Selasa, 11 Oktober 2011

MEREKA@NON MUSLIM.....TAHU...BAHAWA BILA DILAKSANA HUKUM HUDUD...MEREKA TAK TERLIBAT SEBAB MEREKA NON MUSLIM..UNDANG2 NI HANYA UNTUK ORANG2 ISLAM SAJA

Pang Chow nafi sekeras-kerasnya ugutan tinggalkan PAS | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chaw hari ini menafikan dengan sekeras-kerasnya berita yang menyatakan DHPP enggan menyokong PAS jika hudud dilaksanakan.

Beliau juga menafikan membuat ancaman untuk tinggalkan PAS sebagaimana yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian hari ini (gambar).

"Sebagai salah seorg pengasas kelab penyokong PAS yang kini menjadi DHPP, tidak ada sebab saya buat demikian.

"Ia umpama rumah yang dibina dengan duit, masa dan tenaga saya tiba-tiba dibakar oleh saya sendiri atas sebab bocor sikit di dapor," kata beliau kepada Harakahdaily.

Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan di muka depannya laporan kononnya 20,000 ahli DHPP akan keluar meninggalkan PAS jika hudud dilaksanakan.

Selesai melalui mesyuarat

Sementara itu, berdasarkan laporan Sinar Harian itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan meminta pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) itu agar membincangkan segala masalah dalaman parti melalui meja rundingan.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya berpendirian, sewajarnya Pang Chow yang menerajui DHPP lebih memahami dasar PAS berbanding dengan ahli-ahli biasa DHPP yang rata-ratanya tidak mempunyai sebarang masalah dengan hasrat ini.

Beliau juga mengingatkan Pang Chow untuk tidak mengambil kesempatan dari jawatan yang disandang untuk membuat kenyataan seolah-olah menggugut kerajaan negeri dan parti.

Bahkan beliau sepatutnya telah memahami dasar PAS sebelum menyertai DHPP yang wujud hanya 15 tahun selepas hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.

"Saya menggesa agar Pang Chow tidak lagi membuat kenyataan terbuka seperti ini, sebarang kemusykilan boleh diselesaikan melalui perbincangan tertutup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Latif menyatakan demikian ketika memberikan ulasan berkaitan kenyataan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chow seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Di dalam kenyataannya, Pang Chow memberikan isyarat bahawa akan berlaku tindakan keluar beramai-ramai daripada sayap parti itu jika PAS terus memperjuangkan hudud untuk dilaksanakan di Kelantan.

"Saya melihat kenyataan Hu Pang Chow sebagai satu kenyataan yang kurang tepat serta tidak realistik dengan senario politik semasa yang sedang berlaku di Malaysia.

"Justeru, saya ingin mengulangi sekali lagi penegasan yang dibuat oleh pimpinan PAS samada Presiden ataupun Mursyidul Am bahawa hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja dengan tidak melibatkan langsung golongan non muslim.

"Pada hari ini, apa yang diperjuangkan oleh PAS adalah pelaksanaan hudud di negeri Kelantan sesuai dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan," kata beliau dalam kenyataan itu.

Oleh yang demikian, katanya, Pang Chow selaku Pengerusi DHPP sewajarnya lebih bertindak ke arah memberikan penjelasan kepada non muslim agar tidak khuatir dan bimbang dengan pelaksanaan hukum hudud serta bukannya mengambil langkah untuk menyongsang arus dan membuat pendirian berbeza dengan pucuk pimpinan parti.

"Ingin saya ingatkan bahawa kerajaan Kelantan akan terus menjaga dan menjamin hak-hak masyarakat non muslim dan ia diterima oleh rata-rata ahli DHPP," katanya.

Sebagai contoh pada 8 Oktober 2011 yang lepas telah diadakan Seminar Keharmonian Masyarakat Majmuk anjuran kerajaan negeri Kelantan.

Ia dihadiri oleh wakil-wakil DHPP dari seluruh negara dan rata-ratanya memberikan respon yang cukup positif dan menyambut baik hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk menguatkuasakan hudud ke atas umat Islam di Kelantan.


'Fahamlah saya Rembau tak dilantik dalam Kabinet' | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin, dibidas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, apabila menuduh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'berbohong' dengan ucapannya disebabkan tidak selari dengan salah satu data kewangan yang dinyatakan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang dibentangkan pada 4 Oktober lalu.

Tuduhan tersebut dibuat oleh Khairy dengan mengatakan dalam ucapannya Anwar menegaskan kerajaan akan dapat menjimatkan RM5 bilion wang rakyat jika melakukan dasar penjimatan melibatkan beberapa projek termasuk bekalan komputer di sekolah-sekolah, tetapi di dalam Belanjawan Pakatan 2012 dinyatakan sekitar RM17 bilion.

"Ini merupakan satu pembohongan bagi mengelirukan orang ramai. Dalam ucapannya, lain, dengan angka yang hanya RM5 bilion, tetapi di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat dinyatakan begitu besar sehingga berbelas bilion," kata Khairy.

Ketika bangun menjawab tuduhan itu bagi sesi perbahasan Bajet 2012 Kerajaan BN pada persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini, Anwar berkata, tuduhan tersebut ternyata tidak berasas kerana ucapan beliau itu dibuat ketika Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 belum dibentangkan oleh beliau.

Oleh itu, ucapan beliau mengenai perkara itu hanyalah pada anggaran kasar, tetapi angka yang dinyatakan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 itu adalah jumlah yang lebih terperinci yang sepatutnya dijadikan rujukan dan diterima.

Menurut beliau, Khairy ternyata keliru dengan perkara itu dan beliau tidak sepatutnya membuat tuduhan tersebut kerana jelas berpunca dari kekurangan penelitiannya sendiri mengenainya.

Walaupun Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh meminta Khairy melakukan penelitian lebih mendalam berhubung perkara itu, Khairy tetap menuduh Anwar "berbohong" dan menyifatkan belanjawan Pakatan Rakyat itu hanyalah angka untuk mengelirukan rakyat.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail yang bangun mencelah turut meminta Khairy lebih cermat dengan ucapannya kerana angka RM5 bilion yang diucapkan oleh Anwar itu hanyalah anggaran kasar, manakala angka sebenar yang dibuat dengan lebih terperinci sememangnya seperti yang dinyatakan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012.

Namun Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia tetap mempertahankan tuduhan beliau, malah melebarkan pula hujahnya dengan bukti tidak tepat yang turut dibabitkan perbezaan harga komputer masa lalu dan terkini.

Tindakan Khairy memaksa Anwar yang juga Ketua Umum PKR bangun kembali selepas itu dan berkata, Khairy ternyata keliru dan tidak teliti dalam membaca ucapan beliau dan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 itu.

"Sikap seperti ini tidak sepatutnya dimiliki. Tetapi sekarang fahamlah saya kenapa Ahli Parlimen Rembau tidak dilantik dalam Kabinet," katanya.

Manakala Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail pula ketika bangun berucap mengingatkan Khairy dan para pemimpin Kerajaan BN agar lebih bertanggungjawab terhadap wang negara dalam melaksanakan sesuatu projek.

Katanya, belanjawan alternatif yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat itu adalah untuk menyelamatkan wang negara dan bagi kepentingan rakyat yang sepatutnya diteliti dengan mendalam sebagai rujukan.

"Tetapi tentang projek komputer ini, di Terengganu sekarang pun (yang diperintah oleh BN) masih juga belum selesai-selesai," katanya.

Bajet 2012 terus pinggir SAR | Print |
Khairil Abdul Rahim

KUANTAN, 10 Okt: PAS Pahang kesal Sekolah Agama Rakyat (SAR) dipinggirkan dalam pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu.

Ketua Penerangannya, Suhaimi Saad berkata, sedangkan entiti tersebut perlukan peruntukan demi kesinambungan pendidikan yang ternyata selama ini memberi sumbangan kepada masyarakat khususnya dalam ehwal Islam.

“Najib mengumumkan peruntukan besar sektor pendidikan iaitu sebanyak RM50.2 bilion tetapi satu sen pun tidak diagihkan kepada SAR, sedangkan institusi tersebut amat memerlukannya dan semua pelajarnya anak-anak orang Melayu yang beragama Islam.

“Walhal peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Kita tak tahu sama ada najib terlepas pandang tentang perkara ini atau secara tak sengaja untuk mendera mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Suhaimi, berdasarkan sejarah, SAR sejak zaman penjajahan telah berperanan mempertahankan akidah umat Islam selain menyebarkan pengajaran Islam untuk orang Melayu di negara ini.

Bahkan, guru-guru SAR antara yang bertungkus-lumus mengajar semula anak-anak orang Melayu yang telah buta bacaan jawi.

Beliau tidak menafikan SAR pernah mendapat bantuan daripada pihak kerajaan pada masa-masa lampau.

“Malangnya SAR telah menerima cabaran besar apabila dihentikan bantuan per kapita oleh mantan Perdana Menteri pada tahun 2001 dan difitnah sebagai tapak sarang pengganas pada 2003.

“Daripada kedua peristiwa itulah yang menyebabkan SAR mulai berkurangan pelajar sehingga satu demi satu terpaksa ditutup,” tambahnya.

Tambah Suhaimi, di Pahang pada asalnya terdapat 18 SAR tetapi selepas dua peristiwa tersebut empat daripadanya ditutup dan empat lagi menjadi SABK iaitu menyerahkan urusan pentadbiran kepada kerajaan.

“Pada masa ini hanya ada 10 SAR di Pahang yang boleh dikatakan hidup segan mati tak mahu kerana sumber kewangannya hanya melalui sumbangan orang ramai. Kita kena bayangkan dalam masa guru-guru sekolah mendapat durian runtuh, guru-guru SAR pula ada yang terpaksa mengajar sukarela.

“Sebab itu jika kerajaan bercakap soal pendidikan Islam, generasi Al-Quran, membentuk akhlak remaja, modal insan dan sebagainya maka SAR tidak harus diketepikan kerana ternyata pelajar lepasannyalah yang menjadi pembimbing masyarakat dan mengurangkan angka indeks jenayah selama ini,” jelasnya.


Kerajaan Selangor hormati titah Sultan | Print |
Harakahdaily

SHAH ALAM, 10 Okt: Kerajaan Negeri menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung laporan pemeriksaan terhadap Dream Center di Damansara Utama yang telah diperiksa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Kerajaan negeri yakin dan percaya, titah baginda ini adalah keputusan terbaik dan adil serta mengambil kira keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini dan Malaysia amnya.

“Sebagai rakyat Selangor, kita mesti menghormati dan menerima titah ini dengan hati terbuka dan positif kerana baginda adalah ketua negeri dan tempat masyarakat berbilang kaum berlindung,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, Kerajaan Selangor tidak akan menoleh ke belakang lagi disebabkan isu itu sebaliknya ia memberi kesedaran tentang keperluan untuk mengukuhkan penguatkuasaan Jais serta pengumpulan bukti.

Justeru, ujarnya kerajaan negeri akan menubuhkan jawatan kuasa khas untuk memperkasakan Standard Operating Procedure (SOP) di Jais agar jabatan itu dapat memantau cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam dengan teliti dan berkesan.

Menurutnya, jawatan kuasa khas itu akan dianggotai tokoh perundangan dan pakar agama selain pegawai kanan kerajaan yang mana nama-nama mereka akan diumumkan kelak.


Kedai 1Malaysia untuk kroni Umno BN | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Perancangan Kerajaan BN untuk membina lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia diyakini akan memberikan keuntungan kepada kroni-kroni para pemimpin Umno BN, tetapi akan menimbulkan lebih banyak masalah bagi ekonomi bumiputra, terutama pengusaha-pengusaha kedai runcit di kampung-kampung.

Walaupun peruntukan tersebut melibatkan jumlah kewangan cukup besar sehingga RM40 juta seperti yang dinyatakan dalam Bejet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri 7 Oktober lalu, tetapi ia tetap tidak akan dapat dinikmati oleh keseluruhan rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan mempersoalkan tindakan kerajaan mahu memberi bantuan melalui subsidi barangan secara terus di kedai-kedai runcit serta cara Perdana Menteri menggunakan wang rakyat untuk terus mempromosikan jenama 1Malaysianya, sekiranya rakyat mendapat manfaat.

Menurut beliau, namun kenapa hanya satu pihak dan pengusaha iaitu Mydin yang dipilih untuk mendapat bantuan subsidi terus itu, sedangkan pembinaan lebih banyak kedai sebegitu akan mematikan kedai-kedai runcit rakyat terbanyak di seluruh Malaysia?

Katanya, apakah kerajaan tidak boleh mencari sebuah kedai runcit yang maju dan berdaya saing di setiap daerah yang ingin dibantu agar bantuan tersebut akan memberi lebih manfaat kepada lebih ramai pengusaha kedai runcit, bukannya membantu melebarkan sayap pengusaha sebuah pasaraya besar yang akan mematikan pengusaha kecil di kampung-kampung.

"Sudahlah selama ini mereka terpaksa bersaing dengan pasaraya besar, kini kedai runcit pun mahu dibolot dan diberi bantuan terus oleh kerajaan," katanya ketika membahaskan Bajet 2012 Kerajaan BN pada persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon Dewan Rakyat menerima hakikat bahawa Bajet 2012 Kerajaan BN itu tidak lebih dari senarai hadiah-hadiah kepada kroni dan golongan berkepentingan.

Menurutnya, ratusan billion ringgit akan dibelanjakan oleh Kerajaan BN semata-mata kerana kroni akan diterus didahulukan, projek-projek diberi keutamaan, kemudian sisa bakinya barulah diagihkan kepada rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh kesal dengan cara Perdana Menteri yang tidak segan silu mengumumkan projek-projek yang bermasalah kerana diberikan kepada kroni seolah-olah ia projek baru demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, peruntukan projek pembangunan di bawah RMK10 bagi tahun 2012 berjumlah RM49.2 billion, contohnya melibatkan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Jabor-Kuala Terengganu yang tidak siap-siap dan telah pun menelan belanja yang tinggi, akibat pembabitan pihak-pihak yang berkepentingan, sedangkan fasa yang dibina oleh MTD di antara Sungai Besi ke Ajil telah pun dibuka.

Sebelum itu beliau berkata, Bajet 2012 itu menzahirkan ketagihan BN kepada rasuah dan penyelewengan kerana tidak terdapat tanda-tanda ketagihan itu akan reda, memandangkan pelbagai pengumuman yang dibuat jelas akan menguntungkan pihak-pihak berkepentingan semata-mata.

Beliau kesal kerana cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holding yang merupakan mercu tanda dan harta rakyat yang sensitif langsung tidak dibahaskan terlebih dahulu di Dewan Rakyat, sebelum dipertimbangkan untuk dibawa masuk ke dalam Bajet 2012.

"Saya bukanlah menentang sebarang usaha untuk mengembangkan saiz pasaran saham dan menarik pelabur asing ke Bursa Malaysia, tetapi persoalan yang membabitkan institusi Melayu (Bumiputra) dan harta rakyat yang dibina oleh 3 generasi rakyat Malaysia ini perlukan perdebatan ikhlas dan ilmiah di dewan ini terlebih dahulu," katanya.

Perdana Menteri seharusnya mengambil kira risiko kewangan dan pasaran yang akan mendedahkan Felda kepada susut nilai pasaran mirip kepada nasib yang sedang menimpa MAS, sekiranya penyenaraian itu tidak disertakan dengan tata kelola yang baik, pengurusan yang telus dan bebas dari campur tangan politik dan diperkuatkan dengan segala langkah mengelakkan manipulasi pasaran dan spekulasi.

Menurutnya, harga pasaran saham MAS telah susut sehinggakan harga semasanya hanyalah sekitar 37 peratus berbanding harganya sekitar tahun 1993 hingga 1995.

"Walaupun asetnya besar dan saiz operasinya berlipat kali ganda berbanding AirAsia, harga sahamnya turun naik dan sekarang ini hanyalah 50 peratus dari harga saham AirAsia," katanya.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR mengingatkan kerajaan agar berwaspada supaya nasib yang sama tidak menimpa Felda, dengan membahaskan terlebih dahulu di Dewan Rakyat bagi membuat keputusan yang besar itu agar prasyarat berhubung kemantapan pengurusan, amalan tata kelola baik yang ketat dan nilai tambah dapat diambil kira.

"Janganlah kerajaan mengulangi kesilapan dalam penggabungan tiga gergasi perladangan iaitu Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope yang disandarkan semata-mata kepada yuran rundingan dan laba yang bakal diperolehi oleh para perantara (broker) dan penasihat termasuklah CIMB yang rapat dengan Perdana Menteri," tegasnya.

Menyentuh tentang pengumuman Perdana Menteri bagi pembinaan projek-projek melalui kaedah perkongsian awam dan swasta (PPP) termasuklah pembinaan hospital wanita dan kanak-kanak melibatkan perbelanjaan RM700 juta, beliau mengingatkan Kerajaan agar bertindak dengan penuh tanggungjawab.

"Saya memberi ingatan supaya projek ini dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan bertata kelola termasuklah dengan memastikan ia menggunakan bidaan terbuka, supaya harganya berpatutan kerana kita faham bila sahaja dipanggil perkongsian awam dan swasta, maknanya perkongsiannya begini: untung dikaut oleh swasta, kerugian dan kos ditanggung oleh awam dan rakyat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan