Ahad, 24 Julai 2011

JANGAN KITA MENAFI APA YANG KITA BENAR BUAT...MENANG DUNIA...BUKAN BERERTI MENANG DIAKHIRAT....YANG MENIPU TETAP DIHUKUM...

Harakah bantu keluarga tahanan EO
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Julai: Akhbar rasmi PAS, Harakah, mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan RM1,000 seorang kepada 6 keluarga aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan oleh pihak polis di bawah Ordinan Darurat (EO) sejak 12 hari lalu.

Sunbangan tersebut diserahkan oleh Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman kepada Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim yang mewakili 6 keluarga tahanan terbabit.

Menurut Ahmad Lutfi, sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan bebanan keluarga tahanan yang mengalami pelbagai kerumitan sejak mangsa ditahan oleh pihak polis.

"Wang sumbangan tersebut adalah dari Tabung Bantuan Mangsa ISA yang telah diujudkan oleh Harakah sejak 4 tahun lalu sumbangan ahli-ahli PAS," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut.

Majlis ringkas itu diadakan sempena himpunan aman dan penyerahan memorandum kepada pihak polis bagi mendesak pihak polis membebaskan segera 6 tahanan tersebut anjuran PSM di hadapan Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, di sini, semalam

Sehingga kini, menurut Lufti, Harakah menerusi tabung tersebut telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM7,000 kepada beberapa keluarga mangsa ISA bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka akibat tahanan akta zalim itu.

"Sumbangan yang dihulurkan kepada keluarga tahanan EO pada hari ini pula, walaupun mangsa-mangsa terbabit bukan tahanan ISA, tetapi masih dalam skop itu juga kerana kedua-dua undang-undang itu adalah undang-undang zalim yang menyebabkan mangsa-mangsa ditahan tanpa bicara.

"Ini bermakna, sumbangan yang dihulurkan oleh kami itu adalah mengambil semangat ISA yang ditentang bersama oleh PAS, Pakatan Rakyat dan rakyat di tanah air kita," katanya.

Tidak dapat dinafikan, tegasnya, keluarga mangsa EO dan ISA mengalami pelbagai kerumitan sekiranya seseorang itu ditahan di bawah undang-undang tersebut.

"Mereka yang terbabit pasti memerlukan bantuan dari pelbagai sudut oleh pelbagai pihak termasuk dari segi kewangan.

"Menyedari hakikat itulah, Harakah mengambil inisiatif menubuhkan tabung itu bagi membolehkan mangsa dan keluarganya dibantu dari sudut kewangan walaupun tidak seberapa demi membantu meringankan bebanan hidup mereka," ujarnya.

Sempena menyambut Aidilfitri nanti, jelasnya, Harakah menerusi tabung tersebut akan turut mengambil inisiatif untuk membantu keluarga-keluarga mangsa yang mengalami kerumitan hidup akibat akta tersebut.


Retreat PAS Melaka rangka gerak kerja PRU 13
Ahmad Danial

AYER KEROH, 23 Julai: 'Retreat' Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka (BPPNM) yang dilangsung di sini hari ini berjaya membentuk rangka kerja dan perancangan aktiviti terbaik bagi menghadapi suasana politik semasa dan Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Retreat tersebut yang dijalankan sehari suntuk mengumpulkan seluruh kepimpinan PAS Negeri dan kawasan disifatkan amat berjaya.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari dalam ucapan aluannya pada program tersebut optimis PAS Melaka berjaya menguasai politik Melaka dalam masa terdekat.

"Kepimpinan PAS mesti terjun ke tengah masyarakat bagi menangani isu-isu masyarakat di samping berusaha memperkenalkan PAS di tengah masyarakat.

"Kita mesti berusaha untuk menjadi juara rakyat dalam apa juga isu. PAS mesti sentiasa kehadapan dalam apa juga isu," kata beliau.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Melaka, Asri Shaikh Abdul Aziz berkata retreat kali ini lebih menumpukan kepada gerak kerja pilihanraya dan pentadbiran parti.

"Kita merancang untuk menjalankan beberapa retreat bagi mengkaji, merancang dan seterusnya menggerakkan seluruh jentera parti bagi mendepani isu semasa dan politik negeri Melaka yang amat mencabar bagi PAS," tambah Asri.

Beliau berkata situasi politik di negeri Melaka mula berubah dengan pelbagai isu mutakhir yang menyebabkan rakyat mula membuka mata untuk menilai semula sokongan mereka kepada BN.

Menurutnya, beberapa siri retreat akan dijalankan dari masa ke semasa dengan menumpukan kepada pelbagai perkara dan isu.


Video polis sesuai zaman TV hitam putih
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Julai: Video yang ditayangkan pihak polis Khamis lalu mengenai himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai sesuai untuk zaman televisyen (TV) hitam putih.

“Sayang seribu kali sayang, skrip ini hanya sesuai di zaman televisyen hitam putih, sedangkan sekarang zaman IT yang bergerak pantas seperti kilat,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Justeru, katanya sekarang polis Malaysia berada di dalam keadaan serba salah untuk menafikan bahawa mereka tidak berkasar ketika menghadapi demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Terbaru, ujarnya polis terpaksa menayang rakaman video menunjukkan layanan baik polis.

Tambahnya, hampir dua minggu baru polis menyiarkan video versi polis sedangkan seluruh dunia sudah menyaksikan kegaganasan polis sewaktu berhadapan dengan peserta demo melalui Youtube yang disiar selepas beberapa minit demo berlalu.

“Sekarang polis susah hati, kerana rakyat tidak boleh menerima tayangan skrip polis,” ujarnya.

Beliau berkata, beberapa persolan yang dibangkit, kenapa lambat sangat video ditayang, sedangkan lambakan gambar yang terpapar melalui lensa kamera dan juga internet adalah sebaliknya.

Menurutnya, adalah mstahil di dalam beberapa minit demo rakaman itu boleh diedit.

“Kenapa insiden gambar Tuan Haji Mohamad Sabu tidak ditayangkan sepenuhnya?” soalnya.

Ini, katanya ditambah pula dengan menuduh Mohamad Sabu tidak cedera sedangkan satu dunia tahu bahawa Timbalan Presiden PAS itu sudah menjalani pembedahan di hospital pakar Shah Alam, bukan bomoh patah Pongsu Seribu.

Nampaknya, kata beliau polis sekarang sedang bertarung dengan peserta Bersih dan menjawab tohmohan terhadap mereka.

Persoalannya, tamb ah beliau di mana pergi Datuk Seri Hishammuddin.

“Inilah nasib polis apabila bernaung di bawah kerajaan BN yang tidak bijak mengurus hal ehwal kepolisan.

“Insya Allah profesional polis akan dipertingkatkan jika Pakatan Rakyat diberi mandat di dalam PRU ke-13 nanti,” katanya.


Memo bantah cabul hak mahasiswa catat sejarah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Julai: Penyerahan Memorandum Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa di Mesir kelmarin telah menjadi detik sejarah bagi memastikan hak mahasiswa tidak dicabul oleh mana-mana pihak.

Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (Desak), Nuruddin Zanki memaklumkan bahawa sejarah pencabulan hak mahasiswa telah banyak dilakukan oleh beberapa pihak terutamanya Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK), lapor laman web Media Mesir.

"Sebelum ini kita dikejutkan dengan tindakan salah seorang Pegawai Atase bernama Encik Khairi Jalalluddin. Beliau telah banyak bertindak menyusahkan pelajar ketika berurusan dengan pihak mereka.

"Sebelum ini juga Encik Zulkifli bin Din yang merupakan pegawai JPMK turut telah menghina mahasiswa yang tidak mempunyai kewangan, dari negeri Kedah dan Kelantan,” katanya lagi.

Selain itu terdapat juga usaha serius untuk menyekat zakat dan dermasiswa terhadap mahasiswa, antara yang terbabit ialah Negeri Perak, Terengganu dan lain-lain yang disekat zakat mereka.

Pada tahun lepas, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah melancarkan Borang Aduan Hak Mahasiswa.

Usaha tersebut bagi membuka ruang kepada mahasiswa untuk membuat aduan tentang pencabulan hak mahasiswa.

Seterusnya segala aduan tersebut telah dihantar secara bertulis kepada Encik Saiful, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) ketika itu.

"Saya mengingatkan bahawa mahasiswa bukanlah bahan mainan. Mahasiswa akan bangkit sekiranya hak mereka dicabul,” kata Nuruddin mengakhiri perbualan.

2,000 sertai solat hajat

Pada 19 Julai lalu, Desak telah menganjurkan solat hajat dan penerangan isu semasa.

Program yang menghimpunkan lebih 2,000 orang mahasiswa tersebut telah didukungi oleh beberapa persatuan pelajar, iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Persatuan Perubatan dan ABIM Mesir.

Di dalam program tersebut, para mahasiswa telah didedahkan dengan beberapa kes pencabulan hak mahasiswa yang dilakukan oleh Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Antara kes pencabulan hak mahasiswa yang disenaraikan ialah 3 orang mahasiswa yang dihalau daripada Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) tanpa sebarang notis, 40 senarai nama hitam dari negeri Perak yang terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0, beberapa orang yang menerima ugutan dari Negeri Terengganu dan seorang mahasiswa yang telah dibatalkan pengajiannya.

Selain itu beberapa aduan yang diterima, pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) banyak menyusahkan mahasiswa ketika berurusan dengan mereka.

Antaranya, pegawai JPMK akan merujuk album-album gambar Bersih 2.0 terlebih dahulu bagi menjalankan sesi soal siasatke atas mahasiswa dan mahasiswi yang ingin membuat urusan sebagai rakyat Malaysia.


PAS Sarawak rakam takziah
Harakahdaily

KUCHING, 23 Julai: Pada kebiasaannya 22 Julai dianggap Hari Sarawak berdasarkan sejarah pembentukan kabinet tempatan negeri sarawak.

Pun begitu ulang tahun kali ke-48 tahun ini dibayangi kehilangan 2 tokoh penting negeri Sarawak iaitu Datuk Amar James, bekas Timbalan Ketua Menteri negeri pertama dan bekas presiden SNAP serta wanita Iban pertama dilantik ke kabinet negeri, Datuk Seri Tra Zehnder.

PAS Sarawak merakamkan ucapan takziah pada keluarga kedua-dua mereka dan sebagai mengingati jasa mereka.

“Sewajarnya sambutan hari pembentukan kabinet pertama Sarawak harus digunakan sebagai tanda perhargaan seluruh rakyat Sarawak terhadap komitmen dan gerak kerja kedua-dua tokoh hebat ini,” kata Ketua Penerangan PAS negeri, Ir Mohd Azwani Abdul Rani dalam satu kenyataan.


Buat apa saya tipu
Harakahdaily

GEORGETOWN, 23 Julai: “Buat apa saya tipu, siapa mahu masuk hospital, duduk saja, tidak boleh berceramah hentam Umno yang zalim,” kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Justeru, katanya semua yang polis paparkan dalam tayangan video mengenai kemalangan melibatkan beliau pada himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu adalah tidak benar.

“Gambar kereta yang merempuh saya yang sedang membonceng motosikal tidak kelihatan dalam gambar kerana Pajero milik polis berada di hadapan.

“Jika tidak pasti nampak kereta polis (Proton Waja) merempuh sehingga saya terjatuh dari motor,” ujarnya ketika ditemubual di sini, semalam.

Bagi menangkis tohmahan jahat polis, beliau sudah pun mengarahkan peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin menyaman Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Salleh Mat Rashid yang melemparkan tuduhan, menghina dan memfitnahnya.

“Alhamdullilah berkat doa rakan-rakan semua pembedahan lutut saya untuk memasukan besi sudah pun selesai,” ujarnya semasa ditanya mengenai kesihatannya selepas pembedahan berkenaan.

Menurut Hanipa yang merupakan timbalan pengerusi Lajnah Undang-undang PAS pula, Mohamad Sabu berkata, jika polis tidak teragak-agak menyamannya kerana mendakwa dia menipu, pihak beliau juga tidak teragak-agak untuk menyaman polis atas dakwaan memfitnah Mohamad.

Sebelum ini Mohamad Sabu mendakwa motosikal yang dinaikinya semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lepas telah dirempuh sebuah kenderaan polis dan menyebabkan beliau terjatuh dan lututnya cedera.

Akibatnya, Mohamad terpaksa menjalani pembedahan lutut dan 2 1/2 skru telah dimasukkan ke dalam lututnya untuk mengukuhkan ligamennya yang koyak.

Namun begitu, Umno dan penyokong mereka mendakwa, Mohamad dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim pura-pura cedera untuk meraih simpati.

Tiga hari lepas, pengawal peribadi Anwar membuat laporan polis ekoran kecederaan yang dihadapinya selepas ditambak dengan gas pemedih mata secara yang tidak betul sehingga menyebabkan tulang pipinya patah terkena balang berisi gas pemedih mata yang ditembak ke arahnya.

(TEMUBUAL PENUH DENGAN MOHAMAD SABU DI DALAM HARAKAH TERBARU)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan