Jumaat, 22 April 2011

JIKA SEDAR AMANAH ALLAH..LARI...CURANG DARI AMANAH ADALAH DOSA...BERJUANG KERANA LAIN DARI ALLAH..BOLEH SYIRIK

Pelayan hotel muda cabul pesara guru 64 tahun
Apr 22, 11 5:02pm

Seorang pelayan hotel didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur hari ini kerana mencabul seorang wanita warga emas di sebuah surau di Taman Nirwana, Ampang Jaya pada Selasa lalu.

Majistret Wan Karimah Wan Md Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu selepas Salahudin Hassan Sha, 23, mengaku memicit bahagian punggung pesara guru berusia 64 tahun itu dengan niat mencabul kehormatannya di bilik sembahyang wanita di surau berkenaan pada jam 4.55 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Salahudin yang tidak diwakili peguam, membayar denda itu.

Di mahkamah sama, seorang buruh rakyat Myanmar, Mohd Ali Mohd Yunus, 28, didakwa membunuh anak angkat lelakinya yang berusia dua tahun 10 bulan di Lot 1414, Lorong Permai 29, Ampang Campuran, Ampang Jaya antara jam 10 pagi dan 12 tengah malam, 12 April lalu.

Wan Karimah menetapkan 21 Jun ini bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

- Bernama

Anwar masuk ke ICU Azizah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 April: "Alhamdulillah kesihatan terkawal - belum ke ICU hanya ICU khas jagaan Azizah," tulis Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui twitternya hari ini ekoran berita yang tersebar kononnya sakit tulang belakang beliau berulang kembali.

"Insyaallah akan terus dengan jadual ke PK (sabtu) dan Kuching (Ahad)," sambung beliau.

Malayskini hari ini menyiarkan berita Ketua pembangkang dan ketua umum PKR itu telah membatalkan lawatan dua harinya ke Pulau Pinang yang sepatutnya dijadualkan bermula hari ini.

Menurut sumber dalaman parti, Anwar, yang juga ahli parlimen Permatang Pauh terpaksa mendapatkan rawatan perubatan di Kuala Lumpur kerana sakit tulang belakangnya berulang.

Sumber itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sejauh keseriusan sakit tersebut berikutan jadual ketat Anwar ketika berkempen pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu.

Timbalan presiden PKR Azmin Ali dijangka menggantikan Anwar di Pulau Pinang.

Anwar dijadualkan menghadiri beberapa majlis termasuk menghadiri perbincangan 'maqasid syariah' di Dewan Sri Pinang di Georgetown.


Jaga adab, jangan perlekeh dan burukkan pihak lain
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 April: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) mengingatkan seluruh ahli PAS menjaga adab-adab jemaah sepanjang kempen pemilihan parti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS itu berkata, biarpun kempen adalah dibenarkan, namun ianya sesekali tidak boleh memperlekeh dan memperburuk pihak-pihak lain.

"Kita menghormati hak ahli mencadang dan mencalonkan sesiapa untuk mana-mana jawatan dalam parti.

"Cuma kena jaga adab, jangan perlekeh atau burukkan pihak lain," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut mengingatkan bahawa jawatan kepimpinan dalam parti adalah amanah dan bukan perkara yang boleh dibuat main-main.

Sehubungan itu tegasnya, calon yang hendak dipilih perlu mempunyai dua syarat penting iaitu layak dan kedua, mempunyai kemampuan untuk menunaikan tanggungjawab.

Elak perang melalui media, blog


Mengulas trend sesetengah pihak di kalangan PAS yang gemar menggunakan media termasuk blog untuk menghentam mana-mana pimpinan dalam parti, beliau berkata perkara itu sewajarnya dielakkan.

"Kita kena berhati-hati dalam soal ini.

"Perang terbuka ini kadang-kadang tidak sangat membantu memperkukuh jamaah.

"Bahayanya kerana dia akan dimanipulasi dan akan ada pandangan-pandangan ekstrem terhadap individu dan jawatan tertentu," katanya lagi.

Awas manipulasi media

Ianya termasuk isu pencalonan Datuk Husam Musa bertanding jawatan presiden oleh PAS Bukit Bintang.

"Tetapi perbezaan yang ditunjukkan oleh Bukit Bintang itu kita raikan, itu hak kawasan," katanya.

Datuk Husam Musa dicalonkan oleh PAS Bukit Bintang untuk jawatan presiden namun begitu Husam telah menolaknya dengan berkata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi adalah calon yang paling layak untuk jawatan itu.

"Beliau adalah antara faktor penyatuan dalam PAS," kata Husam dalam reaksi segeranya kepada Harakahdaily sebelum ini ekoran ke atas pencalonan itu.

PAS akan mengadakan Muktamar Tahunan kali ke-57 pada 3 hingga 5 Jun ini bertempat di Dewan Datuk Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar Gombak, Selangor.

Tahun ini akan diadakan pemilihan untuk semua jawatannya samada di peringkat pusat, kawasan dan juga cawangan-cawangannya di seluruh negara.


Selangor tak restui perobohan kediaman secara paksa
Aziz Muda

SHAH ALAM, 22 April: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor tidak pernah merestui perobohan secara paksa sebarang kediaman warganegara Malaysia, kecuali setelah mencapai satu penyelesaian hasil rundingan yang diadakan.

Pendirian itu perlu difahami dan dan dihormati oleh kesemua pemaju, walaupun mereka telah mendapat perintah mahkamah untuk mengeluarkan sesebuah keluarga dari tanah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Iskandar Abdul Samad (gambar) menegaskan, sehubungan itu semua penguatkuasa-pengkuatkasa pihak berkuasa tempatan dan majlis daerah dilarang sama sekali terlibat di dalam sebarang perobohan seperti itu.

Menurut beliau, sejajar dengan itu pemaju Peter's Brickworks Sdn Bhd turut digesa agar meneruskan rundingan dengan penduduk walaupun mereka telah mendapat perintah mahkamah berhubung perkara itu.

Katanya, walaupun pemaju Peter's Brickworks Sdn Bhd telah mendapat perintah mahkamah untuk mengeluarkan 3 keluarga yang berada di atas tanah mereka, HSD 243799 PT 1777 di PJS1, Petaling Jaya, tetapi pendirian kerajaan Pakatan Rakyat Selangor itu tetap perlu dihormati oleh mereka.

"Oleh itu, diharapkan agar pihak pemaju akan meneruskan rundingan walaupun mereka telah mendapat perintah mahkamah agar keluarga-keluarga itu perlu berpindah pada 25 April 2011," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Adun Chempaka menjelaskan, amalan perobohan kediaman secara paksa hanyalah dilakukan di bawah kerajaan negeri Barisan Nasional (BN), tetapi di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, tindakan seperti itu tidak direstui sama sekali.

"Di bawah kerajaan BN Selangor yang lepas, mereka bukan sekadar tidak merestui tindakan seperti itu, malah mereka sendiri yang turut bersama-sama pemaju terlibat di dalam operasi perobohan kediaman.


Kepimpinan adalah Amanah, bukan kebanggaan
Nasrudin Hassan
ALQIADAH : TAKLIF LAA TASYRIF

Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS).

Justeru itu , ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara' , berpandukan petunjuk Al - Quran dan As - Sunnah.

Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).

عن أبى ذرّ قال: قلت يا رسول الله ألا تستعملنى فضرب بيده على منكبي ثم قال: " يا أبا ذرإنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدّى الذي عليه فيها.

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."

(Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus. Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain .

Apatah lagi dalam keadaan permukaan anak tangga yang licin dan mudah tergelincir. Kesabaran dan kematangan dalam mengambil langkah dan memutuskan sikap adalah dua elemen penting yang dilihat mampu memperkasakan institusi kepimpinan ini.

عن أبى موسى قال: دخلت على النبى صلى الله عليه وسلم أنا ورجلان من بني عمي فقال أحدهما: يا رسول الله أمرنا على بعض ما ولاك الله, وقال الأخر مثل ذلك فقال عليه الصلاة والسلام

"إنَّا والله لا نولِّى هذا العمل أحدا سأله أو أحدا حرص عليه

Maksudnya : Dari Abu Musa RA, Aku menemui Nabi saw. bersama dua orang lelaki dari sepupuku. Seorang dari keduanya berkata: Wahai Rasulullah, angkatlah kami sebagai pemimpin atas sebahagian wilayah kekuasaanmu yang telah diberikan Allah azza wa jalla! Yang satu lagi juga berkata seperti itu. Lalu Rasulullah saw. bersabda: Demi Allah, kami tidak akan mengangkat seorang pun yang meminta sebagai pemimpin atas tugas ini dan tidak juga seorang yang tamak utk memperolehinya .

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Janganlah kita menjawat atau menyandang status kepimpinan dengan pengaruh pidato atau populariti , begitu juga tidak dengan pengaruh senioriti dan downline . Sebaliknya sandanglah melalui thiqah atau kepercayaan yang diberikan oleh ahli parti berasaskan kelayakan dan keupayaan syari'e.

Thiqah ini pula bukan dibina melalui penonjolan imej dan pembiayaan komunikasi kita dengan ahli ( kerana ia boleh dilakunkan aksinya menjelang muktamar yang ada pemilihan ) tetapi thiqah lahir dari kesungguhan berjuang dan keikhlasan berkorban . Bertunjang pula di atas ketaqwaan yang tinggi dan Himmah yang berwibawa.

Memberi laluan kepada yang layak memimpin dalam keadaan kita adalah calon popular adalah jauh lebih bermaruah daripada kita terus menandingi jawatan kepimpinan tersebut. Tidak memegang jawatan bukanlah bermakna kita tidak boleh menyumbang kepada Islam dan parti yang memperjuangkannya.

Demikian juga mengambil tanggungjawab sebagai seorang pemimpin setelah mendapat thiqah dari ahli dan jamaah adalah mempamerkan ia sebagai seorang pemimpin yang ada kesungguhan berjuang dan himmah yang berwibawa.

Muktamar parti adalah medan untuk bermuhasabah , mengatur strategi , memperkasakan dalaman parti , membina kader dan memberi amanah kepada yang berhak dan layak . Muktamar jangan sekali kali dijadikan papan percaturan politik peribadi dan kelompok yang sangat dinilai hina oleh syara' .

Perwakilan semestinya matang menilai dan memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti mengharungi badai perjuangan membelah episod cabaran baru dunia global hari ini.

Tidak didorong oleh sebarang sentimen yang asing dari apa yang kita pelajari melalui skima pentarbiyyahan parti , yang kita timba selama ini melalui usrah dan kuliah haraki di pelbagai peringkat.

Calon kepimpinan pula tidak meminta diundi atau dipilih dengan pelbagai penampilan dan lobi yang tidak berasaskan keupayaan dan kelayakkan sebenar. Justeru ia hanyalah hipokritisme yang akan merosakkan parti dan dirinya sendiri.

عن عبد الرحمن بن سمرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم " يا عبد الرحمن لا تسأل الإمارة فإنَّك إن أوتيتها عن مسألة وكلت إليها وإن أعطيتها من غير مسألة أعنت عليها

Maksudnya: Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)

(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

Semoga muktamar PAS tahun ini , yang akan berlansung di Taman Melewar Gombak dan Shah Alam Selangor [Dewan - Dewan] akan menjanjikan satu muktamar yang bukan sahaja meriah pada sambutannya tetapi juga dilihat hebat dan perkasa menggarap perjalanan parti .

salam perjuangan dari saya

Nasrudin bin Hj Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Email 1Malaysia: Najib didakwa berbohong
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 April: Pendedahan demi pendedahan terhadap email 1Malaysia mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbohong kepada rakyatnya sendiri dan dilihat cuba untuk membantu syarikat yang ada kaitan dengan adiknya.

Pelbagai laman web dan blog mula mendedahkan perkara ini termasuk siapa sebenarnya yang berada di belakang syarikat yang hampir bankrap, Tricubis Berhad, yang mendapat projek bernilai RM50 juta ini.

Kemuncak dari dakwaan pembohongan ini adalah apabila Najib melalui Twiiternya membuat kenyataan bahawa, "E Mail 1Malaysia adalah projek swasta. Tidak ada wang awam yang terlibat dan semuanya secara sukarela."

Pelbagai pihak mempertikaikan projek Email 1 Malaysia ini. Dari segi keutamaannya, Exco kerajaan negeri Selangor, Rodziah Ismail mempertikaikan kenapa habiskan wang untuk email sedangkan yang diperlukan rakyat adalah ekses kepada internet.

Baru-baru ini, kerajaan melalui Pemandu, memberitahu, email yang kononnya percuma ini akan dikenakan pula bayaran kepada agensi-agensi kerajaan. Menurut satu sumber lain, kadar yang dijangka adalah 50 sen setiap satu email.

Melalui berita itu, Pengarah perhubungan dan infrastruktur NKEA Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek memberitahu stesen radio BFM, agensi kerajaan akan membayar yuran tertentu untuk menggunakan email ini kerana ia berkaitan dengan database.

Laman web Merdeka Review pula melaporkan, Tricubes Berhad, syarikat yang mendapat projek Email 1 Malaysia adalah syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan dan disenaraikan Bursa Malaysia dengan status GN3.

Jika ia gagal mengemukakan program penstrukturan semula kewangannya hujung Oktober 2011 ini, syarikat ini akan berdepan dengan risiko dikeluarkan dari senarai Bursa Malaysia.

Pemegang saham kedua terbesar Ticubes Berhad adalah Commerrce Technology Ventures Sdn Bhd, iaitu Private Equity Fund yang ditubuhkan oleh Bank Negara bersama Commerce Group ( atau Bumiputra-Commerce Holding Berhad Group).

Commerce Group atau Bumiputra-Commerce Holding Berhad Group kini dinamakan CIMB Group yang diterajui oleh adik Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak iaitu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, lapor Merdeka Review.

"Najib mahu rakyat percaya bahawa syarikat yang hampir bangkrap iaitu Tricubis Berhad yang diberikan kepercayaan untuk membangunkan projek email satu Malaysia akan mengeluarkan dananya sendiri.

"Najib mahu rakyat percaya syarikat yang mengalami masaalah kewangan ini akan mengeluarkan belanja RM50 Juta sebagai projek amal untuk kerajaan Satu Malaysia.

"Apa yang jelas, terbukti najib menipu rakyat secara terang-terangan. Email yang kononnya percuma rupanya akan dikenakan bayaran kepada agensi-agensi kerajaan," tulis blogger Milosuam dalam blognya.


Tiada kempen berlebihan dalam PAS
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 April: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan tidak berlaku kempen berlebihan dalam parti itu sehingga menyebabkan perpecahan.

"Calon sendiri tak berkempen. Tapi kalau pengikut-pengikiut yang berkempen, itu saya tak boleh nak halanglah.

"Dalam PAS budaya kita, masing-masing dah tahu etika kempen dan kempen macam pilihan raya tak berlaku dalam PAS," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini..

PAS, tambahnya tidak terikut-ikut dengan parti lain yang menangguhkan muktamar kerana ingin memberi tumpuan kepada pilihan raya umum yang dijangkakan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

"Saya agak parti lain menangguhkan mesyuarat agung mereka kerana takut pertandingan dalam parti akan menyebabkan perpecahan sebab kempen yang terlalu hebat.

"Tapi PAS ada budaya sendiri. Walaupun ada pertandingan tapi tak akan merosakkan perpaduan dalam parti .

"Jadi tak ada masalah nak teruskan (muktamar) melainkan pilhan raya diadakan pada Jun," katanya.

Beliau juga memberithau tarikh tutup bagi setiap kawasan menyerahkan borang pencalonan untuk jawatan tertinggi dalam PAS adalah pada 15 Mei ini.

Katanya, ianya bagi memberi peluang kepada setiap kawasan yang belum selesai mengadakan mesyuarat agung mereka untuk turut membuat pencalonan.

Jumlah pencalonan setiap kawasan tidak akan dibuka kepada umum termasuk Harakah dan Harakahdaily sehinggalah semua kawasan selesai membuat pencalonan.

"Pencalonan dari setiap kawasan tidak akan dibuka, diletakkan di satu tempat dan hanya akan dibuka setelah semua selesai.

"Saya sendiri pun tidak akses kepada jumlah pencalonan dan Harakah dan Harakahdaily pun tak boleh siar jumlah pencalonan itu," kata beliau.

Beliau berkata, setelah 179 kawasan selesai membuat pencalonan, ia akan dihantar kepada calon-calon tersebut dan mereka boleh memilih sama ada menerima atau menolak pencalonan tersebut.

Tempoh untuk menarik diri sehingga 26 Mei, sebelum kertas undi dicetak pada 28 Mei.

"Calon yang berhasrat diri untuk bertanding mesti menjawab surat tawaran yang dikeluarkan jawatankuasa pemilihan.

"Kelayakan bertanding ialah apabila seseorang itu mendapat minima dua pencalonan," jelasnya.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan ialah Pengarah jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Muktamar Tahunan PAS Pusat akan berlangsung pada 1 hingga 5 Jun dengan majlis perasmian pada 1 Jun bagi Muktamar Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat pada 2 Jun manakala muktamar penuh bermula 3 hingga 5 Jun.

Bagaimanapun tempat berlangsungnya muktamar akan dimaklumkan kemudian.

Menyentuh mengenai isu-isu yang akan dibangkitkan pada muktamar nanti, Mustafa berkata, ianya berdasarkan ucapan dasar Presiden dan menjangkakan pilihan raya umum ke-13 menjadi salah satu isu utama yang akan dibincangkan.

"Isu yang akan dibangkitkan berdasarkan ucapan dasar Presiden dan drafnya pun belum lagi siap. Jadi bergantung pada ucapan Presidenlah. Tapi berkenaan pilihan raya umum akan dibincangkan," katanya.


Umno hanya tahu kritik, tidak buat apa-apa
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 April: Dewan Pemuda PAS Titiwangsa kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah dengan memburuk-burukkan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali melalui pemasangan banner dan kain rentang di sekitar Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Timbalan ketuanya, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, tuduhan yang mengatakan kononnya Dr Lo' Lo' tidak membuat apa-apa tindakan berkenaan masalah tanah jerlus yang berlaku di Jalan Syed Mahadi Kampung Baru adalah fitnah yang sengaja diada-adakan oleh pihak tertentu bagi mempengaruhi penduduk di sekitar parlimen Titiwangsa.

“Apa yang sebenarnya berlaku, Dr Lo' Lo' dengan sepenuh kemampuan yang ada telah membantu penduduk-penduduk yang di timpa bencana tersebut,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, ahli parlimen itu sendiri telah melakukan tindakan yang proaktif berbincang dengan pihak-pihak seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengatasi kejadian itu.

Selain itu, katanya Dr Lo’ Lo’ dan pegawai Pusat Khidmat Titiwangsa sendiri membantu menyediakan tempat tinggal dan berusaha menggunakan sumber yang ada menyediakan makanan kepada mangsa bencana tersebut.

“Sungguh sedih dan mendukacitakan masih ada pihak yang sanggup menyebarkan fitnah dan tohmahan ahli parlimen Titiwangsa,” katanya.

Menurutnya, walaupun Pusat Khidmat Titiwangsa tidak mendapat peruntukan tahunan parlimen yang sepatutnya diterima untuk membantu penduduk di Parlimen Titiwangsa, tetapi Dr Lo' Lo' bersama-sama dengan Pusat Khidmat Titiwangsa dan PAS Titiwangsa tetap akan memberi khidmat kepada masyarakat semampu yang mungkin.

Soalnya, apa pula tindakan Umno dan Menteri Wilayah Persekutuan.

Katanya, Umno hanya tahu mengkritik dan menabur fitnah tetapi tidak membuat apa-apa tindakan.
Menurutnya, slogan Umno "Juara Rakyat" dan slogan Perdana Menteri "Rakyat Didahulukan" hanya slogan kosong yang penuh dengan janji-janji manis yang cuba memperbodohkan rakyat.

Baginya, mereka hanya tahu mengumpan rakyat untuk meraih undi menjelang pilihanraya yang semakin hampir seperti yang di 'hint'kan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pemuda PAS Titiwangsa berharap pihak-pihak yang mengeluarkan tuduhan tidak bertanggunjawab itu, menarik balik dan memohon maaf kepada YB Dr Lo' Lo' di samping turut sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang bernasib malang.

“Insya Allah Pemuda PAS Titiwangsa akan turun membantu dengan segala kudrat yang ada,” ujarnya.


Banjir kilat cacatkan negeri ‘maju’
Ahmah Danial

AYER KEROH, 22 April: Beberapa pihak mempertikaikan status negeri maju yang diisytiharkan kepada Melaka pada 20 Oktober 2010 ekoran banjir kilat yang berlaku di kawasan pentadbiran kerajaan negeri dan komersial di Melaka International Trade Centre (MITC).

Pengarah Nisa' Negeri Melaka, Mahani Osman, 41, berkata kejadian banjir kilat yang berlaku 2 hari lepas benar-benar memalukan negeri yang dikatakan berstatus negeri maju.

"Sebelum ini kejadian banjir kilat seringkali berlaku di kawasan lain, tetapi kali ini ia berlaku di kawasan yang dikatakan sangat maju dan menjadi pusat pentadbiran dan komersil iaitu di MITC.

"Terbukti mereka hanya pandai mendakwa sebagai negeri maju tetapi hakikatnya ianya tidaklah sebagaimana yang mereka dakwa, ianya cukup memalukan kita semua," ujar Mahani yang juga merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Yusof Wahab pula berkata kejadian banjir kilat yang memalukan itu membuktikan kelekaan dan kelemahan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang gagal menguruskan saliran dan longkang di kawasan tersebut sehingga menyebabkan air bertakung akibat longkang tersumbat.

"Takkanlah sudah banjir baru hendak ambil tindakan membersihkan longkang tersumbat, baru terkial-kial mencari punca kepada banjir kilat tersebut.

"Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan kerajaan negeri mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian ini yang membuktikan mereka hanya pandai mendakwa negeri maju tetapi gagal menunjukkan imej sebuah negeri maju.

"Benarlah apa yang didakwa oleh banyak pihak sebelum ini bahawa status negeri maju ini hanyalah syok sendiri, orang lain dan badan yang berautoriti pun tidak mengiktirafnya," jelas Yusof.

Ahmad Alang, 43, berkata sebagai penduduk Ayer Keroh beliau berasa malu kerana kejadian banjir kilat ini berlaku di kawasan yang dikatakan paling maju dan menjadi kebanggaan kerajaan negeri.

"MITC menjadi kebanggaan orang ramai kerana disitu ada pejabat-pejabat kerajaan, gedung perniagaan, hotel dan sebagainya, kejadian ini amat memalukan semua orang.

"Saya yakin banjir kilat ini berlaku disebabkan kegagalan pihak berwajib menjalankan penyelenggaraan kepada longkang dan sistem perparitan," katanya.

Menurut beliau selain itu ianya mungkin juga berlaku kerana projek pembangunan di sekitar kawasan itu yang tidak terkawal menyebabkan sistem perparitan menjadi tidak terurus yang akhirnya menyebabkan longkang tersumbat.

Ahmad mencadangkan pihak berwajib memeriksa sistem perparitan dan mengambil tindakan serta merta selain dari menyediakan jadual penyelenggaran yang sistematik dan berkesan.

Rakan beliau, Amar Fauzan, 21, dari Durian Tunggal pula berpendapat kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mestilah memantau projek-projek disekitar MITC bagi memastikan ianya tidak menjejaskan sistem perparitan di kawasan tersebut.

"Sekarang ini banyak projek mereka buat di sini yang menyebabkan tanah banyak masuk ke dalam longkang dan ini menjadikan longkang tersumbat.

"Longkang pula tidak selalu dicuci dan diperiksa, jadi bila hujan lebat banjir kilat berlaku," kata Ammar.

Dua hari lepas Melaka dikejutkan apabila beberapa kawasan khususnya jalan di kawasan MITC dekat Ayer keroh digenangi air selepas hujan turun dengan lebatnya selama 4 jam.


Muhyiddin memburu guru, kebajikan terabai
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 April: PAS kesal terhadap sikap Kementerian Pelajaran di bawah kendalian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Dr Fuad Zarkashi yang sibuk memburu guru-guru yang terlibat dengan pembangkang sebaliknya mengabaikan kebajikan guru-guru di sekolah.

Terkini, tindakan pertukaran Cikgu Maaruf Mutalib daripada Sekolah Menengah Tenang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pengelih Pengerang Kota Tinggi, adalah satu contoh "politik barbarian" yang diulang semula di Kementerian Pelajaran.

Pertukaran kerana surat cuti sakit Cikgu Maaruf semasa pilihan raya kecil Tenang.

“Persoalannya surat sakit yang dikemukakan ialah daripada doktor hospital kerajaan, bukan daripada dukun,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Beliau berkata, sepatutnya Muhyiddin dan Dr Fuad perlu turun ke padang melihat sendiri kebajikan guru-guru yang dibebankan dengan berbagai tugas.

Menurutnya, pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai tuntutan perjalanan yang dibuat oleh guru-guru yang pergi kursus anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah sejak bulan Mac 2010 masih tidak dapat.

Begitu juga, katanya lambakan guru Sains dan Matematik seramai 26,000 merupakan satu lagi ukuran kegagalan Muhyiddin dan Dr Fuad untuk membuat unjuran keperluan guru-guru di sekolah-sekolah.

“Akhirnya guru ini terpaksa mengajar mata pelajaran lain daripada pengkhususannya.

“Apabila keadaan ini berlaku yang menjadi mangsanya ialah murid-murid sedangkan Muhyiddin begitu lantang mengkritik tawaran Pakatan Rakyat kepada guru-guru, imbuhan bulanan RM500, sehingga menuduh negara akan hancur dan bankrap.

“Nampaknya sekarang siapa yang bankrap sehingga peruntukan untuk kementerian beliau tidak cukup,” ujarnya.

Beliau berkata, jika itulah watak menteri yang menguruskan kilang yang melahirkan modal insan, maka negara akan hancur kerana meritnya bukan kebolehan tetapi ketaksuban kepada Umno.

Idris turut mempersoalkan kenapa Pengarah Pendidikan Johor, Markom Giran tidak diambil tindakan kerana berkempen kepada guru-guru ketika pilihan raya kecil Tenang.

“Akhirnya kita ingin mengingatkan kepada Tan Sri Muhyiddin janganlah kamu melakukan kezaliman, kerana doa orang yang zalim tidak ada hijab dengan Allah.

“Ingatlah bahawa kamu ada anak isteri dan keluarga, kalau kamu tidak suka dizalim, Cikgu Maaruf dan Cikgu Normala juga tidak suka dizalimi,” ujarnya.

Beliau turut memberi peringatan khas untuk Fuad Zarkashi mengenai kata-kata Asy-syahid Syed Qutb di dalam buku yang dibaca sewaktu bersama PAS dahulu iaitu "kezaliman walaupun nampak kuat, ia tidak kekal, sedangkan kebenaran walaupun nampak lemah, ia akan menang".


Tiada ulasan:

Catat Ulasan