Selasa, 26 April 2011

BUKAN TAK TAHU....MUNGKIN BENAR2 TAK TAHU...TAPI TAK MAU DENGAR PENERANGAN ORANG LAIN SBB TAKSUB...ATAU KERANA ADA KEPENTINGAN....

Melayu mesti tolak perkauman sempit Umno
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 April: Semenjak selesai Pilihan Raya Sarawak di mana DAP telah menang di 12 kerusi DUN, DAP telah menjadi sasaran pencacai Umno khususnya Utusan Malaysia dengan slogan ‘Bersatulah Melayu’ mereka.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) berkata, ini dilakukan walaupun diketahui umum bahawa semua parti-parti komponen PR juga turut menunjukkan prestasi yang semakin meningkat.

DAP, katanya dijadikan sasaran kerana mereka telah berjaya memperolehi kebanyakan undi dari masyarakat Cina dan dengan itu dikatakan bahawa Cina telah bersatu bawah DAP.

Katanya, dengan gaya pemikiran perkauman sempit yang menguasai minda Umno, maka tidak pelik bagi kita apabila kejayaan DAP untuk meraih undi Cina ditafsirkan sebagai penyatuan Cina untuk ‘menentang Melayu’.

“Pemikiran perkauman yang menguasai minda Umno, yang diluahkan melalui lidah tidak rasmi mereka, iaitu Utusan Malaysia, tidak berkemampuan memikirkan sebab dan alasan yang lain mengapa masyarakat Cina secara padu menyokong DAP,” tulis beliau di dalam blognya.

Menurutnya, mata mereka dikaburi perkauman dan telinga mereka didendangkan dengan sorakan-sorakan perkauman, tiada yang mereka mampu lihat dan tiada yang mereka mahu dengar melainkan perkauman.

Hakikatnya, kata beliau masyarakat Cina telah menyokong calon DAP dan menolak calon SUPP. Kedua-duanya adalah berbangsa Cina.

“Persoalannya, mengapa masyarakat Cina menyokong seorang calon Cina dan menolak calon Cina yang satu lagi?” soalnya.

Kata beliau, ianya tidak boleh dijawab dengan alasan perkauman kerana pada hakikatnya dua-dua calon adalah berbangsa Cina.

Yang berbeza, ujarnya adalah seorang calon (SUPP) berdiri bersama BN dan seorang lagi (DAP) berdiri bersam PR.

Katanya lagi, BN melambangkan kerajaan yang tenggelam dengan rasuah dan kronisma sambil PR pula melambangkan kerajaan yang bebas rasuah, telus dan berkebajikan.

Tambahnya, keadaan Taib Mahmud sebagai pemimpin yang kaya raya hasil rasuah jelas terukir di pemikiran masyarakat Sarawak dan oleh itu masyarakat Cina menolak BN dan sekutu-sekutunya.

“Kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada DAP dan kumpulan NGO Cina yang telah berjaya mendidik masyarakat Cina untuk menolak pemimpin Cina yang rasuah ataupun yang bersubahat dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah,” ujarnya.

Menurutnya, penolakan menyeluruh oleh masyarakat Cina terhadap amalan rasuah adalah berdasarkan kefahaman yang telah dibina bertahun-tahun melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang menyakinkan mereka bahawa rasuah ini akan memusnahkan negara.

“Oleh itu, saya sememangnya bersetuju bahawa masyarakat Cina telah bersatu, tetapi bukan untuk menentang Melayu, mereka bersatu untuk menentang rasuah dan penyelewengan.

“Mereka telah berjaya membuktikan di Sarawak bahawa mereka akan menolak mana pemimpin Cina, walau ‘BESAR’ mana sekalipun, walaupun presiden pada sebuah parti, sekiranya pemimpin itu mengamal atau bersubahat dengan rasuah,” katanya.

Sememangnya, tambah beliau orang Melayu juga wajib bersatu seperti mereka tetapi bukan bersatu di atas dasar perkauman seperti seruan Utusan Malaysia dan Perkasa.

Katanya, orang Melayu harus bersatu di atas prinsip menolak pemimpin yang rasuah, lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa orang Melayu beragama Islam dan Rasulullah (SAW) telah menyatakan dengan jelas bahawa “pemberi dan penerima rasuah berada di dalam api neraka”.

“Sepatutnya, kita yang menunjukkan penolakan dan penentangan terhadap rasuah dan pemerintahan yang menyeleweng ini jauh lebih awal dari masyarakat lain.

“Sepatutnya kita yang berada di depan mendahalui yang lain, menjadi ummat yang boleh dicontohi, tetapi malangnya kita tetap berada ditahap lama, ditinggalkan masyarakat lain, khususnya masyarakat Cina pada ketika ini,” ujarnya.

Ini, ujarnya berlaku kerana malangnya, orang Melayu Islam di bawah pengaruh Umno dan Umno di atas sebab kejahilan mereka, telah mengharuskan rasuah di dalam alam politik dengan menganggap pengampunan Allah akan terjamin apabila dilakukan umrah sekali sekala.

Tambahnya, Umno yang menakut-nakutkan masyarakat Melayu sehingga terus menyokong perasuah dan perompak rakyat dari Umno kerana sekiranya tidak, maka Cina akan mengambil-alih kuasa.

Menututnya lagi, Umno yang memperbodohkan masyarakat Melayu sehingga mereka terus tidak sedar bahawa pada hakikatnya bila Umno kalah yang menang bukan DAP; tetapi PAS atau calon Melayu dari PKR.

Beliau berkata, dalam suasana kejahilan, ketakutan dan kebodohan ini Umno meraih kemenangan demi kemenangan dengan sokongan Melayu.

“Oleh itu, Umno ingin suasana sebegini terus kekal di kalangan masyarakat Melayu, supaya mereka akan terus berkuasa,” katanya.

Beliau menambah, inilah cabaran yang perlu diharungi PAS, khususnya untuk membebaskan masyarakat Melayu yang beragama Islam dari belenggu kejahilan, ketakutan dan kebodohan yang dipasang oleh Umno ke atas mereka.

Ini, ujarnya sehingga, satu hari kelak, masyarakat Melayu Islam akan bersatu, bukan untuk menentang Cina, tetapi untuk menentang rasuah dan menolak pemimpin yang rasuah dan parti yang membudayakan rasuah.

“Kalau DAP boleh berjaya dengan masyarakat Cina, mengapa tidak kita, masyarakat Melayu yang beragama Islam?

“Sekiranya tidak maka kita akan ketinggalan dan masyarakat lain akan menjadi jauh lebih maju dari kita,” ujarnya lagi.

Ini, tambahnya bukan sekadar lebih maju dari sudut material, tetapi lebih maju dari sudut nilai ketamadunan juga.

“Maka akhirnya apa yang akan ada dengan masyarakat Melayu Islam?” soalnya.


DAP akan tolak jemputan Umno sertai BN
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 April: DAP akan menolak jemputan Umno untuk bersama dengan Barisan Nasional (BN) jika benar akan ada pelawaan seumpama itu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

"Sehingga kini kita tidak tahu apa-apa lagi tentang hal ini sehinggalah kita diberitahu hari ini, namun kalau adapun kita akan kekal bersama Pakatan Rakyat," kata Guan Eng ketika ditemui sejurus selepas sidang medianya di Ibu Pejabat DAP hari ini.

Pagi tadi, Harakahdaily menyiarkan laporan kononnya Umno sedang berusaha untuk mendekati DAP untuk dipelawa menyertai BN.

Menurut sumber itu, usaha ini diperhebatkan lagi ekoran kemarahan Umno terhadap MCA yang mengajak masyarakat memboikot lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia.

Ia juga dibuat selepas Umno mendapati pengaruh DAP semakin kuat khasnya selepas pilihan raya Sarawak baru-baru ini. Ia juga satu tindakan Umno untuk mengawal MCA dan menghantar mesej kepada MCA bahawa Umno mempunyai alternatif yang lain.

Harakahdaily difahamkan, Umno telah menggunakan keluarga terdekat pemimpin DAP sebagai jambatan mereka namun tidak dapat disahkan maklumat ini.

Namun ketika ditemui hari ini, Lim Guan Eng menafikannya dan berkata DAP tidak tahu menahu mengenainya.

"Bagi saya, ia hanya usaha pihak lawan kita mahu memecahkan hubungan antara Pakatan Rakyat," kata Lim Guan Eng kepada Harakahdaily.

Beliau juga berkata, DAP bukan sehari dua ini berjuang di negara ini tetapi telah mencecah 40 tahun.

"DAP akan tetap setia bersama rakan-rakan kita," kata Guang Eng kepada Harakahdaily.

Beliau tidak menolak, ada pihak yang cuba menabur fitnah dalam hal ini kononnya DAP mahu bersama Umno dalam Barisan Nasional (BN).


Boikot Utusan Malaysia


Sementara itu, Guan Eng enggan melayan cadangan MCA agar semua rakyat negara ini memboikot akhbar Umno, Utusan Malaysia.

"Itu semua wayang sahaja... saya tidak minat wayang antara MCA dan Umno ini. Dulu masa tahun 1987 pun macam ini. Media siarkan MCA dan Umno bergaduh, namun yang kena tangkapnya kita (dalam Operasi Lalang 1987)," kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau mengulas cadangan pemimpin MCA agar semua rakyat negara ini memboikot Utusan Malaysia ekoran cadangan seorang editor akhbar itu untuk mengadakan kempen "1 Bumi, 1 Melayui".

Umno jemput DAP masuk BN?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 April: Setelah berjaya memecahkan PAS dengan isu kerajaan perpaduan, Umno kini dikatakan sedang mendekati DAP pula atas agenda membawa masuk parti itu ke dalam Barisan Nasional (BN).

Menurut sumber, usaha ini diperhebatkan lagi ekoran kemarahan Umno terhadap MCA yang mengajak masyarakat memboikot lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia.

Ia juga dibuat selepas Umno mendapati pengaruh DAP semakin kuat khasnya selepas pilihan raya Sarawak baru-baru ini.

Pelbagai pihak dalam MCA termasuk presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek menyerang Utusan ekoran cadangan salah seorang editornya.

Antaranya MCA cadangkan agar Utusan diboikot oleh seluruh rakyat Malaysia. Ekoran itu, ada yang beranggapan langkah menjemput DAP ini adalah mesej Umno kepada MCA.

Tengah hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memanggil sidang media tergempar di pejabat DAP Pusat namun tidak diketahui apakah isu ini berkaitan.

Harakahdaily difahamkan, Umno telah menggunakan keluarga terdekat pemimpin DAP sebagai jambatan mereka namun tidak dapat disahkan maklumat ini.

Umno sebelum ini berjaya memecahkan PAS kepada dua kumpulan melalui agenda kerajaan perpaduan yang dicadangkan presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Yang dicadangkan Ustaz Abdul Hadi adalah kerajaan yang menggabungkan Pakatan Rakyat dan BN tetapi yang dispinkan oleh media Umno dan aparatus mereka adalah perpaduan antara PAS dan Umno yang sangat sensitif itu.

Kini selepas gagal menghancurkan DAP dengan pelbagai usaha menyerang, pendekatan baru dibuat dengan menghulurkan tangan persahabatan dengannya.




PAS ziarah keluarga mendiang See Choon
Ahmad Danial

BUKIT KATIL, 26 April: Beberapa orang pimpinan PAS Kawasan Bukit Katil menziarahi keluarga mendiang Koh See Choon, bekas calon DAP Dun Klebang pada PRU 2004 dan 2008, malam tadi.

Rombongan PAS Kawasan tiba di kedai yang menempatkan jenazahnya di Banda Kaba kira-kira jam 10.10 malam.

Rombongan PAS Kawasan disambut oleh Adun Bachang, Lim Jak Wong, keluarga mendiang dan sahabat handai.

(Gambar: Pimpinan PAS kawasan berbual dengan Adun Bachang, Lim Jak Wong dan keluarga mendiang.)

Mendiang Koh meninggal pada hari Ahad ketika tidur di Seremban. Beliau yang berumur 37 tahun meninggalkan seorang balu dan anak yang berumur 1 bulan.

Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Yassim Musa mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan menghulurkan sedikit derma dari PAS Kawasan.

Turut berada di kedai tersebut ialah Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him.

Turut serta ialah Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan iaitu Mohd Diah Abdul, Salim Tahir, Kamaruddin Aziz dan Jaya Mohammad.

Sebelum itu, kira-kira jam 5.30 petang PAS Kawasan Tangga Batu diketuai oleh Yang Dipertuanya, Ustaz Mohd Nor Omar juga menziarahi keluarga mendiang.

Rombongannya yang turut disertai beberapa orang ahli jawatankuasa meluangkan masa kira-kira 1 jam berbual dengan keuarga mendiang.

Rombongan mereka juga menghulurkan sedikit sumbangan dan menyampaikan ucapan takziah.

Kalau Cina tolak MCA, Melayu patut tolak Umno

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 April: “Jika orang Cina memilih DAP dan menolak MCA, kenapa tidak orang Melayu memilih PAS dan menolak Umno,” kata AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar).

Hakikatnya, kata beliau hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak terjejas sama sekali.

Ini, ujarnya terbukti ketika pilihan raya Negeri Sarawak di mana ketiga-tiga parti membentuk pakatan yang kuat menentang BN hingga berlaku peningkatan sekali ganda kerusi yang dimenangi oleh PR.

Tambahnya, isu video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah percubaan musuh untuk mengaibkan Anwar sekali lagi selepas kegagalan usaha BN pada tahun 1998 dulu di mana akhirnya mahkamah membersihkan nama Anwar.

“Semangat setiakawan PAS terhadap rakan-rakan dalam PR kian utuh,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, menerusi Konvensyen PR yang telah dua kali diadakan, Majlis Menteri Besar PR, Majlis pimpinan PR dan Sekretariat PR adalah bukti jelas semangat musyawarah yang sedia terjalin dalam apa jua perbincangan bagi menggagaskan alternatif menggantikan kerajaan BN yang korup.

“Apa perlunya kerjasama dengan sebuah parti yang sangat perkauman seperti Umno?

“Perpaduan apakah yang mahu dijalinkan dengan pemimpin yang korup, penuh skandal dan tidak beramanah seperti Umno?” tanya beliau.

Katanya, hubungan Umno sendiri dengan komponen BN sendiri sangat dingin.

Tambahnya, insiden terbaru MCA terhadap Utusan Malaysia sendiripun diulas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam nada yang menggambarkan perpecahan Umno MCA.

“Kalau dalam BN sendiri bersarat dengan masalah; apa yang boleh diperolehi oleh PAS jika menjalin perpaduan dengan Umno?” soalnya.

Ketika ini, ujarnya hanya tinggal sebahagian orang Melayu yang menyokong Umno terutamanya di pedalaman dan kawasan Felda dan Felcra, itupun sebahagian mereka telah berubah.

Beliau berkata, jika usaha yang sedang rancak dilakukan di kawasan ituberjaya mengubah sokongan mereka kepada PR; apa yang tinggal pada Umno.

Katanya, PR sedang mempromosikan tawaran 100 hari PR melalui Buku Jingga di mana momentum PAS Ganti Umno sedang berkembang seluruh negara dengan sambutan yang luarbiasa.

“PAS tidak akan terpedaya dengan strategi Umno untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PR. PR sedang bergerak menuju Putrajaya.

“PR akan menjadi kerajaan prorakyat yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat,” ujarnya lagi.


Henti perbodoh minda Melayu

Suhaizan Kayat

Hari ini, Selasa 26 April 2011, tajuk utama media cetak berbahasa Inggeris, New Straits Times memaparkan berita Nasi lemak twice a week. Akhbar The Star pula memaparkan berita Deadly illegal – Growing trade in illicit cigaretts costing Govt billion. Akhbar berbahasa Mandarin seperti China Press dan Sin Chew pula memaparkan berita risiko suntikan menguruskan badan. Akhbar berbahasa Tamil pula menceritakan tokoh agama yang cukup berpengaruh meninggal dunia.

Malangnya tajuk berita utama media cetak berbahasa Melayu, Utusan Malaysia memaparkan tajuk utama “Anwar Lelaki Y”, Berita Harian “Lelaki Y Anwar” dan Sinar Harian “Anwar Lelaki Y”. Akhbar bahasa Melayu majoritinya mengambil kes liwat 2 Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tajuk utama. Apakah yang menjadi keutamaan kepada berita ini? Bukankah ia menceritakan keaiban orang Islam yang cukup meloyakan? Bukankah cerita seumpama itu sangat tidak sesuai dengan anak-anak sekolah? Bukankah cerita tersebut belum lagi diputuskan oleh mahkamah tetapi hanya dakwaan pihak pendakwa sahaja? Soalnya mengapa ia menjadi tajuk utama? Apakah agenda disebalik isu tersebut?

Tiada halangan jika berita aib dan meloyakan ini dimasukkan dalam berita kecil dalam akhbar seperti New Straits Times yang memuatkan dalam muka surat 6 dan The Star dalam muka surat 10. Tetapi apabila tajuk liwat diletakkan berkali-kali sebagai tajuk utama maka sebenarnya media berbahasa Melayu seolah-olah mendoktrinisasi minda orang-orang Melayu dengan isu seks. Sebahagian besar pembaca media Utusan Melayu, Berita Harian dan Sinar Harian adalah kelompok orang Melayu berpendidikan rendah dan tinggal di pinggir dan luar bandar. Sesetengah daripada mereka tidak berpeluang mendapat pendedahan terhadap media baru.

Saya fikir lebih wajar media arus perdana berbahasa melayu meletakan tajuk utama mengenai dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Orang Melayu sudah berdepan dengan masalah sosial khususnya anak muda yang terlibat dengan masalah seks bebas, dadah, arak, anak luar nikah, sumbang mahram, VCD lucah dan lain-lain lagi. Akhbar berbahasa Melayu seolah-olah kurang sensitif terhadap isu sosial yang sedang dihadapi oleh orang Melayu sekarang.

Secara umumnya media berbahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil yang pembacanya terdiri daripada kelompok Melayu kelas menengah ke atas, masyarakat Cina dan masyarakat India tidak dihidangkan dengan cerita aib dan meloyakan seperti media berbahasa Melayu. Secara perbandingannya seolah-olah mereka dihidangkan dengan isu-isu yang lebih bertamadun daripada kelompok masyarakat Melayu berpendidikan rendah.

Saya memohon agar media arus perdana berbahasa Melayu menghentikan agenda membodohkan minda orang-orang Melayu ini. Sudah cukuplah penjajah membodohkan orang Melayu lebih 400 tahun. Hidangkanlah minda semua rakyat Malaysia dengan perkara yang segar dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.

Suhaizan Kayat adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.


MB Kedah, Exco kekal YDP PAS kawasan
Mohd Shubihi Muhamad Zain

YAN, 26 April: Pemilihan parti peringkat kawasan di negeri Kedah berjalan lancar dan turut menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) serta beberapa pemimpin utama kerajaan negeri yang lain kekal sebagai Yang Dipertua (YDP) PAS di kawasan masing-masing.

Azizan menang tanpa dicabar pada pemilihan jawatankuasa PAS Kawasan Jerai yang berlangsung di Dewan Tuan Guru Haji Othman Al-Yunusi, dekat sini.

Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh juga disiytiharkan menang tanpa bertanding dan terus kekal menerajui PAS Kawasan Kuala Kedah dan PAS Kawasan Alor Setar.

Manakala di Kubang Pasu, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Dr Isa Ismail kekal menyandang jawatan YDP Kawasan sejak sesi lalu apabila berjaya menewaskan pencabarnya, Yusof Ahmad.

Sementara itu di Baling, Tuan Guru Awang Lanai @ Abdul Wahab Md Hassan yang diamanahkan sebagai YDP sejak 1984 lalu terus kekal menerajui PAS kawasan tanpa dicabar, manakala Adun Kupang, Johari Abdullah menewaskan Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamuddin untuk kekal sebagai timbalan.

Jawatan YDP PAS Kawasan Sik yang sebelum ini disandang oleh Adun Jeneri, Yahaya Abdullah dimenangi pencabarnya, Che Uda Che Nik yang juga Ahli Parlimen Sik, manakala Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohamad Nor yang bertanding jawatan timbalan tewas kepada lawannya, Bakar Baqilani Hassan.

Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu menyaksikan penyandangnya, Hassan Razak menang jawatan YDP menewaskan pencabarnya yang juga Adun Bandar Baharu, Yaakob Husin dalam pertandingan dua penjuru itu.

Terdahulu empat kawasan lain iaitu Merbok, Jerlun, Sungai Petani dan Langkawi telah melengkapkan mesyuarat agung dan sesi pemilihan jawatankuasa kawasan masing-masing.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib dan Abdul Ghani Ahmad dipilih menerajui PAS Kawasan Merbok dan Jerlun, manakala Adun Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh kekal di Sungai Petani dan Zubir Ahmad di Langkawi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PAS Kedah, Musoddak Ahmad yang dihubungi berkata baki empat lagi kawasan akan bermesyuarat pada akhir April nanti.

"Empat lagi kawasan iaitu Padang Terap, Pokok Sena, Pendang dan Padang Terap dijadualkan bermesyuarat agung bagi memilih ahli jawatankuasanya pada akhir bulan ini.

"Manakala Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah pula dijadualkan akan berlangsung pada 1 Mei nanti di Sungai Petani juga akan memilih barisan jawatankuasa kerjanya bagi sesi baru ini," katanya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan