Isnin, 20 Februari 2012

APA YANG DICAKAP...APA YANG LAUNGKAN...TAK SAMA DENGAN TINDAK TANDUK...INI PUN NAK TIPU RAKYAT...RAKYAT LAH NI DAH BANYAK LEBIH CERDIK DARI PEMIMPIN...SERTA TAKUT BERDOSA DAN TAKUT DILAKNAT ALLAH SWT

NFC: Minit mesyuarat perlu kepada ahli parlimen

Aziz Muda, 20 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 20 Feb: PAS amat kesal dengan sikap Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Azmi Khalid kerana berbolak-balik untuk mengeluarkan minit mesyuarat jawatankuasa itu kepada ahli-ahli Parlimen, khususnya berhubung National Feedlot Corporation (NFC).

Sikap Azmi itu seolah-olah menafikan kepentingan ahli-ahli Parlimen untuk mengetahui lebih jauh mengenai sebarang isu berhubung NFC yang kini kelihatan amat meragukan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada pelbagai pihak mengenai ketelusannya dalam mengendalikan projek ternakan lembu negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pada hal surat permohonan supaya dikeluarkan minit mesyuarat tersebut telah pun dikemukakan oleh beliau kepada Azmi baru-baru ini seperti yang diminta oleh Azmi sendiri.

Menurutnya, sekarang setelah surat itu dikemukakan oleh beliau, Azmi memberikan alasan tidak boleh mengemukakan minit mesyuarat tersebut, kecuali dengan penyertaan surat yang ditandatangani Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, selepas itu, setelah surat Ketua Pembangkang dikemukakan, Azmi memberikan alasan mesti disertakan pula dengan surat yang ditandatangani sama oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

"Jadi, apa maknanya itu semua? Saya sendiri dah hantar surat, tapi Datuk Azmi ternyata berbolak-balik. Pada hal dia sendiri dah akui ada yang tak kena mengenai projek NFC itu.

"Lagi pun, apa perlunya surat yang ditandatangani oleh semua ahli-ahli Parlimen barulah boleh dikemukakan minit mesyuarat itu? Pada hal surat daripada saya seorang pun sudah mencukupi, manakala kewujudan PAC itu sendiri adalah atas kehendak dan persetujuan ahli-ahli Parlimen," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Minit mesyuarat PAC yang dimohon untuk dikemukakan oleh Azmi itu, menurutnya, adalah yang dicatatkan pada mesyuarat jawatankuasa itu pada 23 November tahun lalu di Bilik Mesyuarat 1 bangunan Parlimen.

Mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan tentang projek ternakan lembu negara yang berada di bawah tanggungjawab NFC, dengan dihadiri ahlli-ahli jawatankuasa PAC yang mewakili pelbagai parti, pegawai-pegawai kerajaan dari pelbagai agensi terbabit dan saksi-saksi yang terlibat dengan perjalanan projek itu.

Menurut Mahfuz, minit mesyuarat tersebut amat penting dikemukakan oleh PAC kepada ahli-ahli Parlimen kerana ia jelas melibatkan kepentingan seluruh rakyat dan negara.

Katanya, atas kesedaran itulah beliau mengemukakan permohonan tersebut, manakala Azmi pula sepatutnya memberikan kerjasama yang baik kepada kesemua ahli-ahli Parlimen untuk mengetahui perkara itu dengan lebih lanjut.

"Pelbagai perkara ingin diketahui oleh ahli-ahli Parlimen dan rakyat negara ini mengenai projek ternakan lembu negara di bawah NFC itu.

"Antaranya, kenapa ia diberikan kepada syarikat keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, Agroo Science? Berapa jumlah pinjaman yang dikeluarkan kepada syarikat itu? Bagaimana pinjaman itu diberikan? Bagaimana dengan perjalanan projek itu dan sebagainya," tegasnya.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, rakyat juga ingin tahu siapakah sebenarnya yang membuat cadangan bagi pemilihan syarikat keluarga Shahrizat untuk melaksanakan projek tersebut.

Penyerahan projek tersebut kepada syarikat keluarga Shahrizat, tambahnya, berpunca dari cadangan beberapa jawatankuasa terbabit termasuk Jawatankuasa Pemilihan dan Jawatankuasa Kemajuan Projek yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan kini menjadi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yakin perkara itu turut terbabit dengan keputusan Muhyiddin, manakala kemampuan dan keupayaan Muhyiddin dalam memilih syarikat untuk mengendalikan projek tersebut amat mendukacitakan.

"Kini projek itu ternyata gagal dan turut terbabit dengan pelbagai penyelewengan sehingga negara mengalami kerugian amat besar. Jadi apa alasan Muhyiddin memberikan projek itu kepada Agroo Science?" ujarnya.

Perkara itu, tegasnya, perlu disiasat dengan menyeluruh dan sehubungan itu, beliau mencadangkan agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu, termasuk dengan memanggil Muhyiddin memberikan keterangan berhubung pemilihannya ke atas syarikat Agroo Science.

"Seperti yang kita maklum, selain Agroo Science, terdapat lima lagi syarikat yang turut memohon untuk melaksanakan projek itu? Kenapa Agroo Science yang dipilih? Apa muslihatnya?" katanya.

Kini setelah kegagalan itu, kesalahan tidak boleh diletakkan ke atas Shahrizat semata-mata, katanya, malah kesemua pemimpin Umno atau BN yang terbabit perlu bertanggungjawab mengenainya.

Himpunan aman bantah kapal Israel 22 Feb

Harakahdaily, 20 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 20 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan himpunan aman bagi membantah kemasukan kapal kargo Israel Zim Europa ke Perlabuhan Klang.


"Kami dengan ini menjemput semua warga yang prihatin dengan isu-isu kekejaman Israel untuk turut hadir beramai-ramai bagi menyatakan tindakan tegas kita terhadap Israel dan kerajaan BN yang mengiktiraf Israel,” kata ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan.

Katanya, himpunan itu diadakan di West Port, Pelabuhan Klang pada hari Rabu, 22 Februari ini jam 5.00 petang.

Selain itu, beliau juga meminta agar semua pihak dapat menyebarkan maklumat itu sebagai tanda bantahan dan berusaha untuk meramaikan lagi peserta himpunan tersebut.

Penduduk datang terima beras diumum sertai Umno

Aslani M, 20 Feb 2012
TANAH MERAH, 20 Feb: Jangan terkejut apabila nama penduduk kampung yang disenarai mendapat bantuan beras tiba-tiba diisytihar pula menyertai Umno.

Inilah yang berlaku di beberapa kampung di sini apabila nama penduduk yang disenarai mendapat bantuan beras 5 kg setiap seorang, diumumkan pula dalam senarai menyertai Umno.

Lebih memalukan lagi setelah selesai majlis penyampaian bantuan beras dan Maulidur Rasul, program lain pula berlangsung iaitu menyerah borang menyertai Umno.

Penghulu Mukim Batu Hitam, Abidin Awang, 51 berkata, baru-baru ini wakil kepada Ketua Umno Bahagian, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz datang menyenarai nama-nama penduduk termasuk armalah bagi mendapat bantuan beras.

Katanya, ramai penduduk terutamanya ibu tunggal memberi nama mereka kerana dijanjikan bantuan beras 5 kg.

“Mereka diminta hadir pada program penyampaian beras dan Maulidur Rasul yang diadakan di rumah seorang penyokong Umno di Kampung Kenerak.

“Namun saya difahamkan senarai yang dikutip untuk menerima bantuan beras tiba-tiba diumumkan pula menyertai Umno pada majlis berkenaan,” katanya di sini.

Akhbar hari ini melaporkan seramai 47 bekas ahli PAS menyertai Umno apabila menyerah borang pada program Selamat Tinggal PAS dan Maulidur Rasul di Kampung Kenerak.

Pada majlis itu seorang penduduk berlakon menyerah borang menyertai Umno kepada Ketua Umno Tanah Merah.

Abidin yang juga Setiausaha Majlis Tindakan Dun Batu Hitam berkata, gambar seorang penduduk disiarkan akhbar menyerah borang kepada Ikmal bukan penyokong PAS.

Malahnya katanya, sebahagian besar yang terdapat dalam gambar bukan penduduk tempatan, dan kemungkinan datang dari tempat lain.

Kata beliau juga Umno bahagian Tanah Merah difahamkan sudah merancang mengadakan program berkenaan bulan lepas lagi, namun gagal diadakan kerana tidak mendapat kerjasama penduduk.

“Saya diberitahu seorang penduduk tidak membenarkan rumahnya dijadikan tempat program tersebut,” katanya.

Beliau juga mendakwa wakil Umno Bahagian dikatakan datang ke kantin sebuah sekolah di kawasan berdekatan mengutip nama pekerja-pekerja wanita untuk didaftar sebagai puteri Umno.

(Tunggu pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Hisham restu kereta Anwar diserang di Sembrong?

Muhammad Faizal, 20 Feb 2012
PETALING, 20 Feb: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, keganasan yang berlaku di Sembrong, Johor semalam jelas menggambarkan Umno berada dalam keadaan terdesak.

Malah, katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh PKR sebelum ini yang meletakkan Johor sebagai negeri tumpuan PKR dan juga Pakatan Rakyat membuatkan mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja.

"Johor merupakan negeri ketiga keganasan yang dilakukan oleh Umno selepas Selangor dan Melaka.

"Malah insiden semalam yang mana pada satu program jelajah PKR, terdapat sekumpulan ahli Umno telah memulakan provokasi serta melakukan keganasan malah terdapat kecederaan dan kerosakan kepada kereta yang dinaiki oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelasnya.

Beliau berkata, tindakan samseng itu seolah-oleh mendapat restu oleh pihak keselamatan apabila hanya memerhati tanpa sebarang halangan mahupun tangkapan.


"Malah mercun yang dibaling itu melalui atas kepala polis tapi tiada tangkapan dibuat, saya tidak pasti adakah kerana ia berada di kawasan Parlimen Sembrong, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein?

"Persoalan ini perlu dijawab oleh menteri tersebut dan juga pihak polis yang bertugas, tapi melihat kepada kejadian tersebut seolah-olah ia direstui," ujarnya.

Ahli Parlimen Machang itu juga turut mempersoalkan adakah kerajaan boleh memberi jaminan keselamatan kepada pemimpin PKR mahupun Pakatan Rakyat dalam siri jelajah mereka bahawa tidak akan berlaku lagi keganasan seperti itu.

"Kita mahukan Hishammuddin serta Menteri Besar Johor tampil beri penjelasan berhubung insiden semalam. Penduduk yang hadir pada ceramah tersebut dan mereka mengenali siapa yang terlibat dalam provokasi tersebut," katanya.

Saifuddin menegaskan tindakan sedemikian tidak menghalang PKR mahupun PR hadir bertemu rakyat dalam usaha menjelaskan setiap penyelewengan yang dilakukan oleh Umno serta memberitahu janji PR apabila memenangi pilihanraya nanti.

Sebelum itu, keganasan yang dilakukan pada program ceramah yang diadakah di Pejabat Keadilan Sembrong itu menyebabkan kereta yang dinaiki Anwar kemek dan cermin pecah.


Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kluang pada jam 3 pagi.

Ceramah yang turut dihadiri beberapa pemimpin tempatan PKR itu telah mendapat kebenaran polis.

Kapal Israel berlabuh di Pelabuhan Klang

Muhammad Faizal, 20 Feb 2012
PETALING JAYA, 20 Feb: Jingga 13 hari ini mendedahkan bahawa Kerajaan Malaysia mempunyai hubungan dagang dengan negara rejim Israel.

Pendedahan hubungan tersebut dibuktikan apabila terdapat sebuah kapal hak milik rejim Israel, Zim Atlantic dan juga Zim USA telah berlabuh di West Port, Klang pada 16 Februari lepas.

Koordinator Jingga 13, Fariz Musa menjelaskan pada 16 Februari, dua buah kapal milik ZIM Integrated Shipping Services Ltd telah berlabuh di West Port, Pelabuhan Klang.

"Kita telah dapatkan bukti jelas hubungan antara Kerajaan Malaysia dan rejim Israel telah wujuh walaupun pemimpin Umno menafikan wujud hubungan dagang.

"Kehadiran ZIM USA yang sebelum ini didaftarkan di Haifa, Israel pada 25 Oktober 2010 dan kini didaftarkan di Republic Of Liberia pada 2 Februari 2012 dan ZIM Atlantic yang turut didaftarkan di Republic Of Liberia adalah milik Israel melalui Israel Corporation dengan pegangan saham sebanyak 98 peratus iaitu salah satu syarikat besar dimiliki oleh Israel," jelasnya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Tambahnya lagi, ZIM USA dan ZIM Altantic yang tiba di West Port telah disahkan berdasarkan oleh sebuah laman web yang menyatakan jadual ketibaan kapal-kapal dagang.

Malah, katanya pihak Kastam Diraja Malaysia cawangan Pelabuhan Klang Barat melalui salinan dokumen "K1 CHIT Customa Station (B18) resit nombor B18102009813 yang diterima pada 15 Februari 2012 juga mengesahkan kehadiran Z8937 ZIM Atlantic di Voyage Nombor YAC5.

"Atas maklumat tersebut Jingga 13 telah membuat penyiasatan bagi mengesahkan kewujudan hubungan dagang antara Kerajaan Umno-Barisan Nasional dengan rejim Israel dengan kehadiran kedua-dua kapal tersebut.

"Dalam pada itu beberapa dokumen sulit diperolehi dari individu yang tidak diketahui mengirim salinan Sijil SHIP Clearence yang dikeluarkan oleh Ashdod Port Company LTD "The Economic Gateway Of Israel" juga mengesahkan bahawa kapal ZIM Atlantic telah berlayar secara terus dari Ashdod Port, Haifa Israel ke Pelabuhan Klang," katanya lagi.

Fariz memberitahu, bukti tersebut menunjukkan bahawa penafian yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin adalah tidak benar.

"Tindakan mewujudkan hubungan erat ini adalah langkah melampau dan zalim apabila Malaysia turut sama sebagai penyumbang ekonomi negara rejim itu dan juga sebagai penyumbang peluru dan senjata bagi merobek rakyat Palestin," sambungnya lagi.

Sementara itu, Naib Ketua AMK Pusat, Azmizam Zaman Huri berkata, perkara ini perlu diperjelaskan oleh kerajaan terutamanya Najib dan juga Muhyidin bagaimana hubungan dagang boleh wujud sedangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

"Kita cabar penjelasan dari kedua-dua pemimpin tersebut, kerajaan perlu bertanggungjawab kerana kebenaran memasuki negara ini hanya dapat dilakukan apabila kerajaan memberi kelulusan.

"Operasi Pelabuhan Klang ditadbir terus dibawah Kementerian Pengangkutan Malaysia bukannya Kerajaan Negeri Selangor, maka kalau tuduhan mengatakan Kerajaan Selangor terlibat ia tidak benar sama sekali," jelasnya.

Sebelum itu, Jingga 13 telah melihat sendiri kewujudan kapal kargo milik ZIM Integrtated Shipping Services Ltd pada 16 Februari lalu apabila telah mengambil gambar serta merakamkan video ketibaan kapal tersebut di West Port pada hari tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan