Sabtu, 23 April 2011

BIAR KURANG BERCAKAP TAPI BEKERJA....BIASA ORANG BANYAK CAKAP ...TAK PANDAI BUAT KERJA....

Pelajar Pro M UPM disingkir kolej kediaman
Harakahdaily

SERDANG, 23 April: Lebih 40 mahasiswa, termasuk 9 ahli Pro Mahasiswa (Pro M) disingkirkan dari Kolej Kediaman Kedua Universiti Putra Malaysia (UPM) tanpa sebab yang munasabah walaupun masing-masing memenuhi merit minimum iaitu 60 mata untuk menghuni di kolej tersebut.

Antara ahli Pro M yang disingkirkan termasuk mereka yang mempunyai lebih 100 merit.

Seorang pemimpin mahasiswa yang enggan namanya disiarkan mendakwa pengetua di kolej tersebut merupakan dalang di sebalik tindakan tidak berperundangan tersebut.

Katanya lagi, pengetua sejak seminggu yang lalu secara tidak bertanggungjawab sanggup menghilangkan diri ketika diminta menjelaskan motif penyahsenaraian mahasiswa terbabit dari menghuni di kolej tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut dipertikai kerana menawarkan kediaman dalam universiti kepada seorang pelajar pro Aspirasi walaupun siswi itu hanya mempunyai 52 merit. Dia juga menganggotai MPP sesi 2011/2012.

Pengetua kolej itu merupakan penyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM yang boleh dihubungi melalui telefon pejabat 03-89467357.

Kolej tersebut boleh menampung melebihi 350 penghuni, namun sehingga kini khabarnya masih banyak tempat dikosongkan.


Lynas: Dahulukan rakyat, utamakan keselamatan
Harakahdaily
KUANTAN, 23 April: Dalam isu kilang nadir bumi (tanah jarang) Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng, sepatutnya sejak awal lagi pandangan rakyat harus didahulukan dan keselamatan mereka diutamakan sebelum kelulusan untuk membina kilang tersebut diberi, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ekoran bantahan hebat daripada semua lapisan masyarakat di Kuantan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob telah menukar pendirian sejajar dengan peningkatan bantahan daripada rakyat yang memuncak dari hari ke hari - daripada (a) memberi jaminan bahawa kilang Lynas selamat kepada (b) melenting untuk menutup semua kilang di Gebeng jika Lynas Corporation yang memproses ‘rare earth’ tidak dibenarkan beroperasi ke (c) mengalihkan masalah kepada Putrajaya dengan mengatakan bahawa bukan kerajaan Pahang yang memberikan kelulusan.

‘Silat’ Adnan yang menepis masalah panas ini ke Putrajaya ternyata berhasil apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed kelmarin, mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan Barisan Nasional telah bersetuju untuk menubuhkan satu panel bebas secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

“Sepatutnya pandangan pakar diminta dari awal lagi, dan bukan setelah rakyat bangun membantah.

“PAS cukup kesal dengan sikap dolak dalik antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, sehingga terkini MB Pahang dan Kementerian barulah kata nak meminta pandangan pakar sebelum membuat sesuatu keputusan,” ujar Tuan Ibrahim sebagai respons kepada tindakan kerajaan pusat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyoal maksud di sebalik kenyataan Adnan di sidang Dun Pahang beberapa hari yang lepas, di mana Adnan menyatakan bahawa kalau Lynas ditutup sekalipun, ianya bukan berpunca daripada tekanan pembangkang.

“Jadi kalau bukan kerana tekanan pembangkang, maka atas alasan apa Lynas akan ditutup,” soalnya atas hujah bahawa Lynas sememangnya mendapat lampu hijau untuk beroperasi daripada kerajaan negeri dan kementerian yang berkenaan.

“Dalam keadaan bangunan sedang dalam proses untuk disiapkan, dan Lynas dijangka akan memulakan operasinya hujung tahun ini - kerajaan masih gagal memberi kata putus untuk tutup segera – jadi sekarang kita menunggu samada kerajaan hendak membuat sesuatu berdasarkan kehendak rakyat atau sebaliknya dan menanggung risiko dihukum rakyat pada piliharaya umum ke 13,” tegurnya.

Secara logiknya, tambahnya, rakyat kini sudah matang dan pandai berfikir bahawa mengapa kerajaan Australia hendak menolak projek Lynas yang bakal mendatangkan keuntungan lumayan setahun sekiranya tiada risiko sampingan.

“Takkanlah projek yang berdaya maju begini tiada negara akan sanggup menerimanya, lalu di saat negara lain menolak kerana takut akan risikonya, mengapa pula Pahang terima?” soal beliau lagi.

Menurut Mustapa, seramai lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel bebas bagi membantu menangani keresahan orang ramai terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar kesan daripada kilang Lynas di Gebeng.

Kajian yang bakal mengambil masa sebulan itu akan menjadi penentu samada lesen pengoperasian akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia (AELB).

Lynas turut dihalang untuk mengimport bahan mentah dari Australia selagi kerajaan belum membuat keputusan terhadap kajian itu.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenai projek itu, dan semakan semula akan dilakukan bagi memastikan pembinaan kemudahan itu mematuhi sepenuhnya standard keselamatan antarabangsa,” kata Mustapa, dan menambah bahawa kesihatan dan keselamatan oramg ramai dan alam sekitar akan terus diutamakan oleh kerajaan.


Mustafa nafi laporan media, gesa mohon maaf
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 April: Datuk Mustafa Ali (gambar) menafikan laporan beberapa media termasuk Utusan Malaysia hari ini, yang mendakwa beliau berkata PAS akan menilai semula kedudukan dalam Pakatan Rakyat selepas siasatan video seks selesai.

Sambil kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab akhbar pro Umno itu, Setiausaha Agung PAS itu berkata, laporan tersebut berniat jahat dan sengaja memanipulasikan kenyataannya.

Katanya, dia sama sekali tidak pernah mengaitkan isu video seks dengan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, semalam.

"Saya ditanya berhubung saranan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mencadangkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) melakukan sumpah mubahalah.

"Jadi saya jawab, perkara itu tidak timbul kerana kerajaan sekarang ini menggunakan undang-undang sivil, Polis siasat sahajalah.

"Kalau ubah kes ini ke Mahkamah Syariah, baru kita (PAS) tengok kembali apa pendirian kita dalam isu tersebut," katanya.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan sidang media Mustafa semalam itu dengan tajuk 'PAS tunggu siasatan selesai'.

Laporan itu menyebut bahawa PAS akan membuat ketetapan baru mengenai masa depan parti itu dalam pakatan pembangkang, apabila siasatan mengenai rakaman video seks yang pelakonnya dikatakan mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim siap sepenuhnya.

Selain Utusan, beberapa media lain termasuk Berita Harian dan The Star turut melaporkannya.

Sehubungan itu, beliau mahu media-media yang terlibat agar memohon maaf serta memperbetulkan laporan mereka sebelum tindakan perundangan diambil.

[LIHAT VIDEO ASAL]





Srategi Umno runtuhkan Pakatan Rakyat gagal
M Faqih Foto Yusri
KOTA BHARU, 23 April: Empat strategi gergasi dilakukan Umno bagi meruntuhkan keutuhan Pakatan Rakyat nampaknya sehingga kini tersasar, namun harus diingatkan usaha tersebut pastinya akan dilakukan berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Strategi tersebut iaitu isu kerajaan perpaduan, polemik kalimah Allah, tindakan Umno menghantar Tun Abdullah Ahmad Badawi menemui pemimpin utama PAS dan video lucah mirip pemimpin Pakatan Rakyat.

Anggota parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, isu pertama dicetus Umno hampir-hampir memecahkan PAS daripada dalam.

“Isu kerajaan perpaduan pada awalnya ramai ahli dan pemimpin PAS keliru sehingga ada yang bersetuju. Isu tersebut dua kali dibincang pada muktamar termasuk di Ipoh, namun akhirnya perwakilan PAS menolak.

“Diperbesarkan pula polemik kalimah Allah sehingga ada juga ahli dan penyokong PAS terpengaruh dengan kenyataan pemimpin Umno.

“Namun akhirnya pemimpin tertinggi PAS buat keputusan agama sanawi boleh gunakan kalimah Allah,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ke-44 PAS Kota Bharu di Kelantan Trade Centre di sini, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, timbalannya, Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Ketua, Datuk Anuar Tan Abdullah.

Hampir 1,000 perwakilan dan pemerhati termasuk pemimpin PKR Cabang Kota Bharu, DAP Bahagian Kota Bharu serta masyarakat bukan Islam hadir.

Mohd Nizar yang juga anggota jawatankuasa PAS Pusat berkata, paling mendebarkan usaha memecahkan PAS dengan Pakatan Rakyat berlaku apabila Pak Lah menemui Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atas jemputan Yang di-Pertuan Agong menghadiri majlis makan malam di Istana Terengganu Kuala Lumpur.
Katanya, pada pertemuan yang disifatkan diatur khas turut dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Agenda besar yang dirancang tersebut bertujuan memecahkan PAS daripada Pakatan. Perangkap besar tersebut sudah dipasang namun masih tidak mengena,” ujarnya.

Pada mesyuarat tersebut beberapa tokoh veteran PAS menerima saguhati setengah Dinar emas iaitu Ismail Mohamad, Tengku Jaafar Tengku Ahmad, Mohd Amin Salleh dan bekas pemimpin PRM, Lee Han Tie.

Manakala Yaakub Awang diisytiharkan Tokoh PAS Kota Bharu 2011. Beliau menerima satu Dinar, sijil dan buku Sejarah PAS Kelantan.

Sementara itu pada pemilihan jawatankuasa PAS Kota Bharu sesi 2011-2013 yang diadakan, jawatan-jawatan utama kekal tanpa bertanding.

Manakala anggota jawatankuasa yang dipilih iaitu Aidy Hassan, Nor Azariza Mohd Alawi, Mohd Adilan Mat Jusoh, Mohd Saiba Yaakub, Mohd Baharudin Mohd Nor, Nasrudin Mahmud Muhaidin, Mohamad Kamal Khatib, Azhari Abdul Rahman, Nor Hashimah Deraman, Rosli Abdul Razak, Syarifah Mariam Syed Alwi, Mohd Ridhuan Nawi, Hanafi Muhamad, Mohd Noor Mohd Yusof dan Husin Mansor.


Pemimpin Umno hanya berkokok di tepi jalan

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 April: Sikap para pemimpin Umno BN, tidak keterlaluan jika diumpamakan seperti ayam jantan yang berkokok di tepi-tepi jalan setiap hari, semata-mata hanya untuk mempamerkan kehebatan mereka kepada pihak lain.

Namun dalam masa yang sama tanpa disedari, sikap seperti itu bukanlah boleh mendatangkan perasaan hormat orang lain kepada mereka, sebaliknya hanya akan lebih membuktikan lagi sikap buruk mereka kepada orang ramai.

Adun Bukit Payong, Marang, Mohd Nor Hamzah berkata, perlakuan ayam jantan dan sikap para pemimpin Umno BN itu antara lain boleh dirujuk daripada tindakan mereka yang selalu menunjuk-nunjukkan kepada orang ramai konon merekalah pihak yang berjasa kepada pelbagai pihak, setelah melaksanakan pelbagai projek pembangunan di dalam negara.

Menurut beliau, antara yang dihebohkan oleh mereka termasuklah tindakan dan kejayaan mereka melaksanakan rangkaian jalan raya yang cantik di seluruh negara.

Katanya, dengan itu itu, mereka mendabik dada bersuara lantang setiap hari mengatakan merekalah sahaja pihak yang hebat yang berkemampuan melakukan semua itu, manakala pembangkang dikatakan hanya sekadar pandai bercakap tetapi tidak tahu melaksanakannya.

"Pada hal semua orang tahu, pembinaan jalan raya itu merupakan satu tanggungjawab asas bagi pihak pemerintah. Disebabkan mereka yang memerintah, merekalah yang bertanggungjawab membina jalan raya. Lainlah kalau parti pembangkang yang memerintah.

"Dengan menunjuk-nunjukkan diri kepada masyarakat dengan semua itu, apalah ertinya? Tidakkah mereka boleh diumpamakan seperti ayam jantan yang kerjanya hanyalah tahu berkokok di tepi-tepi jalan, tetapi tidak pula tahu berfikir lebih jauh tentang perbuatan mereka itu sendiri," katanya ketika ditemui, di sini.

Sungguhpun begitu, menurut beliau, rakyat kini sudah semakin bijak menilai semua itu dan mereka juga sudah semakin faham dengan segala tindakan yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN, berbanding PAS dan Pakatan Rakyat.

"Rakyat yang cerdik, terutama yang tinggal di bandar-bandar yang sentiasa terdedah dengan pelbagai maklumat pasti faham, apa yang telah dilakukan oleh para pemimpin Umno BN sebenarnya tidaklah seberapa, tetapi sikap menunjuk-nunjukkan diri mereka sahaja yang lebih," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu.

Malah, sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini, rangkaian jalan raya yang dibina pasti jauh lebih hebat dari yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan BN kerana semua tindakan yang dilakukan bertolak dari kesedaran para pemimpinnya sendiri dengan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada mereka.

Begitulah juga dengan perlaksanaan projek-projek lain yang bukan sekadar tidak kurang hebatnya seperti yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan BN, tetapi lebih menjimatkan wang negara kerana segalanya dilakukan tanpa penyelewengan dan rasuah.

Keadaan itu, katanya, berbeza dengan sikap para pemimpim Umno BN dalam melakukan sesuatu kerana ia lebih banyak kelihatan mempunyai kepentingan politik dari tuntutan lain termasuk tuntutan agama.

"Untuk membolehkan mereka terus kekal berkuasa, mereka juga sanggup melakukan apa sahaja dalam pelbagai aspek walaupun membelakangi hukum Allah," katanya kesal.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan