Selasa, 25 Oktober 2011

BILA BANYAK YANG TAK MENJADI...MALAH MEROSAKKAN DIRI DAN KUMPULAN....

UIA tarik balik penggantungan Aziz Bari | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Penggantungan tugas terhadap pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Abdul Aziz Bari ditarik balik serta-merta hari ini.

Peguam beliau Dr Zulqarnain Lukman berkata, makluman penarikan balik itu diberitahu unit perundangan menerusi satu surat yang difakskan petang tadi.

Sehubungan itu juga Aziz Bari diarah melapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang kampus itu esok.

“Surat diterima petang sekitar 6.30 petang, selepas kami hantar respons kepada surat tujuk sebab petang tadi, ia ditandatangani oleh pegawai unit perundangan... UIA arah Prof Abdul Aziz Bari lapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang,” kata Zulqarnain dipetik The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata beliau, surat petang ini menyebut bahawa siasatan akan dijalankan tetapi hanya penggantungan tugas ditarik balik.

Zulqarnain memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai unit perundangan hari ini bahawa siasatan pihaknya sudah selesai dan akan meneliti penjelasan Aziz yang diserahkan petang tadi.

“Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh pegawai dari unit perundangan UIA, mereka akan meneliti penjelasan Prof Aziz dan akan memberikan jawapan... keputusan mereka sama ada akan mengambil tindakan susulan, meneruskan tindakan, berhenti di sini (setakat surat tunjuk sebab) atau sebaliknya,” kata Zulqarnain.

Beliau menghantar surat penjelasan Aziz, menjawab surat tunjuk sebab UIA, kira-kira 3 petang tadi.


Bina bazar rakyat bantu tingkat daya saing IKS | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Pihak kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diminta memperbanyakkan bazar rakyat bagi membantu pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini.

Dalam masa yang sama, kementerian terbabit disaran supaya melakukan pelbagai usaha bagi mempertingkatkan daya saing di kalangan pengusaha IKS untuk membolehkan mereka maju seiring dengan pencapaian hypermarket.

Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib (gambar) berkata, kini para pengusaha IKS menghadapi kerumitan yang amat sangat sehingga sesetengahnya terpaksa "gulung tikar" ekoran persaingan sengit dengan hypermarket.

Menurutnya, untuk membolehkan mereka memasarkan barangan yang dikeluarkan di hypermarket pula, mereka terpaksa menghadapi cabaran getir disebabkan deposit terlalu tinggi yang dikenakan oleh pihak terbabit.

Katanya, fenomena itu jika tidak diatasi akan menyebabkan lebih banyak IKS yang akan gulung tikar pada masa akan datang.

"Jadi untuk membolehkan IKS terus hidup, pihak kementerian perlu membina bazar rakyat dan mempertingkatkan daya saing untuk mereka," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Di samping itu, beliau menyarankan pihak kementerian mengadakan sistem yang lebih konkrit bagi pengeksportan produk halal hub terutama ke negara-negara Timur Tengah.

Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan usaha-usaha lebih berkesan yang akan dilakukan bagi membantu pengusaha IKS memasarkan produk mereka.

Pertanyaan itu dikemukakan memandangkan ruang pasaran yang amat terhad terhadap pengusaha-pengusaha IKS sehingga mereka hampir tidak mendapat tempat terutama di pasaraya-pasaraya besar.

Ketika menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim turut menghargai pendedahan tersebut.

IMenurut Rohani, ia merupakan satu maklum balas yang diperlukan oleh pihak kementerian untuk membolehkan pihaknya menyusuli dengan langkah-langkah yang sewajarnya bagi kepentingan IKS di tanah air.


Kg Baru: Gelojohnya kerajaan gadai tanah orang Melayu
Zulhazmi Shariff

Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (RUU PPKB 2011) baru sahaja diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2011 yang lepas. RUU PPKB 2011 ini perlu melalui proses perundangan biasa iaitu perlu dibahaskan di Dewan Negara yang akan bersidang sesudah Dewan Rakyat selesai bersidang pada Disember 2011 nanti. Apabila dibahaskan di Dewan Negara dan jika diluluskan, RUU PPKB 2011 tersebut perlu dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan Baginda. Setelah diperkenankan Ke Bawah Duli Tuanku, maka barulah Kerajaan boleh mewartakan penguatkuasaan RUU PPKB 2011 menjadi Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011.

Demikianlah prosedur sesuatu Rang Undang-Undang menjadi Akta yang akan mempunyai kuasa di bawah undang-undang. Selagi tidak diluluskan dan tidak diwartakan, sesuatu Akta tidak mempunyai apa-apa kuasa penguatkuasaan. MALANGnya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) nampaknya tidak mempedulikan semua prosedur ini lantaran kegelojohan mereka ingin menjarah tanah Kampong Bharu milik orang-orang Melayu yang dijamin oleh Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950 (Malay Agricultural Settlement Enactment 1950).

Pada 19 Oktober 2011, KWPKB telah mengadakan suatu perjumpaan tertutup di antara KWPKB dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang kononnya mempunyai kepentingan di Kampong Bharu dan juga Lembaga Pentadbir Kampong Bharu (Lembaga MAS) serta Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) yang terlibat secara langsung dalam pembangunan Kampong Bharu. Perjumpaan tertutup tersebut diadakan di Aras 7 Kementerian Wilayah Persekutuan Putrajaya. Pada sidang media selepas perjumpaan tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dengan bangganya memaklumkan bahawa KWPKB akan menubuhkan suatu pasukan interim dengan peruntukkan geran sebanyak RM15 juta bagi memulakan kerja-kerja awal pembangunan Kampong Bharu. Beliau dilaporkan berkata “Justeru tak kan kita nak tunggu selesai baru nak bangunkan kawasan itu”.

Kegelojohan amat ketara di pihak Menteri yang tidak sabar-sabar hendak masuk ke Kampong Bharu meneroka tanah orang Melayu sedangkan pemilik dan pewaris tanah masih belum mendapat maklumat pembangunan bagaimana akan dilakukan oleh Kerajaan. Malah pemilik dan pewaris juga tiada pengetahuan tentang cadangan ini. Kementerian hanya mengambil pandangan NGO-NGO yang disebutkan terdahulu iaitu PAKAM (Persatuan Anak-Anak Kampong Bharu) dan PPKB (Persatuan Permbangunan Kampong Bharu) yang kedua-duanya tiada sebarang lokus untuk mewakili pemilik dan pewaris tanah. Siapa NGO-NGO ini yang beriya-iya benar hendak membangunkan tanah Kampong Bharu sedangkan selama ini mereka hanya ibarat “hidup segan mati tak mahu”? Mereka hanya muncul apabila cadangan pembangunan ini disebut-sebut oleh Menteri. Ada udang di sebalik batu kah mereka ini?

KWPKB, walau pun sedar RUU PPKB 2011 masih belum diluluskan oleh Dewan Negara dan masih belum dipersembahkan kepada Ke Bawah Duli Yang DiPertuan Agong untuk diperkenan malah lebih jauh lagi masih belum diwartakan, begitu gelojoh telah menimbang-nimbang melantik suatu pasukan interim dengan peruntukkan kewangan sebanyak RM15 juta bagi kerja-kerja awal. Sekali lagi jelas begitu gelojohnya mereka. Rang Undang-undang belum pun diluluskan, mereka sudah berkira-kira untuk meneroka tanah orang Kampong Bharu.

Peruntukkan geran RM15 juta tersebut juga menimbulkan persoalan. Bagaimana peruntukkan geran tersebut dibuat? Peruntukkan RM15 juta tersebut disalurkan kepada siapa? Pasukan interim yang dimaksudkan belum ditubuhkan tetapi dimaklumkan bahawa sebanyak RM9 juta daripada peruntukkan tersebut telah digunakan. Bagaimana peruntukkan tersebut digunakan? Siapa yang membelanjakan RM9 juta peruntukkan tersebut? Adakah Kementerian atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau NGO-NGO tersebut? Jika peruntukkan RM9 juta telah digunakan sebelum pembentukkan pasukan interim dan pembentukan Perbadanan, maka kenapa perlu disebutkan?

Pengumuman penubuhan suatu pasukan interim ini juga dengan jelas menunjukkan bahawa KWPKB telah mendahului Parlimen dan Yang Dipertuan Agong. Bagaimana boleh ditubuhkan dan diwujudkan suatu pasukan bagi menjalankan sesuatu tugasan dengan peruntukkan kewangan sedangkan Akta yang mengawal Perbadanan yang dimaksudkan masih belum diluluskan? Adakah ini cara Kerajaan mentadbir negara? Perundangan masih belum diluluskan dan belum dikuatkuasakan tetapi peruntukkan telah dibuat malah telah pun dibelanjakan? Ini jelas suatu tindakan menghina institusi Parlimen dan institusi Istana malah suatu tindakan yang melanggar perundangan negara.

Menteri juga menyatakan bahawa pihak Kementeriannya sedang dalam perbincangan bersama NGO-NGO dan GLC-GLC berkaitan tentang bentuk pembangunan yang akan dilakukan di Kampong Bharu. Sekali lagi jelas menunjukkan bahawa hak pemilik dan pewaris tanah tidak diambilkira malah diketepikan begitu sahaja. Pembangunan Kampong Bharu hanya mengambilkira pandangan NGO dan GLC sedangkan mereka ini tiada apa-apa kepentingan langsung berbanding pemilik dan pewaris tanah. Adakah pemilik dan pewaris tanah dilibatkan di dalam perbincangan pembangunan? SILA AMBIL PERHATIAN bahawa tanah yang hendak dibangunkan itu adalah milik pemilik dan pewaris tanah, bukannya milik NGO atau GLC. Bagaimana jaminan yang diberikan Menteri sebelum ini bahawa hak pemilik dan pewaris tanah diambilkira sedangkan pandangan hanya diambil daripada NGO dan GLC? Sekali lagi nyata dan terang bahawa semua jaminan yang disebutkan sebelum ini hanyalah omong kosong sahaja.

Kenapa begitu gopoh dan gelojoh hendak membangunkan tanah Kampong Bharu sehingga pemilik dan pewaris tanah tidak diberikan maklumat terperinci tentang Rang Undang-undang dan bentuk pembangunan yang hendak dilaksanakan? Pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu seharusnya sedar dan membuka mata dengan tindakan gelojoh dan gopoh pihak-pihak ini. Jangan biarkan tanah milik orang Melayu dan harga diri orang Melayu diperkudakan pihak-pihak tertentu yang hanya memikirkan keuntungan mereka semata-mata tanpa memikirkan kelangsungan hidup dan maruah bangsa.

Penulis adalah Penasihat Undang-Undang Sekretariat Pembangunan Kampung Baru.


iHarakah dilancarkan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Oktober: Harakah memperkenalkan satu lagi produk baru, iHarakah untuk pengguna teknologi Anroid sama ada dalam bentuk iphone dan galaxy mobile.


'Soft launch' iHarakah telah disempurnakan oleh YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan sempena dengan perasmian Persdiangan ICT dan Media Baru 2011 (PIMB2011) di Dewan Datuk Ust Fadhil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Gombak, Selangor pada 22hb. Oktober, 2011

Pengurus IT Harakah, Suhaimi Embong ketika ditemui sewaktu rehat persidangan tersebut memberitahu Harakahdaily, pada peringkat permulaan ini, versi Beta iHarakah akan mengandungi bahan-bahan yang dimablil dari BM Terkini dan EN Latest dari portal berita Harakahdaily/BM dan Harakahdaily/EN, video dari TV PAS, Kolum Mursyidul Am, Kolum Presiden dan Twitter.

“Unit IT Harakah mmerlukan tempoh kuranglebih 2 minggu lagi selepas soft launch ini untuk membolehkan perngguna-pengguna mobile mengdownloadkan versi Beta iHarakah dari pasaran Anroid (Anroid Market)” katanya kepada portal Harakadaily.

Jika ada sebarang masalah, pengguna boleh menghubungi Unit IT Harakah, 03-40213343 atau emel kepada rusly@harakah.net.my

Dari Sham Kamikaze ke Lau Kana Bainana | Print |
Ahmad Lutfi Othman
Petang Khamis lalu, semasa singgah di Masjid Bukit Indah, Ampang, saya tertarik dengan poster warna-warni yang ditampal berdekatan pintu utama. Forum agama, "Syoknya Islam", di SUrau Pandan Indah, menampilkan beberapa personaliti seperti Sham Kimakaze, Diana Amir dan Irma Hasmie.

Poster seumpama itu bukan perkara asing lagi. Kini, sepanduk, kain rentang dan risalah yang mempromosi aktiviti keagamaan artis-artis terkenal tanahair mudah dilihat di mana-mana. Kalau dahulu, nama-nama yang kita dengar sekadar Akil Hay, Wardina, Noor Kumalasari, Waheeda, Aishah, kini senarainya lebih panjang.

Selain Bob Lokman, saya cepat terkesan dengan beberapa selebriti yang dikatakan sama-sama "berhijrah" seperti Iwan Syahman, Rahmat Ekamatra dan Catriona Ross.

Semasa membelek sisipan Utusan Malaysia, Mega, edisi Khamis itu juga, dua lagi nama artis lelaki dilaporkan "membuat anjakan pada penampilan dan cara hidup yang lebih mengikut hukum syarak", iaitu Abdullah Ahmad (Lah) dan Mohd Aizam Mat Saman (Adam VIP).

"Ketika mengikuti kelas agama bersama Ameer Ruffedge dan Zaf, buat pertama kali saya mendengar qasidah dan hati ini terus jatuh cinta kerana kemerduannya. Dalam qasidah ada jaz, R&B dan ia membuatkan saya menitis air mata kerana irama seindah itu tidak pernah dipandang," kata Lah.

Segera saya teringat, semasa menjadi editor majalah Muslimah, hampir 20 tahun lalu, saya pernah meminta wartawan menemuramah penyanyi Rahimah Rahim, yang mencipta kejutan dengan memilih untuk menutup aurat.

Majalah yang saya terajui, Wasilah, sekitar tahun 2000 juga memilih Fauziah Ahmad Daud sebagai hiasan muka depan, juga selepas memakai tudung. Ogy turut berkunjung ke pejabat saya di Medan Idaman, Gombak, yang turut menerbitkan majalah proreformasi, Detik dan siri akhbar politik tidak berkala. Wasilah dan Detik kemudiannya diharamkan KDN.

Melalui buku Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung, dirakam pengalaman Noor Kumalasari: "Bukan saja saya bertudung, malah saya rasa perlu berpakaian seperti dituntut Allah, bajunya longgar, daripada kain berwarna yang tidak jarang akhirnya muncullah fesyen hitam lebar... Hijab memberi kesan besar ... Saya rasa Allah sangat dekat dan saya tidak ingin kehilangannya."

Fenomena para artis tanahair "berhijrah" menghayati cara hidup Islam memang perkembangan mengembirakan. Banyak pihak melihat kehidupan selebriti terkemuka mempunyai pengaruh besar ke atas kehidupan anak-anak muda. Mereka dikatakan mudah terpengaruh dan terikut-ikut gaya hidup personaliti yang mendapat liputan meluas media.


Ada artis yang terlibat, terutama wanita, memilih untuk berundur terus daripada alam hiburan. Mungkin itu adalah pilihan terbaik bagi memastikan dapat "menjaga iman dan keyakinan" sebaiknya. Namun, ada yang berpendapat, bakat alam itu perlu dimanfaatkan di atas "jalan dakwah" atau cuba "memperbetulkan dunia seni yang kelam-kabut" itu.


Iwan, dalam interbiu dengan Harakah mengingatkan, artis kembali kepada Islam bukanlah menjadi sekadar trend sahaja. Beliau tidak mahu ketika orang nak dakwah, semua nak dakwah, tutup aurat juga begitu, tetapi ia hanya sementara dan akhirnya kembali seperti asal.


Catriona turut melakukan muhasabah diri yang baik dan cukup merendah diri. Katanya, untuk melakukan perubahan adalah mudah, namun untuk mengekalkan perubahan itu sangat payah.

"Untuk itu, saya rasa sambil kita berubah, kita perlu mencari ilmu supaya lebih memahami. Pilih sahabat yang baik, hadiri majlis-majlis ilmu termasuk usrah dan banyakkan berdoa agar Allah tidak memesongkan hati kita," ujar pelakon yang nama penuhnya Catriona Norhayati Rose Bahrin.


Irma Hasmie juga mempunyai pendapat sama. Cabaran utama baginya adalah untuk kekal istiqamah dengan perubahan itu. "Apa pun, semuanya bergantung kepada niat asal. Segalanya hanya kerana Allah," tegasnya. Irma juga menekankan kepentingan sentiasa berdoa kepada Allah untuk ditetapkan hati dan menguatkan tekad dalam proses penghijrahan itu.

Secara peribadi saya tidaklah sampai ke peringkat "mahu membebankan" personaliti berkenaan. Alhamdulillah jika mereka berminat atau terdorong untuk menyuburkan kerja-kerja dakwah. Namun sekiranya tidak berkemampuan, sudah cukup baik jika mereka dapat berkongsi pengalaman menemui hidayah dan melayari dunia baik dengan audien yang lebih ramai.

Dunia seni juga masih mempunyai ruang cukup luas yang perlu "diisi dan dibersihkan" seadanya, atau sekurang-kurangnya "tidak dikotori" lagi. Misalnya, bukankah lagu-lagu bermesej ketuhanan dan kemanusiaan, yang dinyanyikan, antara lain oleh Ramli Sarip, M Nasir, Ito, Amy Search dan tentunya tidak terkecuali Mawi serta artis-artis nasyid lainnya juga begitu menghiburkan dan perlu dimartabatkan secara lebih mantap dalam dunia muzik tanahair?

Saya melihat perkembangan menarik mengenai "penghijrahan" artis-artis ini apabila mereka mewakili pelbagai sektor dalam dunia hiburan. Ya, ada penyanyi, pelakon dan juga pemuzik terkenal seperti Sham Kimikaze yang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi.


Saya mengingati penampilan istimewa Sham dalam beberapa persembahan utama TV, misalnya Akademi Fantasia. Gayanya mengetuai barisan pemuzik menarik sekali; ada keunikan dan aura tersendiri.

Membaca wawancara Harakah terbaru dengannya, saya rasa terharu, terutama apabila Sham menyentuh soal dugaan dan cabaran semasa berdakwah: "Jangan mengeluh ... Jangan bila nak berdakwah, Allah uji sikit sahaja, kita terus cabut lari. Kita berpegang kepada sirah Nabi. Walaupun ada rintangan, kita masih boleh menyampaikan dakwah."


Selain itu, lebih penting lagi adalah medium untuk menampung "penghijrahan" mereka itu. Tentulah tidak cukup sekadar radio Ikim, stesen TV Al-Hijrah dan Astro Oasis misalnya. Saya lebih menekankan peluang dan ruang yang perlu dihampar oleh kerajaan-kerajan negeri Pakatan Rakyat, yang boleh memainkan peranan lebih besar.
Untuk mereka berkongsi pengalaman syahdu dan berdakwah, rasanya tidaklah begitu sukar. Badan-badan dan institusi formal Islam serta surau-masjid pastinya cukup mengalu-alukan rakan-rakan artis kita itu. Cuma yang saya bimbangkang ialah medan untuk mereka berkarya. Sediakan gelanggang secukupnya untuk mereka terus menghibur secara Islami itu.

Dan usah lupa, "pengisian baru" ini akan tempang jika tenaga di sebalik tabir -- misalnya pencipta lagu atau penulis lirik, juga pengarah dan penulis lakon layar -- tidak bersama-sama menghayati konsep seni Islam.

Saya pernah terbawa-bawa rasa marah sampai terganggu tidur, selepas menonton teater atau drama yang dikatakan berunsurkan Islam tetapi membawa "mesej menyesatkan". Imej pendakwh atau orang yang kembali ke jalan benar masih diberikan persepsi stereotaip, seperti tidak beradab dengan ibu bapa, kasar ketika menyeru kepada kebaikan dan fanatik melulu kepada ketua. Ya, kita begitu ketandusan penerbit dan pengarah, yang dapat memahami bagaimana bentuk hiburan yang mendidik jiwa.

Terus-terang, saya belum dapat melihat siri drama TV kita yang setanding dengan sinetron Para Pencari Tuhan, karya Deddy Mizwar, yang menyampaikan pesan agama secara santai dan menghiburkan. Temanya mudah, berkaitan kehidupan harian di kampung, namun terselit nasihat (bukan khutbah) yang mengesankan.

Begitu juga dengan filem Cinta Bertasbih, nukilan Habiburrahman El Shirazy; sedangkan siri drama TV tempatan bertemakan cinta yang melambak sekarang jarang dapat ditemui "keindahan yang kudus". Tentunya saya lebih mengharapkan agar munculnya filem seperti Sang Murabbi, yang mengisahkan mantan Ketua Majlis Syura PKS, Indonesia, KH Rahmat Abdullah ...

Rupanya dalam hal ini, dunia hiburan Islami dan juga karya-karya sastera yang bermutu tinggi, kita masih perlu lebih banyak merujuk kepada Indonesia.

Semasa mengedit kolum ini, saya terdengar lagu Arab yang penuh syahdu dan cukup menggetarkan nurani, sehingga tanpa disedari air mata mengalir, walaupun tanpa mengetahui maknanya dengan sempurna. Lagu "Lau Kana Bainana" menjadi santapan telinga saya tiap hari ... tentang kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan bayangan keberadaannya bersama kita. Begitu mengharukan dan terasa sebak menikam dada.

Bagi saya, ia "kuliah akhlak" yang cukup sempurna.

Selepas meneliti terjemahan lirik "Lau Kana Bainana", masya-Allah, cukup halus dan menusuk ke jiwa paling dalam. Melodinya meresap jauh ke sanubari. Dengarlah ....


BN parti 'rojak' dan 'sayur' | Print |
MOHD RASHIDI HASSAN rashidi@harakah.net.my
SIDANG Parlimen yang bermula awal Oktober lepas, bermula dengan hambar dan kelam kelibut. Kerajaan Umno-Barisan Nasional menunjukkan dengan jelas bahawa mereka tidak mampu menyusun pembentangan Rang Undang-Undang (RUU), Usul mahupun Belanjawan dengan cermat.

Umno-BN seolah-olah diburu bayangan hantu apabila, selepas sehari menarik balik RUU Kg Baru 2010, dikemukakan satu RUU baru dan diluluskan dengan amat tergesa-gesa sehingga Ahli-Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat tidak sempat menelitinya terlebih dahulu.

Begitu juga pembentangan Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kebiasaannya MP dibekalkan dengan buku belanjawan, beserta dengan Laporan Audit Negara, untuk dibahaskan bersekali. Namun kali ini semua peraturan itu dilanggar dan tidak dipatuhi, semata-mata kerana mereka masih mempunyai kuasa majoriti.

Parlimen bukannya sekolah rendah kebangsaan. Sekolah pun ada silibus, ada homework yang diberikan lebih awal untuk murid-murid membuat persediaan. Parlimen tidak harus jadi lebih cacamerba dari sekolah umum buta huruf.

Parlimen adalah sebuah institusi yang tinggi integritinya. Kesucian dan kemuliaannya harus dipertahankan kerana ia merangka, merencana serta menentukan dasar-dasar negara.

Mana mungkin sebuah institusi semulia Parlimen 'dibulldoze' sesukahati ikut sedap hati penguasa yang rakus. Kerakusan penguasa dalam membentang dan meluluskan apa-apa usul di Parlimen khususnya dalam soal Kg Baru, hanya menyerlahkan sikap tamak haloba mereka untuk menjarah harta rakyat.

Umno-BN meminda RUU dan akta, membentangkan Belanjawan secara terburu-buru serta tidak rasional. Seolah-olahnya mereka hendak cepat-cepat mencari dana menampung belanja pilihan raya.

Soal tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) masih lagi menjadi perbualan hangat. Ada yang kata bulan Disember selepas musim haji. Ada yang kata selepas Hari Raya Cina, Februari atau Mac tahun hadapan.

Hakikatnya, pada bila-bila masa pun Umno-BN harus gamble. Mereka sedar, tiada lagi majoriti dua pertiga. Itu dah jadi mimpi. Yang mereka pening sekarang, ialah cuba mencari formula bagaimana hendak mengekalkan kuasa dengan simple majoriti.

Kebimbangan BN terpancar dari perbualan beberapa orang MP BN di satu sudut Parlimen sewaktu rehat. Sambil-sambil menghirup kopi, mereka berbicara tentang masa depan mereka.

"You ingat selepas PRU ini kita masih ada di sinikah?" tanya MP A dari Umno kepada rakan-rakannya.

"Tak taulah, report dari bawah (rakyat) pun macam tak ok, hari tu TPM (Muhyiddin Yassin) turun kat bahagian aku, report kelabu lagi" jawab MP Umno yang lain.

"Aku ingat kerusi Umno ok, parti komponen lain (MCA, MIC, Gerakan) mana boleh jamin," getus MP A tadi.

"Sebab itulah kita minta you orang sikit rasional, kalau tak boleh menang, kasi sama Umno," kata MP Umno lain kepada MP-MP bukan Melayu di situ.

"Haiya, mana boleh itu macam kawan, kita dalam BN mau kasi sama peluanglah," kata MP B dari MCA.

"Betul tu, kitakan 1Malaysia, kita mesti tolong-menolong, kasi hak (kerusi sama) bukan Melayu," kata MP C dari MIC.

"Patut you orang kuat dalam komuniti sendiri. Macam Umno kuat dalam kawasan Melayu. Ini MCA mau lari, Gerakan mau lari, macam mana BN boleh menang," getus MP A, merujuk kepada hasrat Presiden Gerakan dan MCA untuk mencari kerusi selamat.

"Jangan itu macam kawan, kalau macam tu MIC mana ada kerusi majoriti India," getus MP C.

"Itu sebab Zahid Hamidi (Naib Presiden Umno) cakap, parti komponen BN kena rasional, kalau tak boleh menang, kasi kerusi sama Umno la," kata MP A, menegaskan hujah.

"You orang la kena kuat, tarik Cina, India sokong balik BN," getus MP Umno yang lain.

"Haiya kawan, macam mana mau tarik Cina. You Umno sekejap 1Malaysia, sekejap 1Melayu, macam rojak. Susah ini macam maa, Cina lari la," kata MP B sambil berdengus.

"Betul tu, bila polisi Umno sudah macam 'rojak', MCA, MIC, Gerakan jadi 'sayur' lah, habis tak ada future," kata MP C bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun perbualan yang hampir menjadi panas itu terhenti seketika. Masing-masing terdiam apabila loceng masuk ke dewan jam 2.30 petang berbunyi.

Masing-masing bangun perlahan-lahan dari tempat duduk, seperti orang kemalasan, bergerak perlahan-lahan menuju ke dewan. Masing-masing meninggalkan tempat duduk dengan persoalan masa depan yang bersarang di kepala.

Pening memikirkan masa depan diri, masa depan parti yang sudah menjadi 'rojak' dan 'sayur'.

Barangkali mereka sudah mula menerima hakikat bahawa pada sidang hadapan, belum tentu kerusi empuk yang bergelar Ahli Dewan Rakyat, menjadi milik mereka lagi.

Najib disabotaj isu Aziz? | Print |
Ahmad Lutfi Othman

Semasa pemerintahan Najib Razak nampak terkial-kial menyusun program menagih sokongan rakyat, banyak pula insiden menimpa yang makin menyukarnya untuk memulihkan imej BN bagi berdepan pilihan raya umum ke-13.

Beberapa pengumuman transformasi politik, seperti janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada malam Hari Malaysia lalu, menjadi pudar apabila dalam masa sama ia disusuli tindakan-tindakan "keras, tidak demokratik, dan menutup ruang perbahasan secara sihat".

Misalnya, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di bawah Kanun Keseksaan kerana pandangannya berhubung peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1950, ketika berceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Apakah hanya kerana mempunyai pandangan berbeda tentang sejarah perjuangan kemerdekaan negara, maka mahkamah terpaksa dipilih untuk mengadili Mat Sabu, dan bukannya melalui perdebatan, perbahasan atau dialog?

Terkini, tambah membebankan Najib apabila pakar undang-undang perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari, digantung tugas dan dilarang memasuki kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disebabkan pandangan beliau terhadap isu yang berkaitan dengan bidangnya.

Gejala ini bukan perkara baru. Sebelum ini ramai tenaga akademik menerima surat amaran daripada pentadbiran universiti ekoran pandangan atau kenyataan akhbar yang dilihat menimbulkan "kegemparan", walaupun ia menyentuh bidang kepakaran atau hasil penyelidikan mereka.

Hanya kerana isu jerubu melanda negara atau masalah sosial generasi muda, yang ditimbulkan oleh pensyarah dalam bidang berkenaan, mereka boleh mendapat "surat cinta" dan terpaksa "menutup mulut" kemudiannya. Ada juga pensyarah sains politik yang ditegur kerana bercakap dengan pihak akhbar mengenai tuntutan bertindih dengan negara jiran.

Justeru, golongan cendekiawan kita semakin bersendirian, tinggi di menara gading, terpisah dengan realiti masyarakat, ibarat "mati di pucuk". Mereka seperti dilarang menyumbang idea dan menyalur pandangan bernas terhadap pergolakan atau konflik di persekitaran. Waduh ... bukan saja malang berganda tetapi juga membazirkan wang rakyat.

Ternyata, kebebasan akademik dan hak bersuara warga kampus dinafikan serta dicabuli pentadbiran (baru) UIAM. Reaksinya, seperti diduga, merata dan merebak dengan cepat. Suara simpati dan sokongan terhadap Aziz segera tumpah di mana-mana, terutama di laman sosial, facebook.

Dalam waktu singkat, selepas sehari Aziz digantung tugas, aksi protes melalui demonstrasi berjaya digembleng, di UIAM sendiri. Anak-anak muda, mungkin sebahagiannya anak murid beliau, bingkas bangun bersuara lantang. Selama ini kampus Gombak itu tidak pernah mengizinkan kelompok mahasiwa pro-Umno menerajui gerakan pelajarnya.

Ia juga difaktorkan oleh kewibawaan dan keberanian Aziz, yang diakui ramai. Malah beliau pernah membidas keras Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sehingga mencetuskan polemik dalam parti. Suatu bukti Aziz bersuara tanpa takut, tanpa segan.

Dalam mempertahankan Abdul Aziz, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) yang juga prof madya undang-undang, Dr Azmi Sharom berkata, Akta Hasutan sendiri membenarkan kritikan membina terhadap pemerintah.

Baginya, Aziz semata-mata memberi pandangan bahawa seorang raja telah bertindak di luar batasan perlembagaan. Menurut Azmi, ia adalah komen yang sah dengan tiada kenyataan - secara langsung atau tersirat - yang dibuat untuk menimbulkan kebencian terhadap raja.

Setiausaha Agung Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Prof Madya Dr Rosli Mahat turut melahirkan rasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang dikenakan terhadap Aziz.

"Aziz seorang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya menghujah balas secara rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan peribadi," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dari Universiti Oxford, London, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengkritik keras: "Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad. Ia tindakan mengampu dan paling tidak bertamadun dalam dunia akademik. UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran."

Secara peribadi Aziz mudah didekati, tidak lokek idea, dan sebagai pengamal media, saya begitu senang sekali dengan minat mendalamnya terhadap dunia penulisan dan penerbitan. Lebih 10 tahun lalu, semasa saya menerbitkan majalah Detik, Wasilah dan siri akhbar tidak berkala di Medan Idaman, tidak jauh daripada kampus UIAM Gombak, Aziz agak kerap mengunjungi pejabat Penerbitan Pemuda.

Selain bertukar-tukar fikiran dan cerita, Aziz cukup prihatin dengan mutu bahan penerbitan kami. Lebih mengujakan, ziarah beliau bersama-sama bahan yang kami boleh manfaatkan. Bukan sekadar kritikan membina, tetapi juga tulisan yang boleh dikongsi pembaca.

Lama sebelum komentarnya terhadap Sultan Selangor, bicara Aziz menampakkan beliau benar-benar independen. "Selepas Prof Jomo KS ke PBB, saya lihat satu-satunya tokoh pemberani di kalangan ahli akademik adalah Prof Aziz Bari. Hairan ya, dia seperti tidak takut langsung untuk bersuara," kata seorang sahabat lama dari Skudai, Johor.

Saya kira tekanan ke atas pentadbiran UIAM untuk mengambil tindakan ke atas Aziz bukan semata-mata disebabkan kenyataan terakhirnya itu. "Dendam" ini sudah lama meruap. Pihak tertentu hanya menunggu masa sesuai untuk "memerangkapnya".

Apa pun, yang pasti, episod gelita ini bukan sahaja meninggalkan kesukaran berpanjangan buat Najib tetapi telah menggagalkan usaha tungkus-lumusnya membina imej baru BN menjelang PRU13. Tokoh sehebat Aziz tidak rugi apa-apa jika disingkirkan. Peluangnya terbuka luas di tempat lain.

"Soalnya, apakah ini petanda jelas ada perancangan untuk sabotaj Najib daripada dalam? Generasi muda dan masyarakat kelas menengah terkesan dengan isu Aziz Bari ini," kata seorang editor kanan, yang mengakui hairan dengan tindakan drastik UIAM itu.



Isu Aziz Bari, bahana malapetaka ciptaan Umno | Print |
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my
Umno-Barisan Nasional harus diberi peringatan, bahawa mereka bukanlah tuan kepada negara Malaysia, yang sesukahati boleh menguasai dan mencorakkan semua keadaan demi survival politik Malaysia.

Kuasa yang dinikmati sebagai kerajaan selama lebih 50 tahun, menjadikan Umno-BN alpa. Dengan rakusnya mereka 'mencabul kehormatan' insitusi Parlimen, kehakiman, polis dan sebagainya, sehingga majoriti rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap semua institusi ini.

Kerakusan mereka tidak terhenti di situ. Selepas semua agensi dan badan berkaitan kerajaan dipergunakan sepenuhnya untuk kepentingan politik Umno-BN, kini institusi Raja hendak dicorakkan di atas kehendak Umno.

Buktinya jelas. Ada dua perbezaan yang amat ketara di antara perilaku hodoh pemimpin Umno Terengganu yang membuat demonstrasi di hadapan Istana Terengganu, yang dengan jelas menggelarkan Sultan dengan istilah 'binatang', berbanding dengan satu kenyataan umum Profesor Dr Aziz Bari terhadap Sultan Selangor.

Aziz Bari tidak menghina Sultan Selangor. Beliau tidak menggelarnya binatang seperti yang dibuat Umno Terengganu. Sebagai pakar perlembagaan dan perundangan Islam, Aziz Bari hanya mencadangkan supaya Sultan Selangor mengambil tindakan selaras dengan kuasanya sebagai Ketua Agama Islam negeri, iaitu mengikuti tatacara Islam dalam menangani kes DUMC. Itu sahaja.

Adakah kenyataan Aziz Bari itu suatu penghinaan terhadap Sultan? Mengapa beliau harus disiasat polis? Mengapa SKMM menyoal siasat beliau? Dan mengapa UIA bertindak keras sehingga menggantung Aziz Bari? Apa kesalahannya?

Mengapa Umno-BN terlalu jahat untuk mengenakan tindakan tegas terhadap Aziz Bari, sedangkan kenyataannya itu hanyalah bersifat umum dan langsung tidak menjejaskan kemuliaan Sultan Selangor.

Apa yang disuarakan Aziz Bari, jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Umno Terengganu. Kenapa Umno Terengganu, khususnya juak-juak Dato' Seri Idris Jusoh boleh diampunkan? Umno Terengganu dan seluruh kepimpinan Umno yang merestui tindakan 'membinatangkan' Sultan, adalah penderhaka yang amat jijik dan jahat.

Kita berasa amat kesal kerana ada segelintir golongan istana, yang seolah-olah memejamkan mata dengan kejahatan Umno menghina Raja, dan bersikap keras terhadap mana-mana pihak yang cintakan keadilan, hanya kerana mereka pro-Pakatan Rakyat.

Semua institusi yang dipergunakan Umno-BN harus sedar. Kedurjanaan mereka dengan mencipta malapetaka suatu persatu hanya kerana hendak mengikut agenda Umno, untuk menyelamatkan masa depan Umno, akan dihentikan rakyat.

Kuasa rakyat yang bangkit hari ini (21 Oktober) di UIA, hanyalah permulaan daripada kebangkitan yang lebih besar. Soalnya bukan hanya Aziz Bari semata-mata, bukan hanya pencabulan kebebasan akademik yang dipertahankan, tetapi ke arah sesuatu yang lebih besar daripada itu.

Kiat harus memperjuangkan kebebasan akademik, kebebasan mahasiswa bersuara dan seterusnya kita berjuangkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ciptaan Umno yang mengongkong golongan mahasiswa sebelum ini.

Mahasiswa adalah peneraju kepada perubahan dalam negara. Ayuh bangkit bersama Pakatan Rakyat! Kita perbetulkan sistem akademik dengan mengembalikan martabat universiti dalam negara, kita rebahkan Umno-BN, agar semua institusi dan agensi kerajaan dibebaskan daripada belengu kerakusan orang politik.

Mahasiswa bangkit, negara merdeka!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan