Ahad, 19 Februari 2012

BILA TIADA BERLAKU KEADILAN..DOUBLE STANDARD...BILA IQ RENDAH TAK MAHU MENERIMA KEKALAHAN..TAK MENGAKU KESILAPAN SERTA KESALAHAN...AGAMA BUKAN PEGANGAN HIDUP

Kelantan miskin: 'Air terpercik ke muka Najib'

Salmah Mat Husain, 18 Feb 2012
KOTA BHARU, 18 Feb: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa Kelantan negeri termiskin di negara ini berbanding Sabah umpama menepuk air terkena muka sendiri.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof, juga berkata kenyataan memuji Sabah kerana ingin ‘membodek’ rakyat di negeri itu dengan fakta yang merapu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri itu ketika berucap di Lahad Datu, Sabah yang mendakwa Kelantan negeri termiskin di negara ini.
Menurut Zailah lagi, tindakan kerajaan Pusat terhadap Kelantan juga tidak ubah seperti mengingat kaki dan tangan, apabila merompak hasil kekayaan di negeri itu, namun tidak menyalurkannya semula.
“Jangan membuat sebarang dakwaan yang mengatakan Kelantan miskin selagi hasil royalty negeri ini dirompak serta tidak dikembalikan pada negeri kami.
“Kerajaan Pusat telah merompak hasil royalty Kelantan sejak sekian lama sebanyak RM300 juta setahun, kemudian menuduh Kelantan miskin,”ujarnya yang juga Anggota Parlimen Rantau Panjang.
Beliau juga turut menempelak kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan Kelantan negeri termiskin di negara ini, sebaliknya Sabah, Sarawak dan Terengganu adalah miskin berbanding Kelantan.
Tegasnya, semua negeri berkenaan adalah diperintah oleh Umno dan BN bukan Pakatan Rakyat.
Pada masa yang sama Zailah turut mempersoalkan Kelantan masih dianaktirikan sejak hamper 22 tahun lalu dengan menyekat pelaburan, jalanraya juga tidak dimajukan.
“Begitu juga tebatan banjir di Rantau Panjang telah dijanji nak buat sejak RMK-7, kini dah RMK-10 masih tak buat-buat lagi.
“Bila banjir besar melanda, rakyat tidak boleh mencari rezeki menyebabkan ekonomi mereka lumpuh, jadi jangan buat kenyataan yang membolehkan rakyat Kelantan marah,”ujarnya.

Kelantan miskin bukti Najib dan PM terdahulu gagal

Harakahdaily, 18 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 18 Feb: Dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa Kelantan negeri paling miskin di negara ini, hanya membuka pekung dirinya sendiri sebagai pemimpin nombor satu negara.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah (gambar) berkata, jika benar dakwaan itu, ia bermakna kegagalan kesemua enam perdana menteri termasuk Najib untuk memajukan kesemua negeri dalam Malaysia ini sejak BN memerintah lebih 50 tahun lalu.

"Sekira benar Kelantan ini negeri miskin mengikut kata PM DS Najib, maka ini bermaksud benar-benar gagalnya enam orang Perdana Menteri dalam memajukan setiap pelusuk tanah air, setiap orang dari rakyatnya.

"(Ini) kerana negeri Kelantan ini adalah salah satu negeri dalam gabungan 14 negeri di dalam Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia, dan sama sekali bukan sebuah negeri yang berada di Thailand, atau Indonesia, atau Brunei, atau Kemboja, dan tidak mungkin sebuah negeri di Benua Afrika," coretnya melalui Facebooknya Hassan Hayastani..

Beliau dipercayai mengulas kenyataan Najib ketika berucap di Lahad Datu semalam kononnya Kelantan adalah negeri miskin tercorot dan bukan lagi Sabah.

Najib berkata kedudukan tercorot itu bermula sejak negeri tersebut berada di bawah pemerintahan kerajaan PAS Kelantan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mini Estet Sejahtera (Mesej) Akuakultur Kampung Nala, Tungku, Lahad Datu di sini semalam.

Mengulas lanjut, Abu Hassan berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memerintah untuk memajukan mana-mana negeri dan tugas itu berada di atas batu jemala seorang perdana menteri.

"Negeri mana pun yang dikatakan miskin selagi dia adalah negeri di dalam Malaysia maka tanggungjawab memberi kekayaan, kemajuan, kesejahteraan dan kebajikan masadepan itu berada di atas kepimpinan seorang Perdana Menteri.

"Ini bukan zaman penjajah British dengan polisi kejadah pecah dan perintah!," tulis beliau.

Pemuda PAS kesal samseng politik berleluasa

Hazayani Zakaria, 18 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 18 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kesal dengan budaya samseng yang terus diamalkan pihak-pihak tertentu dalam politik.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata demikian sebagai mengulas insiden gangguan persiapan ceramah politik di Temerloh, Pahang awal minggu ini termasuk perbuatan mengoyak poster ceramah dan cubaan mencederakan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Shukri Shuib (gambar).

"Pemuda PAS sangat kesal dengan trend politik akhir-akhir ini yang dipenuhi dengan provokasi dan perbuatan pukul memukul," kata beliau kepada Harakahdaily, semalam.

Shukri yang dihubungi hari ini berkata, insiden itu berlaku Isnin lalu di Taman Sri Serinau, ketika beliau sedang menampal poster ceramah yang akan berlangsung pada malamnya.

Shukri yang sedang menampal poster di batang pokok seorang diri, disergah oleh seorang lelaki awal 40-an, dipercayai penduduk tempatan.

Beliau tidak menghiraukan sergahan itu sebaliknya bertindak berlalu dari tempat itu.

Namun lelaki tersebut yang tidak berpuas hati menghalang beliau daripada berlalu dan menumbuk ke arah mukanya sebanyak dua kali.

Bagaimanapun, tumbukan itu tidak mengena mukanya kerana beliau memakai topi keledar.

"Pada mulanya saya cuba pergi dari situ sebab nak elakkan kejadian tak diingini. Tapi dia halang saya dan tumbuk dua kali tapi nasib baik saya pakai topi keledar, jadi tak kena mukalah," katanya.

Tambah Shukri, kejadian poster program PAS dikoyakkan sudah kerap kali berlaku di kawasan itu.

Perbuatan ini katanya sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehadiran di setiap ceramah yang dianjurkan PAS.

"Biasanya poster kita memang kena buang. Kalau tampal malam, paginya tak ada. Selalu sangat berlaku.

"Agak susahlah bagi PAS sebab kita memang bergantung pada poster. Nak gantung banner memang tak dapat.

"Lainlah kalau program Umno, memang boleh gantung banner, dan kita pun tak pernah kacau banner dan poster mereka," luahnya.

Sementara itu, Nasrudin meminta pihak yang berkenaan menghentikan perbuatan samseng sedemikian sebaliknya berpolitik secara matang.

"Kita minta mana-mana pihak khususnya pihak lawan tidak terus provok beginilah. Pihak berkuasa pun kena peka dengan kejadian sebegini," katanya.

Penyenaraian FGVH: PAS bawa usul ke Parlimen

Nazri Abdullah, 18 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 18 Feb: PAS memberi jaminan akan menggunakan segala saluran yang ada bagi mempertahankan aset tanah warga peneroka agar tidak tergadai oleh penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Selain saluran mahkamah, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar) berkata, seluruh ahli parlimen PAS juga akan memperjuangkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula Mac ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, perkara itu juga akan menjadi tajuk perbahasan utama ahli parlimen PAS pada sesi parlimen akan datang ini.

"Bagi kita, aset warga Felda ini penting untuk dibela agar ia tidak tergadai.

"Kita juga akan membawa usul dalam sesi parlimen akan datang agar perkara ini dapat dibincangkan," katanya yang juga Ketua Whip Parlimen bagi ahli parlimen PAS.

Sementara itu, beliau yang juga ahli parlimen Kubang Kerian turut bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam yang membenarkan injunksi interim untuk melarang Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada melupuskan ekuitinya kepada FGVH.

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendengar Saman Dalam Kamar (Ex-Parte) yang dikemukakan lapan pemegang saham KPF.

Selain menghalang pelupusan ekuiti KPF kepada FHVH, mereka juga memohon agar mahkamah melarang pihak KPF berbincang, membuat keputusan dan menguatkuasa sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Keputusan mahkamah itu bagaimanapun tidak menghalang mesyuarat agung khas (EGM) KPF pada 22 Februari ini.

Namun dengan keputusan mahkamah itu, EGM KPF tersebut tidak boleh membincangkan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

Jika EGM tersebut tetap membincangkan penyenaraian FGVH, mereka boleh didakwa menghina mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan