Khamis, 26 Januari 2012

RASA POPULAR..RASA PANDAI ..NI KERJA2 UJUB..LAGI TERUK MENDEBIK DADA RASA PANDAI..NI EGO SAKAN..SAKIT ROHANI@JIWA SAKAN...AKHIRNYA ORANG BEGINI AKAN TERHUKUM HASIL PERBUATANNYA SENDIRI

PAS saran MUIP batal hasrat beli hotel

Harakahdaily, 26 Jan 2012
KUANTAN, 26 Jan: Selain memuji penjelasan pantas Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, PAS Pahang hari ini turut menyarankan agar kerajaan negeri, khususnya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk membatalkan hasrat untuk membeli hotel MS Garden di Kuantan pada harga RM50 juta, yang didakwa akan menggunakan wang zakat.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mendakwa beliau menerima maklumat daripada pihak-pihak yang rapat dengan MUIP bahawa mereka berhasrat membeli hotel MS Garden dengan menggunakan wang zakat.

Tengku Abdullah, yang juga Yang Di-pertua MUIP hari ini bertitah urusan pengambilalihan hotel itu oleh MUIP akan dibuat menerusi pinjaman, tetapi sama ada akan menggunakan wang zakat bagi urusan itu belum dimuktamadkan.

"Bagi saya masa untuk selesaikan hal kewangan ini dahulu dan kita akan pastikan cuba tidak gunakan wang zakat," titahnya yang dipetik Sinar Harian.

Dalam reaksinya kepada Harakahdaily, Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tinjauan awam mendapati rata-rata rakyat Pahang tidak bersetuju dengan tindakan MUIP untuk membeli hotel, walaupun tidak menggunakan wang zakat.

Katanya, dalam keadaan masih ramai umat Islam berada ditahap kemiskinan tegar, institusi agama yang masih ketinggalan, sebahagian besar rakyat Pahang sangat mengharapkan isu-isu utama dapat diselesaikan terlebih dahulu.

Tuan Ibrahim, yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata kegagalan kerajaan negeri Pahang untuk memastikan seluruh institusi agama berjalan dengan sempurna telah menyebabkan banyak urusan pentadbiran masih berhadapan dengan pelbagai kepincangan.

Antara kepincangan yang dimaksudkan beliau ialah seperti kegagalan melantik hakim Mahkamah Tinggi Syariah, hakim Mahkamah Rayuan Syariah, pendakwaraya, Pengetua Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan dan puluhan kekosongan naib Qadhi dan wali hakim.

“Kesemua ini telah membawa kesusahan kepada masyarakat Islam di Pahang,” tegas beliau, sambil bertanya apakah objektif sebenar untuk kerajaan Pahang membeli hotel yang terletak di tengah kota ibu negeri Pahang.

“Jika keutamaannya adalah untuk meninggikan imej MUIP, bukankah lebih baik selesaikan ratusan kes syariah seperti perceraian, tuntutan harta dan lain yang masih tertunggak akibat kekurangan pegawai daripada membeli hotel?” tambah beliau.

Tuan Ibrahim juga berhujah bahawa ketika ini, rakyat Pahang masih menunggu tindakan kerajaan negeri untuk melaksanakan hasrat KDYMM Sultan Pahang bagi mewujudkan sekolah agama Bestari di Pahang. Bahkan, katanya, rakyat Pahang sedang tertunggu-tunggu usaha kerajaan negeri untuk mengatasi pelbagai kekurangan kemudahan di sekolah-sekolah agama yang tidak lagi kelihatan, daripada pengumuman untuk membeli hotel mewah.

Tambahnya lagi, rata-rata rakyat berharap kerajaan negeri Pahang dapat mengunakan puluhan juta wang zakat yang terkumpul kini bagi meninggikan syiar Islam terutamanya bagi memajukan bidang pendidikan.

“Alangkah baiknya kalau setiap sekolah agama diperuntukan RM200,000 bagi membaikpulih kerosakan dan penyediaan kemudahan pendidikan, bantuan pendidikan kepada para pelajar miskin serta menigkatkan bayaran bantuan kepada pelajar agama di Timur Tengah kerana Pahang antara yang paling sedikit bantuan berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Selari dengan tuntutan dan hasrat rakyat, PAS Pahang menyarankan kerajaan negeri Pahang khususnya MUIP untuk membatalkan hasrat membeli hotel mewah sebanyak RM50 juta itu.

“Dana tersebut sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat kepada rakyat Pahang dan Islam,” tegas beliau.

Kajian: Kesan negatif pemecatan Hasan Ali minima

Harakahdaily, 26 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 26 Jan: Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melalui satu tinjauan yang dijalankan mendapati tindakan PAS memecat keahlian Dr Hasan Ali hanya memberi kesan minimum di kalangan masyarakat Melayu.

Pengarah Operasinya, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, tinjauan tersebut telah menggunakan dua kaedah iaitu dengan menilai komen-komen pembaca terhadap isu pemecatan ini sebagaimana yang dipaparkan oleh media-media baru seperti Malaysiakini, Malaysian Insider, Berita Semasa dan Youtube.
Manakala keduanya, dengan melakukan wawancara terhadap responden-responden terpilih yang mewakili 24 kawasan parlimen seluruh negara.

Menurutnya, hasil penilaian mendapati 85 peratus daripada komen-komen pembaca Malaysiakini dan 67 peratus daripada komen-komen pembaca Malaysian Insider adalah positif terhadap pemecatan, manakala bagi pembaca Berita Semasa pula 44 peratus menyokong pemecatan, manakala 49 peratus tidak menyokong dan selebihnya tidak pasti.

Tinjauan juga dibuat terhadap penonton klip Youtube berkaitan dengan pengumuman Presiden PAS mengenai pemecatan Dr Hasan Ali seperti yang diterbitkan oleh TVPAS. Daripada 67,796 penonton, 273 penonton memberi maklumbalas sama ada like atau dislike yang boleh menjadi petunjuk (indicator) sama ada menyokong atau tidak. 80 peratus daripada 273 penonton yang memberi maklumbalas itu, menyatakan ‘like’ yang boleh digambarkan sebagai positif terhadap pemecatan.

"Melihat kepada penilaian terhadap respon pembaca-pembaca dan penonton-penonton media baru, kesan positif hasil daripada pemecatan Dr Hasan Ali adalah lebih dominan," katanya.

Menurutnya lagi, PPP juga menjalankan tinjauan melalui kaedah wawancara terhadap 24 Yang Dipertua PAS kawasan, dengan anggapan pandangan mereka mewakili pandangan golongan pakar disebabkan keterlibatan mereka secara langsung dengan masyarakat akar umbi di samping pengalaman mereka yang luas dalam kegiatan politik.

Tinjauan turut mengambil kira kemungkinan berlakunya bias dalam memberi pandangan sebagaimana yang biasa berlaku bagi tinjauan yang bersifat kualititatif.

"Hasil wawancara tersebut, dapat disimpulkan bahawa bagi ahli-ahli PAS pemecatan Dr Hasan Ali tidak langsung menimbulkan reaksi negatif.

"Manakala bagi masyarakat awam pula khususnya pengundi-pengundi Melayu, 9 Yang Dipertua PAS kawasan menjangkakan pemecatan itu boleh memberi kesan negatif kepada kawasan mereka, manakala 15 yang lain melihatnya memberi kesan yang positif atau tidak memberi apa-apa kesan," jelasnya.
Hasil wawancara itu juga jelasnya boleh disimpulkan bahawa penerimaan masyarakat Melayu di kalangan bukan penyokong parti terhadap pemecatan tersebut adalah terpecah dua iaitu 50–50.

Tambahnya, meskipun tinjauan yang dilakukan ini dibuat dalam tempoh yang begitu singkat dan menggunakan kaedah yang agak mudah, ia dapat memberi gambaran awal tentang kesan pemecatan Dr Hasan Ali dari PAS terhadap pengundi-pengundi Melayu khususnya golongan atas pagar.

"Berdasarkan kedua-dua tinjauan, penilaian terhadap komen-komen pembaca media baru dan wawancara yang dijalankan, kesan negatif dari pemecatan Dr Hasan Ali di kalangan masyarakat Melayu khususnya adalah sangat minima.

"Malah sekiranya merujuk kepada maklumbalas pembaca-pembaca akhbar alternatif seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider, kesan positif pemecatan dilihat lebih ketara berbanding kesan negatif. Sehubungan dengan itu, boleh disimpulkan kesan negatif pemecatan Dr Hasan Ali tidaklah membimbangkan," katanya.

Muhammad manusia agung

Mumtaz Md. Nawi, 26 Jan 2012
MUHAMMAD (SAW) ADALAH UTUSAN DAN CIPTAAN ALLAH YANG MAHA AGUNG
Muhammad (SAW) Ibn Abdullah adalah Rasul dan Nabi Pilihan. Rasul Terakhir kepada manusia ini merupakan ciptaan Allah yang Maha Agung.Kehebatan Muhammad (SAW) terserlah dalam semua semua aspek, suatu yang tidak perlu dipertikaikan. Baginda dipilih di kalangan manusia kerana baginda adalah Nabi dari segi teori dan praktikal kehidupan manusia dalam segenap kehidupan. Adab akhlaknya dibentuk dan diprogramkan sempurna sebagai makhluk oleh Allah Taala dari kecil sehinggalah ke tempoh kewafatannya.

Baginda adalah nabi yang berkahwin, makan, minum dan tinggal di kediamannya. Namun kadar yang dinikmati oleh Rasulullah SAW adalah kadar paling sederhana dan berhemat yang menunjukkan gaya hidup dan kondisi pemimpin yang dihormati bukan kerana kemewahannya untuk diri tetapi banyak disumbangkan untuk keperluan dan kepentingan ummat, sekaligus keluarga dan para sahabatnya.
Baginda memulakan hidup berkelamin di usia 25 tahun dan mengamalkan monogami selama 27 tahun bersama wanita yang paling mulia yang dicintainya sepenuh hati iaitulah Ummul Mukminin, Saiyidatina Khadijah r.a.  Setelah kewafatan Khadijah, dan baginda saw berhijrah, baginda beristeri dengan beberapa orang wanita yang kemudiannya digelar Ummahatul Mukminin.

Terpanggil dengan kontroversi terbaru oleh OWC tentang penonjolan Rasulullah saw sebagai “Ikon Seks Suci”,  saya merasa amat prihatin untuk mengulas dengan pendidikan berumahtangga yang disaran oleh Rasulullah saw. Mengapa ada yang tergamak untuk meletak  slogan dan label sedemikian? Adakah dengan tidak memberikan anugerah ini berkurangnya kehebatan Rasulullah saw dari aspek perkahwinan? Apa justifikasi mereka untuk berkata demikian?

Banyak sudut yang boleh diulas dengan Qudwah (Contoh) Rasulullah saw dlm memimpin isteri-isteri dan anak menantunya. Pelbagai etika dan adab yang perlu diikuti oleh orang yang telah ditakdirkan sampai jodoh dan ada yang menjalani kehidupan berkeluarga sebagai anak dan adik beradik.

Kita pada hari ini walaupun hanya memiliki dan melayan seorang isteripun GAGAL untuk solat sunat dan puasa sunat. Puasa wajib pun sekadar cukup tinggal makan minum sahaja. Kita sering alpa dan tidak ada kekuatan untuk bangun bertahajjud dan qiyamullail. Kita jarang bahkan mungkin tidak pernah berkhulwah selama sebulan. Kita tidak rajin untuk bertaddarus dan beriktikaf 10 akhir Ramadhan.
Kita culas untuk solat berjamaah apatah lagi memimpin solat setiap waktu dan selalu tidak upaya lekat wudhu'. Kita tidak pernah dapat aduan ada suami hari ini yang solat sehingga bengkak kakinya dan yang bersedekah sehingga dia dan keluarganya tidak punya apa untuk dimakan. Kita juga makan daging dan lauk sehingga kini sering sakit dengan pelbagai macam penyakit kerana terlebih makan!
Nah, Nabi saw berpesan bahawa antara ciri solehahnya isteri itu bilamana dia amanah dalam merahsiakan hal ehwal dalaman dan tempat tidur suaminya. Soal hubungan kelamin tidak pernah menjadi tajuk awam dalam perbicaraan Rasulullah saw kerana baginda memuliakan perkahwinan dan soal intimasi suami isteri adalah hak peribadi yang dilindungi dan difahami.

Majoriti hadith berkait dengan soal kekeluargaan menyentuh santunnya Rasulullah saw melayan anak isterinya dalam semua tahap dan keadaan. Sabarnya ketika meleraikan konflik isteri kesayangan, Aisyah r.a yang difitnah jijik. Psikologi dan diplomasi baginda ketika mendamaikan isteri-isteri akibat cemburu merebut kasih sayangnya.
Hebatnya isteri kerana bukan setakat boleh berkorban makan tapi berkorban giliran. Giliran bersama isteri juga banyak dihabiskan dengan mereka turut serta dalam medan peperangan dan dakwah.

Hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah ra.,Maimunah r.a, Hafsah r.a, Juwairiyyah r.a,Sofiyyah r.a dan Ummu Salamah semuanya menjurus ke arah tegarnya komitmen Rasulullah saw terhadap ibadat dalam kehidupan malamnya. Tidak berbuat apapun baginda saw melainkan ianya atas tujuan ibadat hatta untuk bersama isterinya.
Baginda saw berjaya mendidik isteri-isterinya yang baru memeluk Islam untuk turut berqiyamullail dan beriktikaf bersamanya. Ada baiknya untuk kita ketahui bahawa bila beramal seumpama itu di waktu malam ianya mesti dalam keadaan berwudhu' dan tak pernah alpa dan asyik dengan aktiviti badaniah dan seksual yang boleh memenatkan dan merencatkan amalan qiyamullail akibat keletihan.
Makanan ruji dan sajian  Rasulullah saw adalah amat ringkas dan mudah. Baginda tidak mengambil vitamin dan pelbagai “pil penguat” kerana Islam mengajar hubungan suami isteri di bilik tidur adalah sebahagian proses untuk mendapatkan zuriat yang soleh bukan atas landasan melampiaskan nafsu yang sentiasa berkobar. Klimaks kemesraan dan kemanjaan bertempat dan sahih serta terhormat antara lelaki dan wanita menyebabkan semua sahabat berlumba untuk berkahwin.
Banyak masa siangnya dihabiskan di luar rumah sebagai “hablun minannas” dan masa malamnya digunakan untuk mengabdi diri dengan meningkatkan hubungan “hablun minaLlah”.

Jadi, adalah kurang molek dan mencemar fokus kalau ketaatan isteri dan kecintaan suami itu ditumpukan pada aspek seksual yang lebih bersifat fizikal dan sementara.

Mengatur dan meletakkan had dan aras dalam hubungan kelamin adalah wajar dan perlu dalam Islam kerana andai tidak dijelaskan manusia mungkin meniru gaya dan kekerapan binatang dan haiwan dalam melakukan hubungan jenis. Seks adalah perkara fitrah tetapi ia harus dipupuk supaya ia menjadi hubungan suci lagi murni bukan keperluan hakiki yang wajib dinikmati setiap ketika atas alasan kerana telah bernikah.
Suami isteri yang tua lagi uzur, mereka masih mempunyai cukup ruang untuk meluahkan kasih sayang dengan sifat mawaddah, ihsan dan rahmah sehingga wujud sakinah dalam rumahtangga dan kehidupan. Organ seks bukanlah kemuncak alat dalam kehidupan yang perlu diagungkan dan manusia yang tidak memilikinya serta menikmatinya dianggap kurang dan tidak sempurna!

Manusia itu sempurna dengan minda, badan, emosi dan spiritual yang sihat dan cerdas. Nabi Isa a.s dan ibunya maryam tidak pernah berkahwin tetapi terbukti mereka masing-masing adalah Rasul Ulul Azmi dan antara 4 perempuan yang paling mulia dalam Islam. Mereka tetap Idola kita sebagai umat Islam. Imam Nawawi juga tidak sempat berkahwin tetapi hadith arbain susunannya tetap unggul dan bermakna untuk kelangsungan ummah.
Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw dan menjalani dan mengurus isteri dan rumahtangga adalah cabaran besar dan rutin yang menuntut ilmu dan hikmah sepanjang masa bukan hanya seks. Aktiviti seks mungkin memakan tempoh 30 minit dalam seminggu atau dalam tempoh 3 bulan jadi adalah tidak munasabah kalau ukuran kehebatan Islam itu diukur dan dilabel dengan fokus itu dan ke situ! Seolah kita juga kini terjerumus dan menjerumuskan masyarakat ke dalam minda “hanya kepuasan seks” segala-galanya.
24 jam bersama suami dan 30 tahun berumahtangga memerlukan kesyumulan contoh dari Rasulullah saw melayari kehidupan. Bukan terhenti atau terikat dengan aktiviti seksual semata. Rasulullah saw diangkat menjadi nabi ketika usianya menjangkau 40 tahun dan mempunyai had masa 23 tahun untuk menyampaikan dan menyempurnakan keseluruhan aspek sosial,politik dan ekonomi Islam yang diwariskan kepada ummat sehingga qiamat.
Piawaian lelaki dan manusia terbaik di kalangan semua ummat adalah lelaki yang paling baik layanan dan penghormatan kepada isteri dan keluarganya. Islam bukan agama hipokrit dan bermotif dengan menyayangi isteri dan anak  kerana pulangan khidmat dan balasan seksual dan fizikal tetapi kerana itu adalah hak dan hudud yang ditetapkan oleh Allah swt.
Rasulullah saw pengangkat martabat wanita dan lelaki serta anak-anak dengan setinggi-tingginya dengan penganugerahan hak layanan, penghormatan nasab, harta,nafkah dan pusaka dengan sepatah kata "aku terima nikahnya".
Saya yakin dan saya percaya ramai lagi di luar sana yang menyanjung dan ingin mengamalkan sunnah kehidupan berkeluarga Rasulullah saw yang syumul dan lebih banyak dibuat oleh baginda di luar bilik tidur.
Maka, marilah kita  berselawat ke  atas  junjungan  besar  Rasulullah  saw   kerana kemuliaannya , jasa pengorbanannya dan sopannya menghargai wanita dan keluarga sebagai manusia yang punya hak dan kemahuan bukan objek seks sebagaimana kefahaman barat mengenai wanita. Janganlah kita terperangkap dan terjerat oleh kehendak dan fahaman mereka mengenai rumahtangga dan perkahwinan.
Berkahwin itu adalah proses yang lebih mulia dan jangka panjang untuk ummah sifatnya dan antara dua keluarga dan masyarakat bukan berobjektifkan ketaatan fizikal individu dan penyerahan tubuh semata mata.
Percayalah, apapun aktiviti kita semuanya adalah untuk beribadah dan menggambarkan kehambaan kita kepada yang Maha Pencipta.

Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajmain.

MUMTAZ MD. NAWI
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Pengamal Undang-Undang Sivil dan Syarie

Mazlan dedah kandungan perjanjian Felda-FGVH

Hazayani Zakaria, 26 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 26 Jan: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini tampil mendedahkan isi perjanjian di antara Felda Holdings dengan Felda Global Ventures Holding Sdn Bhd (FGVH) yang disifatkan sebagai berat sebelah dan menindas peneroka.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya berbuat demikian kerana peneroka langsung tidak mengetahui perjanjian di antara kedua-dua pihak itu dalam usaha penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

Antaranya, jika perjanjian itu ditandatangani, segala kuasa akan jatuh kepada FGVH dan Felda akan hilang fungsinya sebagai institusi tanah milik Orang Melayu.

"Felda tidak punya apa-apa peranan, jadi seperti patung yang tidak punya kekuatan.

"Segala urus niaga akan diurus oleh FGVH dan FGVH mendapat kenikmatan aman sentosa," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS pusat itu turut berkata, pihaknya akan membuat pendedahan secara bersiri dan ini merupakan pendedahan yang pertama.

Ini kerana segala pandangan dan bantahan mereka terhadap penyenaraian tersebut tidak diterima kerajaan.

"Anak sudah bagi masa yang cukup kepada kerajaan khususnya perdana menteri untuk membuat pertimbangan terhadap penyenaraian ini.

"Sudah tiba masanya kami membuat pendedahan demi pendedahan kerana peneroka tidak tahu isi kandungan dan terma perjanjian sebaliknya peneroka terpengaruh dengan dakyah kerajaan bahawa penyenaraian itu memberi kesenangan kepada peneroka," katanya.

Kandungan perjanjian itu antaranya juga menyebut tanah Felda seluas 360, 067 hektar yang kini diurus Felda Plantations Snd Bhd (FPSB) akan dipajak kepada FGVH.

Selain itu, perjanjian tersebuty menyatakan, jika peneroka ingin mendapatkan aset dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF), mereka terpaksa menjual hasil perahan kelapa sawit kepada kilang milik FGVH.

"Kalau polisi itu dibuat, ia akan  merugikan peneroka dan saya menjangkakan bukan sahaja soal nak salurkan hasil jadi masalah tapi tanah 10 ekar yng dimiliki peneroka akan terjejas.

"Memanglah Isa Samad kata tak usik tanah peneroka tapi secara tak langsung kesan dihadapi ke atas peneroka," kata Mazlan lagi.

Perjanjian tersebut turut diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk dipersetujui.

Setakat ini, semua negeri Pakatan Rakyat bersetuju untuk menyerahkan tanah kepada Felda untuk dipajak kepada FGVH.

"Negeri-negeri PR tidak akan serah tanah Felda untuk dipajak tapi kita akan tetap buat roadshow dan bertamu dengan menteri-menteri besar dan wakil-wakil peneroka bagi jelas isu penyenaraian ini," katanya.

Felda defisit RM1.5 bilion

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa Anak, Dr. Rosli Yaakob yang juga pakar ekonomi melahirkan kebimbangan terhadap jangkaan defisit tahunan sebanyak RM1.5 bilion yang akan dialami Felda apabila menyerahkan tanah kepada FGVH.

Menurut Perjanjian Pajakan Tanah tersebut, Felda hanya menerima bayaran RM251 juta sahaja setahun setelah Felda menjual semua saham di dalam FGVH.

Ini akan membolehkan Felda mendapat wang lebih kurang RM5.9 bilion berdasarkan penilaian FGVH dan berdasarkan 15 peratus keuntungan Operasi Pertanian atau perkongsian keuntungan tahunan yang bergantung kepada harga pasaran minyak sawit mentah.

"Pendapatan Felda daripada sekitar RM2 hingga 2.3 bilion setahun akan tinggal 508 juta sahaja. Itu pun jika harga komoditi berada di paras stabil seperti sekarang.

"Manakala perbelanjaan Felda tahun 2010 sahaja mencecah RM1, 980 juta. Felda akan mengalami defisit tahunan sekitar RM1.5 bikion. Siapa yang akan menampung kekurangan pendapatan Felda ini?" soalnya yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan.

Jika popular, kenapa Najib takut berdebat dengan Anwar?

Harakahdaily, 26 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 26 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya tidak perlu takut untuk menyambut cabaran debat yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, apatah lagi beliau dikatakan lebih popular berbanding Ketua Pembangkang itu.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor berkata, dengan populariti Najib yang dikatakan sedang meningkat naik, maka cabaran debat tersebut adalah peluang terbaik untuk beliau mengutarakan visi dan misi beliau.

"Populariti Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan semakin baik dan mengalahkan populairiti Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dinyatakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Dengan populariti yang baik dan meningkat naik, tidak wajar Datuk Seri Najib melepaskan peluang ini untuk menerima pelawaan debat yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia," ujar Riduan.

Menurut beliau lagi, banyak pihak sedang ternanti-nanti kedua-dua pemimpin utama negara itu bersemuka di atas satu pentas bagi melihat hujah yang dikemukakan oleh pemimpin tersebut.

Malah baginya, debat adalah suatu dimensi politik baru yang perlu diterokai oleh kedua-dua pemimpin negara ini.

Suasana juga ujarnya sudah berubah di mana rakyat sudah semakin terbuka dan bijak dalam menilai sesuatu maklumat yang diterima.

Rakyat tegasnya memerlukan suatu saluran bagi mendapatkan suatu informasi berharga bagi menajamkan pemerhatian mereka terhadap politik negara dan debat terbuka adalah langkah terbaik untuk semua.

"Jika selama ini, rakyat terbelenggu dengan hanya maklumat dari sebelah pihak sahaja.

"Dengan cengkaman media yang berat sebelah, ditambah pula dengan propaganda yang memburukkan imej pemimpin pembangkang di negara ini sejak sekian lama, wacana debat adalah perlu bagi menilai pandangan kedua-dua tokoh terbabit," tegasnya.

Mengulas lanjut, Riduan berkata, debat yang bakal dianjurkan ini bakal menjadi suatu peristiwa bersejarah kerana pemimpin negara berjiwa besar sanggup duduk semeja dan berhujah dengan Ketua Pembangkang.

"Oleh itu, Datuk Seri Najib tidak perlu risau dan gentar bagi menghadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pentas perdebatan.

"Yang diadili bukan siapa menang atau kalah, yang penting siapa yang benar dan siapa yang salah. Jika Datuk Seri Najib di pihak yang benar, apa yang perlu ditakutkan," soalnya tegas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan