Jumaat, 30 September 2011

ADAKAH ARTIS SENTIASA BETUL DAN CONTOH TERBAIK...TIADA BERLAKON MENADAH KITAB ...HINGGA TAK BOLEH DIBANTAI DAN DITEGUR...

Akibat pecah amanah 1,000 perantis DTM terkontang kanting | Print |
Harakahdaily

LUMUT, 30 Sept: Ekoran kegagalan pembinaan kapal NGPV (New Generation Petrol Vessel) akibat penyelewengan kewangan dan rasuah pada tahun 2006, bukan sahaja duit rakyat yang hangus tetapi menzalimi anggota tentera.

Ini kerana, akibat kegagalan pembinaan 27 buah kapal tentera itu, ia telah menyebabkan lebih 1,000 pelatih TLDM yang dipersiapkan untuk bertugas dengannya sudah teraniaya.

Inilah yang diajukan para lulusan Perantis Diploma Teknologi Marin (DTM) yang kini terus terkontang-kanting dan tidak tentu hala kedudukan mereka.

Semua masalah ini berpunca dari rasuah dan pecah amanah dari skandal pembinaan 27 kapal NGPV ini.

Skim DTM yang dimulakan pada tahun 1996 dijalankan di KD Pelandok yang berpangkalan di Lumut dengan kerjasama pihak UTM Skudai.

Pembelajaran mereka dijalankan di bawah pengawasan Markas Pendidikan dan Latihan TLDM. Penganugerahan diploma pula dibuat di UTM Skudai, Johor.

NGPV

TLDM merancang pembinaan 27 kapal ronda dalam program Kapal Ronda Generasi Baru NGPV (New Generation Patrol Vessel) pada hujung 1990an.

Namun Jawatankuasa Perakaunan Awam mendedahkan kegagalan PSC-ND menyerahkan semua kapalnya yang dianugerahkan dengan kontrak sejumlah RM5.35 billion ringgit kepada media massa.

Dari 27 buah, hanya dua sahaja berjaya disiapkan.

Selepas pasukan pengurusan baru ditubuh, projek ini berjalan semula namun hingga kini hanya empat buah sahaja berjaya diselesaikan.

Dua kapal pertama dalam kelas ini, 171 KD Kedah dan 172 Pahang akhirnya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan pada bulan Jun dan Ogos tahun 2006.

Kapal ketiga, KD Perak (gambar atas) dan kapal keempat KD Terengganu baru sahaja diserahkan kepada TLDM baru-baru ini.

Akibat kegagalan pembinaan ini, lebih 1,000 anggota tentera laut yang dilatih untuk berkhidmat dengan kapal-kapal ini dan memiliki DTM ini terkontang kanting.

Mereka tiada tempat untuk diperjawatkan setelah habis kursus DTM dan memakai pangkat Laskar Kanan.

"Maka terjadilah lebihan anggota tetapi perjawatan tiada kerana kapal PV ini gagal disiapkan mengikut jadual," kata satu sumber kepada Harakahdaily.

Kini, mereka mula menghadapi akibat dari penyakit rasuah yang menyelubungi pentadbiran kerajaan Datuk Seri Najib Razak ini.

Antara masalah yang mereka hadapi adalah penyambungan perkhidmatan, pemberhentian sukarela sebelum tarikh tamat perkhidmatan tanpa pembelaan nasib anggota yang sewajarnya selepas berhenti di samping pemberian gaji yang tidak telus, adil dan saksama.

"Untuk pengetahuan tuan, hanya cawangan kami (skim DTM) sahaja yang mengalami masalah yang dinyatakan. Nyatalah kami telah didiskriminasi berbanding cawangan kelasi, bekalan dan teknikal biasa," kata sumber itu.

Mereka juga menghadapi pencabulan perjanjian pangkat cepat yang dijanjikan kepada mereka.

Teraniaya

"Skim kami dijanjikan pangkat cepat selepas lima tahun tamat kursus skim DTM, pakai pangkat Laskar Kanan selama setahun, selepas itu dinaikan ke pangkat Bintara Muda (petty officer).

"Tetapi janji ini telah ditarik balik oleh bekas panglima tentera laut," kata sumber itu.

Skim perantis DTM ini telah dimansuhkan pada tahun 2010 dan dihentikan pengambilan anggota sejak tahun 2009.

Pengambilan terakhir iaitu intake 2001 paling junior sekarang masih dalam on job training untuk melengkapkan kursus DTM mereka.

Mulai tahun lepas, mereka mula ditawarkan pemberhentian awal secara sukarela sebelum tarikh tamat perkhidmatan yang tidak pernah diamalkan dalam tentera laut.

Mereka hanya dibayar pampasan mengikut tahun berkhidmat.

Kini, kira-kira 200 orang dari kesemua 1,000 anggota telah berhenti dari perkhidmatan melalui pendekatan ini.

Yang menyedihkan mereka juga, akibat rasuah dan kegagalan projek ini merekalah yang menjadi mangsa.

Bayangkan selama 5 tahun berkhidmat, gaji mereka masih RM1200.00 sebulan iaitu sama dengan anggota dari cawangan lain yag baru berkhidmat dalam setahun dua sahaja.

Untuk menyelesaikan masalah ini, pelbagai cara telah mereka buat termasuk berbincang secara langsung dengan Panglima Angkatan Tentera tetapi gagal.

Bahkan ada antara mereka telah cuba berbincang secara langsung dengan Perdana Menteri melalui facebooknya, namun pegawai ini telah diambil tindakan tatatertib oleh TLDM.

Bagi mereka, inilah jalan terakhir untuk membela nasib mereka iaitu ke media.


Bantu siswazah: Selangor perlu tenaga mahir, berkelayakan | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 30 Sept: Usaha kerajaan negeri Selangor dalam menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) tidak hanya tertumpu kepada meningkatkan sumber ekonomi mahupun kepada warga emas sahaja.

(Raja Idris [kiri] dan Tan Sri Khalid semasa sidang media selepas pelancaran program Rangsangan Kerjaya untuk siswazah Selangor hari ini)

Malah kerajaan negeri hari ini sekali lagi memberi peluang kepada siswazah-siswazah dalam mengikuti program rangsangan kerjaya dan ini bagi membantu para siswazah Selangor mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri dengan penyediaan latihan-latihan yang relevan di bawah kendalian Kumpulan Perangsang Selangor Berhad.

Jelas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada satu sidang media selepas merasmikan program tersebut usaha murni ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor.

"Selaras dengan hasrat MES menerusi program-program bagi kebajikan rakyat yang antaranya Skim Air Percuma, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Hadiah Masuk Universiti dan Skim Mesra Mikrokredit, kerajaan sekali lagi memberi peluang kepada siswazah.

"Keperihatinan dan usasa murni yang ditunjukan oleh Kumpulan Perangsang Selangor ini dapat memberi manfaat langsung kepada rakyat Selangor daripada pelbagai keturunan, kebudayaan dan latar belakang," jelasnya.

Khalid juga memberitahu tidak semua bidang pengkhususan di tempat belajar akan sama dengan apa yang diperolehi pada zaman pekerjaan dan dengan program ini pendedahan tersebut akan diberikan kepada siswazah.

"Terdapat bidang pengkhususan semasa di kampus dahulu tidak sama dengan jawatan yang dipohon dan berjaya disandang.

"Sebenarnya situasi pemerolehan kerjaya sedikit sebanyak turut dipengaruhi oleh bidang pilihan atau alternatif semasa di kampus.

"Bagi saya penyediaan program rangsangan kerjaya pada hari ini sungguh bernilai kepada siswazah kerana ia dapat membantu siswazah mengenal pasti potensi diri dan hala tuju kerjaya yang diminati," katanya lagi.

Tambah beliau lagi, Selangor merupakan sebuah negeri maju dengan perkembangan ekonomi yang pesat memang menerlukan ramai tenaga kerja mahir dan berkelayakan.

"Saya berharap melalui program ini belia-belia di negeri Selangor bukan sahaja mampu membantu kerajaan negeri menjana ekonomi dengan lebih baik tetapi juga membantu negara mencapai kejayaan.

"Siswazah perlu merebut peluang yang ada sebab peluang sedemikian tidak selalu datang di dalam diri mereka, kita tidak mahu masih ada siswazah yang ketinggalan pada setiap agenda yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri," sambungnya lagi.

Khalid juga memberitahu, kerajaan negeri telah mendapat persetujuan dengan sebuah syarikat di Jerman bagi program penghantaran pelajar mahupun belia ke sana dalam mengikut kursus teknikal berkaitan dengan sektor penerbangan.

"Semasa lawatan saya ke Jerman, satu persefahaman telah kita perolehi dengan sebuah syarikat kejuruteraan dalam bidang penerbangan di sana dan mereka telah bersetuju untuk kita menghantar lima puluh hingga seratus pelajar ataupun beliau bagi mengikuti kursus di sana.

"Dana akan dikeluarkan oleh kerajaan negeri manakala sijil kelayakan tamat kursus akan dikeluarkan oleh syarikat terbabit. Mengenai jumlah dana kerajaan negeri belum putuskan dan ia akan diumumkan pada sesi menandatangi perjanjian itu nanti," jelas Khalid lagi.

Program rangsangan kerjaya itu dihadiri oleh dua ratus siswazah yang telah tamat pembelajaran mereka di universiti dan turut serta pada program tersebut adalah Pengerusi Kumpulan Peransang Selangor Berhad, Raja Idris Raja Kamarudia dan juga exco-exco kerajaan negeri.

Perangsang Selangor merupakan sebuah anak syarikat (GLC) Kerajaan Negeri Selangor mengambil tanggungjawab untuk mendukung agenda kerajaan negeri dalam meningkatkan pengetahuan, nilai diri dan keyakinan siswazah Selangor dalam mendapat pekerjaan atau penguasahaan perusahaan.

Dalam pada itu membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran siswazah Selangor dan juga mendukung hasrat merakyatkan ekonomi negeri dengan melaksanakan tanggugjawab sosial korporat bagi manfaat langsung rakyat Selangor


Perangsang Selangor sasar 1,500 siswazah berniaga | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 30 Sept: Sebagai salah satu agenda dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) telah menganjurkan satu program untuk membantu siswazah-siswazah Selangor bagi penyediaan mereka memasuki alam pekerjaan.

(Gambar: Pendaftaran siswazah hari ini.)

Pengerusi Kumpulan Selangor Berhad, Raja Idris Raja Kamarudin menjelaskan pada satu sidang media bersama Menteri Besar Tan Sri Abd Khalid Ibrahim hari ini, pihaknya meletakkan sasaran membantu lebih 1,500 siswazah dari Negeri Selangor untuk mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.

"Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, nilai diri dan keyakinan siswazah dari negeri ini dalam mendapatkan pekerjaan atau memulakan usaha perniagaan sendiri.

"Dalam pada ia dapat membantu Negeri Selangor mengurangkan kadar siswazah yang masih belum mendapat pekerjaan dan serta sebagai satu usaha untuk mendukung hasrat merakyatkan ekonomi Negeri Selangor," katanya.

Tambah beliau lagi, program ini bermula dengan penyediaan kursus dan latihan jangka pendek releven dengan pasaran kerja sekarang.

"Kita akan menyediakan latihan di tempat kerja (On-Job Training) dan usaha ini untuk membuat rekomendasi kepada majikan-majikan bagi siswazah-siswazah yang telah menamatkan kursus.

"Bagi siswazah yang mengikut kursus usahawan, insentif khas akan diusahakan untuk membantu siswazah tersebut bagi memulakan pekerjaan," tambahnya.

Idris memberitahu program ini disasarkan kepada semua siswazah dari Negeri Selangor yang memegang ijazah dan diploma dalam apa jua bidang yang bersesuaian dengan kursus yang ditawarkan.

"Untuk tahun 2011 semua kursus latihan akan bermula pada bulan Oktober dan November dan kita berharap usaha ini mendapat sambutan dari setiap siswazah," sambungnya lagi.

Sebelum itu Perangsang Selangor mengharapkan semua siswazah yang berminat untuk memohon bagi mengikuti program tersebut dapat menghubungi Unit Pelaksanaan CSR Perangsang Selangor.


Forum Mahasiswa Untuk Negara 4 Okt
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Rentetan daripada Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 3.0 minggu lalu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan menganjurkan Forum Mahasiswa Untuk Negara di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), 4 Oktober ini.

Bertajuk Sistem Politik Malaysia: Transformasi vs Reformasi, forum tersebut akan mengupas intipati Deklarasi Mahasiswa Malaysia yang dicapai daripada kongres tersebut khususnya dalam konteks politik iaitu 'Political Reform' yang akan diperjuangkan oleh mahasiswa.

Menurut Sekretariat Media Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Kamarudin, forum yang memfokuskan kepada sistem politik negara ini juga akan mengupas beberapa subjek utama ke arah pembinaan negara yang lebih matang pada masa akan datang.

"Diharapkan supaya ia mampu memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia khususnya mahasiswa kepada struktur pembinaan negara yang utuh yang dapat menjamin kepada 'Good Governance' itu sendiri," katanya dalam kenyataan media kepada Harakahdaily, hari ini.

Ianya akan menampilkan tiga ahli panel iaitu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Fahmi Samsuddin dan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Manakala moderator ialah Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selain SMM, forum ini juga mendapat sokongan daripada Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Student & Youth Democratic Movement (DEMA), Pro Mahasiswa Nasional (Pro M), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI), Sister In Movement (SIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan muda dijemput menghadairi forum yang bakal memberikan perspektif baru dalam reformasi poltik kepada mereka.


Orang agama jangan 'bantai' saja artis - Zed Zaidi | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Pelakon popular, Zed Zaidi (gambar) mengalu-alukan langkah yang dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat yang menemui Ahmad Idham Ahmad Nadzri, bagi menyelesaikan kontroversi yang timbul berhubung filem terbaru arahan pengarah itu pada 26 September lalu.

Menurut beliau, dengan adanya pertemuan seperti itu, golongan artis akan lebih terbimbing dengan baik bagi membolehkan mereka menghasilkan filem-filem lebih bermutu pada masa akan datang.

"Pada saya, langkah yang diambil oleh golongan agama tidak kira sama ada dari PAS dan pertubuhan-pertubuhan lain untuk mendekati artis sememangnya dialu-alukan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dengan adanya langkah seperti itu, katanya, ternyata golongan agama bukan sekadar hanya tahu 'membantai' golongan artis, tetapi turut sama berperanan menyelesaikan masalah yang berlaku berhubung pembikinan dan penerbitan sesebuah filem serta kehidupan golongan artis.

Pengarah Ahmad Idham baru-baru ini diselubungi masalah apabila filem terbaru arahannya, Hantu Bonceng mencetuskan kontroversi disebabkan beberapa adegan di dalamnya didapati menghina Islam.

Filem Hantu Bonceng yang diterbitkan oleh syarikat kepunyaan Ahmad Idham sendiri, Excellent Pictures Sdn Bhd ditayangkan bermula 31 Ogos sehingga 4 September 2011 lalu secara serentak di 80 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Hantu Bonceng dibintangi Mohd Razizan Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan Raja Lawak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid Baharudin dan beberapa orang pelakon lain.

Filem ke-23 arahan Ahmad Idham itu merupakan filem komedi dan mengisahkan Amran yang gemar berlumba haram yang tiba-tiba terlibat dalam satu kemalangan yang meragut nyawa gadis yang memboncengnya.

Sejak itu, gadis yang tidak tenteram itu menghantui Amran dan Amran meminta kekasihnya, Halimaton dan rakannya Kunyit menyempurnakan mayat gadis tersebut.

Namun filem yang menghasilkan kutipan tiket melebihi RM8 juta itu dikecam hebat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana dalam satu adegannya, Zizan jelas menghina Rasulullah saw dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar ... syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan”.

Selain itu turut ditambah dengan adegan mempersendakan azan, memakai baju yang mempunyai tanda salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menerusi Ketuanya, Nasrudin Hassan ketika membuat teguran terhadap filem itu sejak 19 September lalu turut kesal yang teramat sangat dengan kelemahan ketara pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sehingga membenarkan filem-filem berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan.

20 September lalu, Dewan Pemuda PAS melanjutkan lagi tegurannya kepada pihak penerbit, pengarah dan pelakon filem itu agar menyedari kesalahan tersebut dan mendesak agar penayangan filem itu dihentikan dan jika mahu ditayangkan juga, sekurang-kurang babak mengucap syahadah secara salah itu mesti dipotong untuk tayangan berikutnya.

Bagaimanapun, teguran itu tidak dipedulikan oleh Ahmad Idham, malah beliau dilaporkan menjawabnya dengan nada dan ayat-ayat yang tidak sewajarnya.

Tindakan beliau memaksa Dewan Pemuda PAS Malaysia membuat keputusan untuk mengadakan pertemuan khas dengan pengarah tersebut bagi menjelaskan maksud sebenar teguran itu demi kepentingan Islam, para penonton filem itu dan orang ramai di segenap peringkat pada 26 September lalu.

Pertemuan tersebut diadakan di pejabat Ahmad Idham dan melibatkan Nasrudin bersama beberapa kepimpinan Pemuda PAS Pusat lain serta menghasilkan natijah yang cukup baik.

Menurut Zed, beliau yakin pertemuan seperti itu tidak sia-sia, tetapi pasti terdapat hasil yang baik yang turut membantu Ahmad Idham menyelesaikan masalah yang dialaminya sekarang dan menghasilkan filem yang lebih baik selepas ini.

Beliau yang juga Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berkata, golongan artis sememangnya golongan yang berpengaruh dalam masyarakat dan perlu menjalani kehidupan yang baik seperti yang dituntut dalam Islam.

"Jadi golongan artis memang amat perlu didekati oleh golongan agama. Golongan artis perlu dibimbing supaya dapat memainkan peranan yang baik untuk masyarakat.

"Sekiranya golongan artis melakukan kesalahan, mereka perlu ditegur dengan baik, bukan dengan cara mengutuk dan membantai mereka seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak," katanya.





Hadis Ke Tiga Puluh Lima : -


LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA


H.R. TERMIZI



Daripada Ali bin Abi Thalib ra ... Rasulullah SAW Bersabda: " Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3. Zakat dijadikan hutang.

4. Suami memperturutkan kehendak isteri.

5. Anak derhaka terhadap ibunya.

6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya

7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.

12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).

13. Para artis-artis disanjung-sanjung.

14. Muzik banyak dimainkan.

15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".





Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah SAW ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.
Felda pinjam RM6b: Siapa arah, ke mana disalur | Print |
Hazayani Zakaria

PUTRAJAYA, 30 Sept: Setelah laporan polis terhadap Felda berhubung pinjaman RM6 bilion yang dibuat daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak diendahkan, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini memanjangkan laporan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula.

Laporan tersebut menuntut SPRM menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selain tiga lagi "orang kuat" Felda iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab.

Menurut Presiden Anak, Mazlan Aliman, keraguan timbul apabila pinjaman dalam jumlah yang besar itu tidak pernah dibentangkan di Parlimen malah tiada sebarang penjelasan dibuat oleh Ahmad Maslan meskipun didesak berkali-kali oleh Anak dan banyak pihak lagi.

Beliau berkata, Anak mahu SPRM menyiasat ke mana wang tersebut disalurkan dan siapakah yang mengarahkan pinjaman itu dibuat.

"Apabila ditanya, Ahmad Maslan tidak pernah memberikan penjelasan yang memuaskan hati mengenai pinjaman itu.

"Sebaliknya Tan Sri Isa Samad memberikan jawapan yang boleh ditertawakan apabila menganggap Felda diiktiraf sehingga ada pihak yang sanggup memberikan pinjaman dalam jumlah yang besar," kata beliau kepada pemberita di hadapan pejabat SPRM, dekat sini, petang tadi.

Mazlan turut mempertikai motif pinjaman itu dibuat dalam pada Ahmad Maslan bermati-matian mempertahankan dakwaan Felda stabil dan mempunyai aset RM19 bilion.

"Kalau dah banyak aset, apa perlunya pinjaman dibuat?

“Dan apa terma yang dikenakan KWSP terhadap Felda setelah memebrikan pinjaman itu?” soalnya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Tegasnya, perkara itu harus dijelaskan kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat khususnya peneroka Felda dan pencarum KWSP.

Jun lalu, Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Parlimen mendedahkan sejumlah RM3 bilion daripada pinjaman tersebut dipinjamkan kepada Felda Global Ventures.

Felda Global Ventures mempunyai masalah pelaburan di luar negara menerusi Felda Iffico Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT Etgo Canada, Felda Global Ventures Middle East dan Felda Global Ventures Arabia.

Kerugian terkumpul daripada pelaburan sekitar RM1.7 bilion daripada 1997 hingga 2010 hampir 500 juta.

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Felda, Suzana Wati Idayu Othman dan Lembaga Pengarah didapati bersalah dalam membuat keputusan yang menyebabkan kerugian dalam semua pelaburan di luar negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan