Sabtu, 21 Januari 2012

SEDARLAH KAWAN DAN LAWAN PUN DAH TAK SUKA@MELUAT..PANDAI2LAH LETAK JAWATAN...MENGAKU AJE LAH..TAK GUNA TEGAKKAN BENANG BASAH..SEMUA ORANG DAH TAHU....

Perutusan Tahun Baru Cina Presiden PAS

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 21 Jan 2012

Bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan disambut oleh masyarakat Tionghua di Malaysia dan di seluruh dunia minggu ini, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengucapkan selamat menyambut hari kegembiraan tersebut. Perayaan yang turut melibatkan majlis makan besar dalam keluarga besar merupakan satu nilai positif yang juga turut disanjung ajaran Islam. Islam juga menggalakkan hubungan kekeluargaan dipereratkan, malah jika sudah memeluk Islam sekalipun, hubungan kekeluargaan tidak pernah putus khususnya dengan kedua ibu bapa mereka.

Apa yang malangnya ialah pemerintahan negara selama puluhan tahun ini masih belum mampu mewujudkan perpaduan nasional yang mantap. Malah hidup dalam kegelisahan akibat permainan politik perkauman pihak pemerintah. Bahkan hubungan masyarakat Tionghua di Tanah Melayu ini telah wujud seawal pemerintahan kerajaan Islam Melaka melalui hubungan diplomatik Laksamana Cheng Ho dengan kerajaan Melaka.

Masyarakat Tionghua di Malaysia merupakan kelompok kedua terbesar di negara ini dan memberi kesan terhadap politik dan sosial negara. Perubahan yang mereka lakukan dalam pilihanraya ke-12 yang lalu membuka lembaran baru politik negara yang menyentak keselesaan pemerintah di peringkat pusat. Perubahan yang dilakukan adalah untuk melihat negara maju ke hadapan dan keluar daripada politik usang yang menindas, diskriminasi dan zalim kepada rakyat kepada politik yang adil dan saksama sesama rakyat.

Namun ianya belum cukup merubah keseluruhan sistem 'usang' negara dan menginsafkan pemimpin pusat yang terus menerus menindas negeri-negeri dan rakyat. Maka tibalah masanya kita membuat perubahan total diperingkat kerajaan pusat. Maka sekali lagi masyarakat Tionghua adalah penting dalam mengekalkan dan meningkatkan undi mereka kepada Pakatan Rakyat dan seterusnya bersama membina negara yang adil untuk semua.

PAS akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghua di Malaysia dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur. PAS juga kini melalui Kelab Penyokongnya telah berjaya menjalin hubungan baik dengan masyarakat Tionghua khususnya dalam saling faham-memahami dan hormat-menghormati serta saling tolong-menolong di antara satu sama lain. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.

Gong Xi Fa Cai kepada semua.

Presiden PAS

NFC: Soi Lek pun bidas Shahrizat

Harakahdaily, 21 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 21 Jan: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, dengan pendedahan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil sewajarnya tahu tindakan yang harus diambil.

Tidak menyebut secara jelas sama ada tindakan tersebut adalah 'meletakkan jawatan', namun Soi Lek berkata Shahrizat seharusnya mengambil tindakan awal apabila ia dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang melaporkan porojek itu bermasalah.

Apatah lagi katanya selepas pendedahan itu, beberapa pihak termasuk dari BN sendiri mendesak beliau meletakkan jawatan.

“Beliau bukan ahli junior (dalam Kabinet), beliau sudah bertaraf senior.

“Firasat saya merasakan Shahrizat berkemungkinan tidak mendapat khidmat nasihat yang betul, dan juga mungkin menurutnya, jika Wanita Umno menerimanya, tiada masalah terhadap perkara itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Sambil menegaskan untuk menangkap lembu mestilah menggunakan tanduknya, Dr Chua juga menyifatkan tindakan BN terhadap Shahrizat bagi menangani isu itu juga 'sangat lemah' sehingga ianya dilihat 'sangat teruk' kepada masyarakat.

“Berikutan mereka (pembangkang) mempunyai maklumat, mereka akan menggunakannya sebagai platform dan tindakan mereka itu memburukkan keadaan.

“Dan kerajaan BN bertindak sangat perlahan dan tidak telus sepenuhnya,” katanya.

Sebelum ini sudah ramai di kalangan Umno sendiri termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad secara berlapik mengisyaratkan kepada Sharizat agar Ketua Wanita Umno itu meletakkan jawatan ekoran terpalit skandal 'lembu gate' tersebut.

Selain Tun, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh turut membuat desakan sama.

Ekoran laporan Ketua Audit Negara 2010, Pakatan Rakyat sebelum ini mendedahkan dana RM250 juta yang diberikan kepada syarikat NFC milik suami Shahrizat untuk projek penternakan lembu disalah guna.

Ianya termasuk pembelian dua kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan dituduh menggunakan dana kerajaan tersebut untuk perbelanjaan peribadi keluarganya.

Parti pembangkang itu itu turut menuduh keluarga Shahrizat menggunakan sejumlah RM600,000 daripada dana NFC bagi membiayai pembayaran bil kad kredit mereka pada 2009.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa suami Wanita Umno, dan anak-anaknya yang menjadi lembaga pengarah NFC, menggunakan dana daripada RM250 juta untuk projek berkenaan bagi membayar bil kad kredit yang berjumlah melebihi RM10,000 sebulan sepanjang tahun tersebut.

Namun begitu, pentadbiran NFCorp menepis dakwaan tersebut dan menegaskan penggunaan kad kredit tersebut adalah untuk kegunaan perniagaan.

Tukang karut Umno sempitkan perjuangan Islam

Abdul Aziz Mustafa, 21 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 21 Jan: Ruang perjuangan dan perlaksanaan Islam tidaklah sesempit pemikiran Umno dan tukang karut terbarunya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Wadah untuk memperjuang dan memartabatkan Islam hampir tiada batas sempadan, tidak kira di masjid atau di padang bola.

"Cakap-cakap kecewa tukang karut Umno yang terbaru benar-benar memperlekehkan Islam apabila ia menggambarkan maruah umat Islam terpaksa bergantung dan menempel atas sesuatu jawatan," kata beliau.

Malah, tegas Mahfuz, Islam boleh dimartabatkan tanpa mengira apa jua bidang yang diamanahkan.

"Bagi yang tidak berfikiran sempit, Islam boleh diperjuang dan dimartabatkan tidak kira dalam hal ehwal belia, sukan, pendidikan, pengajian tinggi, pembangunan modal insan, perumahan, pengurusan bangunan, pengurusan setinggan malah apa sahaja bidang.

"Tetapi kalau otak dan pemikiran masih lagi dalam acuan pemikiran jumud Umno walaupun mendabik dada kononnya pejuang aqidah seolah-olah hancur musnahlah aqidah semua orang tanpa beliau, tentulah Islam dan perjuangan memartabatkannya dilihat dari pemikiran yang sempit dan jumud," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurut Mahfuz, orang yang melihat Islam sebagai ajaran suci yang mencakupi semua ruang dan bidang, sentiasa memohon perlindungan dari Allah agar tidak mengeluarkan cakap-cakap tidak menggunakan akal yang menyesatkan orang lain.

"Tetapi, dengan pemikiran sempit ajaran Umno, keluarlah cakap-cakap menyesatkan kononnya maruah dipijak kerana tidak dapat memegang portfolion hal ehwal Islam.

"Sedangkan orang yang memijak-mihak maruahnya sendiri ialah orang tidak puas-puas mendedahkan sisi-sisi buruk dan jelik dirinya sendiri," kata beliau.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, apa yang berlaku itu menjadi pengajaran kepada semua pihak agar ikhlas memperjuangkan Islam.

"Bila kita memperjuangakan Islam, berusahalah untuk mengikhlaskan diri, tidak gila talak kerana tidak dapat jawatan lalu menjadi pengacau kerana sakit hati tidak mendapat jawatan yang diidam-idamkan seperti jawatan menteri besar dan sebagainya.

"Bagi melindungi sebab sebenar membuat kacau, pengacau sentiasa berubah-ubah alasannya membuat perangai, mula-mula dia mendakwa puncanya perkara ini, kemudian perkara itu dan selepas itu perkara yang lain pula.

"Hampir setiap hari bertukar-tukar sebab dan punca beliau menggelupur," katanya.

Mahfuz juga merasa geli hati melihat Umno berpesta di dalam media-medianya seperti orang mabuk seolah-olah mendapat "tangkapan yang lumayan".

"Kalau Umno ingat ia sudah mendapat tangkapan yang lumayan sebasgai modal kempennya, ia tentu amat menggelikan hati kerana apa yang dapat dicekup oleh Umno itu sudah ditolak oleh akar umbi sehingga tidak mendapat pencalonan dari akar umbi untuk terus menjadi wakil mereka," katanya.

Bagaimanapun, Mahfuz yakin Umno akan tetap "terkinja-kinja keseronokan dengan apa yang dicekupnya itu" walaupun menjadi bahan ketawa orang ramai.

Selamat Tahun Baru Cina: Jayakan perubahan


21 Jan 2012

Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua. Saya selaku Ketua Penerangan PAS Pusat dan mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat tahun baru dan menjadikan sambutan tahun baru pada kali ini dengan satu azam dan tekad baru iaitu bersama-sama menjayakan perubahan bagi negeri Pahang ini dan negara kita amnya.

Perubahan ini merupakan salah satu di antara agenda besar, bukan saja dalam konteks politik bahkan juga dalam seluruh sistem kehidupan kita seharian.

Kita lihat negara kita yang berbilang kaum, berbilang budaya, berbilang agama perlu hidup secara harmoni saling hormat menghormati serta memahami hak-hak agama masing-masing. Di waktu yang sama kita juga mestilah memikirkan masa depan negeri kita, negara kita dengan cara kita menghapuskan segala elemen yang merosakkan sama ada dalam peningkatan gejala rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan seumpamanya.

Kita perlu bersama bertekad seluruh kaum di negara ini untuk bangkit dan berani untuk melakukan perubahan besar-besaran supaya kita mengembalikan satu sistem yang adil yang harmoni yang sejahtera. Islam sebagai sebuah agama sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam sama ada apa agama kita sekali pun kita perlu memahami tanggungjawab kita bersama sebagai warga negara Malaysia kita mempunyai hak yang sama di atas bumi kita tanah air kita.

Marilah kita bersama-sama menggerakkan masyarakat kita, kita bina kesedaran di kalangan masyarakat untuk bersama-sama kita meningkatkan kemampuan ekonomi kita agar lebih baik dan stabil, juga keadilan lebih merata di kalangan rakyat.

Pada waktu yang sama kita cuba menghapuskan nilai-nilai yang merosakkan dalam masyarakat. Selamat menyambut Tahun Baru Cina, Gong Xi Fat Cai.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,

Ketua Penerangan PAS Pusat

Pesuruhjaya PAS Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan