Khamis, 15 September 2011

JIKA PINCANG SIKIT BOLEH TUTUP...TIPU SIKIT BOLEH NGELAK...NI SEMUA BESAR2...NAK TUTUP CAMNE...RAKYAT DAH BOSAN....

Akhirnya Najib akui demokrasi negara pincang | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya "mengakui demokrasi negara selama ini tidak berfugsi", kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian sebagai memberi respon awal terhadap pengumuman yang dibuat Najib dalam Perutusan khas Hari Malaysia yang disiar secara langsung oleh RTM malam ini.

"Selepas 5 desawarsa, Najib akhirnya mengiktiraf demokrasi di negara ini tidak berfugsi," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam prutusan khas perdana menteri, Najib turut mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Menurut Najib, kerajaan, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya.

Jangan terlalu selesa

Mengulas lanjut, Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor menganggap pengumuman tersebut juga sebagai kejayaan rakyat, NGO, aktivis demokrasi serta parti pembangkang yang selama ini telah lama mendesak perkara itu dimansuhkan.

Malah ujarnya, pengumuman itu hanya sebahagian kecil daripada perubahan yang dituntut rakyat untun menjadikan demokrasi negara benar-benar berfungsi.

Bagaimanapun beliau menasihatkan rakyat agar jangan terlalu selesa dengan pengumuman itu kerana apa yang diumumkan perdana menteri malam ini hanya dalam bentuk "janji lisan".

"Kita yakin ini hanya janji dan slogan saat-saat akhir bagi meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Apa yang lebih penting, rakyat mahu melihat dalam praktik dan amalannya," katanya yang juga pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Tambahnya lagi, apa yang diumumkan Najib itu juga adalah apa yang telah diumumkan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga iaitu prubahan yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat dalam masa 100 hari menguasai Putrajaya.

"Ini yang kita maksudkan reformasi politik sebelum datang transformasi ekonomi yang Pakatan Rakyat komited untuk lakukannya.

"Kita tak kisak mereka tiru pendekatan kita dalam Buku Jingga. Janji ianya untuk kebaikan rakyat keseluruhan," katanya.


Bunga api meriahkan sambutan Bulan Merdeka
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 15 Sept: Tembakan 400 das bunga api pada tengah malam 17 September ini menjadi acara kemuncak sambulan Bulan Kemerdekaan di sini.

Program anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur diadakan di perkarangan Menara Tambatan DiRaja Kota Bharu.

Acara itu memeriahkan sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan esok di seluruh negara.

Setiausaha MPKB-BRI, Mohd Anis Hussein berkata, lokasi Menara Tambatan DiRaja dipilih memandangkan kedudukannya strategik sebagai destinasi pelancongan di Kota Bharu.

“Menara tersebut dibina sebagai mercu tanda pelancongan baru bakal dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api,” katanya pada sidang media di MPKB-BRI semalam.

Acara sambutan Hari Malaysia peringkat negeri akan diadakan di padang Majlis Daerah Machang pagi esok. Tahun lepas diadakan di padang Majlis Daerah Tanah Merah.

Tanggal 16 September dijadikan cuti umum mulai tahun lepas. Idea cuti umum itu pernah dicetus Pakatan Rakyat.

Mohd Anis berkata, pelbagai program menarik turut diadakan termasuk persembahan apresiasi seni merdeka, dikir barat bersama Jen Endoro dan deklamasi sajak pelbagai kaum.

Manakala pada sebelah pagi bermulai 8 pagi diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Menara Tambatan DiRaja setinggi enam tingkat dengan ketinggian 47 meter siap dibina pada 15 Februari lalu. Ia terletak di pinggir Sungai Kelantan berhampiran Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Menara tinjau terletak di tingkat paling atas. Selain itu terdapat sebuah jam besar.

”Sejak dibuka seminggu lalu hampir 40 penungjung datang termasuk pelancong termasuk dari Jerman,” kata Mohd Anis.



Unit Amal sertai perarakan merdeka dibatal | Print |
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 15 Sept: Unit Amal Temerloh kecewa apabila penyertaan mereka dalam perarakan sambutan merdeka di bandar ini esok dibatalkan pada saat akhir walaupun sebelum ini diundang secara rasmi.

Ketuanya, Meor Darul Zakbar Endut, berkata cara pembatalan penyertaan mereka yang hanya disampaikan melalui lisan dan terburu-buru juga dianggap seolah-olah tidak menghormati pihak lain.

“Kami Pemuda Unit Amal sudah biasa menyertai perarakan, jadi apabila PAS kawasan dijemput secara rasmi oleh penganjur sambutan kemerdekaan ke-54 dan mewakilkan kami untuk perarakan itu, kami gembira.

“Semasa rehearsal hari semalam kami masih boleh berarak dengan lain-lain kontinjen. Tetapi pagi ini apabila 30 orang Unit Amal mahu menyertai rehearsal kedua, pegawai polis selaku penyelaras sambutan telah melarang kami untuk berarak dan memita kami tidak lagi terlibat untuk perarakan sebenar besok,” katanya ketika menemui Harakahdaily.

Tambahnya, beliau kesal tidak diberikan sebab mengapa penyertaan Unit Amal dibatalkan sedangkan sebelum ini dijemput.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kawasan Temerloh Ahmad Zubir Omar, mengesahkan PAS telah dipelawa menyertai perarakan kemerdekaan tersebut melalui surat rasmi yang ditujukan kepadanya.

Bagaimanapun setelah mendapat maklumat Unit Amal PAS dihalang, beliau telah menelefon seorang pegawai polis.

“Pegawai berkenaan hanya memaklumkan mereka menerima arahan dari pihak atasan,” katanya.

Pasukan Unit Amal kawasan pernah mendapat tempat ketiga pada perarakan kemerdekaan pada 2009.


PM dicadang fokus kepada media dan ISA | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Menjelang pengumuman Perdana Menteri sempena hari Malaysia esok, 16 September, pelbagai pihak mencadangkan dua perkara yang diberikan tumpuan oleh beliau, ISA dan media.

Perdana Menteri dicadang agar memberikan kebebasan kepada media dengan cara memansuhkan Akta Penerbitan dan Akta Mesin Cetak bagi membolehkan reformasi terhadap media di negara ini berjalan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan, permit penerbitan media cetak tidak lagi diperlukan di negara ini dengan cara cukuplah sekadar media didaftarkan sahaja sebagaimana mendaftar sebuah syarikat.

Dr Dzulkefly ditanya tentang pelbagai spekulasi di buat oleh pihak media dan juga rakyat berhubung dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan membuat pengumuman mengenai beberapa perubahan penting pada malam ini sempena menyampaikan amanat hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan berlangsung esok 16 September.

Bagi beliau, kezaliman pihak kerajaan bukan hanya terletak kepada akta tersebut sahaja dan ia juga merangkumi apa yang dilakukan kepada pihak media.

"Kerajaan juga telah bertindak kejam kepada kebebasan media dan ini perlu dirungkai kembali bagi memberi sepenuhnya kuasa kepada pengamal media dalam menjalankan kerja mereka.

"Kita lihat kerajaan akan bertindak sesuka hati kepada media samada ingin memperbaharui permit mereka ataupun tidak dan jika media terbabit lebih menyerang kerajaan tindakan untuk memperbaharui permit akan mengalami kesukaran.

"Kita mahukan isu memperbaharui permit setiap tahun perlu dimansuhkan dan hak kebebasan media dikembalikan sepenuhnya

“Sebenarnya permit penerbitan ini tidak perlu dan cukuplah sekadar syarikat yang ingin menerbit akhbar mendaftar syarikatnya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hanya bagi tujuan memaklumkan kepada pembaca bahawa akhbar terbabit dibawah kelolaan syarikat tersebut dan ini bagi memudahkan pembaca mengambil tindakan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya lagi

ISA dan Ordinan Darurat

Bagi anggota Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, apa yang Najib akan umumkan malam ini tidak penting.

"Kita tahu Najib akan membuat satu pengumuman dan kita tidak pasti apa yang beliau akan umumkan, walaupun kebanyak media mahupun rakyat diluar membuat andaian bahawa Najib akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ataupun mengkaji semula akta terbabit dan bagi kita apa yang beliau ingin umumkan itu tidak penting," jelasnya pada satu sidang media di Pejabat Sekteriat Pakatan Rakyat.

Tambah Sivarasa, walaupun Najib melakukan sesuatu pembaharuan di dalam akta ISA itu dan apa yang dikehendaki oleh rakyat mahupun Pakatan Rakyat adalah setiap undang-undang mahupun akta yang zalim perlu dimansuhkan kesemuanya kerana ia tidak lagi sesuai digunapakai dalam negara kita sekarang.

"Kalau ISA dimansuhkan oleh Najib maka tiada lagi akta yang zalim tetapi kita kena ingat selain ISA masih ada lagi akta yang diguna pakai oleh kerajaan seperti penahanan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj bersama lima yang lain di bawah Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (EO).

"Selain Ahli Parlimen Sungai Siput, turut ditahan adalah M Saraswathy, Choo Chon Kai, M Sukumaran, A Letchumanan dan Sarat Babu. Peruntukan tersebut membolehkan pihak berkuasa menahan individu terbabit selama 60 hari tanpa bicara.

"Akta EO ini menyamai dengan apa yang terdapat di dalam ISA dan kerajaan berhak menahan mereka yang dirasakan bersalah tanpa sebarang perbicaraan dan berapa lama ia hendak ditahan," sambungnya lagi.


Salahudin cadang Dr M jadi PM semula | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya kembali menjadi Perdana Menteri untuk membolehkan pilihan raya diadakan lewat sedikit.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata berkata, hanya itu sahaja caranya untuk meredakan kebimbangan bekas Presiden Umno itu terhadap ketidakmampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui Umno dan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya akan datang serta melaksanakan hasratnya supaya pilihan raya dilewatkan.

Beliau berkata demikian ketika menolak reaksi Dr Mahathir yang menekankan penentuan tarikh pilihan raya umum di negara ini adalah "hak keistimewaan" kerajaan dan tiada pihak boleh mempertikaikannya.

Sebelum itu, Pakatan Rakyat (PR) mahu terlibat sama menentukan tarikh pilihan raya umum bagi membolehkan cadangan pembentukan jawatankuasa khas parlimen (PSC) berhubung pembaharuan pilihan raya mempunyai masa mencukupi menjalankan tugas.

Menurut PR, amalan di United Kingdom dalam persepakatan penentuan tarikh pilihan raya boleh dijadikan contoh.

"Kami hanya mengemukakan cadangan untuk nama baik negara ini yang semakin tercemar amalan demokrasinya dan jika kerajaan benar-benar serius mengadakan reformasi pilihan raya.

"Jika kami perlu menjadi kerajaan dahulu untuk membolehkan kami mengemukakan cadangan, nampaknya Dr Mahathir juga perlu kembali menjadi Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum mencadangkan supaya pilihan raya dilewatkan," kata Salahuddin.

Dr Mahathir sebelum ini mencadangkan Najib melewatkan pilihan raya umum ke-13 dan merasakan bahawa Perdana Menteri sewajarnya menggunakan masa yang ada untuk meneliti calon-calon terbaik yang akan mewakili BN.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai komen-komen mendakwa ketua-ketua bahagian parti komponen BN sedang bertelingkah satu sama lain untuk menjadi calon pilihan raya.

The Malaysian Insider pernah melaporkan bahawa kepimpinan Umno berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan sokongan ketua-ketua bahagian di sesetengah negeri khususnya berkaitan dengan soal calon.

Pandangan Dr Mahathir supaya pilihan raya dilewatkan itu dibuat selepas beliau mengakui kejatuhan populariti Najib.

Beliau menyifatkan kemerosotan imej Najib itu antara lain berpunca dari cara kerajaan menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada awal Julai lalu.

Tawaran diciplak

Sementara itu, menjelang Hari Malaysia esok, sudah dua cadangan Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga yang dicedok BN.

Tawaran itu adalah mengkaji semula bayaran tol di samping memberikan elaun tambahan untuk para guru.

"Sudah dua tawaran Buku Jingga dicedok BN iaitu bayaran tol dan elaun guru, mungkinkah hapus ISA selepas ini?" kata Saifudin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga membangkit isu yang sama.

Ketika Buku Jingga dilancarkan, para pemimpin BN memperlekehkannya termasuk berkata, negara akan bangkrap jika ianya dilaksanakan.

Namun, sedikit demi sedikit, kandungan atau cadangan Pakatan Rakyat itu dilaksanakan kerajaan tetapi dalam bentuk curi atau ciplak.


Khalid Samad: SPR sering beri jawapan putar belit | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sering memberikan jawapan penuh putar belit berhubung masalah pengundian dalam pertemuan-pertemuan yang diadakan oleh pihak PAS dengannya.

Antara jawapan putar belit yang diberikan oleh SPR itu terutama yang berkaitan dengan desakan PAS kepada badan itu agar digunakan dakwat kekal dalam pilihanraya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khalid Samad (gambar) berkata, apabila cadangan penggunaan dakwat kekal dibangkitkan, pihak SPR akan mengatakan tidak ada sebarang masalah bagi pengundian sama ada menggunakan dakwat kekal atau tidak kerana setiap warganegara Malaysia berhak dan boleh mengundi.

Menurut beliau, jawapan yang diberikan oleh SPR itu amat 'simple', malah untuk mengelakkan dari menggunakan dakwat kekal, para pegawai SPR menjelaskan setiap warganegara Malaysia boleh mengundi.

Katanya, tetapi persoalan yang muncul, benarkah setiap rakyat Malaysia boleh mengundi, pada hal untuk membolehkan seseorang itu mengundi mestilah mematuhi beberapa peraturan walaupun kepada warganegara.

"Mereka yang tidak berdaftar tidak boleh mengundi, pengundi yang berdaftar tetapi tidak membawa kad pengenalan untuk membuang undi tidak boleh mengundi, mereka yang datang lewat ke pusat pengundian juga tak boleh mengundi," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat Agung PAS, di sini.

Pihak SPR, menurut beliau, tidak sepatutnya memberikan jawapan yang sedemikian mudah untuk mengelakkan dari penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya.

Katanya, perlaksanaan pilihanraya pasti berlangsung dengan peraturan-peraturan tertentu termasuk mestilah pengundi-pengundi yang berdaftar, membawa kad pengenalan untuk membuang undi dan datang membuang undi sepanjang masa pusat pengundian dibuka seperti yang diwartakan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan, sekiranya dakwat kekal digunakan, perkara itu juga pasti akan dimasukkan ke dalam peraturan pilihanraya dan mestilah dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Tetapi dengan memberikan jawapan seperti itu, pihak atasan SPR dan para pegawainya ternyata hanya sekadar mahu melepaskan diri dari tekanan agar digunakan dakwat kekal dalam pilihanraya, walaupun perkara itu merupakan salah satu perkara penting bagi perlaksanaan pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini seperti yang dituntut oleh Bersih," katanya.

Sehingga kini, jelasnya, beliau bersama PAS Selangor telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak SPR di pejabat SPR dan jawapan seperti itu sering diberikan oleh para pegawai SPR pada pertemuan-pertemuan tersebut.

Beliau yang amat kesal dengan tindakan SPR itu menambah, bagaimanapun dalam masa yang sama, masalah undi pos tidak juga diselesaikan, malah semakin bertambah terutama yang membabitkan undi pos tentera.

"Pada hal yang mengundi itu pula bukanlah tentera itu sendiri, tetapi orang lain. Ini menjadikan Kerajaan BN yang memerintah negara kita sekarang bukan dipilih oleh para pengundi berkenaan, tetapi pengundi-pengundi upahan yang dibayar oleh pihak Umno atau pihak Kerajaan BN sendiri," katanya.


Khalid Samad: Awas agenda media menjelang PRU

Khalid Samad

Saya mengucap terima kasih kepada Sinar Harian atas liputan yang begitu luas yang diberikan kepada saya, khususnya dalam keluaran 12 September lalu. Saya mendapati satu muka telah dipenuhi dengan pelbagai teguran dan serangan terhadap diri saya dari ADUN Sementa YB Rahman Palil, Ungku Salleh Ungku Jamal Ketua Pemuda UMNO Selangor dan beberapa individu lain.

Saya sebenarnya turut menunggu untuk wartawan Sinar Harian menghubungi untuk mendapatkan respon dari pihak saya, tetapi malangnya tiada panggilan diterima. Nampak gaya Sinar Harian berpuas hati dengan sekadar menyiarkan serangan mereka tanpa sebarang peluang untuk saya menjawab.

Begitu juga dengan berita pada Khamis 8 September apabila Dr Yusri Mohamad, Pengerusi PEMBELA telah menyatakan berita berhubung usaha ingin menjatuhkan MB Selangor adalah ‘satu pembohongan’. Mereka juga tidak bertanya akan respon saya terhadap tuduhan Dr Yusri. Jelas bagi saya sebenarnya pertemuan yang disebut oleh Dr Yusri adalah pertemuan lain yang diadakan di Masjid Negeri dan bukan pertemuan yang saya maksudkan. Maka ini telah menimbulkan persoalan lanjut, berapa pertemuan sebenarnya yang telah diadakan?

Teringat saya akan satu akhbar yang bernama ‘WATAN’ pada satu ketika dahulu. Ianya akhbar yang begitu digemari peminat politik atas sebab kritisnya tulisan-tulisan yang disiarkan dalamnya. Semua dikritik, lebih lebih lagi kerajaan Barisan Nasional. Malangnya apabila musim Pilihan Raya tiba, parti dan pemimpin pembangkang menjadi sasarannya. WATAN juga dikeluarkan oleh pihak Karangkraf sepertimana Sinar Harian.

Apa yang saya khuatir ialah akhbar Sinar Harian juga akan mengikuti jalan yang sama. Ianya semakin popular kerana memberi liputan ke atas kegiatan semua pihak dan dilihat ‘adil’. Namun adalah dikhuatiri dengan menjelangnya Pilihan Raya, beritanya kelihatan semakin berat sebelah. Maka adalah wajar untuk rakyat dan penyokong PR khususnya berwaspada supaya tidak tertipu dengan berita yang kononnya ‘adil’ itu. Apakah pisang akan berbuah untuk kali yang kedua?

Oleh yang demikian, saya akan menjawab teguran dan serangan Rahman Palil dan Ungku Salleh di sini, melalui blog saya dan jawapan ini juga akan dihantar ke Sinar Harian. Saya ingin melihat samada ianya akan disiarkan oleh pihak mereka.

ENAKMEN JAIS

Rahman Palil kata saya “degil” dan “tidak layak menjadi ahli Parlimen kerana tidak tahu baca enakmen itu”. Saya tidak faham macam mana dia boleh menjadi seorang ADUN. Tidakkah dia tahu bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

Mungkin dia tidak sedar tetapi dia telah menjatuhkan hukuman terhadap saya tanpa menunggu saya dibicarakan. Kalau ikut fahaman mereka, mungkin mahkamah tidak diperlukan, terus jatuhkan hukuman tanpa mendengar penjelasan dari saya.

Hakikatnya bagi saya, saya tidak melanggar undang-undang yang terkandung di dalam enakmen berkenaan. Enakmen itu menyebut :-

“119. (1) Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi –

a) mana mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 121 enakmen ini; atau

b) mana mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.”


Sesiapa yang pernah ke sekolah boleh membezakan bahawa saya tidak ‘mengajar’, saya hanya memberi ucapan. Kita tidak boleh memborongkan setiap ucapan yang mengandungi rujukan terhadap agama Islam sebagai ‘mengajar’. Sekiranya kita memborongkan sebegitu rupa, setiap orang yang memberi ucapan “Selamat berpuasa, semoga mencapai ketaqwaan” dan “Selamat Hari Raya, semoga bertemu Syawal dalam keadaan fitrah, bersih dari dosa sepertimana pada hari kita dilahirkan” boleh didakwa di atas kesalahan ini.

Ia adalah jelas sepertimana dalam kes Dr. Asri, enakmen ini tidak terhad penggunaannya kepada kegiatan di Masjid ataupun Surau. Dr Asri ditahan di rumah salah seorang dari anak murid beliau. Oleh itu enakmen ini boleh meliputi setiap tempat di bumi Selangor dan oleh itu tafsiran terhadap perkataan ‘mengajar’ itu perlu khusus, jelas dan tepat. Sekiranya tidak, ianya akan menghasilkan satu tafsiran yang menghalang percakapan berhubung agama Islam di mana-mana sehingga Islam menjadi sesuatu yang tidak boleh disebut oleh mana-mana pihak kecuali yang bertauliah. Mereka yang mengadakan tahlil dan doa selamat pun boleh dikenakan tindakan kerana ia merupakan sesuatu yang melibatkan “perkara-perkara tentang agama Islam”.

Islam dijadikan sesuatu yang tidak boleh disebut oleh rakyat biasa kecuali di rumah mereka dan hanya kepada anggota keluarga. Maka ummat Islam di Malaysia terpaksa menjadi bagaikan ummat Islam di Sepanyol pada zaman ‘Spanish Inquisition’, terpaksa menyembunyikan Islam mereka dan tidak bercakap mengenainya kecuali kepada keluarga mereka secara rahsia di rumah-rumah mereka.

Mungkin ini yang diinginkan UMNO/BN, tetapi ini tidak diinginkan oleh PAS dan PR.

UCAPAN DI MASJID


Saya sebenarynya pun agak hairan. Saya berucap di 3 Surau/Masjid setiap malam di Shah Alam sepanjang Ramadan tetapi tiada apa-apa tindakan yang dikenakan terhadap saya. Tetapi apabila saya berucap di Sementa, kawasan jajahan Dato Rahman Palil, saya dikenakan tindakan oleh JAIS.

Saya sedar Dato Rahman Palil adalah bekas Exco Agama kerajaan korup BN dahulu. Hubungan beliau dengan anggota penguatkuasa masih rapat dan tidak mustahil tindakan pendakwaan ‘diarahkan’ oleh beliau. Adakah ini juga merupakan talian sulit UMNO dan penguatkuasa JAIS?

Rahman Palil juga menyatakan bahawa semasa BN memerintah dahulu, ahli-ahli UMNO tidak ‘dibenarkan’ berceramah di Masjid. Hakikatnya hubungan UMNO dengan Masjid memang dari dulu lagi tidak rapat. Ada yang mengatakan UMNO, khususnya Pemuda, lebih erat hubungannya dengan karaoke dan dangdut. Saifuddin Nasution sehingga menceritakan bagaimana pemimpin Pemuda UMNO tertidur di mesin judi semasa lawatan mereka ke sebuah Pusat Perjudian di luar Negara. Itulah sebabnya perkara-perkara yang pelik sering dilakukan oleh pimpinan UMNO seperti:

a) Ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Qurban pada 17 Zulhijjah
b) Sembahyang Solat Hajat selepas solat Asr dan Solat Subuh
c) Takbir raya pada hari raya Eidul Fitri yang ketiga.
d) Penglibatan dalam majlis memasang ‘ancak’
dan yang lain-lain.

PAS sebaliknya dari dulu lagi bergerak dengan menjalinkan hubungan yang rapat dengan pihak Masjid dan Surau. Samada PAS memerintah atau tidak, Masjid dan Surau merupakan tempat yang pimpinan PAS berlegar di sekelilingnya.

Rakyat perlu ingat. Dato Rahman Palil dahulu sebagai Exco Agama kerap mengarahkan penangkapan par ustadz dan penguncian surau seperti yang pernah berlaku di Seksyen 8, Shah Alam. Beliau menang di Sementa pada 2008 tanpa bertanding apabila calon PR tidak muncul dikhabarkan ‘dibeli’ dan bercuti di Port Dickson pada hari penamaan calon! Kita yakin ‘orang Agama’ seperti Dato Rahman Palil tidak terlibat dalam tindakan ‘merasuah calon lawan’ tetapi rakyat terus bertanya akan peristiwa ‘ketidak munculan’ calon PR dan siapa pula yang ‘membelinya’.

Sebagai pemimpin di Sementa kita yakin beliau semestinya telah mendapat sokongan rakyat tempatan dan tidak perlu menghina diri dengan terlibat dengan tindakan keji dan jelek seperti membeli calon lawan. Ianya satu tindakan terkutuk dan sekiranya seseorang ahli politik terlibat dengan amalan sedemikian, rakyat wajib menghukumnya dengan menolak tindakan sebegitu rupa.

HORMATI UNDANG-UNDANG

Ketua Pemuda UMNO Selangor Ungku Salleh Ungku Jamal pula menuduh saya sebagai seorang yang mempunyai sikap semula jadi tidak suka menghormati undang-undang. Dengar cakap beliau seolah-olah saya ini kenalan lama beliau sehingga boleh beliau menceritakan ‘sifat semula jadi’ saya. Maaf Ungku, saya tak kenal Ungku! Tetapi dari kata-kata Ungku amat jelas Ungku jenis orang yang suka menuduh tanpa adanya bukti.

Saya ingin tahu undang-undang mana yang telah saya secara semula jadi tidak hormat dan langgar? Mahkamah mana dan berapa kali dalam hayat saya telah saya didapati bersalah melanggar undang-undang ‘secara semula jadi’? Bila dan berapa tahun saya dipenjarakan atas kesalahan melanggar undang-undang?

Hakikatnya Ungku hanya sedap bercakap. Saya insyaAllah sangat menghormati undang-undang, lebih-lebih lagi undang-undang Allah dan berusaha mematuhinya. Saya tidak juga secara ‘semula jadi’ melanggar undang-undang manusia lebih-lebih lagi sekiranya ia tidak bercanggah dengan undang-undang Allah.

Berhubung ucapan saya di sebuah Surau di Sementa, saya tidak ‘mengajar’ agama Islam tanpa tauliah. Saya hanya menceritakan pengalaman saya semasa di Gaza, penyerahan sumbangan yang berjumlah RM 650,000 sebahagian kepada NGO yang diiktiraf kerajaan Palestine dan sebahagian lain kepada fakir miskin di sana. Saya juga, sempena bulan Ramadhan, menyampaikan ucapan ‘Ramadan Kareem’ bagi pihak Ismail Haniyya, Presiden Palestine sepertimana yang beliau telah berpesan kepada saya semasa kami bertemu dan saya sampaikan juga ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadan kepada ahli Qariah yang hadir. Sambil itu, saya mengingatkan diri saya dan juga yang hadir supaya bertindak adil sepanjang masa kerana keadilan adalah lebih rapat dengan sifat keTaqwaan.

Namun ucapan-ucapan yang seperti itu memang tidak disenangi pihak UMNO kerana mungkin bagi mereka Islam tidak ada kena mengena dengan sifat keadilan terhadap manusia lain.

KESIMPULAN

Ada yang mengatakan saya sebagai Ahli Parlimen Shah Alam tidak sepatutnya memusuhi MAIS dan JAIS. Hakikatnya, saya tidak memusuhi MAIS atau JAIS. Saya hanya menentang usaha menodai MAIS dan JAIS oleh pemimpin UMNO. Mereka ingin menghalang pemimpin PR mendampingi masyarakat Melayu. Salah satu saluran yang amat berkesan ialah Masjid dan Surau. Saluran inilah yang ingin ditutup dengan memutarbelitkan tafsiran undang-undang dan mengapi-apikan semangat anti PR di kalangan masyarakat Melayu dan Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan