Rabu, 28 September 2011

SEMUA KEHENDAK ALLAH...SEGALA PEKUNG...ALLAH YANG BUKA...JANGAN KITA BERSIKAP JAHAT...SIKAP JAHAT AKAN MEMAKAN DIRI...ITU SEMUA HUKUMAN DARI ALLAH SWT



Kes Ahmad Sarbaini gagal hapus kemarahan rakyat | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan Ahmad Sarbaini Mohamed mati kerana jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal menghapuskan kemarahan umum, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Kita tidak berniat hendak mempertikaikan keputusan mahkamah tetapi apa yang nyata, keputusan itu gagal menghapuskan kemarahan umum yang meluap-luap apabila terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu di premis SPRM.

"Dalam masa yang singkat, dua orang terbunuh di premis SPRM, iaitu Ahmad Sarbaini dan Teoh Beng Hock dan apa jua keputusan mana-mana institusi sekalipun tidak akan mampu meredakan perasaan marah masyarakat terhadap SPRM dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata beliau.

Salahuddin juga tidak menolak bahawa sebahagian besar rakyat semakin tidak sabar menanti tarikh pilihan raya untuk membalas dendam dan menghukum BN berikutan keputusan-keputusan berkaitan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini dan Teoh di premis SPM itu.

"Sebelum ini, rakyat marah apabila media-media yang dilihat pro Umno dan BN memberi gambaran bahawa Ahmad Sarbaini membunuh diri.

"Terbaru, ada pula blog pro Umno dan BN yang dilihat mengaitkan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini di premis SPM itu dengan video seks.

"Rakyat yang marah berikutan tuduhan-tuduhan dan keputusan-keputusan berkaitan kedua-dua kes itu pastinya tidak sabar-sabar lagi menanti pilihan raya untuk menghukum Umno dan BN habis-habisan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga bersetuju dengan peguam keluarga Ahmad Sarbaini, Awtar Singh yang menegaskan SPRM seharusnya dipertanggungjawabkan kerana tragedi terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu berlaku di premis SPRM.

"Sama seperti terbunuhnya Teoh Beng Hock, bukan sahaja Ahmad Sarbaini terbunuh di premis SPRM malah beliau terbunuh ketika dalam siasatan SPRM," kata Salahuddin sambil menyarankan keluarga dan sahabat Ahmad Sarbaini terus mengadakan solat hajat memohon Allah membuat penentuan yang muktamad.

Ketika mengulas keputusan mahkamah koroner itu, Awtar juga berkata adalah sukar untuk dipercayai Ahmad Sarbaini memanjat pintu untuk melarikan diri.

"Apa perlunya dia buat begitu? Dia datang dengan kerelaannya sendiri. Lebih dari itu, tidak ada kesan cap jari yang boleh dikesan berdekatan tingkap berkenaan dan mereka tidak mengambil pakaian ketua SPRM Kuala Lumpur, Ahmad Fauzi (Husin), untuk melakuan ujian DNA," kata Awtar yang juga memberitahu pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman.

Dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, koroner Aizatul Akmal Maharani berkata, teori bahawa SPRM terlibat dengan kematian Ahmad Sarbaini tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala," katanya.

Sebelum terbunuh, Ahmad Sarbaini dilaporkan pergi ke pejabat SPRM secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat suruhanjaya tersebut berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya.

Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.


Rosmah kawan baik saya bukan mak angkat - Jho Low | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Sept: "Rosmah (Mansor) bukan mak angkat saya. Beliau adalah kawan baik saya," demikianlah tafsiran yang diberikan jutawan kontroversi, Jho Low kepada akhbar Cina Kwong Wah Yit Poh (gambar) , ketika ditanya hubungannya dengan keluarga Perdana Menteri, Najib Razak.

Datin Seri Rosmah Mansor adalah isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jho Low menjadi kontroversi apabila dilihat bersama dengan artis, Paris Hilton dalam keadaan artis itu berbogel di sebuah kapal mewah.

Beliau juga terlibat dalam kontroversi dengan parti-parti bersama artis terkenal di seluruh dunia.

Beliau dikatakan juga terlibat dengan pembangunan semula tapak lapangan terbang TUDM, Sungai Besi.

Jho Low menjelaskan, "Anak Rosmah (Mansor) adalah rakan saya ketika menuntut di Britain. Saya mengenali anak Perdana Menteri dahulu, sebelum saya mengenali Perdana Menteri."

"Saya memperkenalkan ramai pelabur kepada Malaysia, justeru itu saya sering bertemu dengan PM," kata Jho Low sebagaimana yang
dilaporkan Merdeka Review.

Malah, Jho Low mendakwa dirinya mengenali ramai "putera" di negara yang berlainan, termasuk Abu Dhabi, Kuwait, Saudi Arab dan sebagainya.

Oleh itu, Jho Low berkata dirinya mampu membawa ramai pelabur dari Timur Tengah ke Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Kayuhan Amal 1Malaysia Untuk Pelajaran di Straits Quay, Tanjong Tokong, Pulau Pinang pada 25 September 2011.

Laporan ini disiarkan Kwong Wah Yit Poh pada 26 September, pada muka surat A5.

Sebelum ini, Jho Low dikatakan sebagai kenalan rapat dengan anak Perdana Menteri Najib Razak, lantas mencungkil keraguan orang ramai sama ada Jho Low berperanan sebagai proksi, berikutan kemampuan graduan Wharton Business School ini dalam mengumpul kekayaan pada umur 20-an tahun.

Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Kongres Nasional AMK yang diadakan di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bahru, pada 28 Mei 2010, memetik laporan New York Post pada tahun 2009, yang diulas kemudiannya oleh tabloid tempatan Malay Mail, bahawa seorang pemuda bernama Taek Jho Low membelanjakan USD50 ribu hingga 60 ribu, atau RM170 ribu ke RM205 ribu setiap hari.

Malah, Shamsul Iskandar ketika itu mendesak agar PM menjawab, dan mengesahkan sama ada tuduhan bahawa Jho Low mendapat kontrak pembangunan TUDM Sungai Besi yang bernilai kira-kira RM500 juta, dan memainkan peranan sebagai penasihat di sebalik Terengganu Investment Authority yang mengurus dana royalti minyak itu benar atau tidak.

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media cetak. Akhbar yang dirujuk adalah Kwong Wah Jit Poh pada 26 September 2011, wawancara akhbar tersebut dengan Jho Low. Laporan dibuat berdasarkan teks asalnya dalam bahasa Cina.


Media perdana bakal manipulasi kenyataan Puad | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 27 Sept: Kenyataan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Puad Zarkashi pada wacana 'Merdeka Wajarkah Sejarah Ditulis Semula' anjuran Sinar Harian hari ini bakal di manupulasikan oleh media arus perdana.

Kenyataan tersebut mengaitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan peristiwa Memali yang menyatakan Anwar pernah mengatakan Ibrahim Libya adalah seorang penjenayah sewaktu di luar negara.

Dr. Puad mengeluarkan kenyataan tersebut apabila Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan adakah Ustaz Ibrahim Libya juga dituduh sebagai penjenayah sedangkan beliau hanyalah membantah tindakan kerajaan ingin menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kalau perjuangan Mat Indera yang berjuang menentang penjajah British kita boleh katakan pemberontak sehingga melabelkan beliau sebagai komunis bagai mana pula kes Ustaz Ibrahim Libya.

"Mengenai peristiwa Memali tidak perlu kita timbulkan kembali kerana ia menjadi sejarah hitam kepada penduduk kampung tersebut. Episod Memali menggambarkan orang kampung bersalah dan ini dimainkan oleh media sebelum ini.

"Kes ini telah lama berlalu biarlah ia menjadi sejarah kepada negara ini yang menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang ramai, jika ia di timbulkan kembali oleh media arus perdana akan menyebabkan hati penduduk disana terguris, jadi untuk mengelakkan perkara sedemikian tidak berlaku lebih baik senyap," jelas Saifuddin.

Tambahnya lagi, sekarang bukannya masa untuk tuduh menuduh diantara satu sama lain jika tidak mempunyai fakta yang tepat.

"Sekarang bukannya masa untuk kita tuduh menuduh diantara satu sama lain apatah lagi tidak mempunyai fakta yang tepat. Jangan kerana Anwar di dalam PKR maka isu ini ditimbulkan kerana perkara itu berlaku sewaktu beliau di dalam Umno tapi itu belum pasti kebenarannya.

"Kita tidak perlu meletakkan siapa bersalah samada Anwar, Tun Musa Hitam mahupun Tun Mahathir Mohamed kerana politik tuduh menuduh sudah berakhir.

"Apa yang pasti peristiwa sedemikian tidak perlu berulang lagi," sambungnya lagi.

Sementera itu, pakar Sejarah Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Ramlah Adam memberitahu peristiwa Memali itu perlu ada kajian lengkap.

"Pengkajian yang perlu diteruskan dan mesti bersikap adil, ini bagi memberi satu kebenaran dalam peristiwa tersebut.

"Kajian sejarah perlu diberikan penekanan oleh pihak tertentu agar budaya tuduh menuduh dapat dielak.

"Saya bersetuju dan sekarang bukan masa untuk kita tuduh menuduh kerana yang paling penting mencari kebenaran disebalik peristiwa Memali," jelas Ramlah.

Sebelum itu, peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 18 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.

Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara/Operasi Hapus'.

Peristiwa itu terjadi ketika Datuk Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia berada di China


Ugut Pakatan: DAP tuntut penjelasan dari The Star | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Sambil menegaskan bahawa Setiausaha Agongnya Lim Guan Eng (gambar) tidak pernah membuat ugutan terhadap Pakatan Rakyat kerana kontroversi hudud, DAP hari ini menuntut penjelasan daripada akhbar The Star milik MCA atas laporan palsu terhadap kenyataan yang dibuat Lim hujung minggu lalu.

Dalam satu surat terbukanya hari ini, setiausaha politik Lim, Zairil Khir Johari menegaskan bahawa Lim hanya berjanji “seluruh ahli jawatankuasa DAP akan meletak jawatan sekiranya ada sesiapa yang boleh membuktikan bahawa hudud akan dilaksanakan dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat atau Buku Jingga yang telah dipersembahkan kepada awam.”

Kata Zairil, pada 25 September akhbar The Star sememangnya melaporkan kenyataan Lim dengan betul dan tepat.

“Tapi, ini ditukar ke satu versi lain pada 26 September 2011 yang memberikan bayangan salah dan tidak tepat bahawa Lim telah mengugut perletakan jawatan seluruh jawatankuasa parti DAP daripada Pakatan Rakyat jika hukum hudud akan dijumpai dalam Dasar Bersama atau Buku Jingga,” kata Zairil.

Tajuk utama The Star pada 25 September “Guan Eng: DAP top leadership will quit if hudud law included in Pakatan policy” telah ditukar ke satu versi salah dan tidak tepat pada 26 September bertajuk “DAP leaders threaten to quit Pakatan council”, tambah Zairil.

“Ia adalah secara kategorinya tidak betul kerana Lim tidak pernah membuat ugutan untuk keluar daripada barisan kepimpinan Pakatan Rakyat atau Pakatan Rakyat secara amnya.

Apa yang Lim kata ialah seluruh jawatankuasa parti akan meletakkan jawatan untuk mengambil sikap bertanggungjawab jika hukum hudud dijumpai masuk ke dalam Dasar Bersama atau Buku Jingga,” tegas beliau.

Semalam, para Setiausaha Agung PAS, PKR dan DAP dikatakan sebulat suara mencapai kata sepakat untuk mengarahkan semua pimpinan parti masing-masing agar jangan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah 28 September ini.

Arahan ini dikeluarkan berikutan pendiriaan bersama yang akan dibuat pimpinan Pakatan Rakyat 28 September nanti dalam mesyuarat mereka.

Tegas Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali, dakwaan yang mengatakan sebahagian pemimpin terutama dari DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya PAS dengan persetujuan PKR melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan meneruskan agenda penubuhan negara Islam di negara ini, tidak berbangkit.

Sebaliknya, perkara itu sengaja dicetuskan oleh Umno dan akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia untuk mencetuskan perselisihan dalam Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka.

“Para pemimpin Pakatan Rakyat cukup sedar perkara itu dan sehubungan itu mereka akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu pada 28 September ini,” terang beliau dalam sidang media bersama dengan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke di Pejabat Agung PAS semalam.


Naik bas: Antara Najib dengan Nik Aziz | Print |
Harakahdaily

Gambar kiri dirakamkan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor menaiki bas sempena lawatan sehari beliau ke Perak, Sabtu lalu.

Mereka berdua turut diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abd Kadir (kanan) dan isteri Datin Seri Sharifah Zulkifli (kiri) dalam perjalanan dari pekan Tanjung Tualang ke Sekolah Kebangsaan Changkat Tin bagi menghadiri majlis perkahwinan iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohd Radzi dan pasangannya Ahmad Fariz Hassan.

Namun, ramai yang tidak tahu, inilah bentuk dan rupa bas yang dinaiki Najib dan isterinya itu.

Gambar kanan pula dirakam sewaktu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menaiki bas ke suatu program pada 29 Jun lalu.


Keputusan inkues Sarbaini sukar dipercayai - PKR | Print |
Harakahdaily

PETALING JAYA, 27 Sept: Mahkamah koroner semalam memutuskan bahawa kematian pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamad pada 6 April lalu adalah satu kemalangan.

“Keputusan ini sangat sukar dipercayai, tidak dapat diterima dan tidak konsisten dengan fakta kes.

“Mahkamah koroner memaksa kita untuk percaya bahawa Sarbaini yang secara sukarela datang ke pejabat SPRM di Cheras, kemudiannya mahu melarikan diri dengan merangkak keluar dari tingkap di aras tiga,” kata Naib Presiden PKR, N Surendran (gambar) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, tiada penjelasan diberikan tentang bagaimana dan mengapa rakaman CCTV selama 22 jam dipadam, yang mana ianya memaparkan detik-detik di mana Sarbaini menemui ajalnya.

Beliau berkata, paling membimbangkan adalah tindakan SPRM sepanjang kes Sarbaini.

Menurutnya lagi, sebagai institusi awam utama yang dibiaya sepenuhnya dengan wang rakyat, keutamaan SPRM seharusnya adalah untuk mendapatkan kebenaran perkara tersebut, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melaksanakan reformasi untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Sebaliknya, kata beliau SPRM bertindak seperti individu yang terdesak untuk membersihkan namanya walau dengan cara apa sekalipun.

Baginya, SPRM bertindak sehingga ke tahap mengupah peguam Umno iaitu Shafee Abdullah untuk 'mempertahan' mereka sepanjang inkues.

“Perlu diperhatikan bahawa SPRM berkelakuan dengan cara yang sama semasa penyiasatan dan siasatan kematian Teoh Beng Hock, yang juga meninggal dunia semasa siasatan SPRM pada 16 Julai 2009,” ujarnya yang juga seorang peguam.

Dalam kedua-dua contoh, ujarnya SPRM bertindak menyerang reputasi mangsa-mangsa yang meninggal dunia secara terbuka sepanjang inkues dijalankan.

Surendran berkata, Sarbaini turut didakwa sebagai menerima rasuah meskipun beliau sudah tidak boleh menjawab mahupun mempertahankan dirinya terhadap dakwaan tersebut.

“Ini adalah memalukan dan tidak penting bagi pihak inkues tentang bagaimana beliau meninggal dunia.
“Asas kepada sistem perundangan kita adalah bahawa perbicaraan di mahkamah tidak seharusnya digunakan untuk memburukkan pihak yang telah tiada,” katanya lagi.

Katanya, keyakinan rakyat terhadap SPRM adalah di tahap paling rendah susulan kematian misteri dua individu itu.

Tambahnya, kedua-duanya merupakan bapa yang meninggalkan keluarga yang selamanya akan menderita atas kehilangan insan yang disayangi yang meninggal dunia dengan tragis.

Kerajaan, ujar beliau seharusnya memikul tanggungjawab terhadap kegagalan dalam memberikan jawapan sebenar kepada pihak keluarga dan rakyat.

Katanya, keengganan kerajaan yang terus-menerus tidak mahu melaksanakan reformasi terhadap badan penguatkuasa seperti SPRM dan PDRM adalah punca sebenar terhadap masalah ini.
“Kami menyeru Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat punca sebenar di sebalik kematian Ahmad Sarbaini.

“Skop suruhanjaya ini mestilah termasuk prosedur operasi, pengambilan dan kaedah latihan SPRM serta membuat syor-syor pembaharuan yang amat mendesak dalam memastikan reformasi sistem terlaksana,” tegasnya.


Kubu Umno di Jeli makin tergugat | Print |
M Faqih

JELI, 27 Sept: Di segenap penjuru pasar Kuala Balah ribuan orang berdiri tanpa menghiraukan hujan sepanjang program berlangsung malam tadi.

Kawasan laman pasar yang agak lembab tidak dihiraukan, ramai yang kelihatan basah di bahagian punggung. Kawasan yang berbumbung pula sendat dengan manusia, mereka berhimpit-himpit bagi mendengar ceramah Pakatan Rakyat.

Mereka datang tidak diangkut dengan bas seperti biasa berlaku pada program tajaan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mungkinkah ini menggambarkan kedudukan Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu dinilai kembali rakyat Jeli selepas dua penggal menguasai kawasan berkenaan.

Ia disifatkan sebagai satu kejutan memandangkan kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Balah merupakan kubu Umno dan hanya sepenggal dimenangi PAS pada pilihan raya umum 1999.

Sebelum ini Dun berkenaan dikenali Pergau. Malah ada juga penduduk yang datang dari Gua Musang. Paling ramai penduduk tempatan termasuk dari Dun Air Lanas dan Bukit Bunga.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berharap rakyat Jeli membuat penentuan baru bagi menilai semula anggota parlimen sekarang yang sering berdalih dalam isu royalti minyak.

”Ketika peringkat awal kerajaan negeri menuntut bayaran royalti minyak anggota parlimen Jeli yang juga seorang menteri bermati-matian mengatakan minyak tidak ada di perairan Kelantan.

”Kemudian selepas kita desak juga Perdana Menteri pun membuat pengakuan minyak ada di perairan Kelantan, namun Datuk Mustapa berdalih lagi.

”Katanya telaga minyak yang dituntut kerajaan negeri bertindih dengan Thailand pula,” katanya ketika berceramah pada program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Hadir sama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PRK Kelantan, Amran Abdul Ghani dan pemimpin PAS serta PKR tempatan.

Oleh itu Husam yang juga pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan berkata, rakyat Jeli perlu memastikan parlimen tersebut tidak lagi berada di tangan Umno dan BN.

Katanya, rakyat Jeli perlu menyumbang satu kerusi mewakili kawasan mereka untuk membolehkan kerajaan baru dibentuk di Putrajaya bagi mendapatkan royalti minyak.

Semasa kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai 2009 Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan menafikan perairan Kelantan ada minyak.

Bagaimanapun tidak lama kemudian Perdana Menteri mengumumkan pemberian wang ihsan kepada Kelantan hasil royalti minyak.

Husam berkata, sumber Petronas memberitahu sebuah lagi telaga minyak baru ditemui betul-betul berada di perairan Kelantan dan tidak bertindih dengan negeri lain.

”Apa yang berlaku sekarang kerajaan BN benar-benar merompak hak rakyat Kelantan. Sebab itulah rakyat Jeli perlu tukar kerajaan yang menguasai Putrajaya sekarang,” ujarnya.

Nurul Izzah berkata, Perdana Menteri sekarang tidak memiliki keupayaan sendiri mentadbir sehingga terpaksa mengupah konsultan dari luar.

Katanya, sebelum ini konsultan Apco Worldwide dibayar upah sebanyak RM77 juta, kemudian ABC Media pula diupah RM68 juta.

Dan terbaru pula konsultan yang ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri Britain, Tonny Blair dikatakan dibayar bagi memulih imej perdana menteri.


Layakkah Mismah dapat status warganegara? | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Pemuda PAS mohon agar Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad menjawab isu Mismah yang mendapat status penduduk tetap kepada rakyat Malaysia.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat (gambar) juga memohon agar Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datin Jariah Mohd Said memberi jawapan kepada rakyat Malaysia bagaimana Mismah yang mendapat status PR daripada Jabatan Imigresen tidak sampai satu tahun boleh diterima sebagai warganegara Malaysia pada 31 Januari 2011.

“Bukankah Mismah sudah melanggar peraturan Jabatan Imigresen? Apakah beliau layak untuk menjadi warganegara?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk laporan Utusan Malaysia pada 23 September 2011, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad telah membuat ulasan mengenai tuduhan rakyat Bagladesh mendapat status Penduduk Tetap atau Permanent Residen (PR) di negara kita.

Kenyataan beliau adalah seperti berikut:

''Peraturan Imigresen sedia ada tidak membenarkan pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara untuk memohon PR di negara ini.”

“Di bawah Akta Imigresen 1963, hanya suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia berserta anak-anak berusia di bawah enam tahun dan menetap selama lima tahun berturut-turut di Malaysia layak memohon PR”.

“Permohonan turut dibuka untuk kumpulan pelabur, pakar serta golongan profesional yang diperakukan oleh agensi kawal selia.”

Justeru, Pemuda PAS berpendapat bahawa kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen adalah merujuk peraturan di jabatan tersebut seperti yang terdapat dalam laman berikut : http://www.pinoy-abroad.net/img_upload/9bed2e6b0cc5701e4cef28a6ce64be3d/Guide_to_Permanent_Residency__Malaysia_.pdf

Dalam peraturan yang terdapat dalam Jabatan Imigresen memberi syarat bahawa mereka yang memohon PR hendaklah memiliki entry permit dan telah tinggal di negara ini selama 5 tahun.

Kumpulan yang berkelayakan untuk mendapat entry permit adalah seperti kumpulan profesional, anak kumpulan profesional di bawah enam tahun, isteri kumpulan profesional, mempunyai kebenaran daripada Menteri Dalam Negeri atas kepentingan ekonomi negara, anak bagi warganegara yang berumur bawah enam tahun dan kes-kes khas.

Kata Suhaizan, Pemuda PAS ingin merujuk kes Mismah yang disiarkan pada 12 dan 14 Ogos 2011 oleh akhbar Sinar Harian.

Mismah atau nama sebenarnya adalah Nismah Binti Naim, 47, berasal daripada kepulauan Bawean, Indonesia.

Suami beliau bernama Mawasi Bin Mawardi, 51, juga mendapat status Penduduk Tetap.

Mismah masuk negara kita pada tahun 1982 sebagai buruh binaan. Pada tahun yang sama iaitu 17 Julai 1982 Mismah sudah mendapat satus PR.

Menurut Suhaizan, ini memberi maksud bahawa tidak sampai satu tahun Mismah tinggal di negara ini beliau sudah memperolehi status PR.

“Kes Mismah ini bertentangan dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad yang menyatakan bahawa hanya suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia berserta anak-anak berusia di bawah enam tahun dan menetap selama lima tahun berturut-turut di Malaysia layak memohon PR,” katanya.

Pemuda PAS, tambahnya berpendapat bahawa terdapat kemungkinan 4 perkara yang bertentangan dengan peraturan Jabatan Imigresen dalam kes Mismah mendapatkan status PR iaitu Mismah bukan seorang profesional, suami Mismah bukan seorang warganegara, suami Mismah bukan seorang profesional dan Mismah hanya tinggal tidak sampai satu tahun di negara ini.

“Mismah ini hanyalah satu kes contoh sahaja. Pemuda PAS sangat khuatir berkenaan pemberian status PR kepada ribuan warga asing dalam negara ini,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Beliau berkata, pemberian hak kerakyatan kepada mereka yang tidak layak dan bertujuan untuk kepentingan parti politik tertentu adalah suatu pengkhianatan kepada negara.

Tegasnya, Pemuda PAS akan terus mendedahkan kepada rakyat Malaysia berkenaan manipulasi dalam pilihan raya khususnya yang berkait dengan daftar pemilih dan undi pos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan