Isnin, 12 September 2011

SEGALA KUASA DAN SANDIWARA AKAN TIADA LAGI BILA MATI ATAU BERSARA..AKHIRAT AKAN MENENTUKAN PELAKON2 SANDIWARA ITU MASUK SYURGA ATAU NERAKA...PENIPU...ZALIM..MAKAN HAK RAKYAT...RASUAH...LAWAN HUKUM ALLAH..BUAT MAKSIAT...SEKAT PERKEMBANGAN ATAU MENYEKAT ORANG NAK BERDAKWAH...MENAFI HUKUM ALLAH...PUTAR ALAM DAN SEMUA YANG MEMBUAT KERJA2 AHLI NERAKA ...MAKA MENGIKUT HUKUM ISLAM MEREKA INI MASUK NERAKA...DAN ORANG2 BEGINI MEMANG TAK BOLEH LARI...ORANG2 YANG BUAT BENDA2 BEGINI MEMANG JAHIL AGAMA..DAN TAK SEDAR DIRI...

Tanya Umno, mana komunis baik mana bahaya | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Sesiapa yang nak mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan mana-mana kumpulan parti yang dianggap komunis, kena tanya Umno dahulu kerana hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya.

Itu adalah sindiran Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini sebagai reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang menyebut “komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu.”

“Komunis sekarang lain, komunis dulu lain, dulu mereka ingin kuasai negara dan sebarkan ideologi yang tak beri hak kepada rakyat. Kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka,” Najib dipetik sebagai berkata.

Ironinya, kenyataan Najib datang pada masa terbongkarnya fakta bahawa Umno baru-baru ini telah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Parti Komunis China pada 5 Ogos 2011 dan pada masa yang sama, melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas PAS dan Timbalan Presidennya Mohamad Sabu atas dakwaan menyokong komunis.

Jika mengikut logik Najib, sindir Tuan Ibrahim, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara.

“Sekiranya rakyat mengikut logik PM yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara,” kata beliau secara sinis, sambil menambah mungkin itulah sebab utama mengapa Najib sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia.

Dalam kenyataannya juga, Tuan Ibrahim juga berkata tindakan Umno dalam permainan politik komunis telah melondehkan hipokrisi parti Melayu tersebut untuk dilihat rakyat jelata.

“Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bilamana dalam ambang perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin PSM (Parti Sosialis Malaysia) dalam Akta Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis.

Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri? Sebab kalau komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu, kenapa pula mereka ditahan di bawah Akta Ordinan Darurat,” soal beliau.

6 tahanan PSM - ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, lima yang lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M. Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25 telah ditahan selama 28 hari di bawah Akta Ordinan Darurat atas alasan kononnya cuba menghidupkan semula fahaman komunis. sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada Julai 9.

Kesemua mereka dibebaskan pada 30 Julai yang lalu.

Segala tindak-tanduk ini, kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menggambarkan seolah-olah kalau Umno yang mengadakan hubungan dengan komunis, maka komunis itu komunis baik; kalau parti lain “asalkan bukan Umno”, maka komunis itu komunis jahat.

Dalam isu kenyataan status negara sama ada pernah dijajah ataupun tidak, Tuan Ibrahim secara sinis berkata persoalan ini rasanya hanya boleh dijawab secara tepat oleh Majlis Profesor Negara (MPN) dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kemelut samada negara pernah dijajah ataupun tidak, ditimbulkan oleh sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling kelmarin yang berhujah bahawa berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Setelah menerima sindiran dan kritikan pelbagai pihak, Zainal akhirnya mendapat satu sokongan yang amat kuat daripada Mahathir hari ini, yang mengatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.

Bekas perdana menteri berkata British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”

“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini. Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.

“Rasanya MPN dan Dr Mahathir sajalah yang tepat boleh menentukan siapa yang secara teknikalnya kena jajah, siapa negara yang naungi saja. Jajah secara zahir, di mana kekayaaan hasil bumi negara seperti bijih timah dirakus adalah tidak sah secara teknikal, maka sesiapa yang jawab sebegini dalam ujian Sejarah patut diberi markah kosong,” bidas Tuan Ibrahim secara sinis.

Jika mengikut logik MPN, kata beliau, maka ini bermakna sesiapa yang lawan orang putih dulu, sebenarnya ia lawan orang Melayu.

“Cuma kalau nak tahu orang Melayu ini bahaya ataupun tidak, ini pun kena tanya Umno dulu. Bomoh Umno akan telek dalam air pinang, dan umum untuk pengetahuan dunia adakah Melayu ini bahaya atau tidak.

Kalau Melayu itu kehijau-hijauan, maka segala daripadanya adalah bahaya dan mengancam Umno, kalau Melayu tu kebiru-biruan maka ia Melayu yang baik, maka keistimewaan diberi - segala untuknya halal, bagi orang lain akan jadi haram.

Rasanya bukan rakyat sahaja, bahkan ahli-ahli Umno turut keliru dengan permainan politik pemimpin Umno yang sendiri melondehkan hipokrit sendiri di khalayak ramai,” sindir beliau lagi.


Cukai 6%: Muslihat Umno BN kelirukan rakyat | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Para pemimpin Umno BN diingatkan agar bercakap benar dalam pelbagai perkara demi kepentingan rakyat dengan tidak memutarbelitkan isu untuk mengambil hati orang ramai.

Tindakan para pemimpin Umno yang menyembunyikan perkara sebenar bukan hanya mengelirukan rakyat, tetapi juga tidak akan menguntungkan sesiapa termasuk parti itu sendiri.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (gambar) berkata, namun dalam hal caj cukai perkhidmatan 6% kepada pengguna perkhidmatan telefon mudah alih prabayar, para pemimpin Umno tertentu jelas bersikap flip-flop dan bermuslihat.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya menyalahkan syarikat telekomunikasi (Telco) berhubung perkara itu dan turut mengingatkan syarikat-syarikat terbabit termasuk Celcom, Maxis dan Digi agar tidak membebankan orang ramai.

Katanya, menteri-menteri lain turut bercakap senada dengan Perdana Menteri tanpa merujuk kepada realiti bahawa tindakan Telco itu sendiri adalah atas kebenaran kerajaan.

"Tindakan mereka itu samalah dengan sesetengah ilmuan berhubung soal penjajahan negara sekarang, apabila mereka mengatakan negara kita tidak pernah dijajah, pada hal sejak di bangku sekolah lagi kita dah diajar bahawa negara kita dijajah oleh British.

"Dengan memutarbelitkan kebenaran termasuk fakta sejarah, orang ramai menjadi keliru mana satu yang betul. Hari ini kata ya, esok pula kata tidak," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memberi jaminan caj cukai perkhidmatan 6% kepada pengguna perkhidmatan mudah alih prabayar tidak akan dilaksanakan selagi belum ada keputusan kerajaan.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, Telco perlu berbincang dan mendapat persetujuan kerajaan terlebih dahulu sebelum melaksanakan tindakan tersebut.

"Kementerian memberi jaminan bahawa tiada kenaikan akan berlaku pada masa terdekat ini dan sebarang kenaikan hanya boleh dilakukan selepas mendapat persetujuan dari kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia," katanya pada sidang media, di Petaling Jaya, malam tadi.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis Malam Kebudayaan Onam 2011 bagi mengulas keputusan Telco pada 8 September lalu untuk mengenakan caj tersebut bagi produk tambah nilai dan pek permulaan bermula Khamis ini, D'Cruz menegaskan, tindakan Telco yang mengeluarkan notis singkat berhubung isu yang boleh membebankan pengguna itu sebagai tidak wajar.

Dalam kenyataannya, Telco telah mengumumkan akan mengenakan cukai kerajaan sebanyak 6% dalam semua jualan kad prabayarnya mulai 15 September ini.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Abdul Ghani berkata, kenyataan-kenyataan seperti itu ternyata hanya putarbelit para pemimpin Umno BN kerana tindakan yang diambil oleh Telco itu sendiri sebenarnya sudah diketahui, malah dipersetujui oleh pemimpin Umno BN sendiri sebelum keputusan itu diumumkan oleh Telco pada 8 September lalu.

"Bukti paling jelas apabila perkara itu sendiri sebenarnya sudapun dimasukkan dalam Bajet 2011 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri menjelang tahun 2011 lalu dan telah diluluskan oleh Kerajaan BN," katanya.

Dalam hubungan ini, menurut beliau, Telco sebenarnya hanya melaksanakan Bajet yang telah dibentangkan oleh Najib, tetapi apabila mereka ingin melaksanakannya, Najib dan para pemimpin Umno BN pula yang menyalahkan Telco kononnya bagi menggambarkan keprihatinan mereka kepada rakyat.

"Pada hal, apa yang dilakukan itu jelas mempunyai muslihat tertentu. Dengan langkah tersebut bermakna setiap RM10 nilai kad prabayar, harganya akan menjadi RM10.60, apabila 60 sen adalah cukai yang dikenakan kerajaan melalui Telco kepada penggunanya.

"Dengan jumlah 60 sen setiap RM10 yang akan dibayar oleh Telco kepada kerajaan itu, menurut mereka yang pakar, Kerajaan BN dijangka akan memperolehi pendapatan sebanyak RM750 juta hasil melalui cukai itu untuk tahun ini sahaja," jelasnya.

Wang itu, katanya, pasti amat berguna kepada Umno BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dan untuk menyembunyikan perkara itu, mereka tergamak berbohong kepada rakyat dengan menafikan keputusan yang telah dipersetujui oleh mereka sendiri yang ingin dilaksanakan oleh Telco sekarang.

Beliau menambah kata, Umno perlu ikhlas, jujur, adil dan telus serta professional dalam tindak tanduk mereka mengurus kepentingan rakyat dan orang ramai.

"Mereka perlu jujur kepada nilai-nilai kebenaran, keagamaan dan keluhuran. Mereka harus ingat bahawa amal tanpa ikhlas kerana Allah sia-sia. Malah ikhlas tanpa bersendikan akidah, ilmu dan dasar perjuangan Islam yang betul hanya membawa kepada kesesatan dan kerugian di dunia dan di akhirat," ujar beliau.

Bagaimanapun, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim hari ini mengumumkan bahawa kerajaan dan semua syarikat telekomunikasi (telco) bersetuju menangguhkan kutipan cukai berkenaan yang sepatutnya bermula 15 September ini.


Hina Islam: NGO mahu Agong campur tangan | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 12 September: NGO Jingga 13 hari ini menyerahkan surat kepada Yang DiPertuan Agong berhubung isu seorang individu yang didakwa menghina agama Islam di laman Facebooknya.

Penyerahan itu diketuai pengerusinya Fariz Musa kepada wakil pihak istana negara, DSP Shahar Mansor di sini.

Menurut Fariz penyerahan tersebut bagi memohon tuanku campur tangan ekoran tiada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak kerajaan walaupun aduan telah dibuat kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM).

Menurutnya ianya sesuai dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi menjaga kesucian agama di negara ini.

"Kegagalan Jamil Khir mahu pun Jakim dan juga SKMM dalam bertindak terhadap individu terbabit, kami berasa selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berharap campur tangan dari pihak istana dapat menyelesaikan isu tersebut.

"Semua agensi enggan mengambil tindakan serius dan apa yang kita lihat masing-masing cuba lepas tangan walaupun secara terang-terang lawan sesawang mahupun laman sosial itu menghina serta boleh memesongkan akidah umat Islam dinegara ini," katanya.

Sebelum ini, inividu yang mengelarkan dirinya sebagai Sitt Al-Wuzara didakwa mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam didalam blognya makcikhajjahsittalwuzara.com dan juga di laman sosial Facebook.

Beberapa laporan kepada pihak berwajib agama juga telah dibuat pelbagai pihak berhubung perkara itu yang juga sebelum ini pernah disiarkan sebuah akhbar berbahasa Melayu.

Menurut Fariz, individu terbabit bukan sahaja menghina Islam tetapi telah turut menderhaka kepada Yang Di Pertuan Agong dengan mengeluarkan kata-kata kesat tanpa rasa bersalah, malah tiada tindakan tegas diambil.

Tambah beliau lagi, bagi mengelakkan kes-kes murtad yang semakin meningkat serta tindakan yang melampau terhadap pemesongan akidah, penyelewengan fakta dan juga penghinaan agama Islam yang sangat merbahaya maka campur tangan Yang DiPertuan Agong adalah amat perlu.

"Kita sentiasa disajikan dengan berita mahupun isu murtad yang berlaku dinegara ini, perkara ini adalah amat serius serta perlu di tangani segera dan kami melihat pemesongan akidah serta memyebabkan seseorang itu menjadi murtad adalah disebabkan apa yang dimainkan oleh laman sesawang mahupun laman sosial dan inilah cara yang paling halus digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.


Penarikan tauliah terhadap Khalid Samad tidak adil
Penduduk Prihatin

Sebagai penduduk Shah Alam sejak sekian lama, saya ingin memprotes kenyataan Abdul Rahman Palil seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian keluaran 12 September 2011.

Semenjak Khalid Samad memenangi kerusi Parlimen, saya kerap kali mengikut tazkirah dan khutbah yang disampaikan oleh Khalid Samad.

Sepanjang mendengar tazkirah dan khutbah beliau, tidak pernah saya mendengar apa-apa perkara yang bersalahan dengan Islam mahupun dengan adat istiadat Melayu. Apa yang diperkatakan Khalid Samad adalah sesuai dengan Islam dan tidak menyalahi mana-mana tuntutan Islam

Tidak pernah saya dengar Khalid Samad menghalalkan arak, menghalalkan judi, mengatakan solat tidak wajib, mengatakan puasa tidak wajib ataupun apa-apa ajaran yang pelik dan tidak sesuai dengan Islam.

Sekiranya ada apa-apa perkara yang berlawanan dengan Islam, mengapa tidak didakwa sahaja Khalid Samad di Mahkamah Syariah?

Saya melihatkan apabila seorang yang berlatar belakangkan professional seperti Khalid Samad member ceramah, menjadi imam dan memberi tazkirah ia memberi semangat kepada pemuda-pemudi Islam untuk beramal dengan Islam dengan lebih baik.

Tindakan JAIS dan MAIS jelas bermotif politik dan bukannya untuk menjaga Islam. Bagi saya ianya satu tindakan politik hanya kerana Khalid bukan dari parti UMNO.

Sekiranya Khalid Samad ahli Parlimen dari UMNO, saya percaya JAIS dan MAIS akan memberi tauliah dengan mudah kepada beliau.

Saya sebagai penduduk Shah Alam amat kesal dengan sikap berat sebelah MAIS dan JAIS kerana membatalkan tauliah Khalid Samad itu.

Jelas ia adalah satu bentuk kezaliman ke atas Khalid Samad dan juga satu langkah yang merugikan pemuda-pemudi Islam di Shah Alam.

Yang benar,


PENDUDUK SHAH ALAM PRIHATIN


Penangguhan cukai 6% hanya sandiwara PRU 13 | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS menyifatkan penangguhan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna talian telefon prabayar oleh kerajaan hanya sekadar permainan politik BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ianya tidak lebih sekadar sandiwara kerajaan Umno BN, bagi meredakan kemarahan rakyat yang terbeban dengan kos hidup dibawah pemerintahan mereka.

"Ini hanya satu sandiwara untuk meredakan kemarahan rakyat menjelang PRU ke-13 nanti.

"Sedangkan, pihak Telco hanya menguatkuasakan apa yang dibentangkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dalam Bajet 2011 tahun lalu," katanya.

Beliau yang juga pengerusi Kempen Protes Barang Naik (Protes BN) berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim hari ini yang mengumumkan bahawa kerajaan dan semua syarikat telekomunikasi (telco) bersetuju menangguhkan kutipan cukai berkenaan yang sepatutnya bermula 15 September ini.

Penangguhan itu katanya sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebelum ini, Najib dalam pembentangan Bajet 2011 didakwa telah memasukkan kutipan cukai enam peratus tersebut dan Telco hanya melaksanakannya.

Baru-baru ini, telco telah mengumumkan akan mengenakan cukai kerajaan sebanyak enam peratus dalam semua jualan kad pra bayarnya mulai 15 September ini.

Ini bermakna, setiap RM10 nilai kad pra bayar, harganya akan menjadi RM10.60 di mana 60 sen adalah cukai yang dikenakan kerajaan melalui Telco kepada penggunanya.

Jumlah 60 sen setiap RM10 ini akan dibayar oleh Telco kepada kerajaan.

Kerajaan dijangka akan memperolehi pendapatan sebanyak RM750 juta hasil melalui cukai ini untuk tahun ini sahaja.

Namun begitu, jumlah ini tidak sebanyak mana jika dibandingkan dengan pendapatan yang akan diperolehi kerajaan jika menarik balik subsidi kepada enam Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) iaitu sebanyak RM17 bilion setahun.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena menyeru kepada seluruh pengguna prabayar agar tidak termakan sandiwara itu.

Katanya, tiada sebarang jaminan oleh kerajaan bahawa cas enam peratus itu tidak akan dikenakan selepas pilihan raya umum.

"Saya minta kepada pengguna prabayar agar terus memberi tekanan kepada kerajaan agar cukai ini dimansuhkan terus.

"Guna telefon prabayar anda untuk memastikan BN ditolak pada PRU ke-13 nanti," katanya.


British: Pemuda Johor mohon penjelasan Tun M | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Pemuda PAS Johor meminta mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi penjelasan terhadap beberapa persoalan termasuk penjajahan British dan kemerdekaan negara.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, ini ekoran Tun Mahathir telah memberi penjelasan kepada pandangan kontrovesi yang telah dikeluarkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) melalui jurucakapnya, Prof Zainal Kling di mana Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

Tun Dr Mahathir telah menyatakan bahawa secara teknikalnya memang Tanah Melayu tidak pernah dijajah kerana Sultan telah memutuskan untuk menjemput British menasihat baginda berkenaan pentadbiran negara ini.

Walaubagimana pun hakikatnya British bukan menasihat baginda tetapi British telah mengarahkan baginda mengikut telunjuk mereka.

“Bermakna British lebih berkuasa daripada baginda Sultan pada waktu tersebut,” ujar Suhaizan dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Persoalannya, kata beliau adalah:

1. Siapakah pemerintah sebenar pada zaman sebelum 31 Ogos 1957 ? Sultan atau British.

2. Apakah rakyat Tanah Melayu sebelum merdeka wajib patuh kepada pemerintah pada masa tersebut?

3. Apakah status penderhaka atau pengkhianat yang kita boleh berikan kepada Tok Janggut yang telah membunuh mata-mata terdiri daripada orang Melayu beragama Islam semasa kumpulan tersebut menyerang kepentingan pemerintah di Kota Bharu pada tahun 1915 ?

4. Apakah status yang boleh kita berikan kepada pegawai-pegawai Melayu beragama Islam yang bermati-matian mempertahankan pemerintah pada masa tersebut?

5. Apakah ada propaganda pemerintah pada sebelum 31 Ogos 1957 yang menyatakan bahawa sesiapa yang berlawan dengan pemerintah bererti menderhaka kepada baginda Sultan?

6. Apakah salah kita menanggap Umno sebagai anak emas perintah setelah tidak diharamkan oleh pemerintah pada masa darurat 1948 sedangkan semua pertubuhan lain diharamkan?

“Pemuda PAS Johor mewakili anak-anak muda Malaysia mahu penjelasan daripada Tun Dr Mahathir dan para sarjana sejarah mengenai persoalan-persoalan di atas,” ujarnya.


Kelantan dekati komuniti Muslim di Thailand
Rizal Tahir

NARATHIWAT, 12 Sept: Mengenali masyarakat Muslim di Thailand bukan lagi perkara asing bagi rakyat Kelantan, malah ramai mempunyai hubungan persaudaraan.

Namun bagi masyarakat Islam yang tinggal di Bangkok dan di wilayah-wilayah di utara Thai jarang dikenali kerana kedudukan geografi jauh dan komunikasi berlainan.

Mereka tidak bertutur bahasa Melayu seperti masyarakat Islam di wilayah selatan, sebaliknya menggunakan bahasa Siam.

Oleh itu bagi mengenali lebih dekat komuniti masyarakat Islam di utara Thailand, Konsul Diraja Thailand di Kota Bharu membawa pemimpin masyarakat Islam, pentadbir, pendidik dan wartawan Kelantan menyertai lawatan muhibah ke Thailand bermula hari ini.

Seramai 35 peserta yang mewakili beberapa jabatan kerajaan dan syarikat media dibawa melawat beberapa wilayah di selatan Thailand, Hadyai, Bangkok, Ayutthaya dan Chiangmai.

Rombongan berkenaan diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Ismail Saamah akan berada di Thailand sehingga 17 September ini.

Turut menyertai rombongan berkenaan, Senator Datuk Dr Johari Mat, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Muhammad Salleh, Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Islam Kelantan, Muhammad Ya dan Penolong Pengarah Jaheaik, Saibon Ismail,

Turut diundang beberapa wakil agensi media antaranya Berita Harian, Metro, Utusan Malaysia dan Harakahdaily.

Di Narathiwat pagi ini rombongan mendengar taklimat disampaikan Timbalan Gabenor Narathiwat, Dejrat Simsiri.

Selepas itu diadakan pula perjumpaan dengan Majlis Agama Islam Narathiwat. Dan selepas ini bertolak ke Pattani bagi mengadakan perjumpaan dengan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani.

Manakala esok akan diadakan taklimat oleh Gabenor Yala dan perjumpaan dengan Majlis Agama Islam Yala. Perjumpaan juga akan diadakan dengan Setiausaha General Pentadbir Wilayah Selatan. Dan pada sebelah petang bertolak ke Bangkok.

Perjumpaan dengan Menteri Luar Thailand, Surapong Tonchakchaikul juga akan diadakan sempena lawatan itu.

Sementara itu Ismail ketika ditemui berharap lawatan berkenaan akan dapat memberi pengalaman baru dan mengetahui perkembangan penduduk Islam di Thailand.

“Kita berharap akan mendapat manfaat yang lebih baik sempena lawatan ini khususnya dalam mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri dan Thailand,” ujarnya.


Mat Sabu lawan Zainal Kling | Print |
Ahmad Lutfi Othman
Sejarah memang memerihalkan perkara yang sudah berlalu, namun ia bukan benda mati, malah pentafsirannya cukup dinamik, hidup dan sentiasa berkembang, sehingga boleh merumuskan pelbagai persepsi. Fakta sejarah sukar dibohongi tetapi "pihak yang menang" mempunyai pengaruh tersendiri untuk "memesongkannya".

Begitulah menariknya polemik sejarah kemerdekaan negara, yang tiba-tiba saja menarik perhatian semua lapisan masyarakat mengikutinya daripada dekat, apabila ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu disensasikan Utusan Malaysia dan hingga kini, selepas lebih dua minggu, masih menjadi tajuk utama akhbar dan berita TV.

Mat Sabu mungkin tidak mempunyai disiplin ilmu sejarah yang baik, seperti beberapa orang anggota Majlis Profesor Negara (MPN), misalnya Prof Zainal Kling dan Prof Ramlah Adam, namun beliau berupaya untuk memaksa "tafsiran baru" dibuat terhadap sejarah perjuangan menghalau penjajah.

Bagi saya, beliau berjaya -- melalui gaya tersendiri -- "menganjurkan" satu perdebatan yang sihat dan diharap membuahkan hasil yang positif dan adil kepada sejarah negara. Terjahan awal Zainal Kling yang mendakwa Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, pastinya tidak terhenti di situ sahaja.

Dan tidak mustahil tafsiran Mat Sabu terhadap sejarah kemerdekaan negara akhirnya akan lebih diyakini khalayak berbanding dua profesor yang dikenali sebagai cukup rapat dan dekat dengan Umno itu. (Pengalaman saya membaca buku-buku Ramlah Adam dapat mengesan "kecurigaan" dan "buruk sangka" yang ketara kepada tokoh-tokoh golongan kiri, seperti Ahmad Boestamam dan lain-lain).

"Kalau bukan disebabkan media secara berlebihan memainkan isu ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong, saya pasti ramai di kalangan kita tidak pernah kenal apa itu pertubuhan politik seperti PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malayu) atau API (Angkatan Pemuda Insaf)," kata seorang rakan, pensyarah kanan sains politik.

"Dan mungkin ada yang beranggapan lokasi Bukit Kepong itu berada di sekitar Kepong atau Jinjang," tambahnya, sambil ketawa. "Di sinilah hebatnya Mat Sabu. Sejarah yang mungkin dianggap sudah mati itu kembali segar-bugar. Kepada saya, biarlah orang berdebat siapa Mat Indera, dan pula siapa petualang dan pejuang kepada negara."

Zainal yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya MPN dalam sidang media di Putrajaya mendakwa, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan di zaman penjajahan Jepun. Beliau juga menafikan gerakan kiri sebagai golongan memperjuangkan kemerdekaan.

Kenyataan Zainal sebenarnya tidaklah mengejutkan. Ia dilihat mewakili aspirasi perjuangan Umno, yang lebih bertindak sebagai "perunding" dalam fasa-fasa akhir menuntut kemerdekaan. Ya, di sinilah menariknya perbahasan yang dicetuskan Mat Sabu itu, yang bakal menyerlahkan perbedaan besar di antara peranan Umno dengan parti-parti terdahulu yang diharamkan penjajah British.

Saya tidak pasti di manakah kedudukan penentang-penentang British, yang mempertaruhkan nyawa demi membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajah seperti Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dol Said, Maharajalela, Tok Janggut dan Rosli Dhobi, pada kacamata Zainal dan orang-orang seumpamanya?

Saya cuba membayangkan bagaimana sukarnya tokoh-tokoh awal, seperti Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam, yang membangkitkan kesedaran rakyat untuk menentang British.

Bukan mengenangkan kepayahan mereka diburu penjajah, dengan kelengkapan yang cukup minimum, tetapi kesukaran untuk meyakinkan anak bangsa sendiri -- terutama yang merasa selesa di bawah dagu orang putih -- bahawa mereka perlu bangun daripada lena yang panjang, selain menimbulkan kesedaran awal pemikiran politik.

Sebelum menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938, Ibrahim Yaakub memimpin gerakan pelajar, Ikatan Pemuda Pelajar pada 1929, seterusnya pada 1930, Ikatan Semenanjung Borneo, yang berpusat di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, sehinggalah British menghancurkan gerakan itu pada 1932.

Sekiranya nasionalis Umno hanya baru sedar untuk membebaskan diri daripada penjajahan selepas konsep Malayan Union diperkenalkan pada 1946, anak-anak Melayu yang terdidik di Timut Tengah, terutama di Universiti Al-Azhar sudah menjiwai roh kemerdekaan sejak awal 1900-an lagi, dipengaruhi mujaddid agung Islam seperti Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan Rashid Ridha.

Tidak hairanlah apabila majalah al-Imam, yang dikeluarkan pada 22 Julai 1906 di Singapura oleh tokoh-tokoh pembaharu Islam, Kaum Muda, mengungkapkan dengan jelas tujuan penerbitannya: "Mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan."

Dari segi organisasi yang lebih teratur, perjuangan ini diteruskan dengan kelahiran Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol, Perak, pada 14 Mac 1948, di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Dalam kenyataannya pada 26 April 1948, Dato Onn Jaafar mengingatkan satu lagi "bahaya dari gunung" dan menyifatkan "Parti Islam itu Merah". Onn berjaya menghasut British bahawa Hizbul Muslimin prokomunis.

Melalui Akta Darurat 1948, pada 29 Julai tahun sama, semua pemimpin Hizbul Muslimin, termasuk Abu Bakar, ditangkap dan dipenjarakan sehinggakan tiada yang tinggal untuk memimpin. Parti itu turut diharamkan. Ramai pengkaji menyifatkan penubuhan PAS pada November 1951 adalah kesinambungan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan penjajah itu.

Saya tidak bermaksud mahu bermain dengan fakta sejarah. Saya percaya perdebatan status Tanah Melayu, sama ada sebagai negara jajahan ataupun naungan British akan menarik pembabitan lebih ramai sejarahwan yang jujur dengan ilmunya untuk berkongsi pandangan.

Implikasi perbahasan itu juga menjangkaui skop yang jauh lebih besar, termasuk memberi kesan besar terhadap situasi politik terkini. Ia bukan lagi berlegar di sekitar kontroversi Mat Indera dan Bukit Kepong semata-mata. Dan inilah yang saya jangkakan dalam tulisan saya sebelum ini.

Isu ini mulanya dicetuskan oleh Utusan Malaysia bagi menjerat Mat Sabu dan PAS itu sendiri, iaitu sebuah parti yang dilihat bakal memberi saingan paling sengit buat Umno, khususnya untuk merebut simpati dan sokongan pengundi Melayu dalam PRU13. Ia juga diharapkan BN bagi menenggelamkan isu-isu membabitkan kepentingan rakyat, seperti kenaikan harga barangan dan pelbagai skandal kewangan, serta yang terbaru caj perkhidmatan enam peratus telefon prabayar.

Menjadi kelaziman kepada strategis Umno untuk meneropong kegiatan dan kenyataan pemimpin pembangkang dengan sehalus-halusnya, untuk dimanipulasi dan diputarbelitkan, bagi menggambarkan kepada rakyat kelemahan Pakatan Rakyat.

Saya boleh bersetuju dengan pandangan seorang rakan yang mengingatkan bahawa dalam PRU13 nanti kemenangan bukan ditentukan oleh kehebatan parti atau calon yang bertanding, tetapi difaktorkan oleh "kesilapan paling minimum" yang dilakukan parti atau calon berkenaan.

Maknanya, mereka yang melakukan kesilapan lebih banyak akan mudah untuk ditumpaskan.

Di peringkat awal, nampak kenyataan Mat Sabu mengenai Mat Indera itu (dan bukannya tentang sejarah kemerdekaan negara) seperti mudah dieksploit Umno, terutama kepada bekas anggota keselamatan dan orang-orang tua di kampung-kampung, tetapi apabila skop perbincangannya menjadi lebih meluas, saya yakin kedudukannya menjadi lebih seimbang.

"Saya rasa kesungguhan luar biasa media Umno menimbulkan isu Mat Sabu, Mat Indera dan sejarah kemerdekaan negara ini boleh menikam balik dirinya," rumus seorang penganalisis politik.

"Apa pun, saya ingatkan kepada pemimpin pembangkang, berhati-hatilah daripada terjebak dengan perangkap Umno menjelang pembubaran Parlimen. Banyak isu yang sedia memihak Pakatan Rakyat, selain menampilkan gabungan mantap yang diyakini rakyat untuk mengambil alih Putrajaya," tambahnya.

Sekurang-kurangnya kini terpampang dengan lebih jelas wajah Umno yang propenjajah, di mana pemimpinnya sejak sebelum merdeka sehinggalah hari ini, lebih memikirkan soal kepentingan dan kesenangan diri. Dengan kata lain, Umno dan British saling perlu-memerlukan.

Dalam buku Perniagaan British di Malaysia Pascapenjajah 1957-70 (terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010), Nicholas J White mengungkapkan: "Pada masa bunga tahun 1959, usaha diambil pada peringkat menteri untuk mendekati pelbagai pemimpin perniagaan British bagi mendapatkan dana bagi membantu Perikatan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"Diharapkan M$500,000 dapat dikumpulkan daripada perniagaan Eropah. Oleh sebab wakil ekspatriat memang dijangka kehilangan tempat mereka dalam badan perundangan Malaysia pada akhirnya, maka Tan Siew Sin, Menteri Perdagangan dan Industri, menjelaskan bahawa firma British 'pasti menyumbang untuk menyokong kerajaan

yang memegang tampuk kuasa, dan kerana (mereka) tidak mungkin mengharapkan layanan lebih baik daripada mana-mana parti yang lain berbanding dengan layanan oleh Perikatan, sudah tentu dasar yang baik bagi mereka adalah untuk berusaha sedaya upaya demi memastikan Perikatan terus memegang kuasa dengan besar'."

Umno punca kuasa sultan terhad | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menyifatkan Umno adalah pewaris kepada sistem yang ditinggalkan oleh penjajah.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas situasi terkini di tanah air berkenaan dakwaan bahawa hanya Umno adalah pejuang kemerdekaan.

“Ianya seolah-olah menafikan peranan golongan lain yang turut berjuang untuk mencapai kemerdekaan di negara ini.

“Apa yang kita lihat melalui sejarah ialah kemerdekaan diberikan kepada orang Melayu oleh orang putih kepada golongan yang paling mereka (British) percayai pada waktu iaitu Umno,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, British sudah tentu akan memastikan bahawa bukan sahaja kepentingan politik mereka akan terjaga bahkan ekonomi British juga turut dijaga.

Katanya, Umno dilihat sebagai pihak yang paling sesuai setelah kemerdekaan untuk menjaga kepentingan itu kerana British tidak percaya kecuali kepada hanya Umno sahaja untuk menjaga kepentingan mereka.

“Saya ingin ingatkan kepada seluruh orang Melayu di Malaysia bahawa sistem perlembagaan yang meletakkan pihak sultan hanya mempunyai kuasa yang terhad adalah berpunca kerana Umno.

“Umno ketika ingin memperolehi merdeka daripada British bersetuju untuk mengikut sistem yang diamalkan di British di mana raja hanya memegang jawatan terhormat dan hanya mempunyai kuasa yang terbatas dalam pentadbiran,” ujar beliau lagi.


Minum petang Najib-Hakim timbul persoalan pemisahan kuasa | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk “minum petang” dengan beberapa hakim tertinggi di Istana Kehakiman telah menimbulkan prasangka Majlis Peguam terhadap sistem pemisahan kuasa di negara ini.

Dalam satu kenyataannya, pengerusinya Lim Chee Wee (gambar) berkata adalah penting untuk membezakan antara pembaharuan kehakiman yang menjadikan proses pentadbiran cekap dalam satu tangan, dan pembaharuan untuk mengatasi masalah, yang dilihat atau sebaliknya, dengan integriti kehakiman.

“Sesetengah berpandangan bahawa adalah tidak menyenangkan untuk ketua-ketua tiga cabang kerajaan untuk mengadakan mesyuarat rasmi atau untuk bersosial sekali-sekala. Ini mungkin amat benar di mana institusi masing-masing adalah kukuh dan bebas, dan dilihat sebagai demikian, sekali gus menikmati keyakinan orang ramai.

"Yang menggelisahkan kini ialah kesenyapan orang awam ke atas 'jamuan teh petang' ini boleh dilihat sebagai tanda bahawa institusi kita tidak lagi menikmati keyakinan penuh,” kata beliau.

Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa melawat Istana Kehakiman untuk satu jamuan teh petang yang didakwanya kerana menerima undangan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.

Najib berkata, beliau hanya bersedia melakukan lawatan kerja ke Istana Kehakiman tersebut apabila menerima undangan daripada Zaki sendiri.

"Sebenarnya dalam menimbang untuk membuat lawatan kerja ke Istana Kehakiman ini, saya mengambil sikap berhati-hati supaya tidak timbul sebarang tanggapan atau perspektif negatif mengenai hubungan antara badan eksekutif dan badan kehakiman.

"Jalinan hubungan ini bukan hanya perlu sempurna tetapi ia juga perlu nampak sempurna," kata beliau.

Malah, beliau menambah, Zaki sendiri menganggap lawatan itu tidak akan memberi sebarang tanggapan atau perspektif negatif dari masyarakat umum.

"Saya berani buat lawatan ini apabila Ketua Hakim Negara (Zaki) yang mengundang dan beliau menyatakan tidak ada masalah kerana pertemuan seperti ini pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Selepas dikecam, Zaki menyangkal mengenai lawatan Najib ke Istana Kehakiman sebagai tanda campur tangan politik dalam badan kehakiman negara.

“Perdana Menteri adalah ketua badan kehakiman bagi tujuan pentadbiran terutama dalam soal peruntukan kerana beliau akan mewakili kami di Parlimen. Ia adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.

“Selama ini, beliau (Najib) sentiasa menjarakkan hubungan dengan pihak hakim tetapi kini, mungkin memikirkan bahawa saya akan bersara tidak lama lagi, maka dia sudi melawat kami. Itu sahaja.

“Kerajaan membelanjakan banyak wang bagi memantapkan badan kehakiman. Bukankah sesuatu yang wajar untuk beliau memastikan bagaimana peruntukan itu dibelanjakan? Adakah kami akan terpengaruh dengan hanya minum teh bersama Perdana Menteri?” katanya.

Berdasarkan kenyataan Najib, Lim berkata masa sudah sampai untuk kerajaan melaksanakan dengan segera cadangan yang terkandung dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat klip video seorang peguam yang dikatakan cuba mempengaruhi pelantikan badan kehakiman pada 9 Mei 2008.

Menurut Lim, suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat perbualan peguam Datuk V K Lingam dan Ahmad Fairuz berbual menerusi telefon mengenai pelantikan hakim mencadangkan agar Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan ditukar kembali ke bentuk asalnya supaya “badan kehakiman boleh bebas sekali lagi untuk mencapai harapan tertinggi masyarakat selama ini – dengan ini tiada ruang untuk kebimbangan mengenai isu kuasa kehakiman."

Menurut Professor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, pemindaan Perkara 121(1) telah menimbulkan persepsi silap bahawa badan eksekutif negara berhasrat untuk mendiamkan badan kehakiman, dan ini telah memalukan semua hakim negara.

Kata Lim lagi, adalah tanggungjawab Perdana Menteri dan kerajaan untuk berusaha ke arah komitmen yang diisytiharkan itu untuk mencapai satu sistem kehakiman yang bebas, dan dakwaan bahawa hubungan antara pelbagai institusi kerajaan mesti, tidak hanya menjadi betul, tetapi juga mesti dilihat sebagai betul.

“Majlis Peguam turut berharap Badan Kehakiman dapat mengukuhkan kebebasannya, dan berusaha untuk mengembalikan doktrin pengasingan kuasa ke tempat yang sah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia,” tambah beliau.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk 'minum petang' dengan beberapa hakim tertinggi di Istana Kehakiman, menimbulkan kecurigaan dan merbahaya.

Katanya, tindakan itu boleh menyebabkan orang ramai tidak yakin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima perbicaraan yang adil dalam kes yang dihadapinya.

“Perkara yang lebih memburukkan adalah hakim-hakim tertinggi turut sama ikut serta dalam perjumpaan ini yang terus menghakis keyakinan orang ramai dalam sistem kehakiman kita,” kata Surendran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan