Selasa, 19 April 2011

BILA KITA FIKIR KITA TERBAIK....ORANG LAIN TAK BAIK DAN TAK BOLEH BUAT....JANGAN KITA MENGUTUK ORANG....KUTUK DIRI SENDIRI...SEBAB MUNGKIN TERUK LAGI

Serah UUM pada Kedah
Mohd Shubihi Muhamad Zain
ALOR SETAR, 19 April: "Serahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada kerajaan negeri kalau dah tak mampu nak tadbir kewangannya," kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) sebagai respons kepada isu yang ditimbulkan timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Semalam, Menteri Pedidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin juga dilaporkan mengecam kerajaan negeri Kedah yang kononnya menaikkan cukai tanah UUM sehingga 10 kali ganda sejak mengambil alih pemerintahan negeri sehingga pihak universiti terpaksa membayar RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.

Azizan bagaimanapun menafikan dakwaan kenaikan cukai tanah tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah tempoh pemberian rebat kerajaan negeri kepada universiti itu yang telah berakhir.

"Mengikut perjanjian asal, jumlah perlu dibayar oleh universiti adalah sebanyak RM1.2 juta tetapi pihak universiti hanya perlu bayar RM100 ribu setahun bagi tempoh 2006 hingga 2008 setelah permohonan mereka mendapatkan rebat diluluskan oleh kerajaan.

"Saya harap penjelasan ini membuktikan kerajaan negeri bukan naikkan cukai tanah, cukai asal lebih RM1 juta dan setelah diberi rebat UUM cuma bayar RM100,000 sahaja dan kini perjanjian telah berakhir, UUM kenalah bayar penuh.

"Sepatutnya mereka kena bayar RM1.2 juta tapi kalau UUM menghadapi masalah kewangan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan rebat semula," jelasnya kepada media selepas berucap di himpunan bulanan kakitangan kerajaan di Wisma Darul Aman.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri tidak pernah bercadang hendak menaikkan cukai tanah yang diturunkan selepas mengambil alih pemerintahan negeri pada Mac 2008 yang lalu.

Mengenai masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi warga universiti itu, Azizan berkata, isu ini perlu diselesaikan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.

"Saya pernah bangkitkan isu ini supaya pengurusan UUM kemukakan cadangan kepada kementerian untuk naik taraf infrastruktur bekalan air, tetapi saya tak nampak pun hasilnya," katanya.


Cukai tanah tahunan UUM RM1.8 juta

PUTRAJAYA – Sukar dipercayai apabila kerajaan negeri Kedah sanggup mengenakan kadar cukai tanah tahunan 10 kali ganda lebih tinggi atau sebanyak RM1.8 juta setahun ke atas Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah sejak tiga tahun lalu.

Nasib malang universiti itu didedahkan sendiri oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang terpaksa merayu kerajaan negeri supaya mengurangkan kadar cukai tersebut.

Menurutnya, kadar cukai tanah yang terlalu tinggi itu sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelidikan dan penerbitan universiti.

Sebelum ini UUM membayar RM150,000 cukai tanah setahun.

Lebih menyedihkan lagi, ujar beliau, UUM juga terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk menyewa lori mengangkut air bagi kegunaan pelajar universiti tersebut yang menghadapi masalah untuk mendapatkan air bersih sejak tahun lalu.

Menurutnya, sejak setahun lalu sebahagian pelajar UUM terpaksa mengambil air menggunakan baldi daripada lori yang disewa khas tersebut dan ia menyukarkan usaha universiti berkenaan menarik pelajar dari luar negara.

“Masalah ini amat membebankan kewangan dan kami telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya cukai tanah itu dikurangkan tetapi tiada jawapan hingga kini.

“Bagaimanapun kami tetap tidak ketinggalan menjelaskan bayaran yang dikenakan itu sejak tiga tahun lalu” katanya pada majlis pelancaran Program Khas Pasca Siswazah Untuk Ahli Parlimen di UUM oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini semalam.

Perkauman: Tuduhan Mahathir tidak berasas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 April: DAP berasa amat kesal dan kecewa dengan kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir yang mendakwa bahawa parti itu telah berjaya membawa politik perkauman kepada Sarawak.

Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari berkata, tuduhan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, kata beliau sindiran-sindiran yang sebegitu rupa yang menjadi punca ketegangan antara kaum di Malaysia.

Menurutnya, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan negarawan yang dihormati ramai, beliau sepatutnya lebih matang dan tidak mengapi-apikan tohmahan yang boleh memecah belahkan rakyat.

“Sebagai seorang yang telah terlibat secara terperinci dalam proses perancangan, perangkaan strategi dan pelaksanaan kempen DAP untuk Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, saya boleh mengesahkan dengan tegasnya bahawa tiada sedikit pun unsur perkauman yang cuba dibangkitkan oleh parti kami.

“Sepanjang kempen, isu-isu yang telah kami tekankan adalah seperti masalah pentadbiran, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, polisi ekonomi yang tidak memanfaatkan rakyat, inflasi yang kian melambung dan kegagalan kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah di atas,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Mungkin, soalnya dalam pendapat Tun Dr Mahathir, hanya masyarakat Cina sahaja yang mengambil berat tentang isu-isu sedemikian.

“Bukankah itu satu penghinaan kepada rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia secara umumnya?” tanya beliau lagi.

Sebaliknya, kata beliau pihak yang telah cuba menakut-nakutkan pengundi dengan isu-isu perkauman adalah parti-parti daripada BN seperti SUPP, PBB dan MCA.

Namun, katanya rakyat Sarawak telah membuktikan kematangan mereka kerana tidak termakan umpan bersifat parokial seperti dakwaan bahawa ‘masyarakat Cina’ akan kehilangan perwakilan dalam kerajaan jika wakil-wakil Cina daripada BN tidak berjaya dalam pilihan raya.

Beliau menambah, seperti yang sudah sedia maklum, keputusan pilihan raya jelas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menolak sama sekali unsur-unsur politik perkauman dan sebaliknya inginkan wakil-wakil yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran!

Tambahan pula, ujarnya kenaikan undi yang diperolehi parti DAP bukan hanya daripada satu kaum tertentu.

“Dalam kawasan-kawasan seperti Meradong, Dudong dan Kirudong, kejayaan kami adalah hasil tambahan undi kaum Dayak yang cukup memberangsangkan,” ujarnya.

Di Batu Kawa pula, kemenangan DAP di situ tidak mungkin akan berlaku tanpa undi-undi orang Melayu/Melanau yang telah meningkat dalam sokongannya terhadap DAP.

“Hakikatnya, saya yakin bahawa Tun Dr Mahathir sedar dan memahami dinamik politik di negeri Sarawak dan juga di seluruh negara,” katanya lagi.

Tambahnya, namun disebabkan motivasi politik, beliau memilih untuk memainkan sentimen sempit perkauman untuk menjaga kepentingan BN.

Sekali lagi, katanya rakyat boleh melihat dengan sendiri bagaimana pemimpin-pemimpin BN akan menggunakan taktik pecah dan perintah untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sebagai pengakhir kata, beliau ingin mencadangkan satu pepatah bahasa Inggeris: if you have nothing good to say, say nothing at all (jika anda tidak mempunyai apa-apa yang bernas untuk dikatakan, usahlah meluahkan walau sekata).

Pemilihan: Jangan terikut paluan gendang lawan

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 19 April: Para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS diingatkan agar tidak terpengaruh dengan gendang yang dipukul oleh pihak lawan, berhubung soal pemilihan sebarang jawatan dalam parti, yang memainkan sentimen kepuakan antara golongan ulama dan profesional.

Gendang tersebut dibunyikan untuk tujuan memecahbelahkan perpaduan antara para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS yang seharusnya disambut dengan bijak, dengan tidak terpengaruh dengan rentak yang dipalu oleh mereka.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika mengingatkan perkara itu menegaskan, sebaliknya realiti sebenar di dalam PAS tidak timbul antara golongan ulama dan profesional kerana kesemua pemimpinnya berjuang atas landasan parti yang kukuh untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air.

Menurut beliau, walaupun di dalam PAS sememangnya terdapat kalangan profesional, mereka juga tetap berkemampuan dan berkelayakan menjadi pemimpin dalam parti seperti juga pemimpin-pemimpin lain yang berjuang atas dasar Islam, sekali gus pasti tidak akan lari dari matlamat perjuangan PAS itu sendiri.

Katanya, itulah realiti yang perlu disedari oleh setiap pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS yang turut mendasari perpaduan dalam parti, sehingga menyebabkan pihak lawan berusaha keras memalu gendang tersebut dengan begitu kencang terutama menjelang muktamar agung PAS Jun ini.

"Gendang seperti itu juga turut dipalu oleh mereka menjelang muktamar-muktamar agung PAS yang lalu. Jadi, kita mesti bijak menangani perkara itu.

"Jangan pula perpaduan yang sudah sebegitu kukuh yang terdapat dalam parti dipecahkan sendiri oleh kita hanya kerana terpengaruh dengan rentak yang dimainkan oleh mereka terutama menerusi media utama mereka," katanya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, tegas beliau, PAS sememangnya mengalu-alukan pertandingan bagi sebarang jawatan dalam parti kerana ia bukan sekadar membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin dan terhadap ahli-ahlinya, tetapi akan lebih memantapkan lagi parti berhubung kepimpinannya.

Alu-aluan itu bukan hanya tertakluk bagi jawatan parti di peringkat kepimpinan paling kecil di cawangan dan bahagian, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi yang melibatkan jawatan Presiden, Timbalan dan Naib.

"Bagi jawatan Presiden sendiri, jika ada pencalonan yang diterima oleh pemimpin lain untuk menentang saya, saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya pun bukan untuk menjadi pemimpin selamanya. Sebaliknya, saya sendiri pun dah semakin berumur dan memang memerlukan barisan pelapis," tegas beliau.

Jadi jika ada pencalonan terhadap seseorang pemimpin PAS untuk memegang sebarang jawatan dalam parti yang melibatkan pelbagai latar belakang dan pendidikan, katanya, ia sepatutnya disambut oleh para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS dengan semangat perpaduan yang tinggi kerana di dalamnya pasti terkandung hikmah amat besar bagi PAS.

Sebelum itu, ketika diminta mengulas mengenai pencapaian PAS dalam PRN Sarawak Ke-10 yang berlangsung 16 April lalu, beliau menegaskan, pencapaian tersebut tidak boleh diukur dari segi demokrasi kerana PRN Sarawak Ke-10 itu bukan berlangsung dalam suasana demokrasi sebenar yang diamalkan di negara ini.

"Kalau PRN Sarawak Ke-10 itu berlangsung dalam suasana demokrasi seperti di negara-negara luar, PAS pasti akan menang kerana ia tidak akan menyekat rakyat untuk membuat pemilihan seperti yang dikehendaki oleh mereka dengan berbagai sekatan oleh para pemimpin BN," tegasnya.

Namun, realiti yang berlaku di Sarawak jelas menyekat PAS dari menyampaikan maklumat kepada rakyat oleh pihak BN dengan berbagai cara terutama menerusi media, sehingga rakyat hanya disogokkan dengan pelbagai propaganda dari BN menerusi media cetak dan elektorik seperti tv dan radio yang masuk ke rumah-rumah setiap penduduk di serata tempat.

Manakala di pihak PAS dan Pakatan Rakyat, peluang itu disekat dengan ketat, tidak seperti di negara-negara luar yang turut memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang muncul di media cetak utama, radio dan tv.

"Ini menjadikan PAS gagal menyampaikan maklumat sebenar termasuk menjelaskan dasar-dasar parti kepada orang ramai, sehingga menyebabkan rakyat Sarawak berjaya dipengaruhi oleh BN untuk terus mengundi mereka, walaupun BN ternyata sudah ditolak begitu jauh oleh mereka yang berpendidikan dan terdedah dengan maklumat yang benar seperti di bandar-bandar," katanya.

Keadaan itu, katanya, disusuli pula dengan pelbagai tindakan tidak demokratik lain oleh pihak BN terhadap rakyat Sarawak termasuk menerusi penggunaan jentera kerajaan dengan begitu berleluasa, politik wang, politik ugut dan sebagainya yang jelas melambangkan demokrasi di negara ini masih belum maju.

Sungguhpun begitu, peningkatan sokongan dari rakyat Sarawak terhadap PAS secara keseluruhannya menerusi PRN Sarawak Ke-10 itu, tegas beliau, jelas membuktikan rakyat Sarawak juga tidak selama-lamanya boleh terus diperbodohkan oleh pihak BN yang sekali gus turut membawa petanda PAS mempunyai harapan yang cerah di negeri itu pada masa akan datang.

"Perkembangan yang baik ini perlulah dimanfaatkan dengan baik oleh setiap jentera PAS di semua peringkat dengan terus berusaha gigih menyampaikan risalah perjuangan parti kepada seluruh rakyat Sarawak dan Sabah dari semasa ke semasa, seperti juga yang perlu terus dilakukan di Semenanjung," ujar beliau.

Adun PR difitnah tidak hadir keputeraan Sultan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 April: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim kesal dengan fitnah yang disebarkan puak Umno yang mendakwa tiada seorang pun Adun Pakatan Rakyat Perak menghadiri Majlis Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-83 Tahun hari ini.

Fitnah itu disebarkan dalam blog Umno ruangbicarafaisal.blogspot.com jam 9.58 pagi tadi namun artikel bertajuk "DAP, PAS dan PKR Boikot Hari Keputeraan Sultan Perak" itu kemudiannya dibuang dari blog tersebut.

Khalil berkata, beliau dan Adun-Adun PKR, DAP dan PAS yang lain tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri majlis itu.

"Bagi mengesahkan perkara yang sama sebentar tadi saya telah menghatar khidmat sistem pesanan ringkas (sms) kepada semua adun PR.

"Sehingga sekarang saya menerima respons segera dari hampir 20 Adun PR yang memaklumkan mereka tidak menerima apa-apa jemputan ke istana pada hari ini," jelas Khalil yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat negeri melalui twitternya.

Khalil ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi juga mempersoalkan tindakan menarik balik artikel tersebut jika dakwaan tersebut benar.

"Setelah periksa blog tersebut, saya artikel tersebut telah dibuang. Kenapa buang kalau betul dakwaan kami boikot majlis ini? Mungkin mereka takut lalu membuang artikel itu," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Tegasnya juga, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana beliau sendiri menutup pejabat khidmat masyarakatnya dan semua pekerja bercuti.

"Dakwaan ini tidak berasas sama sekali sedangkan pada hari ini pejabat saya ditutup dan semua kakitangan saya bercuti. Selain itu saya juga mengibarkan bendera Perak," tegasnya.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai perbuatan yang boleh menimbulkan pandangan yang salah kepada Adun Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau merafak sembah tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sempena hari keputeraan baginda hari ini.

Bakal pensyarah kecewa permohonan ditolak 2 kali
Muhadhir

Saya adalah seorang guru yang berijazah Sarjana dan telah berkhidmat lebih dari 6 tahun di Sarawak. Baru-baru ini saya telah membuat permohonan untuk menjawat jawatan pensyarah, tetapi dukacita kerana permohonan saya tersebut telah ditolak sebanyak 2 kali.

Permohonan pertama saya kemukakan kepada UiTM Kampus Samarahan, Kuching Sarawak. Setelah melalui temuduga sebanyak dua kali, saya lulus dalam temuduga tersebut tetapi disenaraikan sebagai calon simpanan. Setelah tamat tempoh menunggu 2 bulan seperti yang dinyatakan di dalam surat (sebagai calon simpanan), saya langsung tidak dihubungi oleh pihak pentadbiran UiTM.

Setelah dihubungi, dukacita dimaklumkan bahawa saya tidak mendapat jawatan sebagai pensyarah di sana dengan alasan ia telah dimasuki atau diambil oleh calon yang dihantar oleh UiTM Shah Alam!

Persoalan yang timbul ialah, kenapa UiTM Shah Alam mengadakan temuduga di sana dan menghantar calonnya ke UiTM kampus Samarahan Kuching sedangkan saya adalah calon yang telah sedia ada dan lulus temuduga di sini!

Permohonan kedua ialah di Institut Perguruan Kampus Batu Lintang,Kuching Sarawak. Saya telah mendapat maklumat bahawa ada kekosongan jawatan pensyarah dan mereka telah pun membuat banyak permohonan tambahan pensyarah tetapi masih tidak dipenuhi dan dilayan sewajarnya.

Justeru itu saya memohon jawatan tersebut, tetapi sangat dukacita apabila permohonan saya itu turut gagal! Alasan permohonan itu ditolak ialah kekurangan guru! Apakah tujuan dan matlamat KPM menggalakkan para guru menaiktaraf atau meningkatkan tahap pendidikan mereka ke peringkat ijazah Sarjana Muda dan Sarjana serta Ph.D sedangkan peluang untuk permohonan jawatan pensyarah seperti ini tidak dilayan!

Yang lebih mengecewakan ialah keputusan menolak permohonan saya ini hanya dibuat pada peringkat JPN sahaja! Kenapa permohonan saya itu tidak dihantar dan dirujuk terus kepada KPM atau KPT diPutrajaya? Kenapa JPN negeri tidak menyokong dan meluluskan permohonan saya sedangkan maklumat daripada rakan-rakan guru yang berijazah Sarjana di Semenanjung yang memohon pertukaran jawatan seperti saya dapat dipenuhi dan diluluskan? Kenapa ada sikap DOUBLE STANDARD dalam hal ini? Adakah ia berkaitan dengan sentimen kenegerian? (kebanyakkan warga Semenanjung di sini di anaktirikan oleh warga Sarawak, mereka lebih mendahulukan anak bangsa sendiri!)

Jika alasan yang diberikan JPN ialah kekurangan guru, adakah tanggungjawab kami para guru untuk mencari dan menyediakan pengganti? Sampai bilakah kami harus menunggu untuk menjawat jawatan pensyarah? Sampai bilakah masalah kekurangan guru di Sarawak ini dapat diatasi? Sudahlah alasan yang sama juga turut diberikan kepada kami apabila kami memohon untuk pulang berkhidmat di Semenanjung! Jadi apakah kesudahan kami di Sarawak ini? Jika beginilah situasinya maka kami pasti akan sentiasa dalam dilema, untuk berpindah balik ke Semenanjung pun tidak dapat dan untuk memohon jawatan pensyarah pun turut tidak diluluskan!

Saya sebagai pegawai kerajaan yang berkhidmat di Sarawak amat mengharapkan pihak KPM dan KPT segera membuat siasatan, pemantauan dan tindakan agar kami semua tidak tertindas dan seterusnya dapat memajukan diri bersesuaian dengan tahap ijazah kami dan ia bertepatan dengan slogan 1MALAYSIA RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN!

MUHADHIR,

Kuching, Sarawak.

AJK Ulamak Wilayah kembali ke rahmatullah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 April: Ustaz Rahmat Syamsi kembali ke rahmatullah pada 4.30 petang semalam, setalah dimasukkan ke hospital pada malam kelmarin setelah selesai menyampaikan kuliah Maghrib di Ampang.

Beliau adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan.

Beliau dimandikan di Masjid Saidina Ali, Kampung Padang Balang, Sentul jam 8.00 pagi.

Semoga rohnya ditempatkan dalam golongan para syuhada dan solihin.


Ketua Muslimat Bukit Katil kekal
Ahmad Danial

BUKIT KATIL, 19 April: Dr Khatijah Jumangat dikekalkan sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Katil manakala Jauhar Dawi dilantik Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan menggantikan bekas ketua, Puhat Bedol yang melepasi had umur.

Perwakilan Dewan Muslimat PAS kawasan juga turut mengekalkan timbalan dan naib ketua sesi lalu iaitu Mahani Osman dan Maizarah Abu Bakar.

Sebahagian besar ahli jawatankuasa musim lalu turut dikekalkan antaranya Ropisah Nordin, Noraini Sidek, Fatimah Wahid, Hajah Jamilah Saad dan Sabariah Ijang.

Dewan Pemuda PAS kawasan juga turut dibarisi oleh muka baru bagi jawatan timbalan dan naib ketua iaitu Ustaz Nurkhairi Yusof dan Bakhtiar Basar.

Manakala Fauzi Yatim, Izzudin A Karim, Shahrin Azam Ismaon, Aizat Baharuddin, Badaruddin Tajuddin, Fazli Abdullah dan lain-lain sebagai ahli jawatankuasa.

Sementara itu PAS Kawasan Bukit Katil akan mengadakan mesyuarat agungnya pada 24 April ini.

Pinggir Melayu hanya dakwaan Umno BN

Fakhri Ali

BAYAN LEPAS, 19 April: Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu tidak dipinggirkan sebagaimana dakwaan pembangkang.

Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malek Abul Kassim berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pemimpin Umno dan BN yang senantiasa mengkritik setiap usaha kerajaan negeri membantu masyarakat Melayu di sini.

Beliau berkata, sehingga ini konflik yang timbul adalah bikinan Umno dan BN yang tidak dapat menerima hakikat mereka adalah pembangkang yang sah.

Katanya, sejak tiga tahun pemerintahan kerajaan negeri, masalah tanah perkuburan di Jelutong yang telah sekian lama tidak dapat diselesaikan semasa BN menerajui negeri ini, telah berjaya diatasi apabila kerajaan negeri membeli sebahagian dari tanah tersebut untuk diperuntukkan sebagai tanah perkuburan di Jelutong.

"Manakala para huffaz mendapat pengiktirafan setiap tahun dari kerajaan negeri. Ini tidak pernah dilakukan sebelum 2008 yang lalu. Peruntukan untuk hal ehwal agama Islam turut ditambah sejak 2008 dari RM12.5 juta sehinggalah kepada RM63.21 juta dalam tahun 2011.

"Kampus dari dua buah universiti terkenal di Timur Tengah akan diwujudkan di Pulau Pinang tidak lama lagi bagi memberi kemudahan kepada pelajar yang ingin mendalami ilmu mereka dalam bidang agama Islam dan juga penyelidikan," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung, turut menyeru pemimpin Umno dan BN supaya menjadi pembangkang yang baik dan bermoral di negeri ini.

Menyentuh mengenai premis perniagaan milik peniaga Melayu yang dirobohkan, beliau berkata, masalah itu bukan perkara baru kerana ia turut berlaku semasa era pemerintahan Umno dan BN sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan