Sabtu, 17 September 2011

ALLAH TERIMA ISLAMNYA...JIKA AKIDAHNYA BENAR@HAK...BAGAIMANA AKIDAH RASULLULLAH SAW...SERTA IBADAH YANG BUATNYA SAH DISISI ALLAH...

Naluri manusia mahu hidup merdeka | Print |
Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Kenyataan Sempena Hari Pembentukan Malaysia

Adalah menjadi naluri semua manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad dan akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan.

Tidak akan ada orang yang waras akal fikiran mahu hidup di bawah belenggu mana-mana penjajahan, apatah lagi dikawal minda dan tindakannya.

PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok timur atau barat.

PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak dan tokoh seperti Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin, Raja Abdullah serta Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lainnya (sekadar beberapa nama) yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka ini telah meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak bersetuju kerana wujud kelemahannya yang tersendiri.

Namun segala kelemahan orang lalu yang telah pun meninggal dunia ini tidak wajar untuk kita balas dengan kata nista. Apa yang wajar dilakukan ialah kita memohon agar kesilapan yang mereka lakukan mendapat keampunan dari Allah SWT.

Apa pun, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala di sisi Allah SWT. Kelemahan dan kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara yang bernama Malaysia pula perlulah diperbaiki oleh kita yang hidup di zaman ini dan berterusan menjadi tanggungjawab generasi akan datang.

Alangkah baiknya kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud dalam negara kita ini mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara Malaysia yang benar-benar melindungi kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang sama-sama melihat betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi amanah pemerintahan selama lebih 50 tahun dan semakin membawa negara kita kepada penyakit yang menyusahkan rakyat dengan daya saing negara yang makin merudum, kos hidup yang meningkat dan barang keperluan yang melambung harganya, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan beragama ditinggalkan dan seribu lagi macam kerosakan, maka tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama melakukan perubahan.

Penipuan pilihan raya juga semakin berleluasa dan tidak lagi menjadi medan muhasabah sebenar kalangan rakyat terhadap kerajaan. Jangan kita membiarkan Malaysia menjadi semakin lemah di bawah kerajaan Umno BN, kerana generasi anak cucu kitalah nanti yang akan menerima sengsaranya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

13 September 2011


Jangan hentikan misi kemanusiaan kerana kematian | Print |
Subky Latif
BERIKUTAN maut menimpa Noramfaizul dalam tugas misi bantuan ke Somalia, maka berbagai tindakan tindakan dicadangkan bagi mengelakkan kemalangan seperti kecederaan dan maut serta insuran perlindungan kepada keluarga si malang.

Seperti membekal jeket kalis peluru kiranya ke negara yang bergolak seperti di Somalia sekarang, di Bosnia dan di Iraq semasa perang memuncak dulu. Anggota rombongannya dilengkapkan dengan perlindungan insuran.

Ia adalah tindakan memperkemas pengurusan dan persediaan kebajikan untuk semua. Ia adalah tindakan yang baik dan terpuji. Kesemua tindakan susulan itu disebabkan terjadi kemalangan semasa bertugas itu.

Semua yang berbangkit itu adalah dalam perhitungan Islam dan ia adalah sebahagian dari persiapan dan perancangan kebajikan seperti yang disarankan oleh tema muktamar PAS yang terbaru itu ialah kearah menegakkan negara dan masyarakat berkebajikan.

Tahniah kepada keluarga Noramfaizul kerana disediakan oleh misi dengan perlindungan insuran dan mereka akan menerima ganjarannya. Dan selepas ini mungkin masing-masing dibekalkan dengan jeket kalis peluru.

Apa pun semua persiapan dan perlindungan itu tidak menjamin tidak akan berlaku kecederaan. Tetapi semua tindakan itu adalah untuk berhati-hati dan bagi mengurangkan risiko dari kemalangan.

Yang penting dalam tugas dan amal membantu sebarang bencana dan ancaman kemanusiaan mesti diteruskan. Yang utama adalah bantuan dalam apa jua bentuk termasuk pergi sendiri ke tempat kejadian seperti ke Somalia yang diacam kebuluran oleh kemarau yang teruk.

Persiapan mengelakkan kemalangan adalah perkara kedua. Jangan tanpa jeket kalis peluru dan perlindungan insuran, maka misi kecemasan tidak dilakukan lagi. Dan jangan kerana berlakunya satu kematian, maka kita kaji semula pengiriman petugas ke tempat yang memerlukan itu.

Kerja itu adalah kerja yang mulia. Jika bagi masyarakat yang tidak ada pahala dan dosa, berlumba-lumba untuk mengirim petugas kemanusiaan ke tempat seperti itu, maka Islam yang tahu ganjaran pahala tentulah lebih terpanggil untuk melakukan kerja kebajikan itu.

Selagi Malaysia mempunya sumber bantuan secukupnya, dan selagi ancaman kebuluran di Somalia itu belum diatasi, maka sewajarnya ada misi dari negara kita bagi menyumbang apa yang terdaya. Pada ketika yang sama bantuan ke tempat lain seperti Gaza juga diteruskan.

Kita teringat dan kita memuji misi-misi bantuan kecemasan di masa lalu yang pergi ke Bosnia dan ke Iraq, betapa ancaman perangnya adalah lebih mencabar dari di Somalia. Mereka telah ke sana tanpa jeket kalis peluru dan ada doktor kita terkena peluru di sekitar punggung. Semua kejadian yang mereka lalui tidak mematahkan semangat untuk meneruskan kerja yang mulia.

Sepanjang sukarelawan kita mengambil bahagian dalam kerja seperti itu masing-masing pergi dengan perisai seperti yang diibaratkan oleh Datuk Azeez, ketua Kelab Putera 1Malaysia bahawa mereka berjeket kalis peluru dengan doa orang ramai dan semangat mahu beramal.

Dengan perisai sedemikian sekaliannya pulang selamat ke tanahair. Hanya ajal yang menimpa Noramfaizul, jadi tragedi pertama yang menggemparkan seluruh rakyat hingga timbul berbagai cadangan menambah baik persediaan kita.

Jangan jadikan jeket kalis peluru dan perlindungan insuran untuk kita tidak menyambung kerja baik itu.

Adanya jeket kalis peluru itu tidak lebih dari satu ikhtiar mengelak kecederaan. Nabi saw dan para sahabat pun ada baju besi ketika berperang dengan musuh. Baju besi itu menjadi azimat mereka akan kebal. Ramai juga para sahabat gugur syahid sekalipun mereka lengkap dengan baju besi. Baju besi itu bukan satu jaminan.

Yang penting ialah kita ke medan jihad.


Layanilah orang tua itu | Print |
Tuan Ibrahim Tuan Man
Kalau anda ingin mengenali seseorang itu tua atau muda, anda boleh menilai dari perbualan mereka.

Seandainya orang yang anda temui itu berbicara banyak mengenai perkara-perkara yang lepas dan menceritakan tentang pengalaman hidupnya yang lalu, itu adalah satu tanda orang yang anda sedang bicara itu sudah tua.

Akan tetapi kalau perbicaraannya menceritakan apa yang sedang berlaku atau apa yang akan dilakukan, maka ianya tanda orang yang sedang anda bicara itu muda.

Ini antara petanda usia seseorang.

Memang realiti orang yang lama akan seronok berbicara apa yang telah mereka lalui, memberi gambaran suka dan duka. Seperti kisah-kisah kehidupannya di zaman Jepun, susahnya kehidupan dahulu, dan seronoknya zaman remaja dia, nostalgia harga barang murah, kenakalan zaman remajanya dulu yang tidak seperti kenakalan remaja sekarang dan sebagainya.

Itulah putaran kehidupan, dan kalau anda bertemu dengan orang tua begini, layanlah perbualannya dengan baik, sekali-sekala sampuklah cakapnya, agar dia rasa seronok. Kerana itulah keindahan orang tua.

Begitulah keadaan yang sedang dialami oleh Umno sekarang yang seronok jumpa bekas-bekas polis, tentera dan bekas- bekas pegawai pencen.

Kepada bekas anggota tentera, polis dan pegawai pencen layanlah Umno seadanya. Kerana sebagaimana biasa, hanya menjelang pilihanraya umum bahawa mereka teringat pada anda, dan selepas PRU 13 ini, mungkin Umno sudah tidak jumpa anda lagi.

Seperti biasa, kalau tetiba dia janjikan sesuatu, dengar sajalah… dah 12 kali, takkan tak kenal perangai ini lagi. Jangan bantah nanti dia kecil hati, tetapi pada masa yang sama, anda tidak perlu terlalu percaya janjinya, sebab orang tua kadang- kadang, dia tak ingat apa yang dia janji. Kena ingat itu, ini boleh melindungi anda daripada dikecewakan lagi kerana mempercayai janjinya.

Masa mendengar cerita sembang, ingatlah juga dalam hati waktu dia kuat dan muda dulu, dia tidak menjenguk pun anda. Hanya kini setelah dia rasa kesunyian dan sendirian, maka dia akan datang berbual, ajak makan-makan, sembang cerita lama dan secara halus-halus ingin mengingatkan anda tentang jasanya tapi menutup segala kemungkarannya.

Kalau anda berbual dengan pimpinan Umno sebegini, layanlah dia dengan baik, kerana mungkin ajalnya sudah tidak lama. Kalau anda membantahnya, dia akan kecil hati dan tuduh anda tidak menghormati orang tua.

Kini Umno menghimpunkan generasi lama, barangkali kerana mereka mengganggap jurang mereka dengan generasi muda semakin besar dan generasi muda berinternet tidak mudah menerima ‘cerita reka’ mereka.

Generasi tua ini pula dianggap mereka baik, yang tak berinternet lagilah bagus, lebih-lebih lagi kerana ia sebaya. Tak apalah anda pun dah faham, dia kan dah tua.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

15 September 2011


Himpunan sejuta ummah selamatkan aqidah | Print |
Nasrudin Hassan
1. Menyedari keadaan ummat Islam yang kini semakin dilingkari oleh persekitaran yang mengundang ancaman kepada aqidah mereka, pula keadaan ummat Islam yang sering disogok dengan aktiviti yang meletakkan mereka leka dan alpa dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang muslim terhadap Tuhan yang mencipta mereka. Leka dan alpa dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang muslim terhadap masyarakat dan negara, DPP Malaysia akan bangkit bersama Ngo - Ngo Muslim untuk menggerakkan kebangkitan Ummat Islam di negara ini agar peka terhadap tanggungjawab mereka mempertahankan aqidah dan memperjuangkan kesuciannya.

2. Ummat Islam seperti dibiarkan hanyut mengikut arus jahiliah moden yang melanda negara hari ini. Mereka dibiarkan jahil terhadap agama yang mereka anut tanpa sebarang tindakan yang efektif untuk memantapkan kefahaman dan aqidah sebaliknya aktiviti yang berpotensi meracuni pemikiran dan merosakkan aqidah ummat Islam semakin subur dan marak.

3. Melalui industri filem yang semakin mempopularkan amalan khurafat, tahyul, pergaulan bebas dan sindiran tajam kepada golongan yang komited dengan agama, kini aktiviti dan kenyataan yang mengguris hati dan nurani ummat Islam itu melarat pula ke laman sosial seperti facebook dan twitter tanpa sebarang sekatan.

4. Isu " Makcik Hajjah Sitt Al - Wuzara" yang telah menghina Islam secara terbuka melalui laman web, facebook dan twitternya seperti mendapat restu dari pihak berkuasa agama apabila tiada satu pun tindakan berkesan diambil. Sungguhpun beberapa kali desakan telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia mahupun Ngo - Ngo muslim termasuk kumpulan Jingga 13.

5. Sebelum ini DPP Malaysia telah memberikan had tempoh 10 hari untuk pihak berkuasa agama bertindak setelah isu ini terlalu lama dibiarkan berlarutan. Jika tidak, DPP Malaysia tidak teragak- agak untuk bangkit bersama dengan ngo - ngo muslim dan seluruh rakyat prihatin menggerakkan "Himpunan Sejuta Ummah" bagi menentang apa jua usaha, kenyataan dan perlakuan yang cuba meruntuhkan aqidah ummah dan mempersendakan ajaran Islam yang suci ini.

6. Dakyah golongan tertentu melalui pelbagai agensi dan elemen, yang dilihat cuba mempengaruhi pemikiran dan keyakinan [aqidah] ummat Islam juga giat dirancang dan berjalan dalam negara kita. Sementara keadaan ummat Islam yang semakin jauh dari suasana [bia'h] hidup beragama turut mengundang kepada gejala keruntuhan akhlak dan aqidah.

7. Mutaakhir ini, negara juga menyaksikan terlalu banyak ideologi ciptaan manusia disogok dan dipaksa kepada ummat Islam supaya mereka menerima dan menganutnya. Begitu juga ajaran - ajaran sesat semakin berkembang dengan berselindung disebalik pelbagai aktiviti sosial malah mereka seperti mendapat "lesen" untuk beroperasi secara terang - terangan. Termasuklah penularan fahaman syiah yang semakin membimbangkan masyarakat Islam dalam negara ini.

8. Ummat Islam tiada pilihan dan mereka mesti bangkit. Mereka perlu disedarkan segera dari lena yang panjang dan alpa yang mengasyikkan. Justeru itu Dewan Pemuda PAS Malaysia memberi sokongan 200% kepada usaha NGO-NGO Islam bagi menjayakan "Himpunan Sejuta Ummah" di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober 2011 kelak sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid semalam.

9. Objektif gerakan ini sangat murni dan sayugianya tiada siapa dari kalangan ummat Islam yang prejudis terhadap "Himpunan Sejuta Ummah" yang akan membangkitkan kesedaran Ummat Islam dari seluruh negara. Mudah - mudahan mereka memahami amanah dan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim yang tidak boleh membiarkan diri mereka dipersenda dan agama mereka dihina.

10. Insyaallah, bertepatan pula dengan resolusi Sidang Meja Bulat Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama 14 Ngo - ngo Islam di Shah Alam tempohari, DPP Malaysia akan menggerakkan seluruh kekuatan pemuda - pemuda Islam negara ini untuk bangkit mempertahankan aqidah, akhlak dan fikrah ummah agar Islam kembali tegak dan dihormati sebagai agama yang membawa rahmat [kasih simpati], a'dalah [keadilan] dan barakah [kebaikan yang melimpah ruah] dari Tuhan Sang Pencipta.

11. Himpunan dan kebangkitan ini tidak perlu dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat non muslim sebaliknya Himpunan dan Kebangkitan ini adalah berobjektifkan untuk memperkasa aqidah ummat Islam dan menentang elemen penghinaan terhadap agama Islam. Justeru Islam adalah agama yang sangat menghormati dan menjaga hak - hak non muslim dan ia adalah agama yang sangat toleransi terhadap agama - agama lain.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Apa salahnya perbetul fakta sejarah
Mohd. Nasir Awang

Saya agak bertuah apabila turut diajak menghadiri majlis pelancaran buku karangan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, 9 September lalu. Sebagai seorang peminat sejarah, pengamal media dan ‘penuntut sepanjang hayat’, peluang keemasan meneliti butir bicara seorang failasuf tersohor itu tidak selayaknya saya lepaskan.

Buku terbaru ahli teologi negara itu berjudul Historical Fact dan Fiction diterbitkan UTM Press. Pelancarannya disempurnakan Sultanah Johor yang juga Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Sepertimana judulnya, buku berkenaan memfokuskan perbincangan dan ulasan terhadap beberapa kekeliruan fakta sejarah negara, khususnya berkaitan kedatangan Islam ke Nusantara. Meneliti sepintas lalu bulu berkenaan menemukan kita kepada beberapa percanggahan fakta di antara apa yang selama ini diterima sebagai hakikat sejarah, berbanding pembuktian ‘fakta sebenar’ yang dikemukakan Prof Syed Naquib.

Antaranya berkaitan asal-usul nama Melaka dan Parameswara sebagai raja berbangsa Melayu dari Palembang yang dihuraikannya dengan hujah amat bertentangan dari apa yang selama ini diajarkan kepada kita.

Bahkan di dalam ucapan aluannya, ilmuan Islam tersohor itu meluahkan kekecewaannya apabila suatu fakta yang sejak sekian lama diutarakannya mengenai sejarah kedatangan Islam ke rantau ini tidak dipedulikan khalayak pengkaji dan penulis sejarah negara. Beliau menegaskan kajiannya bahawa Islam datang ke Nusantara bukan melalui India atau Parsi, sepertimana dicatatkan sejarah popular.

Sebaliknya, beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa Islam dibawa ke sini secara terus oleh misi khas dari Tanah Arab. Bahkan, katanya, kumpulan yang membawa risalah Islam itu bukan sekadar para pedagang biasa atau orang kebanyakan, tetapi dari kumpulan yang disebutkannya sebagai ‘the noble Arabs’, yakni yang bersalasilah keturunan daripada Rasulullah s.a.w. sendiri.

Sebab itu, dakwanya, suatu hakikat yang dapat dilihat ialah bagaimana kaedah sebutan perkataan-perkataan Arab oleh orang-orang Melayu negara ini tidak berbunyi pelat India atau Parsi, tetapi lebih dekat kepada lidah Arab. Beliau lantas mengambil contoh bagaimana perkataan ‘bismillahirrahmanirrahim’ disebut dengan lidah India dan Arab.

Katanya, sudah 30 ke 40 tahun beliau menyebutkan perkara ini. Namun, ia seakan tidak dilayan dan tidak diterima sebagai suatu hasil kajian yang wajar diperhalusi. Buktinya fakta-fakta sejarah kedatangan Islam ke tanah air ini kekal sepertimana yang telah diterima umum, khususnya hasil tulisan para penulis Barat.

Seakan terkejut dengan luahan dan pendedahan Prof Syed Naquib itu menyebabkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, yang turut berada di majlis berkenaan memberikan reaksi spontannya. Beliau mengakui wujud kesilapan atau kelemahan fakta dalam penulisan sejarah negara selama ini.

Pada sidang media selepas majlis tersebut, beliau antara lain mengakui, “hanya sebahagian saja yang ditulis penulis Barat untuk kepentingan mereka, yang mereka nak tulis hanya kedatangan mereka. Prof Muhammad Naquib bangkit perkara yang ada persoalan dan kita perlu kajian mendalam. Dalam soal ini sejarah boleh dicungkil”.

Keciciran fakta

Ulasan Mohamed Khalid itu pula mengundang reaksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed. Beliau juga mengakui terhadap keciciran fakta dalam penulisan sejarah negara, terutama berhubung perjuangan beberapa tokoh Umno mendapatkan kemerdekaan negara.

Setakat itu, pendedahan dan pengakuan ketiga-tiga mereka adalah sealiran. Bahawa kemungkinan wujudnya kelemahan dalam penulisan sejarah, sama ada secara tidak sengaja, atau memang disengajakan oleh para penulis Barat bagi menyembunyikan fakta sebenar, adalah suatu hakikat yang tidak sepatutnya ditolak mentah-mentah.

Bahkan, mengambilkira tabiat mana-mana bangsa penjajah, sudah tentu mereka berhasrat menjaga maruah dan kepentingan bangsa mereka. Justeru apa-apa fakta yang boleh mencemar imej atau merendahkan martabat bangsa mereka besar kemungkinan tidak dicatatkan. Manakala sebarang kelebihan, keistimewaan dan kebaikan bangsa dijajah juga dipadamkan dari pengetahuan umum.

Hakikat itu mengingatkan saya kepada pembicaraan episod kejatuhan Kerajaan Melaka ke tangan Portugis, pada kurun ke-15 dulu. Antaranya ialah apa yang pernah diutarakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di dalam ucapannya sempena Sambutan Jubli Emas PAS, pada 2001.

Menurut Tuan Guru, penulisan sejarah sengaja menonjolkan kerajaan Melaka hanya sebagai salah sebuah Kesultanan Melayu di Nusantara. Tidak ada catatan mengangkatnya sebagai sebuah kuasa besar Islam di Asia Tenggara. Fakta itu sengaja disembunyikan, demi kepentingan penjajah, yang sebenarnya datang ke rantau ini dengan misi menyebarkan agama Kristian.

“Seorang ahli sejarah tempatan menceritakan bahawa ketika berita penaklukan Melaka oleh Portugis sampai ke Eropah, satu perayaan telah diadakan di Vatican City (bandar suci orang Kristian di Itali). Mereka menyambut kegembiraan kerana kejatuhan Empayar Islam Melaka ke tangan tentera Kristian Portugis. Cerita sebenar ini tidak diajar kepada anak-anak kita di sekolah-sekolah,” ucapnya.

Bagi memadamkan catatan perjuangan Islam ketika itu juga, gerombolan orang Islam sekitar Melaka yang berpakatn datang membantu kerajaan Islam itu dipesongkan faktanya. Patih Yunus yang mengetuai umat Islam dari Tanah Jawa dan mendarat di Johor dengan misi membantu Melaka memerangi Portugis digambarkan sebagai pelarian ekonomi yang hanya mencari tanah baru untuk menanam kelapa.

Umat Islam dari Sulawesi yang datang ke negara ini pula dicatatkan sebagai kumpulan lanun yang sering merompak kapal-kapal dagang. Manakala pejuang Islam Minangkabau yang kebanyakannya mendarat di Negeri Sembilan diceritakan hanya sebagai kumpulan manusia dari Sumatera yang datang semata-mata untuk membuka kebun.

Penulisan sejarah oleh tangan-tangan berkepentingan penjajah itu sengaja mahu menggambarkan betapa rumpun bangsa Melayu sebagai berpecah-belah, suka berperang dan tidak mempunyai sebarang ikatan persaudaraan Islam antara mereka.

Pertahan Islam

“Sebenarnya mereka semua datang untuk mempertahankan Islam dan menentang penjajah Barat di atas nama Islam. Mereka datang dulu lagi sebelum tertubuhnya Umno!,” sergah Tuan Guru.

Ingatlah bahawa kedatangan penajajah ke negara kita bukan sekadar untuk mendapatkan rempah-ratus dan lain-lain hasil mahsul, sebagaimana yang diajarkan oleh buku-buku sejarah. Mereka mempunyai serampang dua mata, iaitu menjajah sambil mengembangkan ajaran Kristian.

Sebab itu, di saat ketua-ketua gerombolan penjajah menyibukkan diri mereka dengan aktiviti memunggah bijih timah, besi, rempah-ratus, kayu-kayan dan berbagai lagi, gerombolan paderi dan mubaligh terlatih memainkan peranan berasingan di bidang pendidikan.

Dengan kuasa dan kepakaran yang ada pada mereka, penjajah telah berjaya mengindoktrinasikan pemikiran rakyat mengikut acuan pemikiran yang mereka kehendaki. Di antara cara yang digunakan ialah memalsukan sejarah. Apa jua catatan sebenar mengenai sejarah tanahair cuba dipadamkan dari pengetahuan rakyat.

Sejarah negara ditulis semula mengikut acuan penjajah, sekaligus bagi menggambarkan keagungan dan kehebatan bangsa penjajah. Terlebih nyata lagi ialah bagaimana penulisan semula sejarah tanahair itu telah mengakibatkan tertimbusnya peranan Islam sebagai kuasa besar di rantau Asia Tenggara ini.

Negara kita sudah 54 tahun merdeka. Usia itu seringkali dikaitkan dengan usia kematangan. Maka sudah kena pada masanya pemikiran rakyat juga dimerdeka dan dimatangkan. Pandanglah kepada bangsa-bangsa yang lebih maju dari kita, bangsa yang berfikir secara merdeka.

Kita pernah diajar untuk ‘Pandang ke Timur’. Sayangnya, kita tidak pandang habis-habis, hanya sekerat sahaja. Bangsa Jepun, China dan Korea adalah bangsa yang sangat tinggi tamadun pemikirannya. Bangsa yang merdeka pada bila-bila masa pun tidak akan bersedia memandang remeh soal pemalsuan sejarah ibu pertiwi mereka.

Bayangkanlah, ada bangsa Korea yang sanggup mengerat jari kelingking semata-mata kerana terusik dengan sejarah silam kekejaman Jepun. Bantahan terhadap Jepun turut memuncak di seluruh Negara China dan Korea sedekad lalu semata-mata kerana buku teks sejarah di sekolah-sekolah Jepun telah menyembunyikan fakta sejarah kekejamannya terhadap dua jiran terdekatnya itu.

Tetapi kita, bukan sekadar merelakan sejarah tanahair dipalsukan semahu orang, direlakan nama para penentang penjajah dimomokkan secara negatif, malah sebilangan pihak seakan sanggup bermatian mempertahankan kecatatan dan kepalsuan sejarah dicipta penjajah itu.

Apa salahnya menulis semula sejarah jika terbukti (sepertimana dibuktikan Prof Syed Naquib dan diakui Tun Dr Mahathir) memang ada kelemahan dan keciciran fakta dalam sejarah yang diterimapakai selama ini?

Nampak sangat minda penguasa kita dan para penjuaknya masih belum ‘merdeka’ sehingga sukar menerima pandangan kedua. Seba itu tidak hairan jika ada cendikiawan kita yang diagungkan selaku pakar sejarah turut rela mendakwa kononnya British hadir ke negara kita bukan sebagai penjajah, tetapi lebih sebagai pelindung dan pengawal. Kah! Kah! Kah!


Orang kampung termakan dakyah Utusan? | Print |
Ahmad Lutfi Othman

Menuduh PAS menyanjung perjuangan komunis, apatah lagi daripada segi ideologinya, adalah tidak masuk akal sama sekali. PAS bukan sahaja menolak faham komunisme, malah begitu kritikal terhadap ideologi bikinan manusia yang lain.

Tentulah strategis Umno tidak terlalu bodoh untuk memaksa rakyat negara ini supaya mempercayai parti Islam itu begitu terpesong jauh sehingga menerima fahaman tidak bertuhan dan merestui tindakan keganasan.

Justeru, sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa manipulasi media selama hampir 20 hari tanpa henti terhadap ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Tasik Gelugor, 21 Ogos lalu sarat dengan motif politik yang cukup tebal.

Bagi perancang kempen Umno, yang selama ini tercari-cari modal dan bekal politik menjelang pilihan raya umum ke-13, isu serangan Mat Indera di Bukit Kepong pada 1950, yang disebut sepintas lalu dalam ucapan Mat Sabu itu, dilihat senjata paling ampuh untuk menarik sebanyak mungkin sokongan pengundi Melayu.

Sesungguhnya Umno sudah putus harapan dengan masyarakat bukan Melayu, terutama pengundi Tionghua. Keputusan pilihan raya negeri Sarawak semakin memudarkan impian mereka untuk menjinakkan "kemarahan" masyarakat Cina, yang begitu terserlah dalam PRU12 sehingga mencetuskan tsunami politik yang bersejarah itu.

Kini, talian hayat Umno untuk terus menerajui takhta dan menguasai Putrajaya semata-mata tertumpu kepada orang Melayu. Melihat bagaimana Utusan Malaysia dan TV3 secara intensif menimbulkan isu-isu yang membangkitkan sentimen kemelayuan sudah cukup untuk membuktikan Umno terpaksa memperjudikan survival kuasanya.

"Apabila isu Mat Indera dimainkan setiap hari sejak 27 Ramadan lalu, bagi saya, itu petanda Umno sudah bankrap atau muflis isu," kata seorang penganalisis politik, yang juga seorang pensyarah kanan undang-undang sebuah universiti tempatan.

"Ia juga membuktikan segala usaha pembaharuan Najib Razak, terutama berkaitan pakej ekonomi, telah gagal dan langsung tidak membantu memulihkan imej BN. Lalu, tiada pilihan melainkan mencari-cari apa yang dilihat sebagai kelemahan pembangkang, khususnya PAS, iaitu seteru terkuat Umno, untuk digembar-gemburkan," tambahnya.

Kesempatan menemubual Mat Sabu, Isnin lalu, memberi kesempatan untuk saya mencari jawapan di atas "kekeliruan" yang dibangkitkan media Umno. Ternyata beliau cukup yakin dan selesa menjawab pertanyaan kami, malah menjangkakan Umno "menggali kuburnya" sendiri apabila membangkitkan soal sejarah kemerdekaan negara.

Selama ini, tidak kurang ramainya masyarakat Melayu, khususnya golongan yang sudah berumur, yang cukup menyanjung "satu-satunya jasa tidak ternilai Umno" iaitu memerdekakan Tanah Melayu. Persepsi itu diwarisi turun-temurun.

Malah, sebahagian mereka mengakui rekod buruk Umno selama memerintah lebih 54 tahun, tetapi tidak dapat melupakan "pengorbanan pemimpin Umno" untuk menghalau penjajah (walaupun kini diberitahu oleh juak-juak Umno di menara gading bahawa negara tidak pernah dijajah). Dan cara terbaik "membalas budi" Umno itu adalah dengan terus mengundinya dalam pilihan raya!

Walaupun saya tidak begitu mudah untuk meyakini Umno dapat ditewaskan dengan mudah melalui polemik ini, namun saya amat bersetuju jika "pancang kekuatan palsu" parti itu dapat robohkan atau sekurang-kurangnya dilemahkan.

Saya yakin masih ramai sarjana sejarah, yang jujur dengan ilmu mereka, bersedia berkongsi pengetahuan dengan publik, khususnya ketika rakyat cukup dahagakan "kisah benar" yang selama ini terselindung. Dan di pasaran sebenarnya sudah ada buku-buku yang mampu menyingkap "kegelapan" itu.

Percayalah, dalam waktu terdekat, kita akan dilambakkan dengan buku-buku yang mampu "memperbetulkan" sejarah negara, sekali gus mendokong usaha yang dirintis Mat Sabu itu ....

Pada awal bicara kami, Mat Sabu menjelaskan bahawa tema ceramah kontroversinya itu adalah soal sambutan kemerdekaan yang sudah jadi sambutan Umno dan bukan sambutan nasional yang dirayakan rakyat. Temanya adalah pengiktirafan kepada semua pihak yang menyumbang ke arah kemerdekaan, termasuk Umno.

Saya cuba mempersoalkan kemungkinan isu berkaitan keganasan komunis ini akan "mencederakan imej PAS" di kalangan masyarakat Melayu desa atau peneroka Felda. Kebanyakan konstituensi tradisi PAS masih di kampung-kampung, yang agak belum dapat ditembusi terjahan maklumat sepenuhnya.

Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri mengakui undi Melayu yang menjadi teras kekuatan politik tanahair perlu dikuasai PAS dalam PRU13, dengan target untuk memenangi 60 kerusi Parlimen. Hampir semua kerusi itu mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Lagi pun kebanyakan anggota keselamatan adalah orang Melayu. Dengan memutar-belitkan ucapan Mat Sabu itu, sambil menonjolkan bukti keganasan komunis seperti kudung kaki akibat jerangkap samar (walaupun tragedi berlaku pada 1970-an dan langsung tiada kaitan dengan penekanan Mat Sabu), Umno yakin undi pesara tentera, bekas polis dan kaum keluarga mereka tidak akan lari daripada BN.

Mat Sabu tidak menolak hakikat itu tetapi menganggapnya satu cabaran besar yang mesti ditukar kepada peluang untuk memberi penjelasan kepada rakyat. Namun beliau yakin bahawa perubahan dalam mana-mana pilihan raya lebih difaktorkan oleh kesedaran berpolitik masyarakat bandar.

"Saya yakin, anak-anak orang kampung yang tinggal di kota, yang terdedah dengan pelbagai maklumat menerusi media baru dan berkomunikasi melalui Facebook dan Twitter, dapat menjelaskan isu sebenar kepada ibu bapa mereka.

"Yang penting kita harus menukar apa yang dilihat sebagai tekanan ini kepada potensi untuk meluaskan pengaruh PAS," tekannya. "Ya," pintas saya, "kita seharusnya tidak mudah mengalah, mungkin di peringkat awal isu ini nampak memihak Umno, tetapi jika kempen dan penerangan diberikan secukupnya ke akar umbi, kebenaran sejarah akan terdedah."

"Apa pun, bagi saya," kata Mat Sabu, "kepada masyarakat di kampung, yang lebih penting adalah kesediaan PAS untuk turun bersama rakyat, berdamping erat dengan mereka, merasai susah-payah mereka dan menawarkan bantuan. Isu-isu nasional kadang-kadang tidak begitu mempengaruhi."

Dalam pada itu, beliau sempat menekankan, janganlah kita terlalu merendah-rendahkan keupayaan masyarakat kampung untuk membaca real-politik dan mengesan tipu-helah Umno memutar-belitkan isu ini.

Namun, beliau berulang kali mengingatkan kami tentang batas sempadan yang perlu diberi perhatian, iaitu masa sebelum merdeka dan selepas tarikh 31 Ogos 1957. Polis yang dilihat mempertahankan kepentingan British berada di zaman penjajah ketika bendera Union Jack masih berkibar megah.

Selepas merdeka, Mat Sabu dengan tegas menolak pendekatan militan dan keganasan pihak komunis kerana ruang demokrasi, meskipun diakui sempit, telah terbuka. Dalam kesibukannya, beliau masih sempat mengisi kolum "Membedah Demokrasi" dalam Harakah, yang konsisten mempromosikan usaha penambahbaikan terhadap sistem yang dianggap antara terbaik yang pernah dihasilkan manusia.


Khalid Samad: Awas agenda media menjelang PRU
Khalid Samad

Saya mengucap terima kasih kepada Sinar Harian atas liputan yang begitu luas yang diberikan kepada saya, khususnya dalam keluaran 12 September lalu. Saya mendapati satu muka telah dipenuhi dengan pelbagai teguran dan serangan terhadap diri saya dari ADUN Sementa YB Rahman Palil, Ungku Salleh Ungku Jamal Ketua Pemuda UMNO Selangor dan beberapa individu lain.

Saya sebenarnya turut menunggu untuk wartawan Sinar Harian menghubungi untuk mendapatkan respon dari pihak saya, tetapi malangnya tiada panggilan diterima. Nampak gaya Sinar Harian berpuas hati dengan sekadar menyiarkan serangan mereka tanpa sebarang peluang untuk saya menjawab.

Begitu juga dengan berita pada Khamis 8 September apabila Dr Yusri Mohamad, Pengerusi PEMBELA telah menyatakan berita berhubung usaha ingin menjatuhkan MB Selangor adalah ‘satu pembohongan’. Mereka juga tidak bertanya akan respon saya terhadap tuduhan Dr Yusri. Jelas bagi saya sebenarnya pertemuan yang disebut oleh Dr Yusri adalah pertemuan lain yang diadakan di Masjid Negeri dan bukan pertemuan yang saya maksudkan. Maka ini telah menimbulkan persoalan lanjut, berapa pertemuan sebenarnya yang telah diadakan?

Teringat saya akan satu akhbar yang bernama ‘WATAN’ pada satu ketika dahulu. Ianya akhbar yang begitu digemari peminat politik atas sebab kritisnya tulisan-tulisan yang disiarkan dalamnya. Semua dikritik, lebih lebih lagi kerajaan Barisan Nasional. Malangnya apabila musim Pilihan Raya tiba, parti dan pemimpin pembangkang menjadi sasarannya. WATAN juga dikeluarkan oleh pihak Karangkraf sepertimana Sinar Harian.

Apa yang saya khuatir ialah akhbar Sinar Harian juga akan mengikuti jalan yang sama. Ianya semakin popular kerana memberi liputan ke atas kegiatan semua pihak dan dilihat ‘adil’. Namun adalah dikhuatiri dengan menjelangnya Pilihan Raya, beritanya kelihatan semakin berat sebelah. Maka adalah wajar untuk rakyat dan penyokong PR khususnya berwaspada supaya tidak tertipu dengan berita yang kononnya ‘adil’ itu. Apakah pisang akan berbuah untuk kali yang kedua?

Oleh yang demikian, saya akan menjawab teguran dan serangan Rahman Palil dan Ungku Salleh di sini, melalui blog saya dan jawapan ini juga akan dihantar ke Sinar Harian. Saya ingin melihat samada ianya akan disiarkan oleh pihak mereka.

ENAKMEN JAIS

Rahman Palil kata saya “degil” dan “tidak layak menjadi ahli Parlimen kerana tidak tahu baca enakmen itu”. Saya tidak faham macam mana dia boleh menjadi seorang ADUN. Tidakkah dia tahu bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

Mungkin dia tidak sedar tetapi dia telah menjatuhkan hukuman terhadap saya tanpa menunggu saya dibicarakan. Kalau ikut fahaman mereka, mungkin mahkamah tidak diperlukan, terus jatuhkan hukuman tanpa mendengar penjelasan dari saya.

Hakikatnya bagi saya, saya tidak melanggar undang-undang yang terkandung di dalam enakmen berkenaan. Enakmen itu menyebut :-

“119. (1) Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi –

a) mana mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 121 enakmen ini; atau

b) mana mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.”


Sesiapa yang pernah ke sekolah boleh membezakan bahawa saya tidak ‘mengajar’, saya hanya memberi ucapan. Kita tidak boleh memborongkan setiap ucapan yang mengandungi rujukan terhadap agama Islam sebagai ‘mengajar’. Sekiranya kita memborongkan sebegitu rupa, setiap orang yang memberi ucapan “Selamat berpuasa, semoga mencapai ketaqwaan” dan “Selamat Hari Raya, semoga bertemu Syawal dalam keadaan fitrah, bersih dari dosa sepertimana pada hari kita dilahirkan” boleh didakwa di atas kesalahan ini.

Ia adalah jelas sepertimana dalam kes Dr. Asri, enakmen ini tidak terhad penggunaannya kepada kegiatan di Masjid ataupun Surau. Dr Asri ditahan di rumah salah seorang dari anak murid beliau. Oleh itu enakmen ini boleh meliputi setiap tempat di bumi Selangor dan oleh itu tafsiran terhadap perkataan ‘mengajar’ itu perlu khusus, jelas dan tepat. Sekiranya tidak, ianya akan menghasilkan satu tafsiran yang menghalang percakapan berhubung agama Islam di mana-mana sehingga Islam menjadi sesuatu yang tidak boleh disebut oleh mana-mana pihak kecuali yang bertauliah. Mereka yang mengadakan tahlil dan doa selamat pun boleh dikenakan tindakan kerana ia merupakan sesuatu yang melibatkan “perkara-perkara tentang agama Islam”.

Islam dijadikan sesuatu yang tidak boleh disebut oleh rakyat biasa kecuali di rumah mereka dan hanya kepada anggota keluarga. Maka ummat Islam di Malaysia terpaksa menjadi bagaikan ummat Islam di Sepanyol pada zaman ‘Spanish Inquisition’, terpaksa menyembunyikan Islam mereka dan tidak bercakap mengenainya kecuali kepada keluarga mereka secara rahsia di rumah-rumah mereka.

Mungkin ini yang diinginkan UMNO/BN, tetapi ini tidak diinginkan oleh PAS dan PR.

UCAPAN DI MASJID


Saya sebenarynya pun agak hairan. Saya berucap di 3 Surau/Masjid setiap malam di Shah Alam sepanjang Ramadan tetapi tiada apa-apa tindakan yang dikenakan terhadap saya. Tetapi apabila saya berucap di Sementa, kawasan jajahan Dato Rahman Palil, saya dikenakan tindakan oleh JAIS.

Saya sedar Dato Rahman Palil adalah bekas Exco Agama kerajaan korup BN dahulu. Hubungan beliau dengan anggota penguatkuasa masih rapat dan tidak mustahil tindakan pendakwaan ‘diarahkan’ oleh beliau. Adakah ini juga merupakan talian sulit UMNO dan penguatkuasa JAIS?

Rahman Palil juga menyatakan bahawa semasa BN memerintah dahulu, ahli-ahli UMNO tidak ‘dibenarkan’ berceramah di Masjid. Hakikatnya hubungan UMNO dengan Masjid memang dari dulu lagi tidak rapat. Ada yang mengatakan UMNO, khususnya Pemuda, lebih erat hubungannya dengan karaoke dan dangdut. Saifuddin Nasution sehingga menceritakan bagaimana pemimpin Pemuda UMNO tertidur di mesin judi semasa lawatan mereka ke sebuah Pusat Perjudian di luar Negara. Itulah sebabnya perkara-perkara yang pelik sering dilakukan oleh pimpinan UMNO seperti:

a) Ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Qurban pada 17 Zulhijjah
b) Sembahyang Solat Hajat selepas solat Asr dan Solat Subuh
c) Takbir raya pada hari raya Eidul Fitri yang ketiga.
d) Penglibatan dalam majlis memasang ‘ancak’
dan yang lain-lain.

PAS sebaliknya dari dulu lagi bergerak dengan menjalinkan hubungan yang rapat dengan pihak Masjid dan Surau. Samada PAS memerintah atau tidak, Masjid dan Surau merupakan tempat yang pimpinan PAS berlegar di sekelilingnya.

Rakyat perlu ingat. Dato Rahman Palil dahulu sebagai Exco Agama kerap mengarahkan penangkapan par ustadz dan penguncian surau seperti yang pernah berlaku di Seksyen 8, Shah Alam. Beliau menang di Sementa pada 2008 tanpa bertanding apabila calon PR tidak muncul dikhabarkan ‘dibeli’ dan bercuti di Port Dickson pada hari penamaan calon! Kita yakin ‘orang Agama’ seperti Dato Rahman Palil tidak terlibat dalam tindakan ‘merasuah calon lawan’ tetapi rakyat terus bertanya akan peristiwa ‘ketidak munculan’ calon PR dan siapa pula yang ‘membelinya’.

Sebagai pemimpin di Sementa kita yakin beliau semestinya telah mendapat sokongan rakyat tempatan dan tidak perlu menghina diri dengan terlibat dengan tindakan keji dan jelek seperti membeli calon lawan. Ianya satu tindakan terkutuk dan sekiranya seseorang ahli politik terlibat dengan amalan sedemikian, rakyat wajib menghukumnya dengan menolak tindakan sebegitu rupa.

HORMATI UNDANG-UNDANG

Ketua Pemuda UMNO Selangor Ungku Salleh Ungku Jamal pula menuduh saya sebagai seorang yang mempunyai sikap semula jadi tidak suka menghormati undang-undang. Dengar cakap beliau seolah-olah saya ini kenalan lama beliau sehingga boleh beliau menceritakan ‘sifat semula jadi’ saya. Maaf Ungku, saya tak kenal Ungku! Tetapi dari kata-kata Ungku amat jelas Ungku jenis orang yang suka menuduh tanpa adanya bukti.

Saya ingin tahu undang-undang mana yang telah saya secara semula jadi tidak hormat dan langgar? Mahkamah mana dan berapa kali dalam hayat saya telah saya didapati bersalah melanggar undang-undang ‘secara semula jadi’? Bila dan berapa tahun saya dipenjarakan atas kesalahan melanggar undang-undang?

Hakikatnya Ungku hanya sedap bercakap. Saya insyaAllah sangat menghormati undang-undang, lebih-lebih lagi undang-undang Allah dan berusaha mematuhinya. Saya tidak juga secara ‘semula jadi’ melanggar undang-undang manusia lebih-lebih lagi sekiranya ia tidak bercanggah dengan undang-undang Allah.

Berhubung ucapan saya di sebuah Surau di Sementa, saya tidak ‘mengajar’ agama Islam tanpa tauliah. Saya hanya menceritakan pengalaman saya semasa di Gaza, penyerahan sumbangan yang berjumlah RM 650,000 sebahagian kepada NGO yang diiktiraf kerajaan Palestine dan sebahagian lain kepada fakir miskin di sana. Saya juga, sempena bulan Ramadhan, menyampaikan ucapan ‘Ramadan Kareem’ bagi pihak Ismail Haniyya, Presiden Palestine sepertimana yang beliau telah berpesan kepada saya semasa kami bertemu dan saya sampaikan juga ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadan kepada ahli Qariah yang hadir. Sambil itu, saya mengingatkan diri saya dan juga yang hadir supaya bertindak adil sepanjang masa kerana keadilan adalah lebih rapat dengan sifat keTaqwaan.

Namun ucapan-ucapan yang seperti itu memang tidak disenangi pihak UMNO kerana mungkin bagi mereka Islam tidak ada kena mengena dengan sifat keadilan terhadap manusia lain.

KESIMPULAN

Ada yang mengatakan saya sebagai Ahli Parlimen Shah Alam tidak sepatutnya memusuhi MAIS dan JAIS. Hakikatnya, saya tidak memusuhi MAIS atau JAIS. Saya hanya menentang usaha menodai MAIS dan JAIS oleh pemimpin UMNO. Mereka ingin menghalang pemimpin PR mendampingi masyarakat Melayu. Salah satu saluran yang amat berkesan ialah Masjid dan Surau. Saluran inilah yang ingin ditutup dengan memutarbelitkan tafsiran undang-undang dan mengapi-apikan semangat anti PR di kalangan masyarakat Melayu dan Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


Tuduhan liwat dan kaitannya dengan 16 September | Print |
Mohd Rashidi Hassan : rashidi@harakah.net.my
ISU 16 September 2008 masih banyak diperkatakan. Ada yang percaya, ada yang tidak percaya. Barangkali ramai juga yang keliru mengenainya.

16 September bukan isu politik antara Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional semata-mata. Ia lebih besar dari itu. Ia merupakan hari ulang tahun pembentukan Malaysia yang mencakupi Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah. Manakala 31 Ogos adalah hari ulang tahun kemerdekaan Semenanjung daripada penjajahan British.

Namun 16 September tidak pernah dijadikan cuti umum berbanding 31 Ogos. Hanya selepas diperjuangkan Pakatan Rakyat, barulah diisytihar tarikh tersebut sebagai cuti umum. Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak harus berterima kasih kepada Pakatan Rakyat kerana lebih dahulu mengiktiraf mereka berbanding Umno-BN.

Sudah tentu apabila menyentuh isu 16 September, subjek utama yang diperkatakan adalah Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ada rakan bertanya, mengapa hendak dibangkitkan perkara yang sudah tidak jadi. Tidak kurang juga ada pihak yang menghentam dan mengkritik Anwar, termasuk kalangan pemimpin BN yang mempermain-mainkan isu 16 Septemder.

Pada hemat penulis, ianya wajar ditulis semula sebagai satu bahan rujukan penting dalam menganalisis kecenderungan ahli-ahli politik Malaysia, khususnya Ahli Parlimen (MP). Persoalan utama yang harus difikirkan adalah, apakah Anwar yang mencari MP BN ini aau mereka yang datang mencari Anwar?

Apakah Anwar yang didakwa kemaruk dan gila kuasa ataupun mereka yang takut segala jawatan, kuasa, harta dan sebagainya akan lenyap jika Pakatan Rakyat menerajui negara.

Selepas hampir tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum 2008, laman Wikileaks mula mendedahkan fakta-fakta mengenai mengenai kecenderungan besar MP BN untuk menyertai Pakatan Rakyat bagi menubuhkan kerajaan baru pada 16 September 2008.

Isu ini timbul kembali apabila Wikileaks mendedahkan, ia mempunyai maklumat yang sahih mengenai rundingan beberapa pihak dalam BN, khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk keluar BN, masuk Pakatan Rakyat.

Dalam satu laporan, ia memetik kata bekas Ketua Menteri Sabah, Dato' Salleh Tun Said Keruak, memberitahu pegawai kerajaan kedutaan Amerika Syarikat bahawa lebih dari separuh dari 25 Ahli Parlimen BN Sabah, sedia untuk meninggalkan BN.

Malah kabel tersebut memperkukuhkan bukti, dalam banyak pertemuan pemimpin-pemimpin Umno-BN Sabah, antaranya pada 18 hingga 20 Jun 2008, yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak menyokong Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun Salleh yang kini Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mendakwa laporan Wikileaks tersebut tidak berasas. Namun Salleh menyatakan, beliau ketika itu masih ingat pihak tertentu berusaha keras untuk memujuk MP Sabah, tetapi mereka gagal.

Pada waktu itu (selepas PRU Mac 2008), semua orang kelam kabut dan terkejut. Pakatan Rakyat terkejut kerana tidak menjangkakan akan mendapat sokongan besar rakyat, manakala BN kelam kabut dan hampir meroyan apabila hilang majoriti dua pertiga di Parlimen serta hilang kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor (selain Kelantan yang BN hilang kuasa sejak 1990).

Habis semua tersentak. Terutamanya MP BN yang faham 'pencak silat' politik. Mereka tahu dan sangat-sangat sedar bahawa Pakatan Rakyat adalah suatu force yang amat besar. Mereka memahami soal ini, sekaligus dengan beberapa petunjuk politik yang jelas menunjukkan kerajaan BN sudah hampir dipenghujung hayat.

Justeru selaku ahli-ahli politik yang sedar, mereka tidak ada pilihan lain. Mereka tahu jika mahu terus berpolitik, Pakatan Rakyat adalah future platform, bukannya BN.

BN hanya tinggal 140 kerusi, manakala Pakatan Rakyat menang 82 kerusi. Pakatan Rakyat hanya perlu 30 kerusi untuk mendapatkan simple majority. Jika Wikileaks mendedahkan separuh dari 25 MP BN Sabah sudah sedia untuk menyeberang, selebihnya dari mana?

Saya percaya, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak dan juak-juak di sekelilingnya tahu apa yang saya maksudkan. Selain Sabah, wakil-wakil BN dari Sarawak, komponen BN di Semenanjung, malah MP Umno juga turut sama berminat untuk menyeberang.

Jika fakta ini betul, soalnya berapa orang yang hendak menyeberang ke Pakatan Rakyat? Siapa yang hendak defect? Ataupun harus juga dipersoalkan mengapa mereka tidak menyeberang?

Sebelum Wikileaks membuat pendedahan lebih menggemparkan, elok juga dianalisis isu 16 September ini dengan lebih mendalam.

Persoalan pertama adalah jumlah. Daripada pengamatan saya, lebih 40 orang MP BN yang cenderung kepada Pakatan Rakyat. Hal ini disedari dan pernah diperkatakan oleh mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis di London, semasa isu ini hangat diperkatakan.

Nama mereka tidak perlu didedahkan. Mereka daripada Sabah, Sarawak, Semenanjung. Terdiri daripada kalangan pemimpin utama dan bekas pemimpin utama parti komponen BN. Lebih mengejutkan ada kalangan mereka Menteri, Timbalan Menteri dan MP biasa.

Mereka-mereka ini mengadakan perundingan dengan Anwar di beberapa tempat. Dalam dan luar negara. Antaranya di Singapura, Hong Kong, Bangkok dan beberapa tempat lain. Malah ada yang berani berjumpa secara terbuka di beberapa tempat dalam negara.

Saya teringat kata seorang Timbalan Menteri kepada seorang pemimpin utama Pakatan Rakyat di Parlimen. Beliau mengatakan, "Jika Pakatan Rakyat sudah mempunyai 29 orang MP, you masukkan nama I untuk cukupkan 30 orang."

Pada ketika itu Pakatan Rakyat sudah boleh menubuhkan kerajaan. Tetapi disekatn dengan serangan siang malam terhadap Anwar dan tuduhan liwat kedua yang dihadapkan kepada beliau oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dakwaan liwat terhadap Anwar dibuat pada 28 Jun 2008. Tetapi plot untuk mengenakan beliau sudah dirancang lebih awal.
Plot ini diberitahu oleh seorang bekas Menteri yang paling berpengaruh kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa sekitar April 2008.

Kata beliau kepada Husam ketika itu,"Tidak ada jalan lain untuk menyekat kemaraan Anwar. Jika Umno-BN mahu kekal berkuasa, Anwar harus dikenakan tuduhan liwat (kali kedua) dan Anwar harus disumbat dalam penjara."

Jelas daripada kata-kata pemimpin ini. Plot atau konspirasi untuk mengenakan Anwar sudah dirancang berbulan lebih awal daripada dakwaan dibuat oleh Saiful?

Soalnya Mengapa Saiful terbabit? Saya tidak mahu mengulas lanjut hal perbicaraan dalam mahkamah. Tetapi yang jelas, apabila tuduhan seorang itu meliwat seseorang, ia harus dibuktikan secara klinikal. Secara klinikal, kes ini tidak harus wujud, kerana doktor pertama yang memeriksa Saiful selepas dakwaan meliwat dibuat, secara konsisten mengatakan, tiada kesan tusukan di dubur Saiful.

Logiknya, jika dubur Saiful tidak ditusuk, mana mungkin kejadian liwat berlaku. Kes ini tidak seharusnya wujud, tiada bukti kukuh dan kes ini harus dibuang.

Berbalik kepada Saiful. Mengapa beliau terlibat dan apa pembabitannya dengan 16 September? Mengapa Najib menemuinya pada 24 Jun 2008, dua hari sebelum kejadian liwat didakwa berlaku atau empat hari sebelum laporan polis terhadap Anwar dibuat?

Hakikatnya ialah ,Saiful bertugas mengikuti majikannya (Anwar) dan merekod banyak pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin Umno-BN di banyak tempat. Dalam dan luar negara. Secara tidak langsungnya, nama, lokasi dan butiran pertemuan diadakan, ada dalam pengetahuan Saiful.

Oleh itu Najib tidak boleh kata (pada 24 Jun), bahawa beliau tahu Anwar akan meliwat Saiful pada 26 Jun, kerana pada tarikh beliau menemui Saiful, kejadian belum lagi berlaku.

Najib harus tahu dan sepatutnya sudah diberitahu Saiful tentang butiran pertemuan Anwar dengan MP-MP Umno-BN. Walaupun mungkin semua perundingan tidak diketahui Saiful, tetapi dipercayai sebahagian daripada nama-nama pemimpin berkenaan, ada pada pengetahuan Saiful.

Justeru, jika hendak diperincikan lebih ramai yang berhasrat hendak meninggalkan BN. Tetapi hasrat dan usaha mereka tersekat apabila Anwar dikenakan pertuduhan kedua.

Dalam keadaan kuasa penuh menguasai polis dan kehakiman ada pada tangan PM, maka kedudukan Anwar pada ketika itu tidak kukuh jika mereka hendak berhijrah ke Pakatan Rakyat. Lagipun kebanyakan MP ini banyak kepentingan yang hendak mereka lindungi. Mereka tidak sanggup mengambil risiko. Mereka tidak mahu gamble.

Umno-BN tiada pilihan lain untuk terus berkuasa selain terpaksa 'memenjarakan' Anwar. Jika Anwar masuk ke 'dalam' Umno-BN berharap, Pakatan Rakyat akan berpecah.

Walaupun rencana 16 Septembert 2008 gagal diteruskan. Ia tidak berjaya memperkukuhkan BN, jauh sekali untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat.

Hasrat 16 September akan tetap diteruskan. Bukan semata-mata untuk menantikan penghijrahan MP BN, tetapi ia akan dirayakan dalam erti kata kemerdekaan yang sebenar bersama seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, tanpa ada perasaan rasis dan diskriminasi.

Tahniah rakyat, teruskan perjuangan anda | Print |
Nasrudin Hassan
1. Pemansuhan ISA disambut baik oleh semua pihak. Saya tidak pasti bagaimana sikap mereka yang lantang mempertahankan ISA sebelum daripada ini seperti Perkasa Datuk Ibrahim Ali, justeru hampir tiada insan yang boleh bersetuju dengan kezaliman dan kekejaman ISA sebagai sebuah akta draconian.

2. Tentunya pihak yang paling bersyukur dan paling gembira ialah Warga GMI [Gerakan Mansuhkan ISA] yang selama ini menjadi wadah rakyat prihatin yang merindui keadilan dan menentang kezaliman terutama ahli keluarga mangsa kekejaman ISA.

3. Entah berapa banyak air mata mereka tumpah merintih dan munajat kepada Tuhan Yang Maha Kuasa berdepan kezaliman sang penguasa. Semoga janji pemansuhan ini segera dikotakan. Layaknya ia telah dimansuhkan sejak puluhan tahun yang lalu, setelah komunis tumpas dan menyerah diri lantaran semangat asal ISA diluluskan adalah untuk menangani pengganas komunis. Malangnya ISA digunakan untuk memenjara sosok dan minda pejuang dan ahli politik yang berbeza idealogi dengan pemerintah.

4. Gerakan Mansuhkan ISA [GMI] sangat konsisten menggerakkan kebangkitan rakyat untuk menolak dan memansuhkan ISA dan saya sangat teruja melihat kegigihan mereka tanpa tara dan mempeduli risiko apalagi penat dan lelah. Mereka menongkah keangkuhan pemerintah bercagarkan masa depan mereka, bukan sahaja untuk membebaskan anggota keluarga mereka yang terpenjara tetapi jua untuk memastikan kem Kemunting ditutup kekal agar tiada lagi yang menjadi mangsa kekejaman "Kem Guantanamo Malaysia" itu.

5. Kemenangan rakyat ini menjadi satu bukti bahawa rakyat mempunyai keupayaan bertindak yang berkesan dan mereka mesti bersatu mengembeling kekuatan agar mereka tidak hanya dijadikan kuda tunggangan atau kerbau yang dicucuk hidung sehingga mereka boleh diperlakukan apa sahaja oleh sang pemerintah.

6. Rakyat tidak perlu cepat tersilau dan terkesima dengan satu atau dua perubahan yang dilakukan oleh kerajaan sementelah ia sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah, justeru masih banyak perkara dan perubahan yang perlu dilakukan oleh pemerintah demi kepentingan rakyat dan rakyat semestinya meneruskan kebangkitan mereka seperti:

- Gerakan Menuntut Royalti Petroleum yang digerakkan oleh rakyat Kelantan dan Terengganu,
- Gerakan Mansuh AUKU yang digerakkan oleh Mahasiswa,
- BERSIH yang digerakkan oleh lebih 60 NGO yang menunutut keadilan dan ketelusan dalam sistem demokrasi negara dan termasuklah
- perubahan pada iklim sosial negara agar tidak disuburkan elemen yang merosakkan moral dan meruntuhkan aqidah ummah.

7. Rakyat mesti terus mengembeling keupayaan mereka, menyemarak samangat reformasi memulih setiap sendi dan saraf sistem pemerintahan negara agar perubahan yang dilakukan tidaklah hanya bersifat tempelan dan pancing undi tetapi perubahan menyeluruh yang membawa negara dan rakyat makmur, aman, harmoni dan sejahtera. Perubahan juga jangan hanya pada bentuk aktiviti, pendekatan dan agenda bertindak, tetapi juga perubahan mesti melibatkan sikap, akhlak dan cara berfikir.

8. Terima kasih dan tahniah tetap diberikan kepada YAB Perdana Menteri di atas langkah mengejut yang diambil oleh beliau sebagai ketua kerajaan, lantaran itulah tanggungjawabnya sebagai pemimpin dan itulah jua yang menjadi desakan rakyat selama ini.

9. Semoga Allah memberi kekuatan kepada rakyat untuk terus menggerakkan agenda perubahan menyeluruh demi masa depan negara dan seluruh warganya terutama usaha untuk menegakkan keadilan sebagaimana yang dituntut oleh Syariat Islam. Jua didoakan petunjuk buat semua, khasnya pemimpin dan pemegang amanah pemerintahan negara agar melakukan banyak lagi perubahan positif khususnya yang telah menjadi tuntutan rakyat.

10. Kini rakyat sedang memerhati dengan tekun dan teliti, apakah YAB Perdana Menteri juga mempunyai keberanian untuk melakukan transformasi dalam sistem demokrasi dan pengendalian pilihanraya negara agar keadilan dan ketelusan dapat dilaksanakan dengan yakin dan hak pengundi dapat diberikan sepenuhnya tanpa sebarang manipulasi. Antara yang menjadi fokus rakyat ialah penghapusan undi pos, dakwat kekal, akses media secara saksama, pemurnian daftar pemilih dan kaedah pengendalian hari mengundi.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
11.45 am \ Jumaat
16 September 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan