Sabtu, 28 Januari 2012

BILA SUAMI TIDAK DAPAT MENGAWAL ISTERINYA...MUNGKIN JUGA SUAMI KURANG TERPELAJAR DARI ISTERI...ATAU ADA SESUATU YANG TAK KENA....CAMTU BERATLAH...

PAS sasar 12 kerusi Sarawak, 9 Sabah

Harakahdaily, 27 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 27 Jan: PAS bercadang untuk bertanding 12 kerusi parlimen di Sarawak dan sembilan kerusi di Sabah dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Menurut sumber, kerusi-kerusi itu adalah kawasan tradisi PAS di samping kawasan yang tidak ditandingi oleh mana-mana parti Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu.

"Kalau selama ini PAS bertanding berdasarkan kaum atau agama yang ada di kerusi berkenaan, namun kini PAS tidak lagi ada batasan itu dengan lahirnya Dewan Himpunan Penyokong PAS atau DHPP," kata satu sumber PAS kepada Harakahdaily.

Dalam pilihan raya umum 2008, PAS hanya bertanding satu kerusi parlimen di Sarawak iaitu Batang Lupar dan hanya dua kerusi Dun di Sabah.

Namun begitu, di Sarawak terdapat 10 kerusi yang tidak ditandingi oleh mana-mana parti Pakatan dan sebahagiannya di menangi oleh calon BN tanpa bertanding.

Kerusi-kerusi yang dimenangi tanpa bertanding oleh BN adalah Tanjung Manis, Igan, Selangau, Kapit dan Kanawit.

Kerusi-kerusi yang hanya ditandingi oleh calon bebas pula adalah Lubok Antu, Mukah, Ulu Rajang, Baram dan Sri Aman.

Menurut maklumat yang Harakahdaily terima, sehingga kini PAS sudah sah bertanding sekurang-kurangnya tiga kerusi di Sarawak berdasarkan kerusi tradisi.

Namun sehingga kini, 10 kerusi yang ditandingi calon bebas dan dimenangi tanpa bertanding oleh calon BN belum ditentukan lagi parti mana yang akan bertanding.

Sejak beberapa bulan lepas, pelbagai badan dalam PAS turun ke Sarawak dan Sabah dari Semenanjung. Antaranya yang berkaitan dengan pilihan raya dan penerangan.

Yang terakhir adalah rombongan Lajnah Penerangan PAS Pusat yang dipimpin Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
(Gambar: Rombongan Lajnah Penerangan PAS yang diketuai Tuan Ibrahim memacakkan kayu asas surau di pulau Shanghai, Sandakan)

Melalui ekspedisi itu, PAS membuka denai dan jalan untuk membolehkan benih-benih PAS di tanam di bumi Kenyalang dan Negeri Bawah Bayu itu.

"Sambutan amat baik dan ramai penduduk tempatan yang berharap PAS bertanding di kawasan mereka," kata salah seorang anggota rombongan itu kepada Harakahdaily.

Di Sandakan, PAS telah membuat satu projek angkat iaitu membina sebuah surau di Pulau Shanghai, yang terletak setengah jam menaiki bot laju dari Sandakan.

Semua penduduk pulau itu beragama Islam namun tidak ada sebuah pun surau di pulau itu.

PAS lancar borang tanah, bantu selesai isu hak milik

Harakahdaily, 27 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 27 Jan: Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat buat pertama kalinya akan melancarkan Borang Tanah sebagai usaha membantu rakyat dalam menyelesaikan isu hak milik tanah.

Majlis pelancaran tersebut akan diadakan pada 4 Februari ini di Simpang Renggam yang akan disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman ketika memberitahu perkara itu berkata, untuk permulaan, program itu akan mensasarkan negeri Johor sebelum diperluas ke seluruh negara.

"Lajnah Tanah terima banyak aduan berhubung isu hak milik tanah. Sehingga kini tidak ada mekanisma yang boleh atasi masalah ini.

"Jadi kita cuba ambil pendekatan dengan lancar borang tanah," katanya kepada Harakahdaily.

Borang tanah tersebut menurut Mazlan, berupa kaji selidik kepada mereka yang menghadapi masalah tersebut.

Pengadu ujarnya boleh mengisi borang tersebut dengan memberi maklumat terperinci berhubung lot tanah, keluasan dan aduan yang mahu diutarakan.

"Selepas kita kumpul borang dan maklumat pengadu-pengadu ini semua, kita akan bawa kepada pejabat tanah.

"Kalau perlu lantik peguam, kita akan usahakan," tegasnya.

Sebelum ini kata beliau, banyak kes yang telah dipanjangkan ke pejabat tanah peringkat daerah mahupun negeri, namun ia nampaknya sulit dan semacam sukar untuk diselesaikan.

Sehubungan itu, dengan pendekatan terbaru ini, beliau harap dapat membantu mereka-mereka yang terlibat untuk mengetengahkan isu ini secara besar-besaran agar dapat membuka mata pihak bertanggungjawab.

"Ini mekanisma PAS untuk bantu rakyat.

"Sama ada Melayu, Cina, India atau Orang Asal, kita tetap akan bantu mereka," katanya.

ABU milik rakyat

che'GuBard, 27 Jan 2012
Seminggu ini ABU atau Asalkan Bukan Umno telah menjadi perhatian. Bermula dengan insiden serangan bersifat perkauman terhadap Ceramah ABU di Dewan MBSA, Seksyen 30, Kg Jalan Kebun, Shah Alam sehinggalah kenyataan terbuka oleh S.Jayathas yang selepas itu diketahui bertindak atas arahan P. Utayakumar yang merupakan pimpinan Hindraf yang telah menubuhkan sebuah parti politik yang dikenali sebagai Parti Hak Asasi Manusia Malaysia.

Ditegaskan sejak awal ABU bukan sebuah organisasi atau jauh lagi sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan. ABU ialah mewakili sentimen rakyat yang kecewa dan sedar dengan hakikat banyak masalah negara ini berpunca dari sebuah parti yang dicipta oleh penjajah iaitu United Malay National organisation (Umno). Seingat kami sentimen ABU ini mula wujud sekitar tahun 1998 selepas pemecatan DSAI dan kemudian diporpularkan oleh Hishamuddin Rais melalui blog Tukar Tiubnya.

Namun bermula beberapa bulan lepas beberapa organisasi seperti SAMM, SABM, PSM, PRM dan banyak lagi juga tidak ketinggalan beberapa organisasi mahasiswa serta aktivis-aktivis masyarakat yang bergerak sendirian telah bergabung dan bersetuju menghidupkan kempen ABU untuk menjadikan ia sentimen nasional dalam menyatukan kekuatan rakyat demi menumbangkan Umno dan Barisan nasional khususnya dalam PRU akan datang.

Kempen ABU ini menggariskan 3 perkara kenapa perlu rakyat menolak Umno iaitu

Isu sentimen perkauman melampau yang dibawa oleh Umno telah menggagalkan penyatuan rakyat juga sebagai senjata untuk mengalihkan isu apabila satu isu besar muncul dalam negara.

Isu Lynas diangkat kerana isu ini menunjukkan ketidak pedulian Umno terhadap suara rakyat sanggup memperjudikan nyawa rakyat demi projek menguntungkan pihak tertentu. Isu ini juga berkait rapat dengan pembaziran, rasuah yang menghilangkan hasil petroleum negara sehingga negara terpaksa mencari industri tenaga baru bagi menggantikan petroleum.

Isu harga barang yang melampau dan jelas regim gagal mengawal

Isu - isu ini diangkat kerana ia isu yang dekat dan mudah difahami oleh rakyat. Isu ini juga bersifat fundimental dan dikongsi oleh semua gerakan progresif. Maka dengan isu ini diharapkan dapat menyatukan semua gerakan progresif dan secara tidak lansung mengenepikan isu perbezaan yang tidak menguntungkan gerakan. Selain itu isu seperti keadilan asas dan sistem perundangan juga menjadi tumpuan.

Telah dipersetujui ABU tidak akan punya struktur tetapi hanya penggerak terdiri dari organisasi atau individu sekutu yang bersama dengan sentimen ABU. Maka tidak ada ketua cuma yang ada kemungkinan penyelaras berdasarkan keperluan program.ABU  tidak ada hak cipta semua orang boleh  bergerak atas ABu tetapi jika bersekutu bersama impaknya akan lebih berkesan.

Semua orang boleh buat t-shirt ABu atau apa sahaja bahan mempromosi ABU tanpa izin sesiapa. ABU milik rakyat.

Menyentuh mengenai Hindraf yang kononya menarik sokongan dari ABU dan kemudian dinafikan oleh Penyelaras Kebangsaannya Sambulinggam dan pimpinan dalam buangannya Waythamoorthy yang menyatakan Hindraf terus bersama ABU dan semua pihak yang menentang Umno dan Barisan Nasional. Menurut mereka kenyataan tidak bersama ABU itu cuma pendapat peribadi Uthayakumar.

Bagi SAMM yang menjadi sekutu bersama ABU kami tidak berminat dengan apa yang jadi dalam mana - mana organisasi. Tanpa atau bersama Hindraf, sentimen ABU akan terus bergerak dan terlekat dihati rakyat. Namun kami amat mengalukan Hindraf atau mana - mana organisasi atau individu yang berkongsi sentimen ini dan bergerak bersama kerana penyatuan kekuatan merupakan kelebihan dalam gerakan menumbangkan regim yang ditunjangi Umno.

Terbaru juga komen Wan Farel, Penyelaras Segmentasi Mahasiswa dalam isu melibatkan KUIN di Kedah yang sedikit dilihat menyerang Menteri Besar PR Kedah yang kemungkinan dilihat agak kontradik dengan kempen ABU yang didokong SAMM. SAMM secara penuh menyokong kenyataan Wan Farel dan menganggap ia pendirian SAMM secara rasmi.

Perlu ditegaskan dokongan SAMM terhadap ABU bukan 'cek kosong' kepada yang melawan Umno. Sokongan dan sentimen ABU berdasarkan prinsip. ABU ialah sentimen kesedaran rakyat yang ingin melihat Umno tumbang kerana keangkuhan mereka dipuncak kuasa. Namun jika mana - mana pihak khususnya yang baru berkuasa sedikit melakukan perkara yang sama maka sewajarnya ditolak.

ABu ialah milik rakyat. ABU bukan cerita siapa nak jadi YB tetapi penyatuan kuasa rakyat melawan Umno. ABU ialah menefestasi dalam PRU akan datang Umno bukan sekadar berdepan dengan Pakatan Rakyat sebagai lawan politik tetapi akan berdepan sentimen rakyat ; Asalkan Bukan Umno.

Road show ABU dan program - program berimej ABU akan terus diperhebatkan dan akan diumumkan dari masa ke semasa.

Program yang terdekat ialah Ceramah Umum memperkenalkan ABU di NS, 28 Januari 2012, 8.45 malam di Taman Seremban Selatan akan menampilkan pemimpin politik, pemimpin NGO dan aktivis masyarakat. Semua dijemput hadir.
-------------------------------
che'GuBard adalah Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

PAS anjur himpunan generasi guru bermaruah Ahad ini

Harakahdaily, 27 Jan 2012
JOHOR BAHRU, 27 Jan: PAS akan mengadakan perhimpunan Generasi Guru Bermaruah 2012 bagi mendekatkan lagi mereka dengan golongan guru di negara ini.

Program yang dipelopori oleh Cikgu Normala Sudirman (gambar), bekas calon PAS pilihanraya kecil Tenang ini dijangka akan mengumpulkan 1,000 guru di Dewan Pusat Tarbiyyah PAS Parit Pechah, Muar, Johor.

Ia akan diadadakan Ahad 29 Januari ini dengan pelbagai pengisian.

Normala dalam kenyataannya berkata, warga pendidik memainkan peranan sangat penting dalam menggerakan aktiviti bersifat kemasyarakatan.

Golongan ini juga sangat dekat dengan masyarakat dan sangat dihormati justeru peranan yang disumbangkan dalam membentuk masyarakat selama ini.

Oleh itu, katanya,  sekiranya tenaga mereka dapat digarap dengan tanzim yang tersusun, ianya mampu memberikan kesan yang amat besar dalam gerakan dakwah dan politik yang diperjuangkan PAS selama ini.

Program yang bertemakan 'Bangkit Guru Untuk Rakyat' ini akan diserikan dengan pelbagai kertas kerja yang akan dibentangkan oleh tokoh pendidik dari PAS.

Antaranya Dr. Mahfodz Mohamad, Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, yang merupakan bekas pensyarah kanan Universiti Malaya.

Turut terlibat adalah Datuk Abu Bakar Bin Chik, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat dan Dr. Halimah Bin Mohd Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan  Modal Insan Negeri Selangor.

Pada sebelah malamnya pula akan diadakan pidato perdana dan ceramah sempena perhimpunan guru ini.

Antara penceramahnya adalah Dr Mahfodz, Datuk Adnan Bin Ibrahim (Bekas Pengarah Pelajaran Negeri Perak) dan  Cikgu Normala sendiri.

Rosmah jejas persiapan PRU-13 Najib?

Wan Nordin Wan Yaacob, 27 Jan 2012
Analisis

Isu kemewahan hidup isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hangat kembali dan terkini isu perbelanjaan mewah Rosmah semasa di Sydney, Australia didedah akhbar negara itu.

Meskipun sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang giat dalam program turun padangnya ke negeri-negeri bagi mempersiapkan jentera pilihan raya, namun pendedahan Sydney Morning Herald menjejaskan imej Najib.

Satu artikel dalam akhbar Australia  Sydney Morning Herald tulis kolumnis Andrew Hornery yang menggelar Rosmah sebagai "First Lady of Shopping' kerana dikatakan telah membelanjakan RM300,000 membeli-belah di butik mewah pereka fesyen di Sydney, Carl Kapp.

Kolumnis itu dalam satu kenyataanya  mempertahankan dakwaannya bahawa Rosmah membelanjakan lebih RM300,000 semasa lawatannya ke Australia.

"FLOM (wanita pertama Malaysia) dakwa saya membesar-besarkan secara liar lawatan sambil membeli-belahnya di Sydney?

"Saya tetap pertahankan setiap kata-kata saya. Sumber saya amat kukuh," kata Hornery dalam Twitternya.

Selain perbelanjaan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik, Hornery juga mendakwa Rosmah dan suami menginap di emper (penthouse) bernilai A$20,000 (RM65,100) semalam, meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan pereka fesyen ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

Sebelum ini, Rosmah ada menyatakan penafiannya tentang dakwaan itu dan menggelarkan dakwaan itu sebagai satu tuduhan liar.

Rosmah mendapat perhatian masyarakat sejak Najib menjadi Perdana Menteri.Kehidupan mewahnya diperkatakan khalayak selain didakwa banyak mempengaruhi keputusan yang dibuat Najib dalam isu-isu dasar kerajaan.

Ramai yang tidak senang dengan kelibat Rosmah selaku wanita pertama yang dilihat terlalu menonjol bukan dengan imej positif, sebaliknya dengan imej yang menggoyahkan imej Najib.


(Rosmah dengan pelbagai gaya beg mewahnya)

Isu perbelanjaan mewahnya semasa menginap disebuah hotel di Dubai seperti yang didedahkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Azmin Ali turut menjadi bualan umum.

Azmin mendakwa, kos penginapan Najib dan Rosmah  di hotel mewah Atlantis di Dubai lebih RM100,000 hanya untuk semalaman.

Rakyat turut dimaklumkan, jumlah perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri dan isterinya dari tahun 2008 hingga 2011 iaitu dimana mereka membelanjakan RM 1,739,332.85 (2008), RM 4,811,837.48 (2009) RM 5,140,307.99 (2010) dan RM 5,427,172.26 sehingga Jun 2011.

Memetik keratan sebuah akhbar Australia pula, seorang wanita Pertama yang tidak dinamakan turut membelanjakan A$150,000 (RM487,000) bagi membeli mutiara di gedung mewah di sana.

Kesempatan membeli belah itu diambil ketika Najib dan isterinya, yang juga menggelarkan dirinya ‘Wanita Pertama Malaysia’ berlepas ke Perth untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Antara yang turut serta dalam delegasi berkenaan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim dan Presiden PPP, Datuk M Kayveas.

Ekoran daripada itu, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor yang sebelum ini dikatakan membeli cincin berlian berharga RM24 juta, terus menerima kritikan.

Dalam pada itu, pada 31 Ogos lalu, Najib dilaporkan sebuah akhbar telah bercuti ke Perth (Australia) dengan menaiki pesawat rasmi Kerajaan Malaysia nombor pendaftaran 9M-NAA.

Menurut laporan tersebut, pesawat tersebut yang berlogokan 1Malaysia dimiliki oleh Jet Premier One (M) Sdn Bhd, anak Syarikat Penerbangan Malaysia Bhd (MAS) iaitu sebuah entiti milik Kerajaan Malaysia melalui pegangan saham oleh Khazanah Nasional Bhd.

Jumlah kos penyewaan sebuah pesawat Airbus A319 yang digunakan oleh Najib sewaktu percutiannya di Perth, Australia pada Hari Kemerdekaan, tahun ini berjumlah RM9.1 juta.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kekerapan penggunaan pesawat itu adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara.

Katanya, kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta itu meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat."

Rosmah juga sebelum ini pernah dikaitkan dengan kemasukan cincin buatan Jacob & Co pada harga RM24 juta.

Kemasukan barangan diatasa nama Rosmah Mansor itu didedahkan oleh Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharim yang katanya mendapat maklumat daripada sumber Kastam.

Rosmah menafikan pembelian cincin itu dan menyatakan ianya sekadar untuk pameran sulit di suatu lokasi yang dirahsiakan dan telahpun dihantar ke Singapura.

Walaupun Rosmah menafikannya, namun hingga kini perisytiharan keluarnya barangan itu kononnya ke Singapura masih menjadi tandatanya.

Selain itu, Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin pula ada mendedahkan dakwaan kononnya Rosmah memperoleh wang bagi membeli sekurang-kurangnya 11 beg tangan mewah jenama Birkin.

Zuraida berkata, sekiranya anggaran kasar, Rosmah membelanjakan minima RM638,000 hingga maksima RM5,192,000 untuk membeli beg tangan berkenaan.

Kini nama Rosmah meniti semula dibibir masyarakat selepas Shahrizat 'remuk' dibelasah kerana skandal kelemahan projek NFC yang dikendalikan oleh suaminya, Dato' Seri Mohammad Salleh.

Rosmah dilihat sukar berperang dengan akhbar luar negara apabila setiap dakwaan yang dihadapinya hanya mampu dinafikan tanpa mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar berpengkalan di Sydney itu.

Apakah sebenarnya yang berlaku, pastinya tindakan 'penafian' tidak cukup untuk menggambarkan Rosmah benar-benar tidak melakukan apa yang didakwa akhbar Sydney itu.

Sebaliknya seperti kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, Rosmah harus mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar berkenaan, dan sekiranya tidak, ia mendatangkan interpretasi bahawa dakwaan akhbar itu benar.

Lebih penting lagi, apakah serangan ke atas Rosmah ini sebenarnya menggugat 'nama baik' yang sedang dirintis Najib bagi menghadapi pilihan raya umum, ramai veteran Umno-BN melihatnya sebagai suatu 'beban' kepada Presiden Umno itu.

Rakyat sedang menantikan tindakan Rosmah mahupun Najib, dan ramai yang mahu agar isu itu bukan sekadar dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa siasatan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika gagal diatasi, ianya pasti boleh merencatkan keghairahan Najib dalam menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan