rumah impian mereka. Dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk berkongsi impian rumah kediaman dengan mereka.

Kami gembira mendapat sokongan daripada salah seorang arkitek terkemuka di Malaysia, Raja Dato Kamarul Bahrin Ahmad Shah. Raja Dato Kamarul dalam surat sokongan kepada saya yang telah diterima semalam menyokong dan bersetuju dengan keputusan Pulau Pinang melantik HDB Singapura sebagai pakar perunding kerana mereka mempunyai trek rekod yang tebaik dalam pembinaan rumah mampu milik (lihat lampiran surat) Kualiti dan Penyampaian adalah penting untuk perumahan mampu milik.

Pastikan ramai calon PAS menang

Zulkifli Sulong, 17 Feb 2012
SEREMBAN, 17 Feb: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan pemimpin PAS supaya menunaikan solat secara berjamaah dan mendirikan solat malam serta berdoa.

Beliau menyatakan demikian ketika memberikan taklimat kepada petugas penerangan PAS Negeri Sembilan di Ampangan, petang ini.

Lebih 100 petugas penerangan PAS negeri ini mengikuti taklimat yang dibuat dalam siri Konvoi Penerangan PAS Pusat.

Taklimat kepada petugas penerangan adalah aktiviti utama sepanjang konvoi penerangan ini.

Taklimat ini adalah aktiviti pertama konvoi ke negeri ini.

Selepas taklimat, anggota konvoi akan bergerak ke seluruh Negeri Sembilan untuk menjalankan aktiviti masing-masing, antaranya hi tea, penyebaran risalah,  kuliah maghrib dan ceramah umum malam ini.

Pagi esok pula, kuliah-kuliah Subuh diberikan.

Antara yang hadir dalam taklimat ini adalah Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Taufek Abd Ghani, Setiausaha Lajnah Penerangan, Misbahul Munir Masduki dan lain-lain AJK Lajnah Penerangan PAS.

Dalam taklimat yang diberikan, Tuan Ibrahim memberikan semangat kepada petugas PAS agar memastikan calon PAS yang paling ramai menang.

Ini, katanya kerana sememangnya PAS paling banyak bertanding termasuk di Negeri Sembilan.

"Cuma kita tak menang banyak je," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau sekali lagi mengingatkan pemimpin PAS agar sentiasa solat berjamaah, membaca al-Quran sekurang-kurang tiga hari sekali.

Beliau juga mengarahkan mereka sentiasa solat malam dan berdoa malam agar sentiasa sabar, ikhlas dan sabar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan