Ahad, 11 September 2011

TAK ELOK KITA SEBAGAI PEMIMPIN CAKAP BERBELIT2...ATAU JANJI YANG BUAT TAPI TAK DITUNAIKAN...TINDAKAN ATAU KEPUTUSAN BERUBAH2..

Hina Islam: Jingga 13 mohon mengadap Agong | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 11 Sept: Kegagalan serta sikap lepas tangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mahupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menangani isu sebuah laman web yang menghina Agama Islam serta boleh memesongkan akidah, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 akan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan memorandum berhubung dengan isu berkenaan.

Jurucakapnya, Fariz Musa yang dihubungi mengesahkan NGO terpaksa mengambil tindakan tersebut kerana kecewa dengan sikap Jamil Khir dan juga JAKIM yang tidak mahu bertindak malah menyifatkan isu tersebut bukan dalam bidang kuasa mereka.

"Inilah jalan yang perlu kita ambil dan bukan niat kita untuk memanjangkan permasalah tersebut kepada Agong tetapi bila melihat sikap Jamil Khir dan juga JAKIM yang tidak mahu bertindak maka kami rasa wajar perkara ini diketengahkan.

"Sehingga sekarang kita belum mendapat apa-apa jawapan dari pihak Jakim mahupun kementerian, jadi kita berpendapat mereka memang tidak mahu bertindak," jelas Fariz

Tambah Fariz lagi pertemuan yang akan diadakan pada 12 September jam 10 pagi itu akan turut disertai pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat.

"Kami bersama semua pemimpin akan mengadakan satu pertemua dengan Yang di-Pertuan Agong di atas penghinaan kesucian agama Islam telah dihina oleh individu yang tak bertamadun di halaman sosial.

"Jingga 13 akan menyerah memorandum tentang gagalnya Menteri menyelesaikan masalah ini walaupun laporan yang telah di buat," sambungnya lagi.

Beliau juga mengharapkan kerjasama dari semua pihak agar dapat bersama dengan Jingga 13 pada pertemuan tersebut supaya kesucian Agama Islam terus terpelihara.

"Bagi memelihara kesucian Islam dari terus dihina serta mengharapkan agar Jamil Khir mahupun Jakim tidak memandang mudah tentang permasalah ini, saya menyeru mana pihak diluar turut serta bersama dalam pertemuan itu esok," tambah beliau.

Pada 7 September yang lepas, Jingga 13 telah menyerahkan memorandum kepada SKMM dan juga Jakim dalam aduan individu yang menghina Islam di internet, namun ia gagal diserahkan kerana Jakim memberi alasan bahawa isu menghina Islam itu bukan bidang kuasa Jakim.


PKPIM desak kerajaan kota janji mansuh PPSMI | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Sept: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendesak agar pihak Kementerian Pelajaran bertegas untuk terus mempertahankan keputusan yang dicapai dan mengotakan janji untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, sebelum ini, pihak kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat menjelang tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, ujarnya cadangan Kementerian Pelajaran untuk mempertimbangkan memberi autonomi kepada sekolah untuk memilih sama ada menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik adalah sangat mengejutkan.

“PKPIM menganggap keputusan Kabinet yang diumumkan sebelum ini tidak dipandang secara serius oleh kerajaan dan keputusan ini boleh berubah pada bila-bila masa memandangkan terdapatnya usaha-usaha pihak tertentu seperti Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang mahu mempengaruhi pihak kerajaan secara konsisten untuk memastikan pemansuhan dasar berkenaan ditarik balik.

“Dengan ini, PKPIM mengulangi pendirian membantah dan menolak PPSMI,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PKPIM menuntut agar pihak kerajaan tidak tunduk dengan desakan sesetengah pihak yang mewakili suara individu dan minoriti yang mahukan dasar PPSMI dikembalikan.

Menurutnya, sudah jelas betapa PPSMI bukan hanya mengancam kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang dilindungi kedudukannya oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran, bahkan mengancam masa depan pelajar dan hala tuju pendidikan Malaysia.

PKPIM, tegasnya komited memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya PKPIM menyokong pandangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zakarshi yang mengkritik dan mempersoalkan kajian yang dilakasanakan oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berkenaan 50% ibu bapa yang mahukan dasar PPSMI ini diteruskan.

“Dapatan yang diperolehi oleh JMM ini tidak melambangkan hasrat sebenar majoriti rakyat yang menolak dasar ini.

“Hal ini disokong dengan adanya kajian ilmiah oleh pelbagai pihak yang merangkumi seluruh negara mengenai keberkesanan pelaksanaan PPSMI ini,” ujarnya.

Katanya, keputusan dan rumusan kajian yang telah dilaksanakan ini menunjukkan keputusan sebaliknya selepas dasar ini diperkenalkan kerajaan dalam keadaan tergesa-gesa.

PKPIM juga, ujarnya ingin merakamkan kesedihan dan ucapan takziah kepada kaum keluarga dan sahabat handai Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad, tokoh pejuang bahasa yang konsisten dalam memperjuangkan agar dasar PPSMI ini ditamatkan.

“Mewakili suara generasi muda di Malaysia, PKPIM bertegas bahawa semangat perjuangan Allahyarham dan para cendekiawan dalam memastikan fungsi dan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan akan dikembalikan semula pada tempatnya,” katanya.


Saya perjuang Islam, bukan komunis - Mat Sabu | Print |
Nazri Abdullah

GOMBAK, 11 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pegangan dan perjuangannya adalah Islam sejak kecil lagi dan bukan komunis seperti dilabel Umno dan akhbarnya, Utusan Malaysia.

Berucap dalam ceramah di Dewan Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar malam tadi, Muhamad berkata pegangannya dan perjuangannya terhadap Islam tidak pernah berubah sejak dulu lagi.

"Saya memilih perjuangan atas dasar Islam. Masa remaja dulu saya pilih Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kemudian tahun 1978 saya sertai perjuangan parti Islam (PAS), sokong perjuangan ulama.

"Sepanjang saya berpidato idola saya adalah Syed Qutb, Imam Hasan Al-Banna, Jamaludin Al-Afghani, dan ulama-ulama lain.

"Tiba-tiba saya dituduh komunis, tak sedih ke tuan-tuan? Jahat sungguh," katanya merujuk kepada serangan Umno dan media terhadapnya ekoran pandangannya dalam isu Rumah Pasung Bukit Kepong.

Kira-kira seribu hadirin hadir pada ceramah malam tadi.

Mengulas lanjut Mohamad berkata tuduhan sebegitu bukan baru kerana berlaku sejak zaman penjajah lagi.

Umno warisi penjajah

Di zaman British ujarnya, golongan ulama dan golongan kiri dianggap penentang dan ditangkap serta dibunuh.

"Saya sangat cintakan tanah air Malaysia, tempat tumpah darah kita.

"(Tuduhan) Ini sama seperti dituduh terhadap pejuang-pejuang sebelum ini oleh penjajah dan sekarang Umno mewarisinya," tegasnya lagi.

Mohamad dalam satu ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pad 21 Ogos lalu mendakwa Mohamad Indera yang menyerang polis British di Rumah Pasung Bukit Kepong adalah hero sebenar dan bukannya polis tersebut.

Seminggu selepas itu, Utusan Malaysia dalam laporan 27 Ogos melaporkan kenyataan Mohamad sebagai berkata pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.

Mohamad yang tidak pernah mengaitkan komunis dalam isu itu kemudiannya menafikan perkara itu dan menganggap laporan akhbar Umno itu sebagai fitnah terhadapnya dan PAS.

Ekoran laporan itu juga, beliau telah dibidas dan kecam hebat oleh pelbagai pihak khususnya, Umno dan BN sehingga ada yang menuduhnya sebagai komunis.

Mengulas perkara itu, Mohamad malam tadi berkata semalam genap 15 hari beliau diserang.

"Saya berucap 21 haribulan, Utusan siar 27 haribulan seminggu selepas itu.

"Itu bukan berita, itu dah jadi sejarah. Kalau berita, berlaku hari ini keluarnya esok," sindirnya terhadap tindakan Utusan itu.

Khairy budak baik

Sementara itu, menjelaskan kenapa beliau menolak debat dengan Khairy Jamaluddin, beliau berkata bukan Ketua Pemuda Umno itu yang banyak menghentamnya tetapi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ekoran itu katanya, beliau hanya mahu berdebat dengan Muhyiddin yang dilihat lantang mengritik beliau sehingga menyuruh beliau bertaubat.

"Bagi saya Khairy budak baik dan berpotensi jadi pemimpin PAS akan datang. Buat apa nak berdebat dengan adinda Khairy.

"Muhyiddin yang banyak kata pada saya, jadi biarlah saya berdebat dengan Sohibussamahah Muhyidin Yassin," sindirnya.

Turut menyampaikan ceramah malam tadi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


Wacana Merdeka makin tambah kekeliruan | Print |
Harakahdaily

IPOH, 10 Sept: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak menyifatkan Wacana Merdeka yang dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) semalam gagal menjelaskan tajuk asal perbincangan mengenai tragedi Balai Polis Bukit Kepong: Siapa wira sebenar.

Malah, kata Ketua Penerangan PAS negeri, Ahmad Nuri al-Amin berkata pentas wacana tersebut lebih menjadi medan mencetuskan polemik baru yang menyanggah fakta besar yang telah diterima pakai selama 54 tahun dengan menafikan sejarah kemerdekaan negara.

Katanya, penafian terhadap kemerdekaan negara pada tahun 1957 itu lahir dari fakta yang disebut berulang kali oleh para panelis wacana bahawa Tanah Melayu langsung tidak pernah dijajah oleh British, suatu kenyataan yang tidak disiarkan oleh media massa perdana yang dikuasai kerajaan.

Malah, menurutnya bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar juga menggambarkan bahawa penubuhan Umno pada tahun 1946 bukan untuk mendapatkan kemerdekaan negara tetapi hanya untuk memastikan bahawa Tanah Melayu dikembalikan kepada pemerintahan dahulu.

Tambahnya, manakala penekanan Tun Hanif berkaitan tragedi Bukit Kepong hanya mengisyithar bahawa kematian pasukan polis sebagai wira walaupun tidak menafikan polis ketika itu di bawah pemerintahan British.

Katanya, nama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sering menjadi sebutan Tun Hanif semalam sepatutnya turut dijemput pihak IDR bagi menjelaskan isu berkaitan Ahmad Indera @ Mat Indera.

“Jika ianya diadili sebaiknya, wacana tersebut perlu dihadiri juga oleh Haji Mohamad untuk memperkatakan perkara tersebut.

“Sesungguhnya hasil wacana semalam telah menimbulkan lebih banyak kekeliruan dari menjelaskan keadaan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Soalnya, bagaimana status pejuang-pejuang Melayu Perak seperti Datuk Maharaja Lela Pandak Lam yang dihukum buang negeri dan pejuang-pejuang Melayu lain yang terbunuh ketika dikatakan menentang British.

Katanya, jika Tanah Melayu tidak dijajah, siapakah yang mereka tentang dan siapakah pula yang menghukum dan membunuh mereka.

“Adakah ini angkara Melayu gunakan British untuk menentang dan membunuh sesama Melayu?” soalnya lagi.


Nik Aziz lawat keluarga Allahyarham Noramfaizul | Print |
Harakahdaily

SERDANG, 10 Sept: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meluangkan masa melawat keluarga Allahyarham Noramfaizul, wartawan BernamaTV yang maut akibat terkena tembakan semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan tiba di kediaman keluarga Allahyarhan di Taman Serdang Raya kira-kira jam 9.30 pagi ini.

Turut serta dalam kunjungan itu delegasi Dewan Muslimat PAS Pusat yang diketuai Siti Zailah Yusuf.

Kunjungan tersebut sebagai tanda simpati terhadap kelurga atas pemergian Allahyarham Noramfaizul.

Kehadiran mereka disambut ibu bapa serta isteri dan dua anak Allahyarham.

Pada kunjungan itu juga, Tuan Guru Nik Aziz turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham.

Beliau juga menasihatkan ahli keluarga Allahyarham bersabar atas ketentuan Ilahi ke atas Noramfaizul.

Dalam kejadian pada Jumaat 2 September lalu, kenderaan yang dinaiki Noramfaizul, 39, dan petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan.

Beliau yang terkena tembakan itu di dada bagaimanapun meninggal dunia ditempat kejadian.

Insiden itu turut menyebabkan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, cedera di lengan.


Evakuasi pelajar Syria, mengapa menari ikut rentak media?

Muhammad Nadir al-Nuri Kamaruzaman

Kebangkitan rakyat Syria menentang kezaliman rejim Bashar Al-Assad ternyata menjadi episod derita yang berlarutan hingga ke hari ini, tatkala kebangkitan umat sebangsa mereka di negara-negara jiran berjaya mencapai hasil yang didambakan. Bermula sebagai rayuan membebaskan tahanan politik oleh ahli keluarga mereka yang terbabit, desakan menghapuskan undang-undang darurat ala-ala Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia dan seruan kebebasan berpolitik sejak 16 Mac awal tahun ini, rakyat bertukar angin apabila mula tekad menuntut pertukaran kerajaan setelah tuntutan-tuntutan awal ibarat menggertak dinding batu - buat kering tekak, tapi dinding tidak bergerak.

Saya yang kebetulan terperangkap dalam cetusan demonstrasi pertama tanggal 18 Mac di Masjid Umawi berdekatan Souq Hamidi, tatkala demonstran cuba mengheret Syeikh Ramadhan Buti yang menyampaikan khutbah untuk bersama-sama kelompok mereka sebelum disuraikan secara ganas oleh mukhabbarat rejim, sehinggalah ke tragedi mutakhir Lailatul Qadar Berdarah Ramadhan lalu, di antara dua titik peristiwa besar itu, memerhatikan bahawa graf kebangkitan rakyat khususnya di Dimashq, yang menjadi prioriti penulisan ini, di tahap mendatar.

Selain beberapa keypoint events yang mencuri perhatian dunia, misalnya penangkapan sekelompok remaja yang menconteng graffiti anti-kerajaan di dinding bandar Dara’a, bermulanya kemasukan tentera di sana tanggal 25 April, pembunuhan dan penyeksaan syahid kanak-kanak Hamzah Al-Khateeb pada 29 April, kepungan dan serangan ketenteraan ke atas penduduk Jisr Al-Shoghour tanggal 12 Jun yang menyebabkan 12,000 rakyat Syria lari ke Turki, selain tiga ‘ucapan janji kosong’ Presiden Bashar Al-Assad kepada rakyatnya dan siri sekatan ekonomi dan ancaman ke atas Syria daripada negara-negara luar, tidak ada tanda-tanda sejarah baru akan terukir dengan mudah dalam masa terdekat.

Berita kematian dan tunjuk perasaan yang disiarkan setiap hari berlaku di beberapa bandar seperti Dara’a, Homs dan Hama tidak dinafikan agak merungsingkan, tetapi bagi menilai isu secara tepat dan adil, lokasi kejadian yang terlalu jauh tidak menjadi ancaman kepada pelajar Malaysia yang kesemuanya berada di Dimashq, sebagaimana rakyat di Pahang dan Perak tidak terusik oleh perang saudara di Selatan Thailand.

Kajian dan analisa terhadap referendum yang dilakukan oleh Security Action Force (SAF), badan yang ditubuhkan khas oleh Persatuan Pelajar Malaysia di Syria (PPMS) untuk memantau tahap keselamatan pelajar, mendapati bahawa tidak ada seorang pelajar pun yang pernah diancam sejak revolusi bermula awal tahun ini. Pada masa sama, pungutan pendapat pihak berautoriti samada daripada kerajaan, pimpinan masyarakat tempatan, masyayikh dan pihak pengurusan universiti, meletakkan situasi di Dimashq dalam keadaan stabil. Malah lima tanda aras bahaya yang akan menyebabkan berlakunya evakuasi, antaranya berlaku tembak-menembak antara dua pihak di dalam bandar dan kedutaan negara-negara besar ditutup seperti yang ditetapkan oleh kedutaan sendiri awal tahun ini, belum pun berlaku.

Pelajar mampu berulang-alik ke kuliah setiap hari dengan selamat, menduduki peperiksaan, mengadakan dan menerima jemputan ke rumah terbuka sempena Hari Raya Aidil Fitri setiap hari, malah masih boleh mengadakan majlis perkahwinan di sini. Dalam krisis kewangan yang berlaku, ternyata pelajar bijak mencari jalan keluar - sambil memohon cadangan penyelesaian daripada kedutaan - tanpa ada yang mati kebuluran dan merayu pertolongan ke sana ke mari seperti digembar-gemburkan media.

Justeru kami berasa terkejut tatkala Kementerian Luar mengumumkan proses evakuasi pertengahan September ini dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 7 September lepas. Tindakan yang dianggap terburu-buru dan drastik itu, dilihat sebagai tindakan populis untuk menunjukkan betapa kerajaan mengambil berat keadaan pelajar dan mendengar kehendak penjaga di Malaysia yang dukacita dihidangkan dengan maklumat yang tidak tepat, selain hasil tekanan media yang tidak putus menggambarkan seolah-olah pelajar Malaysia di sini berada di ambang kematian. Tidak mengambil pengajaran daripada insiden serupa di Mesir, kerajaan terjelopok ke lubang yang sama untuk kali kedua.

Kami menggesa kerajaan, supaya menghormati keputusan dan tidak mengabaikan keadaan pelajar yang baru mendaftar untuk sesi baru kemasukan ke universiti di sini atau berada di hujung pengajian, dan memilih untuk kekal di Syria bagi meneruskan pengajian dan tidak pulang ke tanahair.

Sungguh, tidak ada yang akan membuatkan kami lebih bahagia daripada dapat pulang ke tanahair dengan tiket 'percuma' untuk menumbangkan pemerintah yang zalim dan menegakkan Islam di segenap ruang yang kami jejaki, tetapi buat masa ini kami sanggup menangguhkan kebahagiaan tersebut demi untuk tidak pulang dengan tangan kosong.

Kepada ibu bapa dan penjaga pelajar yang telah memilih kekal, tingkatkanlah tawakkal dan keyakinan kepada Allah. Anak-anak kalian, manifestasi ilmu dan iman yang bukan sahaja dipelajari malah cuba diamalkan. Bagi yang pulang, tunaikanlah hak kepada masyarakat, kerana tiket 'percuma' tersebut, hakikatnya adalah hasil cukai daripada titik peluh mereka.

Kerajaan boleh memilih untuk menari mengikut paluan gendang sesiapapun, tetapi kami pelajar yang celik mata hati dan peka terhadap perkembangan semasa, memilih untuk terus thabat berpijak di bumi nyata.

Pelajar Malaysia di Syria




Tiada ulasan:

Catat Ulasan