Selasa, 20 September 2011

KITA ADA KEHENDAK...ALLAH JUGA ADA KEHENDAK...MAKA KEHENDAKLAH YANG MENENTUKAN...ALLAH YANG MENENTUKAN SEMUANYA...

Husam saman Kickdefella RM5 juta | Print |
Harakahdaily

KOTA BHARU, 19 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa memfailkan saman terhadap blogger Kickdefella sebanyak RM5 juta berhubung dakwaan fitnah ke atasnya.

Writ saman dan pernyataan tuntutannya ke atas Kickdefella atau nama sebenar Syed Azidi Syed Abdul Aziz difailkan di Kaunter Pendaftaran, Mahkamah Tinggi Malaya, Kota Bharu, petang ini.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan diwakili Peguam Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates.

Di dalam writ saman itu, Husam selaku plaintif menuntut Syed Azizi selaku defendan memohon maaf secara bertulis kepadanya tanpa syarat.

Defendan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif dengan menyiarkan permohonan maaf di dalam laman blog defendan serta memadam ketiga-tiga artikel yang ditulis oleh defendan di dalam blog defendan iaitu yang bertajuk 'HUSAM TELAH MENIPU RAKYAT DAN SAHABAT’ pada hari Khamis 27 Januari 2011, artikel ‘SEBELUM KITA LUPA NORMALA SUDIRMAN’ yang diterbitkan pada hari Khamis 3 Februari 2011 dan artikel ‘HUSAM ITU PEMBOHONG’ pada hari Ahad 3 Julai 2011.

Husam juga menuntut Syed Azidi mengiklankan permohonan maaf tersebut di dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu selama satu (1) hari, bayaran gantirugi sebanyak RM5 juta kepada plaintif bagi gantirugi terhadap perbuatan fitnah yang telah disiarkan di ruangan blog defendan, gantirugi teladan, gantirugi melampau, gantirugi punitif.

Selain itu, satu injunksi bagi menghalang defendan dan/atau ejen-ejennya dan/atau pembantu-pembantunya dan/atau sesiapa sahaja dari berkomunikasi, memberi komen, mengulangi dan/atau menyebabkan menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan atau perkataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif, plaintif diberi kebebasan untuk memohon perintah-perintah lanjut, faedah pada kadar 8% setahun ke atas gantirugi yang dibenarkan oleh mahkamah dari tarikh writ saman hingga penyelesaian penuh, kos atas dasar peguamcara dan klien, kos untuk tuntutan ini; dan lain-lain relif yang mahkamah fikirkan wajar, adil dan suaimanfaat.



LPF, Finas perlu panel syariah aktif | Print |
Nasrudin Hassan
1. Sungguh menyedihkan ! Ramai pihak sangat kesal dengan kelemahan ketara yang berlaku dalam Lembaga Penapisan Filem [LPF] di bawah Kementerian Dalam Negeri [KDN] dan juga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional [FINAS] di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan [KPKK] sehingga membenarkan filem-filem yang berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan untuk tontotan umum.

2. Filem terbaru yang mengandungi unsur menghina Islam adalah “Hantu Bonceng” yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri dengan lakonan oleh Mohd Razizan Abd Razak [Zizan RL]. Salah satu babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut "Asyhadu anna Muhammadar Syaitan" yang membawa maksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan".

3. Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan. Sementelah pula filem yang menjadi tontonan umum ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran yang salah masyarakat terhadap Islam. Lebih berisiko apabila kelak ia turut merosakkan aqidah masyarakat awam.

4. Dewan Pemuda PAS turut mempersoalkan, sekiranya benar wujud panel penapisan di dalam LPF ataupun diperingkat FINAS sendiri mengenai filem-filem yang bakal ditayangkan untuk tontonan umum mengapa masih wujud babak yang menimbulkan kontroversi ini ? apa yang ditapis selama ini ? penapis apa yang mereka pakai ? penapis tea ? atau penapis cendol yang berlubang besar ? sehingga masih banyak adegan yang "menyenakkan mata" dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan.

5. Lebih malang, pihak berkuasa agama seperti kaku dan kelu tidak tahu berbuat apa -apa meskipun berdepan dengan isu penghinaan terhadap Islam. Sedih sungguhnkami dibuatnya. Apalah erti dan makna pihak berkuasa agama ? sebelum ini, JAKIM seperti tiada kuasa dan tiada apa yang boleh dilakukan malah untuk menerima memorundum pun tidak berkeupayaan apabila tercetus isu penghinaan terhadap Islam dan syariatnya oleh Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara.

6. Lambakan filem tahyul dan karut menerusi tontonan umum di kaca televisyen samaada melalui chanel RTM ataupun chanel swasta seperti Astro terus bermaharajalela tanpa sebarang tindakan berkesan oleh pihak berkuasa agama. Apa sudah jadi ? Apakah pihak berkuasa agama tidak menyedari perkara ini ? jika orang awam pun menyedari berlakunya perkara ini, bagaimana pihak berkuasa agama masih tidak menyedarinya ?

7. Kerajaan juga selayaknya serius melihat perkara ini. Jangan biarkan filem menjadi medium untuk menghina, mempersenda dan memperkecilkan Islam di dalam negara ini. Sebelum ini, peka benar kerajaan terhadap isu Kalimah Allah, Isu Gereja dan isu komunis yang tidak wujud. Kenapa dalam perkara ini pihak kerajaan dan jabatan Agama kelihatan seperti "mati pucuk" ? tidak tahu dan tidak berupaya bertindak selayaknya.

8. Dewan Pemuda PAS sangat khuatir sekiranya tidak ada satu garis pandu yang berlandaskan Syariat Islam menjadi rujukan kepada LPF dan FINAS, filem-filem yang lebih “luar biasa” akan dihasilkan dan mungkin diluluskan kerana keuntungan yang bakal diperolehi oleh pihak-pihak tertentu tanpa menimbang tara impak yang akan berlaku. Bukan sahaja kepada filem tempatan yang semakin hari semakin memperlihatkan kepada umum bagaimana hilangnya nilai seni, moral, adab serta adat ketimuran tetapi juga kepada filem luar [asing] yang mengundang kepada keruntuhan moral, akhlak, pemikiran dan budaya masyarakat kita.

9. Justeru, Dewan Pemuda PAS meminta pihak FINAS mahupun LPF untuk mewujudkan panel syariah yang berauthoriti sebagai lembaga penapisan yang tertinggi terutama dalam menapis cerita atau filem yang mempunyai kaitan dengan agama Islam. Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada mereka yang terlibat secara lansung di dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar untuk merujuk kepada alim ulamak seperti mufti atau pihak berkuasa Agama seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia [JAKIM] terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem. Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulamak untuk melepaskan diri.

10. Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada para artis untuk meneliti dan membuat kajian terlebih dahulu mengenai skrip yang bakal dilakonkan oleh mereka. Sekiranya skrip tersebut mengandungi unsur-unsur yang dirasakan bertentangan dengan fitrah dan juga berpotensi untuk mencemarkan kemuliaan Islam maka bertanyalah kepada para ulamak . Perkara ini juga mesti dilakukan oleh pihak penerbit, pengarah mahupun pelakon agar tidak mewujudkan suasana kontroversi seperti ini.

Semoga industri filem negara terus maju dan berkembang ke serata dunia dengan membawa imej negara yang baik dan gemilang tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak semata - mata untuk dijadikan tangkal pelaris filem di bioskop antarabangsa.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

PRU 13 dipercayai sebelum Hari Natal | Print |
Subky Latif
DIPERCAYAI Pilihan Raya Umum ke 13 akan diadakan sebelum Hari Natal 25 Disember akan datang.

Tanda-tanda pilihan raya sudah hampir berdasarkan perlantikan pengurus pilihan raya bagi Parlimen sudah pun dibuat.

Sudah ada pegawai pengurus pilihan raya itu telah menerima perlantikan dari Suruhanjaya Pilihan Raya.

Seorang daripadanya memberitahu saya, dia sudah menerima perlantikan itu.

Dia tidak diberitahu bila pilihan raya itu akan diadakan kerana tarikhnya tidak dinyatakan, tetapi dia menunggu arahan bila latihan persiapan akan diadakan.

Dengan maklumat itu dapat diduga bahawa pilihan raya sudah hampir.

Ia adalah tanda awal selepas jenteri pilihan raya BN sudah selesai mengadakan pilihan raya olok-olok dan Perdana Menteri sudah pun menjelajah ke seluruh negara bagi meningkatkan persiapan jentera pilihan raya partinya.

Apa pun ia tidak mungkin diadakan sebelum bulan Disember, pertama disebabkan latihan bagi pegawai pengurus dan lain-lain kaki tangan bagi peti undi belum bermula.

Ia tidak mungkin dibuat sebelum Oktober kerana menjelang Oktober rombongan haji ke Mekah mula berangkat.

Tidak ada kemungkinan pilihan raya itu akan diadakan dalam musim haji kerana Suruhanjaya Pilihan Raya pernah ada pengalaman mengadakannya dalam musim haji dalam tahun 1980an dulu.

Ada calon dari Wanita UMNO Pulau Pinang yang sudah berada di Tanah Suci terpaksa balik kerana bertanding. Ia satu kesalahan bagi ibadat haji bagi jamaah yang sudah berada di Mekah kembali ke tanahair sebelum mengerjakan haji.

Tindakan kerajaan bersetuju mengadakan pilihan raya dalam musim haji itu adalah perampas hak pengundi yang mengerjakan haji dari melakukan tanggungjawab menentukan wakil dan kerajaan yang hendak dipilihnya.

Beribu-ribu jamaah haji telah hilang peluang mengundi dan mereka hanya mengikut perkembangannya dari jauh.

Jamaah yang malang itu adalah pengundi bagi calon PAS dan BN khususnya UMNO. Mereka saja yang menunaikan haji.

Ia tidak menjejaskan pengundi DAP dan lain-lain pengundi BN bukan Islam. Tindakan itu merugi pengundi Islam saja. Jelaslah tindakan itu bersifat merampas hak orang Islam.

Menjelang pilihan raya itu saya pernah menulis rencana menyeru umat Islam yang bercadang untuk menunaikan haji tahun itu membatalkan hasratnya ke Mekah kerana mengundi itu lebih aula. Ia hanya berlaku empat atau lima tahun sekali dan rakyat wajib mengutamakan pengundi kerana ia menentukan kerajaan yang hendak ditegakkan. Adapun haji ada setiap tahun.

Mursyidul Am PAS sekarang, ketika itu belum menjadi Menteri Besar Kelantan telah menyokong saranan rencana saya itu.

UMNO tidak dapat memberi jawapan atas kecaman pembangkang atas kejadian itu.

Dipercaya UMNO yang membelenggu SPR tidak mahu kejadian itu berulang.

Jamaah haji hanya selsai pulang menjelang hujung bulan November. Maka selepas itu barulah pillihan raya itu akan diadakan.

Apapun ia tidak mungkin adakan hujung bulan itu kerana ia sedang dalam musim peperiksaan. Beberapa peperiksaan sekolah menengah belum selesai. Pillihan raya tidak mungkin diadakan sebelum selesai peperiksaan kerana ia melibatkan guru-guru sebagai pengendali hari mengundi dan sekolah sebagai tempat tempat mengundi.

Masalah yang besar dalam bulan Disember selalunya ia adalah musim hujan di pantai timur. Ia boleh menyukarkan jika musim hujan itu diikuti oleh banjir.

Tetapi banjir sekarang tidak lagi semestinya hujung tahun saja dan tidak saja di pantai timur. Ia boleh berlaku di mana-mana saja dan bila-bila masa.

Bagi hujung tahun ini tiada lagi masa yang lebih baik selain dari bulan Disember, dan ia mestilah sebelum hari Krismas.

Jika tidak diadakan waktu itu, maka ia terpaksa memikirkan tahun 2012 pula.


Lagi peneroka Jengka saman Felda RM510 juta | Print |
Harakahdaily

TEMERLOH, 19 Sept: Felda bakal berdepan musibah terbaru sebaik menerima tuntutan saman lebih RM510 juta dari peneroka di kawasan Jengka, Pahang dalam jangka masa terdekat.

Ini berikutan 345 lagi peneroka menyerahkan borang waran pelantikan peguam yang menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang menyaman Felda di kawasan itu setakat ini adalah seramai 1,056 orang, lapor Keadilan Daily.

Pada Julai lalu, Felda disaman oleh 711 peneroka di kawasan itu, selain deretan saman dari peneroka di Kelantan, Johor, dan Negeri Sembilan.

Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said dalam laman blognya mendedahkan, jumlah tuntutan oleh 1,056 peneroka terbabit merupakan jumlah terbesar setakat ini.

“Jumlah tuntutan sebanyak RM510,048,000.00 merupakan jumlah terbesar yang pernah dituntut oleh peneroka-peneroka Felda terhadap Felda,” katanya.

Lanjutan dari kes ini, Jawatankuasa Bertindak yang mewakili peneroka-peneroka terbabit mengadakan Majlis Penyerahan Borang Pelantikan Peguam yang disempurnakan dengan kehadiran Pengarah Guaman PKR, Latheefa Koya di Markaz PAS Felda Jengka 17, semalam.

(Gambar: Latheefa Koya menerima borang waran pelantikan peguam dari sekumpulan wakil peneroka Jengka sambil disaksikan Suhaimi Said.)

Menurut Suhaimi, saman itu dikemukakan berikutan peratusan kadar perahan gred (KPG) buah sawit yang dimanipulasi oleh Felda dan kilang-kilang Felda.

“Mereka (peneroka) menuntut buah sawit yang ditolak oleh kilang Felda kononnya buah-buah itu mengkal, muda dan tangkal panjang, walhal buah-buah ini diuji di makmal dengan peratusan perahan sebanyak 20 peratus.

“Buah-buah sawit dari kawasan ini telah dihantar ke makmal dan disahkan peratusan perahan KPG (Kadar Perahan Gred) tidak pernah menurun dari 27 peratus sedangkan Felda hanya membayar kepada peneroka di atas kadar perahan antara 17 peratus hingga 19 peratus.

“Ini mendatangkan kerugian yang amat besar kepada peneroka-peneroka. Kiraan selama 15 tahun kerugian yang ditanggung oleh peneroka-peneroka melebihi RM400,000.00 bagi setiap peneroka,” kata Suhaimi.


Sejarah merdeka dan 'Mat Sabu direbus hidup-hidup' | Print |
Ahmad Lutfi Othman
Seorang rakan melahirkan rasa lega apabila akhbar hari ini, 16 September, lebih tertumpu kepada pengumuman Perdana Menteri memansuhkan akta rimba, ISA.

Riuh-rendah puja-puji buat Najib Razak yang telah melakukan "inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah".

"Kenapa pula?" tanya saya, separuh mendesak.

"Yalah, sekurang-kurangnya akhbar tidak lagi bantai Mat Sabu, lega sikit," balasnya, merujuk paparan media, khususnya Utusan Malaysia dan TV3, yang tidak henti-henti menyerang Timbalan Presiden PAS itu, sejak 27 Ramadan lalu.

"Saya tak nampak isu Mat Sabu ini meletakkan PAS pada kedudukan bertahan, dan menyerahkan posisi menyerang kepada Umno," pintas saya. "Mungkin di peringkat awal nampak kita tertekan, tapi ini 'kan perkara biasa. Kena cara dan strateginya, Umno pula terpaksa menjawab nanti."


"Yang penting, jangan biar Mat Sabu sahaja yang menangkis tohmahan itu," ingatan seorang rakan lain.

Memang ungkapan sepintas lalu Mat Sabu mengenai peristiwa Bukit Kepong boleh mengundang salah tafsir, apatah lagi apabila media bertubi-tubi mendakwa beliau menyamakan Mat Indera dengan tindakan ganas komunis.

Malah, jika kita meneliti laporan akhbar selama 20 hari berturut-turut itu, sentimen bekas anggota polis dan tentera, yang sebahagian besarnya Melayu, dieksploit semahunya. Pelbagai event segera

Bukan setakat melibatkan pesara pasukan keselamatan yang tercedera akibat angkara pengganas komunis (hampir semua yang ditonjolkan media itu berlaku pada era pasca kemerdekaan, termasuk dekad 70-an, dan langsung tiada kaitan dengan ceramah Mat Sabu), tetapi juga membabitkan bekas panglima dan ketua-ketua polis, "yang sudah bijak bermain politik".

Bagaimanapun rakan saya itu lebih risau dengan kemampuan jentera penerangan parti untuk menangkis serangan media Umno.

Beliau kurang yakin dengan rangkaian pengedaran Harakah yang terbatas, apatah lagi media baru seperti laman web, blog, twitter dan facebook, dilihat belum cukup meluas menembusi "kekebalan" Umno di kampung-kampung, termasuk rancangan Felda.

"Saya tidak bimbang kesan jangka panjang kontroversi Mat Sabu, malah ia cukup menekan Umno. Soalnya, kita bakal berdepan PRU13 bila-bila masa. Rugi besar jika isu-isu lain tenggelam begitu saja nanti."

"Umno masuk berkempen dalam setiap rumah melalui TV. Ramai juga, termasuk penyokong PAS, yang terpengaruh atau berjaya diragui oleh Utusan Malaysia," tegasnya, sambil meletakkan tanggungjawab kepada saya dan rakan-rakan di Harakah, untuk bingkas menjawab serangan itu.

"Kadang-kadang pelik memikirkan tabiat orang kita," kata saya, merujuk 'kelemahan' ahli-ahli PAS, "ada kalanya kita sendiri boleh bertegang leher disebabkan laporan Utusan, yang sedia diketahui memang bertujuan melemahkan jemaah. Sekurang-kurangnya dapatlah info yang betul terlebih dulu."

Saya masih percaya kontroversi Mat Indera ini dapat dikendurkan jika subjek utama ceramah Mat Sabu di Tasik Gelugor, iaitu pengiktirafan kepada semua pejuang kemerdekaan dan pembetulan (rekonstruksi) terhadap sejarah negara yang dipesongkan, dapat diletakkan pada landasan sebenarnya.

Sekurang-kurangnya anak-anak muda kini tercari-cari buku dan dokumentasi sejarah kemerdekaan. Nama-nama seperti Ibrahim Yaakob, Mustapha Hussain, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam dan Abu Bakar Baqir menjadi sebutan.

Begitu juga dengan nama-nama pertubuhan Melayu yang radikal seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Gerakan Pemuda Melayu (GERAM), Pemuda Radikal Melayu (PERAM) dan Hizbul Muslimin.

Beberapa ungkapan revolusioner, menandakan penentangan total terhadap penjajah, diminati anak-anak muda, seperti tulisan Ahmad Boestamam dalam Testament Politik API: "Kita menghadapi penjajahan dengan revolusi. Kita tidak segan membasahi bumi ini dengan darah. Pemuda biar hancur, asal tanah air menjadi luhur."

Tidak terkecuali institusi lain yang penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, seperti gabungan pertubuhan politik Melayu, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan sekumpulan pertubuhan politik bukan Melayu dalam All Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

Orang ramai juga mula didedahkan dengan cadangan Perlembagaan Rakyat 1947 yang unik dan bersejarah itu, sebagai asas perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka, tetapi ditolak British. Misalnya, kesediaan para penggiat politik bukan Melayu dalam AMCJA untuk mengetepikan rupa bangsa asal mereka dengan menerima rupa bangsa "Melayu" disifatkan seorang penulis, Abdul Rahman Ismail, sebagai satu perubahan yang cukup revolusioner, sesuatu yang tidak pernah dijangka sebelumnya dan tidak berupaya dicapai lagi selepas itu.

Malah, sejarah penubuhan dan pergerakan parti politik terawal, Parti Komunis Malaya (PKM) turut mendapat tumpuan ramai. Saya kira banyak buku-buku tentang tokoh-tokoh PKM yang berada di pasaran dicari pembaca. Minggu lalu, saya agak kecewa kerana buku yang dicari, mengenai Rashid Maidin di Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya, kehabisan stok.

Saya juga yakin nama pejuang-pejuang awal yang berkorban nyawa dan kudrat menentang British mula dikenali secara lebih dekat. Di antaranya, Dol Said, Dato' Bahaman, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Dato' Maharajalela, Tok Gajah, Dato' Sagor dan lain-lain lagi.

Begitu juga dengan institusi agama dan bangsa, yang berperanan penting dalam usaha mendirikan sebuah negara merdeka, seperti Pusat Perekonomian Melayu SeMalaya (PEPERMAS), Majlis Tertinggi Agama Tanah Melayu (MATA), Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR), Maahad Al-Ihya Assyarif Gunung Semanggol, Madrasah Al-Diniyah Padang Rengas, dan sebelumnya Madrasah Al-Mashor Pulau Pinang.

Tidak ketinggalan fungsi akhbar sebagai peniup kesedaran umat, seperti Al-Imam, Neracha, Seruan Azhar, Majalah Guru, Al-Ikhwan, Saudara dan Utusan Melayu sendiri, dengan tokoh-tokoh penulis dan pembaharu seperti Syed Syeikh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan lain-lain. Pendek kata, sejarah perjuangan bangsa yang panjang itu kian diminati, hanya disebabkan ucapan Mat Sabu yang disensasikan Utusan Malaysia.

Sekurang-kurangnya, buat masa ini, sumbangan golongan kiri dan agamawan, tidak boleh diketepikan. Dakwaan bahawa hanya Umno memperjuangkan kemerdekaan akan menjadi gelak ketawa. Malah semakin ramai yang mempersoalkan sama ada Umno "memperjuangkan kemerdekaan" atau sekadar menjadi "penyambut kemerdekaan".

Ucapan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, sewaktu berucap menerima ijazah kehormat doktor undang-undang dari USM pada 9 Jun 1973 juga disebut kembali, sebagai tanda pengiktirafan kepada golongan selain Umno: "Pejuang-pejuang kemerdekaan waktu itu telah berkumpul dalam dua kumpulan. Satu kumpulan yakin bahawa kemerdekaan hanya boleh dicapai menerusi revolusionary means sementara satu kumpulan lagi percaya dengan proses perlembagaan.

"Sekalipun kemerdekaan dicapai oleh golongan yang moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan itu."

Dari sisi lain, perdebatan sama ada Tanah Melayu dijajah sepenuhnya atau sekadar negara naungan British oleh beberapa profesor yang dikenali rapat dengan Umno, bagi saya, ada manfaat tersendiri. Bukanlah kerana ia melarikan tumpuan polemik yang mula dicetuskan Mat Sabu tetapi lebih merupakan perbahasan yang produktif daripada terkurung dengan tragedi di Bukit Kepong.

Malah, kejayaan membatalkan Malayan Union yang digembar-gemburkan sebagai kemenangan Umno juga diberikan tafsiran berbeda. British dikatakan telah berjaya memindahkan tanggungjawabnya terhadap masa depan orang asing yang telah dibawanya atau digalakkan ke Tanah Melayu untuk kepentingan politik dan geledahan ekonominya dahulu, ke bahu orang Melayu sendiri.

Apabila membandingkan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948, MacMicheal misalnya menyatakan: "Kedua-duanya 75 peratus bertindan-tindih ... penyatuan dalam suatu nama tertentu telahpun dicapai dan lunas kerakyatan bersama telah diterima; yang lain-lain tidak begitu penting."

Buku Jomo KS, Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia, yang berdasarkan tesis Ph.D beliau boleh dirujuk bagi mendapat gambaran lebih jelas tentang kemasukan orang India dan Cina dari negara asal masing-masing ke Tanah Melayu, bagi kepentingan kapitalis British.

Begitu juga usaha licik lagi terancang British memunggah kekayaan negara ini, khususnya melalui bijih timah dan getah. Misalnya pelaburan British dalam penanaman getah diberikan segenap kemudahan oleh pentadbiran British. Tanah "yang amat murah" disediakan dengan banyaknya untuk diberi milik kepada kepentingan Eropah, terutama melalui enakmen tanah 1897.
Selain itu, seperti dijelaskan Dr Ismail Said dalam bukunya mengenai perjuangan PAS 1951-1970, implikasi pemberian kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli (yang ditentang PAS) boleh dilihat dari segi jumlah pengundi dalam pilihan raya umum 1959 berbanding tahun 1955.

Pada 1955, pengundi Melayu berjumlah 1,078,000 (84.2 peratus), berbanding 143,000 pengundi Cina (11.2%) dan 50,000 pengundi India (3.9%).

Bagaimanapun pada 1959, selepas pelaksanaan dasar kerakyatan yang longgar, hasil cadangan Suruhanjaya Reid, pengundi Melayu berjumlah 1,217,000 (56.8 peratus), manakala pengundi Cina berjumlah 764,000 (35.6%) dan 159,000 pengundi India (7.4%). Lihatlah sendiri peningkatan mendadak populasi Cina dan India di Persekutuan Tanah Melayu.

II.

Elok juga kita menilai kritikan yang dihalakan kepada Mat Sabu, terutama oleh mereka yang berbangga dikenali sebagai pemikir Melayu. Salah seorang daripadanya adalah Kamaruddin Kachar, bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel).

Dalam satu forum anjuran Perkasa di Kg Baru, beliau berkata: "Saya minta semua menentang habis-habisan Mat Sabu, komunis bukan sahaja menyerang tapi mereka seksa, tebuk perut dan mahu kita iktiraf komunis.

"Mat Sabu mari sini saya mahu tempeleng dia, jangan main-main dengan kita... Mat Sabu hingus belum kering, biadap dan kurang ajar, kita rebus dia hidup-hidup dan jangan perlekeh Islam dan Melayu," katanya.

Jelas beliau, sekiranya berlaku pertumpahan darah ekoran kenyataan kontroversi itu Mohamad dan PAS perlu bertanggungjawab.

Seorang rakan menelefon saya: "Dah baca kenyataan Kamaruddin Kachar? Dia nak rebus hidup-hidup Mat Sabu, macam perangai firaun yang rebus Mashitah, orang gajinya yang dicampak dalam kawah panas."

Segera saya teringat Kamaruddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra (dahulu Pertanian) Malaysia, semasa saya mengetuai gerakan mahasiswa di UTM pada 1985-86 dahulu.

Beliau yang kemudiannya menjadi Ketua Pengarah Biro Tata Negara memang dikenali sebagai orang yang cukup kuat menekan gerakan pelajar Islam di UPM. Rasanya Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung KeADILan, yang ketika itu Presiden PMUPM kenal benar gelagat Kamaruddin.

Justeru, saya langsung tidak terkejut dengan "perangai hodohnya" itu, apatah lagi tidak malu-malu mengaku orang yang begitu sensitif dengan "usaha memperlekeh Islam".

Elok sangatlah dia berkawan dengan Ibrahim Ali.


Bila yang nak ISA jadi hero | Print |
Tuan Ibrahim Tuan Man
Perisytiharan penghapusan akta zalim ISA pada 15 September telah memenuhi dada-dada akhbar. Seperti biasa juak-juak Umno, yang dulunya lantang melaungkan dan memperjuangkan pentingnya ISA dikekalkan, telah menebalkan muka dan memuji bertubi-tubi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang yang berani, tegas dan hebat.

Jika pujian itu diterima, secara logiknya - bukankah itu bermaksud dulu semua pemimpin Umno ini penakut, tiada ketegasan dan tiada kehebatan? Cuma sekarang saja ada keberanian.

Pada tahun 2009, kerajaan Barisan Nasional (BN) berkali-kali menegaskan bahawa dasar dan pendirian kerajaan adalah untuk mengkaji dan “bukannya memansuhkan ISA.” Malah pada bulan Disember 2009, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa “semua pihak” sepakat Akta Keselamatatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan.

Pakatan Rakyat pula dalam Buku Jingganya pula menyatakan akan memansuhkan ISA. Apabila Pakatan Rakyat kata penghapusan akta zalim ini meniru idea dalam Buku Jingga, tiba-tiba bangkitlah beberapa orang menteri Umno amnesia yang menyatakan bahawa ini idea asli Perdana Menteri, bukannya tiru idea Buku Jingga.

Malah, Najib menyuarakan bahawa “inisiatif untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah keputusan dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukan perjuangan mana-mana pihak lain.”

Mana ia penghargaan kepada jasa-jasa pejuang-pejuang memansuhkan ISA selama ini? Tak akanlah disebabkan mereka ini rakyat jelata yang menyokong perjuangan samada dalam wadah pembangkang ataupun tidak, dalam menuntut memansuhkan ISA tiada kredit?

Siapakah pencetus inisiatif tersebut kalau bukan rakyat yang membantah kerajaan dalam isu ISA, terutamanya barisan pembangkang dulu, sehinggalah Pakatan Rakyat kini yang menyerang habis-habisan ugutan dan salahguna ISA oleh puak-puak kanan di dalam Umno, dan adik mereka Perkasa selama ini yang menggunakan akta ini demi kepentingan politik semata-mata?

Tetiba, pejuang-pejuang yang dulunya bermati-matian nak kekalkan ISA hendak menjadi hero, yang hendak mansuhkan ISA sejak dulu pula sengaja diketepikan. Tindakan ini terus mengingatkan rakyat kepada nasib yang menimpa pejuang-pejuang haluan kiri pra-kemerdekaan… sejarah seolah-olah diulang tayang untuk membuka mata rakyat.

Cukup marah nampaknya Perdana Menteri dan para pimpinan Umno apabila dikatakan mereka telah meniru idea orang lain - barangkali itu sebenarnya punca utama di sebalik penggantungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa ahli parlimen dari Parlimen dalam kontroversi APCO kerana mereka juga pernah menyatakan idea 1Malaysia adalah hasil ciplak 1Israel.

Media perdana kini terus memberikan bayangan bahawa Perdana Menteri sedang disanjungi kerana keberaniannya dalam menghapuskan ISA sehinggakan Zaid Ibrahim perlu cepat-cepat memohon maaf kepada Najib kerana tersilap membuat andaian bahawa menyangka Perdana Menteri tidak berani, walaupun tiada apa-apa konkrit yang berlaku lagi selain pengumuman lisan beliau.

PAS akan meneliti secara dekat hasrat murni ini dengan hati-hati kerana pada masa yang sama, Najib turut mengumumkan untuk menggubal dua akta baru bagi menyekat golongan “pengganas” yang akan mencetuskan suasana huru-hara dan menggugat ketenteraman awam.

Tafsiran “pengganas” dan “ancaman” ini pula luas, tak tahulah ia mengikut tafsiran Umno-BN ataupun kerajaan memerintah? Semuanya masih samar dan tidak diketahui.

PAS akui keamanan negara menjadi keutamaan dan tiada pihak ingin melihat negara menjadi tidak aman.

Namun, kerajaan BN tidak boleh menyalahkan rakyat yang bersangka buruk pada pengumuman ini kerana rakyat sudah banyak kali dikecewakan. Apa yang menjadi keraguan rakyat ialah kebanyakan akta digubal asalnya dengan tujuan yang sangat baik, tapi rakyat sedar apabila sampai sudut pelaksanaannya, ia sering kali disalahgunakan bukan untuk menjaga kepentingan negara, tapi hanya kepentingan Umno BN, terutamanya apabila hipokrisi mereka telah terlondeh dan nyawa-nyawa ikan.

Ini ditambah pula dengan pelbagai janji Umno BN yang jarang ditunaikan, terutamanya janji-janji yang ditaburkan semasa pilihanraya telah menyebabkan majoriti rakyat serik dengan pengumuman sedemikian.

Pada masa yang sama, rakyat kini dibelenggui satu persoalan yang amat mustahak - apakah jaminan yang boleh mereka harapkan dengan mengekalkan Umno-BN, selain ISA yang dijanjikan akan dimansuhkan, apakah jaminan bahawa penyelewengan, rasuah, salahguna kuasa, politik fitnah akan turut terhenti daripada terus berlaku itu?

Rakyat sebenarnya sedar bahawa tiada apa yang boleh dijamin dalam hal-hal sedemikian sekiranya Umno-BN dikekalkan, tambahan pula, Najib sudahpun memberikan bayangan jaminan bahawa rakyat akan terpaksa menanggung kedatangan GST sekiranya Umno-BN kekal berkuasa selepas PRU13.

Oleh itu, jaminan terbaik sekarang untuk rakyat ialah dengan mengambil langkah berani untuk mencuba pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat untuk satu penggal bagi membolehkan segala janji yang diterterakan dalam Buku Jingga dilaksanakan selepas pilihanraya umum ke 13.

Percayalah kerajaan Pakatan Rakyat akan bersungguh-sungguh melaksanakan semua janji mereka kerana Pakatan Rakyat sedar ‘Rakyat’ adalah bos mereka yang sebenar dan hakikatnya, tiada kerajaan yang hanya ingin berkuasa untuk satu penggal. Inilah jaminan yang lebih menyakinkan daripada terus mempercayai bahawa Umno-BN akan berubah satu hari nanti.


Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
18 September 2011

Akta ganti ISA lebih zalim
Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (“ISA”). Langkah tersebut mendapat pujian semua pihak khususnya parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan.

Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA tersebut. Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan tersebut adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.

USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6 Oktober 2001. Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan September 11, 2001.

Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing. Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan.

Perlaksanaan akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah. Harus dinyatakan di sini bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan.

Di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh Kerajaan kira-kira dua bulan selepas serangan September 11, 2001, Kerajaan telah memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa. Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom. Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana factor-faktor keselamatan.

JUHAM menegaskan bahawa penggunaan akta ini telah dicabar di Mahkamah dan House of Lords pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi memandangkan akta ini membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri. Oleh itu, Kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru iaitu, Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu. Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah.

Umpamanya, pada tahun 2006 penggunaan akta baru ini juga telah dicabar di mahkamah dan mahkamah telah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 3 akta baru ini bertentangan dengan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di bawah Art. 6 European Convention on Human Rights. Ini kerana hak orang yang ditahan ini bukan ditentukan oleh sebuah mahkamah yang bebas tetapi di bawah keputusan pihak eksekutif, yang mempunyai kuasa melebihi kuasa pemutus mahkamah. Walaupun sebahagian keputusan ini akhirnya diubah oleh Mahkamah Rayuan namun hakikatnya perlaksanaan akta ini telah diimbangi dengan kewujudan Human Rights Act 1998. Human Rights Act 1998 adalah sebuah akta yang sangat berkuasa kerana akta ini menjadikan sesuatu tindakan sebuah badan awam sebagai tidak sah jika tindakan tersebut bertentangan dengan European Convention of Human Rights. Malah, jika pihak litigan tidak berpuas hati, mereka masih boleh membawa kes mereka ke mahkamah hak asasi di Strasbourg.

Sungguhpun langkah Perdana Menteri yang ingin memansuhkan ISA adalah dialu-alukan, namun, pengumuman Kerajaan untuk menggantikan ISA ini dengan dua model iaitu Patriot Act di USA dan Anti-Terrorism Act di UK adalah sangat tidak tepat. Seharusnya Kerajaan tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia. Jika Kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut seharusnya Kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.

Sekiranya, prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan maka tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif, ibarat pepatah Melayu “Keluar mulut buaya, masuk mulut singa”. Di samping itu, sayugia juga dimaklumkan bahawa beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Kesiksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme ini.

Sehubungan dengan ini juga, JUHAM berpandangan adalah wajar kerajaan mempelajari falsafah perundangan Islam yang tidak membenarkan kebebasan seseorang itu disekat melainkan dengan bukti yang nyata. Penahanan seseorang tanpa bicara adalah zalim dan telah terbukti semenjak beberapa dekad bahawa ISA telah digunakan untuk menahan tahanan semata-mata kerana perbezaan fahaman politik. Penahanan atas dasar perbezaan politik adalah amat kejam dan melainkan terdapat unsur-unsur terorisme dalam perjuangan politik itu maka barulah tindakan penahanan dan pendakwaan patut dibuat. Selagi penyebaran fahaman politik itu masih dalam batasan demokrasi, tidak seharusnya kerajaan berasa terancam. Semoga demokrasi terus subur di Malaysia.

AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Pengarah
Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan pemuda PAS Malaysia

Mansuh ISA: Perjuangan Pakatan, NGO bukan Umno | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 19 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetap akan menafikan keputusannya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah hasil perjuangan Pakatan Rakyat, walaupun orang ramai amat faham dengan realiti itu.

Penentangan Pakatan Rakyat terhadap ISA antara lain terbukti dengan penubuhan sebuah NGO, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang membabitkan para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi dipersendakan oleh para pemimpin Umno.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) berkata, PAS, PKR dan DAP telah bersama dengan GMI sejak NGO itu ditubuhkan pada tahun 2008 lalu, manakala Umno pula menuduhkan para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat serta aktivis GMI sebagai kumpulan yang tidak memahami ISA dan kepentingannya untuk negara.

Menurut beliau, penentangan para pemimpin Umno terhadap perjuangan untuk memansuhkan ISA oleh Pakatan Rakyat disuarakan oleh para pemimpin Umno di dalam persidangan Parlimen.

Katanya, selain itu, Umno menerusi proksinya, Perkasa turut menyuarakan penentangan terhadap perjuangan Pakatan Rakyat itu dengan mengadakan himpunan khas, tetapi gagal menarik minat ramai apabila hanya dihadiri sejumlah kecil peserta sahaja.

"Realiti itu amat jauh berbeza dengan himpunan yang diadakan oleh GMI yang dihadiri puluhan ribu orang yang juga para penyokong Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Media pro Umno sejak kelmarin melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan bahawa langkah kerajaan memansuhkan akta ISA adalah "hasil perjuangan" Pakatan Rakyat

Sebaliknya, menurut Najib, langkah berkenaan dibuat oleh Kerajaan BN kerana Kerajaan BN mendengar isi hati rakyat yang mahukan perubahan.

Sehubungan itu, Najib meminta agar jangan ada orang hendak 'claim credit' kononnya pengumuman itu adalah hasil perjuangan mereka.

Ulasan seperti itu dibuat oleh Najib sejak keputusan memansuhkan ISA diumumkan menerusi perutusan Hari Malaysia pada 16 September.

Selain itu, beliau juga berkata demikian sebagai mengulas reaksi segera yang ditimbulkan pemimpin Pakatan Rakyat yang mengatakan langkah Kerajaan BN memansuhkan ISA merupakan salah satu usaha yang digariskan dalam manifesto Buku Jingganya.

Namun menurut Najib, pemansuhan akta itu dibuat untuk memenuhi janji beliau semasa mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri, manakala tindakan itu akan meletakkan Malaysia atas landasan lebih progresif dan terbuka dalam memelihara ketenteraman awam.

"Perubahan yang saya umum itu kerana kita dengar suara dan isi hati rakyat," katanya yang turut diperdengarkan dalam program Sirih Pulang ke Gagang di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam kelmarin.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, kenyataan berulang kali yang dikeluarkan oleh Najib itu jelas menunjukkan Najib menolak tekanan yang dialaminya berhubung perlaksanaan ISA selama ini.

"Tetapi perkara itu tidak boleh dinafikan oleh Datuk Seri Najib. Menafikan tekanan dari Pakatan Rakyat yang dialaminya berhubung perlaksanaan ISA selama ini sehingga membawa kepada pemansuhan akta itu tidak akan memberikan sebarang keuntungan kepada Perdana Menteri," katanya.

Malah, semakin dinafikan oleh Perdana Menteri, tegas beliau, semakin ketara pula kesombongan dan ketidakikhlasan Perdana Menteri berhubung pemansuhan ISA yang diumumkan pada 16 September lalu yang dikatakan untuk tranformasi politik di tanah air.


Apakah akta yang akan menggantikan ISA?
Dr Zulqarnain Lukman
Rata-rata rakyat Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (“ISA”). Langkah tersebut dipuji oleh semua pihak khususnya parti pembangkang dan badan bukan kerajaan.

Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu kerajaan bakal memperkenalkan dua akta baru. Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan dua akta baru itu berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.

USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6 Oktober 2001. Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan September 11, 2001.

Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing. Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan.

Perlaksanaan akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek pengganas warga asing, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik, kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah. Harus direkodkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat agensi berkenaan adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh kerajaan kira-kira dua bulan selepas serangan September 11, 2001, kerajaan telah memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahanb tanpa bicara tanpa had masa.

Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom. Pihak kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana faktor keselamatan.

Penggunaan akta ini telah dicabar di Mahkamah dan House of Lord pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi memandangkan akta ini membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri.

Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru iaitu, Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu. Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan.

Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah. Umpamanya, pada tahun 2006 penggunaan akta baru ini juga telah dicabar di mahkamah dan mahkamah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 3 akta baru ini bertentangan dengan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di bawah Art. 6 European Convention on Human Rights. Ini kerana hak orang yang ditahan ini bukan ditentukan oleh sebuah mahkamah yang bebas tetapi di bawah keputusan pihak eksekutif, yang mempunyai kuasa melebihi kuasa pemutus mahkamah.

Walaupun sebahagian keputusan ini akhirnya diubah oleh Mahkamah Rayuan namun hakikatnya perlaksanaan akta ini telah diimbangi dengan kewujudan Human Rights Act 1998. Human Rights Act 1998 adalah sebuah akta yang sangat berkuasa kerana akta ini menjadikan sesuatu tindakan sebuah badan awam sebagai tidak sah jika tindakan tersebut bertentangan dengan European Convention of Human Rights. Malah, jika pihak litigan tidak berpuas hati, mereka masih boleh membawa kes mereka ke mahkamah hak asasi di Strasbourg.



Pembaharuan politik, Umno kering idea | Print |
Khairil Abdul Rahim

BANDAR JENGKA, 19 Sept: Di sebalik pujian melangit oleh media perdana kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung apa yang dicanang sebagai ‘pembaharuan politik’, PAS pula menyifatkan pemimpin Umno dan kerajaan hari ini ternyata kekeringan idea.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ini disebabkan kebanyakan pembaharuan yang diumumkan baru-baru ini dicedok dan ditiru daripada idea Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga.

(Gambar: Tuan Ibrahim mengagihkan wang raya kepada kanak-kanak semasa program Rumah Terbuka Aidlfitri PAS Kawasan Kuala Krau.)

“Pemansuhan ISA dan Akta Mesin Cetak yang diumumkan Najib baru-baru ini betul-betul ditiru dan dicedok daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat. Malah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada bulan Disember 2009 menegaskan bahawa semua pihak sepakat ISA dikekalkan.

“Bukan itu saja, sebelum ini terbukti satu demi satu perkara dalam Buku Jingga ditiru oleh BN seperti pemberian elaun, bonus, gaji guru, wi-fi percuma dan insentif warga Felda.

“Begitu juga dengan cuti umum 16 Septembar, cuti bersalin 60 hari, itu semua idea-idea PR. Sah lah PR lebih baik dan lebih pandai memerintah berbanding BN,” tegasnya semasa berucap sempena program Rumah Terbuka Aidlfitri PAS Kawasan Kuala Krau.

Kira-kira 4,000 penduduk sekitar Jengka hadir di majlis berkenaan yang diadakan di perkarangan Masjid Lama semalam.

Tambah Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dan Yang Di-Pertua PAS Kuala Krau, pemimpin kerajaan hari ini ketiadaan pemimpin yang berkarisma menyebabkan tiada idea-idea baru dalam perubahan politik.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut kesal kerana setakat ini kerajaan belum mengumumkan pendirian berhubung kenyataan Majlis Profesor Negra (MPN) bahawa negara ini tidak pernah dijajah.

“Bagi kita ini penting sebab implikasinya sangat besar melibatkan perubahan silibus pelajar-pelajar daripada sekolah rendah hingga ke universiti.

“Jika tiada pendirian dibuat, bermakna kumpulan ini dan rakyat keselururannya akan terus menerus keliru setelah media Umno sebelum ini cuba memainkan sentimen berkaitan sejarah negara,” ujarnya.

Pada program yang sama, Tuan Ibrahim mengumumkan PAS Pahang akan mengadakan perhimpunan sempena 60 tahun PAS peringkat negeri yang akan diadakan pada 26 Oktober di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan