Isnin, 25 Julai 2011

TAK KAN BODOH KITA HINGGA TAK KENAL YANG MANA JAHAT...PEMBOHONG...PEMBELIT SERTA ZALIM..DENGAN ORANG BAIK...

15 tahun warga emas tunggu pampasan Perkeso
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 25 Julai: Seorang bekas pekerja kilang papan kesal dengan menteri, agensi kerajaan dan wakil rakyat yang gagal menyelesaikan masalah wang pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang tertangguh sejak 15 tahun lalu meskipun semua dokumen sudah lengkap.

Warga emas Mohan Mariappan, 59, yang mengalami kemalangan di tempat kerja di kilang T. S. Gan Timber Trading dekat sini pada tahun 1995 lalu sehingga tidak boleh bekerja lagi dan disahkan pegawai perubatan layak menerima pencen ilat dan bantuan ilat.

Malangnya setelah enam tahun barulah beliau mendapat wang sebanyak RM315.55 iaitu pada Ogos 2002, tetapi bantuan bulanan langsung tidak ada dalam tempoh selama itu dan mendakwa wang pampasan terkumpul miliknya sudah lebih RM40,000.

“Saya bekerja di kilang papan berkenaan dengan gaji sebanyak RM1,500 sebulan sehinggalah pada 13 Mei 1995 mengalami kemalangan dengan tangan sebelah kanan saya termasuk dalam mesin gergaji sehingga mengakibatkan tidak boleh bekerja berat lagi untuk selamanya.

“Doktor yang merawat kemudian mengesahkan saya hilang upaya kekal dan layak mendapat 35% daripada gaji iaitu RM520. Semua dokumen telah dihantar kepada Perkeso Temerloh, tetapi hanya enam tahun kemudian saya baru menerima RM315.55. Itupun setelah tersiar cerita dalam akhbar Tamil.

“Pegawai Perkeso ada berjanji dengan saya wang selebihnya akan dibayar pada setiap bulan. Namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang bayaran yang dimaksudkan,” katanya ketika menemui Harakahdaily di sini.

Sejak itu Mohan telah beberapa kali menemui pengarah Perkeso, menteri, pemimpin tertinggi MIC, wakil rakyat Umno dan Menteri Besar Pahang namun semuanya hanya janji tinggal janji.

“Kalau tidak silap, sudah enam kali saya bertemu Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam untuk mengadu hal dan minta selesai masalah, kali akhir tahun lalu. Begitu juga dengan Senator T. Murugiah dan semua pemimpin MIC, tapi tetap tiada penyelesaian.

“Jumpa dengan Ketua Umno Bahagian Temerloh yang juga Exco Kerajan Negeri Pahang janji nak selesai terus senyap. Juga jumpa MIC Mentakab, pun hanya tinggal janji.

“Setelah mengetengahkan kes ini kepada media, barulah pada bulan Januari 2009 saya dibayar RM70 sebulan, mula bulan September tahun itu dibayar RM140. Sehinggalah bulan September tahun lalu saya dibayar RM250. Tetapi masih jauh daripada jumlah sebenar (RM520),” katanya dengan nada sayu.

Soal Mohan, jika sudah 15 tahun seorang menteri tidak boleh selesaikan satu kes seperti beliau, macam mana menteri mahu selesaikan rakyat dan orang ramai? Beliau hairan bagaimana kesnya menjadi rumit sangat hingga tertangguh lama sedangkan semua dokumen ada dan mereka akui.

Mohan yang juga menghadapi masalah jantung dan akan membuat pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) berpendapat, masalahnya kesnya ini tidak diambil berat kerana beliau ‘orang kecil’.

“Sepatutnya menteri atau wakil rakyat tahu bahawa RM250 sekarang ini tidak cukup untuk menampung kos hidup yang tinggi sekarang. Saya masih ada isteri dan seorang anak yang sedang bersekolah dalam tanggungan. Saya juga masih perlukan duit untuk rawatan dan ubat-ubatan,” rayunya.

Justeru beliau yang tinggal di Taman Bukit Bendera, Mentakab merayu pihak berkuasa segera menyelesaikan kesnya sementara usianya masih ada.

Komisen Scorpene, individu ketiga didedah semasa perbicaraan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Komisen ketiga pembelian kapal selam Scorpene yang dibayar ‘pegawai peringkat tinggi’ kerajaan Malaysia akan didedahkan ketika perbicaraan rasuah itu di mahkamah Perancis, September ini.

Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel sebelum ini mendedahkan bukti baru bahawa komisyen ketiga itu dibayar lebih besar daripada sebelumnya kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, yang berjumlah RM540 juta, lapor KeadilanDaily.

Perimekar dimiliki sepenuhnya Ombak Laut, syarikat Abdul Razak Baginda iaitu kenalan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terlepas dari hukuman gantung kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Penyiasat persendirian yang pernah bertugas dengan Abdul Razak, P Balasubramanian pernah mendedahkan dalam akuan bersumpahnya yang Najib mempunyai hubungan dan turut terlibat dengan pembunuhan itu.

Cynthia ketika dihubungi berkata, perbicaraan di mahkamah Perancis itu juga dijangka mendedahkan individu ketiga yang menaiki penerbangan ke Macau pada 2002.

Individu ‘misteri’ itu bersama Abdul Razak dan Altantuya dikesan menaiki pesawat ke pulau itu bagi urusan pembelian kapal selam berkenaan.

“Melalui mahkamah kita dibenarkan untuk akses kepada dokumen syarikat yang menjalankan urusniaga,” kata Cynthia kepada Keadilandaily.

Menurutnya, Mahkamah Perancis semakin ‘meunjukkan minat’ dalam kes itu ekoran pentadbiran Najib menghantar pulang peguam Wiliam Bourdon yang mengendalikan kes rasuah berkenaan.

“Seperti rakyat Perancis yang terkejut dengan penghantaran pulang William Bourdon, kini mahkamah di negara itu semakin berminat dengan kes ini. Kecenderungan ini sama ditunjukkan oleh mahkamah Perancis seperti kes di Pakistan,” kata Cynthia.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan 11 jurutera Perancis mati dalam serangan bom di Karachi pada 2002. Kejadian tersebut didakwa berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class.

“Jelas ada perkara sulit yang sangat-sangat ingin disembunyikan Najib sampai sanggup ‘menendang keluar peguam hak asasi William Bourdon.

“Suaram juga sedang memikirkan tindakan lanjut akibat keputusan kerajaan tempoh hari,” sambung Cynthia.

Dalam pada itu, beliau tidak pasti sama ada penghantaran pulang William merangkumi arahan sebagai ‘persona non-grata’ iaitu individu yang dihalang dari memasuki Malaysia, atau pun larangan kemasukan bersifat sementara.

“Itu kena tanya Hishamuddin (Menteri Dalam Negeri). Mereka menghalau William tanpa asas yang jelas. Namun, kami akan undang lagi beliau ke Malaysia.

“Apa yang menjadi isu ialah imej Malaysia tercemar teruk. Penduduk di Eropah terkejut dengan tindakan kerajaan dan semakin tertarik untuk terus mengikuti kes ini,” katanya.

Justeru, Cynthia mengalu-alukan sumbangan berterusan rakyat Malaysia kepada Suaram untuk membiayai kes perbicaraan di mahkamah Perancis yang bakal bermula September ini.


PAS Masjid Tanah usaha tawan hati pengundi
Ahmad Danial

MASJID TANAH, 25 Julai: PAS Kawasan Masjid Tanah telah selesai mengadakan retreat bagi menggariskan KPI dan aktiviti mereka.

Program tersebut dijalankan di Pejabat PAS Kawasan di Hujan Panas, di sini semalam.

Timbalan Pesuruhjaya 3, Sofi Wahab bertindak sebagai moderator program.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman berkata, program itu adalah julung kali diadakan di kawasan tersebut dan ianya merupakan suatu sejarah baru kepada PAS kawasan bagi mendepani cabaran perjuangan di kawasan Parlimen Masjid Tanah.

"Kita akan berusaha untuk melaksanakan setiap KPI yang ditetapkan dan segala gerak kerja akan bertumpu ke arah bagaimana untuk mencapainya.

"PAS Kawasan Masjid Tanah akan menumpukan kepada gerak kerja pilihan raya, penerangan, tarbiyyah dan memperkemaskan pentadbiran," jelasnya yang juga merupakan Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Imran berkata PAS kawasan telah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan organisasi mereka dan akan berusaha sedaya untuk memastikan seluruh jentera akan bekerja kuat untuk menyantuni dan menawan hati rakyat supaya menyokong PAS dan Pakatan Rakyat (PR).

Sementara itu Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Julasapiyah Kassim dalam ucapan penutupnya mengharapkan seluruh ahli jawatankuasa kawasan dan cawangan-cawangan supaya komited untuk menjalankan gerak kerja ke arah mencapai KPI yang ditetapkan.

"Tidak ada gunanya kita menetapkan sasaran dan KPI jika ianya hanya indah di atas kertas sahaja sedangkan semuanya tidak dapat dicapai dalam masa dan angka yang ditetapkan.

"Kita mesti bersedia dengan segala kelengkapan dan sumber yang ada untuk merealisasikan apa yang telah kita bincang dan persetujui," katanya.


Hiburan: Ali Rustam membisu bantahan rakyat
Ahmad Danial

AYER KEROH, 25 Julai: Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Melaka, Yusof Wahab melahirkan kekesalan di atas sikap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang membisu dengan bantahan rakyat terhadap keputusan kerajaan negeri yang memberikan kelulusan untuk pusat hiburan melanjutkan masa operasi sehingga jam 3.00 pagi.

Yusof berkata, Mohd Ali sepatutnya tampil memberikan maklum balas kepada rakyat Melaka sama ada bersedia untuk menghadkan masa operasi pusat hiburan atau meneruskan keputusan kerajaan negeri baru-baru ini.

"Kita kesal kerana di saat umat Islam akan menyambut Ramadhan, kita dikejutkan dengan tindakan kerajaan negeri Melaka meluluskan perlanjutan operasi pusat hiburan sehingga pukul 3.00 pagi, baru-baru ini.

"Kita hairan bagaimana pemimpin yang mengaku Islam tetapi tidak tahu halal haram dan tidak menghormati bulan Ramadhan yang mulia," tegas Yusof yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Bukit Katil.

Beliau berkata sepatutnya kerajaan negeri Melaka kalaupun tidak mampu untuk menutup pusat hiburan itu sekurang-kurangnya mereka menghadkan masa operasinya dan juga menetapkan supaya orang-orang Islam diharamkan dari memasukinya seperti yang dijalankan di Kedah.

"Jangan hendak hadkan masa operasi dan hadkan orang Islam jangan masuk sebaliknya kerajaan negeri Melaka dengan biadap melanjutkan lagi operasi pusat hiburan ini seolah-olah mencabar Allah yang menyuruh kita memperbanyakkan ibadat di bulan Ramadhan.

"Tidakkah kerajaan negeri rasa bertanggungjawab kepada rakyat dengan menggalakkan mereka beribadat bukannya memberikan ruang yang luas untuk berhibur di pusat-pusat maksiat ini?" soalnya.

Yusof sekali lagi menggesa kerajaan negeri menarik balik keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri baru-baru di samping membuat keputusan supaya orang Islam di larang memasuki pusat-pusat maksiat tersebut.

Minggu lalu, kira-kira 200 orang umat Islam dan ahli PAS Melaka mengadakan himpunan aman membantah perkara tersebut di hadapan Masjid Bukit Katil.


Bekas pemimpin BN juga tidak percaya Najib
Fakhri Ali

TASEK GELUGOR, 25 Julai: Bukan saja pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tidak mempercayai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah bekas pimpinan Barisan Nasional (BN) sendiri telah menunjukkan sikap tersebut terhadap kepimpinan beliau.

Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata demikian, ketika berucap dalam majlis penerangan anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Permatang Buloh, malam tadi.

Menurut beliau lagi, tindakan bekas pimpinan BN menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) dengan jelas membuktikan pimpinan Najib bukan saja tidak diyakini dikalangan pimpinan Umno dan BN, tetapi juga penyokong parti tersebut sebelum ini.

"Jika bekas menteri seperti Ong Tee Keat, Tengku Razaleigh dan beberapa pimpinan lain berani bersama organisasi seperti Amanah untuk menzahirkan pandangan mereka secara positif mengenai tindakan menyimpang kerajaan, maka adalah tidak salah bagi rakyat juga untuk menyatakan ketidak puasan mereka.

"Amanah juga menjadi satu lagi tamparan kepada kepimpinan Najib, apabila beliau sering mendabik dada menyatakan sokongan yang diterimanya adalah padu baik dari kalangan pimpinan BN kini, dulu dan selamanya," ujarnya yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.

Malah katanya begitu banyak kelemahan dalam pentabdiran Najib menyebabkan rakyat sudah hilang keyakinan di atas reputasi beliau sebagai Perdana Menteri.

"Air Asia juga telah dipindahkan ibu pejabatnya dari Kuala Lumpur ke Jakarta. Bukankah ini juga suatu lagi krisis keyakinan yang menimbulkan persepsi yang pelbagai rakyat terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri.

"Penangkapan peguam Perancis, William Bourdon pada 22 Julai baru-baru ini, juga sesuatu yang memalukan negara. Apa yang hendak ditakutkan oleh kerajaan sekiranya tiada apa yang hendak disembunyikan.

"Bak kata pepatah berani kerana benar, takut kerana salah, sehingga menyebabkan tindakan mencemarkan nama negara itu terpaksa diambil oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN," tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, Najib sepatutnya jangan begitu takut kepada bayang-bayang beliau sendiri diatas segala kesalahan dan kemungkaran yang dilakukan selama memerintah negara.

AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula berkata, menyokong Umno dan BN bererti rasuah akan terus bermaharajalela dan berleluasa dalam negara.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, sejarah telah membuktikan bagaimana rasuah bermaharajalela di Perak apabila usaha menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat dilakukan oleh BN.

"YB Sivakumar dijanjikan habuan sebanyak RM30 juta jika sanggup menjadi katak seperti yang lain. Manakala YB Yunus pula turut dijanjikan ganjaran sebanyak RM20 juta jika sanggup melompat.

"Ini adalah sejarah hitam yang menjadi nostalgia dan memori hitam dalam sejarah negeri Perak, walaupun ianya telah berlalu. Sejarah tetap menjadi sejarah yang tidak boleh diubah.

"Seribu satu macam kerosakan, pemborosan, pembaziran, penyelewengan, koruspsi, skandal yang diterajui oleh Umno dan BN berada di puncak sebagai parti nombor satu menguasai keburukan dan kemungkaran," tegasnya.

Beliau juga berkata, berdasarkan kepada begitu banyak bukti yang ada, Umno dan BN layak untuk dilabelkan sebagai parti rasis, pengkhianat bangsa Melayu, perasuah dan parti video seks.

"Oleh kerana itu, masyarakat jangan pula terpedaya dengan bikinan video terbaru selepas ini, yang akan memaparkan pelakon baru dan lama bikinan Umno dan BN, melalui skrip lama yang diolah oleh pengarah baru menjelang pilihan raya umum yang akan datang, " jelasnya lagi.


Polis siasat pihak didakwa kelirukan kematian Baharudin
Abdul Rahim Sabri
Jul 25, 11
5:36pm
Polis sedang menyiasat pihak-pihak tertentu yang mengelirukan kematian Allahyarham Baharudin Ahmad sewaktu perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.

Polis juga menyiasat berhubung seorang lagi peserta perhimpunan - Suhardi Mat Isa - yang sebelum ini dilaporkan mengelami sesak nafas terkena gas pemedih mata.

Selain itu, polis turut menyiasat laporan berhubung dakwaan pegawal peribadi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dia terkena tembakan gas pemedih mata.

Ia adalah antara tujuh laporan polis berhubung tindakan pegawai dan anggota PDRM semasa perhimpunan tersebut.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa kesemua laporan polis yang dibuat akan disiasat secara profesional dan telus mengikut peruntukkan undang-undang," kata Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

"Pihak polis dalam proses melengkapkan siasatan dan akan mengemukakan kertas siasatan tersebut kepada pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat ini," tambahnya.

Dalam kenyataannya hari ini, Acryl turut berkata laporan polis lain yang sedang dalam siasatan polis adalah berkaitan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang mendakwa beliau mengalami kecederaan kerana dirempuh kenderaan polis.

"Kes ini sedang disiasat di bawah seksyen 336 Kanun Keseksaan," katanya.

Acryl berkata pihaknya juga sedang menyiasat kenyataan akhbar oleh seorang peguam yang mendakwa terdapat cubaan bunuh terhadap Anwar.

Polis juga, tambahnya, menyiasat dakwaan PRDM menggunakan gas pemedih mata buatan Israel dalam perhimpunan tersebut, yang menurutnya, adalah tidak benar.

Menurutnya, PDRM menggunakan dua jenis gas pemedih mata dan sejenis cecair untuk meriam air sewaktu perhimpunan tersebut.

Dua jenis gas pemedih mata ialah Shell Tear Gas Smoke Model ALS 5727, ALS Techonology dan Grenade Tear Gas Smoke Model MP-2SB-CS, Non Lethal Technology.

Kedua-dua jenis tersebut, kata Acryl, adalah buatan daripada Amerika Syarikat, manakala cecair meriam air adalah jenis SC Liquid Jenama IDC System AG buatan Switzerland.

Sehubungan itu, katanya, polis tidak akan teragak-agak mencadangkan tindakan di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan sekiranya siasatan mendapati aduan tidak benar, dan dibuat dengan niat buruk.


Bourdon: Majlis Peguam pertikai langkah kerajaan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Majlis Peguam Malaysia mempertikaikan tindakan Jabatan Imigrasen menangkap dan menghantar pulang peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon baru-baru ini.

Presidennya, Lim Chee Wee dalam satu kenyataan medianya berkata, alasan jabatan itu kononnya peguam itu melanggar peraturan lawatannya ke Malaysia tidak boleh diterima dan tidak mencukupi.

Beliau mengulas tindakan pegawai Jabatan Imigrasen yang menaiki pesawat yang membawa Bourdon dari Pulau Pinang di KLIA Jumaat lepas dan mengiringinya ke pajabat jabatan itu.

Ketika itu, Bourdon bersama pengiringnya iaitu seorang pegawai Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cythia Gibrel, dan isterinya dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas memberikan ucapannya dalam satu majlis di sana.

Bourdon dijadualkan memberikan ucapan di majlis kutipan dana untuk membiayai tindakan Suaram yang membuka satu kes penyiasatan ekoran dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis.

Bourdon adalah salah seorang peguam yang mewakili Suaram. Beliau dijadual berucap di Dewan Sivik MPPJ dan Ipoh keesokan harinya.

Tindakan kerajaan ini, kata Lim Chee Wee, menyebabkan rakyat membuat kesimpulan bahawa ia dilakukan ekoran ucapannya di Pulau Pinang sebelum itu, berkaitan dengan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam dari syarikat Perancis.

"Majlis Peguam Malaysia menuntut kerajaan Malaysia memberikan alasan yang munasabah secara terbuka ekoran tindakan menghantar pulang peguam Perancis itu untuk menghilangkan keraguan terhadap kes penangkapan dan penghantaran pulang ini.

"Kejadian ini memberikan satu lagi kesan negatif kepada nama Malaysia dalam hak asasi manusia yang melibatkan rakyat asing," kata Lim Chee Wee lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan