Jumaat, 19 Ogos 2011

RAKYAT MULA SEDAR..SEBAB NAIK TARAF PENDIDIKAN....TERASA SUSAH DAN TERHIMPIT.YANG MENGUASAI KUASA POLITIK TERUS KAYA RAYA..NAK KALUNG HARTA2 PD LEHER

Panglima Tentera tidak cermat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Tindakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyalahkan Pemuda PAS dalam hal undi pos adalah tindakan yang tidak cermat.

(Laporan media terhadap kenyataan ATM)

“Saya merasa terkejut terhadap kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang telah menyalahkan Pemuda PAS kerana membuat sidang media berhubung dengan pendedahan empat orang bekas anggota tentera berkenaan undi pos di Pejabat PAS Pusat, semalam,” kata Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi DPPM, Mohd Adram Musa dalam satu kenyataan.

Bekas anggota tentera tersebut adalah Majer(B) Risman Mastor, Komando (B) Mohd Kamel Omar, Mohamed Nasir Ahmad dan Kamarulzaman Ibrahim.

Katanya, sebelum ini semasa Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Pemuda PAS juga telah membawa Abu Kassim di hadapan Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Mohd Yusof untuk menerangkan pengalamannya berhubung dengan undi pos.

“Zulkifeli bukan sahaja menuduh Pemuda PAS mengambil kesempatan terhadap bekas anggota tentera malah menuduh sebagai kami sebagai pengkhianat.

“Saya ingin mempertegaskan bahawa Pemuda PAS tidak pernah mempergunakan bekas anggota tentera untuk membuat pendedahan,” ujarnya.

Menurutnya, mereka datang dengan penuh sedar, insaf dan sukarela.

Katanya, mustahil bagi Pemuda PAS mampu mempergunakan bekas anggota tentera yang telah terdidik dengan disiplin dan jadi diri yang tinggi semasa dalam latihan dan perkhidmatan.

Secara tidak langsung, ujarnya Panglima Angkatan Tentera telah menghina ke atas empat anggota tentera tersebut.

Beliau penuh yakin bahawa ada lebih ramai lagi bekas anggota tentera akan tampil ke hadapan membongkar manipulasi undi pos pada masa akan datang.

Katanya lagi, Pemuda PAS memberi peluang seluas-luasnya kepada mereka.

Sepatutnya, ujar beliau selepas mendapat maklumat berkenaan manipulasi undi pos, Panglima Angkatan Tentara perlu mendapatkan maklumat secara langsung daripada ke empat-empat bekas anggota tentera terbabit.

“Kemudian tubuh satu badan penyiasat dan kemukakan satu cadangan kepada pihak kerajaan, menyalahkan Pemuda PAS dalam hal undi pos adalah tindakan yang tidak cermat,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai sayap kepada sebuah parti politik, Pemuda PAS bertanggungjawab untuk memberikan pandangan berdasarkan pengalaman kami dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang dan Sibu yang melibatkan undi pos.

“Saya penuh yakin Panglima Angkatan Tentera tidak mendapat maklumat yang sebenar berhubung ruang manipulasi undi pos,” katanya.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk menjelaskan ruang manipulasi dalam undi pos kepada Zulkifeli.

“Kami bukan pengkhianat. Kalau kami pengkhinat maka kami tidak perlu membuka ruang diskusi kepada pihak Panglima Angkatan Tentera,” tegasnya.

Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS mengharapkan semua pihak terutamanya JPN, SPR dan ATM agar mengambil tindakan yang pro aktif bagi menjayakan satu reformasi dalam pilihanraya di negara kita.

“Semoga usaha semua pihak ini akan menutup semua ruang-ruang manipulasi dalam pilihan raya,” ujarnya lagi.

LAPORAN BERKAITAN

Bekas tentera mengaku 'tolong pangkah' undi


6 ditangkap dalam ceramah PKR malam tadi
Harakahdaily

TAPAH, 19 Ogos: Seramai enam orang ditangkap malam tadi pada majlis ceramah anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Taman Tapah yang turut disertai ahli parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar.

Seramai 30 orang polis bersedia di tempat ceramah termasuk 10 orang Light Strike Force untuk mengawasi majlis itu.

Dua orang yang ditangkap dan digari di tempat ceramah ialah Naib Pengerusi dan Timbalan Setiausaha PKR Perak, Chang Lih Kang yang juga Adun Teja dan Tan Kar Hing.

Selepas itu, pembesar suara dan meja dirampas oleh polis.

S. Nagenteran a/l Sandrasigran daripada PSM dan 3 orang lagi, ahli DHPP, Appalasamy a/l Jetakiah, Patrick Vincent dan Chua Yee Ling ditangkap di luar IPD Tapah semasa memberi sokongan kepada Chang Lih Kang dan Tan Kar Hing.

Mereka dilepaskan pada kira-kira jam 12 tengah malam.


Pakai baju kuning raya tahun ini
Harakahdaily

RAWANG, 19 Ogos: Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrul Amin Bahron mengajak semua rakyat negara ini memakai baju raya berwarna kuning tahun ini.

Beliau juga mencadangkan agar membuat kuih warna kuning sebagai juadah raya tahun ini.

(Iklan jual baju Melayu kuning untuk raya tahun ini...klik atas gambar untuk maklumat lanjut)

"Jangan lupa juga kita buat pulut kuning," kata Badrul ketika memberikan tazkirah Ramadhan di sebuah surau dekat sini sebaik sahaja selepas solat Terawih.

Cadangan Badrul Amin itu selaras dengan kempen Bersih 2.0 yang menuntut lapan perkara untuk memastikan pilihan raya di Malaysia bersih dan adil.

Warna kuning adalah warna rasmi kempen Bersih sesuai dengan warna diraja kerana mereka mahu menghantar memo tuntutan itu kepada Yang Dipertuan Agung.

Sebuah syarikat, KF Edaran, telah membuat iklan khasnya di Harakahdaily tentang projek mereka menjual baju Melayu warna kuning untuk raya tahun ini.

Mereka menjual sepasang baju Melayu kuning dengan harga RM75 dan yang menariknya ia akan dihantar terus ke rumah pembelinya.

Nilai kita

Dalam tazkirah itu juga, Badrul berkata, umat Islam perlu menilai diri mereka sendiri selain menyalahkan pihak lain dalam isu kristianisasi.

Katanya, institusi masjid dan surau perlu mengkaji, kenapa mereka tidak memberikan khdimat untuk umat Islam yang memerlukan bantuan sehingga pihak gereja pula yang menjadi tempat mereka mendapatkan bantuan.

(Badrul Amin menyampaikan tazkirah di sebuah surau di Rawang)

"Selain itu, di mana institusi zakat kita," kata beliau yang juga anggota Majlis Pimpinan Tetinggi PKR.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz mempertikaikan, siapakah yang mula mengajar bagi benda untuk mendapatkan sokongan ini.

"Umnolah yang ajar..awak tolong saya, saya tolong kamu, ini ajaran Umno," kata Nik Aziz dalam satu kenyataannya sebelum ini.

Mereka mengulas isu serbuan Jais ke atas gereja Methodist Damansara Utama yang mendapati mereka meraikan umat Islam dengan memberikan bantuan kepada mereka.


Selangor digesa siasat dakwaan Umno dalang
Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 19 Ogos: Dewan Pemuda PAS Selangor hari ini mahu kerajaan negeri menyiasat dakwaan PAS bahawa isu pemeriksaan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama didalangi Umno.

Gesaan itu merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini bahawa beliau mempunyai bukti bahawa Umno terlibat dan berperanan di sebalik pemeriksaan Jais itu.

Sehubungan itu, mereka meyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exco Agama Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohd Ali.

Pemuda PAS Selangor diwakili ketuanya, Hasbullah Ridhwan dan timbalannya, Mohd Sany Hamzan.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Dr. Hassan manakala bagi pihak Menteri Besar, memorandum tersebut diterima setiausaha sulitnya Mustapha Mohd Talib di pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK).

"Ini suatu yang sangat malang jika agensi kerajaan negeri (Jais) boleh dicampurtangan parti politik seperti itu.

"Apatah lagi ianya dibuat dalam keadaan politik Umno yang selalu guna isu agama untuk hidupkan politik mereka yang dah nak mati," kata Hasbullah pada sidang media selepas pertemuan kira-kira setengah jam dengan Dr. Hassan.

Dalam pertemuan itu juga ujarnya, Dr. Hassan bagi pihak kerajaan negeri telah bersetuju untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan Mustafa itu.

Sehubungan itu, mereka mahu setiausaha agung PAS itu menyerahkan bukti berkaitan kepada kerajaan negeri.
Mengulas penyebaran video klip yang didakwa rakaman sewaktu pemeriksaan gereja itu oleh bloger Umno, Mohd Sany pula berkata ianya sesuatu yang sangat mengejutkan di waktu Jais masih belum pun siap siasatan mereka.

"Sultan Selangor menitahkan agar semua pihak tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan selagi Jais tidak menyiapkan laporan mereka.

"Saya nak tanya bloger Umno, siapa sebenarnya derhaka," katanya.

Ekoran itu juga beliau mahu pihak istana memberi teguran kepada pihak-pihak yang membelakangkan titah sultan tersebut.

Dalam isu pemeriksaan gereja ini, PAS berpendirian agar Jais segera membuat pendakwaan jika mereka mempunyai bukti bahawa wujud gerakan mengkristiankan orang Islam.















Panglima ATM disarankan sertai gelombang rakyat
Helmi Ibrahim
Kenyataan yang di buat oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain amat mengejutkan banyak pihak dan nyata mengundang pelbagai persolan tentang kewajarannya dan tujuan kenyataan tersebut di buat.

Tindakan beliau menuduh Pemuda PAS Malaysia sebagai pengkhianat dan memperalatkan 4 orang bekas anggota tentera di lihat memburukkan lagi keadaan dan bakal mengundang lebih banyak tanda tanya di kalangan rakyat bawahan.

Umum mengetahui ‘medan pertempuran’ sekarang ialah di antara rakyat yang inginkan suatu pemilihan melalui pilihanraya yang bebas dengan sebuah badan yang semakin di ragui kredibilitinya lantaran sikapnya yang sering bedolak dalih dan kini bertindak selaku jurucakap kepada Barisan Nasional (BN).

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP) mendepani isu ini dengan melakukan siri pembongkaran terhadap perkara yang meragukan dalam sistem pilihanraya bagi mencapai matlamat sebuah pilihanraya yang bebas dan adil. Perkara yang di bangkitkan tersebut seharusnya di jawab dan di perjelaskan oleh SPR bukannya oleh PAT ataupun ATM walaupun dakwaan itu melibatkan anggotanya.

Isu yang di bangkitkan oleh DPP bukanlah isu baru bahkan pendedahan sebegitu pernah di buat pada pilihanraya kecil (PRK) Bagan Pinang tetapi tiada respon dan tindakan dari mana-mana pihak berhubung bantahan tersebut.

Persoalannya ialah adakah kerana sewaktu PRK tersebut kedudukan BN di lihat masih kukuh maka isu sedemikian di lihat tidak menggugat kedudukan BN dan tidak patut di layan? Tetapi dalam keadaan sekarang apabila pelbagai pihak mempertikaikan kredibiliti kerajaan pimpinan BN maka tiba-tiba sahaja terpacul ungkapan sedemikian dari mulut seorang yang menerajui sebuah institusi yang amat di hormati di negara kita?

Rakyat selama ini amat menghormati ATM selaku benteng pertahanan utama negara. Belum pernah wujud lagi keadaan di mana ATM di lihat memihak secara langsung kepada mana-mana pihak dan ianya wajib di kekalkan begitu.

Salah satu elemen penting dalam pertahanan Negara ialah konsep pertahanan menyeluruh ataupun di kenali sebagai HANRUH dan ianya merangkumi penglibatan semua pihak dalam mempertahankan negara. Penglibatan ini termasuklah mempertahankan kedaulatan negaradari di ganggu gugat oleh anasir-anasir dalaman yang cuba mengeruhkan keharmonian dan kedaulatan negara.

Tindakan yang di ambil oleh DPP adalah sejajar dengan konsep ini dan sewajarnya di berikan pujian bukannya di hentam sebegitu rupa! Sepatutnya mereka yang cuba memanipulasikan undi dan menipu dalam sistem pilihanraya negara yang wajar di cop sebagai pengkhianat dan petualang bangsa. Segala perkara yang berlaku hari ini termasuk kekecohan semasa 9 Julai adalah berpunca dari kedegilan segelintir manusia yang tamakan kuasa dan cuba mencari dahan berpaut di ambang ‘sakaratul maut’ mereka.

PAT sepatutnya mengambil sikap berdiam diri dengan menyerahkan urusan menjawab persoalan begini kepada SPR atau pun paling tidak beliau boleh mengatakan akan menjalankan siasatan di dalam bidang kuasa beliau, jika ada.

Apa yang membimbangkan kita ialah sindrom penafian (denial syndrome) yang berakar dalam kepimpinan negara hari ini akan turut meresapi kepimpinan ATM. Kegagalan memahami persoalan semasa dan kehendak rakyat menyebabkan BN berada dalam keadaan yang terlalu parah sekarang.

Rakyat hari ini terlalu kedepan dalam menangani sesuatu isu dan permasalahan lantaran kecanggihan sistem komunikasi dan maklumat. Sesuatu yang di ambil mudah oleh BN selama ini lantaran merasakan negara ini milik pusaka mereka selamanya. Persoalan manipulasi terhadap undi pos anggota ATM sudah berlalu sekian lama dan rakyat boleh menilai ketelusan kerajaan dalam perkara ini menilai melalui pelbagai medium maklumat yang wujud sekarang.

Sebarang penafian melulu akan menyebabkan rakyat beranggapan pihak tersebut di lihat mewakili pihak kerajaan BN yang sudah tidak berintegriti lagi. Tindakan beliau menuduh empat orang anggota ATM tersebut sebagai diperalatkan akan mengundang ‘back fire’ yang dahsyat kerana mereka membuat pengakuan secara sukarela dan bukannya paksaan. Sudah tentu mereka ini dan juga ratusan ribu anggota tentera dan pesara tentera juga akan terjerat dalam persoalan ini.

Mereka terikat dengan sumpah setia mempertahankan negara dari sebarang unsur negatif yang boleh menggugat kestabilan negara.

Manipulasi undi pos demi mengekalkan sesuatu rejim adalah tindakan yang mengkhianati kedaulatan negara dan sebagai anggota tentera yang menumpahkan taat setianya kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi ATM seharusnya petualang begini tidak di berikan peluang langsung dan mereka ini lah yang sebenarnya wajib di hukum oleh PAT dan ATM.

Tuduhan pengkhianat terhadap DPP merupakan satu tuduhan liar dan amat tidak berhemah. PAT seharusnya belajar berfikir di luar kotak sebagaimana yang selalu di ajar di dalam kursus-kursus anjuran BTN. Beliau tidak harus menghadkan sumber maklumat beliau berdasarkan kepada media arus perdana seperti Utusan Malaysia sebagaimana yang sering di lakukan oleh pemimpin BN.

PAT seharusnya menggunakan sepenuhnya rangkaian risikan ATM yang di ketahui antara yang terbaik di dunia bagi menilai isu ini secara mendalam dan telus dan sekiranya ini yang di buat sudah pasti beliau akan dapat melihat isu sebenar yang menggusarkan rakyat selama ini.

Beliau seterusnya harus insaf bahawa seluruh dunia mengetahui sistem pilihanraya negara bermasalah dan memerlukan reformasi secara total. Rakyat melihat siri-siri pembohongan kerajaan dari semua peringkat bermula dari penafian secara mutlak dan bermati-matian akan wujudnya sebarang masalah tentang sistem pilihanraya negara dan menuduh rakyat yang ingin berhimpun pada Bersih 2.0 adalah pengkhianat dan musuh negara.

Namun sebaik melihat kepada gelombang kesedaran rakyat semakin memuncak mereka terpaksa mengakui bahawa sememangnya tuntutan Bersih 2.0 dan rakyat adalah benar dan memang wujud masalah di dalam sistem yang di amalkan selama ini.

Pengumunan penubuhan Jawatan Kuasa Terpilih oleh Najib seharusnya di baca sebagai pengakuan terbuka kerajaan akan kesilapan mereka selama ini yang terpaksa tunduk kepada amarah rakyat bukannya di baca sebagai keterbukaan kerajaan. Inilah yang dikatakan sebagai berfikir di luar kotak. Perkara sebegini tidak akan berlaku tanpa gesaan rakyat melalui Bersih 2.0, tanpa tidakan pro aktif dari DPP.

DPP dan sekalian rakyat menyanjung tinggi pengorbanan dan jasa anggota ATM pada sebilang masa dan sentiasa mendokong sebarang usaha bagi penambah baikan dan kebajikan untuk ATM. Namun begitu rakyat akan menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang berkepentingan anggota tentera sepertimana yang berlaku selama ini.

Pihat tertinggi ATM seharusnya bijak memahami bantahan rakyat bukan di tujukan kepada warga ATM sepertimana dalam kes manipulasi undi ini tetapi ianya di tujukan kepada anasir-anasir jahat dalam kerajaan BN. Contoh yang sama juga boleh di lihat bila pembangkang dan rakyat mempersoalkan isu pembelian pesawat pejuang dan kelengkapan lainnya untuk ATM.

Rakyat memahami keperluan untuk mempersiapkan keupayaan ATM pada tahap yang sepatutnya tetapi membantah tindakan pihak tertentu yang menggunakan peluang untuk mengaut keuntungan peribadi malalui pemberian komisen dan sebagainya. Inilah dia pengkhianat sebenar yang seharusnya di tentang sehabis-habisnya oleh sekalian warga ATM .

Justeru itu adalah di harapkan agar pihak PAT dan ATM dapat menilai kembali isu manipulasi undi pos yang menghantui rakyat selama ini. ATM wajib kekal berkecuali dalam tindakannya dengan mendokong kerajaan yang di pilih secara sah oleh rakyat tetapi harus juga di ingat mendokong kerajaan yang di ketahui mengkhianati rakyat melalui manipulasi undi juga merupakan pengkhianatan yang terbesar pada Negara dan melanggar sumpah terhadap SPB Yang Di Pertuan Agong.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan