Sabtu, 10 September 2011

BILA TERLALU BANYAK KOTOR...SAMPAI KEPADA JIJIK...MAKA SUSAH NAK BERSIH LAGI...NI HASIL DARI PERBUATAN KITA SENDIRI...

Cukai prabayar 6%: BN terus peras rakyat | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 9 Sep: Kerajaan terbukti 'hilang akal' untuk menambah pendapatan negara sehingga bertindak memeras rakyat miskin, kata Naib Presiden PAS Datuk Haji Mahfuz Omar.

Sambil mengajak rakyat menolak cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus bagi pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan prabayar/pek SIM bagi semua syarikat telekomunikasi, beliau berkata, rakyat mesti memahami bahawa langkah itu sebenarnya adalah langkah kerajaan sendiri dan bukannya langkah syarikat-syarikat telekomunikasi.

"Pertamanya, syarikat-syarikat telekomunikasi berebut-berebut menawarkan perkhidmatan yang lebih murah kepada pengguna dan agak ironi jika tiba-tiba mereka mahu mengenakan tambahan bayaran sebanyak enam peratus.

"Kedua, sebelum ini, syarikat-syarikat telekomunikasi tidak mengenakan levi di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975 bagi perkhidmatan prabayar mudah alih kerana tidak dikuatkuasakan oleh kerajaan.

"Oleh itu, ia dengan sendirinya bermakna kerajaanlah yang beria-ia mahu menguatkuasakan levi tersebut mulai 15 September ini," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan mengapa kerajaan tergamak menghempaskan beban ke atas rakyat bawahan termasuk yang berpendapatan rendah malah yang tidak berpendapatan yang merupakan majoriti pengguna perkhidmatan prabayar mudah alih.

"Majoriti pengguna perkhidmatan prabayar mudah alih ialah rakyat bawahan termasuk rakyat berpendapatan rendah, orang miskin, remaja tanpa pekerjaan, pelajar sekolah dan mahasiswa.

"Tindakan kerajaan memeras mereka untuk menambahkan pendapatannya tidak boleh diterima sama sekali," kata Mahfuz yang juga Pengerusi Lujnah Pengguna PAS.

Sebagai kerajaan, katanya lagi, ia sepatutnya memikirkan cara untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya menambahkan lagi beban rakyat terutama rakyat miskin.

Jika kerajaan sudah hilang akal untuk menambahkan pendapatan negara, Mahfuz secara sinis mengesyorkan para pemimpin kerajaan terutama anggota kabinet pergi meminta sedekah di tangga-tangga jejambat dan di mana sekalipun.

"Meminta sedekah tidaklah seburuk memeras rakyat berpendapatan rendah, rakyat miskin dan para pelajar," katanya.

Mahfuz menggesa rakyat menolak sukai tersebut kerana ia sebenarnya adalah muqaddimah kepada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta tindakan merentap subsidi yang akan dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) jika parti itu memenangi pilihan raya akan datang.


SPR daftar alamat pengundi tak wujud | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 9 Sept: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mencipta keanehan apabila jalan yang tidak wujud turut dijadikan alamat kepada pengundi yang juga tidak wujud di sesuatu kawasan pada sesetengah negeri di seluruh negara.

Salah satu bukti berhubung perkara itu termasuklah Jalan Pintar 11 dekat Taman Universiti yang terletak dalam kawasan Dun Bangi di Selangor yang jelas tidak wujud, tetapi turut didaftarkan sebagai alamat salah seorang pengundi di kawasan itu.

Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Adram Musa menjelaskan, beliau amat hairan dengan tindakan SPR itu, pada hal jalan-jalan yang terdapat di kawasan itu khususnya yang membabitkan Jalan Pintar hanyalah Jalan Pintar 1, Jalan Pintar 2, Jalan Pintar 3, Jalan Pintar 4 dan Jalan Pintar 5 sahaja.

Menurut beliau, tindakan yang dilakukan oleh SPR itu jelas merupakan satu manipulasi pilihanraya di negara ini dan ia dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, tindakan susulan lain yang dilakukan oleh SPR dan JPN berhubung perkara itu dengan menyenaraikan penduduk sementara sebagai pemilih dalam daftar pemilih SPR, termasuk membabitkan pengundi bagi Dun Bangi dan yang dicatatkan tinggal di Taman Universiti.

"Antaranya termasuklah Jamaluddin bin Tahir yang mempunyai kad pengenalan bernombor 840803125475, lokaliti Tmn Universiti/Tmn Tropika, daerah mengundi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dun Bangi, Parlimen Serdang di negeri Selangor," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, semalam.

Sesuai dengan kedudukan Jamaluddin sebagai penduduk sementara, menurut beliau, Jamaluddin diberikan kad pengenalan hijau oleh JPN dan mengikut undang-undang pula, penduduk sementara dan penduduk tetap yang mempunyai kad pengenalan merah tidak boleh mengundi.

"Dalam hubungan ini, keanehan lain pula yang wujud. Jamaluddin bin Tahir itu sendiri sememangnya tidak tinggal di kawasan itu. Malah, PAS Sungai Tangkas telah melakukan pemeriksaan dan didapati sememangnya tidak wujud orang yang bernama Jamaluddin bin Tahir yang tinggal di kawasan itu," katanya.

Berdasarkan semakan terkini yang dilakukan oleh pihak PAS didapati selain Jamaluddin bin Tahir, terdapat dua orang lagi penduduk sementara yang mempunyai kad pengenalan hijau yang turut didaftarkan sebagai pemilih oleh SPR.

Mereka terdiri daripada Numi binti Syukri yang bernombor kad pengenalan 880306115096, lokaliti Kg Bukit Payung, daerah mengundi Mukim Tenang, Dun Hulu Besut, Parlimen Besut, Terengganu.

Manakala seorang lagi, Hasmidah binti Surahbil yang mempunyai kad pengenalan bernombor 820315126446, lokaliti Taman Baiduri Jaya, daerah mengundi Bandar Teknologi Kajang, Dun Semenyih, Parlimen Hulu Langat di negeri Selangor.

Sehubungan itu, beliau yang mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mencabar SPR dan JPN bagi menjelaskan perkara itu kerana ia penuh dengan tanda tanya dan menyalahi undang-undang.


Mahathir kata sokongan Najib merosot kerana Bersih 2.0 | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Sept: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kemerosoton sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah akibat dari cara kerajaan BN mengendalikan perhimpunan Bersih.

Katanya, tindakan kerajaan tidak membenarkan orang memakai baju kuning adalah satu tindakan yang dilihat tidak betul.

"Saya tidak tahulah samada ia arahan Datuk Seri Najib ataupun tidak tetapi bila ia arahan kerajaan, ia dilihat buruk oleh orang ramai," katanya.

Mahathir berkata demikian dalam wawancara khas dengan Astro Awani dan disiarkan hari ini.

Merdeka Centre dalam kajiannya baru-baru ini mendapati sokongan terhadap Najib merudum teruk kepada 59 peratus berbanding 76 peratus sebelum ini.

Kenyataan Mahathir ini membayangkan beliau bersetuju dengan hasil kajian persepsi Merdeka Centre itu yang cuba ditolak oleh pemimpin kerajaan Umno termasuk oleh para menterinya.

Ketika ditanya komen beliau terhadap penglibatan anaknya, Marina Mahathir dalam perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai itu, Mahathir berkata, beliau tidak mengongkong anak-anaknya.

"Saya memberikan kebebasan kepada anak saya, saya tak paksa mereka ikut saya, mereka gunakan kebijaksanaan sendiri," kata Mahathir dalam rancangan itu.


Status penduduk sementara 'lesap' selepas didedah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Sept: Tiga nama yang didedah Dewan Pemuda PAS semalam yang memiliki Kad Pengenalan Hijau (penduduk sementara) dan didaftar sebagai pemilih, hari ini didakwa "lesap" dalam sistem semakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Maklumat ketiga-tiga mereka seperta dalam semakan web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah seperti berikut:

Kad Pengenalan: 880306115096

Nama: NUMI BINTI SYUKRI
Lokaliti: KG BUKIT PAYUNG
Daerah Mengundi: MUKIM TENANG
DUN: HULU BESUT
Parlimen: BESUT
Negeri: TERENGGANU

Kad Pengenalan: 820315126446


Nama: HASMIDAH BINTI SURAHBIL
Lokaliti: TMN BAIDURI JAYA
Daerah Mengundi: BANDAR TEKNOLOGI KAJANG
DUN: SEMENYIH
Parlimen: HULU LANGAT
Negeri: SELANGOR


Kad Pengenalan: 840803125475

Nama: JAMALUDDIN BIN TAHIR
Lokaliti: TMN UNIVERSITI/TMN TROPIKA
Daerah Mengundi: UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
DUN: BANGI
Parlimen: SERDANG
Negeri: SELANGOR

Ketiga-tiga individu itu sewaktu disemak pagi semalam mempunyai rekod permohonan JPN sebagai pemegang kad pengenalan hijau, namun hari ini statusnya tidak dapat dikenal pasti sama ada masih berstatus penduduk sementara atau sudah bertukar.

Ianya ekoran sistem semakan di JPN didapati bertukar-tukar status bermula dari kad pengenalan hijau semalam, tiada dalam rekod pada awal pagi tadi, kemudian betukar kepada ungu (tidak diketahui statusnya) sehingga terbaru langsung tidak dapat disemak kerana portal semakan tersebut didakwa sedang diselenggara.

Persoal sistem JPN

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat ketika dihubungi mempersoal sistem semakan online JPN yang dilihat lemah dan tidak stabil.

Sedangkan katanya, sistem itu antara paling penting kerana berkait dengan keselamatan negara.

"Apa JPN ni, kita nak tahu apa standard operating procedure (SOP) dia.

"Kejap hijau, lepas tu ungu yang tak tahu apa statusnya itu, lepastu lesap. Apa yang JPN buat sebenarnya," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Pada sidang media semalam, Dewan Pemuda PAS mendedahkan meklumat terdapat penduduk sementara pula didaftar sebagai pengundi.

Sebelum ini mereka juga pernah mendedahkan penduduk tetap didaftar sebagai pengundi namun bertukar menjadi warganegara dalam masa beberapa jam selepas didedahkan.

Beberapa bukti kepincangan lain juga didedahkan termasuk kes Mismah yang boleh bertukar status kewarganegara dalam tempoh satu jam setengah, Kg Baru menjadi pengundi, kes nombor kad pengenalan lama dimiliki oleh dua individu, pengundian berganda, undi pos dan beberapa kes lain.

Perkara sama turut dipersoal timbalannya, Adram Musa yang mahu JPN segera menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Katanya, dalam keadaan negara akan berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 yang makin hampir, JPN selaku agensi pengesahan data terpenting pula dilihat bermasalah.

JPN akui kelemahan

Sementara itu, JPN hari ini mengakui bahawa kegagalannya mengemaskini pengkalan data menyebabkan satu lagi kes orang bukan warganegara disenaraikan sebagai pengundi.

Seorang jurucakap JPN, Jainisah Mohd Noor dipetik Malaysiakini sebagai berkata, pengundi yang memegang kad pengenalan sementara (kad pengenalan hijau) itu sebenarnya merupakan seorang warganegara.

Pegawai berkenaan berkata, semakan yang dijalankan JPN menunjukkan bahawa pengundi berkenaan, Yusnati Haris, 27, telah diberikan status kewarganegaraan pada 2008.

Tambahnya, Yusnati masih disenaraikan sebagai pemegang kad pengenalan hijau kerana pengkalan data yang boleh diakses oleh masyarakat umum itu tidak dikemaskini.

Masalah seperti ini mula dikesan dalam kes melibatkan seorang pengundi yang meraih kontroversi apabila dikesan dalam data JPN sebagai seorang penduduk tetap tetapi disenaraikan sebagai pengundi dalam rekod pengundi SPR.


Kempen ‘Bersihkan Najib’ dari dalam Umno? | Print |
Harakahdaily

PETALING JAYA, 9 Sept: Satu gerakan tersusun yang dinamakan ‘Bersihkan Najib’ di dalam Umno untuk menolak Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) dikatakan mula dijalankan oleh pihak tertentu di dalam parti itu.

Selain serangan terus terhadap Najib sendiri, gerakan tersebut juga dikatakan banyak menumpukan serangan ke atas isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bagi melemahkan kredibiliti Najib sebagai pemimpin nombor satu negara itu.

Demikian menurut sebuah blog pro Umno terkenal, www.umno-reform2.com yang dikendalikan oleh Anuar Mohd Nor yang juga merupakan Ketua Eksekutif Institut Kajian Asas Kemasyarakatan, lapor Free Malaysia Today.

“Paling ketara usaha ini menjalankan serangan ke atas Rosmah untuk memperkecil kredibiliti Najib dan mendesak beliau supaya berundur,” menurut petikan entri dari blog terbabit.

Penulis blog terbabit juga percaya pihak-pihak di dalam Umno akan membuat penafian sekaligus menyatakan ikrar taat setia terhadap presiden Umno itu.

“Setakat ini realiti program untuk menjatuhkan dan mendesak Najib untuk melepaskan jawatan adalah benar dan wujud walaupun mungkin penafian akan timbul tetapi Najib harus tahu realiti yang ada ini,” tulis beliau lagi.

Bagaimanapun, beliau yang mendakwa mengetahui beberapa nama terlibat dengan gerakan ini masih belum mahu mendedahkan pihak -pihak yang memainkan peranan menjalankan agenda ‘Bersihkan Najib’ dari Umno ini.

“Suara yang menamakan mereka yang terbabit sudah ada sungguhpun www.umno-reform2.com belum berhajat untuk memaklumkannya,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan seorang pemimpin Umno di peringkat bahagian dari negeri Selangor turut percaya kewujudan gerakan ‘Bersihkan Najib’ tersebut.

Beliau yang enggan mendedahkan identitinya itu mendakwa, gerakan untuk menjatuhkan Najib itu diketahuinya apabila diberitahu oleh seorang pemimpin peringkat negeri kira-kira tiga bulan lalu.

“Benda ni agak dah lama saya tahu, lebih kurang tiga bulan lepas bila seorang pemimpin peringkat negeri memaklumkan kepada saya,” ujar beliau ketika ditemui di sini.

Najib gagal kawal tindak-tanduk isteri?

Menurutnya antara sebab utama berlakunya penolakan kepimpinan Najib dari dalam Umno sendiri berpunca daripada Najib yang dikatakan gagal mengawal tindak-tanduk isterinya.

(Rosmah mendapat slot khas untuk memberikan ucapan hari raya di tv menimbulkan banyak tanda tanya)

“Najib bukan sahaja nampak lemah dalam beberapa aspek kepimpinannya, imejnya, tapi lebih teruk lagi tindak-tanduk isterinya semakin memberatkan agenda Umno dan Barisan Nasional untuk meraih keputusan yang baik dalam pilihan raya akan datang.

“Walaupun Najib dan pemimpin Umno yang lain memang berusaha memberikan persepsi positif di mata rakyat terhadap penglibatan Rosmah dalam urusan kerajaan, orang ramai tetap menganggap sebaliknya.

“Dalam isu isteri PM ini, apa yang dilihat oleh ahli-ahli Umno khususnya golongan akar umbi tidak menunjukan apa yang dikatakan oleh Najib mahupun pemimpin-pemimpin Umno sendiri.

“Lebih menghairankan, saya dan kebanyakan rakan-rakan lain dalam Umno percaya Najib sendiri sedar kesan negatif dari tindak-tanduk isterinya itu, tetapi malangnya Najib seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa tentangnya,” ujarnya.


Nik Aziz, Abd Hadi dan Mat Sabu ceramah malam esok | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Sept: Penjelasan tentang pelbagai isu yang dibangkitkan oleh media sekarang dijangka akan dijelaskan dengan sepenuhnya dalam ceramah umum oleh tiga pemimpin utama PAS malam esok, 10 September.

Majlis ini akan menampilkan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Haji Mohamad Sabu.

Ceramah ini akan diadakan di Dewan Koleh Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar mula jam 9 malam.

Ia diadakan sempena dengan Konvensyen Negara Berkebajikan yang akan diadakan mulai pagi esok di tempat yang sama.

Ketiga-tiga mereka dijangka menjelaskan pendirian masing-masing terutama dalam isu sejarah kemerdekaan negara ekoran serangan berterusan media BN terhadap Mohamad Sabu.

Hari ini masuk hari ke 14 Mohamad Sabu diserang dalam isu ini kononnya beliau memperkecilkan peranan pasukan keselamatan dan polis dan menyokong komunis.

Ia ekoran ucapan Mohamad Sabu di Pulau Pinang 21 Ogos lalu.

Dalam ucapan itu, Mohamad Sabu berkata, orang ramai tidak lagi meraikan hari merdeka dengan meriah kerana merasakan ia bukan sambutan merdeka yang sebenarnya tetapi majlis meraikan sejarah Umno sahaja.

Padahal, katanya, bukan pemimpin Umno sahaja yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara tetapi ramai lagi termasuk Mat Indera yang turut menyerang rumah pasong Bukit Kepong pada tahun 1950 ketika Tanah Melayu di bawah penjajahan British.

Nik Aziz sehingga kini menyifatkan laporan Utusan itu mengarut manakala Abdul Hadi mempertikaikan banyak tindakan pemimpin Umno dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Datuk Onn misalnya dipertikaikan sikapnya kerana banyak mendapatkan nasihat British sebelum membuat sesuatu keputusan untuk kerajaan Johor ketika beliau menjadi pegawai kanan negeri itu.


PAS anjur Hari Pembersihan Pantai esok | Print |
Harakahdaily

SEREMBAN, 9 Sept: PAS akan menyambut kempen "Coastal Clean up 2011 day" (Hari Pembersihan Pantai 2011) yang disambut di seluruh dunia di peringkat Malaysia esok, 10 September di Pantai 3, Teluk Kemang, Port Dickson.

Program yang bertemakan 'Bersihkan Pantai, Selamat Laut Kita' akan diadakan pada jam 9.00 pagi esok.

Majlis yang di anjurkan Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat dengan kerjasama Pakatan Rakyat Teluk Kemang itu akan dirasmikan oleh Datuk Amirudin Hamzah, AJK Pas Pusat merangkap Exco Kerajaan Negeri Kedah.

"Selepas gotong royong bersihkan pantai ini selesai iaitu jam 10.30 pagi, kami menjemput semua pihak ke jamuan majlis sambutan hari raya di tempat sama di tepi pantai," kata Zulkefly Mohamad bin Omar (gambar), AJK PAS Pusat, merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia.

Menurut Zulkefly, tujuan program ini dianjurkan adalah untuk memberi kesedaran serta rasa tanggungjawab kepada seluruh rakyat tentang penjagaan dan pemeliharaan kebersihan pantai dan alam sekitar.

Ia juga bertujuan untuk memastikan supaya sebarang unsur pencemaran pantai dapat dihalang dan dicegah oleh pihak berkuasa dan rakyat bagi mengekalkan Pantai Teluk Kemang sebagai pusat pelancungan dan rekreasi negara.

"Coastal Clean up 2011" atau hari pembersihan pantai 2011 diraikan seluruh dunia oleh badan bukan kerajaan khasnya pencinta alam sekitar.

Di Amerika, California Coastal Cleanup Day telah menjadi salah satu aktiviti sukarela yang terbesar di dunia. (gambar)

Pada tahun 2010, 82,500 sukarelawan telah membuang lebih 1.2 juta paund sampah dari pantai, tasik dan juga sungai.

Tahun ini, California Coastal Cleanup Day akan dijalan pada hari Sabtu 17 September ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan