Jumaat, 16 Disember 2011

CARILAH DUIT...KELUARKAN DUIT..TAPI CARA YANG SALAH...BERMAKNA KITA KUAR API NERAKA UNTUK KITA...AKHIRAT PULA NERAKALAH TEMPATNYA

Kerajaan diminta mansuh, bukan pinda AUKU | Print |
Muhammad Faizal

(Nurul Izzah mengetua sidang media PKR di pejabatnya hari ini)

PETALING JAYA, 16 Dis: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendesak agar kerajaan memansuhkan segera Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) bukannya meminda.

Berkata pada satu sidang media di Ibu Pejabat Keadilan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memaklumkan pihaknya telah dijemput untuk turut serta di dalam Sidang Meja Bulat esok 17 Disember di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

"Bagi pihak Keadilan akan diwakili oleh Pengarah Komunikasi Parti, Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa perkara akan kita bentangkan pada persidangan tersebut.

"Melihat kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan November yang lalu bahawa AUKU bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan merupakan satu keputusan yang benar-benar bersejarah.

"Di dalam maklum balasnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Seksyen 15 AUKU akan dipinda untuk membenarkan mahasiswa aktif di dalam parti, namum di dalam ucapan yang sama Najib tetap mengumumkan politik tetap akan diharamkan daripada kampus," jelasnya.

Tambah Nurul Izzah lagi, malangnya cadangan pindaan AUKU ini nampaknya sama seperti kegagalan agenda transformasi Najib selama ini seperti yang dilihat di dalam reformasi ISA dan Akta Perhimpunan Aman.

"Pengumuman yang nampak berani pada mulanya tetapi apabila diteliti secara dekat sebenarnya meneruskan dasar-dasar lapuk yang sedia ada.

"Kita lihat sahaja kekeliruan maklum balas tersebut terhadap isu ini sendiri oleh anggota kabinet Najib sendiri serta pentadbir-pentadbir university yang berakhir dengan penangkapan 15 mahasiswa daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang mengadakan flash mob di KL Sentral bagi membantah AUKU," sambungnya.

Beliau memberitahu Seksyen 15 sebenarnya hanya merangkumi kebebasan berpersatuan mahasiswa tetapi seksyen-seksyen lain yang sebenarnya membolehkan pemusatan kuasa pentadbiran universiti di Malaysia termasuk perlantikan naib-naib canselor oleh menteri.

"Dalam pada itu mengadakan prosedur displin yang tidak adil bagi kesalahan-kesalahan di bawah AUKU serta menyekat kuasa Majlis Perwakilan Pelajar," jelasnya Nurul Izzah lagi

Sementara itu Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akim, memberitahu kebebasan akademik yang sudah mati selama empat puluh tahun di Malaysia, hanya dengan memansuhkan AUKU budaya ketakutan yang sudah berakar umbi di universiti-universiti negara kita dapat diatasi.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri menunjukkan keazaman politik jika beliau benar-benar serius tentang kebebasan dan kecemerlangan akademik dengan memansuhkan AUKU keseluruhannya dan memperkenalkan undang-undang baru yang menjamin otonomi universiti, pensyarah dan mahasiswa.

"Pada masa yang sama, kami mahukan negeri-negeri Pakatan yang menguasai universiti dan kolej tertentu untuk menunjukkan komitmen yang lebih mendalam kepada kebebasan akademik.

"Mahasiswa kritikal di dalam cara Kerajaan Negeri Kedah menghadapi isu Kolej Universiti Insaniah dan bagaimana Kerajaan Negeri Selangor tidak mengambil tindakan terhadap cadangan menjadikan Universiti Selangor sebagai institusi bebas AUKU dari segi semangatnya," sambungnya.

Shamsul Iskandar memberitahu komitmennya untuk memansuhkan AUKU dan mengembalikan kebebasan akademik sudah wujud sekian lama dan terkandung di dalam Buku Jingga.

"Kita harus berbuat sedemikian di negeri-negeri Pakatan Rakyat dan mendesak perkara yang sama daripada pentadbiran Najib sehingga universiti-universiti kita benar-benar bebas dan menjadi simbol kecemerlangan seperti suatu ketika dahulu," kata Shamsul lagi.

Dalam pada itu Nik Nazmi berkata, beliau akan pastikan persidangan tersebut akan menjadikan perbincangan memansuhkan AUKU dan bukan memindanya, selain itu juga beberapa cadangan akan diutarakan agar ia dapat diterima oleh pihak penganjur.

"Kita mahu sesuatu yang baru di dalam AUKU dan saya berharap persidangan tersebut menjadi satu sejarah kepada mahasiswa yang selama ini menuntut hak mereka.

"Kita tahu hari ini bagaimana kekangnya mahasiswa ingin bergerak untuk menyatakan apa yang mereka kehendaki. Hak mahasiswa tidak boleh kita halang, kebebasan perlu mereka perolehi terutamanya dalam arena politik tanah air seperti mana yang diberikan kepada pelajar di luar negara yang menyertai Kelab Umno di sana," kata beliau.


Pemuda PKR kempen bebas Anwar 901, sokong himpunan siswa | Print |
Muhammad Faizal

PETALING JAYA, 16 Dis: Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akim (gambar) berkata pihaknya menyokong penuh himpunan yang akan diadakan oleh Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) esok di samping melancar kempen bebaskan Anwar.

"Kita menyokong himpunan tersebut dan AMK juga akan turut serta semasa himpunan yang diadakan dari Sogo ke Dataran Merdeka itu.

"Dalam pada itu kita menyambut baik usaha mahasiswa yang berani menuntut hak mereka dan kita lihat ini adalah satu perkembangan yang bagus dalam suasana politik sekarang serta bantahan kepada AUKU ini," jelasnya.

Beliau memberitahu, AMK akan mengadakan dialog bersama mahasiswa di dalam kampus menggunakan lambang parti dan kita harap ia tidak menjadi halangan oleh pihak pentadbiran universiti.

"Kalau sebelum ini kita melihat Pemuda Umno diberi kebebasan untuk bertemu dengan mahasiswa malah mereka menggunakan lambang parti apabila mengadakan dialog bersama mahasiswa malah tiada tindakan dari pihak universiti.

"Dan kita juga berharap dialog yang akan dilakukan oleh Keadilan mahupun Pakatan Rakyat juga tidak mempunyai apa-apa halangan, jika kita menerima layanan sebaliknya maka jelas wujud ketidak adilan di dalam pentadbiran universiti malah ia menunjukkan campur tangan pihak lain.

"Dialog bersama mahasiswa akan digerakkan secara agresif agar mahasiswa tahu maklumat sebenar senario politik negara, saya berpendapat mahasiswa perlu diberi pendedahan yang meluas tidak kita apa jua warna politik dan mereka sendiri boleh menentukan yang mana mereka ingin pilih," sambung beliau lagi.

Beliau berharap kerajaan peka dalam apa yang dikehendaki oleh mahasiswa jika kerajaan benar-benar ingin memulih institusi pendidikan di negara ini.

Sebelum itu Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bertekad akan meneruskan Himpunan Kebebasan Akademik di Dataran Merdeka,17 Disember ini meskipun diberi amaran keras oleh pihak polis.

Pengerusinya, Ahmad Safwan Anang berkata, mahasiswa tidak akan tunduk kepada “gertakan” polis sebaliknya akan meneruskan himpunan seperti yang dijadualkan kerana ianya sangat penting untuk menunjukkan protes mereka terhadap kekangan akademik yang semakin parah.

Kempen Bebas Anwar 901 Dilancar

Dalam pada itu Shamsul memberitahu berkaitan dengan keputusan fitnah II Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diketahui pada 9 Januari tahun hadapan beliau secara hari ini melancarkan kempen secara maya di laman 'Twitter' bagi menghimpunkan seramai yang mungkin terhadap kes tersebut.

"Saya juga hari ini telah memulakan kempen #BebasAnwar901 yang dilakukan secara maya di laman twitter.

"Kita ingin mengumpulkan seramai yang mungkin mereka yang membantah usaha kerajaan ingin memenjarakan Anwar berkenaan dengan kes tersebut, yang mana kita lihat segala percaturan untuk memasukan beliau ke dalam penjara sudah dirancang dari awal lagi.

"Melalui kempen ini saya pasti rakyat akan datang memberi sokongan kepada Anwar pada hari keputusan itu nanti, saya juga menyeru seluruh rakyat tidak kira berada di mana pun tanpa mengira kedudukan mahupun kaum turut dalam kempen tersebut dan hadir memberi sokongan kepada Anwar pada 9 Januari nanti," katanya.

Beliau menyatakan rakyat negara ini perlu tahu kejaman yang dilakukan oleh pemerintahan sekarang Barisan Nasional bagaimana cara mereka ingin menyekat kemaraan Anwar dengan hanya menggunakan kuasa mereka mengatur segala perbicaraan mahkamah.

Anwar dijangka akan dijatuhkan hukuman 9 Januari ini.


Kemelut Felda usaha BN untuk dapatkan wang | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Kemelut yang berlaku dalam Felda memberikan bukti jelas bahawa Kerajaan BN kini ketiadaan wang, walaupun cuba disembunyikan oleh para pemimpin Umno.

Untuk mendapatkan wang terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Kerajaan BN terpaksa memanfaatkan Felda dengan pelbagai tindakan, sehingga sanggup mengenakan pelbagai tekanan kepada para peneroka dan pemimpin-pemimpin badan itu yang bertanggungjawab.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, arahan bercuti keluar negara ke atas Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jelas merupakan campur tangan politik terhadap badan tersebut yang tidak seharusnya berlaku.

Menurutnya, tindakan tersebut dilakukan disebabkan motif tertentu bagi membolehkan pihak kerajaan melaksanakan perancangannya bagi mendapatkan wang melalui badan itu tanpa halangan daripada para pemimpin Felda.

Katanya, realiti itu lebih terserlah apabila diteliti alasan arahan bercuti ke atas Dzulkifli selama lapan bulan ke London sejak 25 November lalu, bagi membolehkan beliau mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan untuk meningkatkan prestasi bagi melakukan tranformasi Felda.

"Tindakan ke atas Datuk Duzulkfli itu adalah cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melalui surat yang dihantar kepada Datuk Seri Najib bertarikh 21 November, manakala arahan bercuti pula dikeluarkan menerusi surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri bertarikh 25 November lalu.

"Prestasi Datuk Dzulkifli sudah diakui oleh pelbagai pihak. Orangnya diketahui umum cukup bertanggungjawab, berwibawa dan berintegriti. Alasan yang diberikan itu ternyata tidak masuk akal dan memang boleh dibaca dengan mudah mesej di sebaliknya oleh orang ramai," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, semalam.

Kemelut yang berlaku dalam Felda berpunca dari perancangan Isa dengan sokongan para pemimpin Umno BN untuk memetrai perjanjian pajakan tanah selama 99 tahun antara Felda dan Felda Global Vantures Sdn Bhd.

Tindakan tersebut ternyata akan menggelapkan masa depan Felda dan para peneroka, apatah lagi akan disusuli dengan perancangan Isa selanjutnya untuk menyenaraikan Felda ke dalam Bursa Saham Malaysia yang ternyata akan mendatangkan kesan buruk amat besar terhadap badan itu sendiri.

Katanya, namun Perdana Menteri, Isa dan para pemimpin Umno BN tidak mempedulikan itu semua. Perkara yang penting bagi mereka adalah untuk membolehkan mereka mendapatkan wang, walaupun akan mengorbankan kepentingan rakyat khususnya masa depan para peneroka di seluruh negara.

"Untuk membolehkan perancangan mereka itu berjalan lancar, Perdana Menteri juga bukan sekadar bertindak sedemikian terhadap Datuk Dzulkifli, tetapi juga ternyata tidak langsung menghormati Ketua Peneroka Kebangsaan, Shamsuddin Othman.

"Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin Umno sanggup mengenepikan begitu sahaja segala pandangan Pak Sham yang begitu dihormati oleh para peneroka, sesuai dengan kebolehan dan kedudukan Pak Sham sebagai orang yang bertanggungjawab, berwibawa dan cukup faham dengan segala perjalanan Felda," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Lebih jauh dari itu, tegasnya, Perdana Menteri turut melakukan tindakan yang sama terhadap para peneroka lain di seluruh negara, dengan mengenepikan segala pandangan dan desakan mereka agar menarik balik arahan bercuti ke atas Dzulkifli dan menggugurkan jawatan Isa bagi kepentingan Felda.

"Saya yakin, untuk mengambil hati para peneroka, Kerajaan BN pasti akan memberikan wang kepada peneroka dengan jumlah yang besar nanti atas nama tertentu, kononnya dengan alasan keuntungan awal Felda terutama atas tindakan terkininya," katanya.

Sekiranya benar pemberian itu atas keuntungan Felda ekoran langkah-langkah terkini yang dilakukan, tambah beliau, semua itu sebenarnya hanyalah keuntungan untuk jangka masa pendek sahaja.

"Untuk jangka masa panjang, segala langkah yang ingin dilakukan itu pasti akan merugikan badan itu sendiri. Ini termasuklah cadangan untuk pajakan tanah dan penyenaraian Felda ke dalam Bursa Saham Malaysia.

"Kalau langkah penyenaraian itu menguntungkan, ia diyakini hanya untuk peringkat awal bagi jangka masa pendek sahaja, tetapi untuk jangka masa panjang, ia pasti akan menyebabkan Felda punah-ranah nanti," tegas beliau.

SPRM berdiam terhadap status siasat Taib Mahmud
Pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan mengulas berhubung status siasatan terhadap dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ironinya, pegawai itu - ketua bahagian siasatan MACC Azmi Mohd - melakukannya dalam forum anjuran badan pemerhati rasuah Transparency International-Malaysia (TI-M) untuk membincangkan amalan rasuah dalam pengurusan hutan dan pembangunan mapan semalam.

NONEDitanya Malaysiakini berhubung status siasatan SPRM terhadap Taib semasa sesi soal jawab, Azmi tampil berkata beliau sudah memaklumkan kepada peganjur bahawa beliau tidak akan menerima soalan yang "terlalu terperinci".

Azmi menambah, beliau bukan orang yang tepat untuk dibangkitkan soalan itu. Beliau bagaimanapun mengangguk apabila ditanya sama ada Taib masih disiasat.

Pada Jun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed mengesahkan bahawa SPRM sedang menyiasat dakwaan rasuah terhadap Taib membabitkan kes konsesi pembalakan di Sarawak.

NFC: Polis enggan dedah jumlah dipanggil
Polis mengesahkan ramai individu dipanggil untuk diambil keterangan berhubung dakwaan pecah amanah atau penyelewengan isu dana Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara.

NONEBagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar (kiri) enggan mendedahkan jumlah sebenar mereka yang telah dipanggil pihak polis berhubung kes tersebut.

"Ramai lagi saksi telah dipanggil dan kami masih dalam siasatan bagi menyelesaikan kes yang berprofil tinggi ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan "Balai League Table Siri 2 & 3" di Balai Polis Wangsa Maju di Kuala Lumpur, hari ini.

Balai Polis Wangsa Maju merupakan antara 30 buah balai polis yang memenangi anugerah itu daripada 753 balai yang telah mengambil bahagian.

Sebelum ini, Khalid mengesahkan seramai 74 individu telah dipanggil untuk diambil keterangan.

- Bernama

RM1,077 bilion wang negara dibawa lari, lapor GFI | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Rakyat Malaysia kehilangan “satu dekad yang telah hancur dek korupsi”, di mana wang haram sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000-9.

Mengikut laporan terkini badan pemerhati kewangan Washington Global Financial Integrity (GFI), wang haram sebanyak RM150 bilion (USD47 bilion) telah dikeluarkan dari Malaysia dalam tahun 2009 sahaja.

RM150 bilion ini adalah tambahan kepada kerugian besar RM927 bilion (USD291 bilion) dalam tempoh 9 tahun dari 2000 hingga 2008. Laporan GFI ini telah mengejutkan kita semua, terutamanya apabila Malaysia kini berada di kedudukan 5 negara yang tertinggi untuk pelarian modal haram yang terbesar.

Demikian kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Menurut Lim, laporan terkini GFI yang bertajuk “Aliran Kewangan daripada Negara Membangun Dalam Dekad Berakhir 2009” telah disediakan oleh ahli ekonomi Sarah Freitas dan Dev Kar, yang pernah menjadi ahli ekonomi kanan di Tabung Kewangan Antarabangsa.

Mengikut penulisnya, kata Lim Guan Eng, unjuran tersebut adalah berdasarkan kira-kira bayaran, perdagangan dua hala dan data hutang luar negeri yang dilaporkan negara-negara ahli IMF dan Bank Dunia.

Kata Lim, mereka menekankan bahawa aliran haram ini merupakan “ketirisan modal yang tidak direkod melalui... pemindahan wang secara haram yang terhasil daripada rasuah, pencurian, sogokan dan pengelakan cukai.

Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada wang rasuah yang diperolehi secara haram dan tambahan pula tidak diedar semula ke dalam ekonomi negara, katanya.

Bagi Ketua Menteri Pulau Pinang itu, ketirisan lebih RM1,000 bilion yang amat besar dan tidak bertanggungjawab ini adalah akibat daripada rasuah dan sukar untuk ditebus semula.

"Hakikat bahawa hasil rasuah sebanyak RM1,000 bilion telah dialirkan keluar daripada negara kita dalam tempoh 10 tahun yang lalu bermakna bahawa rakyat Malaysia telah kehilangan satu dekad yang telah hancur dek korupsi.

"Sudah tiba masa untuk menghapuskan lanun-lanun yang telah merompak negara kita," tegas Lim.

Antaranya, projek-projek seperti Port Klang Free Trade Zone (PKFZ), skandal saham Bumi RM52 bilion, skandal “lembu dan kondo” RM250 juta NFC, “komisyen” setengah bilion untuk pembelian dua kapal selam kelas Scorpene, dan banyak lagi projek kaitan kerajaan yang penuh dengan kos “overrun” atau kos berlebihan tanpa apa-apa kebertanggungjawaban.

Ia termasuk juga pendedahan Lapora Ketua Audit Negara terkini tentang RM3.7 bilion yang terlebih dibelanja oleh jabatan-jabatan kerajaan, yang telah menjadikan Malaysia sebagai raja wang haram, tambahnya.

"Tidak hairanlah kenapa prestasi negara kita telah merosot mengikut laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 badan pemerhati rasuah Transparency International (TI) yang menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri.

"CPI Malaysia pula telah menurun kepada 4.3 pada tahun ini, dan Timbalan Presiden TI Malaysia Mohammad Ali juga berkata bahawa CPI Malaysia terus merosot kerana “unsur-unsur kerajaan” yang memudahkan “rasuah besar” masih lagi tersebar luas," katanya.

Pendedahan terkini oleh GFI tentang wang haram sebanyak RM1,077 bilion yang telah dialirkan keluar daripada negara kita sedikit sebanyak menunjukkan betapa banyak kerugian yang dialami rakyat Malaysia.

"DAP menyesal kerana Kerajaan BN mengambil ringan kajian bereputasi ini yang telah dijalankan oleh sebuah badan yang bebas dan berprestij.

"Rakyat Malaysia harus bersatu untuk menyelamatkan negara kita daripada BN, membersihkan rasuah yang berleluasa dan mendapatkan balik RM1,077 bilion yang telah kehilangan ini," tegas beliau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan