Sabtu, 22 Oktober 2011

BILA ISLAM ITU BANGKIT....TIADA SAPE BOLEH LAWAN KUASA ALLAH...

Ikram harap polis, majikan telus pada Aziz Bari | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) sebagai sebuah pertubuhan Islam bukan kerajaan, yang memperjuangkan kecemerlangan akademik berprinsip, menyatakan kegusaran dan rasa kecewa di atas tindakan yang sedang dikenakan ke atas ahli akademik dan pakar undang-undang perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Presidennya, Dr Parid Sheikh Ahmad berkata, Ikram berpendirian bahawa kebebasan memberi pandangan adalah hak setiap rakyat Malaysia, khususnya bagi seorang ahli akademik, yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Ikram percaya bahawa sebagai seorang ahli akademik, Prof. Abdul Aziz berhak menyatakan pandangannya dalam bidang kepakaran beliau demi kepentingan masyarakat dan agama,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, pihaknya turut bersimpati di atas segala celaan dan tohmahan yang dilontarkan ke atas peribadi Prof. Abdul Aziz, dan sepatutnya mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau membalas dengan hujah secra professional.

Justeru, beliau mengajak seluruh masyarakat, terutamanya para pemimpin, untuk mengambil iktibar daripada peristiwa Amirul Mukminin Khalifah Umar al-Khattab ditegur oleh seorang wanita yang bercanggah dengan hasrat Khalifah untuk menetapkan kadar mahar bagi wanita yang hendak dikahwini, dan teguran itu telah diterima oleh Khalifah dengan sikap berlapang dada.

Ikram, ujarnya menyokong kebebasan akademik yang termaktub dalam artikel-artikel 26 dan 27 dokumen UNESCO yang bertajuk Recommedations Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel yang menegaskan bahawa para ahli akademik mempunyai hak untuk menyumbang kepada perubahan sosial melalui kebebasan menyatakan pendapat mereka terhadap dasar-dasar negara dan dasar-dasar yang memberi kesan kepada pendidikan tinggi dan mereka tidak seharusnya dikenakan apa-apa hukuman semata-mata kerana menggunakan hak tersebut.

Tambahnya, Ikram berharap pihak polis dan majikan Prof. Abdul Aziz akan bertindak secara telus serta memberikan keadilan yang sewajarnya kepada beliau.


DAP bantah tindakan zalim UIA | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Universiti bukan sebagai kilang sarjana atau menghasilkan pekerja tetapi ia adalah pusat melahirkan intelektual awam yang dapat merintis perubahan untuk kebaikan rakyat.

Justeru, Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong (gambar) berkata, tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas pakar undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari adalah tidak adil dan menyekat kebebasan berfikir dan bersuara, lapor Roketkini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata tindakan UIA serta agensi kerajaan Barisan Nasional menunjukkan betapa pihak pemerintah tidak jujur untuk melaksanakan janji memberi kebebasan kepada rakyat.

Isu itu adalah rentetan dari tindakan pihak UIA memberi surat tunjuk sebab kepada Dr Aziz berhubung komen beliau yang disifatkan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, sebagai menghina Sultan Selangor berhubung isu Jabatan Agama Islam Selangor dan gereja di Damansara.

“Atas laporan itu, beberapa pihak telah membuat beberapa laporan polis. Pihak polis telah pun mengambil keterangan dari Malaysiakini yang menyiarkan komen Dr Aziz dan dari pakar Perlembagaan Persekutuan itu sendiri pada awal minggu ini.

Selepas insiden tersebut, pihak UIA telah menggantung tugas beliau atas dakwaan “memberi kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti”.

Dr Aziz telah beberapa kali menjelaskan bahawa beliau tidak meghina Sultan kerana hanya menjelaskan kedudukan sebenar mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan kepakarannya dalam bidang undang-undang.

Semalam, hampir 1,000 mahasiswa, termasuk aktivis pelajar, menyertai satu perhimpunan membantah peggantungan tugas Dr Aziz, di perkarangan Masjid UIA selepas solat Jumaat.

Bantahan sekitar hampir 2 jam itu berakhir setelah pihak universiti membenarkan wakil demonstran menyerahkan memorandum meminta menarik balik penggantungan Dr Aziz kepada Rektor UIA, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin.

Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari, pula berkata penggantungan Dr Aziz tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi di sebuah universiti yang bergelar antarabangsa.

Menurutnya, kebebasan bersuara dan intelek masih dikongkong dan disekat walau pun Datuk Seri Najib Razak telah menjanjikan kebebasan melalui program transformasinya.

“Jelas bahawa janji-janji PM itu kosong belaka. Dengan tindakan UIA ini, ia pasti akan menghakis keyakinan mahasiswa terhadap kebebasan akademik.

“Jika seorang ahli akademik terkenal tidak mendapat ruang untuk berhujah dan memberi pandangan dalam bidang kepakarannya, bagaimana pula dengan anak-anak muda dan mahasiswa ingin tahu dan ingin belajar?”

Menurutnya, tindakan keras UIA serta sikap kerajaan BN membuktikan bahawa janji-janji memberi kebebasan hanyalah gula-gula politik menjelang pilihan raya umum akan datang, yang kemungkinan besar tidak akan dilaksanakan jika BN terus berkuasa. – Roketkini.com


PAS bimbang tindakan UIA hasut rakyat benci raja | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kegelojohan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung Prof Dr Abdul Aziz Bari dibimbangi boleh mendorong dan menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Penggantungan kontroversi ke atas Dr Abdul Aziz yang dilakukan oleh UIA itu semakin terbukti amat menyakitkan hati rakyat.

"Tindakan UIA itu akhirnya dikhuatiri mendorong dan secara tidak langsung menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu," kata beliau.

Malah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, tindakan UIA itu benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu.

"Tindakan UIA itu menggambarkan seolah-seolah Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional.

"Memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional adalah perbuatan buruk yang benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu," tegas Mahfuz.

Malah, katanya, memberikan gambaran bahawa-bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran hakikatnya memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak mahu mengamalkan ajaran Islam yang sangat asasi yang menekankan amar ma'ruf nahi munkar.

Dr Abdul Aziz sebelum itu memberikan pendapatnya sebagai pakar perlembagaan terhadap tindakan Sultan Selangor.

Beliau berpendapat, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.

Dr Abdul Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Selangor berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Akibatnya, beliau disoalsiasat oleh polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), diberi surat tunjuk sebab oleh UIA dan akhirnya digantung tugas oleh universiti itu semata-mata kerana memberikan pendapatnya dari segi undang-undang.

Mahfuz melihat tindakan UIA membalas pandangan professional Dr Abdul Aziz dengan penggantungan penuh kontroversial itu sebagai perbuatan "institusi ilmu menghina ilmu".

"Kalaupun benar terpaksa bertindak selaras dengan kehendak dan kepentingan Umno, janganlah sampai institusi ilmu menghina ilmu dan melakukan tindakan yang akhirnya akan membunuh kebebasan akademik.

"Amat buruk kalau institusi ilmu sendiri yang membunuh ilmu dan kebebasan akademik," kata beliau.

Mahfuz juga menyifatkan amat lucu penjelasan Rektor UIA Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin kononnya tindakan menggantung tugas Dr Abdul Aziz bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan berikutan kenyataan beliau mengenai tindakan Sultan Selangor.

"Ini kali pertama kita dengar seorang ilmuan yang memberikan pendapat professionalnya perlu digantung tugas untuk membolehkan beliau memberikan penjelasan mengenai pendapat professionalnya itu.

"Ini sudah tentu boleh mencipta rekod dunia sebagai salah satu perkara paling kelakar sepanjang sejarah," katanya.


Kes Aziz Bari tambah hitam rekod BN | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) memandang serius isu terbaru yang melibatkan penggantungan profesor undang-undang terkemuka dan kritis negara, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

“Isu ini adalah satu lagi titik hitam sejarah negara. Ia hanya akan menghitamkan lagi rekod Barisan Nasional memerintah negara kita,” kata ketua penerangannya, Mohd Nasir Zakaria (gambar).

Katanya, penggantungan Dr Aziz selaku pensyarah sangat mengejutkan dan menyedihkan warga Malaysia.

Ini, katanya kerana Dr Aziz adalah pensyarah kanan Universiti Islam Malaysia yang sudah berkhidmat selama 22 tahun dan antara putera terbaik Melayu yang merupakan pakar undang-undang perlembagaan.

“Adakah hanya kerana memberi pandangan berdasarkan pengalaman akademik dan pengalaman beliau dan beberapa laporan polis sudah cukup untuk menamatkan riwayat akademik beliau?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, Dr Aziz terkenal berani dan kontroversi dan beliau bukan sekadar berkongsi ilmu di media perdana, wacana, kelas toturial malah menjangkau kepada media alternatif yang mesra pembangkang.

“Beliau sekadar mengkritik kerajaan tetapi pernah mengkritik kepimpinan pembangkang. Beliau berani dan tegas terhadap pandangan beliau walaupun berdepan cemuhan,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Padang Terap.

Baginya, alasan yang diberikan oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ialah kerana "membuat kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" adalah satu alasan yang sangat subjektif bagi sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, masyarakat tertanya-tanya, bertentangan dengan kepentingan universiti itu juga bermaksud bertentangan dengan kepentingan pemerintah lanjutan laporan polis yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.

Baginya, penggantungan ini akan menjatuhkan lagi imej universiti Malaysia di mata dan ranking universiti di dunia.

“Sudahlah para mahasiswa dan pensyarah terpaksa berdepan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kali ini pensyarah pula berdepan dengan pelbagai akta dan halangan 'kepentingan' universiti,” katanya.

Selepas peristiwa ini, ujarnya DPPNK dapat merasakan pendemokrasian ilmu akan semakin terhakis dan akan menyebabkan kebebasan bersuara akan semakin kelam.

Katanya, imej universiti sebagai menara ilmu dan harapan ummat sebagai lubuk kebijaksaaan akan semakin dipandang sinis dan autoriti seorang sarjana akan semakin diperlekehkan.

“Alangkah malangnya negara ini,” ujarnya lagi.

Tambah Nasir, apa yang kebih besar ialah kesan terhadap para mahasiswa yang sedang menyiapkan tesis serta mengikuti kelas yang dipimpin oleh beliau.

Tambahnya, apapun alasannya termasuk alasan beliau menghina raja, DPPNK mengharapkan agar penggantungan beliau sebagai sarjana dan pensyarah ditarik balik terlebih dahulu.

“Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak polis yang menyiasat beliau susulan isu ini juga akan menjadikan ahli akademik semakin terkongkong dalam menyampaikan ilmu dan menegakkan kebenaran,” katanya.


Membaca pertukaran tawanan dengan kaca mata Hudaibiyah
Ahmad 'Afif Zuhdi bin Ahmad Zaki, Kaherah

Zulkaedah tahun keenam Hijrah, di atas keangkuhan penguasa Quraisy menghalang rombongan Junjungan Mulia, Nabi Muhammad s.a.w.memasuki kota Mekah, termetrai perjanjian yang dikenali kini sebagai Sulh Hudaibiyah. Dalam pembacaan yang ringkas, beberapa terma yang dipersetujui di dalam perjanjian ini mendatangkan protes senyap di kalangan para sahabat yang mersakan bahawa kaum Muslimin bakal menerima kesan negatif hasil dari perjanjian ini.

Allah Taala, Zat yang Maha Mengetahui, menghantar isyarat sebaliknya dengan firmanNya: 'إِنَّا فَتَحۡنَا لَكَ فَتۡحً۬ا مُّبِينً۬ا'
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata (Al Fath : 1)

Maha Suci Allah yang memberi beberapa signal kemenangan sebaik perjanjian ini termaktub. Kejayaan awal berlaku pada tahun sesudahnya, pabila kaum Muslimin berjaya menunaikan umrah dengan gandaan kualiti dan kuantiti yang sama sekali memeranjatkan penduduk Makkah. Kehadiran ini, berdasarkan kepada syarat yang telah dipersetujui, tidak boleh langsung dibantah atau dimungkiri oleh kaum Musyrikin Mekah.

Di atas iltizam dan komitmen tinggi Muslimin mematuhi persefahaman ini, syiar Islam terus memenuhi jazirah Arab, merubah sosio-politik hingga menimbulkan rasa cemas yang amat kuat hingga mendorong Musyrikin Mekah merencana tindakan tergesa-tergesa yang mentajikahkan perjanjian Hudaibiyah dikhianati oleh mereka sendiri. Puak Quraisy bersama Bani Bakr telah meyerang Bani Khuza'ah yang merupakan sekutu pada kaum Muslimin pada ketika itu.

II

Persetujuan Israel dan Hamas melakukan pertukaran 1,027 tahanan Palestin dengan seorang tentera Israel, Gilad Shalit juga berlaku pada bulan yang sama. Sejak 1983, jumlah tahanan ini merupakan yang terbesar membabitkan Israel dan pihak Arab.

Namun, usaha ini sewajarnya dilihat sebagai rentetan kepada kerja utama dan yang paling besar dalam isu Palestin-Israel, pembebasan Al-Quds. Memetik kata-kata Khalid Mash'al "Kemenangan kita dalam pertukaran tahanan Palestin dengan Israel tiada tukar gantinya dengan perjuangan kita membebaskan Baitulmaqdis. Ia tiada tukar gantinya dalam perjuangan kita untuk terus mara bagi mendirikan sebuah negara Palestin yang mnjadikan Al-Quds sebagai ibu negaranya.."

Hasil usaha ini, Hamas dlihat memberi political boost kepada gerakan tersebut setelah Fatah melalui Mahmoud Abbas berjaya membawa euphoria kepada rakyat Palestin berikutan ucapan gesaan kepada pengiktirafan Palestine di PBB. Hamas di sebalik tekanan dari luar dan dalam, dari wilyah sempit dan sesak di Gaza, berjaya mengatasi segala hasil dari cita-cita dan matlamat perjuangan yang jelas. Kata pepatah 'The greatest things started somewhere'

Jika kita mahu membuat pertalian secara langsung pertukaran tahanan ini dengan Perjanjian Hudaibiyah kita mampu menemui pada political will pimpinan Islam yang menerajui kedua-kedua kerajaan ini.

Kewujudan setahun jagung pentadbiran negara Madinah yang diterajui oleh Nabi Muhammad s.a.w berjaya mengheret kuasa besar Tanah Arab ketika itu, kaum Quraisy, yang mengusai kota penting Mekah dari sudut politik dan ekonominya duduk berunding semeja. Jelasnya, membuktikan bahawa, Madinah mempunyai suatu peranan strategik yang digeruni oleh Quraisy. Meski pemerintahan Madinah masih belum lagi mempunyai sejarah kegemilangan seperti Quraisy yang berakar lama melangkaui 600 tahun, Madinah berjaya menggugat status quo tersebut. Begitu juga Hamas, hayat pemerintahannya di Gaza jauh lebih singkat berbanding kuasa besar Israel yang bermaharajelela secara haram di Palestin, namun kewujudan Hamas berjaya merubah pendekatan dan polisi ganas Israel terhadap penduduk Palestin. Israel berjaya dipujuk untuk menyutujui perjanjian dengan nisbah yang begitu besar ini (1:1027) hasil kebijakan dan kepintaran Hamas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan