Jumaat, 23 Disember 2011

DISINI KITA DAPAT TAHU SAPE YANG ALIM AGAMA...CAKAP ISLAM TAPI ILMU ISLAM MASIH TAK CUKUP..LAGI BAHAYA RASA DAH HEBAT DAN CUKUP..ROSAK2 ORANG MACAM NI

Written by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Dis: “Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah menggugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS,” tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Justeru, tegasnya sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Beliau menegaskan lagi, seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil kerana itulah sifatnya perjuangan Islam.

Jelasnya, PAS tetap selamat dan menjadi parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

Beliau berkata, PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa.

Katanya lagi, sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam.

Beliau menyatakan demikian di dalam satu kenyataan yang ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.

Berikut adalah peringatan penuh beliau.

Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 122:

Maksudnya: (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah: 122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

مَنْيُرِدْاللَّهُبِهِخَيْرًايُفَقِّهْهُفِيالدِّينِ

Maksudnya: (Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya faqeh (faham) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud:

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi: Al Quran, Hadith, Ijmak, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan: kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputera, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa Umno yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matlamatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah?

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

Maksudnya: (Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Written by Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 22 Dis: PAS menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menangguhkan perlaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) seperti yang diumumkan hari ini.

Keputusan tersebut disifatkan sebagai kejayaan awal yang dinikmati oleh kakitangan sektor awam, hasil kerjasama PAS serta Pakatan Rakyat dan Cuepacs yang menentang keras perlaksanaan skim itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, tanpa kerjasama politik, khususnya tentangan PAS, skim tersebut mustahil ditangguhkan perlaksanaannya meskipun jelas menzalimi kakitangan awam khususnya yang berada di dalam Kumpulan Sokongan.

Menurutnya, keputusan penangguhan itu pasti melegakan kakitangan sektor awam, tetapi ia tidak bermakna jika tidak dibatalkan kesemua perjanjian berhubung dengannya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri agar turut membatalkan kesemua perjanjian yang telah dibuat oleh kakitangan sektor awam berhubung perkara itu yang telah menurunkan tanda tangan masing-masing baru-baru ini menerusi borang yang disediakan.

"Banyak kakitangan awam telah menurunkan tanda tangan mereka baru-baru ini. Kini setelah perlaksanaan skim itu ditangguhkan, kesemua mereka yang telah menurunkan tanda tangan tertanya-tanya mengenai perkara itu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Kakitangan terbabit, tegasnya, bimbang akan terperangkap dengan tindakan selanjutnya jika kesemua perjanjian itu tidak dibatalkan.

"Esok Cuepacs akan mengadakan perbincangan dengan JPA. Diharap perbicangan itu akan mendatangkan hasil yang baik bagi kepentingan kakitangan sektor awam," katanya.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap agar perbincangan tentang tangga gaji dan pelbagai perkara lain bagi kepentingan kakitangan sektor awam akan dilanjutkan pada persidangan Parlimen.

Beliau turut mendesak Perdana Menteri agar menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah tangga gaji yang terlalu jauh berbeza antara Kumpulan Premier dan kumpulan-kumpulan lain dalam sektor awam.

"Kesemua langkah itu perlu dilakukan bagi membolehkan kakitangan awam mendapat keadilan, ekoran jurang yang terlalu jauh berbeza antara mereka yang berada di dalam Kumpulan Sokongan berbanding Kumpulan Premier.

"Sedangkan kakitangan dalam Kumpulan Sokongan itu adalah yang paling besar jumlahnya daripada 1.4 juta kakitangan sektor awam, manakala yang berada dalam Kumpulan Premier hanyalah 36 orang termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN)," ujar beliau.


Written by Harakahdaily

KOTA BHARU, 22 Dis: “Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu itu menyeru supaya perselisihan pandangan diselesaikan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh.

“Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.

“Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya Allah,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons berkaitan dengan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat malam semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong sepenuhnya keputusan itu dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Justeru, jelasnya dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas.

“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan,” ujarnya.

Dalam hal ini, katanya negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS itu.


Written by Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 22 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan memfailkan saman pemula terhadap Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, saman pemula tersebut adalah bagi memohon injunksi (menghalang) kepada Mesyuarat Khas Perwakilan KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan aset KPF dalam Felda Holding.

“Tindakan ini dibuat bagi menyelamatkan harta Felda dan peneroka,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Pahang, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Mazlan berkata, penyenaraian yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu adalah tidak berasas, tidak masuk akal dan hanya bakal menggali kubur untuk peneroka.

“Sebenarnya tidak tersebut hanya untuk dapatkan dana sebesar RM3 bilion untuk agenda tertentu menjelang April nanti. Kita kenal siapa dalangnya, syarikat pelabur dan kita akan dedahkan apabila sampai masanya nanti.

“Anak juga akan buat bantahan kali kedua di tribunal Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menentukan status Tan Sri Isa Samad kerana kita tidak berpuas hati dengan jawapannya yang mengatakan beliau belum menjadi Pengerusi KPF sedangkan dia sudah bertindak sebagai penjawat itu berdasarkan surat pelantikan daripada Perdana Menteri,” katanya.

Mengenai prestasi KPF, Mazlan memberitahu, pada masa ini koperasi terbesar dan paling berjaya itu sudah memperolehi RM5 bilion setahun sehingga menjana keuntungan sebanyak RM800 juta dan rizab tunainya sahaja melebihi RM1.1 bilion.

“Sebab itu kita bersama 11 NGO pada masa ini minta semua pihak menyekat penyenaraian saham FGVH ke Bursa Malaysia supaya terus berkembang. Kami ada maklumat bahawa penyenaraian hanyalah konspirasi tertinggi untuk dapatkan dana daripada Felda.

“Mereka ini ada agenda lain dan bukan wang semata-mata. Sebab itu kita mahu kerajaan juga menyekat usaha ini kerana ia melibat maruah negara dan isu keuntungan durian runtuh kepada peneroka sebenarnya tidak berbangkit langsung.

Mengenai Isa Samad, Mazlan memberitahu Pengerusi Felda itu telah bertindak di luar bidang kuasa beliau kerana sedang berusaha menyingkirkan orang-orang yang dianggap tidak boleh bekerjasama dengannya.

“Baru-baru ini Pengurus Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab dicutikan, Kemudian saya dengar Timbalan Pengarah Pembangunan yang juga Setiusaha KPF diarah berpindah ke Putrajaya dan hari in Timbalan Pengarah Besar pula dikeluarkan oleh Isa.

“Saya diberitahu ada 18 orang lagi pegawai kanan yang akan dikenakan tindakan. Jadi kita mahu Cuepacs bertindak segera kerana tindakan oleh Isa ini dilakukan sewenang-wenangnya hanya kerana mereka ini dianggap tidak boleh bekerjasama,” katanya.


Written by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Tanggal 31 Disember ini menjadi pilihan buat tokoh akademik kontroversi, Prof Dr Aziz Bari (gambar) yang akan meletakkan jawatan sebagai pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

“Seorang ahli akademik yang lantang bersuara berteraskan nilai keilmuan dan berpegang disiplin ilmu bahawa setiap ilmu mesti disampaikan," kata Pengerusi Pro-M (Wufi) UIA, Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor.

Menurutnya, mahasiswa UIA berasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku khususnya pentadbiran universiti itu.

Baginya, memang benar keputusan terletak dalam tangan Prof Aziz sama ada mahu meletakkan jawatan atau tidak, namun pihak universiti perlulah menjadi tempat beliau mendapat sokongan, bukan tekanan.

Katanya, isu Prof Aziz Bari ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila seolah-olah ada pihak luar yang mencucuk pihak pentadbiran UIA.

Tambahnya, Aziz Bari bukan sahaja berhadapan dengan musuh di luar, bahkan dalam keluarga sendiri sedangkan beliau diiktiraf oleh seluruh masyarakat dengan kepakaran bidangnya dalam perlembagaan dan undang-undang.

"Keputusan sudah dibuat oleh Prof Aziz, kita hanya mampu bersedih dan terasa kehilangan beliau,” katanya.

Namun, ujarnya masyarakat tetap dan sentiasa bersedia untuk mendengar respons dan pandangan Dr Aziz terhadap apa yang berlaku dalam negara khususnya berkaitan dengan perlembagaan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan