Jumaat, 19 Ogos 2011

BILA BERCAKAP BIAR PAKAI OTAK....HATI NI MILIK ALLAH...ALLAH BOLEH BALIK2KAN HATI NI...HARI NI KITA ISLAM...MANA TAHU ALLAH BERI HIDAYAH...MEREKA PULA ISLAM KITA PULA KAFIR...DAN TERUS ALLAH SESATKAN...SEBAB SOMBONG...MENCETUSKAN RASA PERMUSUHAN...INI BUKAN AJARAN ISLAM...ISLAM JUGA MELARANG BERJUANG ATAS NAMA KAUM ATAU BANGSA....ISLAM UNTUK SEMUA...ISLAM FOR ALL...JIKA MEREKA TERBUKTI KHIANAT...ANGKAT TANGAN KITA DAN BERDOA..'MOHON KEPADA ALLAH...BIAR ALLAH BALAS SETIMPAL KEJAHATANNYA'...ALLAH MAHA MENGETAHUI BAGAIMANA MENGAJAR GULUNGAN YANG BERMAIN KAYU TIGA INI.....YANG PENTING KITA TAAT SYARIAT ALLAH...JANGAN KITA BERJUANG ISLAM...DIMASA SAMA KITA LANGGAR DAN BELASAH SEMACAM SYARIAT2 ALLAH...NI JENIS BERMUKA2...

PERKASA: Pemimpin Melayu kebulur undi Kristian
Jimadie Shah Othman
Ogos 19, 11
2:55pm

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini menyatakan rasa kecewanya terhadap pemimpin Melayu dalam pelbagai parti yang didakwanya "kebulur" terhadap undi Kristian sehingga "menggadaikan maruah Islam".

NONESetiausaha agungnya Syed Hassan Syed Ali (kiri) berkata, sikap itu kelihatan apabila pemimpin Melayu Umno, PAS dan PKR berdiam diri dalam pelbagai isu, termasuk kes pemeriksaan sebuah gereja di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

"Jangan fikir soal parti lagi. Pemimpin Islam mesti bersatu, mesti berhenti kejar undi Kristian.

"Kenapa kebulur sangat pada undi Kristian sehingga menggadaikan maruah Islam?" soalnya.

Bercakap dalam sidang media di perkarangan Masjid Negara, Syed Hassan berkata, bermula dengan kontroversi penggunakan kalimah Allah, penganut Kristian mengasak umat Islam dengan pelbagai isu, sehingga kes pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

NONEJusteru, PERKASA memohon supaya Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam menitahkan supaya pemimpin Islam bersidang bagi membincangkan isu murtad.

Bagaimanapun, tambahnya, PERKASA tidak perlu menjadi orang tengah kerana pemimpin politik itu "masing-masing pandai dan ada otak".

Ditanya tentang asas kebimbangannya sedangkan jumlah orang Kristian di negara ini cuma 9 peratus, Syed Hassan berkata:

"Itulah yang kita pelik, 9 peratus sahaja, kenapa hendak kejar sangat undi mereka?"

30 anggota berdemo

Beliau juga berharap JAIS mempercepat siasatan terhadap isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) dengan dibantu pasukan polis.

NONESebelum itu, Syed Hassan mengetuai hampir 30 anggota PERKASA berhimpun di masjid itu selepas solat Jumaat bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap pemimpin dalam tiga parti Melayu terbesar itu.

Dalam acara ringkas tidak sampai 30 minit itu, mereka membawa pelbagai poster mengecam pemimpin Islam dan meminta supaya guru Kristian diharamkan di sekolah kebangsaan.

Bagaimanapun, ditanya tentang cadangan itu, Syed Hassan berkata pihaknya cuma berharap pihak berkuasa memantau guru-guru itu kerana dibimbangi menyampaikan ajaran Kristian kepada murid Islam.

"Kalau mereka boleh janji tidak buat perkara itu tidak mengapalah," katanya lagi.

Sementara itu, ditanya tentang sambutan tidak menggalakkan apabila tidak ramai menyertai perhimpunan itu, Syed Hassan mengaku kecewa dengan keadaan itu.

"Ini kita buat ad hoc sahaja. Semalam baru cetak poster," jelasnya kepada kira-kira 30 pemberita dan jurugambar.

Hukum Memperjuangkan Kepentingan Bangsa

Soalan :

Dr Asri, apakah pandangan Islam mengenai perjuangan memartabatkan bangsa? Ada yang kata tak Islamik, ada yang kata asabiyyah. Ada pula yang berkata Islam sama sekali tidak peduli masalah kaum. Kita di Malaysia orang Melayu beragama Islam, salahkah jika kita berjuang mengangkat hak bangsa melayu? Harap Dr Asri dapat jelaskan kekeliruan ini.

Saifuddin, Johor.

Jawaban Dr. MAZA:

Saudara Saifuddin, Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi. Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak. Di sini saya sebut beberapa perkara untuk memahami isu ini;

1. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)

“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).

2. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

3. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) (maksudnya):

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:

“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).

4. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

5. Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya)

“Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)

6. Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

7. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanati puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.

8. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

9. Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan