Selasa, 26 Julai 2011

MENANG BOLEH...MENANG DENGAN BERMARUAH.....AGAR ELAUN TIDAK HARAM...TINGGALKAN MENGELAT...MENIPU SERTA HELAH2 TAK BERPELAJARAN...DAN TAK BERMORAL

IC klon ancam keselamatan negara
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini membuat laporan polis berhubung pendedahan terdapat rakyat negara ini yang mempunyai dua kad pengenalan berbeza.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil kira-kira jam 11 pagi tadi.

Turut serta, penolong setiausaha, Kamaruzaman Mohamad, Pengarah Pilihan Raya, Mohd Sany Hamzan dan Exco, Suhaizan Kaiat.

Pada sidang media selepas itu, Khairul Faizi memberitahu kewujudan dua kad pengenalan pada seorang individu itu bukan sahaja akan membolehkan individu tersebut mengundi dua kali, malah boleh mengancam keselamatan negara.

"Kita nak polis buat siasatan benar atau tidak, berlaku pemberian dua kad pengenalan kepada seorang individu.

"Sekiranya benar berlaku kita nak pihak polis ambil tindakan kepada pegawai JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) ke yang terlibat melakukan penyelewengan ini," katanya.

Laporan polis itu adalah merujuk kepada dua kes yang berlaku melibatkan individu bernama Mariam Binti Su dan Murugan A/L Subramaniam yang disemak melalui web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mariam memiliki dua kad pengenalan baru berbeza iaitu bernombor 720616025472 dan 720610025738, tetapi mempunyai no kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510.

Sehubungan itu beliau mempunyai dua hak mengundi iaitu di Dun Kuala Ketil, Parlimen Baling.

Dua nombor kad pengenalan baru Murugan pula adalah 731002025877 dan 731002025201 yang juga mempunyai dua kali hak mengundi.

Kes tersebut dedahkan Suhaizan dan mendapat respon daripada Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar seperti disiar oleh akhbar The Star bertarikh 24 Julai 2011 dengan tajuk EC: Help us purge 'clones' from electoral roll.

Wan Ahmad antara lain menyatakan bahawa pengundi hantu benar-benar wujud dalam daftar pemilih SPR dan meminta parti politik dan individu tertentu tampil memberi maklumat kepada SPR untuk membersihkan daftar pemilih.

Suhaizan dalam pada itu berkata, beliau yakin kes itu berlaku akibat kecuaian JPN itu sendiri yang telah mengeluarkan dua kad pengenalan baru daripada satu kad pengenalan lama.

Akibat dari itu katanya, SPR menerima data yang salah dari JPN sekaligus membenarkan seorang pemilih mempunyai hak mengundi lebih daripada sekali.

"Sebab itu saya kata pilihan raya di Malaysia ini ruang manipulasi terlalu banyak dan ianya mudah digunakan oleh mereka yang berkepentingan untuk memenangi pilihan raya," katanya.

Biometrik tak atasi undi lebih sekali

Mengulas penggunaan sistem biometrik oleh SPR pada pilihan raya akan datang, Suhaizan dengan tegas berkata ianya tidak praktikal buat masa ini.

Ia kerana memerlukan SPR membersihkan pengkalan data terlebih dahulu agar tidak diragui sebelum dilaksanakan.

Ianya juga perlu kepada pengkala data sepusat agar semua tempat mengundi boleh mengakses pengkalan data pusat untuk mengesan sebarang pertindihan.

Sekiranya tiada pengkalan data sepusat, ianya akan mendedahkan kepada manipulasi pihak tertentu.

"Macam Mariam Binti Su, dia ada dua kad pengenalan. Maknanya dia boleh mengundi di dua tempat, dan melalui biometrik, Mariam Binti Su ini boleh mengundi di kedua dua tempat itu kerana mempunyai kad pengenalan yang sah," katanya.


Majlis Perundingan Media, satu lagi lapisan kawalan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Langkah kerajaan memperkenalkan Majlis Perundingan Media (MPM) ditolak oleh Pusat Kewartawanan Bebas - CIJ - dan menyifatkan ianya sebagai satu lagi lapisan yang cuba mengawal media di negara ini.

Sehubungan itu, mereka menamakan badan ini sebagai 'Majlis Propaganda Media'.

"Cadangan penubuhan majlis perundingan media tidak akan mengusahakan agar media dibebaskan, beretika dan telus tetapi akan membuat media kita berundur ke belakang.

"Jika rujukan dan termanya dikekalkan, ia lebih sesuai dinamakan Majlis Propanda Media," kata Masjaliza Hamzah, Pegawai Eksekutif CIJ.

Semalam, beberapa editor kanan media tradisional juga menolak cadangan ini apabila mesyuarat pertama mengenainya diadakan tanpa mendapat sambutan dari media tradisional sendiri.

Seorang daripadanya, Datuk Nuraina Samad berkata beliau serta beberapa orang pengarang lain membantah cadangan berkenaan kerana ia dilihat sebagai satu lagi bentuk kawalan ke atas akhbar.

"Mereka kata ianya majlis perundingan tapi sebenarnya majlis ini hanyalah satu lagi bentuk kawalan," kata editor pengurusan dan penulis blog itu.

Media hari ini sudah terlalu sendat dengan soal kewibawaan dan undang-undang sedia ada seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang mengawalnya, katanya sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

"Walaupun kebebasan media diletakkan sebagai salah satu objektifnya, ini satu lip servis sahaja kerana ia hanya bergerak dalam kerangka undang-undang yang ada bukannya untuk kepentingan media," kata Masjaliza.

Antara undang-undang yang mengekang kebebasan media di negara ini adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bagi beliau, walaupun kerajaan mengharapkan majlis ini menjalinkan hubungan baik antara kerajaan dengan media, namun kehadiran undang-undang mesin cetak misalnya akan terus menjadikannya alat kerajaan mengugut media.

"Selagi undang-undang itu masih ada, sebarang forum atau majlis yang melibatkan kerajaan tidak akan adil kerana semuanya akan datang dari kerajaan. Kerajaan juga selalu mengawalnya melalui panggilan telefon, surat tunjuk sebab atau memanggil editor ke Kementerian Dalam Negeri untuk berbual," katanya lagi.

Cadangan kerajaan agar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di samping Menteri Dalam Negeri menjadi pengerusi bersama di samping ketua setiausaha masing-masing menjadi timbalan pengerusi membuktikan keinginan kerajaan untuk kekal berkuasa.

"Jika kerajaan yang ada serius dalam membebaskan media, undang-undang yang mengongkong ini harus dibubarkan dan biarkan media mengawal diri mereka sendiri dengan panduan dari masyarakat untuk kepentingan umum," tambah Majliza.

Selain dari itu, bagi memastikan media mendapat maklumat yang adil dan tepat, kerajaan sepatutnya mewujudkan suasana yang telus dan baik dipihaknya.

Kerajaan juga, katanya, hendaklah sentiasa bersedia untuk memberikan maklumat kepada media bukannya sentiasa menjadikan ianya rahsia kerajaan.


Najib takut Bourdan, rakyat makin curiga
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Ketakutan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kehadiran peguam Perancis, William Bourdon yang berusaha membongkar skandal pembelian Scorpene menguatkan lagi kecurigaan rakyat, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar).

"Bila Najib nampak sangat begitu takut dengan kehadiran Bourdon sehingga ke peringkat membatalkan lawatan dan percutiannya di luar negara, kelakuannya itu menguatkan lagi kecurigaan rakyat terhadap penyelewengan dalam pembelian Scorpene dan kaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Tidak timbul sebarang tuduhan terhadap Najib, tetapi kelakuannya yang memaksa rakyat merasa curiga.

"Ketakutan Najib yang begitu ketara terhadap kehadiran Bourdon ke negara ini menguatkan lagi sangkaan dan keraguan rakyat terhadapnya," kata beliau.

Mohamad juga mempersoalkan, jika tidak bersalah, tidak menipu, tidak berdusta dan tidak berlakon seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku, mengapa amat ketara ketakutan Najib dan kelakuannya pula yang amat mencurigakan.

"Adakah Najib takut ada orang dalam di dalam Umno sendiri yang akan menggunakan kehadiran Bourdon untuk menamatkan segala peluang, kenikmatan dan faedah yang dikecapinya sebagai Perdana Menteri?

"Nasib baik Najib boleh menggunakan kuasa eksekutifnya sebagai Perdana Menteri ketika bencana besar mungkin menimpanya dengan kehadiran Bourdon," kata beliau.

Mohamad juga menyifatkan tindak-tanduk beberapa kerat konco Najib yang seolah-olah bersedia menghadapi pilihan raya untuk mewajarkan tindakannya yang pulang tergesa-gesa sebagai melucukan.

"Bagus juga kalau Najib bubarkan dewan dan mengadakan pilihan raya. Kesan kemarahan sebahagian besar rakyat akibat pelbagai penipuan dan kekejaman Umno dan perkakasnya dalam menghadapi tuntutan rakyat yang sah melalui Bersih masih lagi membara.

"Lebih dari itu, Bourdon yang dihalau keluar dari negara ini akibat ketakutan Najib kini seperti harimau terluka dan akan bertindak balas.

"Kita yakin dia akan membongkar banyak perkara lagi mengenai skandal pembelian Scorpene dan pembunuhan Altantuya," katanya.

Mohamad seterusnya berkata, "Seronok juga kita hendak melihat bagaimana Najib dan beberapa kerat penyokongnya di dalam Umno menghadapi semua itu dalam musim pilihan raya".

Ibarat tembak lalat dengan peluru berpandu
Ahmad Danial

AYER KEROH, 26 Julai: "Lain diminta lain diberi, ibarat menembak lalat dengan peluru berpandu,” kata Pengarah Pilihan raya PAS Negeri Melaka, Bahiki Ismail (gambar).

Katanya, itulah perumpamaan yang sesuai diberikan kepada tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menggunakan kaedah biometrik dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga kesal dengan sikap SPR yang disifatkan tidak peka dan sensitif dengan kehendak rakyat yang mahukan pilihanraya bersih dan telus dengan kaedah yang terbukti berkesan.

"Memang SPR sebenarnya sengaja tidak mahu menggunakan kaedah yang jauh lebih murah dan berkesan untuk mengelakkan seseorang mengundi 2 kali dan penipuan lain," ujarnya.

Beliau berkata, rakyat hanya mahu memastikan seseorang itu tidak mengundi 2 kali, maka seseorang itu telah mengundi dan tangannya dicelup dalam dakwat sudah pasti dia tidak boleh mengundi kali kedua kerana sudah ada kesan di tangan.

Tetapi, ujarnya jika kaedah biometrik dipakai, maka sudah pasti seseorang itu boleh mengundi lebih dari sekali jika namanya ada di beberapa tempat yang berlainan seperti yang dibuktikan oleh banyak pihak sebelum ini.

"Seseorang itu juga boleh mengundi banyak kali jika dia mempunyai Kad Pengenalan sah yang banyak. Ini kerana biometrik boleh memastikan bahawa dia adalah pemegang Kad Pengenalan yang sah berpandukan cop ibu jari dalam biometrik walaupun gambarnya tidak sama dengan tuannya," ujarnya.

Menurutnya, sememangnya banyak cara dan kaedah untuk menipu jika kaedah biometrik digunakan asalkan pemegang Kad Pengenalan itu mempunyainya yang menggunakan data ibu jari dia sendiri.

"Sudah banyak isu dan dakwaan yang kita dengar di mana pendatang asing di beri Kad Pengenalan dengan mudah. Selain itu sudah banyak tangkapan dibuat ke atas pegawai yang terlibat dengan pemberian kad pengenalan," ujarnya.

Ini, katanya bermakna sememangnya wujud kes di mana Kad Pengenalan yang mempunyai sistem pengenalan biometrik itu diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki, lebih-lebih lagi jika ia direstui oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata tuntuan Bersih 2.0 tentang penggunaan dakwat kekal sememangnya relevan dan praktikal dan tidak memerlukan kos yang tinggi dan prasarana yang canggih.

"SPR dan kerajaan jangan buat-buat tidak faham akan perkara ini," tegasnya.


Biometrik dibantah, boleh lahirkan kekecohan
Khaulah Azwar

GOMBAK, 26 Julai : Tinjauan yang dibuat Harakahdaily mendapati, orang ramai tidak berapa setuju dengan sistem biometrik untuk pilihan raya akan datang kerana ia akan menimbulkan pelbagai masalah berdasarkan pengalaman penggunaan sistem itu sekarang.

Oleh itu, bagi mereka, penggunaan dakwat pada jari adalah yang terbaik dan telus untuk mempastikan tidak ada pengundian berganda dalam pilihan raya umum nanti.

Bagi mereka, sistem ini canggih tetapi siapakah yang boleh menjamin ketelusannya kerana ia tidak boleh disahkan oleh rakyat biasa dan menghasilkan keraguan.

"Bukan rakyat tidak tahu (Datuk Seri) Najib yang terkenal dengan sikap penipunya, hari ini cakap begitu esok lusa di pusingkan faktanya, rakyat di tipu hidup-hidup," kata Ketua Kampung Changkat, Gombak, Zainal Abidin Abu Bakar. (gambar)

"Sudah pasti semua ada muslihat yang telah dirancang lama oleh Kerajaan dengan mendapat kerjasama SPR," katanya ketika di temui di Taman Gombak.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mengkaji sahaja permohonan Bersih 2.0 melalui tuntutan lapan perkara yang mereka kemukakan melalui memorandum.

“Salah satu dari lapan perkara yang dituntut oleh rakyat dalam himpunan Bersih 2.0 yang lalu adalah menggunakan dakwat kekal bukan sistem biometrik. Ini memberi maksud kerajaan memperlekehkan suara rakyat.

“Mengapa susah sangat kerajaan dan SPR untuk memenuhi permintaan himpunan Bersih 2.0 dengan menggunakan dakwat kekal?" tanya beliau.

Bagi beliau, pemimpin Umno bimbang akan kehilangan kuasa mentadbir negara, sebab itu mereka berdolak dalih dengan mengunakan sistem biometrik yang tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat tetapi sebaliknya membazir wang rakyat untuk menanggung kos yang tinggi untuk membeli peralatan tersebut.

"Meskipun sistem tersebut nampak canggih tetapi ianya tidak mendatangkan manfaat bahkan saya yakin berbagai masalah boleh berlaku," kata Zainal.

Beliau juga memberikan contoh kesukaran yang bakal berlaku jika ianya digunakan nanti.

"Contohnya semasa saya bekerja di sebuah syarikat swasta sistem ini digunakan untuk kedatangan pekerja. Semua kakitangan perlu cop jari dengan menggunakan sistem biometrik tetapi terdapat kesukaran untuk membaca data dengan menggunakan cop jari lebih-lebih lagi apabila terdapat kerosakan kepada jari mereka yang bekerja kasar.

"Bagi wanita pula yang sering menggunakan kosmetik jari-jari mereka juga mengalami kerosakan dan sukar untuk dibaca oleh sistem tersebut," katanya.

Beliau juga mengungkit sistem biometrik yang digunakan di bank selalu menghadapi masalah apabila bank tidak boleh membaca cop jari dan cip pada Mykad apatah lagi apabila elektrik terputus bekalan.

"Kita tidak mahu ketika PRU13 nanti keadaan menjadi kelam - kabut akibat pengunaan sistem biometrik ini yang sekaligus akan melambatkan proses pengundian nanti. PM dan SPR sepatutnya harus memikir kesan-kesan penggunaan biometrik, adakah ia sesuai atau tidak di gunakan dalam pilihanraya umum," katanya.

Ketua Kampung Tengah, Edrus Yusof (Gambar kanan) pula berkata, sistem biometrik tidak memberi jaminan tidak wujud pengundi hantu selagi sistem SPR tidak dibersihkan dengan betul dan tulus terlebih dahulu.

Beliau juga mengungkitkan pengumuman bahawa Mykad yang masih banyak tidak diambil oleh rakyat di Jabatan Pendaftaran Negera (JPN).

"Sudah pasti Mykad tersebut boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak yang dapat akses kepadanya dalam PRU akan datang untuk memberi kemenangan kepada pihaknya," kata beliau.

Tentang kos pula, beliau mempertikaikan kenapa biometrik dipilih.

Katanya, pengalaman negara luar termasuk Kanada menyatakan untuk menggunakan kaedah biometrik dalam mengesahkan identiti pengundi semasa pilihanraya akan memerlukan kos yang amat tinggi.

"Perlu ada talian internet yang stabil di tiap tempat mengundi, perlu ada jenerator pembantu, pengimbas dan sebagainya.

"Siapakah yang akan untung besar bila semua sistem biometrik ini dilaksanakan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak? Macamana nak pastikan ada talian internet yang stabil di pedalaman Sarawak yang peti undi pun perlu diangkut guna helikopter?" soal beliau lagi.

"Kita cabar PM dan SPR jika mereka benar-benar tulus maka gunakan dakwat kekal dalam PRU ke 13. Mereka seharusnya mengambil kira suara hati rakyat dengan menggunakan dakwat kekal yang merupakan lebih berkesan, tulus dan dipercayai bukannya biometrik," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pucuk pimpinan parti politik dan semua badan NGO serta sekratariat himpunan Bersih 2.0 adakan himpunan Bersih 3.0 jika ia tidak diselesaikan.

Sementara itu, Tan Choon Yong (Gambar kiri) pula melahirkan rasa ragunya kenapa Perdana Menteri Najib terlalu bersungguh mahu laksanakan biometrik.

“Saya nampak PM Najib dan SPR bersungguh betul ingin laksana kaedah biometrik yang lebih canggih dan lebih mahal berbanding dengan celup jari menggunakan dakwat kekal yang sepatutnya lebih mudah dan murah untuk mencegah pengundi hantu. Kalau Mykad rosak macamana? Adakah kita perlu batalkan penggunaan biometrik yang dirancang oleh mereka pada saat akhir?”

Dengan segala masalah yang dijangka ini, beliau yakin pru akan datang penuh dengan kekecohan jika biometrik digunakan.

“Sedangkan kita mahukan suasana pilihanraya yang tenang, aman dan tulus tanpa diragui oleh semua rakyat," katanya ketika di temui di sini.

Saweswathy a/p Suppiah pula mempunyai alasan tersendiri untuk membantah penggunaan biometrik dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jari saya sukar untuk bergerak dan mengalami sakit kulit pada jari semenjak dua tahun yang lalu sehingga kini.

“Setiap kali saya ingin berurusan dengan bank yang menggunakan sistem biometrik memerlukan berbulang kali untuk dilakukan bacaan sistem tersebut. Jadi saya berharap pilihanraya nanti PM dan SPR dapat memikirkan masalah rakyat yang kategori OKU juga bagaimana mereka ingin buang undi jika sistem ini digunakan,” katanya ketika di temui di Hospital Kuala Lumpur yang sedang mendapatkan rawatan di sana.


Rakyat harap pada siapa untuk tegak keadilan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Kini, rakyat sedang bertanya kepada siapakah yang boleh diharapkan supaya keadilan dapat ditegakkan dalam kes seumpama mendiang Teoh Beng Hock, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, mendiang A Kugan dan yang terkini arwah Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai yang lepas.

“Nak mengadu pada pihak berkuasa, tetapi yang menyiasat juga ialah pihak berkuasa dan perkakas yang tidak berani melawannya,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim bertanya sedemikian sebagai respons kepada kegusaran dan kesedihan yang menimpa keluarga Allahyarham Baharuddin, yang sehingga kini masih tidak mengetahui bagaimana ayah mereka meninggal.

Sebelum ini, polis menegaskan bahawa Allahyarham mati akibat disebabkan serangan jantung tetapi mendakwa tiga tulang rusuk dan gigi Allahyarham yang dilaporkan patah "mungkin" disebabkan oleh rawatan kecemasan yang diberikan ke atasnya.

Namun sehingga kini, menurut anaknya Mohd Nasrul, keluarganya masih tertanya-tanya bagaimanakah polis mendapat fakta berhubung sebab kematian lelaki yang meninggal dunia semasa menyertai perhimpunan Bersih 2.0 di KLCC, Kuala Lumpur dua minggu lalu sedangkan pihak keluarga sendiri masih belum menerima laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah.

Bukan itu sahaja, dalam menguatkan hujah mereka, polis telah memaparkan gambar 'Baharuddin' memegang dadanya semasa perhimpunan Bersih 2.0 Julai 9 yang lalu.

Tuan Ibrahim berkata, rakyat kini susah hendak menerima hasil siasatan pihak berkuasa, terutamanya apabila pihak berkuasa yang menerima aduan turut terpalit dalam kes-kes tertentu untuk menghukum mereka sendiri.

“Paling hebat ditubuhkan Suruhanjaya Diraja, sekiranya satu hari nanti Suruhanjaya Diraja juga hilang kewibawaan, maka akan ditubuhkan Suruhanjaya Khas pula, lambat-laun segalanya gagal mendapat kepercayaan rakyat apabila mereka menyedari hakikat yang terang lagi bersuluh bahawa semuanya telah dicemari dengan campur tangan para pemimpin Umno dan Barisan Nasional di belakang takbir,” tegas Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Bahkan, kerajaan boleh berusaha untuk mengubah nama institusi-institusi dengan pelbagai nama sekalipun, namun Tuan Ibrahim berkata, hakikatnya semua itu hanyalah perubahan komestik kerana realitinya sistem negara telah punah kerana ia dipimpin oleh Umno Barisan Nasional yang telah punah struktur asasnya.

“Ia tidak lebih umpama bangunan yang telah dimamah anai-anai, walau kelihatan dari luarnya kukuh, sebenarnya ia hanya menunggu masa untuk rebah menyembah bumi,” sindir beliau.

Kepincangan serius ini, kata beliau menuntut sesuatu tindakan untuk dilakukan segera agar institusi-institusi yang disandar rakyat bagi menuntut keadilan dan hak mereka dapat terus diyakini.

“Untuk itu, PAS mengingatkan rakyat bahawa keadilan hanya dapat diperolehi daripada satu sistem yang adil dengan syarat sistem yang adil tersebut dilaksana oleh pimpinan yang adil.

Diharapkan rakyat sudah bersiap sedia untuk melangkah ke arah perubahan tersebut di PRU ke 13 nanti,” seru beliau.


Bersih: Geli hati Rais suruh tengok video polis
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Geli hati apabila membaca seruan Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya rakyat hanya melihat video Bersih 2.0 yang ditayang oleh Polis Diraja Malaysia.

“Selepas ini mungkin Menteri Penerangan ini akan mencadangkan rakyat Malaysia hanya membaca Utusan Malaysia sahaja, kerana akhbar lain semunya tidak benar,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Katanya, saranan Rais di zaman ini untuk memaksa rakyat hanya mempercayai apa yang disiarkan oleh PDRM dan media kerajaan, sama seperti pepatah Arab menyebut "kamu boleh paksa kuda pergi minum air, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda minum air".

“Macam mana beliau yang memegang kementerian ini tidak menyedari zaman revolusi maklumat,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, sekarang bukan zaman media yang wujud ketika beliau menjadi Timbalan Presiden Parti Semangat 46.

Sekarang, jelasnya ialah zaman lebuh raya maklumat yang begitu pantas.

Beliau berkata, tentu Rais masih ingat ketika isu tengkolok Tengku Razaleigh yang diputar belit oleh media mengatakan Tengku Razaleigh telah murtad kerana memakai lambang salib, sehingga pengundi Melayu telah menolak Parti Semangat 46 beberapa hari dalam pilihan raya tahun 1990.

Katanya lagi, zaman penipuan media yang dimonopoli oleh kerajaan BN sudah berlalu.

“Kita mengharapkan Rais Yatim juga bergerak sealiran dengan zaman sesuai dengan kementerian yang beliau ketuai.

“Jangan dikatakan orang menteri yang jaga mengenai komunikasi tidak bergerak mengikut peredaran zaman,” katanya lagi.


Biometrik untuk pastikan BN menang PRU 13
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Pemuda PAS Malaysia menolak penggunaan sistem biometrik kerana masih boleh dimanipulasi untuk mempastikan kemenangan Umno BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendirian tegas menolak penggunaan sistem biometrik ini yang pastinya masih boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempastikan kemenangan Umno BN,” kata Pengarah Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan.

Ia juga, katanya akan membabitkan kos penyelenggaraan yang tinggi yang membabitkan duit rakyat berbanding penggunaan dakwat kekal yang lebih murah, mudah dan selamat.

Justeru, Pemuda PAS menolak kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menyatakan bahawa pihak SPR akan memperkenalkan sistem biometrik untuk memantapkan lagi tahap keselamatan dalam proses pilihan raya di negara ini.

Abdul Aziz menyebut di dalam satu sidang media di Kuching bahawa perlaksanaan sistem itu diharap dapat mengatasi isu pengundi hantu yang sering dibangkitkan pihak pembangkang setiap kali menjelang musim pilihan raya umum atau kecil.

Keputusan itu diambil apabila pihak kerajaan bersetuju untuk memberikan sejumlah peruntukan kepada SPR untuk menggunakan sistem biometrik.

Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia juga bersetuju dengan pandangan Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang menyebut bahawa sistem biometrik ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah isu pertindanan pemilih di dalam daftar pemilih, pemilih yang dipindah keluar dan masuk tanpa pengetahuan mereka, isu pengundi yang melebihi usia 100 tahun, isu lebih dari seorang pengundi di alamat yang sama, isu pengundian pos, isu tentera dan polis yang telah bersara tetap mengundi sebagai pengundi pos dan lain-lain isu yang telah menyebabkan sistem pilihan raya di Malaysia ini nampak tempang.

Mohd Sany menambah, seperti mana pendedahan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor baru-baru ini dalam pertemuan dengan pihak SPR di Putrajaya, mereka telah menunjukkan sebahagian pembuktian pertindanan nama-nama pemilih di dalam daftar pemilih induk mengikut corak pengenalan diri (tarikh lahir/no kad pengenalan lama) dan corak nama hasil daripada gerak kerja mencari dan mengenal pasti pemilih-pemilih yang diragui yang telah dilaksanakan secara berterusan di seluruh kawasan.

Sehubungan itu, kata beliau pihaknya berharap semoga pihak SPR tidak meneruskan agenda mereka untuk menggunakan sistem biometrik ini yang belum pernah teruji keberkesanannya untuk memastikan sistem pilihan raya dapat dilaksanakan secara adil dan telus.

Beliau menambah, SPR tidak perlu berasa malu untuk menggunakan kaedah dakwat kekal seperti yang digunakan di Indonesia atau India tetapi hasilnya cukup memberangsangkan, tiada penipuan, tiada rusuhan dan sebagainya berbanding sistem biometrik yang tidak terjamin lagi ketelusannya.

Katanya lagi, Bersih 2.0 telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini telah bangkit untuk menolak sebarang penyelewengan dan penipuan, mereka juga memerhatikan dengan penuh minat bagaimana pihak SPR ingin mengendalikan pilihan raya umum ke 13 secara telus dan adil.

“Adakah SPR akan menjadi pihak yang mempunyai integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya secara beramanah ataupun berterusan menjadi salah satu daripada parti komponen Barisan Nasional yang akan mengusahakan pelbagai kaedah dan cara yang akan mempastikan kemenangan Umno BN di dalam pilihan raya yang akan datang?” soalnya.


Biometrik: Bersih perlu sokong, kotor kena tolak
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 25 Julai: PAS hanya akan membuat keputusan menyokong atau sebaliknya berhubung biometrik selepas diberi penerangan berhubung perlaksanaan perkara itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, walaupun tidak menafikan hanya akan menyokong sekiranya perkara itu baik, namun penerangan berhubung perkara itu perlu dilakukan terlebih dahulu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung sistem biometrik yang bakal dilaksanakan oleh SPR dalam pilihan raya umum selepas merasmikan pelan halatuju ICT negeri Kelantan 2011-2015 di Kota Darulnaim, di sini petang tadi.

Turut hadir pada majlis itu, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, selepas mendengar taklimat perbincangan pula perlu diadakan sama ada ianya perlu menyokong atau sebaliknya.

“Perkara bersih perlu disokong, perkara yang kotor kita kena tolak. Mana-mana perkara yang rosak atau meragukan kita kena tentang,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, untuk membentuk kerajaan yang adil, ianya perlu diadakan melalui pilihan raya yang bersih dan adil.

Tambahnya, sama ada untuk mentadbir sebuah keluarga, diri, jiran tetangga, negeri atau negara perlu diadakan dengan cara bersih.

Terdahulu Pengerusi Multimedia Development Corporation (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali, ketika berucap di majlis pelancaran itu berkata, portal rasmi kerajaan Kelantan menduduki tempat keenam daripada 1,145 laman web yang dinilai di peringkat kebangsaan.

Menurutnya lagi, selain itu portal rasmi kerajaan negeri juga berjaya melonjak pencapaian lima bitang di bawah program Penilaian Portal dan Laman Web kerajaan 2010.

“Saya begitu kagum dengan pencapaian ini termasuk portal kerajaan negeri turut berada di tempat ketiga dalam kategori negeri dengan 15 laman web kerajaan dan agensi negeri berjaya memperolehi status lima bintang,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan