Jumaat, 14 Oktober 2011

BIASALAH TU...HUKUM ALLAH DITENTANG DIRAGUI...SYAITAN TAK KAN DUDUK DIAM...JANGAN ORANG ISLAM RAGU DAN MENENTANGNYA...MAKA ROSAKLAH IMAN@AKIDAH...

Hudud: PAS panggil Pang Chow | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Ekoran beberapa kenyataan media yang dilihat tidak selari dengan dasar parti, PAS hari ini bertindak untuk mendapatkan penjelasan sebenar daripada pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chow atas dasar mengeratkan muafakat dan sangka baik dalam parti.

Dalam satu kenyataan hari, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Jawatankuasa PAS Pusat akan memanggil Hu dalam masa terdekat untuk memberi maklumat sebenar berhubung beberapa kenyataan terbuka beliau di media yang dilaporkan tidak selari dengan dasar parti.

“Sebagai sebuah parti politik yang besar, kita memahami terdapat kadang-kala berlaku salah lapor dalam media berhubung beberapa kenyataan pimpinan. Oleh kerana itu, jalan terbaik ialah mendapat penjelasan langsung dari yang terlibat,” kata beliau.

Kebelakangan ini, kenyataan Hu yang mempertikaikan keinginan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud telah dimainkan secara hangat di media arus perdana. Awal minggu ini, akhbar Sinar Harian hari telah menyiarkan di muka depannya laporan kenyataan Hu yang kononnya 20,000 ahli DHPP akan keluar meninggalkan PAS jika hudud dilaksanakan.

Hu bagaimanapun telah menafikan sekeras-kerasnya ugutan tersebut dan berkata beliau sebagai “salah seorang pengasas kelab penyokong PAS yang kini menjadi DHPP, tidak ada sebab saya buat demikian.”

Tuan Ibrahim berkata PAS tidak menafikan sebagai parti yang besar, parti Islam tersebut juga dilanda pelbagai isu dalaman.

“Atas dasar itu, PAS sudahpun mempunyai pelbagai saluran parti untuk mendapatkan maklumbalas dan penjelasan tentang sesuatu isu dalaman.

Diharapkan ahli-ahli PAS dan DHPP boleh menggunakan saluran ini untuk mendapatkan penjelasan kepada isu-isu yang bersifat dalaman, yakni jabatan penerangan akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin,” kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menasihatkan semua ahli PAS and DHPP untuk bersangka baiklah sesama sendiri untuk membawa kemajuan dalam parti.

“Ruang demokrasi dalam PAS adalah besar, namun apabila ia melibatkan isu dalaman, disarankan agar semua ahli selesaikan secara demokrasi di dalam parti. Jangan jadikan isu dalaman menjadi isu luaran yang seringkali diambil kesempatan oleh musuh untuk menyerang parti. Jangan sesekali bagi media perdana, terutamanya yang dikuasai musuh, peluang untuk ‘mengadakan yang tiada dan memperbesarkan yang kecil’ lebih-lebih lagi dalam keadaan PRU13 semakin mendekat,” nasihat beliau.

Beliau juga menyeru agar seluruh jentera parti menumpukan usaha mempertahankan kemenangan yang telah dicapai serta meningkatkan usaha bagi mencapai kemenangan menyeluruh dalam PRU13 nanti. Tuan Ibrahim juga menasihatkan kesemua ahli PAS and DHPP bahawa kemuncut-kemuncut dalam perjuangan seharusnya tidak menjadi dan dijadikan alasan untuk mengganggu fokus dan tumpuan kerja.

“Dalam situasi parti sedang membuat persiapan akhir bagi memperkemaskan jentera pilihanraya umum, sewajarnya semua ahli PAS dan DHPP perlu mengeratkan kerjasama dan muafakat untuk menghadapi musuh. Senjata perlu dihalakan kepada musuh,” nasihat beliau lagi.


Ambil tanah: Kerajaan perlu bersihkan nama | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan Malaysia menyiasat dakwaan kononnya Malaysia telah mengambil tanah 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

“Dakwaan ini telah mengakibatkan kemarahan kepada rakyat Indonesia dan akibatnya mereka mengadakan demontrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta,” ujar ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Justeru itu, katanya DPPM meminta kerajaan segera membersihkan namanya melalui kenyataan rasmi berhubung isu itu.

Dakwaan itu, ujarnya amat serius dan ia berkaitan dengan kedaulatan negara Malaysia dan Indonesia walaupun ia tidak berasas.

DPPM, ujarnya lagi tidak mahu negara Malaysia dikaitkan dengan skandal di peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini, tambahnya kerajaan perlu menjelaskan keadaan sebenar kepada kerajaan Indonesia agar jangan disalahtafsir atau menimbulkan persepsi buruk terhadap negara jiran.

DPPM juga, katanya meminta pihak tempatan yang menyebarkan dakyah tersebut bertanggungjawab terhadap isu itu.

Menurutnya, umum mengetahui hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama di mana kedua-dua negara ibarat saudara yang berasal dari suatu rumpun Melayu di Nusantara ini.

Katanya, ramai warga Indonesia menetap dan bekerja di negara ini, malah ramai yang telah mendapat status warganegara Malaysia.

“Kita berkongsi sempadan perairan dengan negara jiran. Permusuhan atas dasar apa sekalipun perlu dielakkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Oleh yang demikian, katanya DPPM mengharapkan isu itu mampu diselesaikan dengan baik di meja rundingan.

Tambahnya, DPPM bersetuju kerajaan menghantar nota diplomatik meminta penjelasan kepada kerajaan Indonesia terhadap insiden itu.

Katanya, Kerajaan Indonesia pula perlu memberi jaminan bahawa insiden itu tidak akan berlaku dan mengawal para demonstran agar tidak merosakkan peralatan serta kawasan kedutaan.

Selain itu, ujarnya DPPM meminta kerajaan melindungi para diplomat serta rakyat Malaysia di Indonesia.

DPPM, katanya bimbang mereka akan dicederakan di masa hadapan jika tidak ada kawalan keselamatan yang ketat terhadap mereka.

“Jika keadaan ini berlarutan dan keadaan terus tidak terkawal, kerajaan tidak perlu teragak-agak untuk membawa pulang Duta Besar Malaysia di Indonesia bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya lagi.


Amoi MCA, ustazah Gombak dan bajet Najib
Ahmad Tajdid

MENURUT istilah MABBIM, 'window dressing' ditakrifkan sebagai 'peraga hias' manakala Kamus Bahasa Inggeris DBP pula mentakrifkannya sebagai 'muslihat untuk menutup mata'.

Di bidang pentadbiran, 'window dressing' ditakrif sebagai; "Memanipulasi angka dalam penyata kewangan untuk memaparkan kedudukan kewangan yang lebih kukuh daripada yang sebenarnya". Manakala di bidang pentadbiran perniagaan, ia dihuraikan sebagai; "Strategi pengurus dana yang merubah pegangan mereka dengan tujuan menunjukkan portfolio pelaburan yang disenangi oleh pemegang unit. Ini biasanya dilakukan pada akhir tahun, iaitu dengan menjual saham spekulatif dan membeli saham teguh".

Begitulah kompleksnya pengertian 'window dressing' mengikut takrifan DBP.

Tapi adakah 'window dressing' juga diamalkan dalam bidang politik?
Jawapannya sudah pasti ada. Walaupun DBP tidak memberikan takrifan khusus berhubung pengertian 'window dressing' atau 'peraga hias' dalam konteks politik, episod-episod di bawah mungkin boleh membantu pembaca memahaminya.

Baru-baru ini, kehadiran beberapa gadis jelitawan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda MCA menjadi tajuk utama akhbar berbahasa Cina. Kehadiran amoi yang pada mulanya dikatakan sebagai anggota Beliawanis MCA itu mencuri tumpuan umum kerana mereka bukan sahaja berarak masuk ke dewan persidangan, malah duduk di barisan paling hadapan.

Beliawanis adalah cabang Wanita MCA khusus untuk wanita yang berumur 18 hingga 35 tahun.

Beberapa blog kemudiannya membuat ulasan sendiri. Blogger-blogger terbabit tidak percaya wanita muda berkenaan anggota Beliawanis MCA dan mendakwa mereka sekadar penghias majlis.

Terhimpit dengan dakwaan-dakwaan nakal itu dan keghairahan media untuk menemubual 'enam gadis misteri' yang menjadi tumpuan utama perhimpunan agung (AGM) Pemuda MCA itu, Ketua Pemuda MCA Selangor, Dr Kow Cheong Wei menjelaskan bahawa amoi-amoi terbabit "masih menunggu kelulusan keahlian mereka".

"Ada di antara mereka adalah ahli, sebahagiannya lagi telah memohon menjadi ahli, dan telah menyerahkan borang keahlian tetapi masih belum diluluskan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, Kow berkata, ia bukan satu isu kerana mereka dijemput sebagai pemerhati dan bukan sebagai perwakilan.

"Sebenarnya kami menjemput ramai pemerhati, kami menghantar surat kepada bahagian, cawangan dan beberapa universiti untuk majlis perasmian (membuka sayap itu kepada wanita), tetapi mereka perlu mendaftar," ujarnya.

Berang dengan tuduhan beberapa pihak khususnya para blogger bahawa amoi-amoi itu diupah sebagai 'window dressing', Ketua Pemuda MCA, Dato' Wee Ka Siong cuba mengalih isu.

Wee dilapor menyelar tindakan 'blog propembangkang' yang didakwanya sengaja memaparkan gambar lucah wanita dan mengaitkannya dengan Beliawanis MCA.

"Sebagai Ketua Pemuda saya sangat sedih dengan gelagat dan tindakan yang jelas tidak berertika itu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, 11 Oktober lalu.

Wee berkata beliau menerima laporan daripada Beliawanis MCA mengenai perkara itu dan ada di antara anggotanya yang menangis kerana dimalukan sedemikian rupa.

"Adakah menjadi satu kesalahan untuk mereka menyertai politik dan menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) sebagai pendedahan hingga menjadi sasaran pembangkang?" kata Wee.

Terpulanglah kepada pembaca sama ada ingin mempercayai alasan diberikan Wee itu.

Berlainan pula di Rawang. Kali ini membabitkan ustaz dan ustazah yang mengajar matapelajaran Pendidikan Agama Islam (PAI). Beberapa hari sebelum Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mengadakan lawatan kerja ke Rawang, seluruh tenaga pengajar PAI di daerah GOmbak menerima surat daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk mengikuti kursus setengah hari di SRJK(C) Kundang.

Tempat kursus itu berlangsung juga menimbulkan tanda-tanya kerana banyak lagi sekolah menengah agama di daerah Gombak yang boleh dijadikan lokasi kursus. Bagaimanapun atas dasar menurut perintah, ratusan tenaga pengajar PAI berkumpul di dewan SRJK(C) Kundang bagi mengikuti kursus hujung minggu pada pagi 8 Oktober, sehari selepas Bajet 2011 dibentangkan Najib di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun menjelang tengahari, tumpuan guru-guru PAI itu mula terganggu apabila sedikit demi sedikit perkarangan dewan tersebut mula dipenuhi orang ramai. Kebanyakan yang hadir memakai baju-T tertera logo 1Malaysia. Secara tiba-tiba, segerombolan petugas tampil ke atas pentas dan secara bersahaja menggantikan sepanduk (banner) yang dijadikan latar pentas (backdrop) kursus sehari itu dengan sepanduk baru yang mengalu-alukan kedatangan Najib.

Para peserta kursus tidak dapat meninggalkan dewan kerana kehadiran semakin ramai penyokong BN manakala kereta yang mereka letakkan di luar dewan telah dihalang oleh kenderaan yang baru tiba. Akhirnya dengan iringan tarian singa dan gendang India, Najib pun muncul disusuli para penyokong BN dari kalangan masyarakat Cina dan India. Maka ustaz dan ustazah dari seluruh daerah Gombak yang terperangkap di dalam dewan SRJK(C) Kundang itu berjaya menjadikan majlis tersebut benar-benar berimej 1Malaysia!

Tahniah diucapkan kepada PPD Gombak kerana buat kesekian kalinya berjaya 'memperkakaskan' guru-guru untuk kepentingan politik BN! Mungkin apa yang dialami para ustaz dan ustazah itu menjadi contoh betapa pentingnya 'window dressing' dalam kempen politik BN walaupun ia dilakukan dengan penuh tipu helah dan berunsur eksploitasi melampau.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Najib mengumumkan beberapa projek bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan BN pusat terhadap penduduk tempatan. Antara yang diumumkan Najib adalah projek segera jalan menghubungkan Kundang dan Bandar Tasik Puteri bernilai lebih RM4 juta. Jalan penghubung itu diharap dapat memudahkan penduduk untuk ke ibu kota dengan menggunakan lebuhraya baru Kuala Lumpur-Kuala Selangor (KLKS Expressway).

Walaupun projek itu memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk di Bandar Tasik Puteri dan kawasan berdekatan yang saban hari terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalulintas untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), projek jalan penghubung Kundang-Bandar Tasik Puteri itu bukanlah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi penduduk. Ini kerana tiada jalan susur keluar (exit) untuk pengguna Lebuhraya KLKS di Kundang walaupun ada jalan susur masuk. Mereka yang ingin keluar ke Bandar Tasik Puteri terpaksa menggunakan exit Puncak Alam dan Kota Puteri yang terletak 4km di hadapan.

Ketiadaan jalan keluar dari lebuhraya KLKS di Kundang juga menimbulkan tanda tanya sedangkan pejabat Adun Kuang, Abdul Shukor Idrus terletak lebih kurang 3km daripada jalan masuk ke lebuh raya tersebut. Mengapakah Abdul Shukor yang juga Ketua Penerangan Umno Selangor tidak melihat kekurangan yang berlaku dan mencadangkan agar laluan keluar dibina di Kundang bagi kemudahan penduduk?

Projek 'window dressing' yang menjadi kebanggaan Umno itu juga tidak menjawab isu sebenar iaitu kegagalan kerajaan BN pusat melaksanakan projek menaik taraf dan melebarkan semua Jalan Persekutuan dalam kawasan Rawang iaitu Jalan FT3209, FT01 dan B27 dari Selayang–Pekan Rawang–Sungai Choh serta Pekan Rawang-Bandar Country Homes-Bandar Tasik Puteri-Batu Arang–Ijok.

Menurut Adun Rawang, Gan Pei Nei, setiap hari terdapat kira-kira 370,000 kereta yang menggunakan Jalan Persekutuan FT 3209 dari arah Pekan Rawang ke Batu Arang. Kesesakan lalulintas sentiasa berlaku di depan Tol PLUS Rawang.

Pada Disember 2010, Menteri Kerja Raya telah mengumumkan bahawa 9km Jalan Persekutuan tersebut akan dinaik taraf, tetapi pada peringkat terkini, jelas Gan cuma 1.6km yang sedang dibina.

Gan turut menyentuh soal keselamatan yang semakin meruncing di Rawang. Balai Polis Rawang serta bilangan polis yang sedia ada, ujarnya tidak dapat menampung jumlah populasi Rawang yang kini mencecah 200,000 orang. Malah nisbah bilangan polis kepada penduduk Rawang adalah 1:4000 orang, sedangkan kadar yang ideal adalah 1:250.

Beliau mencadangkan sebuah balai polis dibina di Bandar Country Homes bagi meningkatkan tahap keselamatan dan membanteras jenayah di Rawang.

Mengikut Rancangan Pembangunan Rawang, sebidang tanah telah digazetkan untuk membina Balai Polis di Bandar Country Homes, tetapi tidak dapat dijalankan kerana tidak mendapat sebarang peruntukan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Nampaknya lawatan kerja Najib ke Rawang tidak banyak mengubah keadaan dan kekurangan infrastruktur di daerah ini. Ia hanyalah satu lawatan berunsur 'populist' yang mahu mewujudkan 'feel good factors' kepada penduduk tempatan. Episod-episod ini juga dibantu oleh beberapa elemen 'window dressing' bertujuan menggambarkan betapa pentadbiran Najib menerima sokongan rakyat pelbagai kaum. Antara yang menjadi mangsa ialah ustaz dan ustazah di sekitar daerah Gombak!


Beri peruntukan PLKN kepada sekolah | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mendesak agar kerajaan menghentikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilihat gagal membuahkan hasil positif kepada negara selain dapat mengurangkan defisit negara.

Beliau semasa membahas Belanjawan 2012 di Parlimen hari ini berkata, sepatutnya kerajaan mengemaskan intitusi pendidikan dengan menerap balik subjek yang diajar di PLKN bukannya melaksanakan program tersebut.

"Peruntukan sebanyak RM5 bilion yang digunakan untuk PLKN sepatutnya diserap kepada sekolah-sekolah atau membina lebih banyak sekolah-sekolah teknikal dan serapkan juga pelajaran yang diajar ke sekolah dan dengan cara ini penjimatan dapat dilakukan.

"Bagi saya peruntukan yang besar dibelanjakan itu amat merugikan kerana kita tidak nampak hasil yang diperolehi, ia bukan satu angka yang kecil malah saya mendesak agar kerajaan menutup PLKN dengan secara tidak langsung defisit negara dapat dikurangkan," jelasnya.

Tambahnya lagi melalui perancangan yang terancang dilakukan pada awal persekolahan akan lebih baik dari apa yang dilakukan pada program PLKN itu.

"Jika program selama tiga bulan itu berjaya dilakukan dalam membaiki jati diri remaja sepatutnya ia diserap ke dalam alam persekolahan lebih awal lagi bukannya melalui PLKN dengan ini peruntukan yang besar itu boleh digunakan untuk manfaat bagi sektor lain juga selain menaikkan martabat persekolahan," katanya.

Tiada jaminan harga barang tak naik

Mahfuz juga memberitahu bahawa kerajaan sehingga kini melalui belanjawan yang dibentangkan itu tidak dapat memberi jaminan bahawa pada tahun hadapan harga barang keperluan tidak akan naik begitu juga harga minyak.

"Dengan perkembangan ekonomi yang ada sekarang saya pasti bebanan rakyat semakin bertambah dan sehingga kini tidak ada jaminan diberi oleh kerajaan bahawa harga minyak dan juga barang keperluan tidak akan naik pada tahun hadapan.

"Kita melihat belanjawan sekarang adalah bersikap defisit dan bagi mengurangkan defisit sudah pasti kerajaan akan meletakkan bebanan tersebut kepada rakyat dengan cara mengurangkan defisit pada harga minyak.

"Bila subsidi dikurankan maka harga minyak akan naik begitu juga harga barang keperluan yang lain," katanya lagi.

Mahfuz berharap kerajaan kembali merangka bagaimanakah untuk menambah pendapatan negara dengan meneroka sumber-sumber baru negara dan bukannya hanya tertumpu kepada cara memberi bebanan kepada rakyat.

"Belanjawan ini umpama umpan pancing yang mana disebalik umpan tersebut ada mata kail yang menanti rakyat. Belanjawan nampak baik tetapi bebanan akan ditanggung oleh rakyat," jelasnya lagi.

Kerana Mohamad Sabu

Dalam pada itu beliau juga menekankan kerajaan hanya sedar tentang jasa yang telah diberikan oleh mereka yang telah berjuang setelah perkara tersebut ditimbulkan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, jika tidak sudah pasti sehingga sekarang kerajaan tidak akan mengambil serius pembelaan terhadap bekas-bekas tentera yang telah tamat bertugas.

"Disebabkan oleh Mat Sabu baru kerajaan ingin sedar dan memberikan sumbangan bersifat 'One Off' kepada keluarga bekas angkatan tentera malah mengambil berat dengan mereka yang telah tamat berkhidmat.

"Tapi apa yang mereka akan dapat jika hanya diberika sumbangan sedemikian dan ia tidak dapat mengubah langsung kedudukan ekonomi mereka. Kita melihat pemandu-pemandu teksi diluar sana kebanyakkan mereka adalah bekas tentera yang telah tamat berkhidmat dan jika kerajaan benar-benar perihatin sepatutnya mereka diberi permit persendirian bukannya membiarkan mereka bekerja dengan syarikat-syarikat teksi tersebut," sambungnya lagi.


DHPP Kelantan jelajah Malaysia jelaskan hudud | Print |
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 13 Okt: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (ll) kepada masyarakat bukan Islam.

Penasihat DHPP Kelantan, Jeffry Lee Weng Chun berkata, program penerangan itu dijangka turut disertai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, program penerangan dianggap perlu memandangkan hukum hudud sengaja dimanipulasikan pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

“Program penerangan itu akan bermula November ini. Tenaga penceramahnya beberapa orang peguam bukan Islam yang akan bercakap berkaitan perundangan Islam.

“Kami merasa terpanggil mengambil tanggungjawab ini bagi memberi penerangan lebih jelas kepada bukan Islam terutamanya mereka yang sudah berusia,” katanya kepada media di sini hari ini.

Menurutnya media bukan medan sesuai memberikan penjelasan berkaitan hudud memandangkan ruangan agak terbatas, lagi pun media arus perdana lebih gemar menyiar aspek negetif.

Jeffri yang juga seorang usahawan berkata, masyarakat bukan Islam di Kelantan sudah diberi penerangan sejak 21 tahun lalu mengenai perundangan Islam, sebelum enakmen hudud diluluskan.

Kata beliau, rata-rata masyarakat bukan Islam terutamanya golongan muda faham kerana penerangan mengenai hudud diadakan sepanjang masa.

”Bagi mereka yang tinggal di luar Kelantan mungkin ada sedikit masalah memandangkan tidak banyak penerangan mengenai hudud dibuat. Lagi pun kekeliruan sengaja ditimbulkan media massa,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan