Ahad, 27 Mac 2011

KEMBALI KEPADA QURAN DAN HADIS.....

Dunia Hanya Persinggahan.

Dari Ibnu Umar ra katanya; Rasulullah SAW memegang bahuku lalu ia bersabda: “Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)”. Dan adalah Ibnu Umar ra berkata: “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau”. (al-Bukhari)

Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitu alam akhirat yang kekal abadi.

Untuk itu, setiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal sudah tentu waktu itu tidak akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.

Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya. Manusia yang mengejar dan menghabiskan masa dengan mencari “sesuatu yang tidak diciptakan oleh Allah di dunia” (kebahagiaan yang hakiki) adalah manusia yang rugi dan perbuatan yang sia-sia.


Larangan Gila Kuasa.

Abdul Rahman Ibnu Samurah berkata; Nabi SAW berkata kepada ku: “Hai Abdul Rahman Ibnu Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan”. (Bukhari dan Muslim)

Nabi menegaskan bahawa kita tidak boleh mengajukan permintaan untuk diangkat menjadi pemimpin atau dengan kata lain menjadi orang yang gila kuasa. Ini adalah kerana menjadi seorang pemimpin bukanlah perkara yang mudah.

Kebiasaannya orang yang ghairah memburu pangkat dan kedudukan belum tentu dapat memikul sesuatu tanggungjawab itu dengan baik. Apatah lagi jika kedudukan itu diberikan atas permintaannya sendiri yang kemungkinan besar akan menimbulkan banyak pertuduhan bahawa individu tersebut mempunyai kepentingan tertentu. Kepimpinannya nanti akan menimbulkan banyak huru hara dan penentangan lantaran wujud golongan yang tidak berpuas hati.

Sebaliknya jika jawatan itu ditawarkan tanpa dia sendiri yang menginginkannya sedangkan dialah orang yang paling layak insyaAllah bebanan tanggungjawab itu walau bagaimana berat sekalipun ia bukanlah akan dipikul sendirian melainkan akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokongnya di belakang kerana hakikatnya dia dilantik secara sebulat suara.

Munafik.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang basah )”. (Riwayat Ahmad)

Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya. Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan. Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan. Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan ke atas dirinya.



Jauhi Arak.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Dalam persoalan arak ada sepuluh orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya”. (Riwayat Anas ra)

Arak yang juga disebut khamar dalam bahasa Arab bermaksud minuman yang memabukkan. Ia menjadi minuman kemegahan bagi orang-orang fasik, kafir dan munafik. Di dalam Islam hukum meminumnya adalah haram.

Rasulullah saw pernah bersabda bahawa arak itu adalah ibu segala kejahatan. Ini terbukti di mana hasil kajian mendapati bahawa arak sebenarnya boleh merosakkan fizikal dan mental manusia di mana dari segi ilmu perubatan arak itu boleh memberi kemudaratan pada tubuh badan manusia seperti menyebabkan penyakit lemah jantung, barah mulut, tengkuk, kerongkong, penyakit saraf dan penyakit hati.

Manakala dari aspek mental pula al-Quran sendiri ada menyebut bahawa arak itu akan mendedahkan gejala yang tidak baik kepada individu, masyarakat dan negara di mana seseorang yang meminum arak pasti akan mengalami gangguan minda, hilang pertimbangan dan kesedaran diri menyebabkan ia akan melakukan sesuatu perkara buruk yang tidak pernah dilakukan ketika dia berkeadaan waras. Inilah puncanya berlaku permusuhan dan kebencian serta terjadinya penyakit sosial seperti gejala seks bebas, pembunuhan dan kemalangan jalanraya.

Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah. Bahkan para fuqaha mengatakan bahawa jenayah arak ini sebenarnya samalah seperti kesalahan mencuri dan berzina di mana hukuman yang bersabit dengan arak ini adalah sebat antara 40 hingga 80 kali.

Larangan arak selain daripada yang disebutkan di dalam hadis di atas juga berlaku pada larangan menghadiri majlis di mana arak disediakan untuk para tetamu. Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhi arak daripada kehidupan mereka dan bersama membenteras gejala tidak sihat ini daripada terus menular di dalam masyarakat.


Hukum Agama Ada Hikmahnya.

Dari Abdullah bin Buraidah ra, dari bapanya katanya; Rasulullah saw bersabda: “Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah. Aku pernah melarang kamu memakan daging korbanmu lebih dari tiga hari, sekarang simpanlah sekadar yang kamu perlukan. Aku pernah melarang kamu minum minuman anggur kecuali dengan gelas biasa, sekarang minumlah dengan apa jua bekas minuman. Tetapi jangan sekali-kali kamu minum minuman yang memabukkan.” (Muslim)

Selaku umat Islam, kita perlu jelas bahawa setiap hukum yang dibawa oleh Islam ada kaitannya dengan kesejahteraan hidup manusia sama ada dari aspek rohani mahupun jasmani, fizikal mahupun spiritual. Setiap hukum dan larangan tersebut sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atasnya ada hikmahnya yang tersendiri.

Hukum juga boleh berubah-ubah bergantung pada beberapa perkara seperti maslahah ummah dan kehendak zaman asalkan ia tidak menyalahi hukum dan batasan yang ditetapkan oleh syarak (al-Quran dan sunnah). Sesungguhnya setiap suruhan dan tegahan agama itu bukanlah bermaksud untuk mengekang kebebasan individu. Ia sebenarnya untuk kebaikan bersama. Inilah tujuan utama Nabi Muhammad saw diutuskan iaitu untuk memberi penerangan kepada manusia tentang tatacara kehidupan yang sebenar berlandaskan kehendak Islam



Menyemai Sifat Pemaaf Dalam Diri.

Saidatina Aisyah menyatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapapun, baik kepada isteri Baginda mahupun pembantu Baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan Baginda tidak pernah membalas sedikitpun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik kerana sifat mahmudah terserlah pada diri Baginda yang tidak pernah menunjukkan rasa marah hatta jauh sekali menyimpan perasaan dendam dalam hati sekalipun pelbagai cara dilakukan orang kafir dan Yahudi yang mengguris perasaan Baginda.

Antara kisah paling masyhur mengenai sifat mulia Baginda ialah ketika Nabi Muhammad diracun seorang perempuan Yahudi. Walaupun sahabat iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan itu, namun Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya malah berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.

Walaupun sebagai manusia biasa diakui sukarnya untuk memadamkan rasa marah dan benci dalam hati, namun andai bertekad untuk menjirus api nafsu amarah daripada terus membakar emosi, sifat memaafkan mampu memadamkan bara dinyalakan syaitan yang ingin terus melihat manusia bergaduh sesama sendiri.

Oleh itu, marilah bersama mentarbiahkan diri dengan menjinakkan lidah untuk mengucap kemaafan sementara tangan menghulurkan salam kemaafan kepada sesiapapun tidak kira sebesar mana kesalahan kerana dalam sifat pemaaf terkandung keberkatan dan kemuliaan yang tinggi.

Yakinlah, jika kita bersedia memberi kemaafan kepada seseorang nescaya orang juga bersedia memaafkan keterlanjuran kita. Marilah buang segala sifat mazmumah supaya perasaan sakit hati, benci dan marah dapat dijauhi.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan