Khamis, 21 Julai 2011

JIKA BENAR....DAN ALLAH TUNJUK...KITA TAK MAMPU MEBANTAH KUASA ALLAH...OLEH ITU JANGAN TAKBUR SERTA BUAT KEZALIMAN

Peguam Perancis bakal dedah pembunuhan Altantuya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon, dijangka menghangatkan lagi politik Malaysia apabila beliau akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bermula malam esok di Pulau Pinang.

Bourdon, peguam Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu di sebuah hotel malam esok di Pulau Pinang.

Keesokan harinya pula, Jumaat mulai jam 8 malam, beliau dengan disertai sama oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, akan berucap di majlis kutipan dana untuk membiayai kes ini di Dewan Sivik MPPJ, Petaling Jaya.

Hari Sabtu pula, Bourdon akan ke Ipoh dan akan berucap di satu majlis forum di sebuah tokong Cina di sana.

Bourdon dijangka akan mendedahkan maklumat terkini perkembangan siasatan mahkamah Perancis terhadap pembelian Scorpene itu.

Kedua-dua kapal kapal selam ini yang melibatkan wang rakyat sebanyak RM7.3 bilion dinamakan KD Tuanku Abdul Rahman dan KD Tun Razak. Kedua-duanya mempunyai masalah tersendiri termasuk tidak boleh menyelam di lautan tropika.

Pada 23 Disember 2009, Suaram melalui rangkaian mereka di Perancis telah melantik sekumpulan peguam hak asasi manusia di sana untuk memfailkan aduan kepada sistem keadilan Perancis dengan harapan satu siasatan awal dibuat mengenai pembelian Scorpene ini.

Langkah ini dibuat untuk membolehkan mereka menyiasat bukan sahaja kematian wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu yang dibunuh dengan kejam di Puncak Alam tetapi juga amalan rasuah yang berlaku dan peranannya dalam pembelian kapal selam itu sehingga membawa kepada pembunuhannya.

Altantuya mati dibunuh dengan kejam mengguna peledak C4 oleh dua pegawai polis pengiring yang bertugas dengan Datuk Seri Najib. Razak juga didakwa tetapi terlepas.

Pada bulan April 2010, peguam yang mewakili Suaram memaklumkan, mahkamah Perancis telah menerima permohonan penyiasatan aduan rasuah yang melibatkan pembayaran sebanyak Euro114 juta (USD151.1 juta) yang dibayar oleh syarikat Perancis, DCNS kepada Perimekar, syarikat yang dimiliki rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Peguam Perancis berkenaan telah datang ke Malaysia April lepas untuk mengumpulkan bukti.

Perimekar adalah syarikat Malaysia yang dipercayai dibuka pada tahun 2001, iaitu sebelum kontrak pembelian kapal selam itu ditandatangani. Ia dibuka hanya untuk menerima komisyen dari Malaysia dan juga Perancis.

Isteri kepada Abdul Razak Baginda, Mazlinda, adalah antara yang tersenarai sebagai pengarah syarikat yang dimiliki kawan baik Perdana Menteri ini.

Baru-baru ini, menurut pasukan peguam Perancis ini, wang dari dalam akaun Perimekar telah dipindah ke akaun lain yang tidak diketahui ke mana lagi sehingga kini.

Malam esok, Bourdon (gambar) dijangka akan memaklumkan kepada rakyat Malaysia apakah status kes ini sekarang.

Menurut sumber Suaram ketika dihubungi Harakahdaily, kes ini dijangka akan dibawa ke mahkamah terbuka Perancis seawalnya bulan Ogos tahun ini.

"Ia bergantung kepada majlis kutipan dana untuk membiaya kes ini beberapa malam ini," kata pegawai Suaram ketika dihubungi.

Mohamad Sabu dijadualkan akan turut berucap di Pulau Pinang malam esok tetapi oleh kerana lutut beliau yang dibedah masih belum sembuh sepenuhnya, dia hanya akan menyetai majlis Jumaat ini di Dewan Sivik MPPJ.

Lutut Mohamad cedera apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah land rover polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu di ibunegara. Rempuhan ini menyebabkan beliau jatuh dan lututnya cedera.

Beliau menjalani pembedahan ke atas ligamen lututnya yang koyak semasa insiden itu dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar di Shah Alam.

“Saya keluar hospital semalam. Doktor telah menanam 2 1/2 skru disebabkan ligamen saya yang terkoyak. Saya masih sakit dan tidak boleh berjalan….tapi keadaan saya beransur pulih,” kata Mohamad.

Di samping Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga akan berucap di samping kartunis Zunar akan membuat lakaran kartun secara langsung malam itu.

"Semua kutipan dari jualan meja dan lelongan kartun ini adalah untuk membiayai kes ini," kata wakil Suaran itu.


Ibrahim sendiri cadang Anugerah Ibrahim Ali

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Selepas ditertawakan pelbagai lapisan rakyat, Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Sahol Hamid Abu Bakar hari ini memperjelaskan status kedudukan Anugerah Ibrahim Ali yang tertera di laman web Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM semalam.

Menurut beliau, anugerah tersebut dicadangkan oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sendiri tetapi menegaskan bahawa sebelum anugerah boleh diberi, ia perlu dibawa ke Senat dan Lembaga Pengarah UiTM untuk kelulusan.

“UiTM tidak pilih nama atau buat sebarang cadangan anugerah tersebut. Cadangkan itu datang dari Datuk Ibrahim Ali sendiri. Saya hanya minta dibawa ke Senat untuk keputusan. Kalau setuju, baru bawa untuk endorsement lembaga.

"Proses bukan muda dan mengambil masa di senate - ada 60 org professor ,dekan-dekan dan rektor-rektor kampus. Masing-masing bertindak secara individu. Tidak boleh lobby. Satu badan yang kuat dan independent di UiTM,” terang beliau di laman Facebook beliau.

Semalam, IMPAK menyiarkan info mengenai bahawa pecalonan untuk Anugerah Ibrahim Ali, yang menawarkan RM5,000 sebagai ganjaran yang ditaja Ibrahim sendiri telah dibuka kepada pelajar UiTM.

Anugerah Ibrahim Ali dikatakan untuk dianugerahkan kepada mereka yang menunjukkan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu.

Berita yang awal diledakkan di laman web Malaysiakini telah menerima pelbagai reaksi yang berbentuk sindiran dan kritikan kepada anugerah tersebut.

Antara yang memberikan pandangan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga bekas pensyarah di UiTM, yang memberikan prediksi bahawa anugerah berkenaan akan terkubur kerana Ibrahim bukan orang yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

“Nama pemimpin lain lebih berhak. Arsyad Ayub, Ani Arope, Ishak Mohamad, Dr Awang Had Salleh, dan (bekas naib canselor UiTM) Ibrahim Abu Shah akan tersenyum bila mengetahui ada anugerah dinamakan atas nama Ibrahim Ali!

“Penerima anugerah mesti berbangga dengan anugerah mereka. Jika sesuatu anugerah itu hanya mendatangkan cemuhan dan menjadi stigma kepada penerimanya, saya pasti anugerah itu akan gagal,” katanya.

Namun begitu, dalam penjelasan Sahol hari ini, beliau seolah-olah mempersalahkan IMPAK yang terlebih dahulu mengumumkan perkara ini, walaupun ia masih di peringkat cadangan.

“Namun, terlepas pandang kerana ada jabatan yang buat hebahan web. UiTM prihatin tentang keadaan semasa dan tidak akan terima anugerah tersebut tanpa kelulusan Senat dan Lembaga Pengarah.

“Dengan penjelasan ini, saya berharap isu ini tidak akan dibesarkan lagi,” katanya.

Semakan Harakahdaily sebentar tadi turut mendapat laman web IMPAK telah mengeluarkan butiran mengenai Anugerah Ibrahim Ali.


Dr Atory jadi pengampu kelas pertama
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Hairan bin ajaib, bagaimana seorang yang bergelar profesor, tiba-tiba menyuruh kerajaan mengambil tindakan kepada portal berita The Malaysian Insider kononnya pemberitaannya memberi kesan buruk kepada keselamatan dan keamanan negara.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata cadangan Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain ditertawakan oleh mereka yang belajar di sekolah atap.

“Sebenarnya yang tergugat ialah kerajaan BN, bukannya keamanan negara,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Soalnya, mengapa perlu takut dengan media baru kerana bukankah Umno memiliki media gergasi yang dapat dipancar ke setiap pelosok kampung.

Katanya, memang sahlah parti yang didukung Ahmad Atory sudah hendak menghembus nafas terakhir, sehingga takut keburukan parti Umno diketahui oleh rakyat.

Menurutnya, Atory merupakan pensyarah Universiti Sains Malaysia yang memang terkenal sebagai penyokong Umno tegar telah mencadangkan perkara tersebut, kerana resah dengan maklumat yang diberikan oleh The Malaysian Insider dan media alternatif lain.

Beliau berkata, jika benar laporan media alternatif itu bahaya dan menyalahi etika media, kerajaan boleh bertindak melalui Akta Hasutan bukannya menerima cadangan Atory.

Idris menambah, sepatutnya yang perlu takut kepada media alternatif ialah Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah, bukannya Atory.

Soalnya, tidak cukup lagikah dengan gaji sebagai seorang profesor sehingga sanggup menjadi pengampu kelas pertama.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kualiti graduan yang beliau ajar jika beliau yang berfikiran sempit dan tidak memahami bahawa sekarang langit sudah terbuka. Inilah nasib seorang Profesor jika taksub dengan Umno sehingga hilang rasional apabila memberi pandangan,” ujarnya lagi.


Bersih: Lagi pemuda dedah jadi mangsa polis

Khairil Abdul Rahim

BANDAR JENGKA, 20 Julai: Seorang lagi peserta himpunan Bersih 2.0 tampil mendakwa dikasari tidak kurang 20 orang anggota polis walaupun selepas bersurai.

Badrul Hisham Abdul Halim, 26, dari Felda Jengka 19 dekat sini, berkata beliau dibelasah ketika melalui tangga OCBC Bank dalam perjalanan ke stesen LRT untuk pulang.

“Saya menyertai perhimpunan Bersih di Pasar Seni bersama kira-kira 5,000 yang lain. Kira-kira pukul 4.30 petang perhimpunan bersurai setelah diarahkan polis dan saya berjalan mencari stesen LRT yang beroperasi untuk pulang ke Pahang,” katanya ketika bercerita kepada Harakahdaily.

Tambahnya, semasa perjalanan pulang itu beliau memang memegang baju kuning Bersih di tangan dan sedar terpaksa melalui deretan polis di tepi jalan.

“Polis yang berada di tepi jalan telah memanggil saya lalu meminta baju berkenaan. Saya enggan menyerahkannya lalu mereka rentap dan rampas kemudian mereka mengkasari saya.

“Seingat saya polis bernama Azrin dan seorang lagi bernama Hafizul mengheret saya sambil mencengkam kolar baju. Kemudian mereka gari saya dan heret sejauh kira-kira 200 meter ke Dataran DBKL. Saya ingat betul pada masa itu tak kurang daripada 20 orang polis berseragam membelasah sambil memaki hamun saya sebagai samseng.

“Mereka pukul saya dengan berselindung di sebalik trak polis. Saya langsung tak melawan kerana digari dan mereka hanya berhenti apabila tiba di Dataran DBKL. Selepas berada di situ selama setengah jam, saya dinaikkan ke dalam trak dan dihantar ke Pulapol. Di situ baru gari dibuka dan dibebaskan sejam kemudian,” ujarnya.

Badrul yang mengusahakan ladang bapanya sendiri, berkata pada ketika itulah baru dia sedar di sebelah mata kanannya lebam dan berdarah, kepala bengkak serta tulang betisnya amat sakit akibat disepak.

“Dari Pulapol saya kemudiannya polis hantar ke stesen LRT Dang Wangi untuk meneruskan perjalanan pulang ke Pahang,” katanya.

Bagi Badrul, ini merupakan pengalaman pertama menyertai himpunan seperti itu dan tidak sangka sudah menjadi belasahan polis.

Katanya, beliau pergi kerana gambaran awalnya perhimpunan aman dan merasa tidak takut kerana selama ini mengganggap polis adalah sebagai pelindung dan pemelihara undang-undang.

“Tapi dengan layanan sebegitu saya terperanjat. Saya sanggup tampil jika ada yang mahu menyiasat. Saya juga akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Juham kaji tindakan keganasan polis pada Tiong Huat
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengkaji setiap sudut berkaitan keganasan pihak polis terhadap seorang lelaki berketurunan Cina dari Sarawak, Hii Tiong Huat, 59, yang ditahan polis sempena perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Sepanjang berada dalam tahanan polis, Hii Tiong Huat didakwa telah dikasari oleh pihak polis dengan pelbagai perlakuan yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan beliau pengsan.

Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi menjelaskan, kajian tersebut akan dibuat bersama laporan-laporan lain bagi membolehkan Juham mengambil tindakan lebih lanjut berhubung keganasan pihak polis.

Menurut beliau, ia juga adalah lanjutan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyarankan agar setiap pihak yang menjadi mangsa keganasan polis tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan masing-masing.

Katanya, kes yang berlaku ke atas Tiong Huat ternyata merupakan sebahagian daripada keganasan polis terhadap orang awam, khususnya para peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

"Tindakan keganasan polis terhadap Tiong Huat sememangnya tidak boleh dinafikan lagi oleh setiap pihak, malah Tiong Huat sendiri telah pun membuat laporan polis akibat keganasan polis yang berlaku ke atas beliau," katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tiong Huat, menurut beliau, bukan ditahan pada hari perhimpunan, malah sehari sebelum perhimpunan itu diadakan hanya disebabkan beliau memakai baju kuning, tetapi bukan baju kuning Bersih 2.0.

"Beliau ditahan di Balai Polis Dang Wangi. Ketika ditahan di Dang Wangi, beliau telah dipukul oleh pihak polis. Selepas itu, beliau ditahan reman pula selama 4 hari di Pusat Tahanan Bukit Jalil.

"Semasa ditahan di Pusat Tahanan Bukit Jalil, Tiong Huat dipukul lagi sehingga pengsan, manakala wangnya pula turut hilang ketika berada dalam tahanan polis," katanya.

Akibatnya, jelasnya, Tiong Huat terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

"KDN kata polis tak ganas dalam menangani perhimpunan itu. Tapi kes yang berlaku ke atas Tiong Huat itu, belum berhimpun pun dah ditangkap dan dikasari pula oleh pihak polis.

"Pada hal sebelum itu, pihak polis juga berkata, tidak salah pakai baju kuning, tetapi yang salah hanya pakai baju kuning Bersih 2.0. Tiong Huat pula tak pakai baju kuning Bersih 2.0. Dia hanya memakai baju kuning. Kenapa dia ditangkap?

"Selain itu, Tiong Huat ternyata dikasari oleh pihak polis semasa berada dalam tahanan polis. Dia dipukul, ditampar di muka, ditendang, malah sehingga pengsan. Tidakkah semua yang berlaku ke atas Tiong Huat itu antara bukti nyata keganasan pihak polis?" katanya.

Sementara itu, Hii Tiong Huat ketika ditemui menjelaskan, laporan berhubung keganasan pihak polis terhadap beliau telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi, Cheras pada 13 Julai lalu jam 1.28 tengah hari.

Dalam laporan itu, beliau berkata, pada jam 3.00 petang 9 Julai lalu, beliau telah dimasukkan ke Pusat Tahanan Bukit Jalil, Kuala Lumpur kerana memakai baju kuning, setelah ditangkap pada 8 Julai di Petaling Street, di sini.

Menurutnya, semasa proses tukar baju di Pusat Tahanan Bukit Jalil, seorang anggota polis dengan kasar telah menyuruh beliau memasukkan seluar dan barang-barangnya ke dalam beg plastik yang dibekalkan kepadanya.

Katanya, beliau ingin senarai barang-barangnya direkodkan, tetapi anggota polis yang bertugas dengan marah mengatakan kepada beliau supaya jangan bising dan telah menampar mukanya beberapa kali sehingga cermin matanya rosak dan beliau tidak sedarkan diri.

"Kemudian saya telah memasukkan seluar saya yang berisi duit lebih kurang RM300.00, jam tangan, rantai jed, buku kecil dan seluar dalam ke tempat simpanan.

"Selepas itu, saya dimasukkan ke blok A Pusat Tahanan Bukit Jalil, tetapi saya tidak dapat tidur semasa berada di Pusat Tahanan Bukit Jalil kerana ada orang yang ditempatkan dalam sel lokap saya 15 orang, manakala kelulasan sel lokap pada andaian saya hanya 18 kaki panjang," katanya.

Ketika dalam tahanan di pusat tahanan itu, dakwanya, beliau tidak dibekalkan dengan berus gigi, kain tuala, makan tidak cukup dan tiada sabun badan.

"Pada jam 11.00 pagi 12 Julai, saya dibawa ke IPD Dang Wangi dan dibebaskan pada jam 6.00 petang 12 Julai. Pada jam 11.00 pagi 13 Julai, saya datang semula ke Pusat Tahanan Bukit Jalil untuk mendapatkan kembali barang-barang saya.

"Tetapi saya dapati wang yang disimpan di dalam poket seluar saya hanya tinggal RM172.00 bersama barang-barang saya yang lain yang berada di dalam beg plastik yang disimpan di Pusat Tahanan Bukit Jalil.

"Saya percaya duit saya telah diambil oleh anggota polis yang menampar saya pada hari saya dimasukkan ke Pusat Tahanan Bukit Jalil kerana anggota polis tersebut tidak merekodkan duit dan barang-barang saya yang disimpan dan saya cam anggota polis tersebut.

"Dengan ini, saya tidak puas hati dan mahu pihak polis menjalankan siasatan," katanya.


Juham yakin tiada kes disabitkan himpunan GMI
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Perbicaraan kes 29 tahanan membabitkan perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 lalu telah sampai ke penghujung, apabila saksi pihak pendakwaan terakhir selesai memberikan keterangannya di Mahkamah Sesyen Jenayah, di sini, hari ini.

Penggulungan hujah bagi pihak pendakwa dan peguambela telah ditetapkan pada 23 September ini, sebelum mahkamah membuat keputusan mengenainya.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi menjelaskan, sehingga hari ini seramai 23 saksi pihak pendakwa telah dipanggil oleh mahkamah untuk memberikan keterangan masing-masing.

Menurut beliau, berdasarkan keterangan kesemua saksi pendakwa, Juham yakin tidak terdapat kes yang boleh disabitkan dengan kesalahan yang didakwa oleh pihak pendakwa terhadap kesemua tahanan tersebut.

Katanya, malah sejak kes tersebut dibicarakan, pihak pendakwa ternyata gagal mengemukakan bukti-bukti tuduhan ke atas kesemua tahanan terbabit.

"Perbicaraan kes ini dah berjalan hampir 2 tahun. Selepas penggulungan, mahkamah akan putuskan sama ada terdapat prima kes atau tidak," katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini, hari ini.

Mereka yang terbabit dalam kes tersebut, menurut beliau, berusia antara 20 hingga 30 tahun, manakala seorang daripada mereka masih di bawah umur.

Katanya, daripada jumlah itu, 13 orang adalah anggota Unit Amal yang berada di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat, manakala selebihnya kebanyakannya adalah ahli-ahli PAS termasuk dari Johor, Perak, Kelantan, Terengganu atau seluruh negara.

Kesemua mereka ditahan oleh pihak polis pada 1 Ogos 2009 lalu di sekitar Kuala Lumpur kerana terlibat dalam perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA, manakala pembelaan terhadap mereka yang berada di bawah Unit Amal dikendalikan oleh Juham yang diketuai oleh peguam Azizul Shariman bersama 7 peguam Juham lain.

Mereka yang ditahan itu, selain disabitkan dengan kesalahan menyertai perhimpunan itu turut dikaitkan dengan kesalahan menjual baju kempen Mansuhkan ISA.

Sepanjang perbicaraan, jelasnya, pihak pendakwa cuba mengaitkan Unit Amal Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai pertubuhan haram.

"Tuduhan tersebut ternyata tidak berasas kerana Unit Amal adalah pertubuhan yang sah, bukannya haram kerana ia berada di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat, manakala Dewan Pemuda PAS Pusat pula berada di bawah Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang nyata merupakan pertubuhan berdaftar dan sah dari sisi undang-undang," jelasnya.

Dengan kegagalan pihak pendakwa mengemukakan bukti-bukti tuduhannya, Juham, tegas beliau, yakin bahawa tiada kes yang boleh disabitkan dengannya, terutama jika dikaitkan Unit Amal dengan pertuhuhan haram yang ternyata tiada sebarang isu yang timbul berhubung dengannya.

KOTARAYA WALANG
Luqman Al-Haqi

Sebak hiba pemukim kota ini

semalam kota walang sunyi sepi

dari malamnya sampai pagi

banyak jalan dan lorong diawasi

Kasihan! Peniaga takut meraih rezeki

ramai soldadu menyakat sentri

gerai sorong tepi jalan, gulung tikar

gedung gudang mega, tutup kedai

Tiba-tiba sorak surai diselangi loceng gila

padah terkena semburan asap dan air berbisa

kota telah terpalit lumpur merata-rata

harmoni warga menjadi sia-sia

Apalah nasibnya negaraku

rukun dicabar pencacai bangsamu

berdiri salah, duduk pun resah

berjalan payah, berlari disergah

Apa lagi yang ada pada mereka

selain berpakat, bersuara merdeka

Luqman Al-Haqi
Selayang Baru
10 Julai 2011


Polis tembak gas secara sejajar membahayakan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Pengawal peribadi Ketua Pembangkang, Fayyadh Afiq Al-Bakri hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan polis melepaskan gas pemedih mata di terowong KL Sentral sewaktu perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lau.

Pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pecah tulang pipi sebelah kiri akibat terkena kanister gas pemedih mata yang dilepaskan pihak polis.

Fayyad, 25 terpaksa menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Pantai pada 11 Julai lalu bagi meletakkan plat titanum bagi menggantikan tulang pipinya.

Pada hari tersebut, beliau cuba melindungi Anwar daripada terkena kanister itu dengan menolak Anwar ke tepi sehingga ianya terkena pipi kirinya.

"Saya menuntut siasatan segera, adil dan bebas mengenai serangan ke atas saya, Datuk Seri Anwar dan kumpulan tersebut.

"Saya percaya tindakan polis menembak secara sejajar ke dalam terowong adalah salah dan amat membahayakan saya dan semua yang berada di situ," katanya dalam laporan tersebut.

Beliau ditemani peguam R. Sivarasa (ahli Parlimen Subang), N. Surendran (Naib Presiden PKR), Latheefa Koya (Ketua Penerangan PKR), dan Fadiah Nadwa Fikri (Lawyer For Liberty).

Beliau juga meminta tindakan pendakwaan dilakukan ke atas semua anggota polis yang didapati bertanggungjawab.

"Setelah insiden ini berlaku saya mendapat tahu bahawa pegawai yang memberi arahan menembak adalah Wan Bari dan saya telah melihat video di mana saya melihat hampir dua belas das tembakan gas pemedih mata dilepaskan ke dalam terowong," katanya.

Fayyad yang berkaca mata hitam bagaimanapun tidak bercakap kepada media selepas laporan itu dibuat sebaliknya hanya N Surendran dan Sivarasa yang membuat penjelasan.

Latheefa Koya berkata Fayyad masih dalam keadaan trauma dan matanya masih berair.

N Surendran berkata, tindakan polis itu jelas melanggar undang-undang kerana melepaskan gas secara berlebihan di dalam terowong.

"Tindakan polis itu ternyata salah sebab mengikut undang tak boleh lepaskan gas pemedih mata dalam terowong kerana asap yang terkumpul akan menjadi tebal dan membahayakan orang ramai," katanya.

Tambahnya jika Fayyad tidak bertindak cepat, sudah tentu kanister itu akan mengenai tepat ke arah Anwar.

Anwar turut cedera di kepala dan lutut dan dikejarkan ke Hospital Pantai.

Turut mengalami kecederaan akibat terkena kanister gas pemedah mata yang dilepaskan secara rambang ialah ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menerima enam jahitan di kepala.




Undian tajuk PAS Jawab SPR
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Mulai hari ini, undian dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah wajarkah perkataan ‘PAS Jawab SPR’ digunakan sebagai tajuk berita utama berikutan kenyataan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR lebih banyak memihak kepada UMNO-BN sedangkan badan tersebut sepatutnya bebas dari pengaruh mana-mana parti politik.

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Sejauh mana popularnya tajuk ini digunakan sebagai tajuk utama akhbar Harakah akan dilihat dalam tempoh dua hari lagi, manakala pada hari Sabtu nanti, kita akan mengundi tajuk lain pula.

Untuk membuat undian tinjauan@harakah, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Keputusan undian bagi tajuk Harakah sebelum ini, ‘Memang Kejam’ berada pada tahap yang tunggi, iaitu 95.73 peratus atau 673 daripada 703 undian bersetuju dengan tajuk tersebut.

Terdapat 23 undian (3.27%) yang tidak bersetuju dan juga 7 undian (1%) yang berkecuali.

Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan juga undian-undian yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan