Rabu, 27 April 2011

FATWA LOK2....TELUS...TIDAK BERKEPENTINGAN....SILAP2 HARIBULAN...MENCAMPAK DIRI DALAM NERAKA ALLAH....SENDIRI MAU INGATLAH...

Mahfuz Omar: Pekung sudah terbuka
Datuk Mahfuz Omar

Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) yang baru Datuk Khalid Abu Bakar (gambar) mengumumkan bahawa PDRM tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya.

Sebaliknya ujar beliau, PDRM akan tampil secara terbuka dalam proses penguatkuasaan undang-undang termasuk peraturan lalulintas.

Beliau seterusnya memberikan peringatan bahawa dengan pendekatan baru ini jika pengguna jalanraya disaman, mereka perlu menjelaskannya.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana secara tidak langsung ia mengesahkan perjuangan KASE selama ini bahawa tindakan menyorok di belakang tiang, menyorok di dalam belukar dan di atas jejantas dalam operasi perangkap laju yang disusuli dengan Saman Ekor adalah bukan suatu cara pendidikan undang-undang yang baik.

KASE menyambut baik tindakan ini kerana ia bukan sahaja lebih efisyen dan telus malah boleh menyelesaikan masalah-masalah lain seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu dan secara tidak langsung mendidik pengguna jalanraya supaya memandu dengan berhemah.

Walaubagaimana pun pengumuman TKPN tersebut juga telah membuka pekung mereka kerana jelas selama ini mereka melakukan tindakan secara tidak wajar.
Undang-undang dan peraturan bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi adalah bertujuan mengawal keharmonian dan keselamatan masyarakat. Tindakan menyorok di belakang tiang dan sebagainya yang dilakukan PDRM sejak lebih dua dekad sudah terbukti bukan pendekatan yang baik dan wajar.

Pengumuman TKPN ini adalah suatu permulaan yang baik tetapi ia telah membuka beberapa persoalan lain yang perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Persoalannya, kenapa setelah lebih dua dekad baru PDRM menyedari bahawa tindakan tersebut tidak cekap, tidak efisyen malah telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna jalanraya. Kita merasakan amat malang mempunyai agensi penguatkuasa yang lembab dalam mengenalpasti cara perlaksanaan undang-undang dan peraturan.

Setelah berapa banyak rakyat disusahkan dan dipaksa membayar kompaun tanpa sebarang bukti kesalahan, barulah PDRM sedar tindakan tersebut tidak efisyen dan mengumumkan tidak akan digunakan lagi. Kenapa baru sekarang mereka sedar?

Notis Pol 170A atau lebih popular dikenali sebagai “Saman Ekor” dikeluarkan ekoran perlaksanaan perangkap laju secara menyorok oleh PDRM. Apabila TKPN mengumumkan teknik menyorok tidak lagi akan digunakan, apakah status “Saman Ekor” yang dikeluarkan dahulu?

Apakah status “Saman-saman Ekor” yang sudah dibayar ekoran paksaan PDRM dengan ugutan menyenarai hitam pemilik kenderaan? KASE berpendapat bahawa “Saman-saman Ekor” yang dikeluarkan dan terdapat di dalam sistem PDRM sebelum pengumuman TKPN dibuat hendaklah dihapuskira.

Ini kerana “Saman-saman Ekor” tersebut dikeluarkan secara tidak telus malah lebih kepada penyalahgunaan peraturan oleh pihak PDRM. Adalah lebih baik melupuskan sahaja daripada membuang masa dan tenaga untuk menguatkuasakan sesuatu yang tidak betul.

KASE seterusnya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDRM dan JPJ berkaitan proses penguatkuasaan perangkap hadlaju. Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 (APJ 2010) mula berkuatkuasa pada 1/2/2011.

Melalui APJ 2010 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan di mana ia merangkumi kesalahan-kesalahan seperti memandu melebihi hadlaju, tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu kenderaan selain bas di lorong bas. Sistem ini akan dikendalikan oleh dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd.

Pengenalan AES melalui APJ 2010 ini menggambarkan bahawa semua perangkap hadlaju akan dikendalikan hanya oleh dua syarikat swasta ini. Apakah status saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 1/2/2011 ini? Tidakkah ianya bertindih dengan AES?

Penjelasan perlu diberikan supaya tidak ada penguatkuasaan bertindih dilakukan di mana pengguna akan terbeban dan dizalimi. Adakah dengan pengenalan dan perlaksanaan AES ini bermaksud PDRM tidak lagi menjalankan operasi perangkap hadlaju?

Rakyat Malaysia juga secara keseluruhannya perlu faham bahawa APJ 2010 yang mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 telah memperakui “Saman Ekor” malah penguatkuasaan “Saman Ekor” pada masa depan tidak lagi bermusim malah secara 24 jam tanpa henti.

Perlu diambil perhatian bahawa “Saman Ekor” di bawah APJ 1987 ialah Notis meminta maklumat di bawah Seksyen 115 APJ 1987 tetapi di bawah APJ 2010, Saman Ekor adalah saman yang sah bukan lagi notis.

Walau pun PDRM mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menyorok tetapi apa yang lebih teruk ialah penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalanraya selepas ini sudah diswastakan.

Akhirnya KASE mendesak kerajaan menghapuskira Saman-saman ekor yang lama dan seterusnya memperbanyakkan kempen penerangan berkaitan AES dan juga kesan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 kepada rakyat keseluruhannya. KASE berpendapat APJ 2010 yang diperkenalkan masih tidak difahami oleh rakyat. Bagaimana hendak kuatkuasakan undang-undang jika rakyat tidak pernah diberikan pemahaman dan maklumat.
-----------------------------
Penulis adalah Naib Presiden PAS Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE).

17 keluarga peneroka bandar terus pertahan hak
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 26 April: Sebanyak 17 dari 470 keluarga peneroka bandar Bukit B Kampung Kerinchi yang terletak di kawasan Lembah Pantai, di sini, akan terus mempertahankan hak masing-masing, setelah 453 keluarga lain terpedaya dengan permainan politik kotor para pemimpin Umno BN.

Mereka bertegas untuk tidak berpindah, malah akan terus bertapak di kawasan yang diduduki sekarang selagi keputusan yang adil tidak diberikan kepada mereka, memandangkan segala rundingan terkini yang diusahakan oleh para pemimpin Umno BN dan pihak-pihak terbabit tersasar dari perjanjian asal.

Pemangku Pengerusi Persatuan Bertindak Peneroka Bukit B Kampung Kerinchi, Hisham Hashim, 43, (gambar)menjelaskan, mengikut perjanjian asal dari rundingan yang diadakan, jika mereka bersetuju dengan rundingan yang diadakan itu, mereka akan ditawarkan rumah PPR Kerinchi yang sudah dibangunkan beberapa tahun lalu.

Menurut beliau, rundingan dan janji tersebut dibuat oleh bekas Ahli Perlimen Lembah Pantai yang juga bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan 470 keluarga terbabit di dalam Balai Islam Bukit B Kampung Kerinchi.

Katanya, namun setelah kerusi Parlimen Lembah Pantai jatuh ke tangan Nurul Izzah, Shahrizat datang mengadakan rundingan dengan keluarga-keluarga terbabit bagi kali keeempat dengan menjelaskan yang beliau sudah tidak lagi mampu berbuat apa-apa dengan segala perjanjian yang telah dipersetuju dan ditandatangani dulu.

"Sebaliknya, Shahrizat meminta kami mengadakan rundingan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang juga Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai yang baru yang menggantikannya, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bagi menyelesaikan masalah tersebut yang belum sempat diselesaikannya," katanya ketika ditemui di Kampung Kerinchi, di sini, hari ini.

Dalam proses menyelesaikan segala masalah yang timbul, menurut beliau, keluarga-keluarga terbabit telah dipengaruhi oleh para pemimpin Umno agar melupakan sahaja perjanjian yang telah ditandatangi itu untuk berpindah ke PPR Kerinchi, sebaliknya diminta bersetuju untuk berpindah ke tempat lain iaitu ke PPR Chempaka yang terletak di Pantai Dalam.

Bagaimanapun, PPR Chempaka yang ditawarkan itu terletak 15 meter dari loji najis seluas 3 ekar. Flat itu juga bertaraf pajakan selama 99 tahun dan telah berusia 45 tahun, tetapi sememangnya masih terdapat beberapa unit yang kosong.

(Gambar kanan: PPR Kerinchi yang dijanjikan dalam perjanjian asal untuk diberikan kepada para peneroka bandar Bukit B Kampung Kerinchi.)

Setelah dibantah keras oleh 470 keluarga terbabit, dalam rundingan yang diadakan kemudiannya, mereka memberikan alasan baru dengan mengatakan perpindahan ke PPR Chempaka itu adalah tawaran perpindahan yang diberikan kepada mereka, tetapi jika mereka bertegas untuk berpindah ke PPR Kerinchi, mereka mestilah membeli sendiri unit rumah yang dikehendaki itu.

Sementara seorang lagi peneroka bandar Bukit B Kampung Kerinchi yang ditemui, Kadir Hashim, 41, berkata, alasan yang diberikan, perpindahan dengan membeli tak sama dan ini jelas membuktikan para peneroka bandar di Kampung Kerinchi telah tertipu dengan permainan politik kotor mereka.

"Pada hal dalam borang asal yang diberikan oleh mereka untuk diisi oleh para peneroka bandar berkaitan PPR Kerinchi itu merupakan permohonan rumah untuk perpindahan," katanya.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Raja Nong Chik selepas itu pula, dinyatakan pemilik-pemilik tanah sudah bersetuju untuk membeli dan menyewa (sewa beli) flat PPR Chempaka dan telah membayar RM5,000 seorang sebagai bayaran permulaan.

"Bila kami bangkang, mereka tetap juga menyuruh kami pindah ke flat PPR Chempaka. Bila kami bangkang lagi, hak kami terus dilupuskan lalu diberikan kepada penduduk flat PKNS Kampung Kerinchi.

"Inilah permainan politik jahat para pemimpin Umno bersama pihak DBKL dan pihak pemaju terhadap kami. Akibat tekanan demi tekanan yang dikenakan, akhirnya 453 dari 470 keluarga peneroka bandar Kampung Kerinchi telah bersetuju berpindah ke PPR Chempaka," jelasnya yang juga adik kepada Hisham.

Untuk mendapatkan haknya seperti yang dijanjikan itu, 17 keluarga terbabit terus mengadakan bangkangan, tetapi akhirnya berkesudahan dengan tragedi kebakaran rumah setinggan yang didiami Hisham dan kelurganya.

"Pihak kami memang tahu siapa yang mencetuskan tragedi itu. Report polis telah dibuat di Balai Polis Jalan Pantai Baru tapi tetap tak ada apa-apa," katanya yang juga AJK Cabang PKR Lembah Pantai.

Akibat kejadian itu, Hisham dan keluarganya hanya tinggal sehelai sepinggan sahaja dan terpaksa menumpang tinggal di Balai Islam Bukit B Kampung Kerinchi selama 2 bulan, sebelum berjaya membeli sebuah rumah setinggan lain yang telah dikosongkan ekoran perpindahan pemiliknya ke PPR Chempaka berharga RM500.

"Kini walau apa pun yang terjadi, kami tetap melawan untuk mempertahankan hak kami. Kami tetap akan teruskan bantahan kami sehingga kami memperolehi satu keputusan yang adil antara kami para peneroka bandar, pemaju dan pemilik tanah.

"Namun sekarang rundingan telah tersangkut. Raja Nong Chik membiarkan sahaja perkara ini tanpa sebarang penyelesaian sehingga sekarang. Kami sendiri pun tak tahu sampai bila perkara ini akan diselesaikan," katanya.

Masuk bulan April 2011, bermakna masalah mereka itu sudah berlarutan sehingga setahun enam bulan. Untuk menyelesaikannya memerlukan rundingan bersama antara 17 keluarga peneroka bandar terbabit, pihak DBKL, pemilik tanah, pihak pemaju dan Raja Nong Chik.

"Disebabkan masalah menjadi dah semakin rumit, jika nak diadakan rundingan dengan kami sekarang, rundingan itu mestilah hanya antara kami, pemilik tanah dan DBKL sahaja.

"Kami dah tak mahu lagi mengadakan sebarang rundingan dengan Raja Nong Chik kerana dia tetap gagal menyelesaikan sebarang masalah kami. Kehadirannya ke dalam mesyuarat rundingan yang hendak diadakan itu mestilah sebagai pemerhati sahaja," tegasnya.

17 keluarga peneroka bandar terbabit membabitkan sekitar 37 penghuni setinggan Kampung Kerinchi yang menjadi mangsa akibat perancangan pembangunan di kawasan itu ketika Lembah Pantai berada dalam penguasaan Umno BN dulu, yang masih belum diselesaikan oleh para pemimpin Umno BN hingga kini.

Kejadian itu bukan sekadar berpunca dari dolak dalih para pemimpin Umno BN untuk tidak memberikan rumah PPR Kerinchi kepada mereka seperti yang terdapat dalam perjanjian asal dengan mereka, tetapi juga berkaitan dengan pengambilan tanah yang tidak betul dengan membelangi akta peneroka bandar dan akta tanah.

"Kami memang ditekan dengan pelbagai tekanan oleh para pemimpin Umno BN sejak kami mula membangkang tindakan-tindakan mereka yang tidak betul itu.

"Namun inilah liku-liku perjuangan kami yang tak boleh mengalah untuk mempertahankan hak kami sebagai warganegara Malaysia berketurunan Melayu yang sememangnya mempunyai keistimewaan tertentu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, termasuk dari segi agama, kemudahan perumahan, pendidikan, kesihatan, kemudahan-kemudahan asas dan sebagainya.

"Kesemua itu adalah tanggungjawab pemimpin negara terhadap kami. Jadi tidak ada sebab untuk kami mengalah jika hak-hak kami itu diabaikan oleh pemimpin negara," tegas beliau.

Manakala seorang lagi peneroka bandar Bukit B Kampung Kerinchi yang ditemui, Wan Yusoff, 39, menjelaskan, rakan-rakan mereka yang telah bersetuju dengan tawaran perpindahan ke flat PPR Chempaka kini amat menyesal kerana terpedaya menerima tawaran itu.

"Menurut mereka yang telah berpindah itu, lebih baik tak pindah daripada pindah kerana flat yang diduduki sekarang amat tidak selesa. Disebabkan terletak di tepi loji najis, mereka sentiasa terhidu bau najis sejak tinggal di flat itu.

"Selain itu, ada juga yang berasa amat terkilan kerana loji najis itu terletak di sebelah kiblat, sehingga menjadikan mereka seperti menghadap loji najis apabila mendirikan solat," katanya.

Beliau turut kesal dengan pembinaan flat tersebut kerana ia dibina amat dekat dengan loji najis, sedangkan loji najis itu sudah dibina terlebih dahulu daripada flat tersebut di kawasan itu.

"Ini jelas menunjukkan perancangan yang tidak betul yang semata-mata dibuat untuk kepentingan peribadi mereka sendiri, tanpa mempedulikan kepentingan orang ramai terutama para penghuni flat PPR Chempaka itu sendiri," ujar beliau.

Kami tidak menang tanpa sokongan bukan Cina - DAP
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 26 April: Kemenangan 12 kerusi daripada 15 kerusi yang ditandingi DAP pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini adalah kerana DAP turut disokong oleh pengundi bukan Cina serta faktor pengundi bandar dan luar bandar.

Jelasnya, tanpa sokongan sekurang-kurangnya 25 peratus pengundi bukan Cina, DAP tidak akan dapat memenangi 12 kerusi itu.

"Tanpa sokongan daripada pengundi bukan Cina, kita tidak dapat menang 12 kerusi dan secara purata sokongan pengundi bukan Cina ialah 32 peratus. Ini analisa yang kita buat," kata beliau pada sidang media di ibu Pejabat DAP, dekat sini hari ini.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan para pemimpin Umno dan media mereka kononnya DAP menang di Sarawak kerana memainkan sentimen perkauman.

Sedangkan bagi DAP, mereka menjadikan isu penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Menteri Taib Mahmud sebagai modal kempen utama mereka.

Guan Eng berkata, DAP juga menang di kebanyakan kawasan bandar, berbeza dengan BN yang memenangi kerusi di pedalaman dan luar bandar.

Ini menunjukkan pengundi yang bermaklumat di bandar akan menyokong Pakatan manakala pengundi tanpa maklumat yang cukup di luar bandar boleh dimanipulasikan oleh BN.

"Perbezaan undi yang kita dapat bukan berdasarkan kaum tapi berdasarkan lokasi, faktor geografi iaitu luar bandar dan bandar. BN hanya menang di kawasan pedalaman.

"Yang paling tinggi DAP menang ialah Kidorong, kita dapat sokongan 63 peratus pengundi bukan cina dengan majoriti 7,000 undi. Tanpa sokongan bukan Cina DAP tak mungkin dapat undi sebegini," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Analisa ini tegasnya sekaligus menafikan dakwaan Umno BN bahawa DAP menang banyak kerusi di Sarawak kerana semangat perkauman.

Menurutnya, rakyat Sarawak sendiri yang mahukan perubahan dan menolak kepimpinan Ketua Menterinya, Tan Sri Taib Mahmud yang penuh dengan salah guna kuasa.

"Percubaan Umno untuk cuba menjadikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebagai satu isu perkauman adalah satu tindakan terdesak yang cuba menafikan sebab sebenarnya mereka kalah di sarawak.

"Tiga sebab utama mereka hilang lapan peratus undi popular ialah rakyat sarawak mahukan perubahan setelah lama diperintah Taib Mahmud, tak mahu rasuah berterusan dan mahu urus tadbir yang baik," katanya.

DAP, PKR dan PAS berjaya mengurangkan lapan peratus undi popular BN daripada 63 peratus pada pilihan raya tahun 2006 kepada 55 peratus dalam pilihan raya baru-baru ini.

Namun yang menghairankan DAP adalah, BN berjaya mendapat 77 peratus kerusi walaupun undi popular yang diperolehinya hanya 55 peratus.

"Ini adalah satu kezaliman BN dalam persempadanan kerusi pilihan raya di Sarawak," kata Guan Eng.

DAP cabar Wan Ahmad


Dalam pada itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mencabar Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), datuk Wan Ahmad Wan Omar agar memberikan penjelasan yang lebih berhubung dakwaannya terhadap DAP.

Wan Ahmad mendakwa, seorang calon DAP telah memainkan sentimen perkauman apabila dalam satu ucapan tertutupnya berkata, "Sudah cukup orang Melanau menjadi Ketua Menteri."

Wan Ahmad berkata, dia hanya memetik kata-kata Menteri Penerangan, Datuk Sri Rais Yatim.

"Ini bukan kenyataan dari seorang pemimpin badan bebas seperti SPR.

"Saya menuntut Wan Ahmad memberikan penjelasan yang lebih lagi kerana penjelasan ini tidak cukup untuk beliau menuduh DAP bersikap perkauman kerana tidak ada bukti yang diberikan, hanya berkata Rais yang kata begitu.

"Jika tidak, saya difahamkan DAP Sarawak akan mengambil tindakan yang sewajarnya," kata beliau.

Selaraskan fatwa agar tidak jadi bahan gurauan
Harakahdaily

KUANTAN, 26 April: Sesuatu fatwa yang ingin diputuskan perlu diselaraskan terlebih dahulu untuk mengelakkannya menjadi bahan gurauan dan mainan ketawa orang ramai, nasihat Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim berkata walaupun terdapat sedikit kesukaran dalam menyelaraskan fatwa kerana ada yang tertakluk di dalam bidang kuasa negeri, namun perkara ini perlu diselesaikan dengan baik dan tegas kerana fatwa yang berbeza akan menyusahkan rakyat.

“Biasanya kalau asas pengharaman itu sama, maka tidak timbul fatwa berbeza antara negeri-negeri.

Akan tetapi, disebabkan tiadanya penyelarasan antara ahli-Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, maka terjadinya perkara seperti ada negeri yang terlalu laju dalam memberi fatwa berbanding Majlis Fatwa Kebangsaan. Jadi, implikasi daripada fatwa itu menjadi sangat besar,” terangnya.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut mengambil contoh fatwa larangan merokok di Pahang sebagai hujah betapa pentingnya proses penyelarasan fatwa yang dicadangkannya.

“Seperti Pahang yang mengharamkan merokok, sedangkan negeri lain belum mengharamkannya. Ini bermakna kalau seseorang menghisap rokok, bilamana ia melepas terowong ke Pahang mesti dipadamkan rokoknya,” katanya.

Disebabkan ketidaksetaraan fatwa seperti itu, ujarnya, akan menganiaya sesuatu fatwa sehingga menjadi satu bahan gurauan dan mainan tertawa orang ramai.

“Ini akan merendah-rendahkan sesuatu fatwa itu,” tambah Tuan Ibrahim.

Beliau turut berkata perkara yang sama turut berlaku dalam isu fatwa tarian poco-poco di mana, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria telah terlebih dahulu memutuskan bahawa tarian poco-poco adalah haram untuk orang Muslim di negeri Perak telah menimbulkan pelbagai pertikaian daripada pelbagai pihak.

Perkara ini menjadi lebih mengelirukan untuk umat Islam, Jumaat lalu, apabila Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dipetik sebagai berkata bahawa umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.
Walaupun berbeza dengan fatwa negeri Perak, Abdul Shukor turut dipetik sebagai berkata bahawa jawatankuasa itu menghormati keputusan negeri tersebut untuk mengharamkan poco-poco sejak Januari lalu.

Namun begitu, perkara ini dinafikan Harrusani hari ini.


Harussani terkejut

“Dalam mesyuarat kita tidak bincangkan langsung pasal tarian poco-poco, apa yang berlaku saya hanya memberikan penerangan kenapa ia diharamkan . . . kita tidak bincangkan secara umum isu ini.

“Sebab itu saya terkejut apabila dalam akhbar kata Majlis Fatwa Kebangsaan benarkan tarian poco-poco di negeri lain, kita tidak bincangkan pun perkara ini... jadi bagaimana boleh kata macam itu,” kata Harussani (gambar) yang dipetik The Malaysian Insider, sambil menambah bahawa beliau sudah mendapatkan penjelasan Abdul Shukor dan dimaklumkan media telah salah faham.

Dalam pandangannya terhadap perkara ini, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa fatwa bukan direka untuk menjaga hati mana-mana pihak dan dibuat berdasarkan garis panduan yang mengikuti peraturan syarak.

“Oleh itu, PAS menggesa seluruh umat Islam menghormati sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan,” katanya.

Bagi golongan yang tidak dibekalkan asas agama yang cukup dalam memahami kaedah syarak, beliau menasihatkan mereka untuk membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah syarak untuk pengambilan sesuatu hukum sebelum membuat sebarang ulasan dan pertikaian terhadap fatwa yang dikeluarkan.

“Apakah mereka membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah pengambilan sesuatu hukum terlebih dahulu sebelum mempertikaikannya?

Namun, persoalan ini timbul mungkin kerana kegagalan kerajaan melalui kementerian menjadikan mata pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras dalam mana-mana peperiksaan, sehinggakan ada golongan yang tidak memahami agama secara mendalam sanggup mempertikaikan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya dengan kesal.


Judi: Utusan bidas BN, polis?
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 April: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berpendapat laporan akhbar Utusan Malaysia semalam bertajuk 'Pulau Pinang lubuk judi?' hanya mahu menempelak kerajaan Persekutuan.

Katanya, beliau tidak nampak isu tersebut memberi imej buruk kepada kerajaan negeri itu yang diterajui DAP, memandangkan umum mengetahui bahawa kuasa meluluskan lesen judi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno BN.

Begitu juga penguatkuasaan terhadap sebarang judi haram. Ia adalah bidang kuasa polis bukannya kuasa kerajaan negeri.

"Saya rasa Utusan pun tahu la. Lesen judi bukan diluluskan oleh kerajaan negeri, tapi oleh kerajaan persekutuan.

"Kalau Utusan cakap macam itu, macam dia menepuk air kena ke muka sendiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di ibu negara hari ini.

Tambahnya, pihak kerajaan negeri juga tidak berkuasa mengambil tindakan undang-undang kerana bidang kuasa tersebut hanya ada pada pihak polis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar pro-Umno itu semalam berhubung peningkatan kadar tangkapan sindiket judi di pulau pinang.

Guan Eng bagaimanapun menegaskan, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak pernah meluluskan sebarang lesen untuk tujuan itu.

"Jadi saya tidak tahu, dia (Utusan) serang kerajaan DAP Pualu Pinang ke, atau kerajaan Persekutuan dan pihak polis," katanya.

Turun harga barang


Sementara itu, pada sidang media sama, beliau yang juga Setiausaha DAP Kebangsaan mahu kerajaan memberi penjelasan berhubung harga barangan keperluan masih tinggi biarpun nilai ringgit meningkat.

Katanya, nilai ringgit yang kini pada RM2.99 untuk 1 USD adalah pada kadar tertinggi dalam tempoh 14 tahun.

"Kesannya, barangan import kita jadi murah sebab nilai ringgit kita tinggi, namun untuk 6 bulan ini kita tidak lihat lagi harga barang diturunkan," katanya.

Sebelum ini ujarnya, kerajaan sering menggunakan perbandingan dengan Amerika untuk menaikkan sesuatu harga barang, namun dalam keadaan terbaru ini tiada pula perbandingan sama dibut untuk menurunkan harga barang tersebut.

"Kita bagi tempoh sebulan kepada kerajaan BN untuk bertindak menurunkan harga barang ini," katanya.

Awas pencurian wang melalui LHDNM
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 26 April: Seluruh anggota masyarakat di negara ini dinasihatkan berhati-hati dengan e-mel (HASIL refund-payment@hasil.gov.my) ketika melayari internet, apabila ia telah dikesan sengaja diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri wang orang ramai, terutama wang pembayar cukai.

E-mel yang masih muncul sekali-sekala ketika orang ramai melayari internet itu mengatakan para pembayar cukai layak diberikan bayaran balik sejumlah RM700.

Mereka lalu diminta klik kepada http//62.23.69.2/hasil.gov.my/index.php.htm yang mengarahkan pembayar cukai memberikan butiran diri dan nombor bank mereka.

Seorang pelayar internet yang juga pembaca Harakahdaily, Mohd Zamri Hassan, 45, dari Kuala Lumpur menegaskan, pihak LHDNM sememangnya telah pun membuat penafian mengeluarkan e-mel tersebut menerusi surat edarannya sejak 14 Mac 2010 lalu untuk mengelakkan orang ramai terus tertipu.

Menurut beliau, surat edaran tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Korporat LHDNM, Mazlan Wan Chik yang menjelaskan tentang pengesahan LHDNM bahawa e-mel tersebut adalah palsu.

"Sebaliknya, ia merupakan aktiviti phising oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri maklumat dan wang pembayar cukai," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, LHDNM turut menasihatkan orang ramai yang menerima e-mel tersebut agar tidak membukanya serta menghapuskannya serta dilarang memberikan sebarang maklumbalas terhadap arahan yang terkandung di dalamnya.

Unit Keselamatan ICT, Jabatan Teknologi Maklumat, LHDNM, katanya dilaporkan telah bertindak pantas dengan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, apabila mengesan aktiviti tersebut dan laman tersebut juga telah dipintas dan ditutup.

"Menerusi surat edaran tersebut turut dijelaskan bahawa kewujudan e-mel tersebut adalah cubaan kali ketiga dari pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu pembayar cukai. Jadi, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati supaya tidak tertipu apabila menerima e-mel tersebut dan e-mel sepertinya," tegasnya.

Sebaliknya, para pembayar cukai sendiri perlu sedar bahawa setiap data dan maklumat pembayar cukai adalah dijamin selamat dalam simpanan LHDNM.

Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan dan kemusykilan berkaitan perkara itu bolehlah berhubung dengan Pusat Khidmat Pelanggan LHDNM di talian 1-300-88-3010 atau melalui e-mel callcentre@hasil.gov.my.

Namun Mohd Zamri hairan, walaupun tindakan tegas dan pantas dikatakan telah diambil oleh pihak LHDNM dan pihak bertanggungjawab yang lain, beliau dan beberapa orang rakannya masih lagi terkesan e-mel tersebut yang muncul sekali-sekala ketika mereka melayari internet.

"Saya sendiri mujurlah tidak tertipu kerana cepat dimaklumkan oleh rakan saya mengenai perkara itu yang turut forward surat atau e-mel edaran LHDNM itu kepada saya," katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan lebih berkesan ke arah mengatasinya agar e-mel tersebut dan yang sepertinya tidak lagi bermaharajalela mengambil kesempatan menipu orang ramai menerusi perkembangan internet atau dunia tanpa sempadan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan