Khamis, 21 Julai 2011

BILA PILIHANRAYA SEBAHAGIAN DAKWAH...HUBUNGAN DENGAN DAULAH...SYARIAT ALLAH...NAHI MUNGKAR SERTA AMAR MAKRUF

Pemuda Titiwangsa bersiap bagai ada p’raya kecil
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) bersiap sedia mengerahkan jentera pilihanraya Kawasan Titiwangsa bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata DPPKT menganggap kehilangan Dr. Lo’ Lo’ Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang telah pulang ke rahmatullah pada 17 Julai lalu tidak melunturkan semangat untuk pemuda PAS Titiwangsa dan ahli keseluruhannya bekerja sebaik mungkin bagi menghadapi PRU ke 13.

“Bagi DPPKT, persediaan jentera pilihan raya dibentuk dengan persiapan seolah-olah akan berlaku pilihanraya kecil di Parlimen Titiwangsa dalam masa terdekat meskipun hakikatnya tidak akan berlaku pilihan raya kecil selepas tempoh matang 3 tahun usia parlimen Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, ahli-ahli pemuda dan penyokong keseluruhannya terdorong untuk bekerja bagi mempertahankan parlimen Titiwangsa apabila menyaksikan kegigihan almarhumah Dr Lo’Lo’ semasa hayatnya dalam memberikan jasa bakti kepada segenap masyarakat tanpa mengira bangsa, warna kulit mahupun ideologi politik.

Justeru itu, tegasnya sebagai pemangkin semangat ini, DPPKT akan melancarkan jentera pilihan raya umum ke 13 serta pelancaran bilik gerakan pemuda, muslimat dan kawasan serentak.

Katanya, pelancaran itu akan dilaksanakan pada 24 Julai pada jam 1.00 tengah hari bertempat di Darul Ummah, Markaz PAS Kawasan Titiwangsa, Kampung Pandan dan akan disempurnakan oleh Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS.

Selain itu, ujarnya DPPKT bersama PAS Kawasan Titiwangsa turut mengadakan Program ‘Ziarah Kasih’ iaitu program kebajikan berbentuk sumbangan kepada penduduk tempatan yang terdiri dari kalangan OKU, ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin, warga emas, sakit dan lain-lain kategori.

Program itu, katanya akan diadakan pada hari yang sama iaitu pada 24 Julai 2011 bermula jam 10.00 pagi di sekitar Parlimen Titiwangsa.

Justeru, DPPKT mengharapkan sumbangan ini mampu memberikan kelegaan hidup buat rakyat yang semakin terhimpit dengan kehidupan di ibu kota.

Bagi mempertahankan kemenangan PAS di Titiwangsa serta meneruskan sumbangan yang telah ditinggalkan oleh Almarhumah Dr Lo’ Lo’ Ghazali, DPPKT mengharapkan sumbangan rakyat dan masyarakat bagi membiayai semua aktiviti yang dirancang.

Segala sumbangan boleh disalurkan ke akaun Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa melalui Bank Islam Malaysia Berhad: 14041010075204.


Kedah bergema kerana mahu puasa hiburan
Subky Abd Latif

KERAJAAN Pakatan Rakyat Negeri Kedah pimpinan Ustaz Azizan Razak sekali lagi berdepan dengan perang dan serangan saraf media atas tindakannya membekukan kegiatan hiburan di khalayak awam sepanjang bulan Ramadhan yang mubarak ini.

Langkah itu diambil terhadap beberapa kegiatan hiburan yang mendapat lesen dari kerajaan tempatan. Itulah kuasa yang ada pada kerajaan negeri dalam usaha untuk menyempurnakan puasa hiburan di samping lain-lain puasa keidupan bagi seluruh umat Islam di negeri itu.

Puasa hiburan itu mengganggu orang bukan Islam berhibur di kediaman sendiri yang sememangnya tidak dikenakan lesen. Bahkan masing-masing masih boleh menikmati hiburan sepanjang 24 jam sehari dari berpuluh saluran TV dan radio yang masuk ke setiap rumah termasuk rumah Mufti dan imam-imam di negeri Kedah.

Tindakan kerajaan Kedah itu tidaklah akan memaksa bukan Islam puasa hiburan sepanjang bulan kerana masing-masing ada alternatif dari tayangan TV.

Apa yang kerajaan Kedah buat itu sekadar apa yang ia boleh buat. Kalau pun ia tidak boleh buat semua, maka tidak pula tidak boleh buat semua bagi menunaikan enakmen larangan hiburan yang dibuat oleh kerajaan BN Kedah dulu.

Semua kerajaan BN negeri adalah peruntukan enakmen yang sama sejak sekian lama tetapi mereka tidak terdaya melaksanakannya. Peruntukan itu tidak lebih dari hiasan tentang keindahan Islam itu tetapi ia tidak untuk dilaksanakan.

Samalah ia seperti masuk Islam tetapi tidak pernah solat dan puasa.

Kerajaan pimpinan PAS Kedah menunaikan tanggungjawabnya melaksanakan apa yang terdayanya.

Ia bukan tindakan baru bagi Kedah memuliakan Islam di hari-hari mulia tertentu. Sebelum merdeka dulu setiap panggung wayang pada malam dan siang Jumaat. Setelah merdeka dengan Islam sebagai agama Persekutuan tiada cuti hari Jumaat lagi bagi pawagam di negeri itu.

Apa yang Ustaz Azizan buat sekarang ia untuk memperluas lagi amal kebajikan itu dengan menyempurnakan puasa hiburan pula sepanjang bulan.

Langkah yang Kedah ambil itu amat digemari oleh orang-orang beragama termasuk Mufti Perak yang kecenderungannya lebih banyak kepada BN dari PAS. Oleh kerana alim ulama itu tiada kuasa seperti Menteri Besar Kedah itu, tiada apa yang dapat buat untuk membendung hiburan di bulan puasa, maka mereka tentunya tumpang seronok dengan langkah puasa hiburan itu.

Kerja memuliakan agama Islam tidak jadi perkara yang sukar untuk dilaksanakan selebum demokrasi diperkenalkan dan sebelum merdeka dulu. Tetapi sesudah demokrasi itu bertambah maju, masyarakat akan riuh rendah bila ada langkah membendung hal-hal yang mengganggu ibadat orang beragama.

Orang bukan Islam nampak berani membantahnya. Bukan sekadar demokrasi yang ada mereka bersuara demikian tetapi ia menumpang bebal media dan orang-orang politik beragama Islam yang tawar kepekaannya tentang roh Islamnya.

Apa yang Kedah hadapi itu pernah dihadapi oleh TokGuruNik Aziz di Kelantan ketika beliau mula berkuasa, ketika hendak membendung perangai kaki botol.

MCA yang dipercayai digalakkan oleh UMNO muncul menganjurkan pesta minum arak sebagai usaha mencabar langkah mencegah maksiat di Kelantan itu. Tiada suara dari UMNO melarang reaksi MCA itu.

Reaksi Tok Guru pula melayannya tetapi berkata, lantaklah mereka minum arak hingga pecah perut. Dengan reaksi demikian, MCA tidak meneruskannya.

Media yang dikuasai oleh orang Islam menlancar serangan saraf terhadap kerajaan Kedah hingga tampil MCA dan Gerakan negeri itu untuk mengambil tindakan. Kira-kira ia satu peluang bagi sekutu BN itu untuk memulihkan pengaruh mereka yang sudah hilang.

Jika rakyat dapat dipengaruhi oleh sekutu UMNO itu, jika ia dapat menjatuhkan kerajaan Ustaz Azizan, maka BN mahu naik dengan menolak puasa hiburan sebulan itu.

Seronokkan UMNO ia meraih kemenangan atas isu menentang memuliakan bulan puasa. Sesungguhnya seluruh bukan Islam dan pemadat hiburan dari kalangan Islam masih boleh melayan nafsu hiburan dari TV dan radio.


Kes tangkap pakai baju Bersih ditangguh 28 Julai
Khairil Abdul Rahim

KUANTAN, 21 Julai: Kes melibatkan seorang peguam dan peniaga yang ditangkap di Rompin pada 2 Julai lalu kerana memakai baju kuning berlogo Bersih 2.0 ditangguh kepada 28 Julai ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Fathiyah Idris, semalam menetapkan tarikh sebutan semula kes itu selepas mendengar hujah daripada peguam bela Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Abdul Manaf Md Hassan yang turut meminta tempoh masa berikutan terdapat isu berkaitan terhadap kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mohd Fadzli, 33, seorang peguam ialah AJK Pemuda PAS Pahang sementara Abdul Manaf Md Hassan, 41, merupakan AJK PAS Dun Tioman.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Hon Kai Ping dan Hisham Ramzan.

Hon berhujah, terdapat satu kes permohonan semakan di mahkamah Kuala Lumpur difailkan oleh Pengerusi Bersih 2.0 berhubung dengan perisytiharan Menteri Dalam Negeri bahawa Bersih merupakan pertubuhan tidak sah.

Oleh yang demikian Mahkamah Sesyen perlu mendengar terlebih dahulu keputusan tersebut kerana pendakwaan berkaitan Seksyen 47.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki pakaian yang tertera tulisan Bersih 2.0 dan menuntut pilihan raya bersih dan adil bagi kepentingan suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di markas PAS Kampung Mentara, Rompin, kira-kira jam 10.50 malam, 2 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali kerana menyiar dan memiliki perkataan yang tertera bagi kepentingan pertubuhan haram.

Kedua-dua dikenakan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sementara itu, perbicaraan kes itu semalam mendapat perhatian luar biasa dengan kehadiran ramai peguam tempatan dan dari luar. Terdapat ramai juga siswazah daripada kuliah undang-undang yang hadir.

Kehadiran kedua-dua tertuduh semalam turut mencuri perhatian apabila tampil dengan memakai baju-t berwarna kuning tetapi dengan logo “Kotor 13.0”.


Jangan tipu rakyat lagi
Anak kecil main api

Satu situasi yang saya ingin kongsikan dan kita fikirkan bersama. Telah menjadi lumrah dalam kehidupan kita jika seseorang penjenayah yang benar-benar telah melakukan jenayah seperti membunuh, merompak atau mengedar dadah akan berasa takut untuk berhadapan dengan polis walaupun berselisihan dengan secara tidak sengaja. Malahan dengan sedaya upaya untuk mengelak dan melarikan diri dari polis kerana takut akan ditangkap, dipenjarakan dan dihukum. Lebih-lebih lagi memang terdapat bukti yang kukuh. Subjeknya penjenayah takut dengan polis.

Sekarang pula kerajaan BN amat takut dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang telah berlansung baru-baru ini. Tujuan dan motif perhimpunan ini diadakan adalah untuk menuntut piliharaya di Malaysia dijalankan secara bersih. Sebelum perhimpunan dilansungkan, pelbagai propaganda telah dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi BN. Antaranya isu perkauman yang merendahkan martabat orang melayu dengan menyatakan bahawa orang melayu sahaja yang suka berdemo. Hakikatnya semua kaum Malaysiaku yang menyertai perhimpunan tersebut. Semua jalan masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur pula ditutup. Seolah-olah telah berlaku darurat secara tidak perasan. Hasilnya perhimpunan tersebut tetap disambut hangat oleh warga kota.

Namun apa yang dilaporkan oleh akhbar harian Malaysia amat jauh berbeza pada realiti sebenar. Keganasan peserta perhimpunan tersebut akan menyebabkan kecederaan, kerosakan hartabenda awam dan merugikan para peniaga. Kenyataannya ialah pihak polis yang telah bertindak ganas sehingga menyebabkan kematian kepada peserta perhimpunan BERSIH tersebut. Dalam berita media perdana telah menemuramah beberapa peniaga yang telah mengalami kerugian hasil dari perhimpunan tersebut. Tetapi yang telah ditemuramah adalah pendatang asing. Adakah terdapat peniaga yang berwarganegara Malaysiaku disekitar tempat kejadian (kedai pakaian dan jamu Jalan Tunku Abdul Rahman) tempoh hari?

Persoalannya mengapa kerajaan BN mesti takut jika memang pilihanraya di Malaysia dijalankan dengan telus dan bersih? Jika benar bersih, kenapa kerajaan BN bertindak sedemikian? Sekurang-kurangnya membenarkan peserta bebas berhimpun di Dataran Merdeka ataupun di Stadium Merdeka. Itupun andai benar-benar bersih. Andai tidak bersalah seperti cerita penjenayah diatas, mengapa takut sehingga bertindak sedemikian rupa dalam mendukung demokrasi? Subjek kali ini ialah kerajaan BN takut kepada perhimpunan BERSIH.

Perdana Menteri telah berkata bahawa tidak perlu berdemostransi atau mengadakan perhimpunan sedemikian untuk menyampaikan permintaan atau suara rakyat. Dalam era teknologi maklumat, rakyat seharusnya mengunakan kemudahan internet untuk menyampaikan rasa tidak puas hati atau permintaan. Ini telah dipetik dari kata-kata beliau di media perdana serta akhbar harian tempatan pada sehari selepas perhimpunan BERSIH dilansungkan. Maka sebuah laman facebook yang bertajuk “100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation” telah dilaksanakan pada masa yang sama. Dalam tempoh hanya 48 jam, laman tersebut telah mencapai lebih 100,000 sokongan dalam usaha hanya untuk mendapatkan 100,000 sokongan sahaja. Secara tidak lansung, rakyat telah menyahut cabaran beliau dan saya percaya beliau juga telah maklum dengan hasil yang diperolehi daripada laman facebook tersebut.

Tetapi apa reaksi dan tindakan beliau sekarang? Sedangkan rakyat telah menyahut cara seperti yang beliau sarankan. Beliau tidak ambil peduli lansung dan telah pergi melawat ke luar negara. Agenda rakyat telah diketepikan tanpa perasaan. Jadi dengan cara apa lagi untuk rakyat dapat menyampaikan rasa dan suara tidak puas hati setelah perhimpunan BERSIH dan melalui internet tidak diambil peduli? Adakah kerajaan BN sangat takut sekiranya apabila tumbang di pilihanraya akan datang, segala penyelewengan yang para menteri telah lakukan akan terbongkar? Seperti yang pernah berlaku kepada kerajaan BN Selangor sebelum ini? Berani kerana benar, takut kerana salah. Nyatakan apa pendirian Perdana Menteri setelah rakyat bersuara melalui perhimpunan BERSIH yang dikatakan haram dan laman facebook “100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation” yang dikatakan halal oleh beliau sendiri. Jangan tipu, tipu-tipu rakyat lagi.


Agih tanah Felda Plantation agenda Buku Jingga
Johari Jaafar

IPOH, 21 Julai: Dalam merealisasikan agenda Buku Jingga di mana dalam 100 hari Palatan Rakyat mentadbir negara ini apabila berjaya dalam piihan raya umum ke 13 nanti, satu daripada agenda itu merupakan menghapuskan Felda Plantiation yang keluasan tanahnya melebihi 340,000 hektar dan tanah tersebut akan diagihkan kepada rakyat yang layak menerimanya.

Oleh itu, PAS Negeri Perak memulakan langkah untuk mengadakan agihan borang Felda Plantation peringkat negeri pada 22 dan 23 Julai ini bertempat di Markaz PAS Kampung Gelok, Lenggong Perak, seentak dengan itu juga akan dilakuan Pelancaran Badan Bukan Kerajaan peringkat negerii.

Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein dalam sidang medianya di Pejabat PAS Negeri kelmarin. Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Misbahul Munir Masduki, Razman Zakaria dan Ketua Penerangan PAS Neger, Ustaz Nuri Al Amin.

Menurut beliau, tanah tersebut akan diagihkan kepada empat golongan, genarasi kedua dan ketiga Felda, pekerja bawahan saperti buruh dan kerani Felda Plantatian, penduduk kampung tradisinal yang berada di kawasan Felda Plantatioan dan bekas perajurit.

Bekas perajuriyt perlu doiambil kira jasa mereka kepada negara dan ianya termaktub dalam Majlis Angkatan Tentera (MAT) di mana mereka layak mendapat 20 ekar tanah pertanian dan dua lot tapah rumah.

PAS Negeri Perak melihat hak pesara tentera ini selama ini telah dinafikan oleh Kerajaan Pusat.

Jika dibandingkan antara bekas tentera negeri ini dengan negara lain ternyata nasib bekas tentera negara ini telah diabaikan, dakwa beliau.

Sementara itu Razman menjelaskan Felda Plantation adalah anak syarikat Felda Felda Holdings. Fungsi utamanya membangunkan tanah-tanah yang diserahkan Kerajaan Negeri kepada rakyat di bawah Akta Penempatan Berkelompok.

Namun begitu setelah Felda Holdings dikorporatkan sejak 1992, sehingga ke hari ini Felda tidak lagi mengambil peneroka atau rakyat menduduki tanah tersebut dan ia diuruskan syarikat Felda Plantation.

“Dari maklumat yang kami terima, lebih 320,000 hektar tanah berkenaan di seluruh negara adalah di bawah pengurusan Felda Plantation ini," ujarnya.

Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pemerintahan, dalam masa 100 hari tanah berkenaan akan diserahkan semula kepada rakyat.

Oleh itu proses ini akan mulakan dari sekarang bagi memudahkan ianya dilakukan nanti, katanya.

"Sebanyak 5,000 borang berkenaan disediakan kepada pemohon nanti," ujarnya lagi.

Pemohon dikehendaki hadir sendiri mendapatkan borang berkenaan.

Sehubungan itu beliau berharap pemohon dapat tampil ke hadapan bagi mendapatkan hak mereka.

Menurut Razman lagi, pemberian tanah itu bertujuan mengiktiraf jasa serta pengorbanan anggota tentera yang selama ini seakan dinafikan kerajaan.

"Pada majlis itu nanti akan melancarkan satu NGO Baru iaitu Kelab Veteran Angkatan Tentera (Kerabat) supaya dapat memberi manfaat kepada bekas anggota tentera apabila Kerabat bakal bersaing dengan satu lagi persatuan bekas perajurit daripada pihak Kerajaan,” katanya.


Buang ‘pisang’ rosak dalam industri filem

Mohd Afiq Mohd Saleh

Ketika drama ini dalam proses pembikinan, saya telah meletakkan harapan yang tinggi agar ia mampu mencetuskan fenomena baru dalam indusrti perfileman tanah air, lebih jauh daripada itu agar drama ini dapat menghidupkan biah Islam (suasana) yang baru dalam masyarakat yang semakin jauh dari agama.

Ternyata persepsi ini terpesong, selepas berkesempatan menonton 2 episod yang terawal, ramai di kalangan penonton terutama dari jurusan agama merungut dan mulai berang dengan hasil drama tersebut. Walaupun tidak sepatutnya ia (drama ini) dihukum dengan menyatakan keseluruhan filem tersebut dianggap sebagai negatif, tetapi persepsi orang ramai terhadap apa yang ditonjolkan di awal drama ini telah menimbulkan rasa kurang senang dengan cara pembawaannya.

Pada hemat saya, memaparkan adegan dengan tujuan menghidupkan jalan cerita yang seiring dengan suasana realiti memerlukan kepada beberapa penilaian yang teliti dan langkah berhati-hati. Tidak semua keaiban yang berlaku dalam masyarakat harus dipaparkan untuk tontonan umum lebih-lebih yang melibatkan sensitiviti agama.

Adegan seperti pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, selak-menyelak, bersentuhan dan lain-lain lagi ini boleh menimbulkan tanggapan yang buruk terhadap golongan agama. Barangkali pada pandangan penerbit filem perkara itu suatu yang biasa dan perlu untuk menghidupkan watak dan jalan cerita lalu mereka menganggap ianya sebagai isu yang kecil. Tetapi berbeza bagi golongan agama yang melihat ianya sebagai sisi yang salah dan memalukan, kerana ia telah membabitkan pandangan negatif masyarakat terhadap imej mereka.

Dalam kebanyakkan filem atau drama di Malaysia terutama drama yang ingin menampilkan jalan cerita yang berbentuk islamik, wujud beberapa kelemahan yang jarang diambil berat. Antaranya menonjolkan sesuatu watak dengan pembawaan yang ekstrem, menghidukan jalan cerita dengan suasana yang berlebih-lebihan. Watak ustaz digambarkan dengan seorang alim yang sentiasa memegang tasbih. Biah atau suasana (story board) yang ingin ditampilkan juga telah menggambarkan dengan keterlampauan.

Akhirnya, mereka yang jahil tentang Agama meletakkan persepsi bahawa inilah gambaran Islam yang sebenar sedangkan Islam tidaklah bersifat sedemikian.

Kritikan dan teguran ini dibuat bersama-sama beberapa penilaian selepas apa yang ditayangkan dalam dua episod terawal drama ini. Namun disertakan dengan cadangan dan alternatif sebagai langkah kecil untuk membantu industri perfileman tanah air:

1. Filem atau drama yang mahu mengetengahkan jalan cerita atau suasana sesuatu tempat, perlu dilantik seorang penasihat yang berpengalaman untuk membimbing jalan cerita tersebut agar tidak lari atau berlebihan daripada suasana realiti.

2. Walaupun apa yang berlaku di sekitar masyarakat itu dipandang sebagai realiti semasa, ia tidak semestinya perlu ditonjolkan kepada khalayak dengan pembawaan 100%. Produksi drama harus kreatif dalam pembikinan jalan cerita.

3. Isu sensitiviti dalam masyarakat harus diambil penting. Golongan majority yang berkelakuan baik, tidak seharusnya dihukum dengan sebahagian minority yang berkelakuan tidak baik. Persepsi dan pandangan masyarakat terhadap golongan Agama harus diambil kira terutamanya isu yang boleh menjejaskan imej dan keizzahan mereka.

Media massa adalah medium penyampaian yang terpenting di abad ini, seharusnya pihak yang diberi peluang dan ruang untuk menyampaikan sesuatu kepada khalayak menggunakan wasilah ini dengan sebaiknya, agar apa yang disampaikan dapat memberi manfaat dan mampu dicontohi. Jika baik yang dipaparkan kepada penonton maka baiklah yang akan diterima dan begitulah sebaliknya.

Sedikit sebanyak, sebagai seorang mahasiswa yang sedang menuntut di Jordan, saya sendiri merasakan sedikit tempias dan “bahang” daripada drama ini, tetapi saya sedaya upaya cuba memandangnya dengan penilaian yang positif.

Saya memuji Saudari Erma Fatima yang cuba mengetangahkan suatu kelainan dalam industri perfileman tanah air. Selapas Drama Nur Kasih yang telah menaikkan biah Islam di Malaysia, saya yakin drama Tahajjud Cinta hasil air tangan pengarah berbakat ini mampu menyuntik fenomena baru jika ia disunting dengan jalan cerita yang baik. Bagi saya beliau mengikuti kehendak filem kontemporari dalam masyarakat yang dahagakan filem berbentuk Islamik.

Saya tidak berhasrat membantah keseluruhan drama ini kerana ia tidak wajar dihukum hanya disebabkan “kerosakkan” yang sedikit. Tetapi besarlah harapan ini agar adegan yang telah ditonjolkan tersebut dapat diperbaiki pada masa akan datang dan sudi mendengar permohonan maaf daripada Saudari Erma Fatima. Setandan pisang tidak semuanya baik, tetapi “pisang” yang rosak harus lekas dibuang agar tidak memudhoratkan orang yang memakannya. Bagi saya beliau seorang yang profesional dan permohonan maaf ini tidak langsung menjejaskan imej beliau sebagai pengarah filem terkenal.

Akhir kata, saya mewakili mahasiswa Jordan mengharapkan satu perubahan dan penambah-baikkan dalam drama ini, kalaupun tidak semua memadailah dengan perubahan kecil yang boleh melegakan kami di sini. Mahasiswa Jordan tidaklah menuntut agar kami dipandang tinggi oleh masyarakat tetapi amatlah tidak wajar jika diaibkan dengan sedemikian rupa.

Industri filem Malaysia sudahpun terkenal dengan penghasilan drama dan filem yang berkualiti serta membangun setaraf dengan perfileman antarabangsa, lalu mereka harus mempunyai identiti tersendiri dalam menaikkan industri ini. Semoga industri perfileman tanah air terus maju dengan pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang.

MOHD AFIQ MOHD SALEH,

Mantan Presiden,

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ)

2010/2011.


Pemuda PAS tetap bantah Konsert MTV World Stage
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Dewan Pemuda PAS Malaysia konsisten melahirkan rasa tidak bersetuju dan amat kesal dengan langkah penganjur yang mahu meneruskan Konsert MTV World Stage di I-City Seksyen 7, Shah Alam pada 24 Julai ini.

“Penganjuran konsert ini telah mengguris perasaan umat Islam apabila ia berlangsung hanya seminggu menjelang bulan Ramadhan al-Mubarak, saat umat Islam mempersiapkan diri menyambut bulan mulia dan bulan ibadah,” ujar ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) kepada Harakahdaily.

Tambahnya, terdahulu pihak Pemuda PAS telah menghantar dua memorandum bantahan melalui Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor.

Menurutnya, pemorandum pertama pada bulan Jun dan memorandum kedua seminggu lepas kerana menganggap konsert tersebut bertentangan dengan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Selangor.

Malangnya, kata beliau memorandum tersebut tidak dipedulikan malah usaha pemuda PAS Selangor untuk menemui pihak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga gagal.

Katanya lagi, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia Cawangan Selangor turut membantah apabila mereka juga menerima bantahan dan rungutan dari penduduk sekitar.

Beliau menambah, konsert MTV yang turut menampilkan kumpulan 30 Second To Mars yang merupakan pemenang Kumpulan Rock di MTV Europe Music Award 2010 dan kumpulan rock tempatan tidak selayaknya berlangsung secara terbuka pula tiada jaminan kawalan dari pihak penganjur untuk mengelakkan berlakunya pergaulan bebas lelaki dan perempuan.

Baginya, selayaknya konsert seperti itu dibuat di tempat yang tertutup dan tidak membenarkan anak-anak muda muslim hanyut di dalamnya.

Jelasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak membantah hiburan, tetapi membantah elemen yang tidak sihat di dalam hiburan tersebut.

Justeru, ujarnya hiburan yang mahu dianjurkan mestilah hiburan yang tidak melekakan dan melalaikan generasi muda dan mendorong pula mereka ke kancah maksiat dan mungkar dengan berlakunya pergaulan bebas lelaki dan perempuan, sementara negara sedang kritikal berdepan dengan penyakit sosial yang kian tenat dan parah dalam negara kita hari ini khasnya negeri Selangor.

Menurutnya lagi, menjelang Ramadhan, selayaknya kerajaan negeri Selangor memperbanyakkan aktiviti yang mampu mendidik minda dan syakhsiah anak muda ke arah membentuk peradaban atau tamadun yang hebat, sementelah pula I-City adalah pusat ilmu bukan pusat hiburan.

“Berpada-padalah dengan hiburan. Saya setuju manusia perlu berhibur dan hiburan perlu bagi menyerikan hidup, namun hiburan yang keterlaluan hanya akan merosakkan minda dan peribadi manusia lantaran manusia mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih penting untuk masa depan hidup mereka selain hiburan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru agar umat Islam khasnya anak-anak muda muslim agar tidak menghadirkan diri ke konsert tersebut sebaliknya fokus kepada persiapan diri menghadapi Ramadhan Al-Mubarak dengan aktiviti penyucian jiwa dan minda serta mendalami ilmu agar ibadah puasa di bulan Ramadhan kelak akan dilangsungkan dengan faham dan penuh penghayatan.

“Insya Allah, Dewan Pemuda PAS Malaysia khasnya melibatkan anggota pemuda PAS Negeri Selangor dan Wilayah akan turun beramai-ramai untuk mengedar risalah dan berdakwah mengajak anak-anak muda mendekati Allah SWT dalam masa yang sama, menjauhkan diri daripada maksiat dan mungkar,” katanya.

Tambahnya, sementara untuk hiburan, insya Allah apabila tiba masa yang sesuai, akan ada penganjuran hiburan yang baik, terkawal, tidak melalaikan dan pada masa yang sama akan mendidik jiwa ke arah kebaikan.

Sebelum ini pun, katanya telah banyak kali Pemuda PAS menganjurkannya dan kita juga menyokong mana-mana penganjuran majlis hiburan yang tidak menjejaskan peribadi atau akhlak anak muda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan