Ahad, 18 September 2011

ISA OH ISA...MEMANG TAK PATUT ADA ISA NI....JIKA SALAH TANGKAP DAN BICARA...TAK BOLEH DENGAR SEBELAH PIHAK...TAK ADIL...KOMEN TU BERI RETI@DE ILMU

Pak Samad: Pemansuhan ISA 'kemenangan ghaib'
Sep 18, 11 7:26pm

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menganggap pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumum Datuk Seri Najib Razak sebagai suatu "kemenangan ghaib".

Beliau berkata, perdana menteri itu tentunya tidak akan mengakui hal berkenaan tetapi pastinya ada usaha yang menggerak dan mendesak ke arah itu.

"Selama 54 tahun tidak terfikir ISA harus dihakis, tiba-tiba sahaja dapat ilham dan (mereka) harus mengakui kelompok anak muda tidak tahan lagi (dengan ISA).

Beliau juga tidak terkejut berikutan keengganan kerajaan mengakui pemansuhan ISA itu disebabkan tekanan berterusan dari pelbagai pihak khususnya anak muda.

"Tidak pula diceritakan bahawasanya desakan itulah yang mendorongnya untuk berubah. Kalau tidak ada desakan, saya tidak fikir ia akan mansuh kerana ISA sangat mujarab untuk menekan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran antologi sajak Puisi Jadi Senjata yang diterbitkan sehari sebelum himpunan BERSIH 2.0 sebagai tanda sokongan anak muda kepada sasterawan itu.

Perubahan regim


Sinonim dengan gelaran sasterawan rakyat, beliau berharap antalogi puisi itu turut disebar di pedalaman di semua negeri dan tidak hanya berlegar di kawasan kota.

Pada majlis pelancaran itu, beliau mengingatkan betapa perubahan regim hanya mampu dilakukan golongan anak muda.

"Saya sangat yakin hanya suara muda boleh merubah. Orang tua kebanyakannya sudah bersikap (mengambil pendirian), maksudnya mereka tidak mahu diganggu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin penerbitan antologi sususan penggiat seni, Fazallah Pit, membuktikan seni bukan hanya hiburan kerana di tangan anak muda, puisi menjadi senjata.

"Selama ini seni hanya dianggap hiburan tapi di tangan anak muda, puisi jadi senjata.

"Yang berjuang orang lain, yang menyambut kemerdekaan orang lain. Yang berjuang, yang berkuasa orang lain dan kuasa itu berlanjutan sampai 54 tahun.

"Sudah waktunya, setidak-tidaknya untuk satu term (penggal) kita berikan kelainan," katanya yang sering berkempen supaya ditumbangkan BN dalam pilihan raya akhir-akhir ini.



Pakatan bukan rakyat, soal Nik Aziz
Sep 18, 11 4:03pm
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuh bukan kerana tuntutan Pakatan Rakyat, sebaliknya bagi mendengar luahan hari rakyat.

"Hairan saya, (angggota) Pakatan Rakyat bukan rakyatkah?" soalnya yang juga menteri besar Kelantan.

Najib semalam dilapor menegaskan, keputusan memansuhkan ISA dibuat kerajaan BN mendengar isi hati rakyat yang inginkan perubahan sedemikian.

Justeru, katanya, jangan ada pihak yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman itu hasil perjuangan mereka.

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Nik Aziz berkata, baginya perkara baik tidak salah untuk ditiru.

"Bukankah Rasulullah SAW memerintahkan supaya mengambil apa jua hikmah (kebijaksanaan) di mana saja ia ditemui?" katanya.

Dalam perutusan Hari Malaysia beliau pada Khamis lepas, Najib mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.

Najib menjelaskan keputusan itu selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan perdana menteri dua tahun lepas.



PM: Mansuh ISA bukan hasil perjuangan Pakatan
Salhan K Ahmad
Sep 17, 11
1:41pm
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menepis dakwaan bahawa langkah kerajaan memansuhkan akta ISA adalah "hasil perjuangan" Pakatan Rakyat

Sebaliknya langkah berkenaan merupakan keputusan yang dibuat oleh BN "kerana kita dengar isi hati rakyat yang mahu perubahan."

"Jadi jangan ada orang hendak 'claim credit' kononnya pengumuman itu adalah hasil perjuangan mereka."

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi segera yang ditimbulkan pemimpin Pakatan sebaik beliau membuat pengumuman tersebut pada malam Khamis lalu.

Pemimpin Pakatan antara lainnya mendakwa, langkah memansuhkan ISA merupakan salah satu usaha yang digariskan dalam manifesto Buku Jingganya.

Malah, kata Najib, pemansuhan akta itu juga dijalankan untuk memenuhi janji beliau semasa mengambil alih sebagai perdana menteri.

Tambahnya, tindakan itu akan meletakkan Malaysia atas landasan lebih progresif dan terbuka dalam memelihara ketenteraman awam.

"Perubahan yang saya umum itu kerana kita dengar suara dan isi hati rakyat," katanya dalam program Sirih Pulang ke Gagang di kampus Universiti Teknologi Mara, Shah Alam hari ini.

Dalam program yang rata-ratanya dihadiri kira-kira 1,000 orang daripada masyarakat India itu, Najib turut menerima 7,000 permohonan daripada kumpulan yang didakwa bekas penyokong Pakatan Rakyat untuk menyertai BN.

Beliau turut menerima permohonan daripada beberapa orang individu yang didakwa sebagai pemimpin akar Umbi Pakatan.


PERKASA: Kekalkan elemen pencegahan ISA
Sep 18, 11 7:40pm

PERKASA berharap dua undang-undang baru yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 mempunyai penambahbaikan dan lebih adil kepada tahanan.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata pada masa yang sama, PERKASA juga mahu elemen pencegahan dalam ISA yang selama ini menjadi instrumen kepada polis bagi mengekang kegiatan subversif di negara ini dikekalkan.

Turut harus dikekalkan ialah elemen pemulihan yang juga sangat berkesan dalam menangani isu keselamatan di negara ini, katanya kepada pemberita, di Kuala Lumpur hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan Hari Malaysia pada Khamis lepas mengumumkan pemansuhan ISA dan sebagai ganti dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata keberkesanan aspek pencegahan dan pemulihan dalam ISA sebelum ini dibuktikan dalam banyak kes termasuk mengekang ajaran sesat seperti Al-Arqam dan kumpulan ekstremis Al-Maunah.

"Justeru, jika ia tidak dipertahankan, bagaimana kerajaan mahu mengatasi kegiatan yang serupa, contohnya jika ada pihak yang cuba menggugat perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Ini kerana dalam keadaan dunia yang serba canggih, sesuatu tuduhan itu sukar untuk dibuktikan di mahkamah, ia termasuk ceramah-ceramah yang mempersoalkan hak-hak orang Melayu. Malah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pun sukar untuk buktikan perkara ini," katanya.

Sehubungan dengan itu katanya, PERKASA akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam masa terdekat bagi menyarankan elemen yang wajar dimasukkan dalam dua akta baru tersebut.

"PERKASA juga berharap sentimen politik mana-mana pihak tidak akan membayangi penggubalan akta baru tersebut, sama ada daripada pembangkang atau kerajaan sebab nak meraih undi.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk menolak dua akta baru ini jika ia dilihat tidak mempunyai elemen preventif kerana kita mahu keselamatan rakyat terus dipertahankan," katanya yang turut berharap kerajaan mengkaji semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

- Bernama


Singapura tertekan untuk mansuhkan ISA
Sep 18, 11 1:48pm
Singapura kini dalam keadaan tertekan untuk melonggarkan kekangan politik selepas rakan terdekatnya mengumumkan langkah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan melonggarkan undang-undang lain.

Kumpulan hak asasi dan pembangkang Singapura berkata repuplik itu perlu mengikut peredaran masa dengan memansuhkan akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan dikritik sebagai alat menyekat perbezaan pendapat, lapor AFP.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan langkah mengejutkan minggu lalu mengumumkan kerajaan akan memansuhkan ISA dan melonggarkan undang-undang yang dirasakan mengekang kebebasan awam, termasuk berkaitan hak berhimpun dan lesen tahunan akhbar.

Tetapi Singapura menegaskan bahawa ISA - yang digunakan terhadap golongan kiri dan pelampau Islam beberapa tahun terakhir - kekal relevan dan undang-undang media sedia ada perlu untuk mengekalkan perpaduan masyarakat.

Bekas anggota parlimen Parti Sosialis Chia Thye Poh menempa rekod sebagai tahanan ISA terlama di republik itu.

Beliau ditahan selama 23 tahun daripada 1966 hingga 1989, diikuti sembilan tahun tahanan rumah.

Sehingga sekarang, sebarang protes di luar kawasan yang ditetapkan masih perlu mendaftar dengan pihak berkuasa dan memerlukan permit polis.

Najib berkata selepas pemansuhan ISA, Malaysia akan memperkenal undang-undang baru yang mengekalkan kuasa penahanan pencegahan tetapi untuk tempoh lebih pendek dan tertakluk kepada lebih pengawasan mahkamah.

"Sekiranya Malaysia membukanya (kebebasan), saya rasa mereka bergerak ke depan.

"Ini juga masanya untuk Singapuran bergerak ke arah itu," kata Sinapan Samydorai, pengarah Hal Ehwal Asia Tenggara di Think Centre - NGO hak-hak sivil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan