Ahad, 18 Disember 2011

BIASALAH..DULU MUSUH..SEKARANG KAWAN ATAU SEBALIKNYA...BIAR BERJUANG KERANA AKIDAH@ALLAH..JANGAN KITA JADI MUSUH ALLAH DAH...

IMF: Tun Mahathir cuba alih isu | Print |
Muhamad Faizal

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dilihat berada dalam keadaan terdesak dan tertekan apabila tindakan beliau meminjam dari Bank Dunia sudah terbongkar walaupun selama ini beliau menafikannya.

Ketika dihubungi harakahdaily, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu Mahathir sekarang terkedu dan terdesak dan sedang cuba mencari alasan untuk mengalih pandangan rakyat dari isu beliau meminjam wang dari Bank Dunia pada tahun 1999.

"Rekod yang mengatakan beliau melakukan pinjaman juga telah didedahkan oleh laman web Bank Dunia dan sekarang Mahathir memikirkan cara terbaik untuk menutup pembohongan beliau iaitu memfitnah Anwar yang merupakan Menteri Kewangan krtika itu.

"Kenapa beliau takut dan kalau betul baik mengaku sahaja jangan melepaskan apa yang beliau lakukan kepada orang lain," katanya.

Tambahnya lagi pendedahan pinjaman itu menunjukkan ianya berlaku pada tahun 1999 iaitu selepas Anwar dipecat sebagai Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Laman web Bank Dunia mendedahkan bahawa Malaysia membuat pinjaman sebanyak tiga kali pada tahun 1999 dan sekali pada 1998 yang berjumlah AS$400 juta dan pinjamam itu dibuat setelah Anwar dipecat dari kabinet.

Pinjaman Mac 1999 itu atas nama projek "Malaysia Education Sector Support Project", "Malaysia Social Sector Support Project" dan "Malaysia Year 2000 Technicial Assistance Project" manakala pada 18 Jun 1998 bagi projek "Malaysia Economic Recovery and Social Sector Loan".

"Dulu beliau cuba tunjukkan dirinya sebagai 'hero' yang tidak akan tunduk kepada Bank Dunia yang bersikap 'kapitalis'.

"Tetapi sekarang segalanya terbukti bahawa Mahathir diwaktu siang beliau bermusuh dengan Bank Dunia tetapi malam menjadi teman perbualan telefon.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, rakyat sendiri boleh melihat sikap berpura-puraan dan berbohong Mahathir hanya untuk kepentingan sendiri.

Katanya, dalam isu itu Mahathir yang sepatutnya perlu bersumpah bukan Anwar, dan seluruh rakyat sedang menunggunya.

"Beliau sepatutnya bersumpah yang beliau tidak pernah memohon bantuan dari Bank Dunia, dan jika laporan tersebut itu tidak benar maka beliau perlu mengambil tindakan undang-undang.

"Tapi adakah beliau seberani itu untuk bertindak, yang saya pasti beliau akan terus menyerang Anwar kerana baginya isu Bank Dunia sewaktu Anwar berada dalam kabinet beliau," kata Mahfuz.


Hudud: MCA hina, DAP sekadar beza pandangan | Print |
Aslani M

MACHANG, 18 Dis: Kefahaman mengenai hudud di antara pemimpin MCA dan DAP jauh berbeza, di mana MCA sampai ke peringkat menghina, sebaliknya DAP hanya mempertikai aspek perlembagaan sahaja.

Buktinya Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini mendakwa pelabur akan meninggalkan Malaysia dan negara bakal berhadapan dengan kemusnahan jika hukum hudud dilaksanakan.

Sebaliknya pemimpin DAP terutamanya pengerusinya Karpal Singh sebelum ini hanya sekadar menganggap hudud bercanggah dengan perlembagaan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, berdasar kepada kenyataan presidennya pemimpin MCA secara jelas menghina hudud.

“Soi Lek mendakwa pelabur akan lari dan negara bakal musnah apabila perundangan hudud dilaksanakan di negara ini.

“Sebaliknya kalau kita lihat kenyataan pemimpin DAP tidak ada yang menentang sebegitu keras, sebaliknya sekadar menyebut ada percanggahan di sisi perlembagaan sahaja,” katanya pada satu program di Labok semalam.

Menurutnya juga wakil kerajaan Kelantan telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh membincangkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Katanya, Kelantan diwakili beliau sendiri, anggota-anggota Exco, Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Muhamed Fadzli Hassan, anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof.

Menurutnya pada pertemuan tersebut wakil kerajaan negeri menjelaskan panjang lebar mengenai perundangan hudud, biar pun ketika itu DAP ada pendiriannya tersendiri.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri telah mewujudkan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bagi mengkaji kaedah pelaksanaan perundangan tersebut.

Katanya, jawatankuasa seramai 20 orang itu turut menyenaraikan Ketua Polis Kelantan, Pengarah Jabatan Penjara, ulama dan pakar perundangan Islam.

Kata beliau penglibatan sama pihak polis dan penjara penting kerana mereka akan menguatkuasa peraturan di bawah perundangan hudud apabila seseorang itu didapati bersalah.

Malah Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad sebelum ini menjelaskan pihak-pihak terbabit perlu memberi kerjasama bagi menguatkuasa perundangan hudud.

(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)


Bekas ketua puteri Umno ikrar menangkan PAS | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Ketua Puteri Umno Kampung Banggol Donas, Ruhani Hassan yang telah mengisytharkan keluar Umno dan menyertai PAS pada 9 Disember lalu, kini mula tampil di pentas ceramah PAS bagi menjelaskan segala ketidakadilan yang berlaku dalam BN.

Bertempat di Dataran Pasar Maras di Batu Rakit di Terengganu baru-baru ini beliau menjelaskan beliau serta 80 orang yang lain menyertai PAS adalah kerana rumah mereka bakal drobohkan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Rumah kami bakal diroboh, melibatkan 22 buah rumah kediaman di kampong Banggol Donas, hanya untuk pembinaan susur (keluar) lebuhraya dari Jeram ke Teluk Pasu," katanya yang dipetik Buletinonline.

Ruhani yang pernah dilantik sebagai ketua puteri dan ahli jawatankuasa Umno Bangol Donas dari tahun 2000 hingga 2008 berkata, beliau pernah membawa isu rumah penduduk yang bakal diroboh untuk dibncangkan dalam mesyuarat cawangan, namun ditolak tanpa sebarang alasan.

Ekoran itu beliau mengambil sikap meninggalkan mesyuarat tersebut dan tawar hati dengan sikap Umno yang tidak mempedulikan kesusahan rakyat.

Sambil menyifatkan Umno sebagai ‘tuli’ dan 'pekak', beliau telah nekad untuk menentang projek itu biarpun berdepan pelbagai dugaan dan cabaran dari dalaman parti sendiri.

“Inilah titik tolak puncanya saya tidak berpuas hati dengan Umno (yang) tidak mahu mendengar masalah yang dialami ahli-ahlinya,

“Inilah dasar kerajaan (Umno yang) pekak, kerajaan tuli sebenarnya,”katanya tidak puas hati.

Namun ujarnya, Umno kemudian bukan sahaja menggunakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung sebagai alat untuk mengugut, bahkan memperalatkan para pegawai dan pasukan keselamatan.

“Kami bersepakat membantah pengambilan tanah yang tidak mengikut peraturan, bermacam-macam dugaan dan cabaan yangkami hadapi tanpa sebarang notis yang dikeluarkan,

“(namun) kontraktor terus membuat kerja dan menggunakan agen-agen seperti JKKK, pegawai pejabat tanah, tok penghulu, bahkan polis juga mereka bawa ke kampung kami, untuk memujuk, mengugut dan memperdaya orang kampung,” jelas Ruhani.

Beliau meluahkan perasaannya yang telah jemu, meluat, loya dan macam-macam lagilah rasa benci kepada Umno dan Barisan Nasional.

Justeru, Ruhani dengan tegas menyatakan pendrian beliau dan rakan-rakannya, akan terus mempertahankan tanah mereka, walau apa jua halangan yang mendatang.

Beliau menyeru kepada seluruh rakyat supaya menolak Umno dan Barisan Nasional, memenangkan PAS serta Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.

“Saya berikrar dalam diri saya akan menolak Umno dan marilah kita bersama-sama berganding bahu menentang kezaliman umno. Umno tidak lagi memenuhi (hati) rakyat Terengganu.

“Jangan mudah terpedaya dengan janji-janj yang dilafazkan (oleh Umno) kerana ini semua adalah gimik kepada (untuk) Umno untuk mencari kemenangan kepada PRU yang ke-13,” tegasnya.


Hakim kes Husam saman Kickdefella tarik diri | Print |
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 18 Dis: Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah menarik diri daripada mengendalikan kes saman fitnah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadap blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella).

Keputusan menarik diri dibuat dengan mengambil kira beliau mengenali kakak Syed Azidi dan juga kenal Husam ketika menuntut di Universiti Malaya.

Keputusan itu dibuat katanya bagi mengelakkan tanggapan yang tidak sesuai kepada mahkamah, dan lebih baik baginya menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Sehubungan itu kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (1), Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 19 September lalu Husam memfailkan saman terhadap Syed Azidi dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM5 juta ekoran penyiaran artikel berunsur fitnah terhadap plaintif.

Rencana tersebut bertajuk 'Husam telah menipu rakyat dan sahabat’ diterbit pada 27 Januari 2011, kedua, ‘Sebelum kita lupa Normala Sudirman’ (3 Februari 2011) dan artikel ‘Husam itu pembohong’ (3 Julai 2011).

Pada writ saman juga Husam menuntut Syed Azizi memohon maaf secara bertulis tanpa syarat, memadam rencana terbabit dalam laman blog defendan dan mengiklankan permohonan maaf dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu.

Bagaimanapun pada 9 Oktober lalu Syed Azidi memohon Mahkamah Tinggi memindahkan perbicaraan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam afidavitnya itu beliau mendakwa aspek keselamatan diambil kira dalam permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Disebut juga beliau kini berada di bawah jagaan pihak polis.

Pada korum hari ini sepatutnya mahkamah mendengar hujahan di atas permohonan Syed Azidi memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun disebabkan Hakim Azman menarik diri hujahan peguam defendan ditangguhkan ke 29 Januari hadapan.

Husam diwakili peguam Hisham Fauzi dan Zainal Abidin Mustapha, manakala Syed Azidi diwakili Dato' Firoz Hussein dan Natasya Amelia Yean daripada firma Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

NFC: Tun M perlu desak Najib arah Muhyiddin undur | Print |
Muhamad Faizal

KUALA LUMPUR, 18 Dis: PAS menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Datuk Seri Najib Razak agar mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil yang terpalit dengan skandal RM250 juta Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

AJK PAS Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Tun M yang juga bekas perdana menteri diyakini sangat tahu tentang kerakusan pemimpin di dalam Umno yang mengambil wang rakyat untuk untuk kepentingan peribadi termasuk dalam isu NFC.

"Mahathir perlu mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta barisan kabinetnya agar mengarahkan Muhyiddin dan Shahrizat meletak jawatan.

"Jika beliau ingin Najib lakukan tranformasi, maka skandal tersebut perlu disiasat secara telus tanpa ada sebarang perlindungan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas skandal projek NFC bernilai RM250 juta yang diberikan kepada syarikat suami Shahrizat yang sehingga kini belum ada apa-apa tindakan dari pihak kerajaan.

Selain Shahrizat, ianya juga didakwa membabitkan Muhyiddin selaku menteri pertanian ketika projek itu diluluskan.

Sementara itu, Dzulkefly juga turut membidas kenyataan Tun yang mendesak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tunjukkan surat yang ditulis beliau kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Katanya, cabaran Tun itu tidak lebih dari cuba mengalihkan isu skandal NFC dari diperkatakan oleh rakyat khususnya berdepan pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi.

"Saya tidak pasti tujuan sebenar dan mungkin ia ingin mengalihkan perhatian rakyat dari isu lembu kepada desakan tersebut.

"Ini adalah cara Umno sebenar bila terdesak mereka akan mengalihkan isu, bagi saya isu tersebut sudah lama," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan