Sabtu, 31 Disember 2011

MOGA APA DIDOA..DIUSAHAKAN..DITAWAKALKAN...INSYAALLAH MAKBULKAN...BEKERJALAH DENGAN IKHLAS

2012: Sigma edar 2,012 bunga ros kepada wanita | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 31 Dis: Menjelang tahun baru 2012, Sinergi Gerakan Mahasiswi (Sigma) hadir dengan harapan baru buat wanita Malaysia dengan tema ‘Keunggulan Buat Wanita’ danSelamatkan Wanita’.

Pengerusinya, Rohayu Rusli berkata, Sigma bersama seluruh pengerusi Hal Ehwal Wanita dan mahasiswi setiap kampus akan turun ke Dataran Merdeka pada tanggal 1 Januari 2012 untuk mengedarkan 2,012 kuntum bunga ros berwarna putih dan pink kepada seluruh wanita yang ada di situ.

Katanya, edaran bunga ros itu adalah simbolik kepada harapan besar daripada Sigma kepada seluruh wanita Malaysia.

Tambah beliau, ia merupakan simbolik kepada kebangkitan wanita di Malaysia khususnya wanita muda Malaysia.

Katanya, ia juga membawa satu mesej yang jelas bahawa rakyat negara ini menginginkan wanita Malaysia ini unggul dilihat sebagai seorang wanita yang punyai jati diri dan prinsip yang utuh.

“Kita juga mengharapkan tahun 2012 yang bakal tiba ini memberi sinar baru buat wanita yang jauh daripada sebarang eksploitasi yang merendahkan martabat wanita”

“Jom bersama Sigma, turun ke Dataran Merdeka jam 10.00 pagi Ahad ini dengan tema “Keunggulan buat Wanita” dan jangan lupa berpakaian tema putih dan pink,” jelasnya lagi.

Bangkit tuntut dakwa Jamil Khir pecah amanah | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 31 Dis: Umat Islam mesti bangkit beramai-ramai menuntut pendakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom kerana pecah amanah wang zakat, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Persoalan terbesar di sini ialah jenayah pecah amanah wang zakat apabila Jamil Khir dan dua orang lagi yang bersyubhat dengannya menggunakan wang itu untuk kos guaman kes qazaf (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Perbuatan pecah amanah wang zakat tidak boleh ditutup walaupun di bayar balik kerana pecah amanah telah pun berlaku," katanya.

Persoalan kedua, kata Mahfuz, ialah pembohongan Jamil Khir apabila tanpa sebarang rasa malu sedikit pun beliau membohongi rakyat dan mendakwa "mana mungkin saya hendak menggunakan duit zakat untuk tujuan guaman".

"Dakwaan Jamil Khir itu menghina Ketua Audit Negara yang membuat laporan bahawa wang zakat telah digunakan untuk membayar kos guaman tersebut.

"Menghina Ketua Audit Negara bermakna menghina Yang di-Pertuan Agong kerana Ketua Audit Negara dilantik oleh baginda," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, menteri itu melakukan dua kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Selain menghina Ketua Audit Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Jamil Khir sebelum itu telah melakukan jenayah pecah amanah wang zakat dan institusi zakat yang terlibat itu berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Sebagai anak Kedah, kata Mahfuz, beliau tidak mahu Sultan Kedah yang kini menjadi Yang di-Pertuan Agong tercalar imejnya kerana jenayah pecah amanah wang zakat yang dilakukan oleh menteri berkenaan dan penghinaan terhadap Ketua Audit Negara yang juga dilakukan oleh menteri berkenaan.

"Mereka yang terlibat melakukan pecah amanah wang zakat itu mestilah didakwa dan jawatan mereka hendaklah digantung sepanjang proses pendakwaan itu dan jika mereka didapati bersalah mereka mestilah dihukum selain dipecat dari jawatan mereka," tegas beliau.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengesahkan pecah amanah wang zakat berjumlah RM63,650 dilakukan oleh Jamil Khir dan dua orang lagi yang bersyubhat dengannya bagi menghalang kes qazaf yang di failkan oleh Anwar.

Wang zakat itu disalahgunakan untuk pembayaran kepada firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bagi mewakili Jamil Khir, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.


Pimpinan PKR edar risalah liwat II dibebas polis | Print |
Aslani M

KUALA KRAI, 31 Dis: Ketua AMK negeri, Mohd Azihan Che Seman yang ditahan bersama tiga lagi di sekatan jalan raya di sini petang semalam kerana memilik risalah berkaitan kronologi perbicaraan liwat II dibebas polis sebentar tadi.

Mereka ditahan ketika dalam konvoi penerangan AMK yang bermula di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV sedang dalam perjalanan menuju ke Gua Musang.

Satu kumpulan lagi dikepalai Ketua Penerangan PKR Kelantan Roslan Puteh pula ditahan di Tanah Merah ketika sedang mengedar risalah tersebut di sebuah pasar kira-kira jam 3 petang semalam.

Mereka juga dibebaskan hari ini selepas dijamin pimpinan PKR cabang dan negeri setelah usaha membebaskan mereka dilakukan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Amran Abdul Ghani sejak petang semalam.

Setiausaha AMK Negeri, Tarmizi Mohd Yusof berkata, Mohd Azihan dan tiga lagi anggota AMK iaitu Abu Bakar, Sukari dan Awang dibebaskan selepas dijamin beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.

Menurutnya, dua kumpulan tersebut melalui jalan berasingan menuju ke arah Gua Musang dalam gerak kempen bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perkembangan semasa yang berlaku sekarang.

“Ketika itu mereka sedang mengedar risalah berkaitan isu liwat II membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selain itu poster ceramah PKR di Machang 5 Januari ini,” katanya di sini.

Kata beliau tujuh anggota PKR yang ditahan di Tanah Merah dan empat di Kuala Krai dibawa ke ibu pejabat polis jajahan terbabit untuk disoal siasat mengikut seksyen 4 (b) Akta Mesin Cetak.

Tarmizi juga berkata, kesemua risalah yang dibawa mereka diterbitkan ibu pejabat parti itu dirampas pihak polis.

2012: Fajar untuk Negara Berkebajikan

Mohd Syahir Sulaiman

“Yang benar tidak terikat dengan waktu” – Hamka

Tanpa sedar, masa begitu pantas berlalu. Segala hiruk-pikuk 2011 yang ditinggalkan kekal menjadi batas tauladan baik dan buruk dalam kelangsungan rentak hidup yang kian pantas.

Ketidaktentuan 2011

Tirai 2011 yang bakal berlabuh menyaksikan iklim ekonomi global ibarat turun dan naik permainan ‘roller coaster’ yang mengerikan. Ketidaktentuan (volatility) yang dipandu elemen ketakutan (fear) dan tamak (greed) menjerumuskan kuasa besar Amerika dan Eropah ke lembah kemelesetan dan kemelut hutang yang kian menjerut.

Iklim politik global pula tidak kurang mendebarkan, khususnya di Timur Tengah yang menyaksikan kebangkitan rakyat dan generasi muda berjaya menjatuhkan rejim kuku besi yang mengongkong kebebasan dan hak rakyat, di samping kebangkitan golongan buruh di Amerika dan Eropah yang tertindas dek kezaliman kapitalis dan sistem ekonomi yang tidak seimbang.

Lanskap ekonomi dan politik di Malaysia juga dilatari warna-warni yang rencam. Ekonomi 2011 dicatat berkembang pada tahap sederhana dan turut menyaksikan turun dan naik ‘roller coaster’ indeks KLCI yang mendebarkan bermula di paras 1,582 mata pada 2 Januari, mencecah paras tertinggi di 1,594 mata pada 8 Julai dan menjunam ke paras terendah di 1,331 mata pada 26 September.

Ringgit yang bermula kukuh apabila buat pertama kali mencecah paras 3.00 berbanding USD sejak diapungkan mula hilang rentak di penghujung tahun dan kembali menyusut ke paras 3.19 pada 15 Disember.

Harapan dan debaran 2012


Tirai 2012 yang bakal menyinsing menjanjikan 1001 harapan dan debaran untuk Malaysia. Kedudukan ekonomi domestik dijangka tidak seindah khabar.

Dayatahan ekonomi negara yang kadar hutangnya tinggi dilihat goyah dalam menempuh tempias kemelut hutang di Eropah dan kemelesetan permintaan di Amerika.

Pertumbuhan ekonomi 2012 diunjur pada kadar 4% - 5% manakala indeks inflasi dijangka meningkat pada kadar 4% menatijahkan kenaikan berterusan harga barang yang mencengkam
survival kehidupan rakyat pertengahan dan bawahan, baik di kota mahupun di luar bandar.

Kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur merupakan realiti yang tidak dapat dinafikan. Pendapatan isi rumah RM3,000 sekadar mencukupi untuk kehidupan asasi (basic living), kadar RM6,000 memberi sedikit keselesaan (decent living), manakala pendapatan lebih RM10,000 mampu memberi kemewahan (comfort living). Namun, 40% isi rumah di Malaysia berpendapatan bawah RM2,500 sebagaimana dilapor oleh UNDP’s Millennium Development Goals 2010 Report of Malaysia.

Debaran pastinya tertumpu pada tarikh PRU13 yang bakal diumum oleh PM Najib Tun Razak. Tidak sukar meramalkan PRU13 bakal menempa status pilihanraya paling sengit dalam sejarah politik negara ini selepas Tsunami 2008 yang menafikan 2/3 majoriti BN di parlimen.

Pengundi muda pemangkin kebangkitan

Robert Frost (1874-1963) ada mengungkapkan saranan untuk menempa perubahan di dalam syairnya yang popular, The Road Not Taken, “Dua denai yang tersimpang, dan aku.. aku memilih denai yang jarang ditempuhi, dan ia telah mengubah segalanya”.

Tahun 2012 bakal menjadi medan penentu kepada golongan muda melakar peta masa hadapan baru di Malaysia.

Melihat kepada peningkatan pengundi baru dan pengundi muda yang dianggarkan sekitar 50%
daripada jumlah pengundi berdaftar kali ini, keputusan penentu PRU13 jelas terletak di tangan 2 daripada 2 pengundi muda di saluran 3 dan 4 peti undi yang pastinya teruja untuk memilih pemimpin yang mampu membawa sinar baru di Malaysia.

Generasi muda dan golongan mahasiswa negara dilihat kian berani menzahirkan suara dan pendapat dek tempias percikan peluh teman-teman di Timur Tengah yang bangkit memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat.

Akses kepada internet dan laman sosial serta kepantasan jaringan maklumat di Facebook, Youtube, Twitter, Blackberry dan Whatsapp berjaya memecah tembok pemikiran dan
membudayakan suasana percambahan idea secara terbuka.

Persoalannya, apakah bentuk kehidupan berkebajikan yang diimpikan generasi muda sekarang?

Apakah gaya hidup anak muda yang suka berhibur dan berhubung akan terencat apabila bertukar sang penguasa di tampuk pemerintahan? Apakah aspirasi generasi pasca-merdeka dan gen-Y?
Perlu diyakini, dasar dan program pembangunan berkebajikan pastinya menguntungkan generasi
muda negara serta selari dengan aspirasi dan jiwa anak muda.

Negara berkebajikan secara prinsipnya merupakan sebuah kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip adil dan ehsan di dalam seluruh sistem pemerintahan yang membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebaikan dan bekerjasama ke arah kejayaan.

Penumpuan akan diberi kepada agenda pembangunan seimbang di antara aspek fizikal dan spiritual di kalangan generasi muda. Tawaran dalam bentuk pendidikan berkualiti (bantuan pendidikan, mansuh PTPTN, mansuh AUKU, pengupayaan autonomi universiti, kebebasan mahasiswa), ekonomi saksama (pengukuhan perbankan islam, skim pembiayaan perniagaan, pemansuhan monopoli, penstrukturan subsidi, pemerkasaan FELDA), perkhidmatan kesihatan yang cekap (akses menyeluruh, kos minima), pembinaan institusi keluarga (rumah mampu milik, elaun khas suri rumah, hiburan mendidik), pengupayaan sektor pekerja (pembelajaran sepanjang hayat, elaun sara hidup) dan peningkatan kualiti pengangkutan awam bakal menatijahkan kehidupan yang lebih sejahtera.

Dana-dana pembangunan belia yang bernilai ratusan juta setiap tahun akan diurus secara saksama dan diagih mengikut merit tanpa mengira jalur politik atau kaum. Nyanyian dan konsert tiada salahnya jika tidak membinasakan diri dan keluarga.

Gaya hidup anak muda yang secara fitrahnya suka berhibur dan berhubung akan disuburkan dengan nilai-nilai pembinaan jatidiri demi kebaikan masyarakat seluruhnya.

Memetik ungkapan Pak Hamka, “Adil ialah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan tidak berlaku zalim di atasnya”.

Islam itu sifatnya adil dan sempurna, amanah adalah kuncinya. “Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir waktunya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.” (As-Saff: 13) 2012, fajar untuk negara berkebajikan, insyaAllah.

--------------------------------------------
Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Beliau gemar melihat benih yang ditanam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan