Khamis, 15 Disember 2011

JANGAN MENYESATKAN ORANG...NANTI TERUK DIAKHIRAT..BERJUANG BIAR BERDASARKAN AKIDAH..KITA SEMUA MELUKUT DITEPI GANTANG..SEDARLAH AGAR DIRI TAK PERASAAN

15 mahasiswa dibebas, lagi himpunan Sabtu ini | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bertekad akan meneruskan Himpunan Kebebasan Akademik di Dataran Merdeka,17 Disember ini meskipun diberi amaran keras oleh pihak polis.

(Gambar semalam, demo di KL Sentral yang diganggu polis)

Pengerusinya, Ahmad Safwan Anang berkata, mahasiswa tidak akan tunduk kepada “gertakan” polis sebaliknya akan meneruskan himpunan seperti yang dijadualkan kerana ianya sangat penting untuk menunjukkan protes mereka terhadap kekangan akademik yang semakin parah.

“Kami memang sudah diberi amaran keras oleh pihak polis semalam tapi itu tidak menjejaskan hasrat kami untuk berhimpun Sabtu ini,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Petang semalam, Safwan (gambar kanan) bersama 14 mahasiswa lain ditangkap sewaktu mengadakan perhimpunan flashmob mengenai himpunan Sabtu ini di KL Sentral.

Safwan yang mengetuai kira-kira 40 mahasiswa dalam protes senyap mereka dibawa ke Balai Polis Travers untuk disoal siasat.

Mengulas mengenai tangkapan itu, Safwan berkata, mereka tidak dilayan dengan baik sewaktu di balai polis termasuk dilemperkan kata-kata tidak sopan oleh pihak polis.

Selain terpaksa menunggu lama tanpa berbuat apa-apa di bilik kosong sebelum disoal siasat, peguam mereka juga tidak dibenarkan masuk.

“Kami berada di balai polis lebih kurang enam jam, jam 10.30 baru kami dibenarkan keluar.

“Kami memang tidak berpuas hati dengan layanan pihak polis. SB (polis cawangan khas) pun ada sewaktu soal siasat berjalan.

“Bila tanya kenapa kami ditahan, mereka jawab tidak tahu sedangkan kami memang tak buat apa-apa jenayah, tak bersuara, cuma mengangkat poster sahaja,” ceritanya.

Menurutnya, mereka ditahan mengikut seksyen 145 kanun keseksaan dan perlu melapor diri di Balai Polis Petaling Jaya 19 Januari depan.

Bantahan senyap semalam diadakan bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta autonomi akademik dijamin pihak kerajaan.

Ia rentetan kekacauan yang berlaku pada Speakers Corner di Universiti Teknologi Malaysia (UITM) Shah Alam baru-baru ini dan gangguan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya pada Debat AUKU yang diadakan di kempus tersebut minggu lalu.


Petanda Umno sesat, menyesatkan Melayu | Print |
Mohd Rashidi Hassan

MURSYIDUL AM PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sering menjadi bahan kecaman Umno, sehinggakan pada Perhimpunan Agung Umno, minggu lepas, nama Tok Guru sering disebut-sebut dalam perbahasan. Mengapakah Tok Guru tidak disenangi Umno? Semua persoalan ini dijawab Menteri Besar Kelantan itu kepada wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN dan IZWAN ABDUL HALIM di Rumah Kelantan, 10 Disember 2011.


HARAKAH: Boleh Tuan Guru huraikan beza doktrin PAS dengan Umno?


TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT: PAS diajar melalui Islam supaya manusia sedar bahawa segala-galanya menumpang nikmat Allah SWT. Bumi kita pijak Allah yang buat, udara kita sedut Allah buat, air kita minum Allah buat, bahkan seluruh anggota tubuh badan kita Allah buat. Maka bila kita menumpang nikmat Allah Taala kita wajib bersyukur. Syukur ertinya buat yang Dia suruh, tinggal yang Dia larang. Perkara ini tiada dalam Umno. Umno tidak mengajar perkara ini, yang diajarnya menumpang jalan raya Kerajaan Pusat buat, itu dulu. Menumpang kemudahan-kemudahan telekom, Umno yang buat. Umno mengira dia telah beragama bila dia buat masjid, bila ada guru agama di sekolah-sekolah, itu sahajalah (agama pada Umno). Sekarang kita berada di Malaysia. Bolehkah kita ambil setengah-setengah sahaja undang-undang Malaysia sebagaimana Umno ambil setengah-setengah hukum Allah. Misalnya motokar, kita tidak mencuri, kita beli kerana undang-undangnya begitu. Tetapi ‘road tax’ (cukai jalan) tak bayar, lampu belakang tidak menyala, sedangkan itu salah juga undang-undang kerajaan. Jika kita duduk bawah kerajaan kita kena patuh semua undang-undang kerajaan, mana boleh kita dengan Allah SWT kita ambil setengah-setengah. Bila kita duduk bawah kerajaan, tak kiralah Kerajaan Malaysia, Kerajaan Amerika dan mana-manapun, rakyat kena terima semua segala undang-undang, begitulah kita dengan Allah Taala, kena terima semua.

Mungkin ada yang keliru status rakyat dengan status hamba Allah?

Kita dididik oleh Islam hendaklah menjadi bertaraf hamba dengan Allah SWT, bukan menjadi taraf rakyat. Kita bukan rakyat Allah, kita jadi hamba 24 jam. Rakyat kalaulah kita tidak pernah buat salah dengan kerajaan, bila kita mati kita tidak diberi apa-apa oleh kerajaan kerana kita tidak buat salah dengan dia. Polis datang rumah kita bila kita buat salah, kalau kita benar tak pernah datang pun. Tapi kita dengan Allah, kita benar dapat pahala, kita salah dapat dosa. Tiada masa kita ini kosong dengan Allah Taala. Inilah cara kita berfikir kita sebagai hamba Allah dengan berfikir cara rakyat bagi Allah. Umno hanya sebut kita rakyat. Rakyat lain, hamba lain, hamba 24 jam. Hamba ini berasaskan “liya’budun” (untuk beribadah pada-Nya). Kalau kita ini rakyat Allah, maka kita boleh guling Allah macam kita rakyat Malaysia boleh guling kerajaan. Kita dengan Allah SWT nak guling macam mana, nak tukar macam mana?


Maknanya selama ini Umno keliru dan celaru?

Orang Cina tak melawan sangat PAS, yang melawan PAS ini orang Melayu Umno. Adakah dengan kehendak Umno, dia (orang Melayu) melawan PAS ini atau sebagai mata tombak (lembing) sahaja, (sedang) hulunya Umno pegang atau MCA pegang? Jika Umno sendiri nak lawan, tiada sebab langsung. Sebab PAS bawa Islam, maka sepatutnya Umno sokong dan Umno tidak perlu wujud di atas muka dunia. Kerana PAS perjuangkan Islam, Umno tak perlu lawan PAS. Atau Umno telah jadi mata tombak, hulunya orang lain pegang. Ini bahaya, maknanya jadi alat orang lain. Kerana itulah timbul masalah celaru yang jadi melawan PAS ini. Bukan Islam di Malaysia ini jadi celaru, hendak turut PAS atau turut Umno. PAS bertengkar dengan Umno, Umno bertengkar dengan PAS, bukan Islam terpinga-pinga pihak mana yang betul. Kita sebagai umat Islam bukan sahaja kita wajib berpegang kepada Islam, tetapi wajib juga dakwah Islam. Ke mana sahaja kita pergi kita diwajibkan dakwah Islam. Di Malaysia ini sebab hampir sama bilangan Melayu dengan bukan Melayu ini, maka bukan Islam terpinga-pinga hendak menurut siapa. Bukan sahaja bukan Islam, Melayu juga terpinga-pinga juga hendak turut PAS atau Umno. Turut Umno dapat duit, turut PAS tak dapat duit. Semua ini Umno kena fikir kesudahannya.


Isu agama dipolitikkan sering jadi mainan Umno, pendapat Tuan Guru?

Politik ini sebahagian agama. Memperjuangkan Islam ini bukan kerja main-main. Bila kita Islam, maka menyebarkan Islam menjadi kewajipan, bukan sahaja solat wajib, bukan sahaja puasa wajib, bahkan sebarkan Islam, dakwahkan Islam menjadi wajib. Jadi hendak sebarkan macam kalau Melayu sendiri tak faham. Ulasan Umno ialah agama lain, politik lain. Baik, kita hendak tanya Umno; bila politik tidak agama, pentadbiran negara tidak ikut agama, siapa dia yang jadi Ketua Kerajaan semasa Nabi kita di Madinah? Kalau agama lain, politik lain, maka yang jaga politik masa Nabi di Madinah itu siapa? Kalau Nabi juga yang jaga sebagai ketua kementerian kewangan, portfolio sosial, ertinya Nabi Muhammad juga dengan agama, terlibat dengan Allah SWT. Kerana kerja-kerja Nabi Muhammad semua agama. Solat itu agama, berperang itu agama, kirim surat kepada raja-raja itu agama. Baginda letak cop mohor atas surat-surat itu, ini kerja apa? Ini kerja politik, jadi bagaimana Umno boleh kata agama lain, politik lain? Raja-raja mana hendak terima kalau Nabi Muhammad hanya (seorang) imam sahaja. Raja-raja sekitar, Raja Parsi, Raja Mesir, Raja Rom Byzantin, Raja Hebyah, mereka tahu Nabi Muhammad bukan Tok Imam sahaja, dia Ketua Negara. Bila Nabi Muhammad itu Ketua Negara, maka kenapa Umno kata agama lain politik lain?


Maknanya, Umno tiada hujah, hanya putarbelit mereka sahaja?

Apa hikmah Allah lanjut dakwah Nabi Muhammad sehingga 23 tahun? Nak mengajar sembahyang puasa sahaja dua minggu pun cukup. Dua minggu itu pun dak kira lama mengajar orang sembahyang. Tapi Nabi Muhammad diminta urus urusan hidup manusia, ‘the way of life’. Urusan ini mesti diurus oleh Nabi Muhammad sendiri, bagaimana berumah tangga, berjiran. Mengurus kewangan, adakah sebarang harta boleh ambil semua, tidak! Ada had, ada halal, ada haram. Semua ini 23 tahun, bila cukup 23 tahun turun ayat (Quran) bahawa agama telah sempurna. Jadi 23 tahun memakan masa baru sempurna. Perkara apa, sembahyang? Sembahyang ini diwajibkan masa di Makkah. Dalam keadaan ditekan kafir Makkah, sembahyang diwajibkan. Jadi bukan sembahyang sahaja jadi agama, tapi urusan hidup lain yang tidak boleh dibuat di Makkah kena mari ke Madinah membentuk sebuah negara sendiri. Kita baru sambut Maal Hijrah, sambutan ini ertinya ingati balik pengorbanan nabi menjalankan urusan agama termasuklah kewangan, mengurus sosial, budaya, pemikiran hingga 23 tahun. Jadi Umno tiada hujah, bila tiada hujah inilah mereka guna ISA. Macam Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim, bila Nabi Ibrahim kemuka cabaran minta Namrud buktikan kebenaran jika dia Tuhan, bawa naik matahari dari barat ke timur kerana Allah menaikkan matahari dari timur ke barat. Bila Namrud tak boleh jawab, dia bakar (Nabi Ibrahim). Sepatutnya dia berterima kasih kerana Ibrahim mengajar dia, tapi dia bakar. Zaman sekarang tak bakar, tapi ISA. Banyak tok-tok guru pondok kena ISA tak pasal-pasal kerana Umno tak boleh jawab. Sepatutnya hujah lawan hujah, bila orang lawan kita (hujah) kita sebutlah balik. Macam negeri demokrasi, orang hujah kita hujah. Ini orang hujah, tak boleh jawab ditangkapnya mereka, buang kerja, pindah tempat kerja. Ini semua tanda Umno itu sesat. Dalam sembahyang kita berdoa agar kita tidak sesat, tapi jalan Umno hala ke sesat. Tak boleh jawab sepatutnya terima kasihlah. Ini tangkap orang, ISA orang, mengarut Umno.


Pandangan Tuan Guru mengenai perjuangan Melayu Umno?


Gambar: Tuan Guru Nik Aziz ketika ditemuramah Mohd Rashidi Hassan dan Izwan Abdul Halim di Rumah Kelantan.

Umno sibuk jaga Melayu sedangkan Melayu ni bangsa, tak payah jaga. Kerana bangsa ni tak boleh hilang. Kalau orang Melayu duduk di Kutub Utara seorang diri, Melayu juga dia. Pergi ke mana pun, kalau duduk di London sejak dahulu sampai tak boleh cakap Melayu, bila tanya bangsa (dijawab) Melayu juga dia. Jadi Melayu tak payah jaga kerana bangsa ini tak hilang. Yang kena jaga ini perkara boleh hilang dan ada. Macam duit, kena jaga kerana boleh jadi hilang, boleh jadi tak hilang. Islam ini macam tu, Islam ni kena jaga, boleh jadi orang murtad kerana orang tak jaga dia. Jadi benda kena jaga ni bukan bangsa tapi agama kerana boleh hilang dan boleh ada. Macam duit kita dapat masuk dalam beg, kita zip, masuk dalam poket seluar kita zip lagi kerana ia boleh hilang, boleh kena curi, boleh poket kita tembus. Umno dia jaga Melayu, tak jaga pun dia Melayu, sampai dalam kubur mati pun dia Melayu. Ini kesilapan Umno. Kalau Umno ikut kata dia ikut kata Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia” habis begitu buat apa dia jaga juga? Ini Umno jaga benda yang tak hilang, PAS jaga benda yang boleh hilang; Islam, iman, ihsan. Sebab tu Jibril turun dari langit tanya Nabi tentang Islam, iman, ihsan. Dia tak tanya Arab, tak tanya bangsa.


Pemuda nasihat Hasan Ali jangan tinggal PAS | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan menggesa Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali agar tetap bersama PAS untuk memperjuangkan agama Islam tanpa perlu meninggalkan parti itu.

Katanya, usaha Hasan yang mahu memperjuangkan Islam adalah sesuatu yang baik dan dituntut, namun biarlah perjuangan itu dilakukan bersama jemaah PAS.

"Semalam Utusan tanya saya tentang agenda Dr Hasan nak perjuang Islam. Saya kata usaha itu sesuatu yang baik dan dituntut tapi pada masa sama beliau jangan larikan diri atau tinggalkan jemaah PAS," katanya kepada Harakahdaily

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk "Pemuda PAS sokong Hasan terus perjuang kepentingan Islam, Melayu walaupun digugur sebagai calon" yang memetik kenyataannya.

Beliau berkata, laporan akhbar Umno itu kurang tepat kerana beliau tidak pernah mengiyakan soal Hasan digugurkan dari senarai calon pilihan raya seperti ditulis pada tajuk kecil laporan itu.

Mengulas soal Hasan digugur atau sebaliknya itu, Nasruddin berkata isu tersebut tidak berbangkit kerana keputusan siapa menjadi calon hanya ditentukan oleh PAS Pusat.

"Dia (Utusan) juga tanya saya soal kenyataan bahawa Hasan akan digugurkan sebagai calon. Saya kata soal calon ini hanya diputuskan oleh PAS Pusat.

"Tidak timbul langsung soal gugur tak gugur sekarang ini sebab PAS pusat belum buat sebarang keputusan pun lagi," katanya.


Henti tuduh Guan Eng anti Melayu, Islam | Print |
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 15 Dis: PAS Pulau Pinang mendesak pimpinan Umno BN di semua peringkat menghentikan semua tuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang kononya anti Islam atau anti Melayu.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Bukhori Ghazali berkata, ia selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam yang mengarahkan Utusan membayar RM200 ribu ekoran laporan mereka berhubung tuduhan itu hanyalah fitnah.

Katanya, bila mahkamah telah putuskan bahawa Lim di pihak yang benar dan Utusan bersalah, maka sebagai parti yang sentiasa tidak puas hati terhadap langkah drastik Kerajaan Pakatan Rakyat, harus memohon maaf secara terbuka.

"Apa yang dituduhkan terhadap Lim Guan Eng semuanya dusta. Mahkamah dan putuskan (dia bukan anti Islam, anti Melayu) bukan orang kampung (yang putuskan), " tegasnya.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam mengarahakan akhbar Utusan Malaysia membayar RM200,000 kepada Lim kerana mendapati dia tidak anti Melayu atau anti Islam seperti difitnah oleh akhbar Umno itu.

Utusan dalam laporannya telah menuduh Lim sebagai seorang ‘rasis’ dan ‘anti-Melayu’ dalam artikel yang disiarkan bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng'.

Akhbar itu juga melaporkan kononnya DAP adalah alat kerajaan asing dan mahu parti berkenaan diharamkan.

Sehubungan itu, Bukhori berkata, sepatutnya mulai hari ini Umno BN tidak lagi mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman seperti itu terhadap DAP.


Mahkamah tolak permohonan cabar Akta Perhimpunan Aman | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini menolak permohonan PAS bagi mencabar dan menghentikan Akta Perhimpunan Aman.

Hakim Datuk Rohana Yusof berkata, proses mahkamah tidak sepatutnya digunakan sekarang di bawah konsep pemisahan kuasa dan PAS boleh menggunakan proses Parlimen untuk menentang akta itu.

Ini kerana, sekurang-kurangan dua daripada pemohon (Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Mohamad Hatta Ramli) merupakan anggota parlimen dan berpeluang luas membincangkan dan menentangnya daripada diluluskan dalam Parlimen.

Beliau juga berkata, permohonan itu pramatang kerana akta itu masih belum menjadi undang-undang; dan sekiranya sudah menjadi undang-undang, kesahhannya masih boleh dicabar di mahkamah.

Percubaan oleh mahkamah untuk membetulkan atau memutuskan mengenai perkara itu akan mengganggu proses undang-undang parlimen dan melanggar doktrin pengasingan kuasa, tambah Rohana.

Hakim mengarahkah kos RM8,000 dibayar kepada kerajaan.

Pada 2 Disember lalu, PAS memfailkan semakan kehakiman terhadap perdana menteri dan kerajaan Malaysia kerana membentangkan rang undang-undang Perhimpunan Aman yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan.

Dalam saman yang difailkan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan dua anggota parlimennya, mereka antaranya menuntut perintah deklarasi bahawa responden bertindak melebihi kuasa dan/atau menyalahguna kuasa dengan membentangkan rang undang-undang itu.

Dua lagi pemohon ialah Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Dr Mohamad Hatta Ramli (Kuala Krai).

Mereka diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin.


Himpunan besar-besaran bantah Akta Pekerja | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Satu himpunan besar-besaran akan diadakan pada 25 Februari 2012 akan datang bagi mendesak kerajaan menarik balik pindaan Akta Pekerja 1955 yang dijangka diluluskan oleh Dewan Negara hari ini.

Himpunan yang disifatkan sebesar himpunan Bersih 2.0 itu bakal menghimpunkan seluruh kesatuan pekerja dan orang ramai untuk menyatakan bantahan mereka di Kula Lumpur.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani tindakan tersebut adalah sebagai kemuncak bantahan yang telah diadakan sebelum ini yang menyaksikan pihak kerajaan tidak berbuat apa-apa.

"25 Februari tahun hadapan adalah isyarat rakyat kepada kerajaan dan kita akan melancarkan perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, ia akan menjadi himpunan terbesar selepas BERSIH 2.0.

"Begini sahaja cara untuk kita melakukan desakan kepada rakyat sebelum ia direalisasikan pada kertas undi," katanya yang menyertai perhimpunan bantah Akta Kerja di hadapan Bangunan Parlimen hari ini .

Menurutnya, himpunan tersebut juga diadakan demi menyelamatkan generasi akan datang terhadap kedegilan kerajaan.

Kelulusan akta tersebut ujarnya hanya akan mewujudkan satu senario penjualan pekerja di mana semua pekerja akan berstatus kontrak yang boleh ditendang bila-bila masa oleh majikan.

"Akta yang telah diharamkan tetapi kenapa kerajaan tetap juga melaksanakan, jika British telah haram tetapi tetap laksana, apa maksud sebenar kerajaan selain ingin menindas pekerja," jelasnya.

Sementara itu Mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud memberitahu perhimpunan hari ini sebagai isyarat bahawa pekerja sudah mula bosan dengan sikap kerajaan.

"Kita lihat hari ini para pekerja sudah mula bangkit menunjukkan kemarahan mereka terhadap sikap kerajaan yang tidak mendengar desakan mereka.

"Tetapi walau apa jua tindakan diambil oleh kerajaan hari ini yang akan meluluskan akta tersebut, kita bersama pekerja akan meneruskan aktiviti desakan tersebut sehingga kerajaan menarik balik akta yang diluluskan oleh mereka.

"Kerajaan seharusnya sedar bahawa mereka bakal menerima hukuman kerana sikap angkuh pemerintah," jelasnya.

Sebelum itu satu himpunan aman dilakukan oleh Jaringan Rakyat Tertindas, bersama beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di parlimen hari ini mendesak kerajaan agar mendengar suara pekerja serta menarik balik Akta Pekerja 1955.

Hampir 400 pekerja-pekerja swasta menyertainya dan menuntut agar kerajaan tidak meluluskan akta tersebut di Dewan Negara hari ini.

Mereka juga turut menyerahkan memorandum kepada senator-senator Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional di Dewan Negara.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan