Jumaat, 15 April 2011

RAKYAT SUDAH CERDIK...KENAL DAN TAHU YANG BOLEH PAKAI DAN YG TAK BOLEH PAKAI...JANJI JARANG DITUNAIKAN...

Sarawak Baru: Pilih calon PAS, PKR atau DAP
Nazri Abdullah

KUCHING, 15 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru rakyat negeri Sarawak agar memilih calon Pakatan Rakyat pada hari pengundian esok bagi membentuk Sarawak Baru.

Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ianya kerana calon yang diwakili PAS, PKR dan DAP, adalah mereka yang ikhlas mahu membela nasib rakyat berbilang kaum di negeri ini, yang sekian lama tertindas di bawah BN.

"Sesungguhnya calon Pakatan Rakyat sama ada dari PAS, PKR dan DAP adalah terdiri dari mereka yang layak untuk dipilih.

"Ini kerana mereka semua memiliki kesungguhan dan sedia membela nasib dan hak kita semua," katanya.

Tambahnya, mengundi calon yang layak akan memberi kesan yang baik kepada semua pihak.

Malah ujarnya lagi, memilih calon dari pihak yang baik dikira ibadat yang mulia dan sudah pasti akan mendapat restu Tuhan.

"Oleh itu saya berharap kita semua dapat melakukan perubahan ke arah membina Sarawak Baru yang menjanjikan keadilan dan kesejahteraan untuk semua rakyat,"katanya.

Ayuh berubah, tolak BN


Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu rakyat menggunakan peluang mengundi esok untuk menghentikan segala penindasan kerajaan BN terhadap mereka.

Katanya, Setelah lebih 42 tahun dipersiakan kerajaan BN, kini sudah tiba masanya bagi rakyat Sarawak melakukan perubahan.

"Cukuplah negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekian lama.

"Marilah kita berubah dengan menolak BN dalam pilihan raya ini," katanya.

Tambahnya, jika PAS diberi peluang mewakili rakyat di beberapa Dun yang ditandingi, parti itu akan mempamerkan keadilan Islam untuk kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Esok, rakyat negeri Sarawak akan menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi memilih kerajaan negeri yang baru.

Banyak pihak menjangkakan akan berlaku perubahan besar dalam landskap politik Sarawak pada pilihan raya kali ini.

Bagaimanapun, keputusan hanya akan diketahui malam esok dan hari ini semua parti-parti yang bertanding sedang giat menjalankan kempen hari terakhir.


Sarawak Maju: RM1 Bilion cukup jika bersih

Subky Latif

DENGAN apa yang ada di Sarawak sekarang Pakatan Rakyat memerlukan satu bilion saja lagi menjadikan bumi Kenyalang itu sebagai negeri maju.

Tetapi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengira perbelanjaan sebesar itu kecil. Ia memerlukan berbilion-bilion bagi merialisasikannya.

Perkara yang pertama yang perlu diperhatikan oleh rakyat Sarawak ialah peruntukan yang secukupnya yang seminima mungkin yang diperlukan bagi menjadikan Sarawak negeri maju.

Peruntukan itu mestilah sesuai dengan pelan kemajuan yang dirancang.

Jika rakyat Sarawak menjadi penal meluluskan tender suatu bangunan atau projek atau hendak membeli sesuatu jentera, yang menjadi pertimbangannya ialah siapakah yang boleh menawarkan harga yang paling murah?

Dan apabila kerajaan hendak melelong hartanya, yang diperhatikannya ialah pembida yang dapat menawarkan harga paling tinggi.

Rakyat Sarawak seluruhnya bersetuju bahawa sesiapa yang hendak mentadbir Sarawak mestilah bersedia menjadikan Sarawak negeri yang maju. Seboleh-bolehnya kalau tidak melebihi Selangor, biarlah ia tidak kurang dari Selangor.

Pakatan Rakyat telah memberikan jawapan. Ia boleh menjadikannya negeri maju dengan peruntukan yang sederhana yang dianggarkan satu bilion. Kalau ia tidak cukup tambahan diperlukan tetapi tidak sampai sekali ganda. Tetapi tidak mustahil dengan perbelanjaan dan pelan berhemah, peruntukan satu bilion boleh dikurangkan.

Bagaimana pun Barisan Nasional mengikut Muhyiddin tidak sanggup memenuhinya dengan peruntukan sebesar itu. Ia mahu lebih besar. Lebih besar itu bukan sekadar sekali ganda dari yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat, bahkan berkali-kali ganda.

Bagi Muhyiddin dengan peruntukan besar yang disediakan, pun kerajaan BN terasa payah bagi menyiapkannya, maka apa lagilah jika peruntukan yang dikira kecil seperti yang disanggupi oleh Pakatan Rakyat.

Muhyiddin yang bercakap begitu mungkin kerana pengalamannya yang lama sebagai Menteri Besar Johor, sebagai menteri di beberapa kementerian dan terakhirnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi di belakang Pakatan Rakyat yang membuat peruntukan sekadar satu bilion itu adalah juga orang berpengalaman iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia bukan sekadar pernah menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Timbalan Perdana Menteri sebelum Muhyiddin, tetapi lebih dari itu dia penah menjadi Menteri Kewangan di bawah Perdana Menteri Dr. Mahathir.

Bukan sekali dua dia membentangkan belanjawan negara, bahkan berkali-kali. Bukan sekadar peruntukan yang diperlukan Sarawak pernah dicadangkannya bahkan peruntukan bagi negara yang lebih besar.

Dia adalah menteri kewangan ketika Selangor merancang dan bersedia menjadi negeri maju. Tahulah dia apa yang diperlukan oleh Selangor dan apa yang boleh diberikan bagi menjadi negeri maju itu.

Dia menjadi menteri kewangan dalam sebuah negara tidak tahu berjimat, rasuah yang menjadi-jadi di sekelilingnya. Dan semua tahu dia diberi tanggungjawab sebagai pengerusi kabinet bagi anti penyelewengan. Maka tentulah dia tahu semua penyelewengan yang berlaku.

Dia dikeluarkan dari kerajaan dan Umno bukan kerana ada masalah dan kelemahan urusan ekonomi dan kewangan, tetapi kerana dia tidak berapa senonok dengan perjalanan Perwaja, perancangan Bakun dan lain-lain projek mega.

Mahathir tidak sebut dia dipecat kerana sebab ekonomi tetapi atas alasan kononnya tidak bermoral.

Semua tahu semasa dia dalam kerajaan, dia adalah orang yang sangat anti rasuah dan penyelewengan. Dia tahu ke mana banyaknya belanja yang digunakan oleh kerajaan dalam setiap peruntukan. Semua tahu bahawa sebahagian besar dari peruntukan setiap projek pergi kepada rasuah dan pembaziran.

Apabila Pakatan Rakyat mencadangkan angaran satu bilion bagi menjadi Sarawak negeri maju, maka ia tidak termasuk rasuah, pembaziran, penyelewengan peruntukan dan sebagainya.

Ada pun peruntukan belasan dan puluhan bilion yang diperlukan Muhyiddin bagi perancangan kemajuan yang sama termasuklah belanja rasuah dalam berbagai-bagai cara dan penggunaan duit ikut suka hati.

Dan siapa yang tidak tahu bahawa kerajaan BN yang berkuasa tahun 1955 bergelumang dengan rasuah dan penyelewengan?

Satu bilion yang Pakatan perlukan, bukan saja bersih rasuah dan penyelewengan, tetapi ia dibelanjakan secara berjimat, behemat dan cermat.

Ramlah malukan ahli akademik - Idris

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 April: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Datuk Dr Ramlah Adam, dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjatuhkan taraf ahli akademik.

Beliau melahirkan kesal dengan kenyataan Ramlah yang memberi amaran kepada belia supaya jangan menukar kerajaan yang sedia ada.

Ramlah (gambar) berpesan supaya tidak terperangkap dengan rancangan pihak tertentu yang bercita-cita untuk menghancurkan sistem pemerintahan yang sudah menabur bakti sejak 54 tahun lalu.

Kenyataan ini dinyatakan ketika beliau berucap di forum Perpaduan Negara Melalui Komunikasi dan Media di UiTM, Shah Alam.

Kenyataan ini, kata Idris yang juga bekas pensyarah UiTM, tidak layak keluar daripada seorang pensyarah Pentadbiran Awam yang mengajar pelajar-pelajar mengenai polisi pentadbiran awam dan sistem demokrasi yang membenarkan rakyat membuat pilihan setiap kali pilihanraya.

"Apakah beliau buta sejarah demokrasi negara maju seperti Jepun dan United Kingdom yang bertukar kerajaan dan pemerintahan tetapi terus maju? Apakah kerajaan selain daripada BN bukan sejenis manusia?

"Apakah beliau tidak mengetahui Parti Demokratik Jepun (DPJ) menumpaskan Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah Jepun semenjak penubuhannya pada tahun 1955.

"Apakah Dr Ramlah Adam membayangkan United Kingdom sekarang sudah kembali kepada zaman batu sejak Parti Konservatif mengalahkan Parti Buruh pada 6 Mei 2010?

"Apakah beliau seorang yang buta maklumat mengenai pencapaian negeri-negeri Pakatan Rakyat, walaupun baru berusia tiga tahun berbanding dengan BN memerintah selama 54 tahun.

"Janganlah kerana tebalnya Umno dalam lubuk hatiinya sehingga sudah tidak nampak kebenaran.." kata Idris (gambar) dalam kenyataannya.

PAS juga, katanya, menasihat kepada Dr Ramlah Adam jangan menjatuhkan taraf seorang ahli akademik.

"Jikalau bercakap begitu lebih baik jadi Ketua Wanita Umno Cawangan Seksyen 2 Shah Alam sahaja, bukan seorang ahli akademik. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya.







Akta p' raya dilanggar, Ambiga dihalang ke Sarawak
Hazayani Zakaria

KOTA SAMARAHAN, 15 April: Pilihan Raya Negeri Sarawak yang sedang melalui hari terakhir tempoh kempen hari ini terus dicemari unsur-unsur salah guna kuasa dan pelanggaran akta pilihan raya, seperti yang berlaku setiap kali pilihan raya umum dan kecil sebelum ini.

Ketua Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya (Mafrel) Sarawak,Wan Zain Mahdzar juga tidak menolak kemungkinan gejala pembelian undi oleh pihak tertentu berlaku pada saat-saat akhir sebelum hari membuang undi esok.

"Seperti biasa, pelanggaran akta pilihan raya berlaku dalam semua parti yang bertanding, dan melihat kepada perkembangan semasa, tidak mustahil pihak-pihak tertentu membeli undi untuk memenangi kerusi mereka," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Manakala itu, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar kanan) telah dihalang dari memasuki Sarawak hari ini.

Bekas Presiden Majlis Peguam itu tiba bersama kapalterbang di Lapangan Terbang Kuching jam 9 pagi tadi namun dimaklumkan tidak boleh memasuki Sarawak atas arahan pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Bersih 2.0 adalah badan bebas yang memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bebas di negara ini.

Sebelum ini beberapa orang peguam termasuk Sivarasa Rasiah juga dihalang dari memasuki negeri itu.

Polis ramai di rumah panjang

Sementara itu Wan Zain Mahdzar juga berkata, daripada pemantauan yang dilakukan bermula hari penamaan calon, Mafrel mengesan kehadiran polis yang ramai di kawasan-kawasan tertentu terutamanya di kawasan rumah panjang menimbulkan ketakutan di kalangan mereka dan tidak berani mengundi parti selain daripada kerajaan.

"Mafrel dapati ramai polis ditempatkan di kawasan rumah panjang dan ini sudah tentu untuk memastikan mereka berpihak kepada kerajaan," katanya.

Selain itu, Mafrel juga mendapati terdapat senarai pengundi yang tidak logik di beberapa kawasan apabila terdapat pengundi yang berumur lebih daripada 100 tahun.

"Ada beberapa kawasan yang mempunyai pengundi berumur lebih 100 tahun. Ini sangat mencurigakan dan ada tanda-tanda kehadiran pengundi hantu," katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru pihak-pihak tertentu agar menghadapi pilihan raya secara bersih kerana unsur-unsur penipuan tidak akan memberi faedah kepada sistem demokrasi di negara ini.

"Harap pihak yang merasakan mereka berkuasa meninggalkan amalan penipuan kerana merugikan semua pihak," katanya.

Raja Petra: Video TV3 dirakam 2 bulan lalu
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 April: Pengasas laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, yang muncul dalam TV3 sejak beberapa hari ini tampil menjelaskan bahawa beliau adalah konsisten selama ini dan berkata video TV3 dirakam dua bulan lalu.

Dalam satu wawancara dengan akhbar milik Umno, New Straits Times, Petra sekali lagi menafikan bahawa beliau telah menarik balik tuduhannya selama ini.

Beliau hanya telah membuat pengakuan bersumpah supaya pihak berkuasa akan bersungguh-sungguh melakukan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shariibuu pada 2006.

Media pro Umno menyiarkan berita sensasi kebelakangan ini akibat satu wawancara beliau yang disiarkan TV3 yang menggambarkan beliau seolah-olah telah membuat ‘pusingan U’ terhadap tuduhan bahawa perdana menteri terlibat dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

“Apa yang saya kata ialah pemberi maklumat telah memberitahu saya terhadap perkara tersebut,” kata Petra ketika ditanya. “Jadi, sudahkah anda membaca SD (pengakuan bersumpah) saya? Saya rasa tidak, sebab banyak komentar berbuat demikian tanpa membacanya,” beliau menambah.

Sambil mengatakan bahawa beliau tiada mood untuk menjelaskan ‘spin’ media tradisional itu, Petra, 61 berkata sekarang sudah tiba masanya untuk beliau hendak mendapat kembali haknya terhadap orang yang menipu tentang dirinya.

“Kerja mereka hanya untuk menghentam saya, dan itu yang mereka tengah lakukan. Sekarang, selepas tiga tahun dihentam, saya menghentam balik. Ini bukan hak saya ke?” tanya beliau.

Wawancara 2 bulan yang lalu

Mengenai wawancara di TV3 yang disiarkan dua hari yang lepas secara berturut-turut, Petra berkata rakaman itu telah dibuat dua bulan yang lepas, dan menafikan dakwaan bahawa wawancara itu dibuat untuk membantu Barisan Nasional di pilihan raya Sarawak.

“Dua bulan yang lepas, tiada kata putus mengenai bila pilihanraya Sarawak akan diadakan. Jadi bila saya patut memberikan wawancara? Selepas pilihanraya Sarawak? Jadi, selepas pilihanraya Sarawak, orang akan tanya mengapa sekarang, sebelum pilihanraya umum ke 13?

"Jadi, saya tunggu selepas pilihanraya umum ke 13, and orang akan terus bertanya, mengapa sekarang, sebelum pilihanraya kecil? Jadi, bila saya patut buat wawancara ini? Selepas Malaysia membasmi pilihanraya?” bidas Petra secara sinis.

Menjawab satu persoalan samada beliau boleh memberikan bukti bahawa Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya, Petra membalas dengan memberikan sejarah ‘keadilan’ di mahkamah Malaysia di mana testimoni sudah cukup untuk mensabitkan kesalahan pada seseorang terhadap satu jenayah yang serius.

“Apa yang anda maksudkan dengan bukti? Bukti video yang mereka tengah bertuala dalam bilik hotel?” kata Petra secara jelas merujuk kepada video klip seks yang diedarkan beberapa pemimpin Umno yang mengaitkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam skandal seks.

“Terangkan apa itu bukti. Anwar disabitkan kesalahan dan dipenjarakan 15 tahun pada 1999 hanya berdasarkan testimoni. Testimoni ialah bukti dan cukup untuk memenjarakan Anwar 15 tahun. Testimoni saya lebih hebat. Ia dalam bentuk pengakuan bersumpah,” kata Petra, yang dahulunya mengetahui kempen ‘Selamatkan Anwar’ dalam mendapat tekanan antarabangsa terhadap kerajaan untuk melepaskan Anwar daripada penjara.

Isu khalwat Najib

Mengenai dakwaan bahawa beliau telah ‘berubah’ kerana ingin kembali ke Malaysia, Petra membidas dalam keadaan yang marah dan mengingatkan wartawan NST itu kepada kejadian pada 1990an di Port Dickson, di mana Najib dikatakan telah ditangkap khalwat oleh jabatan agama di sebuah hotel, tapi dilepaskan tanpa pembicaraan syariah.

“Adakah anda hendak bertanya kepada Najib terhadap isu ini? Siapa kisah terhadap apa yang orang kata di bawah? Jikalau kerajaan Malaysia kata saya boleh kembali ke Malaysia, saya akan suruh kerajaan pergi mampus kerana saya cinta negara kelahiran saya, apa yang anda nak kata nanti?” kata Petra, yang dilahirkan di Surrey, UK.

Petra juga berkata dakwaan-dakwaan terhadapnya bukanlah baru, malahan beliau menambah beliau pernah dituduh murtad kerana pergi ke gereja setiap Ahad dan beliau dan isterinya telah meninggalkan Islam dan menjadi penganut Katolik.

Sementara itu, menjawab soalan bersiri daripada The Straits Times Singapura yang meliputi isu masa wawancara yang bertembung dengan pilihanraya negeri Sarawak dan dakwaan samada beliau tengah me’nuetralisasikan’ kesangsian terhadap penglibatan Najib dalam pembunuhan, Petra membidas bahawa ia adalah kelakar untuk menganggap bahawa wawancara beliau dan video seks yang ditujukan pada Anwar akan memberikan kesan terhadap keputusan pilihanraya Sarawak.

“Jika anda beranggapan demikian, maka anda patut meminta untuk ditukar ke meja servis makanan sebab anda masih jauh ketinggalan dalam memahami politik,” jawab beliau kepada wakil Malaysia akhbar tersebut, Hazlin Hassan.

Tindakan terhadap Kol Azmi

Sementara itu, akhbar Umno, Utusan Online melaporkan, seorang pegawai perisikan tentera, Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin, bakal berdepan tindakan tegas di bawah Akta Angkatan Tentera jika terbukti beliau membuat kenyataan palsu bagi tujuan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan serta merta sudah dijalankan terhadap Azmi Zainal sebaik sahaja pengendali laman web antikerajaan, Raja Petra Kamaruddin mendedahkan pembabitan pegawai tentera itu dalam usaha terancang bagi menyekat Najib daripada menjadi Perdana Menteri.

Katanya, berkuat kuasa serta merta juga, Azmi Zainal tidak lagi bertugas di Kor Risik sebaliknya, ditukarkan ke bahagian pentadbiran, di Wisma Kementerian Pertahanan.

Menunggu keputusan PRN Sarawak
Suhaimi Mokhtar

Barisan Nasional (BN) Sarawak buat pertama kalinya dalam sejarah politik negeri bumi kenyalang itu menghadapi ujian pahit dan getir dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-10 yang pengundiannyanya diadakan pada 16 April selepas penamaan calon pada 6 April lalu.

Kempen selama 10 hari telah pun berakhir dan proses undi pos terdiri dari beribu-ribu pengundi anggota angkatan tentera dan pasukan keselamatan termasuk isteri dan keluarga mereka yang bermula dua hari sebelum pengundian sebenar telahpun berakhir.

Pelbagai jangkaan dan ramalan yang dibuat oleh para penganalisis politik dan para pemerhati politik dalam dan luar negara terhadap kemungkinan keputusan pilihanraya Dun Sarawak kali ini. Ada yang meramalkan BN tidak akan lagi menikmati majoriti dua pertiga dan hanya mampu memenangi majoriti kecil untuk menubuhkan kerajaan.

Ada pula yang lebih extreme beranggapan bahawa regim Taib Mahmud yang memerintah Sarawak selama 30 tahun menyamai pemerintahan regim Hosni Mubarak di Mesir dan regim-regim lain di Timur Tengah akan berakhir dalam pilihanraya ini.

Apa pun keputusan pengundi berdaftar yang berjumlah hampir satu juta orang itu yang terdiri dari pelbagai etnik, bumiputra Islam dan yang bukan Islam, pengundi kaum Cina, Dayak, Iban dan lain-lain, akan menentukan lanskap politik masa depan Sarawak khususnya dan Malaysia amnya. Indikasi perkembangan politik Sarawak dari keputusan pilihanraya negeri akan mencernakan lanskap politik Malaysia, walaupun tidak keseluruhannya, yang akan mengadakan pilihanraya parlimen selewat-lewatnya pada 2013.

Jika BN mampu mempertahankan regim negerinya dengan kemenangan majoriti dua pertiga, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan diarahkan untuk mengadakan pilihanraya dengan lebih segera bagi mengekalkan momentum kemenangan yang diraih, tetapi jika BN kecundang untuk meraih majoriti dua pertiga, pilihanraya akan dilengahkan sehingga tamat tempoh mandat lima tahun, dari pilihanraya lalu pada 2008.

Tekanan terhadap BN dalam pilihanraya ini begitu hebat dan teruja sekali. Ia dapat dilihat buat pertama kalinya tiada calon-calon BN terdiri dari calon Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), calon-calon SUPP (Cina) dan calon-calon parti etnik kaum lain yang bergabung dalam BN, tiada saorang pun yang menang tanpa bertanding.

Sudah berlalu masa calon-calon BN menang tanpa bertanding yang menjadi trend pilihanraya-pilihanraya Sarawak di masa lalu. Kali ini BN ditentang sama ada satu lawan satu, atau tiga penjuru atau lebih kerana penyertaan calon-calon bebas dalam pilihanraya Dun Sarawak. Sebenarnya calon-calon bebas tidak memberi sebarang impak kecuali satu dua kerusi, kerana ada di kalangan calon yang merupakan bekas anggota Dun Sarawak.

Pertembungan satu lawan satu adalah antara calon-calon BN dengan calon Pakatan Rakyat terdiri dari PAS, PKR dan DAP. Dalam pertandingan tiga penjuru pula berlaku pertandingan antara calon BN dengan calon Pakatan dari komponan PKR dan SNAP, sebuah parti tertua di Sarawak yang tidak dapat berkompromi dengan PKR dalam pembahagian kerusi yang dipertandingkan. PKR bertanding dikebanyakan kerusi di Dun Sarawak. PAS bertanding lima kerusi dan DAP bertanding 15 kerusi. Selebihnya ditandingi oleh PKR walaupun tidak sepenuhnya dalam pertandingan 71 kerusi Dun Sarawak.

PKR dan SNAP tidak dapat bertolak ansur dalam beberapa kawasan petandingan pilihanraya dan kerana itu pertandingan menjadi tiga penjuru. SNAP bertanding lebih dari 20 kerusi di kawasan-kawasan yang dikatakan majoriti pengundi berketurunan Dayak dan Iban yang menjadi pusat pengekalan kekuatan SNAP yang pernah memerintah Sarawak diawal penyertaan Sarawak dalam gagasan Malaysia.

Ketua Menteri Sarawak yang pertama ialah dari SNAP, Stephen Kalong Ningkan sebelum diambil alih oleh Penghulu Tawi Sli, dalam krisis politik Sarawak yang pertama di zaman Perdana Menteri (PM), Tunku Abdul Rahman.

Selepas Penghulu Tawi Sli barulah Sarawak diteraju oleh Ketua Menteri berketerunan Melayu-Melanau beragama Islam, Tun Abdul Rahman Ya’kub yang memimpin Sarawak selama satu dekad (sepuluh tahun). Pada masa pemerintahannyalah kedudukan politik bumiputra Sarawak diperteguhkan apabila berlaku penyatuan gabungan parti-parti di kalangan bumiputra Sarawak yang beragama Islam dan bumiputra yang bukan Islam.

Pengenalan politik Sarawak tidak dapat dipisahkan dari pengenalan etnik, kaum dan agama. Tetapi Sarawak telah melalui perubahan secara evolusi dan kerana itulah PAS kini mampu bertanding di Dun Sarawak. Kemampuan PAS bertanding merupakan satu perubahan keyakinan kepada politik Islam yang dibawa PAS di tengah-tengah masyarakat plural Sarawak yang pluralismenya melebehi pluralisme masyarakat majmuk di Semenanjung.

PAS tidak mungkin akan memenangi kelima-lima kerusi yang dipertandingkan dan parti-parti lain juga baik dikalangan Pakatan Rakyat dan komponan BN Sarawak tidak mungkin juga akan memenangi kesemua kerusi yang mereka tandingi. PAS dijangka mampu memenangi satu dua kerusi yang dipertandingkan atau sekurang-kurangnya akan mengurangkan majoriti calon BN yang menang di kawasan yang ditandingi PAS.

Jika demikian hakikatnya, maka ia membawa petanda bahawa PAS telah mulai diterima oleh rakyat Sarawak. Jika PAS kalah pun PAS telah membuka dan meluaskan arena politik Islamnya. Kesempatan PAS untuk berpolitik sambil berdakwah merupakan satu anugerah Allah yang besar yang perlu digunakan ruang dan peluang dengan sepenuhnya. Ia juga bererti PAS telah berada di bumi kenyalang, yang Umno masih tidak mampu memasukinya dan hanya mengharapkan PBB sebagai proxy Umno di Sarawak.

Pertanding satu lawan satu akan menyaksikan pertandingan hebat dan genting tetapi pertandingan tiga penjuru akan memberI miliege kepada calon BN. Sayang sekali SNAP tidak dapat bersama dengan Pakatan Rakyat. Dalam pertandingan pelbagai penjuru juga ia akan memberi keuntungan kepada BN.

Perdana Menteri (PM) Najib Tun Razak agak yakin dengan kemungkinan BN akan menguasai Dun Sarawak dan begitu juga Ketua Menteri (KM) Taib Mahmud, tetapi jika hendak berlaku tsunami politik di Sarawak seperti tsunami 2008 di Semenanjung, tiada sesiapa yang dapat menahannya. Kemungkinan rakyat Sarawak sudah bosan dengan pemerintahan BN di Sarawak yang berKMkan Taib Mahmud, selama 30 tahun, satu era pemerintahan yang terlalu lama. Taib dijangka akan berundur selepas pilihanraya setelah penggantinya dapat dicari. Taib tidak akan menghabiskan penggal ini.

Bagaimana pun keputusan pilihanraya bergantung bukan kepada satu dua faktor. Ia mencakupi pelbagai faktor dan faktor-faktor inilah yang sedang diperkecilkan oleh parti pemerintah bagi menjamin kemenangan mereka berterusan.

Sesuatu yang sangat jelas bahawa pilihanraya yang diadakan tidak berada di landasan yang benar-benar demokratik, apabila kerajaan menggunakan seluruh jenteranya di peringkat negeri dan pusat untuk membeli undi rakyat. Pengundi dibeli dengan projek-projek segera yang berjumlah berjuta-juta ringgit.

Pertandingan tidak berada di padang permainan samarata, Pakatan Rakyat terutama PAS, mana mampu menghadapi perbendaharaan negeri dan pusat yang menabur wang dengan pelbagai projek untuk membeli undi. Rakyat Sarawak yang rata-rata masih dalam kolompak kemiskinan, walaupun negeri mempunyai hasil perkayuan dan petrolium. Dalam persekitaran masyarakat yang dibelenggui kemiskinan amat mudah untuk mempengaruhi rakyat untuk memberi sokongan kepada mereka dengan mengadakan projek-projek prasarana dan kemudahan.

Di kalangan Pakatan Rakyat, DAP dijangka akan membuat kehadiran-nya dirasakan kerana pengundi-pengundi Cina mempunyai pemikiran terbuka. DAP bertanding di kawasan-kawasan bandar dan pekan melawan calon SUPP. Calun-calun PKR dari kalangan etnik Cina dan lain-lain dijangka juga akan membuatkan kehadirannya. Di kawasan-kawasan pertandingan dengan PBB, tidaklah mudah bagi calon PKR untuk membuat kehadirannya dirasakan, tetapi pertandingan tetap sengit dan mencabar.

Sedikit lagi advantage bagi calon-calon BN bahawa mereka berkempen atas dasar bahawa parti-parti mereka adalah parti-parti yang berasal dari bumi kenyalang tidak seperti parti-parti dari Pakatan Rakyat kononnya semuanya datang dari Persekutuan. Tetapi hakikatnya, calon-calon yang bertanding semuanya adalah calon-calon tempatan.

Jika DAP dan calon PKR dari kalangan kaum Cina membuat kehadirannya maka kedudukan SUPP sangat genting dan berkemungkinan SUPP akan mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya ini. Kehadiran SNAP juga tidak dapat diperlekehkan kerana SNAP berupaya dan mampu menerokai kemenangan yang akan menjadikan politik tawar menawar di Sarawak selepas pilihanraya.


Program penerangan sisa radioaktif Lynas Sabtu & Ahad ini
Harakahdaily

KUANTAN, 15 April: Satu siri ceramah berhubung masalah sisa radioaktif Lynas oleh dua aktivis masyarakat akan diadakan di sini pada Sabtu dan Ahad ini.

Taklimat akan disampaikan penduduk Bukit Merah, Ipoh, Encik Hew dan pakar toksikologi, Dr Jayabalan.

Hew adalah pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang projek yang serupa di Bukit Merah sehingga dibatalkan kerajaan.

Beliau dan rakan-rakannya turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kempen-kempen penentangannya itu.

Berikut adalah jadual program taklimat berkenaan:

* 16 April (Sabtu), GC Curry House, Air Putih, pukul 8.30 malam.

* 17 April (Ahad), GC Curry House, Air Putih, pukul 2.00 petang.

* 17 April - Sekilau Restoran, Jln Hj Ahmad, Kuantan, pukul 8.00 malam.

Presiden PAS dianugerah Tokoh Alim Rabbani
Rizal Tahir

Ustaz Abdul Hadi Awang dipakai jubah sebagai Tokoh Alim Rabbani oleh Rektor Universiti Islam Yala, Dr Ismaillutfi

YALA, Patani, 15 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dianugerahkan dengan anugerah Tokoh Alim Rabbani oleh Universiti Islam Yala semalam.

Anugerah itu disampaikan sendiri oleh Rektor universiti itu, Dr Iamail Lutfi di universiti berkenaan semalam.


Ismail Hashim: Rakyat Sarawak bangkit
Ismail Hashim

Kebangkitan hebat rakyat Sarawak menjelang Pilihan raya Negeri ke 10 (PRN10) esok hari (16 April) bakal diterjemahkan ke peti undi bagi memastikan berlakunya perubahan drastik pada lanskap politik di negeri terbesar Malaysia itu.

Secara umumnya, rakyat Sarawak telah lama menyimpan perasaan membuak-buak untuk membuat perubahan cuma mereka dihalang oleh rasa takut dalam diri.

Namun kedatangan genderang gemuruh tsunami politik yang dibawa dari Semenanjung diikuti berlakunya kejatuhan pemimpin luar negara yang lama memerintah, memberikan tambahan semangat berani kepada rakyat negeri itu.

Mereka telah lama menderita. Hidup rakyat pertengahan dalam kesusahan. Apatah lagi mereka yang marhaen; kais pagi dan petang terus sahaja habis tiada berbaki lagi.

Menziarahi kampung-kampung dhaif yang hanya berjarak 10km sahaja dari Bandaraya Miri memang menggamit rasa kasihan pada mereka lantaran dibiarkan begitu sahaja oleh pemimpin kaya raya ke sana sini dengan helikopter diapit ratu muda bergaya.

(Gambar: Janggut [kiri] menunjukkan masalah bekalan air di mana satu meter terpaksa dikongsi dengan 12 keluarga lain)

Kampung-kampung yang gelap gelita, nampak dari jauh seperti didirikan atas air yang sebenarnya berpunca dari air bertakung disebabkan tiada sistem perparitan sempurna.

Ke mana air hendak mengalir pergi jika tiada laluannya menyebabkan warnanya bertukar menjadi hitam pekat. Penduduk bimbang dengan wabak denggi berpunca dari serangan ganas nyamuk aedes.

Keadaan ini boleh dilihat dengan jelas di Kampung Batu Satu Jalan Lutong - Kuala Baram, Kampung Api Api, Kampung Pasir, Kampung Muhibbah dan sebagainya lagi.

Siapa dapat bayangkan mereka hidup dalam keadaan tiada bekalan elektrik di masa pemimpin kerajaan menyeru setiap rumah mesti mempunyai komputer.

Bagi mengatasi masalah itu, penduduk terpaksa membeli generator sendiri dengan harga melebihi RM2 ribu dengan kos minyak disel melebihi RM5 satu malam jika digunakan dari 7 hingga 11 malam.

Suasana di sebelah malam di sini tidak ubah seperti mereka semua tinggal berhampiran dengan kawasan industri besar sementelahan bunyi generator dari semua rumah bersipongang ke udara secara serentak.

Sadisnya. Untuk rekod, mereka sudah meneroka, mendirikan rumah sendiri dan mendiami kawasan itu lebih dua puluh tahun. Sedih hati mereka bila diberitahu terpaksa keluar dari kawasan itu menjelang 2015.

Pak Janggut atau nama sebenar Haling Anak Bagak, 41, sekeluarga yang lebih 20 tahun tinggal di Kampung Pasir berkata, "kami tidak mahu pindah-pindah lagi, ini tanah kami."

Tegasnya, berikan kami geran sah, semua masalah akan selesai.

Rupanya bukan isu bekalan tenaga elektrik sahaja membelenggui mereka selama ini. Masalah air bersih juga bersarang kecewa di hati mereka.

Sebagai gambaran ringkas, satu meter terpaksa dikongsi dengan sebelas kediaman lain. Satu bulan secara puratanya setiap rumah terpaksa membayar lebih RM40.

Bayangkan berapa jumlah bayaran untuk satu meter setiap bulan. Keadaan lebih rumit bila ada yang 'sangkut' tidak dapat jelas satu hingga tiga bulan. Akibatnya bekalan air ke semua kediaman terpaksa dipotong. Untuk mendapatkan semula meter, setiap rumah dikenakan denda sebanyak RM100 pula.

Persoalannya sampai bila mereka perlu hidup dalam keadaan begini dalam sebuah negeri kaya?

Jika kita tinjau harga barang pula, ada keperluan yang empat kali ganda dari Semenanjung. Jika tidak pun, ia mesti lebih mahal sekali ganda.

Semua harga ini terpaksa dibayar oleh rakyat Sarawak. Orang kaya memang tidak terasa apa-apa, namun bagaimana dengan orang biasa dan marhaen yang terpaksa membayar sama seperti harga orang berwang juga. Tiada kekecualian apa-apa.

Rakyat kebanyakannya tahu tentang kekuatan ekonomi negeri bersumberkan minyak, gas dan sumber hutan serta sebagainya.

(Gambar: Semua hadirin mengangkat tangan secara serentak bersetuju untuk membuat perubahan dalam pilihan raya esok hari.)

Hasil dari maklumat yang meniti dari bibir ke bibir, mereka juga tahu dan adakalanya lebih tahu, ke mana wang negeri itu berlegar dan hilang pergi entah ke mana.

Rakyat sudah sedar. Mereka mendapat maklumat sah dari banyak sumber. Generasi muda banyak memberikan informasi. Hasilnya kini, bila semua sudah sedar dan meninggi, timbul semangat berani yang tidak dapat dibendung lagi.

Rasanya tiada siapa lagi yang boleh menyekat mereka dari membuat perubahan secara revolusi menerusi peti undi bermula esok pagi.

Kesempatan penulis membuat tinjauan selama seminggu di Miri, baru-baru ini mengesahkan dengan pandangan mata kepala sendiri bagaimana hebatnya sesuatu kebangkitan bila ia berlaku.

Suasana dan jumlah kehadiran serta pungutan dana menerusi jualan dan derma dalam himpunan Pakatan Rakyat tidak dapat dicabar oleh BN.

Medan utama di pekarangan Klinik Dr Teo Yu Keng yang merupakan calon Keadilan untuk Dun Senadin di tengah Bandaraya Miri membimbangkan musuh.
Himpunan reformasi rakyat untuk buat perubahan dianggarkan sekitar 30 ribu dengan jumlah derma satu malam sahaja RM21 ribu.

Satu malam dalam satu himpunan sama, semua hadirin mengangkat tangan secara serentak (gambar) bersetuju untuk membuat perubahan dalam pilihan raya esok hari.

Berbanding dengan program jamuan makan malam anjuran calon BN dari SUPP yang merupakan Timbalan Ketua Menteri dan penyandang dua jawatan Exco Negeri Sarawak, sungguh malang tidak sampai 50 hingga 80 hadirin yang sanggup datang, itu pun dengan kenderaan percuma.

BN di banyak tempat membuat ceramah di hadapan kedai makan dengan mengambil kesempatan masa dan peluang ketika beberapa orang itu makan.
Mereka datang ke restoren itu bukan bertujuan untuk mendengar Koh Tsu Koon yang kerananya BN hilang negeri di Pulau Pinang; apa yang mahu diajarnya pada pengundi Miri untuk pertahankan Sarawak?

Satu ketika, Tsu Koon membelakangkan jalan utama kerana tiada orang di hadapannya sebaliknya hadirin leka makan-makan di meja dalam restoren tanpa peduli pun apa celotehnya.

Dalam satu ceramah bersama Dr Teo dan Presiden Kelab Penyokong Menteri Besar Selangor (MBSC), Khairul Anuar Othman, penulis sempat bandingkan keadaan dan suasana Sarawak 40 tahun di bawah BN dengan Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah di bawah PR.

"Bukti ada di depan mata kita, lihatlah beza bentuk pentadbiran antara bobroknya BN dan berkesannya PR dalam masa tiga tahun buktikan kemampuan mereka.

"Jika rakyat Sarawak boleh bersabar lebih 40 tahun dengan keadaan begini, kenapa tidak boleh beri peluang selama empat tahun untuk PR tunjukkan bentuk pemerintahan Kerajaan Sarawak Baharu?

"PR tidak bercakap kosong kerana mereka telah dapat buktikan kemampuan mereka di empat negeri Semenanjung: di Selangor, air percuma 20 meter padu pertama, ada skim warga emas, anak baharu lahir dan anak masuk universiti di samping jumlah pelaburan tetap antara tertinggi di Malaysia," hadirin memberikan perhatian mereka.

Peringatan untuk rakyat Sarawak, inilah masa dan peluang terbaik untuk mereka bersama mencipta sejarah baharu Negeri Sarawak. Jika tidak, mereka terpaksa menunggu lagi sehingga empat akan datang atau tidak akan berubah selama-lamanya.

Namun dalam keadaan sekarang, kebangkitan rakyat Sarawak mengatasi segala-galanya; mereka akan buktikan esok jatuhnya regim BN dan bentuk Kerajaan Baharu Pakatan Rakyat atau paling tidak menafikan 2/3 penguasaan BN selama ini.

Ingatlah, dunia dan Sarawak tidak akan KIAMAT semata-mata jatuhnya BN di negeri itu esok, cuma yang bezanya adalah teraju pentadbiran negeri yang bakal dipimpin oleh Pakatan Rakyat.

-----------------------------------------------------------

Ismail Hashim adalah wartawan Harakahdaily yang membuat liputan politik Sarawak. Beliau berada di Miri selama lima hari bermula hari penamaan calon PRN Sarawak.

Bekas CEO MIG dilantik Presiden KDEB
Harakahdaily

SHAH ALAM, 15 April: Kerajaan Negeri Selangor telah melantik ahli korporat berpengalaman Suhaimi Kamaralzaman sebagai Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) yang baharu.

Pelantikan beliau telah mendapat perkenan DYMM Tuanku Sultan Selangor dan berkuatkuasa 1 Jun 2011. Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KDEB dan juga menjawat jawatan Pengarah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad serta Taliworks Corporation Berhad.

Suhaimi, 42, berkelulusan bidang Akauntan dan Sains Pengurusan dari University of Kent, Canterbury, United Kingdom. Beliau adalah anggota Institut Akauntan Malaysia dan juga anggota Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales.

Sebelum menyertai KPS, Suhaimi adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Melewar Industrial Group (MIG) bermula Julai 2009 sehingga Februari 2010. Beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah Urusan/CEO MIG bermula Mac 2010 sebelum meletak jawatan pada Mei 2011.

Beliau berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pengurusan di syarikat-syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dimana beliau telah menyelesaikan pengambilalihan aset air di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Suhaimi akan bekerjasama rapat dengan Perunding Eksekutif/ Penasihat KDEB, YM Raja Idris Raja Kamaruddin untuk memastikan KDEB dan anak-anak syarikatnya diurus secara profesional.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan