Sabtu, 15 Oktober 2011

ORANG ISLAM YANG MENGAKU ISLAM...TAPI MEMBIARKAN ISLAM MELARAT...MALAH MENENTANGNYA...ORANG BEGINI NAHAS AKIDAHNYA..AKHIRAT NANTI TAU BENAR ATAU SALAH

GST selepas PRU-13 hampir realiti | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Pakatan Rakyat yakin kerajaan Barisan Nasional akan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika kekal berkuasa selepas PRU13.

Menurut Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli, melaksanakan GST adalah satu satunya jalan keluar bagi membolehkan Belanjawan 2012 yang berjumlah RM232 bilion dapat direalisasikan dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang menurun sekarang.

Katanya, ini kerana ekonomi negara sukar untuk mencapai sasaran pertumbuhan 5% - 6% memandangkan angka unjuran ekonomi terkini yang dibuat Malaysian Institute of Economics Research (MIER) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kepada 4.6%.

"Ini akan memberi kesan kepada jumlah pendapatan negara bagi tahun 2012 akibat kutipan cukai dan hasil lain yang berkurangan berikutan pertumbuhan ekonomi 2012 yang lebih perlahan," katanya.

Untuk merealisasikan Belanjawan 2012, BN ujarnya perlu meminjam sekurang-kurangnya RM46 bilion untuk membiayai defisit Belanjawan 2012; itu pun jika ekonomi tumbuh pada kadar 5% - 6% bagi tahun 2012.

Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 adalah terbatas akibat had keberhutangan negara (debt ceiling) yang dihadkan kepada 55% daripada KDNK di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983.

Tambahnya, hutang negara kini sudah pun mencecah 53% dari KDNK berdasarkan angka rasmi Bank Negara Malaysia setakat Jun 2011, maka sebarang hutang baru sudah tentu bertentangan dengan undang-undang negara.

" Ini mengesahkan niat Perdana Menteri untuk serta-merta melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya Barisan Nasional kekal berkuasa selepas PRU13.

"Ini adalah satu pertaruhan yang diambil oleh Perdana Menteri, dengan niat mengabui mata rakyat dan menawarkan gula-gula bermula dengan bayaran dalam Januari 2012 kelak tetapi akan dicukai kembali melalui GST selepas PRU13 kelak," tegasnya.


Sindiket MyKad: 5 soalan untuk KDN | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Dewan Pemuda PAS mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan segera beberapa keraguan yang timbul terhadap sedikit yang disyaki memberikan MyKad kepada warga asing.

Mereka merujuk kepada penemuan 6 buah bas pada 11 Oktober lalu yang membawa warga asing dari Johor ke Putrajaya dan kemudiannya ke sebuah resort yang disyaki untuk diberi MyKad.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishmuddin Tun Hussin perlu memberi penjelasan kenapa pemberian kad pengenalan ini dibuat secara berkelompok.

Lebih meragukan, kenapa proses pemberian kad pengenalan dibuat di sebuah resort tidak di pejabat kerajaan.

"Murah sangatkah nilai kewarganegaraan kita. Kenapa proses pemberian kad pengenalan dimudahkan?

"Kenapa mereka tidak melalui proses yang ketat seperti ujian bertulis untuk menilai kesetiaan mereka kepada negara," soalnya.

Turut menimbulkan tanda tanya kenapa ada kawalan ketat daripada pihak polis semasa warga asing ini berada di Masjid Putrajaya dan Istana Dugang Country Resort.

"Kenapa terdapat arahan yang sentiasa berubah-ubah terhadap distinasi yang hendak dituju?

"Bukankah ini tanda-tanda adanya manipulasi dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing," soalnya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Kesan 7 buah bas

Menurut Suhaizan, pada 11 Oktober lalu, Pemuda PAS berjaya mengesan tujuh buah bas yang penuh dengan warga asing daripada negeri Johor menuju ke Putrajaya.

Difahamkan mereka memulakan perjalanan pada jam 10 malam daripada beberapa lokasi di Johor Baharu.

Kira-kira jam 1 pagi, kumpulan ini telah berhenti di hentian Rehat & Rawat (R &R) Pagoh.

Daripada cakap-cakap warga asing in,i tujuan mereka ke Putrajaya adalah untuk mendapatkan kad pengenalan bagi mengesahkan mereka menjadi warganegara.

Selepas berehat mereka terus bergerak ke Masjid Putrajaya dan sampai di sana sekitar jam 6 pagi untuk solat Subuh di Masjid Putrajaya.

Mereka juga mendakwa seolah-olah ada kawalan daripada anggota polis tidak beruniform (preman) yang mengawal pergerakan mereka.

Beberapa buah bas didakwa diarah oleh seorang Datuk yang tidak dikenali masuk ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Bagaimanapun selepas menyedari perjalanan mereka diekori, secara tiba-tiba arahan dibuat kepada pemandu-pemandu bas agar membawa penumpangnya ke sebuah resort berhampiran.

Sementara itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam menafikan terlibat dengan program yang didakwa memberikan kerakyatan untuk warga asing untuk didaftar sebagai pengundi.

27,293 PR dapat MyKad


Dewan Rakyat sebelum ini dimaklumkan terdapat 27,293 warga asing telah diterima menjadi warganegara sejak tahun 2008 hingga 2011.

Bagi Suhaizan, ianya satu jumlah yang sangat besar bagi sebuah negara seperti Malaysia lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat negara ini berada dalam kesempitan hidup dan mereka terpaksa bersaing denga warga asing yang seolah-olah menjadi anak emas kerajaan kerana begitu mudah menjadi warga negara ini.

"Pemuda PAS tetap curiga terhadap pemberian hak warganegara ini. Kami mengesaki bahawa tujuan pemberian hak warganegara ini ada kaitan dengan terdesaknya Barisan Nasional(BN) untuk terus berkuasa selepas pilianraya ke-13," katanya.


Umno diseru ikut DHPP perkenalkan hudud | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Umno khususnya Umno Kelantan sepatutnya merasa malu dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan yang telah berazam dan bertekad mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (ll) kepada masyarakat bukan Islam.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas hasrat DHPP Kelantan untuk mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan tentang hudud.

“Kita amat menghargai usaha DHPP Kelantan ini, ianya adalah hasil kejayaan daripada usaha PAS yang dilakukan secara berterusan menjelaskan keindahan Islam kepada penduduk bukan Islam khususnya di negeri itu, tahniah kepada PAS negeri di bawah kepimpinan Tuan Guru Mursyidul Am.

“Berpolitik berpolitik juga tapi berkenaan suruhan agama kita hendaklah bersatu untuk melaksanakannya walaupun mempunyai perbezaan pandangan politik.

“Saya cadangkan biro agama Umno turut mengikuti jejak DHPP Kelantan ini, abaikan halangan daripada pihak parti sekiranya ada, laksanakan tugasan dan tanggungjawab anda kepada agama, kita percaya anda juga sayangkan agama,” ujar beliau lagi.


Ambil tanah: Kerajaan perlu bersihkan nama | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan Malaysia menyiasat dakwaan kononnya Malaysia telah mengambil tanah 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

“Dakwaan ini telah mengakibatkan kemarahan kepada rakyat Indonesia dan akibatnya mereka mengadakan demontrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta,” ujar ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Justeru itu, katanya DPPM meminta kerajaan segera membersihkan namanya melalui kenyataan rasmi berhubung isu itu.

Dakwaan itu, ujarnya amat serius dan ia berkaitan dengan kedaulatan negara Malaysia dan Indonesia walaupun ia tidak berasas.

DPPM, ujarnya lagi tidak mahu negara Malaysia dikaitkan dengan skandal di peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini, tambahnya kerajaan perlu menjelaskan keadaan sebenar kepada kerajaan Indonesia agar jangan disalahtafsir atau menimbulkan persepsi buruk terhadap negara jiran.

DPPM juga, katanya meminta pihak tempatan yang menyebarkan dakyah tersebut bertanggungjawab terhadap isu itu.

Menurutnya, umum mengetahui hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama di mana kedua-dua negara ibarat saudara yang berasal dari suatu rumpun Melayu di Nusantara ini.

Katanya, ramai warga Indonesia menetap dan bekerja di negara ini, malah ramai yang telah mendapat status warganegara Malaysia.

“Kita berkongsi sempadan perairan dengan negara jiran. Permusuhan atas dasar apa sekalipun perlu dielakkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Oleh yang demikian, katanya DPPM mengharapkan isu itu mampu diselesaikan dengan baik di meja rundingan.

Tambahnya, DPPM bersetuju kerajaan menghantar nota diplomatik meminta penjelasan kepada kerajaan Indonesia terhadap insiden itu.

Katanya, Kerajaan Indonesia pula perlu memberi jaminan bahawa insiden itu tidak akan berlaku dan mengawal para demonstran agar tidak merosakkan peralatan serta kawasan kedutaan.

Selain itu, ujarnya DPPM meminta kerajaan melindungi para diplomat serta rakyat Malaysia di Indonesia.

DPPM, katanya bimbang mereka akan dicederakan di masa hadapan jika tidak ada kawalan keselamatan yang ketat terhadap mereka.

“Jika keadaan ini berlarutan dan keadaan terus tidak terkawal, kerajaan tidak perlu teragak-agak untuk membawa pulang Duta Besar Malaysia di Indonesia bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan