Sabtu, 1 Oktober 2011

TANGAN JAHAT...JANGAN BEKERJASAMA DENGAN SYAITAN DAH...ISLAM TAK KAN BOLEH DISEKAT....ISLAM AGAMA ALLAH...ORANG YG MENYEKAT BINASA DIDUNIA & DIAKHIRAT

PAS bangga pemimpin berfikiran jauh, istiqamah | Print |
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 1 Okt: "PAS berbangga memiliki kepimpinan yang melampaui masa iaitu berfikiran jauh ke hadapan, matang dan beristiqamah bersama rakyat merasai keperitan," kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Menurutnya, contoh paling ketara ialah bekas Yang Dipertua PAS, Prof Zulkifli Mohamad yang memiliki pemikiran jauh yang tidak terfikir oleh orang lain, umpamanya idea penubuhan Bank Islam, Univesiti Islam, pajak gadai Islam dan sebagainya.

Katanya, apa yang disuarakan oleh almarhum kini Umno dan Barisan Nasional (BN) yang melaksanakan, seolah-olah semua itu adalah hasil gabungan pemikiran mutlak kepimpinan parti bangsa yang sewenang-wenangnya menolak Islam.

Tambahnya, begitu juga dengan Yang Dipertua PAS selepas itu sehinggalah kini semuanya mempunyai pemikiran yang unik, dapat menerima dan menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Katanya lagi, Presiden PAS sekarang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak terlepas daripada acuan berkenaan dengan bertindak mengarahkan semua ahli parlimen pembangkang agar tidak berfikiran dalam ruang lingkup pembangkang malahan melebihi dari itu.

"Kita mahu memerintah. Bercakap, bertindak mesti ke arah itu," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian ketika berucap pada forum sempena Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas malam tadi.

Tambahnya, isu ketuanan Melayu yang ditonjolkan oleh Umno untuk menjerat orang Melayu supaya membenci PAS tidak berhasil kesan daripada penerangan yang berterusan.

Katanya, lagi banyak Umno bercakap mengenai ketuanan Melayu semakin banyak rasuah berlaku, ekonomi negara makin parah, Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak sampai ke tahap yang diharapkan serta banyak lagi skandal besar melibatkan kepimpinan negara.

Itu semua sambungnya, berpunca daripada pemikiran kepimpinan Umno dan BN yang sempit, tidak jauh dan hanya mementingkan periuk nasi sendiri sahaja.

"Jika biarkan Umno dan BN memerintah, rosaklah negara ini. Tiada jalan lain melainkan kuburkan mereka sahaja selepas pilihan raya umum ke 13 kelak," tegasnya yang .

Turut menjadi ahli panel dalam program berkenaan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.


DAP gesa polis siasat tawaran 'wakil PM' | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Pihak polis digesa menyiasat dengan terperinci pengakuan pihak-pihak tertentu yang mendakwa mewakili Perdana Menteri yang menawarkan pelbagai ganjaran kepada Adun Bentayan, Gwee Tiong Hiang supaya meninggalkan DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.

Siasatan terperinci pihak polis mengenai dakwaan itu amat perlu bagi mendapatkan kesahihannya kerana jika benar pihak-pihak terbabit mewakili Perdana Menteri, ia ternyata membabitkan penyalahgunaan kuasa yang amat serius dari Perdana Menteri.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua Kiam Wee (gambar) berkata, dalam masa yang sama, Pejabat Perdana Menteri perlu menjawab dengan segera dakwaan pihak-pihak terbabit yang mendakwa mewakili Perdana Menteri.

Menurut beliau, sekiranya mereka berbohong atau menipu, tindakan keras perlu dikenakan terhadap pihak-pihak terbabit kerana melakukan kesalahan besar menyamar sebagai wakil kepada Perdana Menteri.

Katanya, Pejabat Perdana Menteri tidak seharusnya mengambil masa yang lama untuk menjawab perkara itu kerana ia merupakan perkara amat serius yang membabitkan kepentingan negara.

"Sekiranya benar pihak-pihak terbabit itu mewakili Perdana Menteri, Perdana Menteri perlu didakwa oleh Peguam Negara kerana telah menyalahgunakan wang kerajaan untuk kepentingan politiknya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Adun Bentayan, Gwee Tiong Hiang hari ini mendedahkan bahawa beliau telah ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu yang mendakwa mewakili Perdana Menteri supaya meninggalkan DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.

Dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, beliau menjelaskan, beliau telah ditawarkan RM150,000 wang tunai, 50 ekar tanah, sekurang-kurangnya RM5,000 elaun bulanan tambahan, sebuah pusat perkhidmatan dan seorang pembantu peribadi jika bersetuju melompat parti.

Menurutnya, seorang lelaki yang pertama kali menghubunginya melalui telefon pada 26 September lalu dan mendakwa sebagai setiausaha agung persatuan klan Wee Johor Baru, juga memberi jaminan bahawa Gwee akan diberi sokongan jika bertanding menentang DAP dalam pilihan raya umum.

Pada sidang akhbar itu, Adun yang mewakili salah satu kerusi dalam Parlimen Bakri, Muar, Johor itu turut mendedahkan trankrip rakaman perbualan telefon antara beliau dengan 'ejen' terbabit.

Katanya, 'ejen' tersebut yang mendakwa mewakili Perdana Menteri berkata, wang tawaran itu akan datang dari pusat, tetapi akan disalurkan melalui persatuan berkenaan.

Pada sidang akhbar itu juga, Gwee turut memperdengarkan satu lagi rakaman perbualan antara beliau dan pihak terbabit dalam bahasa Mandarin pada 30 September lalu.

Menurut Tony, pendedahan yang dibuat oleh Gwee itu sememangnya sesuatu yang serius yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak terbabit.

Tindakan pihak terbabit itu, tegas beliau, adalah satu tindakan yang amat tidak berintegriti dan tidak beretika, tetapi pernah dilakukan oleh pihak tertentu sebelum ini untuk mempengaruhi beberapa orang wakil rakyat dari Pakatan Rakyat termasuk dari DAP, termasuk yang berlaku di Perak.

"Tetapi saya yakin, wakil-wakil rakyat dari DAP yang berada dalam DAP sekarang mempunyai pendirian yang teguh, sama seperti Gwee, yang tidak akan terpengaruh dengan tawaran sedemikian," katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Selain wakil-wakil rakyat dari DAP, beliau juga yakin wakil-wakil rakyat yang berada dalam parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat sekarang termasuk dari PAS dan PKR tidak akan terpengaruh dengan tawaran-tawaran istimewa dari pihak tertentu supaya mereka keluar dari Pakatan Rakyat.


Maaf: Guan Eng sudah, Umno bila lagi | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Okt: “Umno tunjuk hero lagi, konon membela Raja-Raja Melayu. Mereka cuba ambil kesempatan kononnya merekalah mempertahankan Raja-Raja Melayu.

“Sahlah pemimpin Umno manusia lidah bercabang,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, ketika berada keadaan lemas, apa sahaja mereka akan lakukan.

Menurutnya, jika modal agama boleh dijadikan alat, maka agama akan diperalatkan.

Katanya, jika isu Melayu yang boleh dijadikan modal politik, maka mereka akan menggunakannya.

Sekarang, kata beliau isu kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengatakan negeri Johor tidak selamat sehingga Sultan Johor murka, maka pemimpin Umno cuba tunjuk hero.

“Lim Guan Eng telah memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, persoalannya bila pula Umno memohon maaf kepada Raja-Raja Melayu?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, rakyat tidak dengar pula, pemimpin Umno yang mengatakan Sultan Terengganu binatang kerana tidak puas hati apabila Datuk Seri Idris Jusoh tidak dipekenan untuk dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu.

“Bila pula pemimpin Umno hendak memohon maaf kepada Raja-Raja Melayu yang mengaibkan Raja-Raja Melayu di persidangan Agung Umno dan rapat umum ketika krisis Pindaaan Perlembagaan Umno 1983 dan 1991?” soalnya.

Katanya lagi, mungkin pemimpin Umno lupa dan PAS cuba memperingatkan kepada mereka bagaimana keceluparan mereka kepada Raja-Raja Melayu.

“Rakyat tidak lupa, mungkin pemimpin Umno buat-buat lupa,” katanya.

Umno patut contohi Guan Eng

Mengulas isu yang sama, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia memuji tindakan Guan Eng di atas permohonan maaf beliau kepada Sultan Johor serta rakyat jelata negeri itu keseluruhannya.

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan berkata, permohonan maaf itu dibuat berikutan kenyataan Guan Eng yang telah disalah lapor oleh media arus perdana kawalan Umno BN sehingga dikatakan telah menyinggung perasaan Tuanku Sultan Johor.

Kata beliau, pihaknya menyifatkan kesediaan Lim Guan Eng untuk memohon maaf secara terbuka telah menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang yang berjiwa besar dan terbuka untuk menerima teguran dan kritikan walaupun beliaulah yang telah difitnah di dalam kes ini.

“Lim Guan Eng tidak perlu berasa malu di atas permohonan maaf tersebut kerana beliau tidak melakukan sebarang kesalahan malahan pihak media arus perdana yang menjadi ‘tunggangan’ Umno BN yang perlu bertanggungjawab di atas salah laporan merekalah yang telah menyebabkan terguris perasaan Tuanku Sultan Johor,” ujarnya.

Katanya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan supaya pimpinan Barisan Nasional yang diketuai oleh Umno mencontohi sikap Lim Guan Eng yang sanggup untuk memohon maaf walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan dengan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan pimpinan Pakatan Rakyat di atas segala kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan oleh mereka selama ini.


PAS tak paksa bukan Islam terima hudud | Print |
Nazri Abdullah

KEPALA BATAS, 1 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, undang-undang Islam termasuk hudud hanya pilihan dan bukan paksaan untuk orang bukan Islam.

Menurutnya, ianya sama seperti ajaran agama itu yang menegaskan bahawa tidak boleh memaksa bukan Islam memeluk Islam.

"PAS tak paksa orang bukan Islam terima hudud. Islam beri pilihan seperti tidak memaksa mereka memeluk Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Millenium di sini.

Apa yang berlaku waktu ini tambahnya, undang-undang Islam itu telah dikelirukan oleh Umno sehingga bukan sahaja menakutkan orang bukan Islam malah menyesatkan orang Islam sendiri.

"Undang-undang jenayah syariah ini dimomokkan kepada rakyat melalui media yang diupah Umno.

“Kita cuba memperkenalkan undang-undang jenayah syariah terutamanya hudud dan takzir tapi mereka sengaja memetik hudud sahaja dengan tujuan menakutkan orang bukan Islam dan menyesatkan orang Islam," katanya.

Bukan ciptaan PAS

Mengulas lanjut isu yang sedang dipolemik itu, beliau berkata hudud bukan undang-undang baru yang dicipta PAS, tetapi undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Kewajipan melaksanakannya sama seperti kewajipan-kewajipan lain yang mesti dilaksanakan oleh orang Islam.

"Hudud bukan ditetapkan oleh PAS, bukan oleh Nabi, bukan oleh ulamak tetapi ia ditetapkan oleh Allah," tegasnya.

Kewajipan perlaksanaan undang-undang Islam itu katanya lagi adalah bertujuan mendidik manusia menjadi baik dan bukan menzalimi mereka.

Dalam pada itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut sebak sewaktu mengulas perjuangan presiden-presiden PAS terdahulu yang lebih awal meninggalkan kita.

Dengan suara tersekat-sekat, beliau menyeru seluruh ahli PAS bersedia menyerahkan diri kepada perjuangan menegakkan agama Allah seperti yang ditunjukkan pemimpin terdahulu.

"Dalam sambutan 60 tahun, marilah kita mengenang pimpinan awal yang telah mendahului kita.

"Almarhum Ahmad Fuad, Dr Abbas Alias, Dr burhanuddin Helmi, Tuan Guru Yusof Rawa, Datuk Fadzil Noor dan lain-lain.

"Marilah kita menjadi mereka yang tetap jatidiri, tidak mengubah haluan, tidak menebuk bahtera, malah melajukan perjalanan bahtera mencapai keredhaan Allah untuk menang di dunia dan menang di akhirat," katanya disambut laungan takbir hadirin.


Ustaz Azhar di UIA: 'Tangan jahat' ganggu program
Muhammad Hafizuddin

Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran kepada Allah atas rezekiNya yang melimpah-limpah untuk hambaNya. Malam Jumaat bertarikh 30 September menjadi sejarah bagi mahasiswa UIAM apabila kehadiran lebih kurang 4000 ke majlis kuliah Ustaz Azhar Idrus mendapat sambutan yang hangat. Fenomena Ustaz Azhar Idrus telah menarik Persatuan Mahasiswa Terengganu untuk merisik beliau sejak bulan Februari yang lepas lagi.

Dengan kerjasama kelab yang giat dalam aktiviti dakwah, Ma'ruf Club, program ini diluluskan oleh pihak pentadbiran UIAM pada awal semester ini. Masjid SHAS UIAM bakal menjadi sasaran mahasiswa bahkan seluruh masyarakat dan peminat Ustaz Azhar Idrus daripada seluruh negara. Promosi digiatkan di masjid-masjid sekitar Gombak menghebahkan kedatangan seorang ulama terkenal ke Masjid UIAM.

Sehari sebelum program, pihak Ma'ruf Club dikejutkan dengan penarikan balik kelulusan tempat program iaitu Masjid SHAS yang boleh memuatkan 6,000 orang. Dalam masa berbaki, pihak pentadbiran UIAM cuba membantu dan hanya meluluskan tempat di Experimental Hall yang mampu memuatkan seramai 300 orang. Berita tersebar dengan cepat di alam maya Facebook menyebabkan mahasiswa mula tidak berpuas hati.

Bagi kami Pro-Mahasiswa (WUFI), perkara sebegini seolah-olah telah menjatuhkan institusi masjid sendiri apabila menyekat seorang pendakwah profesional untuk berada di masjid menyampaikan kuliahnya. Namun, mahasiswa perlu berhati-hati dalam menghukum dan meletakkan pendirian.

Beberapa jam sebelum program, dikhabarkan pimpinan Ma'ruf Club melalui Presiden, saudara Mohd Eikhwan Ali dengan kerjasama Exco MPP, saudara Fitry Hussin telah cuba berusaha untuk berjumpa dengan Puan Rektor bagi memohon rayuan supaya dibenarkan berkuliah di masjid. Namun, Puan Rektor tiada di pejabat.

UIAM tidak bersalah. Pentadbiran UIAM tidak bersalah. Pihak masjid juga tidak bersalah. Mereka ditekan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kami mendapat maklumat daripada urusetia program yang berjumpa dengan Direktor Masjid, bahawa beliau telah mendapat panggilan telefon daripada 'kuasa' lain supaya tidak membenarkan program Ma'ruf Club ini dijalankan di masjid. Penangkapan akan dibuat oleh 'SB' jika program tersebut diteruskan juga di masjid.

Justeru, pendirian kami Pro-Mahasiswa (WUFI) berkenaan dengan peristiwa ini adalah seperti berikut:

1. Mahasiswa jangan cepat menghukum khususnya terhadap pihak Rektor UIAM dan Direktor Masjid SHAS kerana mereka telah ditekan oleh 'tangan jahat', kami mendoakan agar pihak UIAM diberikan pertolongan untuk berhadapan dengan mereka.

2. Campur tangan politik 'tangan jahat' telah merencatkan Insitusi Pendidikan Tinggi (IPT) khususnya di universiti awam sebagai pusat intelektual, perbuatan ini telah memakan diri mereka sendiri

3. Mereka juga perlu waspada kerana mengkhianati ulama adalah mengkhianati pewaris Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya) selaras dengan sabda Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya), "Ulama adalah pewaris Anbiya"

4. Kerajaan 'tangan jahat' ini mesti faham, mereka boleh menyekat masjid, mereka boleh mengganggu program, mereka juga boleh menangkap sesiapa sahaja tetapi mereka tidak boleh menghalang idealism anak muda yang lebih intelek

5. Mahasiswa bersedia menghadapi PRU-13

Justeru, saya mewakili Pro-Mahasiswa (WUFI) mengajak seluruh rakan mahasiswa untuk bersatu dalam isu ini menyahut seruan Allah dalam Al-Quran yang bermaksud, "Bertolong-tolonglah dalam perkara kebaikan dan Taqwa". Kami menyokong penuh usaha pihak Ma'ruf Club yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada One Heart Creative Solution yang sudi menaja program Kuliah Ustaz Azhar Idrus.

"We Unite For Islam"

Muhammad Hafizuddin MN
Pengerusi Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan