Isnin, 23 Januari 2012

KEADILAN@KEAMANAN KEPERLUAN MANUSIA YANG SIHAT AKAL DAN ROHANI..JIKA KITA DAPAT DISESATKAN OLEH SYAITAN..MAKA KITA TELAH KECUNDANG

Nukilan seloroh sambutan Tahun Naga

Tuan Ibrahim Tuan Man, 22 Jan 2012
Negara dan media antarabangsa heboh dengan bunyi mengerikan yang dirakam di Aaborg, Denmark dan terbaru di negara Malaysia, yang berlaku di Kota Samarahan, Sabah pada 11 dan 12hb lalu.

Pelbagai spekulasi dibuat mengenai sumber bunyi tersebut, namun apa yang jelas ialah bunyi tersebut berbentuk bunyi dengkuran kuat yang diulang berkali-kali.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang berkebetulan tahun naga air, ada juga “suara nakal” yang menyatakan apakah bunyi itu bunyi dengkuran 'naga yang sedang tidur'.

Kerana apabila naga sedang tidur, memang ia tidak akan mengancam sesiapa pun. Namun, bilamana ia terjaga, naga air yang baik akan melawan naga jahat.

Naga jahat ini bukan sekadar jahat, ia juga terkenal dengan sikap makan duit rasuah, makan lembu, teropong dan X-band. Bahkan, dengan kekayaan yang melimpah-limpah, naga jahat ni dilihat terus berminat dengan koleksi beg tangan, cincin dan kosmetik.

Terbaru, naga jahat ni mula mengubah taktik, ia tiba-tiba menunjukkan “kebaikan” dengan memberi duit RM500 dan termasuk pukat kepada nelayan supaya boleh menjerat naga air yang baik ini.

Mungkin naga jahat terlupa naga air yang baik ini, walaupun tinggal di dalam air ada sakti, boleh sembur api walaupun dalam air yang menghanguskan pukat dan jerat rasuahnya.

Apapun yang masih menjadi tanda-tanya kini ialah bila naga air yang baik yang sedang berdengkur tu nak bangun dari tidurnya?

Kalau dengar dengkuran tu, macam lama lagi ia nak tidur. Sekurang-kurangnya tiga empat bulan lagi. Apa pun yang tidur, tidak selamanya tidur.

Satu hari dia akan terjaga juga. Untuk memendekkan cerita, apabila naga air yang baik terjaga, naga jahat pasti dapat ditewaskan akhirnya.

Sekadar nukilan untuk menambahkan riang sempena cuti panjang sambutan Tahun Naga.

Gong Xi Fa Cai kepada yang menyambutnya dan selamat bercuti dan hati-hati di jalan raya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
22 Januari 2012

SPRM didesak siasat 'belanja mewah' Rosmah di Australia

Harakahdaily, 22 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Jingga 13 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dari manakah wang yang digunakan oleh iateri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika 'berbelanja mewah' di Australia.

Ianya merujuk kepada laporan dalam seksyen 'Private Sydney' yang disiarkan akhbar Australia Sydney Morning Herald semalam, di mana kolumnis Andrew Horney memetik kenyataan pereka fesyen, Carl Kapp mengenai Rosmah yang dikatakan membelanjakan A$100,000 (RM325,000) di butik milik beliau di Sydney.

Ketua Koordinatornya, Fariz Musa berkata, jumlah yang dilapor akhbar itu tidak termasuk berapa malam Rosmah dan Datuk Seri Najib Razak menginap di Hotel Darling , Sydney yang berharga RM65,100 semalam dan bayaran untuk parkir khas untuk limosin beliau.

"Di saat seluruh rakyat Malaysia berdepan dengan kenaikan harga barang makanan dan keperluan hidup , dalam keadaan rakyat berpendapatan rendah dan golongan miskin menderita untuk terus hidup , isteri Perdana Menteri membeli belah ratusan ribu ringgit.

"Dari manakah wang yang diperolehi oleh beliau boleh untuk berbelanja mewah sehingga di gelar 'FIRST LADY OF SHOPPING'," katanya yang menunutut siasatan segera SPRM.

Menurut Fariz, beliau hairan kenapa sehingga sekarang tiada sebarang tindakan oleh SPRM terhadap pelbagai laporan yang dibuat terhadap tabiat isteri Perdana Menteri Malaysia itu.

Lalu beliau mempersoal, adakah SPRM hanya khusus untuk menyiasat dan mendakwa rakyat biasa dan tidak kepada isteri Perdana Menteri dan pimpinan Umno.

"Jingga 13 meminta seluruh rakyat Malaysia membuka minda dan hati agar bangkit mempersoalkan dari manakah wang yang Rosmah Mansor perolehi sehingga berbelanja mewah yang mungkin sudah jutaan ringgit daripada keseluruhan melibatkan barang kemas, pakaian,beg tangan Birkin dan sebagainya termasuklah perbelanjaan pengangkutan dan penginapan mewah di luar negara.

"SPRM harus bertindak adil dan profesional dan bukan bertindak dwi-standard," katanya.

Penyokong Umno serang hadirin ceramah ABU

Muhammad Faizal, 22 Jan 2012
SHAH ALAM, 22 Jan: Penyokong Umno dipercayai bertindak ganas apabila menyerang orang ramai pada satu aktiviti ceramah ABU (Asal Bukan Umno)-Hindraf di Dewan Orang Ramai Jalan Kebun, semalam.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah (gambar) apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Berkata kepada Harakahdaily, Penyelaras Kebangsaan Hindraf, W.Sambulingam memberitahu penyokong Umno mula memasuki dewan menggunakan motosikal pada jam 915 malam selepas lima minit program itu bermula.

"Hanya selepas lima minit ceramah itu bermula lebih kurang lima belas orang penyokong Umno memasuki dewan dan membuat kacau selain beberapa buah motosikal juga turut memasuki dewan tersebut.

"Mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat yang berbentuk perkauman serta mengarahkan orang Melayu yang berada di dalam dewan keluar dengan menyifatkan ini antara Umno dengan orang India sahaja," jelasnya.

Beliau juga memberitahu, Umno mengeluarkan kata-kata menghina kaum India seperti "India keling","kumpulan pendatang","tak malukan Melayu bergabung dengan India" serta "India hanya buat kacau sahaja di sini".

Tambahnya lagi, penyokong Umno mensasarkan orang India sahaja apabila dilihat hanya menyerang kaum India tanpa memperdulikan orang Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.

"Sasaran mereka adalah orang India apabila salah seorang dari mereka mengatakan ingin mengajar orang India.

"Keadaan mula menjadi semakin kecoh apabila mereka bertindak menyerang menggunakan kerusi dan juga menggunakan kayu bendera sebagai senjata memukul orang India yang berada di dalam serta di luar dewan," sambungnya lagi.

Tambah beliau lagi, tindakan tersebut jelas menunjukkan sikap perkauman Umno yang mana mereka sebenarnya merupakan sebuah parti yang rasis bukannya seperti yang dilaungkan oleh mereka selama ini 1 Malaysia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud melalui twitternya menyifatkan konsep 1Malaysia gagal diterap kepada penyokong Umno.

"Orang India tidak selamat di kawasan Umno dan menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyiapkan keranda untuk 1 Malaysia.

"Pemimpin Umno Kota Raja dan Jalan Kebun perlu bertanggungjawab dalam kejadian tersebut," katanya melalui twitter.

Dalam pada itu Chegu Bard juga melalui twitternya memberitahu mereka (Umno) cuba bakar sentimen perkauman tetapi dalam masa yang sama mereka turut memusnahkan gerai milik orang Melayu yang datang untuk mencari rezeki.

"ABU bukan untuk satu tetapi milik semua rakyat, apa yang dilakukan oleh Umno jelas bersifat perkauman dengan mencaci kaum India.

"Pemuda Umno harus bertanggungjawab dalam kejadian tersebut," kata beliau melalui twitter.

Sebelum itu, turut hadir dalam majlis itu adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan juga beberapa pemimpin parti yang lain.

Buat masa ini laporan polis belum dilakukan kerana menunggu khidmat nasihat dari peguam.

Semangat 'naga air' tolak perkauman sempit Umno

Mohamad Sabu, 22 Jan 2012

Gong Xi Fa Cai buat kaum Tiong Hua.

Tahun ini cukup istimewa kerana ialah tahun naga air. 'Naga air' yakninya bersifat 'cool' di luar tapi sudah semestinya mempunyai hembusan apinya lebih hebat sehingga air pun tidak mampu melenyapkannya.

Atas semangat kiasan itulah, diharap kaum TiongHua meneruskan agenda untuk berubah "換“ (huan) ke arah pendamaian jiwa. Sebagaimana yang kita sedar, di Malaysia, pendamaian jiwa sukar dicapai dengan kerajaan kini, yang suka berflip-flop dan menegakkan benang basah dari segala sudut urusan negara.

Pentadbiran PAS dan Pakatan Rakyat telah terbukti menjunjung prinsip keadilan, iaitu asas terulung dan terpenting untuk mencapai pendamaian jiwa.

Ayuh, mari bersama PAS dan Pakatan Rakyat menjadikan tahun naga air ini menjadi titik noktah terakhir kepada kecelaruan jiwa yang ditimbulkan oleh dasar perkauman sempit Umno-Barisan Nasional.

Selamat Tahun Baru Cina. “新年進步”Xin Nian Jing Bu!

Mohamad Sabu,

Timbalan Presiden PAS

PAS iktiraf peranan Tionghua bentuk kerajaan lebih adil

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 21 Jan 2012

Bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan disambut oleh masyarakat Tionghua di Malaysia dan di seluruh dunia minggu ini, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengucapkan selamat menyambut hari kegembiraan tersebut. Perayaan yang turut melibatkan majlis makan besar dalam keluarga besar merupakan satu nilai positif yang juga turut disanjung ajaran Islam. Islam juga menggalakkan hubungan kekeluargaan dipereratkan, malah jika sudah memeluk Islam sekalipun, hubungan kekeluargaan tidak pernah putus khususnya dengan kedua ibu bapa mereka.

Apa yang malangnya ialah pemerintahan negara selama puluhan tahun ini masih belum mampu mewujudkan perpaduan nasional yang mantap. Malah hidup dalam kegelisahan akibat permainan politik perkauman pihak pemerintah. Bahkan hubungan masyarakat Tionghua di Tanah Melayu ini telah wujud seawal pemerintahan kerajaan Islam Melaka melalui hubungan diplomatik Laksamana Cheng Ho dengan kerajaan Melaka.

Masyarakat Tionghua di Malaysia merupakan kelompok kedua terbesar di negara ini dan memberi kesan terhadap politik dan sosial negara. Perubahan yang mereka lakukan dalam pilihanraya ke-12 yang lalu membuka lembaran baru politik negara yang menyentak keselesaan pemerintah di peringkat pusat. Perubahan yang dilakukan adalah untuk melihat negara maju ke hadapan dan keluar daripada politik usang yang menindas, diskriminasi dan zalim kepada rakyat kepada politik yang adil dan saksama sesama rakyat.

Namun ianya belum cukup merubah keseluruhan sistem 'usang' negara dan menginsafkan pemimpin pusat yang terus menerus menindas negeri-negeri dan rakyat. Maka tibalah masanya kita membuat perubahan total diperingkat kerajaan pusat. Maka sekali lagi masyarakat Tionghua adalah penting dalam mengekalkan dan meningkatkan undi mereka kepada Pakatan Rakyat dan seterusnya bersama membina negara yang adil untuk semua.

PAS akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghua di Malaysia dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur. PAS juga kini melalui Kelab Penyokongnya telah berjaya menjalin hubungan baik dengan masyarakat Tionghua khususnya dalam saling faham-memahami dan hormat-menghormati serta saling tolong-menolong di antara satu sama lain. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.

Gong Xi Fa Cai kepada semua.

Presiden PAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan