Jumaat, 2 September 2011

YANG HAQ ITU JELAS...YANG BATIL JUGA JELAS...RAKYAT TELAH BIJAK MENILAI...TIDAK LAGI BUTA SEJARAH...SEJARAH DITULIS MENGIKUT PENGARUH PENJAJAH...YANG NAK MERDEKA TENTU PENJAJAH KATA PENGKHIANAT....MEMPERTAHANKANNYA(BRITISH) SEBAGAI HERO...SEPERTI DATO BAHAMAN TENTU BRITISH MENGANGGAP PENGKHIANAT DAN PENDERHAKA...KERANA MENENTANG BRITISH...BAGI ORANG MELAYU IA HERO@WIRA KERANA BERANI MENENTANG BRITISH...KIAS2 YANG LAIN...

"Saya akan beri kerjasama kepada polis," - Mohamad
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata beliau tidak akan memohon maaf terhadap kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong kerana perkara itu hanya putarbelit akhbar Umno, Utusan Malaysia.

Bercakap ketika dihubungi Harakahdaily hari ini beliau sebaliknya berkata akan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis yang telah mengumumkan untuk memanggilnya untuk disoal siasat.

"Pasal apa saya nak mintak maaf, biarlah polis siasat," katanya merujuk kenyataan pihak polis yang mahu menyiasatnya di bawah Seksyen 505 B Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat.

Sementara itu Mohamad juga memberitahu beliau telahpun dihubungi pihak polis berhubung siasatan yang akan dijalankan terhadapnya.

Bagaimanapun katanya, belum ada tarikh khusus ditetapkan kepada beliau untuk hadir disoal siasat.

"Saya telah terima panggilan telefon dari pihak polis nak panggil beri keterangan.

"Saya akan beri kerjasama penuh kepada pihak polis," katanya lagi.

Dalam laporan muka depannya baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Kenyataan itu menurut akhbar Umno itu diucapkan timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Ekoran itu, isu itu menjadi 'peluru' pemimpin Umno dan medianya menyerang Mohamad Sabu dan PAS kononnya parti itu menghina para polis Bukit Kepong dan membela Komunis yang menyerang balai polis itu.

Sejak itu juga, berpuluh laporan polis dibuat terhadap Mohamad khususnya oleh Umno dan menggesa beliau memohon maaf serta menarik balik kenyataannya.

Mohamad bagaimanapun menafikan laporan akhbar itu yang didakwa cuba memfitnah dirinya dan tidak akan sesekali memohon maaf.

Dalam penjelasannya, beliau memberitahu tidak pernahpun menyatakan Mat Indera itu Komunis, namun dimainkan Utusan sebaliknya.

Beliau juga telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.


Mat Indera dapat tauliah agama dari kerajaan Johor
Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 2 Sept: Mat Indera adalah seorang guru agama yang mendapat tauliah agama dari kerajaan negeri Johor, kata AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar).

"Umno dan penjajah yang tuduh Mad Indera komunis," kata beliau ketika bercakap kepada kira-kira 500 perantau Terengganu yang pulang beraya di kampung semalam.

Beliau mengulas serangan Umno dan medianya yang bertubi-tubi terhadap timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang mancadangkan agar sejarah negara dikaji semula.

Ini berikutan dari dakwaan bahawa Umno melakarkan sejarah negara berdasarkan kepentingannya tetapi bukan cerita yang sebenar.

Mohamad Sabu berkata, isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 telah diceritakan Umno sebagai penjahat menyerang hero iaitu polis yang mempertahankan balai itu.

Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong pula berdasarkan persepsi itu.

Antara yang menyerangnya adalah kumpulan yang dipimpin oleh Mat Indera di samping komunis yang juga melawan penjajah British ketika itu.

Polis ketika itu adalah bertugas dengan penjajah Inggeris yang menjajah Tanah Melayu pada waktu itu.

Antara pihak yang menentang Inggeris adalah pejuang Islam yang dipelopori oleh Abu Bakar Al Bakir, kumpulan Nasionalis Melayu pimpin Ahmad Boestaman dan juga komunis.

Namun kesemua mereka tidak menjadi hero yang memperjuangkan kemerdekaan dan melawab bagi pengkisah sejarah negara yang dipimpin Umno tetapi yang menjadi hero adalah Datuk Onn Jaffar dan Tunku Abdul Rahman.

Padahal Datuk Onn adalah menteri besar yang dilantik Inggeris untuk mentadbir Johor. Tunku Abdul Rahman pula adalah pegawai British.

Seminar sejarah


Akibat salah faham ini, Abu Bakar Chik yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat berkata, pihaknya akan menganjurkan satu seminar khas bagi mengkaji balik sejarah ini.

"Kita akan adakan seminar untuk mengkaji balik sejarah ini, antaranya kes Mat Indera yang akan kita kaji semula.

"Kita akan kaji dan nilai siapa pejuang kemerdekaan sebenarnya," kata beliau dalam majlis itu.

Bagi beliau, apa yang cuba dikatakan oleh Mohamad Sabu adalah meminta rakyat negara ini mengkaji semula sejarah yang ditulis selama ini oleh kerajaan Umno untuk kepentingan politik parti itu.


Umno padam jasa agamawan nasionalis
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Kefahaman bahawa hanya Umno memperjuangkan kemerdekaan negara seperti dicanang pihak tertentu untuk mendapat sokongan orang Melayu sama sekali tidak benar, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Malah kata ahli parlimen Kuala Selangor itu, gologan agamawan nasionalis yang dicop sebagai penentang atau gologan kiri oleh British juga merupakan pejuang kemerdekaan sebenar, namun tidak diangkat dalam sejarah.

Mereka seperti Tok Janggut yang menentang British di Kelantan, Tok Ku Paloh dan Haji Abdur Rahman Limbong di Terengganu, Datuk Bahaman di Pahang dan beberapa pejuang lain yang sanggup menggadai nyawa menentang penjajah.

Selain itu tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara yang lain seperti Dr Burhanudin al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Abu Bakar al Baqir, Ahmad Boestamam juga seolah-olah dinafikan jasa mereka menentang penjajah.

“Pada saya, sebenarnya perlu kepada penziarahan semula sejarah kemerdekaan atau 'revisit history of independence' kita kerana sejarah atau naratif yang ada pada hari ini hanya ditulis dari satu sisi pandang iaitu dari pihak Umno BN yang diberi kuasa oleh penjajah British. Ia terlalu sempit atau ‘skewed’ dan tidak punya ‘intellectual honesty dan integrity’ yang sebenarnya.

“Kita menerima nasionalis berunding meja bulat dengan British kemudiannya diberi kuasa, namun kita juga perlu mengiktiraf dan merakamkan perjuangan agamawan nasionalis dan golongan kiri yang turut berjuang memerdekakan negara dari British,” katanya.

Menurut sejarah, dalam pertempuran dengan British di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh dan mayatnya dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari.

Kemudian mayat beliau digantung secara terbalik beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Haji Abdur Rahman Limbong pula dilabel sebagai sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu dan ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928 dan meninggal dunia selepas itu.

"Umno buat apa, berunding meja bulat sahaja, ini Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman berjuang angkat senjata lawan British bukan ikut telunjuk British," tambahnya lagi.

Bkt Kepong: Polis mangsa keadaan

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang dimainkan akhbar Umno berhubung serangan terhadap anggota polis di Bukit Kepong pula, Dzulkefly berkata anggota polis tersebut terperangkap sebagai mangsa keadaan.

Biarpun serangan itu adalah terhadap British, namun anggota polis tersebut menjadi mengsa kerana mereka pada waktu itu berkhidmat untuk British dan memerangi mereka yang menentang British.

Utusan dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis yang menyerang Bukit Kepong adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Turut mengecam Mohamad termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamad dalam satu sidang akhbarnya di Perlis kemudiannya menafikan perkara itu dan mendakwa kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.


Bukit Kepong: Serangan terhadap British
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Isu serangan ke atas balai polis Bukit Kepong pada tahun 1950 iaitu tujuh tahun sebelum Merdeka merupakan serangan ke atas sarang penjajah British dan bukannya kepada anak bangsa sendiri.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof, serangan kira-kira jam 5.00 pagi pada tanggal 23 Februari 1950 itu manifestasi kemarahan rakyat terhadap penjajah British ketika itu namun sejarah itu telah diseleweng oleh Umno BN.

Ianya termasuklah kemarahan terhadap anggota polis yang pada waktu itu menjadi talibarut British.

"Isu Bukit Kepong tahun 1950 adalah serangan ke atas sasaran penjajah bukan kepada anak bangsa sendiri.

"Polis waktu itu adalah apparatus penjajah, penyerang pula adalah mereka yang menentang penjajah, apakah kerana ini mereka menjadi komunis," soalnya.

Bercakap kepada Harakahdaily beliau yang juga ahli parlimen Parit Buntar berkata, pada zaman dijajah British itu sesiapa sahaja yang menentang mereka akan dicop golongan berhaluan kiri atau komunis.

Manakala golongan kanan atau konservatif pula adalah mereka yang mengikut telunjuk British.

"Golongan konservatif akan mengekalkan penguasaan British.

"Penentang yang keras dan mahu negara ini merdeka mengikut acuan sebenar dicop kiri atau komunis." jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu yang diputarbelitkan oleh media perdana khususnya akhbar Umno, Utusan Malaysia sehingga menjadi kontroversi.

Utusan dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis yang menyerang Bukit Kepong adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Turut mengecam Mohamad termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamad dalam satu sidang akhbarnya di Perlis kemudiannya menafikan perkara itu dan mendakwa kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.

Mengulas lanjut kecaman Umno terhadap Mohamad itu, Mujahid berkata Umno adalah anak didik British yang diiktiraf sebagai golongan konservatif sebab itulah sehingga sekarang walaupun sudah 54 tahun merdeka, mereka masih bermati-matian mempertahankan British.

"Umno adalah golongan konservatif yang menjadi anak didik British, malangnya setelah 54 tahun merdeka Umno masih mempertahankan British.

"Cuma Umno tidak sedar mereka adalah "radio buruk" hari ini di mata rakyat yang sudah merdeka," katanya.


Wahid sedang 'lembutkan' imej PAS Terengganu
Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 2 Sept: PAS Terengganu mengajak pimpinan dan ahlinya di negeri itu agar memenuhkan diri mereka dengan ciri-ciri pemimpin rakyat dan sentiasa bersama masyarakat.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut (gambar) berkata, memenangi pilihan raya satu yang penting tetapi mempertahankannya dan seterusnya menjadi contoh pimpinan sesuatu yang penting juga.

"Memang kita pilih calon berdasarkan winnable candidate, calon yang boleh menang tetapi mempertahankan kemenangan dan menjadi contoh pimpinan satu yang hal yang penting juga," kata beliau dalam majlis dialog bersama perantau yang pulang ke kampung berhari raya di Dewan Datuk Wan Abdul Mutalib, Markas PAS Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata, antara ciri penting kepimpinan adalah melupakan segala persengketaan demi dakwah.

"Saya ambil contoh Tok Guru Nik Aziz. Semasa Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Hashim Safin meninggal, dia bersama Datuk Husam Musa melawat rumah beliau, keluarga dia menangis berlenangan air mata.

"Apabila Tok Guru tanya, kenapa menangis, anak dia (Hashim Safin) berkata, hari ini kami dua kali menangis. Tadi menangis kerana ayah kami meninggal. Kini kami menangis kerana Tok Guru menziarahi kami.

"Padahal semasa hayatnya, apa yang ayah kami tak kata kepada Tok Guru," cerita Wahid tentang apa yang dikatakan anak ketua Umno bahagian itu.

"Inilah dakwah...boleh ke kita juga membuat perkara yang sama?" tanya Wahid kepada semua yang hadhir di hadapan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Akibat dari sejarah pertembungan yang lama, hubungan antara penyokong PAS dan Umno di Terengganu agak jauh.

Mereka tidak rapat antara satu sama lain dan boleh dikatakan masih ada yang pulau memulau antara satu sama lain.

Mungkin ini mesej yang cuba disampaikan oleh Wahid yang baru dilantik sebagai pesuruhajaya PAS Terengganu beberapa bulan yang lepas.

Wahid juga membawa cerita Cikgu Jabar yang menang beberapa penggal sebagai Adun di Selangor walaupun bertanding atas tiket bebas.Semuanya kerana sikap beliau.

Beliau juga membawa cerita seorang Adun Umno yang juga menang beberapa penggal di Dun Telok Pasu Terengganu semata-mata kerana sikapnya yang mesra rakyat.

"Ada satu kisah bagaimana hebat dan prihatinnya Cikgu Ismail, Adun Telok Pasu ini. Oleh kerana sakit kencing manis, mata beliau menjadi sangat kelabu dan tidak nampak.

"Apabila dia naik kereta, dia pesan kepada driver dia, bila masuk kampung kamu kena bawa kereta dengan perlahan. Kalau tidak orang akan kata aku sombong. Dan bila jumpa dengan orang, kamu bunyikan hon dan aku akan angkat tangan.

"Lalu bila dia masuk kampung dan jumpa dengan orang, driver dia bunyikan hon, dia pun angkat tangan walaupun tidak nampak siapakah mereka.

"Dia tanya siapa, driver dia akan jawab Pak Mat...ooo Pak Mat...Jalan lagi, driver bunyikan hon, dia angkat tangan, tanya lagi siapa, Pak Ali...ooo Pak Ali...padahal Pak Ali sebelah sana nuh, dia angkat sebelah sini.

"Tiba satu tempat, driver dia bunyikan hon, Cikgu Wel angkat tangan dan tanya siapa....lembu, kata driver dia. Sampai ke lembu pun dia angkat tangan," cerita Wahid dengan diikuti gelak ketawa para hadhirin.

Mesej ceritanya, kata Wahid, adalah sikap wakil rakyat itu sendiri yang perlu mesra rakyat dan sentiasa prihatin dengan keperluan dan sensitiviti masyarakat.

Cerita yang disampaikan Wahid sebagai pesuruhjaya baru PAS Terengganu nampak kecil tetapi inilah realiti permasalahan yang dihadapi beliau dalam memenangi kembali hati rakyat Terengganu selepas kalah pada tahun 2004.

Ini kerana, beliau sedang berhadapan dengan Umno yang berusaha keras membeli hati rakyat Terengganu dengan wang ehsan yang beratus juta ringgit setahun yang diperolehi dari hasil minyak di pantai Terengganu.

Dengan hanya kira-kira 20 ke 25 peratus pengundi yang bukan PAS dan bukan Umno (atas pagar), kedua-dua pihak sedang berusaha keras bagi memenangi hati golongan ini bagi memastikan mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Masalah besar yang dihadapi Wahid adalah persepsi yang diletakkan kepada PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar dengan lawan masing-masing.

Ia berbeza dengan imej yang dibayangkan oleh pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz yang dilihat dapat merapati rakyat sehingga ke pemimpin Umno sendiri.


Cincin RM24 juta: SAMM bidas Utusan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor membidas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini yang mendakwa pengerusinya Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard sebagai penakut kerana tidak melaporkan isu pembelian cincin berharga RM24.45 juta oleh Rosmah Mansor kepada SPRM.

Penyelaras SAMM Johor, Ahmad Anwar Asyraf Ismail berkata, akhbar Umno itu cuba untuk mengelirukan orang-orang Melayu di kampung-kampung yang tidak mempunyai akses internet apabila sengaja menerbitkan kenyataan dari Anuar Shaari dengan membayangkan
seolah-olah CheguBard seorang penakut yang tidak berani untuk melaporkan isu cincin ini kepada SPRM.

Sedangkan katanya CheguBard melalui Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah pun membuat satu laporan SPRM pada 13 Julai 2011 lagi tetapi disenyapkan media arus perdana.

"SAMM Negeri Johor sangat kesal dengan laporan Utusan Malaysia yang
seolah-olah seperti "pencuri di siang hari," katanya.

Sebagai sebuah akhbar yang sepatutnya memainkan tanggungjawab sosial membentuk fikrah masyarakat, sikap Utusan Malaysia yang tanpa segan silu terus menyebarkan berita yang tidak benar itu wajar dikecam.

Beliau yakin tindakan itu semata-mata untuk menutup pekung di dada pemerintah negara apatah lagi dalam keadaan negara sedang menyambut hari raya Aidilfitri dan ulangtahun kemerdekaan.

"Adakah Utusan Malaysia hari ini merupakan pengkagum Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Hitler yang terkenal dengan prinsip “The Big Lie” iaitu satu prinsip yang menyatakan bahawa sesuatu fitnah, jika diulang berkali-kali dengan lantang, akan
dipercayai rakyat jelata.

"Sesuatu yang amat dahsyat, disebalik 54 tahun kemerdekaan tanahair dan kredibilitinya yang ditubuhkan pada tahun 1939 dengan hasrat asal untuk membangkitkan pendapat penduduk Tanah Melayu terhadappenjajah British, namun kini Utusan Malaysia seolah-olah hilang jatidiri dalam membentuk fikrah rakyat khususnya masyarakat
Melayu," katanya lagi.

CheguBard sebelum ini ada mendedahkan maklumat yang diterima SAMM pada 16 April lalu, berlian yang dikenali sebagai “Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond” diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Ketua PKR Rembau itu turut mendesak supaya Rosmah memberi penjelasan sumber wang yang dibelanjakannya untuk membeli cincin tersebut.

Bagaimanapun, Rosmah pada Julai lalu menyifatkan dakwaan yang mengaitkannya sebagai satu fitnah dan beliau tiada masa mahu melayan perkara itu.

CheguBard dalam blognya sebelum ini juga menegaskan, beliau tidak menuduh sesiapa dalam dakwaannya itu, tetapi kewujudan borang kemasukan cincin itu dengan jelas tertera nama “orang yang menyamar wanita pertama negara.”

Justeru kata beliau, Rosmah perlu membuat penjelasan.


Berbual dengan TG Nik Aziz esok
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Rakyat Kelantan khususnya blogger dan pengguna laman sosial Facebook berpeluang bertemu mata dan berbual dengan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat jam 9 malam esok.

Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu akan bertemu semua penggunna internet itu dalam program 'Bual Bicara Bersama Bloggers dan Facebookers' negeri itu di Balai Islam Kota Bharu.

Dalam program itu, mereka yang hadir boleh menanyakan apa sahaja isu secara bersemuka dan akan dijawab oleh Tuan Guru.

Selain beliau, turut serta pada majlis itu nanti adalah Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution.

Program itu diadakan khusus bagi memberi ruang kepada pengguna alam maya mendapatkan jawapan serta pandangan tepat dari tokoh-tokoh tersebut terhadap perkembangan politik semasa yang berlaku dalam negara.

Sehubungan itu, kesemua blogger dan Facebooker diseru untuk hadir ke majlis itu esok.

Untuk rekod, sehingga berita ini ditulis, laman peminat Facebook Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai 554,309 orang peminat.


PRU-13: PAS sasar 60 kerusi Parlimen
Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 1 Sept: PAS mensasarkan untuk menang di 60 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang, kata Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Strategi 2008, kita nak menang negeri dan kita telah berjaya tadbir tiga negeri. Kali ini disamping nak menang negeri, kita nak tambah kerusi Parlimen," kata beliau di hadapan kira-kira 500 anak perantauan Terengganu.

(Abdul Hadi berucap kepada anak Terengganu di perantauan yang pulang berhari raya di kampung)

Majlis perjumpaan Hari Raya ini diadakan di Dewan Datuk Wan Mutalib, Komplek PAS Kuala Terengganu.

Turut menyertai majlis itu adalah pimpinan PAS Terengganu yang dipimpin pesuruhjayanya Mohamad Abdul Wahid Endut.

Seluruh penyokong PAS yang pulang bereya di Terengganu berkumpul di situ bersama keluarga masing-masing.

Di samping menyediakan juadah raya, kanak-kanak diberikan duit raya yang disampaikan oleh Abdul Wahid.

Dalam pilihan raya umum 2008, pemimpin PAS menjadi pemimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak namun Perak jatuh kembali apabila dirampas melalui pembelian tiga Adun Pakatan.

Untuk pilihan raya akan datang, kata Abdul Hadi, PAS mensasarkan untuk mengambil 35 daripada 78 kerusi yang dimiliki oleh Umno sekarang.

"Kita yakin, jika kita mendapat 60 kerusi, sokongan seluruh masyarakat negara akan berpaling kepada PAS dan Pakatan dari Umno dan BN sekarang," katanya.

Dalam usaha untuk mendapat kerusi itu, PAS katanya memerlukan sokongan pengundi Islam dan Melayu sebagai teras.

"Kalau nak undi Islam kena fahami hati budi Melayu melalui pendekatan dakwah, budi perkerti dan pujukan...jika kita berbuat demikian, saya yakin mereka boleh berubah.

"Perlu ambil masa, sabar..pujuk mereka.. Perkenal Islam melalui contoh yang baik. Misalnya bila tidak ada seorang pun wakil rakyat PAS yang boleh dibeli, orang bukan Islam beri sokongan kepada kita," kata Abdul Hadi dalam majlis itu.


Idham Care cadang bina pusat pendidikan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Idham Care akan melancarkan secara rasmi skim wakaf tanah dengan harga wakaf RM 10 sekaki persegi bagi membina sebuah pusat pendidikan untuk kemudahan rakyat di negeri Perak.

Dengan nama Kompleks Pendidikan Darul Anwar, pusat pendidikan itu akan dibina di atas tanah seluas 4 ekar itu terletak di Titi Serong dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM3 juta.

Menurut pengerusinya yang juga Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim, pelancaran skim tersebut akan dibuat pada 25 September ini.

Kompleks tersebut antaranya akan mengandungi Maahad Tahfiz Darul Anwar dan Pusat Penjagaan Anak Yatim & Saudara Baru Ummu Aiman.

Menurut sasaran, beliau mengharapkan kompleks tersebut dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Saya berharap dalam tempoh terdekat segala persiapan untuk majlis pecah tanah dan pelancaran rasmi skim wakaf itu akan berjalan dengan lancar" katanya.

Senibina China

Lebih menarik, keseluruhan pembangunan kompleks itu akan bercirikan senibina negara China.

"Usaha ini adalah untuk menarik minat dan menghilang rasa curiga orang Cina kepada agama Islam yang dianggap sebagai agama orang Melayu.

"Lagipun kita sudah biasa melihat banyak mesjid dan surau menggunakan konsep senibina Arab-Turki, apalagi tidak ada bentuk khusus yang disebutkan oleh Rasulullah dalam soal membina masjid atau surau, kerana itu apalah salahnya saya merperbanyakkan koleksi rumah ibadah orang Islam dengan konsep senibina Cina" jelasnya.

Mercu utama bagi kompleks ini menurutnya adalah surau yang boleh menampung jemaah sekitar 500 orang dan pintu gebang pada pagar masuk.

Sesiapa yang ingin menyumbang dan membeli tanah wakaf tersebut boleh menghubungi beliau di nombor talifon 019-4759697, dan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank atas nama IDHAM CARE No. Akaun : 558417102650.


Perginya Seorang Pejuang Bahasa
Nasrudin Hassan

1. Belum reda kesedihan kami anak - anak muda tanahair malah ianya kesedihan yang dikongsi oleh seluruh warga negara atas pemergian seorang tokoh ulama' terkenal pada 1 Syawal kelmarin, hari ini kesedihan berganda apabila negara diberitakan dengan pemergian al Marhum Datuk Dr Hassan Ahmad seorang pejuang bahasa yang gigih.

2. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Datuk Dr Hassan Ahmad yang kembali ke rahmatullah pada 2 Syawal 1432H.

3. Pihak DPPM bukan sahaja mengiktiraf ketokohan dan jasa Almarhum dalam bidang kesusasteraan dan pembangunan lingustik tanahair, khususnya peranan beliau ketika di DBP, UNESCO dan Yayasan Karyawan, malah sangat mengagumi semangat kental beliau dalam mengangkat martabat bahasa yang wajar dicontohi oleh generasi muda hari ini.

4. DPPM sangat merasai kehilangan Tokoh Pejuang Bahasa ini yang diibaratkan sebagai 'bapa' yang tidak jemu-jemu mendidik kami sebagai 'anak-anak' beliau terutama ketika kami bersama Almarhum mengemudi dan merencana agenda Gerakan Mansuhkan PPSMI. Setiap bibit nasihat dan ketegasan beliau akan dijadikan azimat kepada DPPM dalam meneruskan hasrat murni Almarhum untuk melihat bangsanya mulia menjunjung bahasa ibunda.

5. Pihak DPPM sedia memikul dan meneruskan amanat perjuangan Almarhum dan mengharapkan lebih ramai tokoh akademik dan profesional mengikuti jejak langkah beliau yang komited, berani, tidak mengenal penat dan turun ke lapangan, demi perjuangan untuk menegakkan yang hak.

6. Semoga segala jasa Almarhum diterima sebagai amal soleh di sisi Allah s.w.t dan kami mendoakan agar ruh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang soleh serta mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah s.w.t.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan