Sabtu, 26 Mac 2011

YANG MEMBERI DAN MENERIMA RASUAH DUA2 MASUK NERAKA...KERANA DUA2 MELAKUKAN KEJAHATAN DAN TAK ADIL SERTA MENINDAS ORANG LAIN....

RTC: Dendam kesumat yang tidak padam
Nazli Ibrahim

Tidak sampai 48 jam selepas 'Host tayangan perdana anda..., Dato T' yang indentitinya dirahsiakan sebelumnya, akhirnya indentiti dalang-dalang utama dalam merencana fitnah jahat ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim terbongkar.

Salah seorang darinya, Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Thamby Chik (RTC) yang juga bekas Ketua Menteri Melaka sebelum beliau meletak jawatan gara-gara dikaitkan dengan kes rogol gadis bawah umur sekitar tahun 1993.

Ini bukanlah kali pertama penglibatan RTC sebagai dalang untuk menjatuhkan Anwar. Ketika kes liwat 1 yang mengegarkan dunia politik negara pada tahun 1998, RTC juga dikatakan salah seorang dalang utama di sebalik tabir menerbitkan buku '50 dalil kenapa Anwar tidak boleh jadi PM'.

Selain nama beliau yang dikatakan sebagai pemilik lot premis lokasi mencetak buku fitnah tersebut, beliau turut menyertai beberapa 'road show' jelajah negara bersama Umi Hafilda dan beberapa ahli politik BN lain dalam menyebarkan fitnah jahat itu kepada rakyat.

Persoalan yang sama dengan isu penayangan video lucah baru-baru ini, mahukan masyarakat percaya bahawa tindakan RTC tersebut hanya berlandaskan kepentingan moral pemimpin dan masyarakat semata-mata sehingga ketika itu sanggup bersusah payah menjelajah untuk memberi penerangan kepada masyarakat negara ini.

Adakah masyarakat negara ini terlalu bodoh untuk mempercayai tindakan tersebut tiada kaitan dengan kepentingan politik parti yang disokong oleh RTC?

Secara umumnya, bagi kebanyakkan pemerhati yang mengikuti perkembangan politik era 80an dan 90an percaya tindakan RTC tersebut berdasarkan teori dendam beliau terhadap Anwar dalam isu rogol gadis bawah umur yang sekaligus menamatkan karier politik beliau.

Bagaimanapun, sejauh mana penglibatan Anwar dalam isu rogol gadis bawah umur ini agak kabur. Namun umumnya ramai yang percaya, sikap Anwar ketika masih di dalam Umno yang sukar untuk bertolak ansur dengan sebarang unsur salah laku pemimpin Umno samada skandal seks mahupun rasuah telah menyebabkan beliau mempunyai lebih ramai musuh berbanding kawan di dalam Umno.

Bagi mana-mana pihak yang pernah mengikuti rakaman mesyuarat MT Umno terakhir yang disertai Anwar bagi membela dirinya dalam tuduhan salah laku seks-meliwat, pasti akan setuju akan statement bahawa Anwar mempunyai lebih ramai musuh berbanding kawan ketika di dalam Umno lagi.

Ketika mesyuarat itu berlangsung, Anwar yang dianggap telah kehilangan taring di dalam kerajaan setelah dipecat dari jawatan TPM oleh PM beberapa hari sebelum itu telah ditentang hebat oleh beberapa Ahli MT Umno.

Hakikatnya sebelum itu, ketika Anwar masih bergelar TPM, Ahli MT yang rata-rata memegang jawatan sebagai menteri itu sama sekali tidak berani mengangkat muka sekalipun, apatah lagi untuk berhujah dengan Anwar.

Rata-rata para penentang atau musuh Anwar ketika itu merupakan pemimpin Umno yang mempunyai fail siasatan BPR (kini SPRM) hasil siasatan badan itu yang dipercayai setelah mendapat arahan dari Anwar.

Hanya beberapa Ahli MT ketika itu yang tampak lebih neutral ialah individu yang dianggap sebagai pendukung Anwar, termasuk Muhyiddin Yassin dan Zahid Hamidi.

Kembali semula dengan kes rogol gadis bawah umur yang melibatkan KM Melaka tersebut, Anwar ketika itu juga dipercayai sebagai pemimpin yang paling berkeras mahukan tindakan diambil terhadap RTC.

Akhirnya, RTC memilih jalan terbaik dengan menerima 'nasihat' dari pemimpin tertinggi Umno untuk meletakkan jawatan beliau dalam kerajaan dan parti bagi mengelakkan sebarang tindakkan lain yang lebih memalukan.

Antara penglibatan individu lain yang paling diingati dalam isu yang sama ketika itu ialah seorang lelaki Cina iaitu KM Pulau Pinang sekarang, Lim Guan Eng yang akhirnya merengkok selama enam bulan di penjara hanya disebabkan cuba mendapatkan keadilan untuk seorang cucu dan nenek yang bukan sebangsa dengannya.

Setelah hampir dua dekad peristiwa rogol gadis bawah umur dan kes liwat 1 berlalu, dendam kesumat RTC masih tidak pudar malahan ianya semakin membara apabila individu yang disasarkan masih ampuh mendepani satu demi satu gelombang fitnah yang melanda beliau dan keluarga.

Biarpun satu ketika RTC telah berjaya membalas dendamnya apabila berjaya menurunkan Anwar dari hanya tinggal selangkah ke tampuk kuasa dan mengaibkan nama Anwar serta keluarga ke seluruh dunia, namun ia masih tidak cukup buat insan bernama RTC ini.

Amarah dendamnya itu adalah sesuatu yang luar biasa buat kebanyakkan manusia biasa dan tidak akan bertepi selagi Anwar mampu berdiri mengharungi arus politik negara.

Apatah lagi kedudukan RTC yang merupakan orang kaya Melaka yang mempunyai ramai orang hubungannya dan faktor wang bukannya masalah, tentunya dengan kedudukan kewangan beliau itu, banyak perkara mampu direncanakannya.



Bible Bahasa Melayu: Di Antara Kepimpinan dan Ketuanan

Khalid Samad

Saya mengikuti isu ini dengan penuh kehairanan. Alasan-alasan yang diberi hanya menunjukkan betapa Pemimpin UMNO begitu keliru dan tidak memahami Islam. Apa yang lebih memburukkan ialah dalam kekeliruan ini mereka turut mengelirukan masyarakat Melayu melalui sikap-sikap mereka yang ekstrim dan songsang. Mari kita kaji alasan-alasan ini satu per satu dan memikirkan bersama sejauhmana ianya munasabah.

Alasan Pertama – Penggunaan Kalimah Allah

Sepertimana yang sering saya jelaskan sebelum ini, tidaklah menjadi satu kesalahan bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan pencipta dan pemilik alam. Hakikat ini terbukti berdasarkan begitu banyak ayat-ayat Al-Quran dan juga Hadith-hadith Rasulullah (SAW).

Alasan Kedua – Haramnya Ungkapan 'Al-Masih (Isa) Anak Allah'

Ini merupakan alasan yang lagi dangkal! Dari kecil lagi kita semua sudah difahamkan bahawa kepercayaan orang-orang Nasrani adalah Nabi Isa (AS) merupakan anak Tuhan. Dan oleh kerana Allah adalah Tuhan maka ini bermaksud bahawa Nasrani menganggap Isa adalah anak Allah. Itu adalah kepercayaan mereka dan memanglah sebagai orang Islam kita tidak bersetuju. Tetapi kita tidak boleh melarang orang Kristian atau Nasrani berkepercayaan sebegitu. Itulah yang dikatakan kebebasan beragama.

Ianya bertambah pelik apabila kita tahu bahawa di dalam Al-Quran sendiri kepercayaan ini disebut Allah supaya ummat Islam faham apa yang membezakan kepercayaan Nasrani dengan kepercayaan orang Islam. Malahan, lebih dari itu, Al-Quran juga menyentuh kepercayaan-kepercayaan lain orang Nasrani dan Yahudi berhubung Allah. Saya senaraikan tiga contoh disini untuk rujukan pembaca.

“Berkata orang Yahudi, “Uzair anak Allah” dan berkata orang Nasara “Al-Masiih anak Allah”…..
(Surah At-Taubah ayat 30)

“Telah menjadi kafir mereka yang berkata “Sesungguhnya Allah adalah Al-Masih anak Maryam”..
(Surah Al-Maaidah ayat 72)

“Telah menjadi kafir mereka yang berkata “Sesungguhnya Allah adalah yang ketiga dari tiga”….
(Surah Al-Maaidah ayat 73)


Ayat-ayat di atas menunjukkan kalimah Allah digunakan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani dan bahawa kepercayaan mereka itu yang ditolak Allah, telah wujud sebelum zaman datangnya Rasulullah (SAW).

Maknanya kita membantah orang Nasrani menyebut sesuatu yang Allah sendiri nyatakan dalam Al-Quran sebagai fahaman dan kepercayaan orang Nasrani. Sekiranya kita ingin ungkapan itu diharamkan, silap-silap ianya akan melibatkan ayat Al-Quran yang turut menggunakan ungkapan yang sama!

Lagipun, dengan dinyatakan sebegitu oleh masyarakat Nasrani, ia sebenarnya mengesahkan apa yang dinyatakan dalam Al-Quran berhubung kepercayaan mereka itu.

Alasan Ketiga – Ianya akan Menyebabkan Orang Melayu Ramai Murtad

Ini bagi saya satu penghinaan terhadap ummat Islam. Inilah yang sedang digambarkan oleh UMNO. Saya pernah menyebut di dalam satu majlis bahawa UMNO menganggap keimanan ummat Islam adalah senipis kulit bawang!

Mereka membuat andaian ini, mungkin, kerana mereka merujuk kepada diri mereka sendiri! Andaian bahawa orang Islam akan berduyun-duyun memeluk agama Nasrani apabila Bible Bahasa Melayu wujud merupakan satu andaian yang tidak berasas. Lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa Bible tersebut adalah untuk kegunaan orang Nasrani dan bukan untuk edaran dikalangan orang Islam.

Tanggapan begini mungkin juga disebabkan kesedaran UMNO bahawa mereka telah berusaha dan agak berjaya menjadikan ummat Islam jahil agama. Ummat Islam tidak mengenali dan memahami Islam dengan sebaik mungkin, hasil dasar sekular UMNO BN selama 54 tahun, maka dirasakan ummat Islam akan mudah terkeliru. Kekhuatiran UMNO adalah bukti bahawa UMNO sendiri menyedari pengkhianatan yang mereka lakukan terhadap ummat Islam dengan menjadikan ummat Islam lemah kefahaman agaman mereka sendiri. Yang kerap diajar para ustadz UMNO adalah bab Taharah, Solat, Saum, Zakat dan Haji. Diselang selikan dengan bab Haid dan Nifas serta mandi Junub. Bagi mereka itulah Islam.

Sekiranya kukuh kefahaman ummat Islam berhubung Aqeedah Islam dan kebenaran Tauhid, disebut Al-Masiih anak Allah dalam apa bahasa dan berapa ribu kali sekalipun, ianya akan hanya menambahkan keyakinan ummat Islam akan kebenaran Islam.

Dengan menggambarkan keimanan ummat Islam senipis kulit bawang, UMNO telah menghina ummat Islam dan Islam itu sendiri. Mereka menggambarkan Aqeedah Islam rapuh, tidak mampu dipertahankan dan mudah dimusnahkan oleh agama lain. UMNO seolah-olah menggambarkan bila nampak kuil, ummat Islam akan jadi Hindu, kalau nampak Gereja, ummat islam akan menjadi Kristian! Demi mempertahankan Aqeedah Islam, tiada pilihan selain terpaksa menyekat dan melarang kebebasan beragama ummat lain!

Sebenarnya di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak, di mana Bible berbahasa Melayu telah lama wujud, kita tidak melihat perkara yang seperti yang diramalkan berlaku. Malahan jumlah ummat Islam di kedua-dua Negeri ini semakin bertambah.

Apa Sebenarnya yang Dihajati?

Oleh itu, apakah sebenarnya yang dihajati UMNO. Sebenarnya mereka ingin memberikan gambaran kepara rakyat bahawa merekalah yang memperjuangkan dan membela Islam. Bukan dengan menghayati Islam, mengamalakannya dan membenarkannya mencorakkan perwatakan dan keperibadian mereka, tetapi dengan menunjukkan kesamsengan atas alasan mempertahankan Islam. Larang orang bukan Islam dari melakukan ini dan itu sebagai bukti orang Melayu bawah UMNO ada kuasa, walaupun yang dibuatnya dilarang oleh Islam sekeras-kerasnya. Mereka ingin menunjuk Melayu berkuasa dan meraka adalah tuan di bumi ini!

Ini bagi saya adalah di antara seruan zaman Jahiliyyah.

Itulah yang dibezakan Tuan Guru Ustad Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan membahas titah di raja di Parlimen baru-baru ini. TG Ustad A.Hadi menyebut, UMNO memperjuangkan ‘ketuanan’, PAS memperjuangkan ‘kepimpinan’.

Bila ‘tuan’ maknanya kehendaknya dipaksa atas masyarakat dan walaupun sesuatu tindakan itu buruk, ianya terus dilakukan kerana dia berkuasa, dia tuan. Perjuangan ‘tuan’ ini perjuangan yang berasaskan nafsu dan biasa dikalangan manusia yang tidak mempunyai akal yang waras apatah lagi petunjuk.

‘Kepimpinan’ sebaliknya adalah diperolehi atas sebab dia yang terbaik; menjadi ikutan kerana keadilannya dan kebenarannya. PAS memperjuangkan kepimpinan Islam, berusaha menzahirkan kelebihan dan kebenaran Islam sehingga manusia melihatnya dan meyakini mereka akan selamat di bawah naungannya, samada mereka Muslim atau bukan Muslim.

Sememangnya, inilah yang membezakan kami.

Bible Bahasa Melayu (Indonesia) Dikembalikan

Akhirnya, selepas kecoh berbulan-bulan lamanya, Bible Bahasa Melayu diserahkan kembali kepada masyarakat Kristian.

Saya yakin ianya adalah atas sebab Pilihanraya Negeri Sarawak sudah menjelang tiba. Dari segi sikap UMNO, ianya tetap tidak berubah. UMNO masih tidak faham dan tetap menganggap ‘ketuanan’ adalah apa yang perlu diperjuangkan. Ummat Islam kekal dikelirukan dan diapi-apikan dan dikatakan pula bible berkenaan telah dirosakkan oleh mereka yang menyimpannya setelah ianya disitar. Inilah akibat semangat samseng yang dihasilkan ‘ketuanan’. Mereka tidak ingin ‘kepimpinan’ iaitu membuktikan dan menzahirkan keadilan Islam, mereka tidak sedar pun bahawa Islam menuntut mereka bersikap adil. Oleh itu mereka tidak sama sekali mengambil peduli sekiranya tindakan mereka merosakkan imej Islam dan menjadikannya kelihatan zalim dan tidak mampu berdaya-saing.

Adalah diharap ummat Islam akan keluar dari kejahilan mereka terhadap ajaran agama Islam itu sendiri dan memahami, tugas kita sebagai ummat Islam adalah untuk mendapatkan ‘kepimpinan’, bukan ‘ketuanan’.


Menyanggah memoir Mahathir II dan masalah edaran Harakah
Ahmad Lutfi Othman
Apabila saya semak kembali ruangan indeks dalam memoir Dr Mahathir Mohamad, A Doctor in the House, bekas Perdana Menteri itu memang ada mencatatkan Peristiwa Memali pada halaman 7, bab pertama.

Sesudah saya menatap bagaimana pembaca cuba dikelirukan dengan beberapa peristiwa penting semasa 22 tahun pemerintahannya, seperti kes pengharaman Umno, cabaran Tengku Razaleigh Hamzah, kebebasan kehakiman, Operasi Lalang 1987 dan pemecatan Tun Salleh Abas bersama dua Hakim Mahkamah Agong, baru saya terkesan bahawa Dr Mahathir mahu menyamakan tragedi berdarah itu di dengan kes-kes seperti pencerobohan kuil Hindu di Kerling, Selangor pada 26 Mei 1979 dan serangan ke atas balai polis di Batu Pahat, Johor pada 16 Oktober 1980.

Memali, bagi Dr Mahathir, dilihat tidak lebih daripada satu lagi fenomena "ajaran songsang" dan ini amat dikesali. Asyahid Ibrahim Libya dan anak-anak muridnya tidak pernah melakukan serangan kepada pihak lain, malahan mereka yang berlindung di rumahnya diceroboh dengan ketumbukan bersenjata berat sehingga mengakibatkan 14 penduduk kampung terkorban.

Selain itu, kritikan Dr Mahathir mengenai perjumpaannya dengan bekas Presiden Singapura, Benjamin Henry Sheares dan sambutan dingin bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew dalam lawatan pertamanya, disanggah wartawan The Straits Times. Akhbar Nanyang Siang Pau, 12 Mac, yang merujuk pertemuan dengan kedua-dua negarawan Singapura itu menyifatkan ingatan Dr Mahathir "lebih teruk".

"Beliau tidak dapat lagi melawan usia yang semakin tua. Kesahihan daya ingatan beliau mengenai peristiwa silam boleh dipertikaikan dan perlu dikaji selidik untuk mencari kebenarannya. Sebab itu, ungkapan 'sejarah saya' yang disebut Tun Mahathir sebenarnya hanya bertujuan menyedapkan telinga orang ramai sahaja," petikan penulis Nanyang, Huang Zi.

Justeru, sukar dipastikan kesahihan beberapa kritikan Dr Mahathir terhadap perwatakan pemimpin-pemimpin lain, seperti Tun Hussein Onn, Perdana Menteri sebelumnya.

Dakwaan Dr Mahathir mengenai pemecatan Tun Salleh Abas, cukup menyimpang daripada hakikat sebenar. Beliau beria-ia mahu menafikan krisis kehakiman 1988 berpunca daripada masalah yang dihadapinya bagi mengekalkan kuasa sebagai Presiden Umno, sekali gus Perdana Menteri. Dr Mahathir meletakkan bebanan itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun menyedari Tun Salleh mengkritiknya dalam beberapa ucapan, Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak mengambil apa-apa tindakan, jauh sekali untuk menyingkir Tun Salleh. Dia hanya bertindak apabila Agong menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan "dua surat tersebut", iaitu berkaitan rungutan Tun Salleh mengenai bunyi bising proses baikpulih kediaman Agong (?) dan aduan berkenaan tuduhan Perdana Menteri terhadap badan kehakiman.

Seperti saya jelaskan sebelum ini, adalah menyalahi Perlembagaan apabila yang memulakan tindakan untuk memecat Tun Salleh ialah Agong dan bukannya PM. Motif jahat Dr Mahathir lebih ketara jika dilihat komposisi tribunal. Dia terpaksa meletakkan orang yang paling dipercayainya, iaitu Abdul Hamid Omar, Hakim Besar Malaya, yang turut terlibat bersama 20 hakim menghantar surat yang dikatakan menimbulkan kemurkaan Agong.

Dr Mahathir tentu sedar bahawa Abd Hamid bukan saja terlibat dengan surat itu, malahan beliau yang merupakan hakim kedua terkanan akan menjadi Ketua Hakim Negara yang baru jika Tun Salleh didapati bersalah oleh tribunal yang dipengerusikannya. Dilihat usia Abd Hamid yang lebih tua, beliau tidak akan menduduki kerusi no. 1 kehakiman sekiranya Tun Salleh menamatkan khidmat sehingga pencen pada umur 65 tahun.

Tun Salleh berusia lima bulan lebih muda berbanding Abd Hamid. Tarikh lahir Abd Hamid ialah 25 Mac 1925, manakala Tun Salleh, 25 Ogos 1929. Kedua-duanya dilantik Hakim Besar dan Ketua Hakim Negara, masing-masing pada 3 Feb 1984. Jelas, Abd Hamid merupakan orang berkepentingan dan mendapat manfaat jika Tun Salleh dilucutkan. Abd Hamid bukan sahaja tidak layak menjadi pengerusi tribunal malah tidak layak menjadi ahli.

Sepatutnya Tun Salleh diadili oleh mereka yang setaraf dengannya, misalnya dua bekas Ketua Hakim iaitu Tun Mohamad Azmi dan Tun Mohamad Suffian. Selain itu, Dr Mahathir juga memilih ahli tribunal yang dipersoalkan kewibawaannya, iaitu peguam Abd Aziz Zain (peguam pula yang mengadili hakim!) dan Speaker Dewan Rakyat, Tun Mohd Zahir Ismail (Dr Mahathir yang melantiknya sebagai Speaker).

Seorang lagi anggota tribunal ialah Hakim Mahkamah Tinggi Singapura, TS Sinathurai, yang dikenali paling memihak kepada kerajaan Singapura dan disyaki dipergunakan Lee Kuan Yew untuk mencari kesalahan musuh-musuh politiknya.

Beberapa perkembangan yang menakjubkan dalam proses tribunal itu, sehingga menyebabkan lima Hakim Mahkamah Agung digantung dan seterusnya dua daripadanya dipecat, menunjukkan bagaimana terdesaknya Dr Mahathir untuk melakukan apa saja untuk menyingkirkan Tun Salleh. Sukar dibayangkan apabila pendaftar-pendaftar mahkamah diarah balik awal supaya tidak ada kakitangan mahkamah untuk memetrai perintah Mahkamah Agung dalam permohonan Tun Salleh untuk mendapatkan perintah larangan sementara kepada tribunal. Dan cop mohor Mahkamah Agung turut disembunyikan!

Jika Dr Mahathir hanya menurut kehendak Agong (dan ini bercanggah dengan Perlembagaan), masakan beliau bersungguh-sungguh melakukan komplot yang luar biasa dahsyatnya!
Sila rujuk buku "Islam, Kehakiman dan Kediktatoran - Kes Tun Salleh Abas"; Penerbitan Pemuda 1989.

Begitu juga dengan dakwaan karut Dr Mahathir bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 yang membabitkan penahanan borong lebih 100 aktivis, dikendalikan sepenuhnya oleh pihak polis, dan bukannya atas kehendak eksekutif.

Saya masih ingat waktu itu, bulan Oktober 1987 dirasakan cukup membahang dengan isu perkauman yang sengaja dibiarkan terbakar. Ramai teman-teman wartawan hairan mengapa persoalan perkauman boleh dibahaskan secara cukup terbuka, termasuk oleh para menteri dan timbalan menteri. Lebih pelik apabila Perdana Menteri Dr Mahathir bukan saja berdiam diri, malah bertindak keluar negara pula? Ketika itu, kes rayuan Umno 11 hangat diperkatakan.

4 Oktober, 5 resolusi diluluskan di Dewan Perhimpuna Cina membantah perlantikan 14 guru besar dan penolong kanan yang tidak mahir berbahasa Mandarin. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai paling lantang bersuara. 11 Oktober, di kuil Thean Hou, Jalan Kelang Lama, perhimpunan lebih besar membabitkan tokoh-tokoh MCA, DAP dan NGO Cina, juga atas isu sama. Esoknya, di Dewan Rakyat, pertikaman lidah berlaku antara wakil Umno, MCA dan DAP. Speaker bermurah hati membenarkan perbahasan.

Lebih panas, 17 Oktober, di Stadium Jalan Raja Muda, ucapan perkauman, seperti "Basah ia (keris) dengan darah Cina" berkumandang. Kedai-kedai Cina berdekatan ditutup. Ia persiapan menyambut perhimpunan setengah juta pada 1 Nov, yang diusahakan Sanusi Junid, Setiausaha Agung Umno. Pendek kata, ketegangan sengaja dicipta bagi mewajarkan penahanan ISA, sebagai laluan buat Dr Mahathir memperkukuhkan kedudukannya yang begitu goncang berdepan cabaran musuh-musuh politiknya.

Dia turut meminda ISA secara gopoh-gapah, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 13 Julai 1988, segera dibawa ke Dewan Negara esoknya untuk diluluskan dengan mudah dan diperkenankan Agong pada hari berikutnya 15 Julai. Ia semata-mata dibuat bagi memastikan penahanan Lim Kit Siang tidak dibatalkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Dzaiddin Abdullah.

Bayangkan ironinya, Kit Siang membawa kesnya ke mahkamah atas ISA yang belum dipinda tetapi perbicaraan ditangguhkan bagi menunggu pindaan ISA diluluskan, dan kemudiannya Ketua Pembangkang itu dibawa semula ke hadapan hakim dengan undang-undang yang baru! Hakim Dzaiddin mengatakan, jika Kit Siang diadili menurut ISA sebelum pindaan, maka beliau akan dibebaskan daripada Kamunting.

Cukuplah Dr Mahathir, biar sejarah menentukannya, usah cuba ditulis semula ...


II. Masalah pengedaran Harakah perlu langkah penyelesaian segera

Bukan Dinsman yang mula menyuarakan masalah pengedaran Harakah dan rungutan kesukaran mendapatkan lidah rasmi PAS itu. Suatu ketika dahulu, sehingga ada yang mengeluh: "Lebih mudah dapatkan bekalan dadah daripada mencari Harakah." Ketika itu pihak penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) "mengamuk sakan" merampas Harakah yang dijual secara terbuka.

Tetapi, bukan itu yang hendak disuarakan Dinsman dalam kolumnya, Wacana Budaya, minggu lalu. Dia merungut apabila aktivis PAS sendiri menghadapi kesukaran membeli Harakah. Beliau merujuk pengalaman rakannya, aktivis PAS di Johor. Jika seorang penggerak PAS pun mengadu susah mencari akhbar parti, bagaimana dengan orang lain, ya?

Menjadi tabiat saya untuk sengaja meninggalkan Harakah di tempat-tempat awam bagi berkongsi dengan khayalak yang lebih luas, termasuk ketika menunggu lama di hospital. Sahabat saya juga selalu "buat-buat lupa" tertinggal Harakah dalam pengangkutan awam, seperti LRT. Kami perhatikan sebahagian besar kelihatan seperti baru pertama kali menatap sebuah akhbar yang begitu asing kepada mereka.

Saya dimaklumkan, kesukaran mendapatkan Harakah bukan saja berlaku di Johor tetapi juga di wilayah lain, hatta di sekitar Lembah Klang. Tidak dapat dipastikan apakah ia berpunca daripada kegusaran pekedai atau peruncit untuk menjual Harakah disebabkan label "hanya untuk ahli PAS" atau ahli-ahli (dan pimpinan) PAS sendiri tidak serius untuk meluaskan pengedarannya? Mungkin ada yang menuding jari kepada pihak Harakah yang dilihat tidak proaktif memasarkannya?

Dinsman dalam artikelnya itu mengungkapkan: "Ada tokoh PAS yang tak balik rumah berhari-hari bermalam-malam kerana berceramah di seluruh pelosok negara bagi menyebarkan maklumat kepada rakyat, dan dalam masa sama ada AJK kawasan sendiri pun tak baca Harakah, apakah lagi nak sebarkan maklumat yang terdapat dalam Harakah kepada orang-orang di sekitarannya?"

Sekurang-kurangnya untuk pilihan raya umum terdekat, saluran maklumat melalui media cetak masih merupakan wadah terpenting dan perlu diberikan perhatian serius oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Semasa sidang editorial diasak untuk meningkatkan kualiti bahan, soal memastikan akhbar parti seperti Harakah dan Suara Keadilan sampai ke segenap pelosok tanahair harus dijadikan agenda utama.

Bukan sahaja penceramah PAS wajar mengingatkan audien tentang keperluan mendapatkan Harakah, tetapi jauh lebih penting adalah memastikan rangkaian parti mempromosikannya kepada anggota masyarakat yang mungkin jarang terdedah dengan program-program tradisi penerangan parti. Kempen "Satu Keluarga Satu Harakah" yang pernah dilancarkan perlu disegarkan kembali, dengan pendekatan yang lebih praktikal.

Ada beberapa rakan mencadangkan agar operasi langganan Harakah dipertingkatkan. Saya dimaklumkan jumlah langganan pos sekarang cukup kecil. Mungkin ada dermawan yang bersedia melanggan dengan kuantiti yang banyak dan seterusnya dibahagikan kepada sasaran yang sukar mendapatkan Harakah. Syor mereka agar skim langganan khas itu diiklankan besar-besaran, dengan pihak parti seeloknya menyenaraikan pihak yang patut menerima langganan Harakah tersebut.

"Mungkin bagi sesetengah dermawan, lebih baik menyumbangkan Harakah daripada memberi bantuan wang tunai. Dengan itu maklumat dapat disebarluaskan, termasuk menjawab pelbagai tohmahan dan perang saraf BN," kata seorang teman. "Cuba bayangkan kalau ribuan Harakah percuma dapat diedarkan di kawasan pilihan raya kecil, misalnya di penempatan Felda, yang sukar untuk ditembusi oleh jentera kempen. Lebih molek lagi jika Harakah percuma itu dapat dibeli dengan harga kos, tetapi dengan memastikan pasaran sedia ada tidak terjejas," tambahnya.

Semasa wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaacob melakukan tinjauan awal di Sarawak, di tengah keriuhan teka-teki tarikh pilihan raya negeri ke-10, saya bertanyakan soal pengedaran Harakah di sana. Memang tidak banyak yang teredar, hanya sekitar 2,000 naskhah. Mungkin disebabkan Harakah sendiri tidak pernah membuat laporan khas politik Sarawak atau ada sekatan yang menghalang akhbar alternatif tersebar bebas?

Pelbagai dakwaan mengenai amalan korupsi, salahguna kuasa dan pembolotan kekayaan negeri oleh Ketua Menteri, Taib Mahmud dan kroninya dilaporkan oleh laman web, khususnya sarawakreport.org, namun ramai sangsi sejauh mana rakyat Sarawak dapat akses dengan pendedahan itu. Mungkin ia tidak menjadi masalah kepada masyarakat Tionghoa tetapi bagaimana dengan orang Melayu-Melanau atau Dayak (Iban) yang majoritinya tingal di luar bandar? Pengedaran bahan-bahan bercetak, seperti akhbar dan buku, agak mudah diganggu elit penguasa.

Penganalisis politik Sarawak, Prof Madya Dr Shahruddin Badarudin menyifatkan kebanyakan isu seperti kekayaan Taib serta masalah tanah adat sukar untuk meninggalkan kesan di hati pengundi, terutama masyarakat Bumiputera. "Ia disebabkan halangan dari segi logistik termasuk cara penyebaran maklumat yang lebih banyak bergantung kepada internet serta kos penerangan melalui kertas yang tinggi. Ini cabaran getir buat Pakatan Rakyat melicinkan proses penerangan serta penyebaran bahan kempen kepada pengundi memandangkan kos yang terpaksa ditanggung begitu tinggi," katanya.



Kebangkitan rakyat masuki pusingan baru
Suhaimi Mokhtar

Revolusi kebangkitan rakyat di Bahrain memasuki pusingan baru apabila tentera Saudi Arabia berjumlah 1,000 orang anggota yang lengkap dengan kenderaan tentera termasuk kereta perisai dan lain-lain kelengkapan ketenteraan dan peralatan perang memasuki Manama, ibu kota Bahrain Isnin lalu bersama dengan 500 orang pegawai dan tentera Emariah Arab Bersatu (UEA).

Kehadiran ketumbukan tentera seramai 1,500 orang anggota itu adalah atas jemputan Raja Bahrian sebagai sebahagian dari bantuan ketenteraan dari negara anggota Majlis Negara-Negara Teluk (GCC) untuk menyelamatkan regim Bahrain yang sedang menghadapi revolusi kebangkitan rakyat.

Rakyat mendesak dilakukan reformasi politik,ekonomi dan sosial meliputi soal kebebasan, ketelusan, menentang rasuah dan akhirnya menukar regim beraja yang memerintah Bahrain beratus-ratus tahun lamanya.

Dari satu kebangkitan masyarakat sivil rakyat secara aman menyarupai kebangkitan di Tunisia dan Mesir, kebangkitan di Bahrain bertukar menjadi ganas apabila regim diraja terus mempertahankan kelangsungan regimnya.

Kebangkitan rakyat telah berlangsung sejak berminggu-minggu lalu dan konsesi yang ditawarkan oleh regim Bahrain untuk berdailog dan melakukan reformasi telah tidak disahut oleh penganjur-penganjur demonstrasi yang mahu menukar regim yang ada.

Sebaik sahaja tentera Saudi dan UEA memasuki Bahrain, regim beraja Bahrain melakukan penggelidahan dan pembersihan terhadap para demonstran dan menyuraikan mereka yang berkumpul di Bulatan Mutiara dengan kekerasan. Ramai yang terkorban dan cedera dalam kempen kekerasan yang dilakukan.

Bahrain sebuah negara kecil bukan sahaja dari segi saiznya, tetapi juga penduduknya. Ia unik kerana raja pemerintah adalah dari kalangan sunni sementara 70 peratus penduduknya terdiri dari penduduk Syiah. Pihak Amerika Syarikat (AS) dan barat meuar-uarkan bahawa kebangkitan ini adalah kebangkitan rakyat syiah yang tidak berpuashati kerana mereka sentiasa dipinggirkan termasuk dalam penentuan dasar negara.

Bagaimana pun mereka yang berdemonstrasi terdiri dari kalangan Syiah dan Sunni. Tidak terdapat pertentangan terbuka antara kedua kalangan itu yang telah hidup saling mengerti selama ini.

Kandatipun demikian,kebangkitan di Bahrain ini berbeza sedikit dengan kebangkitan di jazerah Arab yang lain seperti di Yaman, Libya dan di wilayah-wilayah lain termasuk di Tunisia dan Mesir yang menyaksikan tumbangnya dua regim diktator Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir.

Perbezaan nya kerana di Bahrain majoriti rakyat adalah penganut syiah walaupun dinegara-negara Arab dan Teluk yang lain penganut syiah juga ramai,tetapi Bahrain dalam konteks Saudi adalah negara penimbal bagi Saudi Arabia. Saudi tidak mahu melihat kebangkitan yang melanda jazerah Arab ini tiba di Riyadh dan kehadiran tentera Saudi adalah dalam usaha untuk membendungnya.

Di Bahrain terdapat pengkalan tentera laut AS dan di Saudi Arabia pula terdapat kem tentera AS. Kehadiran tentera AS ini adalah dalam skima lebih besar dan luas dalam percaturan dirantau Timur Tengah dan Asia Barat itu.

Negara Repablik Islam Iran selepas revolusi 1979 yang menyaksikan kejatuhan dinesti Shah Pahlavi dianggap sebagai satu ancaman kepada negara-negara serantau. Sehingga kini Iran dianggap sebagai negara musuh oleh AS dan barat.

Percaturan untuk berebut menjadi kuasa serantau antara Iran dan Saudi Arabia berterusan sejak revolusi Iran sehingga kini dan dalam konteks itulah tentera Saudi dan UEA memasuki Bahrain bagi membendung pengaruh Iran kerana majoriti rakyat Bahrain terdiri dari penganut Syiah. Jika sekiranya berlaku konflik antara Sunni dan Syiah yang memang diadu-domba oleh AS dan barat,rantau yang bergolak itu akan menyaksikan konflik yang berskala besar. Diharapkan tidak akan berlaku pertembungan sia-sia ini.

Kehadiran tentera Saudi di Bahrain telah mendapat persetujuan AS dan barat. AS mensifatkan kehadiran tentera Saudi bukanlah satu penaklukan atau penjajahan. Ia menepati kerjasama negara anggota GCC. Iran telah membantah kehadiran tentera Saudi di Bahrain yang bertujuan untuk membendung kebangkitan rakyat Bahrain. Iran menafikan penglibatan negara itu dimana-mana jua, walaupun rakyat Bahrain dan kebanyakan negara Arab lain termasuk Iraq mempunyai penduduk majoriti penganut Syiah.

Saudi dan UAE menjadi proksi AS dan barat dalam menyelamatkan regim Bahrain. AS mempunyai kepentingan yang besar dirantau itu dengan kehadiran armada keenamnya. AS tidak berupaya membiarkan kebangkitan di Bahrain berterusan,walaupun retorik AS sentiasa menyatakan rakyat dinegara-negara Arab berhak untuk berdemonstrasi secara aman; mendesak dilakukan reformasi politik dan menyokong kebangkitan pro demokrasi.

Dengan bantuan ketenteraan Saudi yang disokong oleh AS dan barat, kebangkitan rakyat di Bahrain dijangka akan dibendung dengan cara kekerasaan, tetapi rakyat yang bangkit menyatakan iltizam mereka untuk meneruskan kebangkitan. Kini kebangkitan di Bahrain telah memakan korban lebih ramai.

Bagi Saudi membendung dan sekaligus menumpaskan kebangkitan di Bahrain berkait rapat dengan menumpaskan kebangkitan yang mula mengambil tempat di timur Saudi yang juga majoriti penduduknya merupakan penganut Syiah. Setakat ini Saudi dengan kerasnya dapat membendung kebangkitan di timur negaranya,tetapi apakah ia mampu menumpaskannya sekaligus.

Pendekatan regim-regim yang dilanda kebangkitan revolusi rakyat berbeza antara satu negara dengan satu negara yang lain. Selepas kejatuhan Ben Ali dan Mubarak, regim-regim ini mengambil pendekatan untuk berdepan dan menghadapi kebangkitan dengan kekerasan dengan menggunakan tentera dan pasukan keselamatan, menyebabkan ramai rakyat yang berdemonstrasi secara aman terkorban.

Regim-regim diktator ini tidak menyerah kalah kepada tuntutan kebangkitan rakyat. Mereka tidak mahu mengikut jejak Ben Ali dan Hosni Mubarak yang dijatuhkan dengan penuh penghinaan sekali.

Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah mengambil pendekatan memerangi rakyatnya sendiri dan kini dikatakan mulai memenangi semula wilayah-wilayah yang dikuasai oleh revolusi kebangkitan rakyat yang menamakan diri mereka sebagai majlis nasional Libya yang telahpun diiktiraf oleh Peranchis dan Britain.

Gaddafi telah menggunakan kekuatan udaranya untuk menyerang dan membebaskan wilayah yang dikuasai oleh kebangkitan rakyat dan kini dilaporkan sedang menuju ke Banghazi yang menjadi kubu kuat kebangkitan rakyat.

Bagi menyelamatkan Benghazi Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan larangan penerbangan di langit Libya bagi menyelamatkan rakyat Libya dari serangan udara oleh jet-jet pejuang tentera udara yang pro Ghadafi. Resolusi majlis Keselamatan itu disokong oleh sepuluh negara sementara lima negara termasuk dua negara anggota tetap China dan Russia berkecuali. Tiga lagi negara anggota tetap, iaitu AS, Britain dan Peranchis menyokong.

Resolusi larangan penerbangan ini adalah campurtangan langsung negara kuasa AS,Britain dan Peranchis terhadap konflik perang saudara di Libya. Bagi memberikan kesan kepada larangan penerbangan, keupayaan udara yang dimiliki Gaddafi mesti disasarkan bagi melumpuhkan keupayaan udara yang dimiliki tentera udara pro Gaddafi.

Dalam konteks Libya, dimensi dari satu revolusi kebangkitan rakyat bertukar wajah menjadi perang saudara dan kini menerjah kepada satu keadaan yang akan mengheret kepada arena perang yang lebih besar, semata-mata kerana keengganan dan kedegilan Ghadafi tunduk kepada tuntutan rakyat.

Di Yaman pula,keadaan yang hampir serupa sedang mengambil tempat. Regim Ali Abdullah Salleh yang enggan tunduk kepada tuntutan kebangkitan rakyat mula menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan. Regim-regim ini mahu menggagalkan kebangkitan rakyat.

Kebangkitan rakyat di Bahrain akan digagalkan dengan bantuan Saudi yang disokong oleh AS dan barat. Di Libya larangan penerbangan memberi ruang kepada AS dan sekutunya untuk campurtangan dalam konflik perang saudara di Libya,sementara di Yaman, regim Ali Abdullah Salleh mahu berdepan dengan kekerasan terhadap para demonstran yang menggerakkan kebangkitan rakyat.

Pengakhiran kebangkitan rakyat dibeberapa buah negara ini berada dalam keadaan tidak menentu. Penyelesaian nya tidak lagi antara rakyat yang bangkit dengan regim masing-masing tetapi mengheret kuasa AS barat dan proksi mereka dalam kancah dan pergolakan yang dijangka akan berpanjangan.

Sewajarnya penyelesaian dari revolusi kebangkitan rakyat ini di selesaikan oleh rakyat sendiri tanpa campurtangan asing seperti yang berlaku di Tunsia dan Mesir.


Umno BN rasuah rakyat untuk menang
Suhaimi Mokhtar

Ucapan tahniah dan syabas kepada MP Jerai, Mohd Firdaus Jaafar kerana keberanian, kepekaan dan keprihatinannya membuat pertanyaan di Dewan Rakyat bertanyakan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak tentang jumlah perbelanjaan kerajaan melaksanakan projek-projek segera sepanjang pilihanraya kecil Dun Tenang di Johor pada Januari lalu.

Jawapan bertulis PM menyenaraikan 85 program projek segera telah dilaksanakan sepanjang kempen lebih seminggu pilihanraya kecil Dun Tenang dengan memakan belanja RM5.968 juta. Peruntukan di bawah peruntukan khas PM itu dibelanjakan atas permintaan rakyat setempat terdiri dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, Rukun Tetangga dan sebagainya.

Jawapan itu juga menyebut bahawa peruntukan itu termasuk dalam belanjawan 2011. Inilah hakikat yang menyebabkan Umno-BN terus dapat mengekalkan kerusi Dun Tenang dan mengekalkan kuasa pemerintahan setiapkali pilihanraya sejak 1959, pilihanraya pertama selepas merdeka 1957.

Pada mata kasarnya, perbelanjaan ini dibelanjakan atas kehendak dan permintaan rakyat, tetapi jika dibedahsiasat secara halus, ia adalah suatu cara untuk memenangi hati nurani rakyat terutama pengundi untuk mengundi calon Umno-BN dengan merasuah rakyat dengan projek-projek segera ini.

Tanpa adanya pilihanraya kecil tentu tiada projek segera akan dilaksanakan. Perbelanjaan sebanyak hampir RM6 juta itu memasuki kantung-kantung kontraktor-kontraktor Umno BN yang kehausan projek, ketua-ketua cawangan, ketua-ketua bahagian dan suku-sakat mereka. Akhirnya rakyat mengigit jari, menerima hampas-hampas yang tinggal, kerana santannya telah dibolot oleh mereka yang berpengaruh di peringkat cawangan dan bahagian.

Sebab itulah projek yang dilaksanakan kalau dalam bentuk bangunan, bangunan akan runtuh kerana pembinaan tidak mengikut spefikasi, kerana kontraktor orang Umno hanya berminat untuk mengaut keuntungan yang berlebihan dari menjaga kepentingan rakyat.

MP Md Firadus, sebagai pengarah pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat, telah membuat kerja rumahnya dengan membuat pertanyaan sedemikian. Soalan itu mungkin diletak di nombor-nombor yang terakhir bagi mengelakkannya menjadi soalan lisan yang apabila dijawab akan memberi ruang untuk pertanyaan tambahan yang akan menghagatkan lagi persidangan Dewan Rakyat. Oleh kerana soalan itu tersenarai jauh, maka apabila waktu yang diperuntukkan untuk soalan lisan berakhir, soalan berbaki akan hanya menerima jawapan bertulis.

Dianjurkan supaya soalan-soalan seperti ini, yang mungkin bagi sestengah pihak menganggapnya remeh perlu mendapat perhatian dan diasak oleh MP-MP Pakatan bagi mengetahui sejauh mana ketelusan kerajaan dalam berbelanja dan jumlah projek segera dan perbelanjaan yang dibelanjakan bagi merasuah rakyat dalam pilihanraya-pilihanraya negara ini baik pilihanraya kecil atau pilihanraya umum.

Tanyakan juga jumlah program projek segera dan belanja yang dibelanjakan dalam tiap-tiap satu pilihanraya kecil yang sehingga ini telah 16 kali diadakan sepanjang tiga tahun lalu. Dalam pilihanraya kecil yang dimenangi Pakatan sebanyak lapan kali, sebanding dengan yang dimenangi Umno-BN,mungkin perbelanjaan rasuah yang ditaburkan berlibatkali ganda. Rakyat perlu mengetahuinya.

Kalau dalam satu pilihanraya kecil perbelanjaan kempen projek segera berjumlah hampir RM6juta, maka bagaimana pula dengan pilihanraya umum, tentulah belanja dalam jumlah puluhan atau ratusan juta wang rakyat di belanjakan untuk menjamin kekuasaan berterusan parti pemerintah.

Perbuatan merasuah rakayat untuk mendapatkan undi bagi menjamin kuasa pemerintahan berterusan adalah satu cara yang tidak berakhlak yang perlu dihentikan segera. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu bertindak mencegahnya dan SPRM hendaklah bertegas dengan adil bagi menamatkan keadaan ini dari berlarutan bagi menjamin proses demokrasi berjalan mengikut landasan yang adil dan bersih dan bukannya mengikut padang permaianan tidak setara dan samarata yang akan membantut kesuburan demokrasi negara ini.

Sudah 12 kali pilihanraya dan akan menjelang pilihanraya ke-13 akan datang, sewajarnya proses demokrasi makin sihat dan subur, bukannya tambah pincang dan membantutkan penuh dengan ketidakadilan dan penyelewengan serta rasuah.

Kerajaan sebagai pemerintah yang diberi mandat oleh rakyat berhak untuk membela rakyat dan mengadakan projek-projek pembangunan untuk rakyat tetapi bukan melaksanakan projek segera setiap kali menjelang pilihanraya, apalagi semasa kempen pilihanraya sedang berjalan. Rakyat boleh sahaja menerima projek, tetapi bukan semasa kempen pilihanraya,kerana ia adalah salah satu bentuk rasuah.

Kerajaan mempunyai masa lain sepanjang tempuh mandat lima tahun untuk melaksanakan projek untuk rakyat. Jika projek segera dilaksanakan semasa kempen pilihanraya,maka ia adalah testimoni satu perlakuan rasuah. Memberi projek segera untuk mendapatkan pulangan supaya pengundi memberi undi,adalah satu perbuatan rasuah terang-terangan. Seadilnya,tiada projek segera dilaksanakan untuk rakyat semasa kempen pilihanraya. Cukuplah dengan manifesto yang meliputi dasar dan program parti yang bertanding, jika diberi kuasa memerintah.

SPR perlu mengadakan peraturan larangan terhadap perlakuan rasuah secara halus ini. SPRM pula perlu menghentikannya, kerana ia perbuatan yang tidak sihat untuk proses kematangan demokrasi di negara ini.

Jawapan bertulis PM merupakan program projek segera yang dilaksanakan semasa kempen pilihanraya. Apa pula pemberian-pemberian dalam bentuk lain secara langsung atau tidak langsung kepada pengundi individu atau berkelompak yang tidak pula diketahui jumlahnya. Inilah hakikat dan anasir tidak sihat dalam proses demokrasi pilihanraya negara ini.

Undi dibeli dengan wang ringgit. Pihak yang mempunyai peruntukan perbelanjaan yang besar dan tiada hadnya akan mampu membeli undi dan calun-calun Pakatan yang tidak mempunyai kewangan yang cukup dan sangat terbatas akan berhadapan untuk menyaingi calun parti pemerintah dalam padang permainan demokrasi yang tidak setara dan samarata.

MP-MP pakatan pembangkang perlu mengusulkan pertanyaan untuk jawapan lisan berapakah jumlah peruntukan projek segera yang dibelanjakan dalam pilihanraya-pilihanraya kecil Galas, Kerdau, Merlimau, dan lain-lain yang dimenangi Umno-BN dan berapa pula perbelanjaan yang dihabiskan dalam pilihanraya kecil yang dimenangi Pakatan. Dari perangkaan-perangkaan ini akan dapat dibuat analisis betapa demokrasi pilihanraya negara in dibelenggui dan diselubungi ketidakadilan.

Walaupun setiap calun perlu menghantar penyata perbelanjaan pilihanraya masing-masing selepas pilihanraya,tetapi angka-angka sebenar yang tepat tidak akan diketahui dan diperolehi umum secara jujur kerana ia telah dimanipulasi begitu rupa akibat tiadanya ketelusan dan integriti SPR sebagai agensi pelaksana pilihanraya negara ini.

Sebelum pilihanraya ke-13 berlangsung, parti-parti dalam Pakatan perlulah melakukan desakan dan agitasi politik mendesak SPR melakukan perubahan dan reformasi bagi menjamin ketelusan dan pilihanraya yang berwibawa kerana tanpa pilihanraya berkredibiliti, risiko penyelewengan sangatlah besar.

Apabila rakyat tidak mempunyai keyakinan terhadap agensi pelaksana pilihanraya seperti SPR dalam mengendalikan pilihanraya maka tindak balas rakyat akan merugikan semua pihak. SPR perlu dilihat berkecenderungan untuk mengadakan suatu pilihanraya yang seadil-adilnya bagi menjamin kesinambungan proses demokrasi tulen di negara ini.



Pembunuhan orang awam tingkat kemarahan rakyat Yaman

Imran al-Malizi

Semenjak Zein al-Abideen (Tunisia) dan Hosni Mubarak (Mesir) digulingkan, Yaman adalah antara negara Arab di Timur Tengah dan Utara Afrika yang bergolak akibat kebangkitan rakyat yang menuntut perubahan politik dan kepimpinan.

Pada hari Jumaat, 18 Mac 2011 menyaksikan seluruh lapisan masyarakat berhimpun memenuhi semua masjid di ibu negara Sana'a sehingga jumlah jemaah melimpah ke jalanraya. Mereka sudah berada di jalanan semenjak lebih kurang sebulan yang lalu.

Pada hari khamis sebelum itu, Presiden Ali Saleh mengumumkan pelan untuk mengubah perlembagaan negara dan sistem parlimen.

Melalui siaran langsung itu, beliau memberitahu bahawa satu referendum akan dipertimbangkan untuk diadakan pada tahun ini berserta dengan satu peraturan pilihanraya yang baru.

Namun, kelompok pembangkang mengemukakan tuntutan yang lebih besar daripada itu iaitu presiden mesti berundur setelah 33 tahun memerintah.

Mereka tidak percaya kepada janji presiden bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya selepas 2 tahun lagi (2013). Kebimbangan tersebut sememangnya berasas apabila beliau pernah mungkir janji beberapa kali.

Pada bulan Mac 2009, beliau telah menangguhkan pilihanraya presiden sehingga dua tahun (2011). Presiden Ali Saleh berjanji akan melakukan perubahan besar sepanjang dua tahun itu untuk menghapuskan rasuah, membasmi kemiskinan, mengatasai masalah ekonomi, pengangguran dan sebagainya.

Akhirnya pada awal bulan lalu beliau mungkir janji lagi apabila mengumumkan bahawa pilihanraya akan ditangguhkan dua tahun lagi sehingga 2013.

Rakyat tidak boleh bersabar lagi dan mereka sudah muak dengan janji-janji palsu pemerintah. Akhirnya demonstrasi yang dimulakan oleh mahasiswa di Universiti Sana'a telah merebak dan disertai oleh semua lapisan masyarakat yang semakin tertekan dengan corak pemerintahan Ali Saleh.

Hampir kesemua jalan utama di Dairy, Sana'a telah ditutup kerana golongan penentang pemerintah telah berkhemah di sepanjang jalan walau pun dirempuh beberapa oleh pihak polis.

Manakala kelompok penyokong pemerintah mendominasi medan Tahrir. Mereka dibiarkan berhimpun di situ bagi memberi gambaran kepada masyarakat luar bahawa rakyat Yaman bersatu menyokong pemerintahan presiden.

Pada hari itu, angka yang menyertai perhimpunan bertambah ramai kerana mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi terbesar selepas solat Jumaat untuk menuntut Presiden Ali Saleh meletakkan jawatan.

Sebaik sahaja selesai solat Jumaat, tiba-tiba bunyi tembakan berteriak di ruang udara menyaksikan beberapa orang yang berada dalam saf solat telah gugur syahid di tepi-tepi jalan.

Keganasan bermula apabila puak yang menyokong pemerintah (disyaki sebagai tentera yang berpakaian awam) melepaskan tembakan membuta tuli kepada para penentang dari arah jendela dan atas bangunan yang berdekatan.

Seraya itu para jemaah pun bangun meninggalkan tempat sujud mereka dan menyerbu ke arah pihak polis yang berkawal. Lalu berlakulah pertempuran sehingga pasukan keselamatan melepaskan tembakan peluru hidup secara terbuka ke arah rakyat dengan disertai gas pemedih mata dan trak meriam air.

Pertempuran semakin mengganas apabila orang awam yang kebanyakannya tidak bersenjata terpaksa berhadapan dengan pasukan keselamatan dan para penyokong pemerintah yang bersenjata lengkap.

Kejadian tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 45 nyawa dan mencederakan lebih 200 yang lain. Menurut seorang doktor yang merawat para peserta demonstrasi yang tercedera di tempat kejadian, angka yang terkorban adalah lebih besar.

Katanya, "Kejadian ini seperti pembunuhan beramai-ramai, terdapat pasukan polis yang berpakaian seragam dan ada juga perpakaian awam dan mereka menyerang orang ramai yang berdemonstrasi."

Menurut doktor tersebut, jumlah yang tercedera adalah 1,250 orang dan 250 daripadanya berada dalam keadaan kritikal. Sebahagian mereka di rawat di celah-celah bangunan.

Beberapa orang yang disyaki melepaskan tembakan dari atas bangunan telah ditangkap oleh orang awam. Mereka yang disyaki sebagai penembak curi telah diheret ke tengah jalan lalu dibelasah oleh rakyat yang hilang pertimbangan.

Dalam salah satu bilik di mana penembak tersebut dicekup, para penentang menemui pakaian seragam tentera dan tanda pengenalan milik kementerian pertahanan.

Kematian yang berlaku telah meningkatkan kemarahan para penunjuk perasaan. Walau pun sebelum itu telah berlaku kematian akibat tembakan curi yang dilakukan oleh kelompok penyokong presiden.

Dalam sidang media yang diadakan di Sana'a, Ali Saleh mendakwa pertempuran yang berlaku adalah antara orang awam dan para penunjuk perasaan. Menurutnya, polis tidak berada berada di tempat kejadian apatah lagi melepaskan tembakan.

Beliau menafikan pasukan tentera terlibat dan beliau berjanji akan menjalankan siasatan penuh bagi mencari punca pertumpahan darah tersebut.

Kenyataan Ali Saleh sangat diragui. Ini kerana beliau pernah berkata sebelum itu akan menggunakan strategi dan pendekatan seperti Gaddafi di Libya untuk menamatkan penentangan rakyat terhadapnya.

Presiden Ali Saleh mengisytiharkan perintah darurat tidak lama selepas kejadian tembak menembak itu. Tempoh darurat dijangka akan berterusan selama 30 hari semenjak hari Jumaat itu.

Presiden Barack Obama telah mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran Amerika Syarikat melahirkan rasa simpati kepada warga Yaman dan berharap Presiden Ali Saleh memberi peluang kepada perhimpunan aman yang dianjurkan oleh rakyat.

Pada hakikatnya, AS merasa terancam sekiranya keadaan di Yaman menjadi tidak terkawal kerana negara tersebut dikatakan terdapat cabang gerakan al-Qaeda yang paling aktif.

Kerana itu, sekiranya Presiden Ali Saleh digulingkan, maka keadaan akan menjadi lebih parah kerana belum dapat dipastikan lagi adakah penggantinya mampu berkawan dengan pentadbiran Washington.

AS semenjak sekian lama membiayai misi menentang keganasan dan melumpuhkan golongan pro-Islam di negara itu.

Pada hari Sabtu 19 Mac 2011, Parti Islah sebagai gerakan Islam terbesar di Yaman telah mengarahkan agar seluruh masjid mengadakan solat jenazah ghaib untuk mereka yang terkorban.

Beratus-ratus ribu rakyat keluar menghadiri masjid-masjid berdekatan. Sejurus itu, demonstrasi besar-besaran telah berlaku secara spontan. Jalan-jalan utama di Sana'a telah ditutup melumpuhkan lalu lintas.

Angka penunjuk perasaan dianggarkan meningkat sehingga 1 juta orang sehingga waktu petang.

Khabar angin mula tersebar bahawa satu pembunuhan besar-besaran yang melibatkan para pemimpin pembangkang akan berlaku. Presiden Ali Saleh telah berikrar untuk menamatkan demonstrasi secepat mungkin.

Rentetan kejadian itu, Duta Yaman di Lubnan telah meletakkan jawatan sebagai bantahan terhadap tindakan tentera membunuh orang awam.

Dalam negara, setiausaha kementerian pendidikan dan menteri di jabatan hal ehwal agama turut meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap tindakan terdesak Ali Saleh mempertahankan kuasanya.

Melalui sms terakhir yang diterima, pihak pemerintah telah memutuskan bekalan elektrik di seluruh pencawang bagi menekan rakyat dan menghalang agensi berita asing membuat liputan.

Waktu maghrib telah pun tiba sedang ibu negara Sana'a diselubungi kegelapan. Di celah-celah itu, sayup-sayup kedengaran suara yang melaungkan sumpah sesungguhnya darah para syuhada akan dibela.


Kedudukan Raja-Raja dan tuduhan derhaka
Subky Latif

TITAH Singgahsana di Parlimen oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong mengingatkan antara lain supaya semua pihak cermat bila menyentuh kedudukan raja-raja.

Ia adalah ingatan penting kepada semua; kepada rakyat yang berpolitik dan yang membuat kajian ilmiah; dan kepada gaya hidup sekalian kerabat yang bergelar. Wajar bagi semua menjaga satun masing-masing bagi memperkukuh harmoni dan kesejahteraan tamaddun.

Saya percaya orang-orang politik yang bertanggungjawab, yang bercita-cita untuk memberi perkhidmatan kepada agama, bangsa dan negara tidak berpolitik dengan kedudukan raja-raja.

Semua tahu bahawa kedudukan raja-raja itu adalah keramat kepada keharmonian antara orang bergelar dan rakyat jelata, dan antara sesama masyakat majmuk. Ia juga elemen sensitiviti yang boleh meresahkan.

Tiada orang politik yang bercita-cita besar mahu diganggu oleh kewujudan institusi itu. Sekaliannya mahu menyumbang kepada kemurniannya dengan mengelak hal-hal yang mendatangkan keresahan.

Tetapi suatu gejala yang meresahkan yang perlu diperhatikan oleh golongan orang bergelar menonjolkan isu derhaka sebagai senjata politik yang ampuh dan rapuh.

Raja-raja sayugia peka dengan kepura-puraan gejala yang bermain isu derhaka bagi maraih faedah politik tetapi boleh mengeruhkan keharmonian dan mengganggu ketenangan orang atas terhadap orang bawah serta boleh mengelirukan kesediaan orang bawah kepada orang atas.

Majlis Raja-Raja wajar duduk sama sendiri merenung dan meneropong kerenah orang bermain isu derhaka yang pernah merosakkan hubungan harmoni dan kenenangan yang sewajarnya dipupuk di kalangan istana dan rakyat, bukan melagakan raja-raja dengan golongan tertentu di kalangan rakyat masing-masing.

Kerenah orang itu dikatakan anti raja dan orang ini derhaka, tetapi bertabur di persada politik sejak negara mencapai kemerdekaan. Ada yang menempelak Ahmad Boestamam dan Pak Sako yang memperjuangkan kemerdekaan mengikut aliran kiri dikatakan hendak menegakkan pemerintahan republik di negara ini.

Ia menyebabkan ada raja yang curiga dengan setengah rakyat dan dekat dengan setengah rakyat. Dan sebaliknya ada rakyat yang dicurigai itu menjauhkan diri dari orang istana dan sekalian orang bergelar.

Adalah benar Ahmad Boestamam dan Pak Sako mengkritik sistem feudal, tetapi mereka menerima gelaran Dato. Boestamam mati sebagai Dato yang diberi oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak dan Pak Sako dianugerah Dato oleh Sultan Pahang. Apabila orang-orang ini didekati oleh raja, pengikut mereka ada pesepsi baru tentang feudalisma.

Tetapi kalau istana ragu tentang setengah rakyat, ia memungkinkan orang-orang ini menyimpan satu persepsi tertentu terhadap raja. Persepsi boleh menimbulkan berbagai kerenah, tidak mustahil orang membincang perkara yang bukan-bukan tentang istana dan raja.

Mungkin ada orang bukan Melayu ada pandangan berbeza terhadap raja. Tetapi orang bukan Melayu juga berlumba-lumba dan sanggup berhabis untuk mendapat gelaran berbagai pingat dari raja.

Sukar bagi mana-mana kuasa politik berjaya jika ia ada persepsi yang menjarakkannya dengan raja. British ada kuasa penting sebelum mereka. Ia mencorakkan politik dan kedudukan raja-raja. Apabila British cuba menyentuh kedudukan raja melalui gagasan Malayan Union, British juga tonggang-langgang.

Justeru itu orang politik belajar dari kejadian itu dan kesimpulannya kedudukan raja itu suatu yang mesti diterima.

Apa yang berlaku hingga datang Titah dari Singgahsana tentang bimbang dengan kedudukan raja-raja, bukan kerana raja itu ditolak tetapi gara-gara hantu derhaka yang berlegar luas di tengah masyarakat. Hantu itu memang telah berjaya menggerun istana dan kedudukan raja-raja menjadi soal yang tidak selesai setelah sekian lama merka.

Istana dan pemerintah mesti membuang hantu derhaka itu ke Laut China Selatan untuk selama-lamanya kerana ia mengganggu ketengangan istana dan mengelurikan kesetiaan rakyat.

Apabila isu derhaka ini dimainkan, ia mengundang orang untuk mendengarnya. Orang yang tidak tertarik pun jika selalu mendengarnya, akan ada sesuatu yang lekat di kepalanya.

Mesyuarat Raja-Raja mesti melihat serius isu ini jika mahu kedudukan raja-raja itu terus rukun dan damai. Jika isu derhaka dimainkan, lepas 100 tahun merdeka pun ia berbunyi lagi. Raja tidak wajar berpolitik tetapi raja patut tahu politik supaya tidak menjadi tawanan orang politik.


Haris Zalkapli: Siapa dapat faedah isu video seks?

Haris Zalkapli

Pagi ini, kemunculan satu rakaman aksi seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang mencetuskan pelbagai reaksi daripada kelompok politik negara.

Pendedahan rakaman seks terbaharu melibatkan ahli politik ini menambahkan lagi isu sensasi dalam politik negara, ketika topik liwat semakin terhakis nilai kejutannya ekoran terlalu banyak muncul di media dan kempen politik.

Reaksi awal banyak pihak memperlihatkan keadaan terkejut dan defensif, menafikan penglibatan seorang pemimpin pembangkang walaupun dipercayai belum menonton rakaman itu.

Tidak dapat tidak, pihak pemerintah terkait dengan pendedahan itu disebabkan bacaan politik semasa yang sedang bersedia menghadapi pilihan raya di Sarawak dan seluruh negara selepas itu.

Dalam suasana politik yang panas pada masa ini, tidak dapat dielakkan kemunculan rakaman itu dikaitkan dengan kepentingan pihak tertentu untuk mendapat faedah daripada kesan pendedahan itu.

Dari sudut jangka pendek, pihak yang menentang tokoh yang disasarkan oleh pendedahan rakaman itu berpotensi mendapat manfaat besar.

Pihak lain, termasuk yang mempunyai hubungan dengan tokoh yang didakwa terlibat itu, boleh turut sama terpalit dengan kesan negatif.

Dalam perang persepsi yang ganas dan tidak beretika pada masa kini, setiap peluang digunakan sebaiknya oleh semua yang berkepentingan.

Seperti yang pernah berlaku ekoran satu pendedahan daripada WikiLeaks sebelum ini, pengesahan fakta tidak lagi menjadi penting bagi pihak yang mahu mengeksploit, tetapi persepsi yang tercetus daripada pendedahan itu yang mahu dimanfaatkan.

Perbincangan mengenai isu terbabit akhirnya hanya menyentuh aspek sensasi dan menafikan penilaian kritikal terhadap hal yang mendasar.

Kes-kes ini menunjukkan bagaimana dengan mudah politik menguasai sehingga persepsi menjadi perkara yang paling mahu dimanfaatkan selagi yang boleh.

Dalam kes pendedahan terbaharu ini, siapapun yang mendapat manfaatnya, dalam tempoh jangka panjang, politik negara bakal terkesan oleh permainan politik yang kotor dan tidak bertanggungjawab.

Pendedahan rakaman terbaharu ini menambahkan catatan buruk sejarah politik negara yang menyaksikan rakaman curi aksi seks menjadi berita utama politik.

Perhatian ramai juga tertumpu pada hal sensasi itu, mengangkat topik seperti itu lebih tinggi dalam wacana politik tempatan dan menjadikan isu-isu yang lebih penting dan mendasar semakin terpinggir.

Isu-isu sensasi yang malangnya lebih mudah menarik perhatian khalayak semakin berpeluang mengambil bahagian terpenting dan terbesar dan perbincangan politik yang sepatutnya dijalankan berdasar isu-isu yang lebih mencerahkan.

Personaliti, skandal dan pelbagai isu sensasi rendah akhirnya menjadi tumpuan ramai, menenggelamkan lagi isu-isu seperti ideologi, program parti-parti politik dan sebagainya yang lebih memberi peluang untuk membuat penilaian yang bijak.

Isu skandal yang melibatkan moral bukanlah tidak penting kerana berkait dengan integriti tokoh-tokoh politik, tetapi sensasionalisme yang dicetuskan ini menjatuhkan wacana politik nasional ke satu tahap yang lebih rendah lagi.

Pemilihan jalan pendedahan skandal seperti yang berlaku hari ini juga mendedahkan kelemahan dalam politik negara kita, yang mendedahkan ketidakmampuan berdepan di medan demokrasi lalu mencari jalan lain untuk menjatuhkan lawan.

Pendedahan rakaman seks hari ini telahpun mencetuskan perbincangan hangat di dunia siber dan dalam kalangan media dan politik.

Satu rasionaliti dan sikap kritikal perlu muncul dan ditunjukkan dalam medan politik negara hari ini, supaya kejadian sensasi ini tidak menjadi isu yang mendominasi politik negara, mengatasi pertimbangan-pertimbangan yang sepatutnya diutamakan dalam pembangunan negara kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan