Khamis, 23 Februari 2012

DAHULUKAN RAKYAT ATAU DAHULUKAN SAPE ...KADANG2 KITA MENGHENTAM@MENUDUH...MENYEBABKAN RASHIA KITA TERBONGKAR...KERANA ORANG DISERANG...MEMBALAS BALIK...

Israel: Umno mahu lagakan PAS dan Anwar

Harakahdaily, 23 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 23 Feb: Para pemimpin Umno tidak perlu melaga-lagakan pemimpin PAS dan PKR dalam isu Israel kerana Umno juga menerima penyelesaian dua negeri  Israel dan Palestin sebagaimana yang diterima PKR.

Bahkan, Umno lebih akomodatif terhadap Israel berbanding dengan sikap Datuk Sri Anwar Ibrahim sendiri yang memberikan syarat untuk Israel jika mahu diterima iaitu menyokong dan mengiktiraf Palestin.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, tujuan sebenar Umno menekankan isu Israel dan Palestin ini adalah untuk memecahkan Pakatan Rakyat.

"Inilah yang ditakuti sebenarnya oleh Umno iaitu kekuatan ikatan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat," kata beliau kepada Harakahdaily.

Sejak dari zaman Tun Dr Mahathir lagi, kata Mustafa, menjadi dasar negara Malaysia yang ditunjangi Umno mengiktiraf Israel walaupun tidak secara terbuka.

Bahkan bendera Israel juga pernah berkibar di bangunan Umno, PWTC. (gambar atas)

"Sebab itu sejak dahulu lagi Malaysia membenarkan pasukan hoki Israel bermain di Malaysia, membenarkan hubungan dagang antara Israel dan Malaysia.

"Bahkan, menteri Umno juga pernah berjumpa dan berbincang dengan menteri Israel," kata  Mustafa (gambar kiri).

Oleh itu, apabila para pemimpin Umno menekan Datuk Seri Anwar dalam isu Israel ia sepatutnya tidak berbangkit langsung.

Ini kerana, Umno melalui kerajaan Malaysia sejak dahulu mengiktiraf Israel.

"Yang berbezanya, PAS tidak mengiktiraf Israel.

"Umno pula hanya berminat dalam isu ini ekoran kenyataan Anwar dalam The Wall Street Journal adalah untuk memecahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Jadi jangan haraplah. Lebih baik menteri-menteri Umno itu diam kerana Umno juga sama sahaja mengiktiraf Israel," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Para pemimpin Umno termasuk Datuk Puad Zarkashi meminta Majlis Syura Ulamak PAS memanggil Anwar agar menjelaskan pendiriannya tentang Israel.

Dalam masa yang sama, Perlabuhan Klang dilaporkan membenarkan kapal-kapal Israel berlabuh di situ.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin pula mengesahkan Umno tidak bekerjasama dengan Israel dalam hubungan politik tetapi menerima hubungan dagang antara syarikat Malaysia dan Israel.

Sikap yang sama juga dinyatakan oleh Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ini bermakna, Umno mengiktiraf kewujudan Israel yang sejak dari dahulu lagi ditolak oleh PAS.


M’sia sekongkol syarikat urus niaga dengan Israel

Harakahdaily, 23 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 23 Feb: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) kesal dan membantah keras dasar kerajaan mengizinkan syarikat Malaysia berurusniaga dengan syarikat atau kerajaan Israel.

“Kerajaan Malaysia tidak boleh berlepas tangan dengan mengatakan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tetapi merestui syarikat Malaysia mengadakan hubungan perniagaan dengan Israel,” kata Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsuddin (kanan) dan Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (kiri) dalam kenyataan bersama kepada Harakahdaily.

Ini, kata mereka sama dengan mengatakan sebuah ketua rumah tidak mahu mengiktiraf perompak tetapi membenarkan anggota keluarganya berurusan dengan perompak untuk mendapat keuntungan bersama.

“Apakah kerajaan boleh menganggap dirinya bersih dari menyokong ekonomi Israel dengan hanya mengatakan dia tidak mengiktiraf Israel tetapi masih mahu mengadakan hubungan ekonomi dengan sebuah negara haram iaitu Israel?

“Bukankah ini merupakan polisi hipokrit?”  soal mereka.

Ini, menurut mereka dalam satu ketika Malaysia tidak mahu mengiktiraf Israel namun dalam ketika yang lain turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi Israel.

“Kami dengan ini mendesak kerajaan Malaysia mendedahkan semua syarikat semada milik swasta yang bertapak di Malaysia atau mana-mana syarikat GLC yang mengadakan urusniaga dengan mana-mana syarikat Israel,” tegas mereka.

Kerajaan juga, kata mereka hendaklah mendedahkan apakah barangan dan perkhidmatan Israel yang masuk ke Malaysia melalui pihak ketiga seperti Singapura dan Thailand.

Bagi mereka, kerajaan perlu telus mengenai urusniaga yang dijalankan antara syarikat-syarikat Malaysia dan Israel serta hendaklah mendedahkan  berapakah nilai perniagaan yang dilakukan antara  pihak-pihak berkenaan dengan Israel.

“Kami tidak dapat menerima alasan kerajaan  bahawa urusniaga syarikat swasta dengan Israel tidak boleh dikawal,” kata mereka lagi.

Mereka menambah, dengan segala kelulusan yang berkaitan dengan import dan eskport yang pasti melalui agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, perdagangan dengan Israel sememangnya boleh dipantau dan dihalang.

“Kami mendesak supaya suatu dasar yang jelas mengenai larangan berusniaga dengan mana-mana syarikat Israel hendaklah ditetapkan dengan jelas dan tegas.

“Kami mengutuk keputusan pihak berkuasa yang membenarkan kapal syarikat Israel berlabuh di pelabuhan Klang,” ujar mereka lagi.

Mereka mempersoalkan jika Gaza dikenakan dasar kepungan (blockade) sepenuhnya oleh tentera Israel sehingga tidak memungkin mana-mana kapal luar mendekati pantai Gaza, kenapa Malaysia dengan mudah membenarkan kapal Israel berlabuh di perairan Malaysia.

“Bukankah ini menunjukkan Malaysia tidak konsisten dengan penentangannya terhadap Israel?” soalnya.

Justeru, tegas mereka Mapim dan Shura mendesak supaya kerajaan tidak membenarkan mana-mana kapal perdagangan Israel masuk ke dalam perairan Malaysia.

“Mengizinkan kapal Israel berlabuh walaupun tidak membenarkan krewnya mendarat tidak membawa erti apa-apa kerana yang jelas ialah kebenaran memasuki perairan Malaysia itu sendiri sudah memberi mesej bahawa Malaysia merestui dan mengiktiraf Israel,” ujarnya.

Himpunan Hijau: Mengapa MPK bina penghadang?

Harakahdaily, 23 Feb 2012
KUANTAN, 23 Feb: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mempersoal tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang didakwa cuba menghalang Himpunan Hijau 2.0 di padang MPK1 yang dijadualkan Ahad ini.

Tidak cukup dengan notis bahawa MPK akan menganjurkan perlawanan futsal di padang itu pada hari yang sama dengan himpunan itu, hari ini pula katanya beberapa orang pekerja sedang membina penghadang di keliling padang itu.

Menurut Fuziah, beliau telah menghubungi bahagian perhubungan awam MPK, dan seorang pegawai memaklumkan kepadanya bahawa penghadang itu bagi memudahkan projek menaik taraf padang MPK1 untuk acara Sukma pada bulan Julai 2012 yang sudah lama tertangguh.

"Bagaimanapun perbualan saya dengan pekerja (warga asing) itu, mendedahkan bahawa pekerja-pekerja ini telah dipanggil dengan tergesa-gesa ke Kuantan oleh MPK dan mereka datang dari Temerloh petang ini.

"Mereka juga menceritakan bahawa mereka masih tidak mempunyai tempat untuk tinggal malam ini," katanya sambil menambah seolah-olah terdapat tangan tersembunyi di belakang semua itu.

Beliau turut meminta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Anwar Yaakob agar mengotakan janjinya sebelum ini untuk tidak menghalang Himpunan Hijau 2.0 diadakan di negeri itu dan bukan bercakap dengan lidah bercabang.

"Tiada sebab untuk tidak memberi kebenaran untuk perhimpunan diadakan di padang tersebut.

"Adalah lebih baik mereka (MPK) meluluskan penggunaan padang untuk perhimpunan secara aman itu daripada membiarkan mereka berarak di atas jalan raya di Kuantan," jelasnya yang juga Naib Presiden PKR.

Jawatan PM: Najib hipokrit untuk takutkan Melayu

Aziz Muda, 23 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 23 Feb: Rakyat negara ini, terutama orang Melayu, tidak perlu risau mengenai kedudukan perdana menteri kerana walau apa pun yang terjadi jawatan perdana menteri tetap akan disandang oleh orang Melayu di tanah air kita.

Walaupun dalam Perlembagaan Malaysia tidak dinyatakan jawatan perdana menteri mestilah disandang oleh orang Melayu, tetapi perlaksanaan dalam negara tetap menjanjikan Perdana Menteri Malaysia tidak akan beralih kepada bangsa lain.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan para pemimpin Umno yang mengatakan jawatan perdana menteri akan disandang oleh bangsa lain sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang, ternyata tidak berasas.

Menurutnya, dakwaan tersebut sebaliknya ternyata hanya memperlihatkan sikap hipokrit para pemimpin Umno BN untuk menakutkan rakyat terutama di kalangan orang Melayu.

Katanya, dakwaan mereka itu sebenarnya merupakan politik hipokrit untuk menakutkan satu-satu kaum bagi kepentingan politik mereka, tetapi ia tetap tidak akan merugikan Pakatan Rakyat, sebaliknya akan memberikan kesan buruk kepada Umno dan BN sendiri.

"Malah rakyat negara ini sendiri pun sudah tahu, bagaimana jawatan perdana menteri akan dipegang oleh bangsa lain khususnya kaum Cina sekiranya Pakatan Rakyat menang, sedangkan DAP sendiri tidak berminat untuk menjadi perdana menteri.

"Perkara itu telah ditegaskan oleh Setiausaha Agung DAP sendiri yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam majlis Pakatan Rakyat sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.

Perdana Menteri dalam kenyataannya seperti yang disiarkan media tempatan baru-baru meminta orang-orang Melayu agar tidak menyokong PAS kerana jika diberikan undi kepada PAS bermakna akan memberikan kuasa kepada DAP, sehingga boleh menyebabkan jawatan perdana menteri akan beralih kepada kaum lain khususnya Cina.

Kenyataan itu dikeluarkan setelah Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek meminta kaum Cina agar tidak mengundi DAP pada PRU Ke-13 akan datang kerana jika mengundi DAP bermakna akan memberikan kuasa kepada PAS yang akan mendominam Pakatan Rakyat.

Perkara itu dibangkitkan oleh Soi Lek menerusi program debatnya bersama Lim Guan Eng yang berlangsung selama dua jam dan turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Awani baru-baru ini.

Dakwaan tersebut semakin diapi-apikan lagi oleh mereka dengan bermodalkan kata-kata Guan Eng dalam debatnya itu yang mengatakan bangsa lain juga boleh menjadi perdana menteri di negara ini.

Menurut Mahfuz, pada hal kata-kata Lim Guan Eng itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia memang dirujuk kepada Perlembagaan Malaysia sendiri.

"Dalam Perlembagaan Malaysia memang tidak dinyatakan jawatan perdana menteri mesti disandang oleh orang Melayu. Perkara itu pun pernah disebut oleh pemimpin Umno sendiri khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri dulu.

"Kenyataan Tun Dr Mahathir itu telah disiarkan menerusi media yang dikuasai Umno sendiri pada 23 September 2010, tetapi ia tak pun disanggah oleh pemimpin-pemimpin Umno lain dan tak pun dijadikan isu," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Bagaimanapun, apabila perkara itu disebut oleh Lim Guan Eng, katanya, ia telah dijadikan modal penting oleh Umno untuk menakutkan orang Melayu, walaupun mereka sendiri sudah tahu realiti sebenar mengenai perkara itu.

"Itulah sikap para pemimpin Umno. Mereka ternyata begitu hipokrit sehingga sanggup bertindak untuk menakutkan rakyat dan mengenepikan fakta yang sebenar.

"Ia ternyata berbeza dengan sikap para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat yang sememangnya sentiasa berkata benar berdasarkan fakta untuk memberikan maklumat yang benar kepada rakyat.

"Selebihnya, terpulanglah kepada rakyat sendiri untuk menilainya. Tetapi fakta tetap fakta. Berdasarkan fakta juga, walau apa pun terjadi, perdana menteri tetap orang Melayu," katanya.

Ketetapan tersebut, tegasnya, bukan hanya telah pun disepakati oleh para pemimpin Umno dan parti-parti komponen dalam BN, tetapi juga turut disepakati oleh para pemimpin PAS dan para pemimpin parti-parti yang terdapat dalam Pakatan Rakyat.

"Rakyat tidak perlu takut mengenai perkara itu dan tidak sepatutnya terpengaruh dengan permainan politik kotor para pemimpin Umno BN itu.

"Sebaliknya, kita minta Umno dan BN hentikanlah politik hipokrit seperti itu kerana politik hipokrit perkauman sudah tiada tempat lagi dalam politik Malaysia sekarang," ujar beliau.

Penyenaraian Felda dan cadangan balas Pemuda PAS

Nasrudin Hassan & Mohd Syahir Sulaiman, 23 Feb 2012
1.    Usaha mencari rezeki dan memakmurkan tanah sebagai sumber pendapatan yang halal adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam dan dikira sebagai salah satu daripada cabang ibadah. Di dalam lipatan sejarah Islam, banyak riwayat yang mencatitkan penglibatan nabi-nabi terdahulu di dalam aktiviti-aktiviti pertanian dan penternakan di samping melaksanakan tugasan utama mereka iaitu menyampaikan risalah dakwah kepada manusia agar mentauhidkan diri kepada Allah s.w.t.

2.    Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. dikenali sebagai penggembala kambing yang paling dipercayai ketika di usia remaja, Nabi turut menggalakkan aktiviti pertanian dijalankan oleh para sahabat sebagai sumber pendapatan utama. Setelah Nabi Muhammad s.a.w. tiba di Madinah, Baginda telah menganjurkan agar usaha pertanian dipertingkatkan di bumi Madinah yang pada ketika itu sememangnya sebuah lembah wadi yang subur. Malah kaum Muhajirin yang berhijrah bersama Baginda diaturkan supaya bekerjasama dengan kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah di dalam usaha-usaha pertanian.

"Dari Jabir r.a. berkata: Kami biasa menyewa tanah dengan mendapatkan sebagai dari hasil (mukhabarah), kemudian kami mendapat hasil tanah itu begini dan begini. Maka sabda Rasulullah s.a.w:”Barangsiapa memiliki tanah, maka tanamilah sendiri atau suruhlah saudaranya untuk menanaminya, kalau tidak, tinggalkanlah." (Riwayat Ahmad dan Muslim)

3.    Dalam konteks di Malaysia, inisiatif yang diambil oleh Almarhum Tun Abdul Razak dalam memperkenalkan skim tanah rancangan FELDA yang bertujuan memberi pemilikan tanah kepada rakyat sebagai sumber aktiviti ekonomi yang mampan amatlah dihargai. Dasar yang penuh berwawasan ini adalah amat signifikan dalam menjayakan agenda peningkatan tahap sosia-ekonomi rakyat di luar bandar, khususnya kepada golongan belia dan yang kurang berkemampuan.

4.    Namun, tujuan asal penubuhan FELDA ini sedikit sebanyak mula terhakis dek peredaran zaman dan campurtangan politik yang menjejaskan hak dan masa depan peneroka dan generasi seterusnya.

Polemik Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH)


5.    Pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (Pemuda PAS) menyambut baik perintah injunksi interim oleh Mahkamah Tinggi Kuantan dan notis pembatalan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari 2012, serta mengucapkan sekalung tahniah kepada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang gigih menyedarkan rakyat dan peneroka akan kesan buruk natijah cadangan penyenaraian ini.

6.    Pemuda PAS berpendapat cadangan penyenaraian FGVH ini perlu ditolak atas empat premis berikut:

i.        Hak tanah - Penyerahan hak tanah peneroka kepada FGVH adalah bertentangan dengan tujuan asal penubuhan FELDA dan merugikan peneroka dalam jangka masa panjang;

ii.        Peneroka membuat keputusan tanpa nasihat kewangan – Tatkala penganalisis dan pengurus dana pelaburan masih menunggu butiran cadangan penyenaraian, adalah tidak munasabah untuk perwakilan KPF untuk membuat keputusan menyokong atau membantah cadangan ini, tanpa nasihat kewangan yang menyeluruh berkenaan impak untung-rugi, seterusnya memberi mandat kepada Lembaga Pengarah untuk merunding dan memutuskan terma penyenaraian. Setiap ahli dan perwakilan KPF berhak mendapat nasihat dan butiran terperinci sebelum membuat keputusan pelaburan yang bernilai berbilion ringgit ini;

iii.        Imbuhan ‘durian runtuh’ – Laba keuntungan jangka pendek kepada peneroka yang masih belum pasti nilainya, malah tidak setimpal dengan risiko yang diambil oleh peneroka yang menggadaikan pemilikan tanah masing-masing;

iv.        Tiada keperluan ekonomi untuk penyenaraian – Lazimnya, sesebuah entiti perniagaan akan disenaraikan sebagai langkah menambah modal untuk menampung keperluan perniagaan yang lebih besar. Dalam keadaan Felda Holdings dan KPF yang mencatatkan keuntungan hasil daripada perniagaan perladangan, adalah tidak ekonomikal untuk mereka dipaksa menampung risiko dan kerugian yang ditanggung oleh FGVH.

7.    Pemuda PAS mengulangi komitmen untuk berganding-bahu dengan semua pihak khususnya ANAK serta rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan NGO-NGO untuk menggerakkan program penerangan dan kesedaran melalui penganjuran aktiviti santai bersama generasi belia FELDA yang telah dan akan kami laksanakan di peringkat Pemuda PAS Kawasan, antaranya siri jelajah Jom Ubah dan program ‘Orang Muda Geng Kita’.

8.    Di samping program-program turun padang, Pemuda PAS berpendapat sudah tiba masanya pihak-pihak yang prihatin ini duduk semeja untuk mencari formula terbaik bagi membantah cadangan penyenaraian FGVH dengan mengemukakan cadangan balas (counter-offer) untuk dikemukakan kepada golongan peneroka sebagai pilihan untuk menolak cadangan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.

9.    Pemuda PAS dengan berbesar hati tampil dengan enam gagasan berikut sebagai kerangka awal perbincangan ‘Cadangan Balas Pakatan Rakyat Terhadap Cadangan Penyenaraian FGVH’:

i.        Penstrukturan korporat - Kekalkan status 51% sedia ada (status-quo) KPF yang menjamin hak peneroka sebagai pemilik mutlak terhadap tanah, operasi, dan keuntungan FELDA;

ii.        Penstrukturan model perniagaan – Melupuskan perniagaan-perniagaan bukan teras (divestment of non-core business) yang mengalami kerugian atau menyumbangkan keuntungan yang kecil berbanding kos pengurusan yang tinggi. Ini sebagaimana yang telah diambil oleh Sime Darby dan Khazanah Nasional sebagai langkah mengoptimakan agihan modal (capital allocation) dan memaksimakan keuntungan (profit maximization) kepada pemegang saham. FELDA boleh mengambil model strategi perniagaan “more upstream, profitable downstream” (peningkatan hasil di huluan, peningkatan keuntungan di hiliran) dan langkah ini diunjurkan mampu meningkatkan 15% keuntungan dalam tempoh tiga tahun;

iii.        Partisipasi peneroka dalam aktiviti ekonomi FELDA – Keutamaan diberi kepada pihak koperasi dan anak peneroka dalam aspek peluang pekerjaan dan pemberian kontrak seperti perbekalan baja, kerja tanaman semula, perbekalan pekerja, penyelenggaraan ladang peneroka, projek landskap, penyelenggaraan aset, penternakan haiwan, tanaman kontan dan seumpamanya. Selain mampu menjana pendapatan sampingan kepada peneroka, diunjurkan hampir 300 peluang pekerjaan mampu dihasilkan di setiap 300 gugusan rancangan FELDA yang membawa kepada angka 90,000 peluang pekerjaan kepada golongan belia seluruhnya;

iv.        Sistem pewarisan – Menggantikan sistem penama pewaris yang digunapakai sekarang kepada sistem pewarisan Islam seperti wasiat, faraidh, dan waqaf. Agensi Amanah Raya boleh dilantik untuk memberi khidmat nasihat kepada pihak FELDA dan peneroka bagi memastikan 100% pemilikan tanah peneroka tidak terlepas tangan kepada pihak tidak bertanggungjawab;

v.        Etika urus tadbir dan professionalisma – Amalan tender terbuka dan penglibatan wakil peneroka di dalam jawatankuasa tender, sistem gred perahan minyak (OER) yang telus, pembudayaan etika urus tadbir dan amanah yang tinggi di peringkat pembuat keputusan dan pengurusan, memperkenalkan skim penjawatan dan gaji yang lebih kompetitif, serta mengurangkan campurtangan politik di dalam pengurusan FELDA. Keuntungan FELDA sedia ada diunjurkan mampu meningkat 25% dalam tempoh 5 tahun jika diurus tadbir dengan penuh amanah (governance);

vi.        Amalan operasi lestari (sustainability) – Mengemaskini manual kerja di ladang kelapa sawit mengikut piawaian antarabangsa RSPO dan amalan terbaik yang digunapakai oleh pemain industri perladangan yang lain seperti Sime Darby, IOI dan KLK.

10.  Sekali lagi kami Pemuda PAS tegaskan, jangan dikhianati tujuan asal penubuhan FELDA dan bersamalah kita membela hak peneroka FELDA.

------------------------------------------
1) Nasrudin Hassan adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia. Beliau sendiri merupakan seorang anak peneroka yang membesar di rancangan FELDA Keratong, Pahang.

2) Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi DPPM.

Bai'ah: Pemuda PAS sedia fahamkan Dr Mahathir

Harakahdaily, 23 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia sedia menawarkan pengajian khas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjelaskan ketidakfahaman bekas perdana menteri itu berhubung isu bai'ah.

Naib ketuanya Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, kenyataan Dr Mahathir mengenai isu ba’iah seperti yang dilapor media hari ini hanya menampakkan kejahilan beliau di dalam agama.

"Pemuda PAS sedia menawarkan kepada Tun Dr Mahathir sesi pengajian untuk memberikan kefahaman mengenai isu bai’ah ini.

"Bai’ah adalah satu perjanjian di antara dua pihak yang menuntut kepada kesetiaan. Bai’ah yang dilakukan di dalam PAS bukan seperti mana ikrar atau sumpah yang diucapkan oleh ahli Umno dalam memberi kesetiaan dan ketaatan kepada pemimpinnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang menyebut, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sepatutnya meminta ahli PAS berbai'ah kepada Allah dan bukannya kepada pemimpin mereka yang hanya berminat untuk menang pilihan raya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas hal sama menjelaskan, bai'ah dalam PAS mempunyai nas dan sandaran yang kukuh dalam sejarah dan keilmuan Islam.

Bahkan, kata beliau dalam Al Quran dan Hadis secara jelas membicarakan soal bai'ah samada sewaktu perjanjian Aqabah, Hudaibiyah, dan lainnya, semuanya membuktikan ba’iah ada asas kukuh.

Jelas beliau lagi, PAS menggunakan kaedah bai'ah kepada calon yang mewakili parti agar tidak khianat kepada amanah yang diberi oleh rakyat, lebih-lebih lagi berhadapan dengan Umno yang suka mengoncang iman lawannya dengan taburan duit.

“Mereka yang telah memenangi kerusi samada Dun atau Parlimen mesti sedar ia menang di atas pilihan rakyat.

"Kalau selepas mereka menang lalu dengan tawaran jutaan ringgit akhirnya ia khianat dan lompat parti sehingga tumbang sesuatu kerajaan yang dipilih rakyat, apakah tindakan begini kita boleh terima dan dibenarkan syarak," soalnya.

Atas dasar itulah, kata Tuan Ibrahim, PAS membuat bai'ah kepada semua calon, di mana mereka yang menang atas tiket parti adalah dilarang lompat parti, keluar parti bahkan, sekiranya dipecat dari parti, mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan